13 April 2011 jam 1.00 petang, hari ini saya bersama krew Usrah, membuat program ini di rumah orang tua al-Ikhlas di Puchong 2.
Saya melangkah masuk ke rumah ini dan melihat puluhan orang tua lelaki dan perempuan berada di sini.
Tapak rumah orang tua al-Ikhlas sebenarnya adalah tapak masjid lama. Saya amat memahami apa yang dilalui oleh pengasasnya kerana kita juga biasa dengan rumah kebajikan. Ujian dan berbagai cabaran dilalui hinggalah berdirinya rumah kebajikan seperti ini.
Pada saya, ia adalah usaha yang sangat murni kerana tidak kurang penghuni di sini yang ditinggal oleh saudara mara tanpa apa khabar berita.
“Ustaz, paling kurang, mereka ziarahlah kami sebulan dua, ini ada yang bertahun pun tak pernah jenguk” kata saya seorang warga tua di sini dengan air mata yang bertakung.
Ada lima golongan ibu yang berada di bawah tanggungan anak lelaki hinggakan jika anak lelaki ini mempunyai zakat sekalipun, tidak boleh memberikan kepada golongan ini kerana golongan ini bukannya mendapat zakat, tetapi, jika mereka tidak mampu, mereka perlu mendapat nafkah yang mesti disediakan oleh anak lelaki.
1. Ibu kandungnya
2. Ibu susuannya
3. Ibu angkat yang mengambil alih tugas ibu kandung yang menjaganya dari kecil
4. Ibu tirinya
5. Ibu mertua
Ketika kita berkahwin dengan seorang wanita, kita bukan berkahwin dengan tubuhnya semata-mata, tetapi kita juga berkahwin dengan segala tanggungjawab yang ada bersamanya. Jika dia mempunyai anak, maka kita juga kena mengasihi anak itu dan jika dia mempunyai ibu bapa, maka kita wajib memeliharanya kerana ia adalah tanggungjawab yang ada bersamanya.
Kelima-lima golongan ibu di atas adalah dibawah tanggungan anak lelaki dan jika anak lelaki mengabaikannya dengan sengaja, ia akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.
Berbicara mengenai tanggungjawab, ia berkaitan dengan keimanan dan semoga, jika kita menunaikan tangungjawab pada golongan ibu di atas, mahupun bapa, mudahan anak kita nanti akan berbakti kepada kita, amin…
“Ilmu Pelita Hidup”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
15 Jamadil Awal 1432/18 April 2011 jam 3.15 pagi
Memimpin solat ketika program ini
Semoga Allah menjadikan anak kita semua orang yang sentiasa menyayangi kita hingga akhir hayat kita, kerana sayang kepada ibu ayah, adalah sayang yang dituntut..
2 comments:
baru saja tgk isu ni kat tv td..
sedih tgk ibu2 & bapa2 yg ditinggalkan kt situ.. semoga kita semua xkan buat begitu kat ibu ayah kita.. insyaallah
Insyallah...
Post a Comment