Saturday, April 2, 2011

Diari 304 – “Catatan Perjalanan Ke Uzbekistan 2011..”

30 Mac 2011, hari ini saya bertolak bersama rombongan seramai 31 orang ke Uzbekistan.

Jam 8.00 malam, saya mula keluar dari rumah ke KLIA. Hari ini, program saya agak penuh. Jadi, jam 7.00 petang masih lagi di Shah Alam bermesyuarat. Di lapangan terbang antarabangsa ini, saya bertemu dengan ahli rombongan yang lain.

Kami mula masuk ke dalam perut kapal dan jam 10.35 malam, kapal mula bergerak perlahan-lahan. Penerbangan malam ini agak banyak, oleh itu, kapal kami terpaksa menunggu giliran untuk terbang seakan anak-anak darjah satu berbaris untuk membeli makanan ketika rehat. Jam 10.55 malam, kapal mula meninggalkan KLIA. Dari atas saya melihat keindahan lampu-lampu menghiasi bumi Malaysia. Begini agaknya bumi Malaysia dari mata burung.

Penerbangan ke Uzbekistan mengambil masa lebih kurang 7 jam. Bertolak jam 10.55 malam, jam 6.10 pagi waktu Malaysia ( 3.10 pagi waktu Uzbekistan) kami telah sampai di Tashkent. Beza waktu di sini dengan Malaysia ialah 3 jam.

Kami telah ditunggu oleh Aziz Khan, pemandu pelancung kami di sini. Setelah semua urusan beg selesai, kami dibawa ke terminal domestik untuk penerbangan selanjutnya ke Bukhara.

Waktu subuh di sini ialah jam 4.45 pagi. Dengan kesejukan bandar Tashkent serendah 12 darjah celsius, kami menyempurnakan wudhuk dan mencari arah kiblat untuk bersolat.

Saya mengambil kompas untuk melihat arah kiblat, di Uzbekistan, kordinaat bagi kiblat adalah 14.

Seorang pegawai imigresn menghampiri kami..

“Musalman?” (Islam ke?) katanya

“Namaz.. namaz..?” (solat-solat…?) katanya lagi.

Saya hanya menganggukkan kepala. Dia kemudian menunjukkan arah kiblat di dalam lapangan terbang ini, ia lurus dan terdapat satu papan tanda berwarna hijau. Papan tanda hijau itu menunjukkan arah kiblat tetapi di dalam tulisan yang kami tidak boleh baca.

“patutlah tak perasan.. sekali tulisan uzbek la…” kata saya pada ahli jemaah sambil tersenyum.

Lapangan terbang di sini tidak ada surau. Tetapi tidak ada halangan untuk bersembahyang di mana sahaja. Kita boleh bersembahyang di ruangan legar di sini.

Untuk mengambil wudhuk tidak ada masalah kerana tandas tidak berapa jauh. Tetapi untuk masuk ke dalam tandas dikenakan bayaran 500 soom ( lebih jurang 75 sen)

Berbeza dengan lapangan terbang Casa Blanca Morocco, suraunya ada tapi bilik air sangat jauh untuk mengambil wuduk. Tapi di dalam surau terdapat banyak batu-batu. Batu itu digunakan untuk bertayammum. Di Morocco, fiqah mereka mazhab Maliki, menurut Maliki, para pemusafir boleh menggunakan batu untuk bertayammum jika dalam musafir.

Matawang di sini bernama Soom. Satu dolar bersamaan dengan dua ribu Soom bermakna seribu som besamaan dengan RM 1.50 Rata-rata wang kertas di sini adalah seribu soom.

Kalau kita menukar USD 100, kita akan dapat 200 ribu soom dan sudah tentu kita akan membawa sebemban wang itu ke sana sini.

Kami bertanya dengan Aziz pemandu pelancong, apa kami boleh beli dengan seribu soom ini? Spontan Aziz menjawab:-

“Kalau di Tashkent, kamu boleh masuk dua kali ke tandas, tapi kalau di Bukhara, kamu boleh masuk 5 kali dalam tandas dengan 1000 soom”

Kami semua tersenyum mendengar gurauannya.

Kami menunggu, untuk menaiki flight ke Bukhara dan pada jam 7.00 pagi kami mula naik ke kapal. Jam 7.15 pagi, kami mula meninggalkan Tashkent.

Penerbangan domestik tidak menggunakan kapal besar, bukan Boeing atau Airbus, tetapi kapal terbang jenis IL-114-100 atau seakan penerbangan Firefly di Malaysia. Kapal terbang berkipas ini menerobosi awan dan mudah bergegar. Ia seperti kereta kalau melanggar jalan berlekuk. Tetapi kapal kecil macam ni lebih selamat kerana jika enjin bermasalah, ia akan dapat melayang dan tidak terus menjunam dan terhempas seperti kapal besar.

Jam 8.40 pagi, kapal mula merendah dan “gddeeek” bunyi tayar mula dikeluarkan.

Jam 8.45 pagi, kami mula mendarat dengan selamat dan Alhamdulillah….

“Selamat Datang Ke Bukhara, Negeri Di Sebalik Sungai..”

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Asia Hotel Bukhara Uzbekistan

27 Rabuiyl Akhir 1432/ 1 April 2011 jam 2.30 petang

IMG_7572

Solat di ruang legar lapangan terbang

IMG_7573

arah kiblat, warna hijau di gunakan dan warna hijau memang sinonim dengan warna Islam

IMG_7579

teknologi Russia, bas berkepala lori

IMG_7580

ketika waktu dhuha, matahari naik segalah, kami meninggalkan Tashkent

IMG_7588

Penerbangan kapal cargo MAS

IMG_7590

Penerbangan domestik hanya menggunakan kapal kecil

IMG_7595

lapangan terbang Bukhara

IMG_7596

Selamat datang ke Bukhara, laluan sutera sejak ribuan tahun lepas…

IMG_7621

Untuk tukar USD 100, kita akan dapat 200 ribu Soom…

3 comments:

Rayz said...

Salam Ustaz.

Amat menarik membaca pengalaman ustaz di Uzbekistan ini. Dapat juga menjadi pengajaran bila saya hendak ke sana nanti. Semoga Allah memberi peluang yang kepada saya sekeluarga untuk melawat tempat disana.

mohd nazir said...

ust,blh bg emel ust?

Blog Tuan Hamba said...

MINTA IZIN COPY FOTONYA YA MAS.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...