31 Mac 2011 jam 7.15 pagi, saya dan rombongan menaiki kapal terbang Uzbekistan ke Bukhara. Kapal terbang jenis IL-114-100 yang kami naiki seakan kapal Firefly di Malaysia, kecil, berbunyi kipas di tepi dan akan bergegar kuat jika menerjah awan.
Perjalanan ke Bukhara dari Tashkent mengambil masa sejam setengah. Jam 8.45 pagi kami sampai ke Bukhara.
Lapangan terbang di Bukhara sangat kecil. Di pintu masuk itulah tempat mengambil beg, di situ juga tandas awan, disitu juga tempat pemeriksaan imigresen dan disitu juga pintu keluar, barang kali luas sedikit dari apartment di bandar di Malaysia.
Sebuah bas telah menunggu kami dan kami terus di bawa ke Hotel Asia Bukhara.
Selepas mendaftar masuk dan bersarapan pagi, program kami berehat hingga zohor. Jam 1.30 tengah hari kami mula diajak untuk berjalan sekitar bandar Bukhara.
Menyentuh mengenai orang pertama menyampaikan Islam ke Bukhara ini, ia berkaitan dengan usaha Qutaibah bin Muslim yang telah berjaya membuka Bukhara pada tahun 90 Hijrah / 709 Masihi. Ketika itu, agama di tempat sini ialah majusi iaitu penyembah api dan bintang. Kemasukan Qutaibah bin Muslim tidak banyak mengIslamkan masyarakat setempat sehinggalah terdirinya kerajaan Samanid yang diasaskan oleh Ismail Samany pada kurun ke 9 masihi.
Barangkali seakan Islamnya Nusantara, ia bermula dari daerah kecil bernama Barus (orang Arab datang ke sini untuk mengambil kapur barus, bahan memandikan mayat) pada kurun pertama hijrah lagi, tetapi belum dapat mengIslamkan keseluruhan masyarakat hinggalah akhirnya tertubuhnya kerajaan Islam, barulah Nusantara dapat di Islamkan.
Tempat pertama yang kami lawat ialah masjid menara Kalyan, satu binaan yang cukup menakjubkan dari kurun ke 11 masihi. Ketika negara Eropah sedang berada di dalam zaman kegelapan, umat Islam telah mampu membina binaan-binaan hebat.
Kemudian kami memasuki masjid yang boleh memuatkan seramai 15 ribu jemaah, masjid terbesar di sini. Masjid kedua terbesar di zaman itu ialah di Samarkand yang dibina oleh Bibi Hanim, isteri Timur Lank.
Banyak kedai-kedai menjual barangan lama termasuk barang-barang berumur hampir seratus tahun, begitu juga dengan jam-jam dari zaman Soviet Union yang hanya dijual dengan harga 10 USD. Jika kita menemuinya di bandar Moscow, sudah tentu harganya akan menjadi lebih 500 USD satu.
Saya memerhatikan setiap batu yang bersusun indah, utuh dan teguh dengan kehebatan para arkitek Islam.
Di dalam Islam, banyak ilmu seni bina yang disebut di dalam al-Quran seperti bilangan lapisan langit yang tidak bertiang, lapisan bumi, susunan bintang dan planet dan sebagainya.
Di dalam hadis juga menggariskan agar seni bina Islam tidak dibuat dari gambaran binatang dan manusia.
Kami di ajak untuk berpusing sekitar kawasan sini, melihat keindahan bangunan di Bukhara, sesungguhnya, Islam membina tamaddun yang tinggi dari sudut pembangunan zahiriah mahupun batinah. Islam adalah cara hidup yang membawa manusia hebat dari sudut tamaddun tetapi tetap bersifat Rabbani, tunduk kepada penciptanya.
“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Tashkent Palace Hotel, Tashkent Uzbekistan
2 Jamadil Awal 1432/5 April 2011 jam 6.00 petang
Bersama para ibu-ibu saya, dari kanan ibu, ibu tiri, ibu anak saya dan ibu mertua.
Di hadapan masjid Miri Arab
Banyak barang lama di jual di sini dengan harga yang sangat berpatutuan
pasar lama sekitar manara Kaylan
bangunan lama kini menjadi kedai-kedai cendera mata
Kota ini adalah kota kelahiran ramai ulama antaranya Imam Al-Bukhari, Ibnu Sina, seorang cendekiawan Bukhara, seorang Doktor Bukhara dan seorang ahli falsafah Bukhara, Abu Hafsin Umar bin Mansur Al-Bukhari yang dikenali dengan nama Al-Bazzar, Al-Hafiz Abu Zakaria Abdul Rahim Ibnu Nasr Al-Bukhari dan Abu Al-Abbas Al-Maqdisi Al-Hambali
Bersama ibu saya di kota Bukhara
sekitar kota Bukhara, kota lama berumur 2700 tahun, seumur kota Siwa di Mesir dan kota Baitul Maqdis di Palestin
3 comments:
Assalamualaikum Ustaz Amin...
suka dengan gambar gambar ni dan pengalaman yang dikongsi...
next time nak ikut...nak ikut..nak ikut....nak geng sama ibu ibu tu sumer... boleh kan kan kan...^_^
yang pasti selamat bergembira...terima kasih kerana rajin gembirakan hati ibu ibu ....saya pun ibu...hee...
ustaz amin...bukan setakat binaan je hebat...ibu ibu yang mengiringi ziarah kali ini lagi hebat-hebat!!!...Syukur dan Alhamdulillah...syahdunyaa....BHS rasa gembira....
salam ustaz, fesyen rambut ustaz, cantik leee dalam gambar tuh..hehehe
Post a Comment