Saturday, April 9, 2011

Sekilas 42 - Perselisihan Antara PGSM dan PPMM

9 April 2011 jam 9.15 pagi, hari ini saya memenuhi program “Promise” (ceramah) yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor. Tajuk perbincangan hari ini ialah beriman kepada Rasul. Tamat program jam 10.30 pagi, saya terus ke pejabat untuk melihat beberapa tugasan.

Saya membuka Harakah Daily dan tertarik dengan satu artikel mengenai pertikaian antara PGSM (Persatuan Guaman Syarie Malaysia) dan PPMM (Persatuan Peguam Muslim Malaysia) yang mengatakan bahawa video boleh diterima sebagai bukti untuk mendakwa seseorang di bawah kesalahan zina di Mahkamah Syariah.


Boleh baca di sini....


http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2700:video-pgsm-sokong-mufti-perlis-bidas-ppmm&catid=34:primary&Itemid=56


Saya juga seorang peguam syarie dan saya terpanggil untuk mengulas perkara ini.


Antara Tugas Pendakwa dan Hakim

1. Mendakwa dan menjatuhkan hukum adalah dua perkara yang berbeza. Mendakwa adalah bidang tugas seorang pendakwa dan menghukum adalah bidang tugas seorang hakim.

2. Jika terjadi sesuatu kes, maka kes itu akan disiasat oleh pegawai penyiasat dan kemudian akan diserahkan kepada pendakwa sama ada ia boleh dibawa ke mahkamah atau pun tidak, dan perkara ini terpulang kepada pendakwa, sama ada dia ingin membawa ke mahkamah ataupun tidak.

3. Sebagai contoh, jika penguatkuasa menyerbu bilik seorang yang berdua-duaan, dan kedua mereka di dapati berkemban, maka mereka berdua boleh di dakwa ke mahkamah dengan berbagai bukti dan saksi yang cuba dibawa oleh pendakwa.

4. Jika pendakwa membawa tuduhan mereka berzina, dia mestilah membawakan bukti untuk tuduhan itu, jika tidak, maka dia boleh mengubah tuduhan dari berzina kepada berkhalwat.

5. Biasanya, pertuduhan zina di mahkamah akan dijatuhkan apabila pelaku mengaku bersalah di atas barang-barang bukti yang ditemui ketika dia diserbu seperti kondom, kesan air mani dan sebagainya, tapi jika dia tidak mengaku, maka dia tidak dapat dijatuhkan hukum berzina, cuma pertuduhan akan ditukar kepada percubaan melakukan zina atau berkhalwat.

6. Jadi, sama ada pendakwa nak bawa atau tidak terpulang pada dia, bagi hakim pula, bukti tadi hanyalah sokongan dan dia tidak boleh menjatuhkan hukuman pada bukti yang dibawa semata-mata. Bukti itu akan menjadikan pesalah mengakui kesalahannya hakimlah yang akan menjatuhkan hukum di atas pengakuan itu.

Ulasan Perselisihan PGSM dan PPMM

7. Menurut petikan harakah seperti di dalam link di atas, kenyataan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, menyatakan bahawa video boleh diterima sebagai bukti untuk mendakwa seseorang di bawah kesalahan zina di Mahkamah Syariah dalam konteks Malaysia, maka ia boleh dibawa ke mahkamah. Penyataan ini adalah merujuk kepada seorang pendakwa syarie untuk membawa kes ke mahkamah. Bukannya seorang hakim yang ingin menjatuhkan hukuman.

8. Bagi seorang hakim, video bukan bukti tunggal di dalam penghakimannya, ia hanyalah salah satu cara untuk menjadikan seseorang pesalah mengakui kesalahannya. Jika dia tidak mengaku, maka pertuduhan zina memang tidak boleh dibuat, dan pertuduhan akan ditukar kepada percubaan melakukan zina atau berkhalwat.

9. Peselisihan yang berlaku antara Zainur Rijal dengan Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralip pada saya hanyalah cara menerangkan kepada umum sahaja dari sudut teknikal yang dipakai di Malaysia.

10. Bagi Mohamad Isa dan Mufti Perlis, ulasan mereka di dalam harakahdaily, mereka membincangkan dari sudut Mahkamah Syariah sebenar. Persoalannya, adakah Mahkamah Syariah di Malaysia sudah benar-benar menetapi syarak? Keterbatasan bidang kuasa hukumam zina di dalam enakman di Malaysia yang hanya didenda sebanyak RM 1000 pun sudah menggambarkan kelainan cara dari yang sebenar.

11. Bagi Zainur Rijal pula dia membicarakan dari segi teknikal realiti mahkamah di Malaysia.

12. Dua-duanya membicarakan dari sudut yang berbeza, PGSM berhujah dari sudut penjatuhan hukuman zina semata-mata tanpa ada pertuduhan percubaan zina atau khalwat, dan PPMM membicarakan realiti perjalanan mahkamah di Malaysia waktu ini.

13. Bagi, saya tak perlu digaduhkan. Kalau mahu bicara mengenai cara Islam sebenar, ia memerlukan satu rombakan sistem yang benar-benar ikhlas dan jujur. Kalau tidak, kita hanya memperdebatkan serpihan yang telah rosak dan dia tidak ada penghujung, yang makin pening adalah masyarakat.

14. Bagaimana kita nak bicarakan mengenai kereta yang memakai tayar basikal, kemudian kita gaduhkan, adakah pemandu boleh disaman kalau dia bawa terlalu lambat sehingga mengganggu pemandu lain dan sebaginya. Sistem kereta memakai tayar basikal pun dah tak betul, macam mana nak bincang teknikal yang berbangkit adakah boleh di saman atau tidak?

15. Sebagai penutupnya, semoga pengamalan Islam di Malaysia semakin baik bukan sahaja dari sudut masyarakat tetapi dari sudut pentadbiran dan perjalanan secara rasmi.

Sekilas Mewarkan Peristiwa”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

6 Jamadil Awal 1432/9 April 2011 jam 1.30 tengah hari

1 comment:

CULA TUPAI said...

assalamualaikum ustaz

olih kerana ustaz seorang ahli agama yang serba tahu ustaz juga harus bertanggungjawab sebagai seorang islam menasihati masyarakat di atas video fitnah ini. saya belum nampak ulasan ustaz sehingga sekarang..????

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...