Wednesday, May 16, 2012

Sekilas 48 – “Asabiyyah Dan Bukan Asabiyyah..”

1. Rasulllullah SAW melarang kita untuk menyebut bangsa atau suku atau puak dengan perasaan takabbur, seolah-olah bangsa itu pilihan, seolah-olah ia lebih baik dari yang lain. Jika perasaan taksub dan takabbur ini wujud maka ia disebut sebagai Asabiyyah.

2. Ini berlaku pada bangsa Yahudi yang merasa mereka bangsa pilihan tuhan. Pernah berlaku pada bangsa Jerman yang merasakan mereka terbaik sehingga membunuh Yahudi, pernah berlaku pada bangsa Jepun yang menawan China dan pernah berlaku pada bangsa Cina yang merasakan DNA mereka lebih baik kerana mereka hidup 4 musim dan sebab itu mereka lebih kreatif.

3. Menyeru perkauman sehingga merasa taksub pada kaum adalah di larang.

4. Perkara ini pernah disebut oleh Rasullullah ketika melihat sahabat sesama Islam yang menyebut mengenai kelebihan sukunya di dalam satu pertengkaran sehingga Rasullah menegur mereka sehingga di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasullullah menegaskan:-

عَنْ جُنْدَبِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْبَجَلِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ قُتِلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَدْعُو عَصَبِيَّةً أَوْ يَنْصُرُ عَصَبِيَّةً فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ

Dari Jundab bin Abdullah al-Bajali dia berkata, telah bersabda Rasullullah SAW, barangsiapa yang terbunuh di atas panji yang menyeru kepada Asabiyyah atau menolong Asabiyyah maka kematiannya adalah kematian jahiliyyah.

5. Tapi apakah langsung menyebut mengenai bangsa itu di larang? Bukan kita sahaja yang mungkin tertanya, tetapi para sahabat juga pernah keliru akan hal ini. Maka salah seorang dari mereka bertanya:-

عَنْ عَبَّادِ بْنِ كَثِيرٍ الشَّامِيِّ عَنْ امْرَأَةٍ مِنْهُمْ يُقَالُ لَهَا فُسَيْلَةُ قَالَتْ سَمِعْتُ أَبِي يَقُولُ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُحِبَّ الرَّجُلُ قَوْمَهُ قَالَ لَا وَلَكِنْ مِنْ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُعِينَ الرَّجُلُ قَوْمَهُ عَلَى الظُّلْمِ

Dari Abbad bin Kathir al-Syami dari Isteri mereka dikatakan kepada Fusailaah, dia berkata aku mendengar ayahku berkata, aku bertanya Nabi SAW,

Wahai Rasullullah, adakah tergolong sebagai asabiyyah jika seseorang mencintai kaumnya. Baginda bersabda, tidak, tetapi yang dikatakan asabiyyah jika seseorang menolong kaumnya pad perkara zalim

(Hadis Ibnu Majah kitab al-Fitan bab Asabiyyah)

6. Dalam membicarakan mengenai sebutan bangsa Melayu dan Islam oleh mana-mana pihak, ada 4 keadaan.

i. memperjuangkan Melayu sebagai bangsa pilihan.

ii. memperjuangkan Melayu sebagai isu umat Islam

iii. Melihat bangsa Melayu dan Islam

iv. Melihat Isu Islam sahaja

7. Bab yang pertama ialah memperjuangkan Melayu sebagai bangsa pilihan.

Kalau memperjuangkan bangsa Melayu kerana merasakan Melayu itu hebat lebih dari bangsa Cina, India, sebagai bangsa terpilih dan sebagainya itu tidak boleh. Haram kerana termasuk di dalam kategori asabiyyah.

8. Kadang kala kita ada mendengar perkara ini seperti, keturunan Syed adalah keturunan terbaik sehingga tidak boleh kahwin dengan orang selain Syed, hanya suku bugis yang boleh memimpin sebab itu banyak raja Melayu keturunan bugis, bangsa jawa paling kuat kerja, sebab itu hanya jawa yang boleh jadi pemimpin dan sebagainya. Seruan seperti ini tidak boleh dan ia boleh menjadi Asabiyyah kerana sifat taksub pada bangsa.

9. Bab kedua memperjuangkan Melayu sebagai isu umat Islam.

Siapa Melayu di Nusantara. Mereka adalah umat Islam, sama seperti suku Digistan di negara China. Melayu adalah umat Islam seperti bangsa Arab di Palestin.

Allah anugerahkan tanah di utara China untuk suku Digistan, mereka perlu jaga, pertahankan sebagai tanah umat Islam. Sebab itu mereka berjuang sehingga sekarang mereka berperang dengan jerajaaan China kerana tanah di Utara China itu adalah tanah Umat Islam. Oleh kerana majoriti di Digistan adalah orang Islam, membantu suku Digistan bererti membantu umat Islam.

Allah anugerahkan tanah di Palestin untuk bangsa Arab yang Islam, mereka perlu jaga kerana tanah tersebut merupakan tanah umat Islam. Oleh kerana majoriti di Palestin itu adalah orang Islam, membantu Arab di Palestin bererti membantu umat Islam.

Allah anugerahkan tanah di Nusantara ini untuk orang Melayu. Oleh kerana majoriti di Nusantara ini adalah orang Islam, membantu Melayu di Nusantara bererti membantu umat Islam.

Banyak masalah umat Islam Melayu di Nusantara ini. Masih  banyak lagi  yang miskin, masalah pendidikan yang rendah terutama pada masyarakat luar bandar, masalah sosial, masalah akhlak, buang bayi, dadah, sumbang mahram dan seribu satu macam masalah serta keperluan Melayu sebagai umat Islam.

Tanpa menafikan umat Islam dari suku minoriti, banyak isu Melayu sebagai umat Islam perlu di selesaikan.

Tapi jika ada yang memperjuangkannya kerana taksub dan rasa bangsa ini terbaik, maka wajib ditolak.

10. Bab ketiga ialah melihat Isu Melayu dan Islam

Antara isu Melayu dan Islam adalah isu berkaitan dengan murtad, isu anak Melayu tidak dibenarkan menutup aurat di kolam renang, isu pesakit HIV Melayu duduk di gereja kerana tidak ada tempat perlindungan dan lain-lain.

Perkara ini perlu diperjuangkan, perlu ada penguatkuasa yang menjaga Isu Melayu dan Islam ini.

11. Bab Keempat ialah Isu Islam sahaja.

Dalam bab ini, ia seperti isu ke arah membentuk negara Islam, menjalankan undang-undang Islam dan menjadikan Islam itu tertinggi, menjadikan al-Quran dan Sunnah itu tertinggi, isu hukum hudud dan sebagainya.

12. Dari keempat bab ini, kita perlu menolak orang yang berjuang dalam kategori pertama kerana Nabi yang suruh tolak. Golongan pertama adalah golongan Asabiyyah yang menyeru kepada taksub pada sesebuah bangsa.

13. Golongan kedua hingga keempat, bukan dari golongan Asabiyyah dan sama-sama perlu kita teliti agar Islam dan umat Islam sentiasa terbela.

14. Bagi berjuang dalam kategori kedua hingga keempat ia memerlukan landasan politik tetapi perlu diingat politik hanyalah alat, ia bukannya matlamat.

15. Kadang-kala, ada di antara kita yang menjadikan politik sebagai matlamat. Kalau kita jadikan politik sebagai matlamat, maka umat Islam tidak akan dapat bersatu. Tidak kira dari bendera mana pun kita, sepatutnya kita jadikan Islam sebagai matlamat.

16. Wujudnya kerajaan dan pembangkang umat Islam satu perkara yang bagus untuk jadi pengimbang dan saling melengkapi terutama dalam negara yang berbilang agama macam Malaysia.

17. Apa jadi isu hudud dalam negara kita apabila Islam tidak dijadikan matlamat, apa jadi isu murtad di negara kita jika Islam tidak dijadikan matlamat, sehingga jika ada orang berbicara mengenai hudud maka orang itu akan dicap sebagai orang Pas dan jika ada orang berbicara mengenai murtad, orang itu akan dicap sebagai orang Umno.

18. Biarlah orang-orang yang menjadikan politik sebagai matlamat itu bergaduh dan biar kedua-duanya kepenatan. Bagi generasi muda yang lebih ikhlas untuk Islam, Allah telah tunjukkan warna sebenar politik aturan barat yang sangat kotor. Kita akan dapat melihat, sebenarnya politik warisan barat ini memang akan menjadikan kita terlupa matlamat sebenar kita sehingga akhlak kita sama seperti akhlak orang kafir, cara kita bertindak sudah sama seperti kafir bertindak.

19. Kepentingan umat Islam dan Islam perlu dibawa oleh pihak kerajaan umat Islam mahupun pihak pembangkang dari umat Islam. Biar orang kafir lihat kita seolah berdebat dan bertengkar, tapi sebenarnya keuntungan dapat pada Islam. Jika parti-parti politik tidak dapat menyuarakan kerana sensitif, maka NGO Islam mengambil alih peranan mengetengahkan isu Islam dan Umat Islam. Barulah kita boleh bersatu walaupun nampak macam dari parti yang berbeza. Tak kisah apa bendera pun tapi Islam tetap sentiasa mendapat keuntungan.

20. Apa yang terjadi sekarang ialah orang kafir yang dapat benda untuk mereka tak kira dari pihak kerajaan atau pembangkang atau NGO mereka. Walaupun mereka nampak lain parti, tapi kepentingan Kristian, Hindu, Budha ataupun kepentingan umat kafir sentiasa dapat.

21. Marilah jadikan Islam dan umat Islam sebagai perjuangan. Kerana memperjuangkan Islam dan Umat Islam itu mengundang keredhaan Allah. Dalam konteks negara kita dan Nusantara, belalah Melayu kerana (1)mereka umat Islam, (2)kerana Isu mereka dengan Islam dan (3) kerana isu Islam itu sendiri, dan jangan bela Melayu kerana doktrin Asabiyyah. Jadikan Islam itu matlamat dalam praktikal perjuangan bukan hanya dalam retorik perkataan, jangan tertipu dengan kafir yang memang sentiasa mahu melihat Islam dan Umat Islam kalah dan rendah.

“Sekilas Mengulas Peristwa”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

16 Mei 2012 jam 2.25 pagi

11 comments:

Anonymous said...

baru saya faham.terima kasih ustaz..

Anonymous said...

elok dibaca oleh setiap fahaman politik...saya suka baca tulisan ust.malah saya rasa saya pembaca blog tegar ust..tulisan ust membolehkan kita berfikir secara rasional..salah satu tulisan ust yg saya pegang ialah Allah tidak melihat di mana kita bermula, kita akan dinilai, di mana kita berakhir. Dan oleh kerana, penghujung kita terlalu penting, maka syaitan terus berusaha melalaikan orang dihujung usiannya.

Itu yang terjadi, semakin tua semakin sombong, semakin rakus, semakin rasa diri hebat, semakin rasa orang lain hina, semakin rasa orang lain rendah dan sebagainya.

diharap ust menulis buku untuk dijadikan simpanan dan rujukan..akan dtg megenai islam dan mengapa bangsa melayu itu semestinya beragama islam..

Anonymous said...

setuju dgn pandangan ustaz..sebab tu, bila ada yg bawa perjuangan islam, kita kena sokong....






(penyokong ulama)

Anonymous said...

Tak keterlaluan klu ku katakan pandangan aku juga ala2 sama dgn ustaz (lama dah, sikit2 berbeza tu biasa le, manusia), cuma ustaz dikurnia Allah lebih dgn kepetahan berkata, menulis & bijak hingga sampai tahap ni, sedangkan aku tak berapa ada, mungkin ada kelebihan lain kot (angkat bakul aku sendiri bukannya sapa tau, Allah aje tau, kan, kan, kan..gurau aje, kasi ceria sikit, tak leh tensen2).

Antara kelemahan aku tak bole cakap depan publik, terketar2.. tapi aku klu dengar perkara baik2 , sami'na waato'na, wlu kdg2 kena tipu..tu kelemahan aku, yg aku tak berapa kisah sbb Allah saksi utamaku.

Kdng2 aku cuba juga dakwah2 atau citer2 hal mcm ustaz tulis tu, ade yg faham, ade yg masih lum (biasa le tahap pemikiran masing2 yg Allah beri kan berbeza2), tapi kdng2 bila ade yg bantah giler, aku senyum, diam aje sambil doakan semuga Allah beri kefahaman yg jitu & benar utk kita semua. Drpd bergaduh & bermasam muka.

Ttg org politik yg nakkan ajaran Islam dilaksanakan aku anggap, tugas mereka sangat berat & mencabar banding kita2 ni yg pi majlis ilmu, pi masjid surau,derma bila2 masa nak dll & akhirnya sbgai pengundi sahaja.

Teruskan org2 politik yg jujur, pentingkan kebajikan rakyat, yg nak/berniat agar ajaran islam dilaksanakan wlu pringkat2 & tinggi cabarannya!!!!

Teruskan ustaz & pendakwah lain yg dgn cara masing2 yg ikhlas!!!

Tak lupa, kita semua, teruskan dgn niat ikhlas menambah ilmu (quran & sunnah terutamanya, sbb merangkumi semua aspek kehidupan sbg hamba Allah termasuk le cara2 komunikasi, memerintah, mencari rezeki dll yg kata sesetengah org dulu2 malah sekarang pun ada, tak penting dlm Islam), & amal soleh (yg skopnya juga amat luas..

InsyaAllah dipanduNya.

Anonymous said...

salam.

Pertama, hadis dari Ibnu Majah kitab al-Fitan bab Asabiyyah. Memberi saya satu ilmu baru.

Saya sangat suka tulisan no.19 ustaz. Walau apapun Islam mesti sentiasa mendapat keuntungan.
Jujur, sebagai orang muda saya lebih suka pandangan sebegini.

Teruja tunggu tulisan ustaz mengenai isu hudud pula.

Anonymous said...

Islam -> tak amanah
Bukan Islam --> amanah

Hati masing2 kita tak tau, ulas based pada zahir aje le. Sejarah dulu2 tu kita tak involved, kita ditakdir tinggal di msia ni, sekarang, di mana pelbagai kaum & agama yg mana Msia ni kepunyan bersama.
Ana masih berpegang, sementara kuasa di tangan org Islam, kena le ikut Islam, klu tak, kantoi, oleh pemimpin2 & org2 Islam sendiri.

sila ulas ustaz

Anonymous said...

salam,
kalau difikirkan kenapalah orang dulu tak panggil yang cina,cina islam..yang india,india islam.. mesti sejarah tu jadi lainkan...

Aisyah M.Yusuf said...

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarkatuh.

betul juga , mengapa kita harus berbangga-bangga dengan bangsa dan rasa nasionalisme , sesuatu yang tak akan ditanyakan diakhirat nanti ..

Anonymous said...

Assalamualaikum ustaz,
Realiti pada hari ini menunjukkan sikap Melayu itu tidak mencerminkan mereka beragama Islam.tidak keterlaluan jika saya katakan tidak semua melayu itu sebenarnya beragama Islam.saya amat sedih bilamana rakan2 yg berlainan agama memperlekehkan org melayu dgn menganggap sikap merekA mencerminkan ajaran agama Islam.walhal agama Islam itu adalah sanagat indah.ini menjadikan kita sukar untuk menerangkan keindahan agama Islam itu kepada mereka kerana apa yg mereka nampak di mata adalah bukti nyata.perkiraan mereka : melayu adalah Islam Dan Islam untuk Melayu shj.so,kita kena bersama2 ubah persepsi ini.

Wassalam.

Anonymous said...

Saya setuju dengan pandangan ustaz yang menyatakan asabiyyah itu ditentang oleh Islam. Tetapi pemimpin kita asyik bercakap mengenai semangat asabiyyah. Polisi di negara kita juga mengikut prinsip asabiyyah. Ini menunjukkan negara Malaysia sudah munafik sejak NEP diperkenalkan. Jadi apakah pandangan ustaz dalam hal ini? Kenapa ramai ustaz dalam negara tetapi tiada yg mempersoalkan polisi ini?

aymofaz said...

Saya mohon utk dikongsikan ustaz....