Thursday, February 12, 2009

Diari 29 - Dunia Untuk Akhirat

Hari ini, 11 Febuari, krew TV 3 yang telah membuat appointment dengan saya sejak minggu lepas menghubungi saya.

"Abg Mat, tolong bagi alamat rumah, kita orang terus ke rumah Abg Mat", kata Shadiya yang mengetuai rombongan krew.

Saya menghantar SMS alamat rumah saya. Saya yang baru habis majlis khatam dan anugerah sanad Kitab Sahih Muslim di Yayasan Restu bergegas balik ke rumah. Sebenarnya, konsep baru program al-Hidayah kali ini saya tak tahu. Akhir sekali bersama al-Hidayah ialah hujung 2008.

Krew sampai seperti yang dijanjikan. Kami menunaikan solat zohor berjemaah. "okey, kita buat cepat-cepat lepas tu kita pergi makan ye". Pelawa saya. Saya memang dah faham tugas mereka. Biasanya, kalau mereka buat program kadang-kala makan pun tidak menentu.

Tapi mereka semua suka, kerana di arahkan membuat program agama. "Barulah berbaloi ustaz, pahala pun dapat" kata salah seorang dari mereka. Krew yang membuat program agama ini beruntung sebenarnya. Mereka dapat bertemu dengan ramai ustaz dan ustazah serta orang-orang agama. Mereka boleh bertanya terus persoalan dan mereka dapat membina kenalan dengan ramai orang agama.

Rasullulah pernah bersabda, "barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, akan difahamkan mereka pada agama." Antara cara Allah ingin memberi kefahaman terhadap agama ialah dengan dijinakkan hatinya kepada majlis ilmu dan dirapatkan mereka dengan orang-orang agama. Semoga Allah terus memberi kebaikan dan bimbingan kepada saya dan mereka semua.

Tajuk perbincangan kita hari ini ringkas, tetapi ia penting. Ini kerana, dari pengamatan penerbit, ramai orang yang menonton program ini, dari kalangan orang awam yang baru hendak mengenal Islam. Jadi, program akan membahaskan perkara asas di dalam lingkungan rukun Islam seperti solat, puasa, haji dan zakat.

Hari ini, saya membahaskan mengenai perkara yang berkaitan dengan solat. Alhamdulillah, sekejap sahaja ia dapat disempurnakan. Cuma apa yang menarik di dalam perbincangan solat ini ialah mengenai cara mengetahui arah kiblat dengan berpandukan bintang.

Salah satu kasih sayang Allah ialah, Dia menjadikan salah satu bintang di langit ini arah kepada kiblat. Ketika saya belajar ilmu ini, saya selalu berfikir, adakah ia digunakan di Malaysia sahaja atau di seluruh dunia.

Ketika saya mula mengembara di negara-negara luar dari Malaysia, saya selalu memerhati langit dan melihat kedudukan bintang kiblat ini. Rupanya, di mana-mana pun ia boleh dijadikan panduan. InsyaAllah, kita boleh bincangkannya kemudian nanti atau tunggulah di dalam rancangan al-Hidayah TV 3.

Selain dari itu, banyak perkara di dalam lingkungan ilmu falaq syarie (kajian bintang Islam) yang berkaitan dengan solat jarang dibincangkan. Ia seperti pertembungan kaedah melihat langit dan penggunaan jam di dalam menentukan waktu sembahyang.

Saya berpendapat, antara ilmu yang perlu disusun dan dipermudahkan pembelajarannya ialah ilmu falaq syarie (ilmu kajian bintang Islam). Ia di antara ilmu teknikal dan praktikal yang berguna. Setelah kejatuhan empayar ilmuan Islam, banyak disiplin ilmu yang disambung oleh orang barat. Ini menyebabkan ramai orang mengagungkan barat sedangkan banyak ilmu terknikal dan praktikal ini berasal dari ilmuan Islam.

Kita selalu mendengar sistem pengajian pondok dan madrasah di Malaysia. Ia hebat di dalam mempertahankan ilmu-ilmu keagamaan. Cuma beza sistem pondok di zaman kegemilangan Islam, ia juga menjadi tempat kajian sains semasa. Akhirnya, sains tidak dipisahkan dengan agama. InsyaAllah, kita cuba fikirkan bersama.

Semoga, Universiti Wakaf yang cuba diusahakan dapat disusun dengan pendekatan ulama silam, ulama yang disepadukan antara ilmu dunia dan ilmu akhirat. Sesungguhnya, ilmu dunia membina tamadun, dengan tamadun lebih banyak kebaikan dapat dibuat, ilmu akhirat untuk memastikan amalan tersebut selaras dengan syarak agar perpindahan pahala ke akhirat tidak tersangkut di dunia.

Rakaman al-Hidayah yang dibuat di rumah saya
Ia membahaskan mengenai perkara asas di dalam Islam
Antara yang menarik ialah perbincangan mengenai mengetahui arah kiblat melalui bintang
Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua.

Tuesday, February 10, 2009

al-Ijabah 5 - Dari Ipoh ke Depoh

Sudah agak lama saya tidak bersama anak-anak yatim dan tahfiz al-Ijabah. Pada Ahad 8 Febuari, saya bersama mereka mengendalikan majlis selawat dan bacaan sirah Nabi dengan menggunakan kitab ad-Dibaie.

Majlis dibuat dirumah Ibu saya di USJ 4 Subang Jaya. Setelah semua berkumpul, baru saya dapat rasakan bilangan mereka kini semakin ramai. Sejuk hati saya melihat mereka melaungkan bait-bait selawat bersama-sama.

Selesai majlis, saya didatangi tetamu dari Perak. Mereka ialah waris Allahyarham Ustaz Mohammad Khairuddin. Jika kita semua ingat, Allahyarham ialah seorang Ustaz dan pada waktu petang Allahyarham membuat kerja sampingan bekerja di sebuah stesen Petronas di Gunung Lang Ipoh Perak.

Pada 11 November 2008, datang beberapa perompak cuba merompak setesen Petronas ini. Allahyarham yang bekerja pada hari itu ditetak dan kembali ke rahmatullah pada pagi itu.

Melihat pada anak Allahyarham ini, hati saya terus berbisik, semoga Allah menjadikan anak ini seperti ayahnya, pemegang amanah agama hingga akhir hayatnya. Saya terus menghubungi Abang Saya Ustaz Jazlan untuk bertanyakan kekosongan di Pusat Pendidikan al-Amin Bandar Sunway.

"Mungkin tempat penuhlah, tapi tak apa, nanti aku tengokkan" kata Ustaz Jazlan yang juga Mudir Pusat Pendidikan al-Amin.

Seterusnya saya menghubungi bahagian pentadbiran Yayasan al-Ijabah, En Azizi.

"Bang, ada seorang anak dari Ipoh nak masuk, apa pandangan?. Saya bertanya.
"Ustaz, kalau ikut baget memang dah tak cukup, tapi insyaAllahlah, kita usahakan". Suara Azizi penuh Yakin.

Perkataannya sekarang dah macam ustaz. Kalau dulu, dialah yang selalu menyebut, "ustaz, cukup lah tu, baget kita mana ada".

Saya tersenyum sendirian. "Mmm..dah macam ustaz sekarang, alhamdulullah", bisik hati saya.

Perkara yang ketiga yang saya fikirkan ialah pengangkutan anak ini ke sekolah. Kalau ikutkan, bas memang dah tak muat.

Mmm, macam mana ye, bisik hati saya.

Tiba-tiba saya teringatkan seseorang. Saya teringatkan Abang Rosli dan Kak Pi sekeluarga. Sewaktu di Mekah baru-baru ini, dia ada bercerita pada saya mengenai abangnya, Hj Razali mempunyai banyak bas untuk dijual.

Pada petang itu juga saya menghubungi Abang Rosli, "Bang, ari tu kata Hj Razali ada bas nak jual. Ada lagi tak bang? Saya bertanya.

Ha..ada ustaz. Esok pagi ustaz datang rumah, kita bincang". Dia memberikan cadangan.

Pada Isnin 9 Febuari, jam 11 pagi, saya ke rumah Abang Rosli di seksyen 8. Beliau mengajak saya bertemu dengan abangnya Hj Razali.

Setelah berbincang, Hj Razali bersetuju untuk menjualkan basnya dengan harga kos.

"Ok ustaz, saya kira kos aje lah ye" kata Hj Razali.

Hati saya berdebar-debar, berapa le agaknya harga kos ni.

Ok ustaz, siap semua servis harga RM 30-35 ribu ustaz. Bas baru lagi insyaAllah. Terang Hj Razali.

"RM 30 ribu, boleh juga", bisik hati saya. Sekarang pun, saya membayarkan RM 4500 sebulan untuk bas anak-anak Yatim dan Tahfiz ni. Kalau 10 bulan pun dah RM 45 ribu. InsyaAllah kalau ada kemampuan, saya usahakan dua biji. Ini kerana anak-anak kita pun dah 70 orang dan semakin bertambah setiap hari.

"Boleh lah Bang", jawab saya. Saya bersalaman dan pada tengah hari itu juga saya, Abang Rosli dan beberapa orang sahabat lain melihat bas yang bakal dibeli di depoh simpanannya di Seri Muda Shah Alam.

"Mmm, RM 30 Ribu sebiji. Kalau dua biji, Mana nak cari duit ni." Bisik hati saya. Tapi tak apa. Kalau betul ada rezki anak-anak ini, pasti Allah berikan kemampuan nanti. Sebenarnya, bukan kita yang menjaga anak Yatim dan Tahfiz ini, Allah yang menjaga dan sudah tentu Allah yang akan mencukupkan.

Saya beri tempoh dua minggu untuk membuat bayaran. Dan saya yakin ia akan dapat dibuat. Cara bagaimana, saya tak tahu, Cuma saya akan usahakan dengan semaksima mungkin.

Petang ini, saya bermesyuarat dengan semua kakitngan saya dari ALC. Kita ada misi besar. Tolong susunkan untuk saya kursus yang saya akan buat di beberapa tempat. Mereka semua bersemangat. Jika Kursus yang kita buat berjaya, kita akan dapat sedikit sumber kewangan. Ia akan dibuat bayaran permulaan bagi bas ini.

Semua kakitangan ALC, bersemangat. Dan saya yakin akan kemampuan mereka semua. Keajaiban pertama muncul apabila hari ini saya dihubungi oleh Universiti Malaya dan meminta saya membuat Kursus solat untuk pelajar-pelajar. Hari ini, 10 Febuari, Jabatan Mufti Johor memberi laluan untuk saya dan ALC membuat kursus Solat Nabi Menurut Mazhab Imam as-Syafie Dan Kursus bacaan fatihah secara bersanad.

Bermula dengan kedatangan seorang anak yatim dari Ipoh, ia membawa kepada pembelian dua buah bas. Jika ini berlaku, maka kita akan saksikan janji Allah bahawa, bukan kita yang membela mereka, tetapi Allahlah yang menjadi pembela mereka. Kita cuma jalan penyebab sahaja.

Semoga usaha ini mendapat bantuan Allah dan sokongan semua. Amin..
Bacaan selawat dan sirah Nabi melalui kitab ad-Dibaie

Selawat ini disyorkan oleh Habib Umar bin Hafiz untuk saya ajarkan kepada anak yatim dan tahfiz bagi melembutkan hati. Ia cadangan yang diberi oleh Habib Umar ketika saya bertamu di rumahnya di Hadramaut Yaman pada 2004
Waris Allahyarham Ustaz Mohammad Khairuddin dari ipoh.
Sebelah saya Abag Rosli ketika melawat Depoh Bas di Seri Muda.
Sahabat seperjuangan dalam ALC, Ustaz Esamuddin

Semoga niat yang baik diperbaiki oleh Allah.

Saturday, February 7, 2009

Jawapan Pada Persoalan 12

? sabri salam....apa khabr ustaz? saya ada sedikit musykil, begini ustaz, ada orang bertanya pada saya soalanya, boleh tak perempuan rogol lelaki? 2009-01-18 6:12 AM

+ di sisi undang-undang tidak dicaj di dalam rogol tetapi dalam kesalahan lain.

? muaz ssalam, ustaz apa yg dimaksudkan dengan air musta'mal? tolong jelaskan dgn terperinci. 2009-01-18 6:14 AM

+ Air mustakmal ialah air yang telah digunakan untuk bersuci dan tidak cukup dua kolah.

? Guest adakah haram sy claim duit minyak kete tapi sy naik moto pegi keje.kete sy guna ms ujan saja.tq 2009-01-18 8:40 AM

+ Jika mendapatkan duit itu dengan tujuan menipu maka haram.

? silya salam.ustaz, saya nak minta pendapat ustaz sebelum membahagikan harta pusaka arwah saya yang telah tertangguh selama 1 tahun selepas diberi srat kuas swtyatie@gmailcom Salam, ustaz...nak tanya adakah ustaz percaya 'saka'..haruskah kita percaya dn bagaimana mengatasinya.2009-01-19 3:36 AM

+ saka termasuk di dalam angkara jin

? Hambali Salam Ustaz, mengenai Isu "kepala babi" di UM, apa pendapat uztaz secara peribadi...boleh uztaz komen lanjut??? 2009-01-21 2:18 AM

+ Saya rasa yang buat adalah budak melayu yang ingin memanaskan keadaan. Wallahu alam.

? nazri SAH ATAU TIDAK MANDI WAJIB JIKA SESEORANG ITU MENUJU KE BILIK MANDI DENGAN NIAT NAK MENGANGKAT HADAS BESAR TETAPI BILA SAMPAI DALAM BILIK MANDI DIA TE 2009-01-21 2:55 AM

+ Niat ialah lintasan hati hendak menunaikan sesuatu. Jika tempoh dia terlintas itu dengan mandi tidak diselangi dengan perbuatan lain, dan tempohnya tidak lama maka sah mandinya.

? Guest_nurse salam ustaz boleh bantu kami j.rawat dalam bahagiam feqah yang kami perlu ikuti?kebanyakkam hanyalah tertumpu pd golongan doktor sahaja... 2009-01-24 7:12 AM

+ InsyaAllah boleh, anjurkan dan saya akan isi.

? Shahabudeen Jalil Adakah penyiksa tahanan dibenarkan dalam islam ? sila lihat blog saya untuk lihat video. Tidak ada ustaz yang berani bersuara. Semua pengecut. 2009-01-24 5:34 PM
+ Penyeksaan tidak dibenarkan di dalam Islam. Jika ada pun perbahasannya hanya di dalam bab tertentu di dalam siyasah syariah. Tetapi tidaklah sampai boleh membawa mati. Hukuman mati hanya setelah diputuskan di Mahkamah dan diadili dengan seadil-adilnya.

Sekian, semoga menepati kehendak soalan. Jika kurang memusakan bolehlah ditanya kembali InsyaAllah. Wallahuallah bis sawab

Jawapan Pada Persoalan 11

?Aisya Salam.Sy dh berusia 22 tahun dan sudah berkenalan dgn seorang lelaki yg sama universiti dgn sy.Wajarkah sy bercinta dgn niat nk berkahwin ustaz? 2009-01-07 8:01 AM

+ Cinta itu fitrah, tetapi jangan sampai cinta menyebabkan kita tertipu di atas nama cinta. Mulakan dengan istikharah dan terus minta bimbingan dari Allah di dalam mengharungi percintaan. Cinta sebelum kahwin baik jika di dasarkan dengan iman. Lebih baik jika memupuk cinta lepas kahwin. Ia lebih ikhlas kerana pada ketika itu kita tidak berpura-pura.

?Guest Salam ustaz, nak tanya, apa hukumnya mandi bunga utk mencari jodoh 2009-01-09 9:37 AM

+ tidak boleh jika berkeyakinan ia boleh mengubah nasib.

? Guest Salam ustaz, kalau dlm handphone kita download surah2 alquran,kalau kita bawa hp dlm tandas atau terlangkah apakah hukumnya? 2009-01-09 9:42 AM

+ ada fatwa kata haram jika ia dijadikan deringan telifon kerana jika berbunyai di dalam tandas ia boleh membawa kepada tidak menghormati ayat al-Quran. Tetapi jika ada di dalam handphone yang bukan dijadikan deringan telifon tak apa, sebab ia tidak menunjukkan syiar al-Quran.

?hafiz@subang jaya apakah hukum tidak pakai tudung? 2009-01-09 11:34 PM

+ haram jika tahu hukum dan tidak didalam terpaksa yang boleh memudharatkan.

?siti slm.bolehkh ustaz kupas tajuk mengenai cinta antara lelaki dan perempuan menurut Islam?bagaimana utk mengenali pasangan kita jika tak boleh bercouple? 2009-01-14 7:12 AM

+ Kena bezakan cinta sejati dan cinta nafsu. Bezanya cinta sejati ialah di dasarkan dengan tanggung jawab sedangkan nafsu kerana keseronakkan. Dan tanggung jawab itu juga mestilah selaras dengan al-Quran dan hadith. Untuk selanjutnya, isyaAllah saya akan bahaskan tajuk ini.

? student Ustaz...tumpang tny,berubah niat semasa solat adalah salah satu perkara batalkan solat,tapi mcm mana yg dikatakan beruabah niat tu?? 2009-01-16 12:30 AM

+ berubah niat sama ada kita taklikkan niat seperti jika telifon berdering ni, aku akan batalkan sembahyang. Atau memang kita berniat untuk memutuskan sembahyang.

? saifful saya kerja sebagai juruteknik awam.ada kontraktor yang suka bagi saya duit tanpa diminta. macamana tu ustaz? 2009-01-18 12:01 AM

+ Jangan biasakan. Ada satu hadith yang menceritakan bahawa satu ketika seorang sahabat ditugaskan mengutip zakat. Ahli kawasan itu menberinya sedikit harta untuk dirinya. Ketika dikhabarkan kepada Rasullulah, Rasullullah bersabda, jika kamu tidak dutugaskan untuk pergi ke sana, adakah mereka akan memberikan kamu sesuatu. Sahabat ini menjawab, sudah tentu tidak, maka Sabda Rasullullah, serahkan harta itu ke dalam baitul mal.

Di dalam hadith ini ada dua pendapat.
1. Tidak boleh menerima jika kita termasuk di dalam orang yang menguruskan
2. Boleh terima jika tidak diminta oleh pemerintah.

?me hal berkenaan pelaburan dalam ASB haram atau harus...jika haram macam mana nak uruskan dividen yang kita dah dapat 2009-01-18 12:05 AM

+ Fatwa telah ada. Hukumnya harus.

? masitah uztaz..saya ada masalah suami yang seorang ketagih minuman arak.sudah puas saya nasihatinya tapi selalu menjadi kemarahannya.bagaimana cara untuk hada 2009-01-18 12:15 AM

+ teruskan teguran hingga kalau tidak puan meninggal, suami puan meninggal. Ini kerana kita tidak menegur orang kerana hendak merubahnya. Kita menegur orang lain sebab Allah suruh kita menegur orang lain yang salah. Allah yang akan merubahnya.

? masitah saya rasa tetekan setiap hari bila suami saya naik angin sekiranya suami saya beri nafkah dengan duit haram patutkah saya menggunakannya untuk kep 2009-01-18 12:22 AM

+ jika pasti duit itu dari yang haram maka hendaklah dielakkan. Jika hanya sangka-sangka sahaja tak apa, tapi disebut sebagai shubahat. Syubahat ni, elok elakkan.

?Guest ustaz..cmmna untuk khusyuk dalam sembahyang? 2009-01-18 12:34 AM

+ Sudut zahir jaga perkara haram, buat persediaan untuk sembahyang, fahami makna. Kemudian, minta pada Allah. Sebab kita berusaha tetapi yang beri khusuk adalah Allah.

? balqis Adakah subahah sekranya saya mengambil keuntungan sebagai orang tengah dalam urusan kontrak perniagaan antara sykt majikan sy dgn penerima kerja. 2009-01-18 12:46 AM

+ tidak salah jika pekerjaan itu dibuat diluar waktu kerja dan tidak ada unsur penipuan.

? suraya Assalamualaikum, adakah kita perlu berbuka puasa selepas org selesai Azam Magrib,atau masuk saja waktu kita terus berbuka.. 2009-01-18 1:22 AM

+ Masuk sahaja waktu Maghrib. Azan hanyalah war-war masuknya waktu solat.

? Guest Assalamualaikum Ustaz. Saya ada kemuskilan tentang perkara shubhah. Setiap kali raya suami saya akn terima hamper dan duit dari kontrator. 2009-01-18 4:06 AM

+ Jangan biasakan. Ada satu hadith yang menceritakan bahawa satu ketika seorang sahabat ditugaskan mengutip zakat. Ahli kawasan itu menberinya sedikit harta untuk dirinya. Ketika dikhabarkan kepada Rasullulah, Rasullullah bersabda, jika kamu tidak ditugaskan untuk pergi ke sana, adakah mereka akan memberikan kamu sesuatu. Sahabat ini menjawab, sudah tentu tidak, maka Sabda Rasullullah, serahkan harta itu ke dalam baitul mal.

? Guest Adakah ini dikatakan subhah kerana suami saya tidak meminta dari mereka. 2009-01-18 4:07 AM

+ Jika meminta tidak boleh sebab jika kita tidak bekerja di tempat itu, adakah orang ingin memberi kita hadiah itu jika kita meminta

? zanariah bolehkah saya buat begitu. Anak lelaki saya yang sering mengimamakan sembahyang subuh juga sering membaca 2 surah pendek yang dia hafal supaya kami sempat membaca fatihah dia seorang saj lelaki di rumah sahkah sembahyang kami? 2009-01-18 4:57 AM

+ Boleh, walaupun dia belum baligh

? zanariah kedua: semasa sembahyang tahjjud saya selalu membaca surah alkafiryn, alfalaq dan annas dirakaat pertama surah ikhlas ayat kursi dan 2 ayat terakhir d dalam surah albaqarah selepas alfatihah saya tahu nabi sallalahualaihiwassalam membaca satu surah saja yang panjang tapi saya tak hafal surah panjang 2009-01-18 4:53 AM

+ Boleh

? Saya mengajar di sebuah sekolah antarabangsa. Saya sekarang guru penolong kanan. Ada beberapa kegiatan sekolah seperti majlis tarian dan makan malam d imana ada pergaulan bebas yang menylahi ugama. Selain dari itu saa menetahui diskriminasi yang dilakukan kepada pekerja rendah yang berugamIslam. saya i bu tunggal yang menanggung tiga org anak di peringkat uni yang bukan rakyat m'sia jadi say perlikan gaji yang baik saya was-was sekarang adakan gaji saya halal sedangkan guru besa pernah berkata dia tak sukakan kepada org islam dan saya terpaksa terlibat dalam perkara yang menylahi islam seperti me buat persiapan utjk majlis yg say sebutkan tadi sebayak 3/4 kali setahun 2009-01-18 4:49 AM

+ Status gaji puan tidak ada apa-apa yang shubhat. Ini kerana puan bekerja sebagai guru bukan sebagai penganjur majlis tari menari. Jika disuruh dan tidak mampu mengelak, maka minta ampun pada Allah dan jangan redha dengan tugasan tersebut.

? zanariah Saya meniggalkan suami saya(lari dari rumahnya) dengan 3 org anak kami kerana dia tidak sembahyang dia pernah berkata yang dia fikir islam yg ada seka rang sudah di ubahdan dia tidak yakin kebenarannya lagi. say tak tahu tentang imannya saya hanya berpandu pada apa yang dikatakannya. Dia tak mengatakan Ya Allah tetapi Jesus Christ bila saya menegur dia berkata bagi orang kristian. dia sakit jiwa dal selalu marah tak tentu pasal anak saya yg sulung juga sakit jiwqa sebahagian besar kerana sikapnya yg selalu menekan perasaan semas a saya membuat kepurtusan meninggalkannya. dua orang anak perempuan saya mula menunjukkan simptom sakit jiwa seperti abang mereka. Berdosakah saya mela rikan diri bersama anak-anak kerana isteri firaun tyerus bersamanya walaupun firaun mengaku tuhan. saya telah diceraikan 3 bulan selepas saya pergi dan dia telah berkawin lain dan ada seorng anak saya. tidak menghalang anak saya berhubung dengan bapa dan datuk-nenek mereka dan mereka selalu berhubung 2009-01-18 4:53 AM

+ Meninggalkan rumah adalah berdosa melainkan jika berlaku mudharat.
Sekian, semoga menepati kehendak soalan. Jika kurang memusakan bolehlah ditanya kembali. InsyaAllah, Wallahuallah bis sawab

Friday, February 6, 2009

Diari 28 - Setandan Pisang Yang Berbagai

Pagi ini saya ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menguruskan Sijil Amalan Guaman saya yang mati pada Disember 2008. Di dalam pejabat, saya bertemu dengan orang-orang yang saya kenali.

"Hai Ustaz, lama tak datang?, sapa Pegawai bertugas. saya hanya tersenyum. "Inilah, datang ni, nak barukan sijil" jawab saya.

"Okey Ustaz, Cuma Ketua Hakim kita baru bertukar, mungkin sijil lambat sikit dapat". Jelas Pegawai yang bertugas.

Habis, boleh beramal tak?, saya mencelah. "Boleh". Pegawai bertugas itu menjawab.

Sewaktu saya turun ke bawah, saya bertemu dengan sahabat-sahabat peguam yang lain. Masing-masing baru habis bersidang pagi ini.

Sedang saya berbual, lalu seorang wanita di sebelah saya. Dia memakai kot, memegang fail. Meluru pantas. Dia terus memasuki keretanya.

Dia menurunkan cermin keretanya lantas terus menelifon seseorang. Apabila perbualan dimulakan, dia merentap tudungnya, membalingnya ke kerusi sebelah, menggeleng-gelengkan kepala sambil mengebas rambutnya.

Saya yang berdiri berhadapan keretanya lantas bertanya pada sahabat saya, "Nazib, sapa tu, peguam baru ke?.

"Mmm", jawab Nazib ringkas. "Macam tu le, apabila peguam sivil beramal di Mahkamah Syariah, etika di luar bukannya di jaga sangat".

Peguam sivil memang boleh beramal di Mahkamah Syariah apabila mereka mengambil satu Kursus Amalan Guaman Syariah selama setahun sama ada di UIA atau di UKM. Tetapi, masalah yang timbul ialah etika sebagai pengamal undang-undang Syariah tidak dijaga dengan baik.

Jangan terkejut jika saya katakan ada di kalangan mereka yang beramal di Mahkamah Syariah ini menjadi sebab utama perceraian sesebuah rumah tangga. Ia boleh berlaku apabila seseorang yang bertemu dengan peguam yang mempromosikan cerai sebagai jalan penyelesaian utama.

Bagi peguam yang kurang etika ini, mereka menganggap cerai ini adalah business mereka. Jadi apabila datang client kepada mereka, mereka akan terus mencadangkan untuk bercerai. Jika cerai, banyaklah yang boleh diuruskan, proses cerai, harta sepencarian, hadhanah (penjagaan anak) dan sebagainya. Semakin banyak yang boleh dibawa ke mahkamah semakin banyaklah yuran yang boleh dicaj kepada client.

Inilah dunia. Di dalam apa jua bidang, ada yang berkepentingan. Jadi berhati-hatilah jika kita mahu berurusan di dalam apa juga bidang. Dari bidang dunia ke bidang agama. Dari masyarakat biasa hingga pada pemimpin.

Selain dari usaha kita yang perlu betul, mintalah perlindungan dari Allah. Ini kerana , Allah sahaja yang boleh menyelamatkan kita dari tipu daya dunia. Semoga kita tergolong dari orang selamat di dunia dan selamat di akhirat, amin..

Diari 27 - Salam Kepulangan Dari UPSI

Alhamdulillah, kapal terbang mendarat pada jam 1.30 petang. Saya dan semua penumpang selesai menguruskan bagasi dalam pukul 2.30 petang. Salam kepulangan saya pada hari ini dimulakan dengan program Forum di UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) di Tanjung Malim Perak. Program bermula pada pukul 9.00 malam. Saya bergegas balik rumah dan siap-siap untuk ke program. Pukul 4.00 petang saya sudah mula bergerak dari rumah.

Program malam ini membicarakan mengenai kehidupan remaja. Realiti kehidupan seorang remaja yang banyak membicarakan mengenai cinta.

Pada peringkat awal, inilah satu tajuk yang kadang-kala membosankan. Mana tak nya, jika forum kat universiti sahaja, inilah tajuk yang akan dibincangkan.

Tetapi, setelah diteliti, perkara sebegini memang wajar dibahaskan. Ini kerana remaja yang masih tertanya-tanya mengenai panduan bercinta. Jika remaja tidak dapat mencari satu solusi yang diperbahaskan di dalam Islam, maka mungkin remaja akan membahaskan mengikut pemikiran mereka sendiri.

Majlis forum berakhir hampir pukul 12 malam. Semoga para hadirin mendapat manfaat dari apa yang diperbincangkan. Dan ingin saya ucapkan, salam kepulangan…Gelagat penonton forum

Forum ini diadakan di kolej Harun Aminurrashid UPSI
Ia dipengerusikan oleh Ustaz Anhar Opir, disertai oleh Ustaz Hasrizal dan saya.
Antara yang hadir.

Tajuk yang mungkin di anggap remeh tetapi ada golongan yang sangat perlu pada perbahasan tajuk cinta ini. Semoga ia bermanfaat.

Wednesday, February 4, 2009

Universiti Kehidupan 28 – Perjuangan Yang Digadaikan

Umrah saya kali ini ibarat perjalanan saya ke kebanyakkan negara yang saya ziarah. Ia satu perjalanan pembelajaran.

Setelah beberapa ketika berada di Madinah, saya meneruskan perjalanan ke al-Ula, satu bandar lama yang wujud sejak ribuan tahun dahulu.

Al-Ula adalah satu bandar persinggahan para pedagang yang berdagang dari Mekah ke Syria. Jarak di antara Madinah dan al-Ula ialah 399 KM sedangkan jaraknya dengan Jordan dalam 500 KM.

Apa yang ingin saya kongsi pada saat ini ialah sebuah kubu dan makam seorang panglima Islam, Musa bin Nusair.

Ketika Islam telah sampai ke Afrika Utara iaitu Tunisa, Libya dan Magribi, maka operasi dakwah ingin diteruskan ke benua Eropah.

Operasi dakwah ke Afrika Utara ini diketuai oleh seorang panglima Islam bernama Musa bin Nusair. Panglima Islam ini kemudiannya merekrut seorang lagi panglima hebat bernama Tariq bin Ziyad.

Tariq ibn Ziyad merupakan seorang pemuda yang berbangsa Barbar yang berasal dari tanah Afrika. Tubuhnya tinggi lagi tegap.Di negara Spanyol namanya menjadi lagenda sehingga beliau digelar 'Tariq el Tuerto' yang bermaksud Tariq Bermata Satu. Tariq membantu Musa bin Nusair membina benteng pertahanan Afrika Utara.

Atas perintah Musa ibn Nusair, pada tahun 91 hijrah Tariq berjaya menyebarkan Islam di negara Sepanyol seterusnya sebagai perintis pembukaan Islam di Eropah.

Ketika pertama kali mendarat di pantai semenanjung Iberia, Tariq mengarahkan para tenteranya membakar semua kapal laut dan membuatkan tenteranya bingung. Namun perintah ketua wajib diikuti dan kesemua kapal pengangkutan tentera Islam habis dibakar. Tariq berucap dengan ucapannya yang terkenal sehingga ke hari ini iaitu:

"Wahai tentera Islam. Di belakang kamu laut dan di hadapan kamu musuh. Maka pilihlah mana yang kamu kehendaki untuk mati. Kamu di sini hanyalah yatim piatu dan tiada saudara-mara. Tiada yang menolong kamu di sini melainkan Allah Ta'ala"

Ucapan ini merupakan pembakar semangat bagi tentera Islam

Dalam usaha untuk menyebarkan Islam di Eropah, Tariq berhadapan dengan tentera Kristian Visigoth pimpinan Raja Roderic dalam pertempuran yang dikenali sebagai Pertempuran Guadalete. Dalam petempuran yang berlaku di Sungai Guadalete, Tariq dan tenteranya berjaya menewaskan tentera Visigoth seterusnya membina tapak perkembangan Islam di Eropah.

Tempat di mana tariq mendarat dan membakar kapalnya diabadikan di atas namanya iaitu Jabal At-Tariq atau negara barat memanggilnya sebagai Gibraltar.

Setelah membuka Spanyol, Musa dan Tariq merancang untuk terus membuka Eropah keseluruhannya. Kedua-dua panglima Islam ini merancang untuk mengIslamkan dunia Eropah.
Tentera salib dari Eropah tidak dapat menandingi kemaraan kedua-dua panglima Islam ini. Lantas, mereka menghantar hadiah yang mewah beserta wanita-wanita yang cantk dari Eropah kepada Khalifah di Damsyiq.

Ketika hadiah itu sampai di hadapan Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik, Khalifah bertanya kepada utusan salib ini, adakah hadiah ini diberikan sebagai tanda persahabatan atau kalian mempunyai hajat. Maka utusan ini menyatakan, mereka tidaklah mempunyai apa-apa hajat melainkan meminta Khalifah memanggil balik Tariq bin Ziyad dan Musa bin Nusair.

Khalifah yang pada ketika itu lebih mementingkan kemewahan telah memanggil balik angkatan tentera Tariq ke Damsyiq. Sesampainya di Damsyiq dia telah dikenakan tuduhan menderhaka, dihina dan dihukum. Tidak ada seorang pun yang tahu dimanakah makam panglima yang berjaya menundukkan kota Andalusia ini.

Bagi Musa bin Nusair, beliau menerima nasib hampir yang sama. Ia dilucutkan jawatan dan dihinakah. Cuma ia tidaklah dihukum. Setelah kematian sahabatnya Panglima Islam Tariq ini, beliau membawa diri ke al-Ula. Darah panglima yang mengalir di dalan tubuhnya membuatkan beliau membina benteng pertahanan di al-Ula ini. Benteng ini digunakan untuk mempertahankan kota al-Ula dari serangan penyamun-penyamun padang pasir.

Sebahgaian ahi sejarah menyatakan Panglima Musa meniggal di sini dan dimakamkan di sekitar benteng ini. (lihat Mu’jam Wa Tarikh al-Qura fi Wadi al-Qura halaman 271)

Banyak sudut kita boleh bahas melalui sejarah ini. Walaubagaimana pun, saya ingin membahasakannya dari satu sudut, iaitu pejuangan Islam mestilah di dukung oleh orang yang benar-benar Ikhlas. Orang yang ada kepentingan akan mengorbankan perjuangan demi kepentingan peribadinya. Untuk gelombang perjuangan Islam akhir zaman, kita memerlukan orang yang benar-benar Ikhlas untuk berjuang. Semoga kebangkitan Islam akan lebih pantas dan hebat.

Di dalam sejarah memang terdapat kisah orang yang mengorbanan perjuangan. Oleh itu, pilihlah orang yang benar-benar ikhlas di dalam perjuangan.

Universiti Kehidupan, Universiti Sepanjang Hayat.
Perjalanan saya merentasi dari Maghribi ke Spain, satu perjalanan yang pernah ditempuhi oleh Panglima Tariq bin Ziyad
Inilah Jabal at-Tariq di mana tempat pertama Tariq mendaratkan angkatan laut Islam di bumi Eropah. Ia juga dikenali dengan nama Gibraltar
Di atas kubu Musa bin Nusair di al-Ula Saudi Arabia
Benteng Musa dari Jauh
Darah panglima yang mengalir menyebabkan Musa sentiasa melindungi orang di sekelilingnya
tangga naik ke kubu Musa bin Nusair
Masjid yang ada disekitar kubu Musa bin Nusair

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...