Thursday, March 5, 2009

Jawapan Pada Persoalaan 16

Alhamdulillah, pada kesempatan kali ini dapat kita bersama dengan ruang persoalan

? atiq said...
assalaamualaikum ustaz. saya ada menonton rancangan tanyalah ustaz di tv9. saya ada satu soalan tapi tak berkesempatan utk hubungi ustaz. mak saya ada mengajar satu doa untuk dibacakan dan ditiupkan di ubun2 anak untuk kesejahteraan anak. doa itu dipanggil bismillah 4 berbunyi bismillaahi syaafi bismillaahi kaafi bismillaahi muaafi bismillaahilladzi laayadurru maasmihi syai un fil ardhi walaafissamaa iwahuassamii ul alin. mak mengamalkannya sehingga anaknya besar dan semuanya boleh dikatakan berjaya dalam pelajaran. saya juga mengamalkannya untuk anak saya. soalan saya bolehkah ustaz memberi maksud doa tersebut. saya ingin tahu maksud doa tersebut semasa mengamalkannya. selain itu bolehkah ustaz berikan doa2 lain atau ayat2 quran lain yang saya bolh amalkan untuk kesejahteraan hidup anak saya di dunia dan akhirat. terima kasih ustaz asalamualaikum. March 4, 2009 1:42 PM

+ Dengan nama Allah yang menyembuhkan, Dengan nama Allah yang mencukupkan, Dengan nama Allah yang mengafaitkan, Dengan nama Allah yang tidaklah memudharatkan dengan namanya sesuatu pun di bumi dan dilangit dan Dia yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.
Selain itu, banyakkan baca fatihah niatkan untuk kebaikan anak-anak dan keluarga.

? faridah said...
Salam.apa hukumnya menyuntuk ubat perancang keluarga untuk mengelak daripada mengandung bagi tujuan sambung belajar? March 3, 2009 11:59 AM

+ Merancang keluarga asal hukumnya haram melainkan jika ada sebab-sebab tertentu seperti memudharatkan atau ada kewajipan yang lebih besar.

Jika belajar dengan tujuan memenuhkan kekosongan orang Islam terhadap sesuatu bidang, maka hukumnya harus.

? FauzyCaterers said...
Assalammualaikum....Saya ada mengambil tender-tender mencuci longkang dikawasan perumahan. kerja-kerja tersebut saya perolehi drpd kontraktor yg besar (main contractor), sy hanya menjadi sub-kontraktor sahaja... dan dibayar mengikut persetujuan antara sy dan Main-contractor... bukan dibayar mengikut harga yg dibayar oleh Majlis Bandaraya kpd Main-Contractor. Sy tiada kena-mengena langsung ttg urusan mendapatkan projek2 drpd Majlis.Sekarang sy mendapat tahu projek-projek yg diluluskan oleh Majlis Bandaraya kpd Main-contractor tersebut adalah melalui cara melobi pihak atasan majlis bandaraya...dgn memberi sejumlah wang kpd mereka..(bukti sahih)soalan..1)Adakah melobi utk mendapatan projek seperti memberi rasuah..?2) Adakah pendapatan saya halal... ?3) Apakah yg harus sy buat...?
March 3, 2009 1:16 PM

1. Melobi dengan memberikan sesuatu haram hukumnya
2. Pendapatan tuan halal sebab tuan hanya bekerja dan menyiapkan kerja yang dipertanggung jawabkan dengan baik. Tetapi jika dari awal dapat tahu, ia patut dielakkan.
3. terus minta bimbingan dari Allah agar diberi rezki yang halal.

? guest Slm,ustaz sya nk tnya,adakah boleh kita memberi zakat kpd ank lelaki yg sdh berkeluarga,tp tdk ckup duit & t'pksa berhutang?(zakat utk byr hutg) 2009-03-01 8:11 AM

+ Zakat tidak boleh diberi kepada orang yang berada di bawah tanggungan nafkah kita iaitu, ayah ke atas, anak ke bawah dan isteri.
Jika anak ini dalam keadaan tidak mencukupi, mereka mendapat nafkah dari kita bukannya zakat dari kita. Dari orang lain tak apa.

? Nor Salam ustz, sy baru menjalani pembedahan tulang belakang. Sy ingin sembahyg cara duduk masalahnya sy keliru dgn satu cermah yg mengatakan selagi kita leh berdiri utk petik suis selagi tu kita mesti mulai dgn berdiri dahulu dan seterusnya boleh lah duduk. Macam maner cara ri 2009-03-01 1:22 PM

+ Di antara rukun solat fardhu ialah berdiri. Jika sakit tidak mampu berdiri maka hendaklah dengan duduk.

Jika kita mampu berdiri di sebahagian solat dan kemudiannya terpaksa duduk, maka hendaklah berdiri pada tempat yang mampu.
Jika berdiri sebahagian menjadi masalah dan membuat kita tidak mampu, maka duduklah sepenuhya.
? Guest Ada seorg wanita mgambil anak angkat lelaki tp hanya utk mnjaganya di hari tua. Dia lgsung tak mesra dgn anak itu..slalu dibebel & bkata mnyesal , Anak yg dibela jd kurang mghormatinya krn sikap buruknya tetapi tetap mjaganya sbg mbalas jasa. Sila komen.

+ Jika memang betul niatnya begitu tak patutlah, hukumnya, jika sampai menzalimi perbuatannya maka haram.

?Guest salam ustaz. saya ingin bertanya mengenai aurat antara saya dan suami adik2 tiri saya. Adakah saya perlu menutup aurat dihadapan mereka? 2009-03-02 2:44 AM

Ya, kena di tutup, ini kerana Kak tetap boleh mengahwini mereka jika suami Kak sudah tiada.

? Guest salam ustaz. saya ingin bertanya tentang hukum bulu kucing. saya pernah diberitahu bahwa ianya adalah najis. saya mempunyai 2 kucing dirumah. 2009-03-02 2:46 AM

+ Jika bulu itu tercabut dari badannya, maka memang ada dua pendapat,
1. najis
2. tidak najis

? ila_Bt.Caves salam ustaz, bagai mana nak mengira status/ taraf seorang bayi sama ada sah atau tidak pasangan terlanjur ini nikah pada 26/4/1998 dan mendapat zuriat pada 14/10/1998, apakah status aniak ini bolehkad di bin/bt kepada bapa tersebut? 2009-03-02 5:24 AM

+ Jika anak itu telah ada sebelum perkahwinan, maka ia tidak dikira sebagai anak sah taraf. Ia tidak boleh dinasabkan dengan ayah tersebut.

? ila_Bt.Caves bagaimana hak penjagaan anak yg tak sah taraf setelah ibunya meninggal dunia? ayah atau keluarga arwah ibu? 2009-03-02 5:26 AM

+ mana-mana keluarga yang dinisbahkan padanya. Jika tiada, maka hak penjagaan itu akan jatuh pada pemerintah.

?ila_Bt.Caves adakah kedudukan ibu tiri sama dengan ibu kandung setelah ibu kandung meninggal dunia?, apakah pandangan islam dalam hal ibu tiri 2009-03-02 5:29 AM

+ Kedudukan yang sama dari segi taat dan hormat tetapi tidak dalam pewarisan harta.
? Guest salam..ustaz.. bgmana cara utk memupuk perasaan kasih syg suami terhadap isteri dan da x doa2 yg boleh diamalkan..terima kasih.. 2009-03-02 7:43 AM

+ doa dalam bahasa Melayu pun taka pa, mintalah pada Allah, banyakkan sentuhan dan senyuman. Kena banyak sabar dan minta lindung dari Allah.

? sha salam, ustaz.. baru2 ni saya ada buat istikharah, kemudian s saya bermimpi teman sya itu bkn jodoh saya. adakah benar itu petanda dia bukan jodoh saya 2009-03-03 8:55 AM

+ Jika itu jawapan istikharah, maka itulah jawapannya. Tapi buatlah banyak kali.

? hamba allah "SALAM USTAZ....adakah tidak sah solat seseorang itu jika dia terlupa untuk rukuk dalam solat" 2009-03-03 2:48 PM

+ sah dan perlu tambahkan satu rakaat lagi, rakaat yang tadi tidak dikira. Kemudian, buat sujud sahwi.

? zul salam ustaz, apa pandangan ustaz mengenai isu selawat syifa'? Bolehkah kita membacanya? Siapakah yang memulakannya? 2009-03-03 10:23 PM

+ Selawat itu bagus dan boleh di amalkan asalkan sahaja faham bahawa yang tetap memberi kesembuhan itu adalah Allah. Yang memulakan ialah ulama dari Hadramat Yaman.

? ira sy xyakin dengan puasa yang tidak ganti pada tahun 07.pastu sekarang sy nak ganti.adakah saya kena ganti double puasa tersebut? 2009-03-04 12:49 PM

+ Puasa tidak di gandakan

? Encik Mat Ustaz..tadi sy dgr satu kuliah,dia ckp,kal0 kita keluar musafir lepas waktu subuh,wajib utk solat jumaat,kal0 keluar sebelum subuh,baru tak wajib,btl? 2009-03-04 1:38 PM

+ Ya, mengikut pandangan mazhab as-Syafie.

Semoga menepati kehendak soalan, jika terdapat kesamaran, bolehlah mengajukannya kembali.

Diari 37 - Bantuan Untuk Saudara Tercinta

4 Mac jam 9.30 malam, , Saya ke Kampung Melayu Subang untuk bertemu dengan En Azlan Muhammad Sharif, Head of Mission bagi Global Peace, orang Malaysia yang bersama di dalam operasi Gaza di Palestin. Beliau sebulan di sana dan baru sahaja sampai.

Tujuan saya bertemu beliau adalah untuk bekerjasama di dalam operasi bantuan ke Gaza.

Sesampainya saya di rumahnya, saya terus di ajak bertemu dengan rombongan dari Hammas di Kuala Lumpur. Rombongan ini sampai sehari awal dari Menteri Luar Hammas, Dr Mahmood Zahar yang akan sampai ke Malaysia hari ini.

Kami terus ke Hotel Grand Season Kuala Lumpur bertemu dengan Awni M. Abu Harbeid, Council of Ministers. Saya dan beberapa orang lagi terus mengajak Awni ke Restoren Arab di Ampang.

Awni mula bercerita mengenai perkembangan di Gaza.

Hammas memenangi pilihanraya secara adil di Gaza tetapi hak itu dinafikan oleh barat. Ia menyebabkan Hammas tidak diiktiraf oleh blok barat.

Ketika perang berlaku, ada yang menderita dan ada yang mengambil kesempatan dari kesusahan rakyat Palestin ini.

Hammas yang memang tidak sehaluan dengan Fatah selalu menjadi mangsa keadaan. Ramai yang tidak perasan, apabila mereka menderma, maka derma itu akan di salurkan pada Fatah.

Akhirnya, derma itu tidak akan sampai ke Gaza kerana wilayah itu berada di bawah Hammas.

Kita tidak bicara mengenai pertelagahan antara Hammas dan Fatah. Yang kita hendak bicara ialah bagaimana segala bantuan dapat di salurkan kepada mangsa.

Di sana, ribuan orang sedang kelaparan, ribuan orang sedang menunggu ubat, ribuan orang sedang kesejukkan.

Satu-satunya jalan untuk sampai ke Gaza sekarang ialah dengan melalui Mesir. Enam jalan lagi melalui Israel. Satu jalan laut dijaga oleh tentera Israel dan US.

Jika kita hendak menyalurkan bantuan dengan barang dari negara lain, agak mustahil ia boleh sampai. Caranya ialah dengan memberi duit dan mencari keperluan itu di Mesir.

Persoalan seterusnya ialah bagaimana cara duit itu ingin disalurkan ke sana? Pengeluaran duit dari mana-mana negara adalah dikawal.

Satu caranya ialah dengan memberikan kepada pimpinan Hammas yang mempunyai Pasport Diplomatik. Kelebihan rombongan diplomatik ialah barang mereka tidak diperiksa.

Jadi, Menteri Luar Hammas yang akan datang hari ini, adalah cara terbaik menyerahkan bantuan.

Selain itu, ialah dengan membawa sendiri di badan. Apa yang boleh kita buat ialah membawanya sendiri. Kita tukarkan kepada matawang EURO. Ia lebih nipis dengan nilaian yang besar. EURO ada note 500.

Saya membincangkan mengenai membawa anak-anak yatim Palestin ke sini.

Awni menegaskan, semangat kekeluargaan orang Arab agak kuat. Mereka pasti tidak akan memberikan dengan mudah waris mereka pada orang luar. Menurut Awni, cara ini hampir mustahil. Jika hendak yang di peringkat universiti mungkin boleh. Jadi, kita menaja pembelajarannya di sana hingga peringkat universiti, kemudian barulah bawanya sambung ke Malaysia ini.

Cuma masalah yang akan timbul mungkin, anak-anak ini tidak mahu balik ke Palestin. Jika mereka merasa selesa di negara luar. Mereka akan duduk terus di luar dan tidak balik ke Palestin.

InsyaAllah, saya dan Yayasan al-Ijabah akan memulakan sayap operasi kemanusiaan ke Palestin. Semalan, pembahagian tugas telah diberikan. Wakil al-Ijabah akan ke Geneva bagi mendaftarkan Yayasan sebagai NGO yang terlibat dengan operasi antarabangsa.

Saya yakin, ramai antara pembaca yang ingin bersama-sama untuk terlibat di dalam operasi kemanusiaan antarabangsa, tetapi jalannya mungkin tidak nampak.

InsyaAllah, jika telah siap segala prosedur pendaftaran, saya akan akan maklumkan kepada pembaca sekelian untuk bersama-sama di dalam operasi amal ini.

Semoga niat baik kita diperbaiki oleh Allah.
Pertemuan dengan wakil Menteri Hammas di restoren Arab "ar-Rawsah" di Ampang
Sebelah kanan saya ialah Mr Yusuf, dan sebelahnya Awni M. Abu Harbeid, Council of Ministers. Semoga pertemuan ini membuka ruang bagi kita untuk membantu saudara seIslam kita di sana. Rasullullah bersabda " orang Islam ibarat sebuah bangunan, mereka melangkapi antara satu sama lain".

Wednesday, March 4, 2009

Diari 36 - "Kekasih Allah Mencintai Kita"

Alhamdulillah, hari ini, 4 Mac 2009, jam 9.00 pagi hingga 11.30 pagi, satu majlis ceramah multimedia sempena Maulid Nabi dapat disempurnakan. Tema majlis ini ialah, "kekasih Allah mencintai kita"

Majlis ini dianjurkan oleh sahabat restu dengan kerjasama Bil Hikmah Sdn Bhd dan ALC Arabic Language & Consultancy.

Kita nak kongsi sedikit mengenai kupasan yang disampaikan. Hari ini, kita mengupas mengenai Nabi di dalam 6 bab sahaja.

1. Keturunan baginda.
Rasullullah berasal dari keturunan Nabi Ibrahim as. Seperti yang kita tahu, keturunan Nabi Ibrahim dari Nabi Ishak melahirkan Bani Israel sedangkan dari Nabi Ismail lahirlah bangsa Arab.

Bani Israel sangat mengharapkan Nabi akhir zaman ini dari keturunan mereka. Tetapi Allah menghendaki ia dilahirkan dari bangsa Arab.

Seterusnya, ia menceritakan bagaimana penentangan ahli kitab kepada risalah Nabi.

2. Perutusan Nabi
Nabi diutus untuk semua manusia dan menjadi rahmat bagi sekelian alam. Kupasan bab ini membawakan kisah Nabi terdahulu dengan mukjizatnya, tetapi tidak rahmatan lil alamin (rahmat bagi sekelian Alam)

3. Mukjizat Nabi
Nabi mempunyai mukjizat-mukjizatnya secara khusus tetapi yang paling terbesar ialah al-Quran. Kitalah umat yang paling beruntung kerana kita mewarisi mukjizat Nabi ini. Orang terdahulu tidak pernah mewarisi mukjizat Nabi mereka. Ia membincangkan mengenai bertuahnya kita mendapat al-Quran ini.

4. Iktibar wahyu pertama
Kupasan bab ini membincangkan bagaimana, jika kita hendak menjadi baik, kita kena kurangkan pilihan di dalam hidup kita. Manusia jika diberi pilihan sudah tentu akan memilih perkara yang paling ringan dalam hidupnya. Jika kita diberi pilihan, mahu sembahyang awal atau tengok tv dulu, sudah tentu biasanya orang akan tengok tv dulu. Sembahyang dilewatkan sikit.

Nabi yang tidak pandai membaca tidak diberi pilihan. Akhirnya, Nabi boleh mengikut apa yang diajarkan.

5. Kewafatan Nabi
Kupasan bab ini membincangkan bagaimana kisah saat-saat akhir kewafatan Nabi. Ini bab yang paling menyentuh hati. Di akhir hayatnya, baginda terus mendoakankan kita umatnya. Baginda tidak memanggil isteri, anak atau cucunya. Yang baginda sebut adalah umatku-umatku.

6. Syafaat
Nabi berpesan bahawa baginda pasti akan membantu umatnya dengan syafaat baginda. Di hadapan makam Nabi di Madinah ada dua hadis yang diletakkan mengenai syafaat ini.

"sesungguhnya syafaatku adalah benar untuk umatku, barangsiapa tidak beriman dengannya maka dia tidak menjadi orang yang akan mendapatnya"

"sesungguhnya, syafaatku buat menolong orang yang melakukan dosa (tetapi hatinya bercita-cita menjadi baik) dari umatku.

Syarat mendapat syafaat ada tiga

i. mencintai Nabi
ii. banyakkan selawat pada Nabi
iii. mengamalkan sunnah Nabi.

Semoga, sedikit ceramah yang diberikan memberikan manfaat kepada pendengar sekelian. InsyaAllah, pada hari Rabu minggu depan jam 10.30 pagi, saya akan membawakan sirah Nabi bersama qasidah selawat melalui kitab ad-Dibaie dan Burdah.

Jemput semua jika ada kelapangan.
Team sokongan multimedia dari Bil Hikmah Sdn Bhd.
Kupasan tajuk "kekasih Allah mencintai kita" dibuat di dalam 6 bab sahaja. Sulaman potongan filem mengenai Nabi dan klip nasyid menambah penghayatan terhadap ceramah yang disampaikan.
Antara yang hadir.
Majlis dipengerusikan oleh Ustaz Muhamad Abdullah dari JAIS.
Antara tetamu yang ada bersama di dalam majlis.
Jamuan di akhir majlis. Semoga Allah terus menganugerahkan kita semua rasa cinta Allah dan cinta Rasulnya.

Tuesday, March 3, 2009

Tarbiah Dan Dakwah 14 – Realiti Kita Dan Rasullullah

Esok 4 Febuari, insyaAllah, semua pembaca jika ada kelapangan, dijemput untuk menghadiri satu program di Yayasan Restu bermula jam 9.00 pagi. Program ini ialah satu program sempena dengan Maulid Nabi. Satu ceramah mengenai Nabi bertajuk "kekasih Allah mencintai kita".

Program ini dibawakan oleh Sahabat Restu, Bil Hikmah Production dan ALC Arabic Language & Consultancy.

Pendekatan ceramah pada hari esok akan disulamkan dengan persembahan multi media.

Sempena dengan kehadiran musim Maulid ini, mari kita renung sejenak, kita muhasabah diri kita. Kita yang selalu mengatakan cintakan Islam dan Nabi, adakah secara realitinya kita mencintainya dan mengikut apa yang baginda ajarkan. Saya ingin mengajak pembaca mengembara sebentar pada hari ini.


Cuba kita bayangkan, katakanlah, dengan seizin Allah, rumah kita didatangi dengan satu rombongan. Katakahlah, rombongan itu adalah rombongan Nabi saw. Baginda datang dan tiba-tiba muncul mengetuk pintu rumah kita.

Baginda datang dengan senyuman kasihnya, dengan serinya wajah baginda, berdiri di muka pintu rumah kita, Apa perasaan kita?

Sudah tentulah kita orang yang paling bahagia kerana banyak-banyak rumah, baginda mahu dan sudi menziarahi rumah kita. Jika diizin Allah, sudah tentu kita akan memeluk baginda beliau erat-erat dan lantas mempersilakan baginda masuk ke ruang tamu kita.

Kemudian, sudah tentu kita akan meminta dengan bersungguh-sungguh agar Rasulullah SAW yang mulia ini sudi bertamu beberapa hari di rumah kita. Baginda tentu tersenyum.

Tetapi sebelum itu, barangkali kita akan meminta Rasulullah SAW menunggu sebentar di depan pintu kerana kita teringat susunan CD yang berbagai-bagai yang mungkin ada yang 18 sx yang ada di ruang tamu. Sudah tentu kita akan tergesa-gesa mengemaskan cd ini dan cepat-cepat meyorokkannya di belakang almari TV. Kita susun buku-buku agama untuk melindungi cd ini dari kelihatan. Baginda tentu tetap tersenyum memerhatikan kita.

Kemudian, kita menjemput baginda masuk, tapi sebelum itu, kita teringat pula gambar-gambar wanita setengah telanjang yang kita pasang dalam rumah kita. Mungkin di bilik anak kita, mungkin gambar-gambar penyanyi yang membuka sana dan sini. Kita akan meminta baginda menunggu lagi sebentar, cepat-cepat kita memindahkan semua gambar ini, kita cabut dan letaknya di bawah katil atau cepat-cepat kita buang di belakang rumah kita. Barangkali kita akan menggantikannya dengan lafaz Allah dan Muhammad. Baginda tentu tetap tersenyum melihat gelagat kita.

Kemudian, kita mempersilakan Baginda masuk. Ketika Baginda melangkah masuk, barangkali kita teringat bahwa anak kita lebih hafal lagu-lagu barat daripada menghafal Selawat kepada Rasulullah SAW. Barangkali kita menjadi malu bahwa anak-anak kita tidak mengetahui sedikitpun sejarah dan sirah Rasulullah SAW kerana kita lupa dan lalai mengajar anak-anak kita.

Barangkali, anak kita balik tanpa memberi salam dan menghulurkan tangan bersalaman dengan tetamu yang hadir, barangkali anak kita akan memasang lagu dengan kuat dan sama-sama menyanyai. Baginda tentu tetap tersenyum.

Barangkali kita menjadi merasa malu jika anak kita lebih mengetahui nama penyanyi dan pelakon dari nama sahabat dann keluarga Rasulullah. Dia lebih kenal jenis-jens Ultraman dan nama anggota Power Rangers.

Kemudian, barangkali kita terpaksa menukar satu bilik mandi menjadi ruang solat. Barangkali, kita akan membasuh sejadah rumah kita yang telah lusuh dan tidak pernah berbasuh, barangkali kita akan meletakkan al-Quran yang telah lama tidak kita baca di bilik, yang kita tukar ke bilik sembahyang itu. Kita juga tentu menjadi malu kerana belum lancar lagi membaca al-Quran dan keluarga kita juga, sangat jarang membaca Al Qur'an.

Barangkali kita baru nak ingat di mana rumah anak yatim. Malu kita jika tidak dapat menjawab jika baginda bertanya mengenainya. Kita tahu baginda amat kasih pada anak yatim sedangkan kita tidak pernah pun tahu kewujudan anak yatim di sekeliling kita. Ini belum lagi mengenai jiran yang kita tidak mengenal antara satu sama lain.

Barangkali kita teringat bahawa isteri dan anak perempuan kita tidak memiliki pakaian yang sempurna untuk menutup aurat bila berhadapan dengan Rasulullah SAW. Beliau tentu tersenyum melihat kerut dahi kita yang sedang berfikir dengan rasa bersalah.

Ini belum lagi koleksi komik, majalah artis, majalah fasyen dan buku-buku moden yang kita terlalu agungkan berbanding kitab akhlak dan agama. Belum lagi koleksi kaset dan CD kita dan anak-anak kita. Belum lagi koleksi karaoke, mana kita hendak sorokkan semua koleksi ini demi menghormati junjungan kita ?

Barangkali kita menjadi malu kerana rumah kita dibina dengan duit riba, kereta kita yang besar dengan harta rasuah. Rumah kita penuh dengan barang-barang pejabat yang kita angkut bawa balik. Kertas pejabat, pen pejabat, klip kertas pejabat.

Belum lagi sikap kita yang tidak pernah ke masjid meskipun azan berbunyi. Pada saat azan Maghrib keluarga kita sibuk di depan TV, kadang kala waktu itu barulah hendak keluar ke pasar malam.

Barangkali kita menjadi malu kerana kita menghabiskan hampir seluruh waktu kita untuk mencari kekayaan dengan melupakan masa yang perlu diuntukkan pada keluarga, duduk mendidik mereka. Kita buru kesenangan duniawi hingga tipu harta orang lain, tipu harta pusaka, tipu amanah orang lain. Baginda tentu terus tersenyum pada kita.
Bayangkan apabila Rasulullah SAW tiba-tiba muncul di depan rumah kita, Apa yang akan kita lakukan? Masihkah kita akan memeluk junjungan kita dan mempersilakan baginda masuk dan menginap di rumah kita, atau akhirnya, dengan berat hati, kita akan menolak Baginda bertamu di rumah kita kerana kedatangan baginda meyebabkan kita terlalu penat untuk mengemaskan itu dan ini.

Akhirnya, mungkin kita akan berkata,

"Maafkan kami Ya Rasulullah, nanti saya hantarkan ke hotel berdekatan ye..". Baginda akan tetap tersenyum melihat kita. Baginda tetapi tersenyum melihat kita umat yang sangat dikasihi ini, baginda tetapi terseyum, tetapi, senyum yang bagaimana? Senyum pilu, senyum sedih dan senyum getir...

Betapa malunya kita yang sering mengatakan aku cintakan Islam dan cintakan Nabi tetapi realitinya, kita tahu apa yang kita buat.

Sekadar renungan. Mari sama-sama meningkatkan diri kita. Semoga, niat yang baik diperbaiki oleh Allah.

Selamat mengingati Nabi, ingatlah, kekasih Allah, mencintai kita.

Sekali lagi, dijemput untuk kita menghadiri program esok.

Ya Allah, bimbinglah kami semua….

Sunday, March 1, 2009

Sekilas 12 - Isu Kalimah Allah - Iktibar Perang Kastila

Pada tahun 1564 angkatan Spanyol yang diketuai oleh Miguel Lopez de Legazpi telah berlayar ke Pulau-pulau di Filipina melalui lautan Pasifik dan tiba di Cebu pada 13 Febuari 1565

Pada mulanya, mereka tidak dapat mendarat di Cebu kerana tentangan pahlawan Islam Cebu. Kemudian mereka meneruskan perjalanan ke Mindanao dan mendapat tentangan daripada pahlawan Islam di sana. Dalam keadaan terdesak pada 27 April 1565 mereka berpatah balik ke Cebu dan menyerang Cebu.

Cebu dapat ditundukkan, kemudian, mereka bergerak ke Luzon. Dalam tahun 1570 Legazpi telah Cuba menduduki Manila yang diperintah oleh Raja Sulaiman tetapi tidak berjaya. Pada tahun 1571 Spanyol datang lagi ke Manila dan menyerangnya. Raja Sulaiman mempertahankan wilayah Islam Manila dan telah syahid di dalam pertempuran yang berlaku pada 3 Jun 1571 itu.

Pada tarikh tersebut de Legazpi berjaya menduduki Manila dan mengisytiharkan bahawa Manila sebagai pusat pemerintahan Spanyol di timur.

Keturunan Raja Sulaiman beberapa kali cuba menawan kembali Manila tetapi tidak berjaya.

Perancangan Manlia tersekat dengan kewujudan Sultan Brunie dan pengaruh Islam di Manila sendiri, Suluk dan Mindanao

Sejak Sultan Sulaiman dikalahkan, Spanyol berusaha menghapuskan Islam dan pengaruh Brunei di Kepulauan Luzon. Bagi Spanyol, jika Brunei masih menjadi pusat pengembangan Islam sukar baginya untuk menyebarkan ajaran Kristian.

Pada tahun 1573 de Legazpi mati dan ia diganti oleh Guido de Levazaris. Pada tahun itu diutus utusan meninjau Brunei. Mereka menghadap Sultan Saiful Rijal dan mengharapkan Sultan menerima paderi di Brunei. Sultan sangat murka lebih-lebih lagi Spanyol yang merampas peniaga-peniaga di kepulauan Luzon.

Menerima paderi duduk di Brunei bukanlah satu perkara yang besar bagi sesetengah pihak, tetapi, jika ada permulaan maka akan ada langkah seterusnya.

Seperti halnya di Manila, bermula dari situ, maka satu persatu wilayah Islam Filipina ini dihapuskan.

Pada Mac 1578, Dr. Francisco De Sande Kapten Spanyol di Manila bertolak ke Brunei dengan 40 kapal perang yang diketui oleh kapal Santiago. Ia sampai ke perairan Brunei dan mengutuskan surat kepada Sultan Saiful Rijal meminta baginda menerima pederi Kristian. Baginda bertegas untuk tidak menerimanya. Untuk apa mengalah. Hasilnya, pada 14 April 1578 de Sande melanggar Brunei dan mengisytiharkan Brunei adalah tanah jajahan Spanyol. Siri peperangan ini dipanggil dengan nama perang Kastila.

Sultan berundur ke Jerudong dan ke satu tempat dinamakan Pulau Raja. Bendara Sakam yang mengiringi Sultan kemudian kembali ke Brunei dan menghimpunkan pahlawan-pahlawan Islam.

Pada 1578, Pengeran Bendaraha Sakam memimpin serangan kembali ke Brunei. De Sande dapat dikalahkan dan lari meninggalkan Brunei. Pasukannya dikejar sehingga ke Nausung (Sabah).

Spanyol telah membakar Brunei sebelum meninggalkannya. Mereka membakar masjid dan memusnahkan Makam Sultan Bolkiah. Banyak harta diambil sekali.

Pada 4 Mac 1579 Spanyol datang lagi diketuai oleh Kapten Don Juan Arce de Sadornil. Walaubagaimana pun akhirnya mereka berundur kerana melihat pertahanan muslim Brunei yang sekali-kali tidak pernah mahu mengalah walau hanya menerima paderi di bumi Brunei.

Berikutan kekalahan de Sande di Brunei, di memerintahkan Kapten Estaven Rodriguez de Figure meneruskan perjalanan ke Sulu dan menawan Sulu agar dapat menyekat pengaruh Islam dari Brunei.

Serangan ke atas Sulu berjaya apabila raja Sula menyerah diri kepada Spanyol. Kemudian de Sande memerintahkan agar armada ini menawan Mindanao. Tujuannya melemahkan sekitar Brunei dan pengaruh Islam yang dipimpinnya dan seterusnya meneruskan operasi Kristian.

Kapten Estaven Rodriguez tidak mampu untuk menundukkan Mindanao lalu dikirimkan Panglima baru iaitu Kapten Gabriel de Revira pada 1579. Apa yang berlaku di Brunei sama di Mindanoa. Mereka membakar masjid Mindanao.

Sultan Dimansaky menentang Spanyol. Pada peringkat awal Sultan terpaksa berundur ke pendalaman. Pada kurun ke 17, Sultan Kudrat mengetuai muslimin di Mindanao.

Spanyol silap di dalam menilai orang Brunei. Padanya ia selemah orang Manila yang setelah ditawan terus dapat menerima telunjuk Spanyol termasuk penyerapan paderi Kristian. Tetapi rupanya, kebangkitan pahlawan Brunei berterusan sehingga terusirnya Spanyol dari bumi Brunei.

Apa yang terjadi kepada Brunei dan apa jadi pada Manila dan Sulu?. Brunei tetap mengekalkan keadaan Islamnya tetapi Manila hanya tinggal sejarah. Kenapa Brunei boleh bertahan? Ini kerana, sejak awal mereka tidak mengizinkan langkah pertama, tidak menyerah walau sejengkal, tidak berganjak walau sedikiti pendirian mereka.

Tahap pertama isu penggunaan kalimah Allah lega apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata

“Pewartaan itu dibuat oleh saya. Oleh itu saya akan membatalkan pewartaan tersebut”.

Mengenai tindakan seterusnya, beliau berkata, kementerian akan membetulkan kesilapan tersebut dan seterusnya menunggu keputusan mahkamah.

Tahap kedua ialah memastikan Majlis Agama Islam berjaya menjadi pihak mencelah di dalam perbicaran ini. Pihak Gereja Katholik cuba sedayanya menghalang Majlis Agama Islam menjadi pihak. Ini kerana, jika Majlis Agama Islam berjaya menjadi pihak yang mencelah, maka pandangan dan hujjah mereka boleh di dengar di dalam perbicaraan ini. Sebutan kes semakan kehakiman (undang-undang) terhadap larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly dibuat di hadapan Hakim Lau Bee Lan.

Bolehkah kita mengharapkan Hakim Lau Bee Lan membela Islam? Saya tidak tahu jawapan itu. Yang pasti, siapa pun kita, kita kena pertahankan isu penggunaan kalimah Allah ini.

Jika muslim kalah pada pusingan ini, akan ada langkah seterusnya untuk menundukkan muslim. Jadi, muslim perlu berusaha dengan semaksima yang boleh. Jangan izinkan langkah pertama. Agar kita semua dapat membendung langkah seterusnya.
Sahabat dari Persatuan Peguam, teruskan bantahan, dari Majlis Agama Islam, teruskan usaha untuk menjadi pihak yang mencelah, dari persatuan-persatuan buat sesuatu. Jika kita menyerah kalah pada pusingan ini, maka kita akan terus mengalah pada peringkat seterusnya.
Bagi kita yang membaca, paling kurang doakan agar Allah terus jaga agama kita terutamanya di Nusantara ini. Sesungghnya, rantau ini adalah rantau Islam. Ada orang yang cuba menghancurkan kekuatan ini. Ia bermula dengan langkah pertama.

Jawapan Pada Persoalan 15

Alhamdulillah, pada kesempatan kali ini, saya dapat bersama membincangkan persoalan ini.

? guest Slm,ustaz sya nk tnya,adakah boleh kita memberi zakat kpd ank lelaki yg sdh berkeluarga,tp tdk ckup duit & t'pksa berhutang?(zakat utk byr hutg) 2009-03-01 8:11 AM

+ Zakat tidak boleh diberikan kepada nasab ke bawah dan ke atas iaitu anak ke bawah dan ayah ke atas. Ini kerana jika mereka susah, mereka perlu dibantu dari sudut nafkah, bukannya zakat. Jika ke tepi hanyalah isteri.

Yang lain boleh, adik beradik, sepupu, pak sedara dan sebagainya asalkan mereka termasuk di dalam asnaf.

? quest slm. ustaz, sy letih. sy letih ngan bdak2 surau yg hebat dari sgi pnampilan tp hampeh dr segi kerja. stat kat m3x dulu sampai k U skarng...nape camni? 2009-02-27 2:31 PM

+ Setiap orang ada kelemahan dan kelebihan masing-masing. Bekerja sama dengan saling melengkapi. Memang ada orang yang cakap bagus tapi buat kerja teruk. Ada orang yang tak banyak cakap, tapi kerja luar biasa. Jadi yang hebat berjuang jangan kecil hati dan yang kurang buat kerja jangan hasad dengki.

?Mohd Salam ustaz...ibu saya selalu mengigau masa tidur malam...macam mana nak buat ye ustaz.. 2009-02-25 1:13 AM

+ mimpi datang dari tiga sumber.

1. Dari Allah 2. Dari syaitan 3. Dari diri sendiri
Mengingau yang datang dari mimpi kena lihat juga apa sebabnya. Jika dia dihantui dengan masa lepas, maka selesaikan masalah ini dulu. Jika diganggu syaitan, maka amalkan doa sebelum tidur.

Saya syorkan baca doa sebelum tidur seperti yang diajar Nabi. Boleh rujuk pada buku doa.

? nuraini abd rahim said...
assalamualaikum ustaz,saya nak tanya satu soalan.saya ada kawan yang sedang bercouple.dia dan b.f nya selalu study bersama.mereka kt da prancangan nk berkahwin.tp mereka baru berumur 19 tahun.tp rasanya perancangan mereka itu akan terlaksana selepas habis universiti.saya takut lebih bnyk maksiat berlaku sementara tujuan mereka tercapai.kawan saya ni dianugerahkan suara yang lembut dan saya risau ini ikan menaikkan nafsu b.f dia.adakah saya harus membiarkan mereka memandangkan mereka ada prancangan untuk berkahwin atau apakah cara terbaik untuk menasihatinya.satu lg cam na klau dikata kau x pe r bleh ckap x bercouple kau x pernah bercouple.lg pun majoriti remaja bercoupie hingga mereka mnganggap bercouple satu lumrah hidup remaja.sy pun kdg2 tkut untuk menasihati kwn2 yg bercouple sbb x tau ap akn tjadi d masa dpan(kt plak terjerumus ke lembah ksiat ni).
February 28, 2009 9:36 AM

+ Dating hukumnya haram. Saya sudah sepuluh tahun mengajar di salah satu kolej di Universiti Malaya. Saya selalu berhadapan dengan orang yang terlanjur bermula dengan dating dan bermula dengan alas an study sama-sama.

Walaupun budak university, IQ tinggi, tetapi dalam bab nafsu tetap kadang-kala tidak dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.
Elakkan semaksima mampu. Jangan kita dibohongi syaitan dengan alasan study, adik angkat dan sebagainya.

Semoga menepati kehendak soalan

Diari 35 - Di Sebalik Tabir

Alhamdulillah, hari ini 1 Mac selesai saya menyempurnakan program "Tanyalah Ustaz" di TV 9. Saya nak kongsikan di sebalik tabir perjalanan saya dalam dua hari ini.

Secara peribadinya, program ini merupakan program yang agak mencabar. Ini kerana, soalan yang diajukan adalah spontan tanpa kita tahu apa yang akan ditanya. Kalau rancangan al-Kuliyyah sekalipun, jika ada orang mengajukan soalan, kita akan diberitahu ketika masa berhenti iklan. Jadi, dalam dua minit kita sempat untuk membuat persediaan pada jawapan. Tapi, Tanyalah Ustaz soalannya, kita tidak tahu apa yang ingin diajukan.

Untuk para penonton, ia sangat bagus. Para penonton boleh berinteraksi sendiri dengan ahli panel secara langsung.

Bagi penerbit, syabas saya ucapkan.

Selepas selesai hari pertama semalam, saya telah turun ke Melaka. Saya terlibat dengan ceramah di Kota Ilmu di Jom Heboh Melaka.

Program ini juga mencabar bagi siapa yang ingin melatih psikologi dakwah. Jika kita ceramah di masjid, semua orang akan duduk, mendengar dan perhatikan apa yang kita sampaikan. Kita dapat sampaikan dengan selesa. Tetapi, di sini, ketika kita ceramah, orang keluar masuk. Ada yang duduk kejap dan keluar. Ada yang masuk balik. Ini tidak termasuk muzik-muzik yang kuat yang ada di sekitar Jom Heboh ini.

Allamdulillah, petugas-petugas yang ada semangat Islam telah berusaha untuk memperbaiki perjalanan expo ini. Walaupun masih jauh dari kesempurnaan, namun usaha mereka tetapi tidak kecil. Sekarang, laungan azan dapat dikumandangkan. Dan mulai tahun ini. solat jemaah di dataran sudah mula dibuat.

Habis program di Melaka, saya dan petugas makan malam bersama-sama sambil berbual-bual. Selepas semua urusan selesai, saya bertolak balik ke KL. Alhamdulillah, saya selamat sampai pukul 2 lebih.

Pukul 5 pagi saya sudah mula bersedia untuk ke Sri Pentas.

Hari ini, program "Tanyalah Ustaz" terdapat sedikit masalah teknikal. Hampir 20 minit para penonton tidak dapat melihat gambar di TV, hanya mendengar suara sahaja. Ia berasal dari masalah pada kebel pemancar. Segala panggailan masuk juga tidak dapat di dengar.

Penerbit agak kelam kabut menangani masalah ini. Laporan terpaksa diberi kepada orang atasan terhadap masalah yang berlaku.

Sarapan kita ditaja oleh Restoren Syed.

Setiap kali habis program seperti ini, setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah. Dia yang mengizinkan ia berjalan dengan baik. Dia mengizinkan saya yang jahil dan lemah ini berkongsi jawapan terhadap segala persoalan.

Saya yakin, di luar sana, banyak para Tuan-Tuan Guru yang sepatutnya bersama kita. Namun, amanah program ini cuba saya sempurnakan dengan sebaik mungkin.

Semoga, ia memberi manfaat kepada kita semua. Amin..
bersedia sebelum program
antara soalan yang diajukan melalui e-mail
Ceramah di Kota Ilmu di Jom Heboh Melaka. Tajuk pertama ialah mencintai Nabi.
Ia satu program yang baik untuk latih psikologi dakwah. Orang keluar masuk akan menyebabkan kita terganggu di dalam penyampaian. Tetapi, ia satu latihan yang baik. Ini kerana, pendakwah perlu terjun ke tengah masyarakat dan tidak hanya di masjid yang orang nya telah baik.
Pada waktu petang, tajuk yang disampaikan ialah mengenai muhasabah. Petang ini hujan. Jadi ada yang datang untuk berteduh.
Persiapan untuk hari kedua.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...