Saturday, August 27, 2011

Diari 331 - Behind The Scenes "Tanyalah Ustaz" Indahnya Ramadhan Ogos 2011

Ketika saya diminta untuk mengendalikan program “Tanyalah Ustaz” pada bulan Ramadhan, saya sering melihat perbahasan dari sahabat-sahabat sebelum saya di TV9 ini.

Giliran saya adalah hari yang ke 21 dan 22, semua perbahasan telah dibuat oleh orang sebelum saya. Saya kira hampir-hampir semua topik mengenai bulan Ramadhan telah dibahaskan.

“Mmm, nak kupas dari sudut apa lagi ye..” bisik hati saya.

Saya membuka catatan lama ketika saya masih belajar, saya buka catatan kuliah dari pondok tempat saya belajar dulu, helai demi helai saya tatap, mengingati kembali kuliah-kuliah yang disampaikan oleh Tuan Guru kami, Allahyarham Haji Abdullah Lubok Tapah.

Ketika itu, saya mungkin belum memahami perbahasan ini dengan baik tetapi budaya menulis yang disemaikan oleh guru kami menjadikan saya suka menyalin patah-patah hikmah yang keluar dari mulut guru kami ini.

Saya melihat catatan dari Allahyarham guru saya yang juga ayahanda saya, Ustaz Abdullah Mohd Said, saya melihat rujukan kitab yang sering dirujuk oleh beliau.

Seminggu sebelum tarikh bersiaran, saya teringat satu tajuk iaitu mengenai deria manusia dan tarbiah Ramadhan di dalam membentuk deria ini...

Saya buat catatan baru, rujukan dari hadis dan ayat al-Quran ditambah...

“Mmm, tajuk ni boleh ni, rasanya orang sebelum saya belum ada yang kupas” bisik hati saya sambil tersenyum kerana menemui tajuk yang untuk dibahaskan.

“Ini baru hari pertama, hari kedua macam mana pula?”, saya kembali menongkat dagu dengan pen yang terselit di antara ibu jari dan jari telunjuk.

“Bang, jom sahur” kata isteri saya yang sejak tadi memasak sahur untuk kami anak beranak.

Biasanya, selepas sahur saya akan membawa anak-anak bersolat di surau atau masjid berdekatan.

Habis solat subuh saya bergegas balik, saya akan buka TV9 dan lihat perbahasan sahabat-sahabat di dalam “Tanyalah Ustaz”

Hari itu saya melihat perbahasan sahabat saya Ustaz Zahazan mengenai perang Badar, kupasannya menarik, cuma beliau agak kontroversi sikit akhir-akhir ini ketika membahaskan ibu Nabi adalah kafir di IKIM.fm

Ketika itu saya teringat mengenai unsur-unsur badan manusia dan tarbiah Ramadhan di dalam mendidik unsur ini.

“Ok, kalau konsepnya dah ada, tinggal membuat rujukan sahaja agar lebih mendalam lagi” bisik hati saya.

Seperti biasa di dalam program “Tanyalah Ustaz” yang lepas-lepas, persediaan dibuat memang agak banyak, ini kerana pertanyaan yang diajukan kita tidak tahu dari sudut mana, terutamanya soalan dari penonton.

Ahad 21 Ogos 2011, saya hanya bertolak dari rumah selepas subuh, ini kerana jarak antara rumah dengan masjid Negeri tidak berapa jauh.

Hari pertama mengenai tarbiah Ramadhan dan deria manusia selesai, kini menunggu hari kedua pula untuk bersiaran. Penonton yang bersama di Masjid Negeri untuk hari pertama agak ramai, barangkali hari Ahad lebih-lebih lagi Qiamullail dibuat di masjid negeri ini.

Antara soalan yang diajukan melalui email yang tidak keudara ialah :-

“Ustaz, macam mana nak suruh para ustaz TV ni memakai pakaian sunah seperti serban dan jubah”

Barang kali soalan ini datang dari orang yang memang sangat menjaga sunnah berpakaian, cuma pertamanya, para ustaz ini sebenarnya juga biasa berserban dan berjubah, cuma di TV ada aturan pakaiannya.

Kedua sunnah ada banyak peringkat, ada bentuk diri, bentuk keluarga, bentuk masyarakat, bentuk negara dan bentuk ummah. Tidak semestinya orang tidak bersunnah bentuk diri bermakna dia tidak bersunnah langusung.

Ada juga soalan yang tidak sesuai untuk diutarakan secara umum atau tidak sesuai dengan tajuk yang dibahaskan. Walaubagaimana pun terima kasih pada semua yang bertanya sama ada melalui email atau berusaha untuk menghubungi melalui telifon.

Hari kedua, saya membahaskan mengenai tarbiah Ramadhan di dalam membentuk 5 unsur diri manusia.

Alhamdulillah, semuanya dapat disempurnakan dengan jayanya dengan izin Allah. Hari kedua memang agak sibuk kerana selepas itu saya kena memenuhi program di IKIM dan pada waktu petang, akan bertolak ke Madinah.


“Dari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”


Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Diyafah al-Syarq

Madinah Al-Munawwarah

27 Ramadhan 1432/ 27 Ogos 2011

Jam 2.00 petang

Perbahasan hari pertama
Skrin yang disediakan untuk penonton studio yang ramai

Persediaan akhir sebelum bersiaran hari kedua
Perbahasan mengenai 5 unsur badan dan tarbiah Ramadhan
Terima kasih pada semua yang menjayakan program yang penuh barakah ini..

3 comments:

Anonymous said...

Saya mengikuti prog tu di tv. Menarik & alhamdulillah tambah ilmu (termasuk yg dikendalilkan ustaz2 lain).
Off topik: ttg yg ustaz kata perbahasan oleh ustaz Zahazan ttg ibu Nabi saw dlm radio IKIM tu, saya miss le ... Tapi saya ingin kempen pada para pembaca supaya baca juga antaranya perbahasan Pak Hamka dlm Tafsir Al Azhar ..(mudah2an bertambah ilmu kita).
Allahwaklam.

Anonymous said...

Assalam Ustaz,

Saya memang minat rancang "Tanyalah Ustaz". Banyak yang di pelajari.

Selamat Hari raya buat ustaz dan keluarga.

Bila di Madinah, minta ustaz tolong doakan saya, emak dan keluarga dapat ke rumah Allah.

AJ

p/s saya silent reader from "Abode of Peace"

Anonymous said...

Assalamualaikum Ustaz, Saya rasa saya hampir putus asa untuk mendoakan anak saya yang saya rasa sudah jauh dari hidayah Allah. Saya betul2 harap Ustaz dapat mendoakan anak saya semasa Ustaz di Mekah dan Madinah. Dia selalu menderhakai saya dan sudah berani secara terang2 tidak solat fardu dan solat jumaat dan juga bepuasa. Dia salahkan saya atas dosa yang dia lakukan sekarang ini. Nama anak saya Anas bin Ismail. Saya betul2 berharap Ustaz tidak keberatan.
Wassalam.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...