Monday, September 22, 2008

al-Ijabah 3 - Yang Memandang dan Yang Di Pandang

Dalam minggu ini saya ada menghadiri satu majlis berbuka puasa di sekitar Lembah Klang ini bersama anak-anak al-Ijabah. Rumah orang senang. Jemputan pada malam itu terdiri dari kami dan satu kumpulan lain dari sekolah agama berdekatan.

Di satu sudut, duduk beberapa orang yang berbual-bual. Tidak ada senyuman dan pandangan mesra kepada kami. Dia amat dingin kepada kami. Ketika selesai solat Maghrib, kami hendak makan. Selesai mengambil makanan kami duduk di meja-meja yang tersedia. Dia langsung tidak menegur kami dan teguran kami juga tidak diendahkan.

Setelah tuan rumah memperkenalkan saya kepadanya, dia masih menghulurkan tangan dingin. Kemudian dia bertanya, Ust buat apa Ust? Jaga budak-budak ni ke?

Saya hanya tersenyum, tuan rumah memperkenalkan, Ust ni Peguam Syarie, dia juga ..bla..bla..bla..

Barulah dia hendak berbual agak mesra dengan saya. Perbulaan kami semakin rancak sehinggalah hendak balik. Di dalam perbualan dia asyik merendah-rendahkan sesetengah Ust yang di anggapnya kolot, tidak maju dan sebagainya.

Memang ada sesetengah masyarakat yang memandang rendah kepada golongan
agama. Mereka menganggap golongan agama golongan yang ortodoks, out of date, anti establisment, kolot dan sebagainya.

Pada pandangan saya, orang sebegini memang ada kesilapannya. Tetapi ia bukannya 100% dari dia. Ada juga perkara ini berlaku kerana sikap orang agama sendiri. Mereka yang tidak dapat masuk ke dalam kelompok golongan ini. Mereka tidak berada di tengah gelanggang masyarakat. Mereka tidak terlibat di dalam perniagaan yang hebat, mereka tidak bersungguh berjuang. Dakwah mereka hanyalah di surau, masjid dan majlis kebesaran Islam.

Sebenarnya, orang beragama perlu hidup di tengah mayarakat, bercampur dan sama-sama membangun masyarakat. Jika Islam itu sifatnya global, dakwah juga mesti bersifat global, jika Islam itu sifatnya menyeluruh, dakwah juga sifatnya menyeluruh. Para sahabat berjuang dan berdakwah di dalam bidang-bidang mereka masing-masing. Ada di dalam ekonomi, ada di dalam pendidikan, ada di dalam ketenteraaan, ada di dalam bindang syiasah dan sebagainya.

Hati kecil saya berbisik, mudahan semua orang agama akan kembali menjadi contoh yang menerajui kehebatan tamaddun. Rasa hati saya ini saya kongsikan dengan sebuah sajak yang saya karangkan. Tajuk sajak ini Si Songkok. Bacalah, fahamilah dan hayatilah...

Si songkok
Diamnya di masjid
Lidah tidak membantah
Hati hindar khilaf

Adakah salah si songkok di situ
Tidak, kerana dia menjadi mulia
Adakah rendah si songkok di situ
Tidak kerana dia orang yang taat

Tapi dalam mulia dia dihina
Di dalam taat dia dienteng
Dalam diam dia dibenam

Kenapa tidak si songkok menjadi perubah
Kenapa tidak si songkok bernobat titah
Mengalah tidak semuanya terpuji
Menentang tidak semuanya dilarang

Kenapa tidak si songkok menjadi pedagang
Membelah lautan samudera
Empunya muamalat dan akad
Pemilik dunia ditangan
Bukan di hati

Bukankah pemilik asalnya begitu
Pewaris pertamanya juga sama
Mereka merajai tamadun
Membajai tauhid
Memerangi zulmat

Di istana tidak bongkak
Di lembah tidak hina
Abid di sisi ‘asi
Akhi di rasa hati

Telah lama si songkok di masjid
Tiba masa merungkai belit
Kembali sebagai penongkah
Membeliakkan mata penghina

Si songkok perlu tergadah
Bangkit bersama wadah
Disegani yang menista
Disayangi yang menyinta

al-Fakir ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights

Diari 2 - "Batton" yang telah di sampaikan

Alhamdulillah, hari ini hari Ahad 21 September 2008 merupakan hari kedua saya menjadi ahli panel di program Tanyalah Ustaz tv 9. Program ini bermula jam 6.30 pagi sehinggalah 7.30 pagi. Sekilas mengenai program ini. Ia merupakan interaksi langsung di antara penonton dan ahli panel dengan soalan-soalan yang spontan. Ia merupakan julung-julung kali di adakan di Negara kita. Di Negara Arab, ia sudah menjadi program lazim.

Secara ikhlas, ia merupkan satu program yang cukup mendebarkan. Mana tidaknya, banyak soalan yang diajukan adalah soalan yang di luar dari tajuk perbincangan. Yang menonton rancangan ini pula seluruh Negara. Jawapan kita akan dinilai oleh semua orang dan di sinilah nanti masyarakat akan menilai sejauh mana tahap keilmuan seorang ahli panel. Program ini cukup bagus. Bagi yang menonton akan dapat banyak perbahasan ilmu, bagi ahli panel, ia perlu menajamkan lagi keilmuan. Walauapapun, kita tetap kena bergantung dengan Allah. Kerana ilmu, Allah yang punya. Semahir mana pun ahli panel, jika di pentas tersebut Allah ingin lupakan ilmunya, akan lupa dan aiblah dia.

Pada saya, pentas ini amat bagus untuk melatih kebergantungan kita dengan Allah. Hati ini akan sentiasa merasa rendah di hadapan Allah. Kita dimuliakan kerana Allah tidak mahu mengaibkan kita, jika Allah mengaibkan seseorang maka tidak ada lagi kemuliaan di mana-mana pun. Kesempatan pada Ahad ini, saya membawa berberapa anak yatim dan tahfiz dari rumah al-Ijabah bersama-sama. Mereka tidur dirumah saya, selepas sahur dan solat subuh berjemaah kami bertolak bersama-sama menaiki van ke Sri Pentas.

Ketika merenung wajah setiap seorang dari mereka, hati kecil saya sangat mengharapkan mereka akan menjadi pelapis kepada perjuangan Islam ini. Pada tahap umur saya, telah banyak tuan-tuan guru yang telah kembali ke rahmatullah. Sedar atau tidak saya sedang menyambut "batton" larian mereka. Satu ketika nanti, anak-anak ini pula akan menyambut "batton" perjuangan dari orang sebaya saya. Ketika kami pulang, saya mengajak mereka semua singgah di pusara Ayahanda saya, Al-Marhum Ust Abdullah bin Mohd Said. Setelah membacakan fatihah dan doa, saya katakana pada mereka, menasihati mereka dengan beberapa perkara.

Saya mengharapkan agar mereka semua menjadi pencinta dan pejuang pada agama satu hari nanti. Semoga Islam terus terbela, Iman terus terjaga, umatnya terus terpelihara, jikalau mati, mati dengan berjuang, jikalau hidup, hidup dengan kemuliaan. Insyallah, pada hari esok 22 September dan 29 September saya akan bersama lagi di dalam program ini.

Bersama anak-anak al-Ijabah di Studio tv 9
menziarahi kubur USJ 22 Subang Jaya, mudahan mereka akan menjadi pelapis pada perjuangan Islam ini setelah generasi sekarang tiada di bumi ini, "yang mati dikenang dan yang hidup berjuang"

Friday, September 19, 2008

Bicara Hukum 1 - Berapakah nilai zakat fitrah kita sebenarnya?

Alhamdulillah, dengan izin Allah, selama lima tahun, saya telah terlibat dengan kajian penetapan kadar fitrah di beberapa negeri di Malaysia ini. Sempena dengan bulan Ramadhan ini, saya ingin berkongsi cara menunaikan kadar zakat fitrah dengan sempurna.

Ibnu Umar menyatakan bahawa Rasullullah telah memfardhukan zakat fitrah yang wajib dibayar ialah satu sha ( satu gantang Baghdad)

Ada dua isu di dalam menentukan kadar zakat fitrah. Pertama, satu gantang Baghdad itu berapa kilogram. Yang kedua ialah, setelah kita dapat tahu, ia mesti dinilaikan dengan apa yang biasa kita makan.

Isu pertama, para ulamak berselisih pendapat berapa kilogramkah satu gantang Baghdad ini. Ini kerana gantang Baghdad adalah alat untuk menyukat bukan untuk menimbang. Jika satu gantang ini kita isi dengan tamar ia lebih ringan jika ia diisi dengan beras. Perselisihan ini bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia. Mesir mengatakan satu gantang Baghdad ialah 2.5 kg, Iran mengatakan 1.75. Di Malaysia pada tahun 2000, Selangor, Terengganu, Perak mengatakan 2.27 kg. Kelantan mengatakan 2.56 kg, Kedah mengatakan 3.063 kg. Di Malaysia, tidak ada negeri yang menyimpan gantang Baghdad kecuali negeri Kelantan. Ini kerana tuan-tuan guru pondok yang ada di sekitar Kelantan ada menyimpan gantang ini.

Untuk menyelaraskan timbangan ini, JAKIM melalui keputusan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 11 Mac 2002 telah mencadangkan kepada negeri di Malaysia satu gantang Baghdad bersamaan dengan 2.7 kg. Sejak dari itu ada negeri yang menggunakan cadangan JAKIM ini.

Isu kedua, setelah kita menetapkan kadar satu gantang Baghdad ini, ia perlulah ditimbang dengan beras yang biasa kita makan. Contohnya, jika kita makan beras yang berharga sekilo RM 2.00, di darabkan dengan 2.7 kg dapatlah harga fitrah kita RM 5.40. Jika kita makan beras yang berharga RM 5.00, jadilah bayaran fitrah kita RM 13.50.

Setiap orang tidak sama berapakah kadar fitrah mereka. Walaupun setiap negeri ada mencadangkan kadar fitrah, pada saya setiap dari kita hendaklah mengiranya sendiri. Ini kerana setiap orang tidak akan sama apa yang dia makan sedangkan Nabi memerintahkan ia hendaklah dibayar dengan perkara yang biasa kita makan. Orang Bandar sudah tentu makan beras yang lebih baik jika dibandingkan dengan orang di luar Bandar. Itu tidak termasuk kemampuan kita yang selalu makan di luar dan sebagainya. Untuk itu, bayarlah fitrah kita dengan tepat. Darabkan 2.7 kg dengan beras yang biasa kita makan. Bagaimanakah cara ingin membayar lebih? Antara yang dicadangkan ialah lebihkan bilangan. Sebagai contoh, kalau tanggungan kita seramai 4 orang, kita bayarlah untuk 6 orang.

Inilah gantang Baghdad yang berada di dalam simpanan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Gantang ini berada di dalam simpanan al-Marhum Tuan Guru Abdullah Tahir Bunut Payung. Ketika Tuan Guru meninggal dunia, warisnya menyerahkan gantang ini kepada Majlis AgamaGambar gantang Baghdad dan ukurannya
Semoga kita dapat menunaikan zakat fitrah kita dengan sempurna. Amin..







Thursday, September 18, 2008

Jom kongsi pengalaman 1 - (Uzbekistan)



Pada Ogos 2008, saya telah pergi ke Uzbekistan dan Iran. Sebelum saya berkongsi kisah perjalanan saya, saya ingin berkongsi gambar yang menarik di sana.

Cuaca di sini seperti di Malaysia. Pada musim panas ia panas dan basah. Artinya ia berpeluh. Ini menyebabkan badan tak selesa. Banyak negara-negara arab lain cuacanya panas tapi kering. Maknanya kita tak berpeluh. Apabila badan berpeluh mulalah rasa belengas dan nak mandi


Ini dua botol air mineral. Yang sebelah kanan biasa sahaja, yang sebelah kiri, ada gas. Rasanya kita orang melayu memang tak biasa minum air mineral bergas. Rasanya pahit sikit.










Orang Uzbekistan peramah macam orang melayu. Selama seminggu di sini, saya hanya satu hari sahaja tidur di hotel. Yang lain mereka ajak bertamu di rumah mereka. Jika mereka menyapa, mereka akan meletakkan tangan di perut mereka.








Di sana, batu bata untuk membuat rumah masih lagi dibuat dengan tanah. Setelah dikeraskan mereka akan menyusunnya. Setelah menjadi rumah, barulah mereka akan meletakkan simen untuk menutup tanah ini.






Di sana 95% adalah orang Islam. Akidah mereka ahli sunnah, feqah mereka mazhab Hanafi. Walaubagaimana pun, oleh kerana 70 tahun di bawah jajahan Rusia, pengamalan islam mereka kurang. Gambar di atas adalah gambar seorang nenek yang sedang meminum minuman keras sambil menghisap rokok.







Sesetengah kubur di sini ada ukiran gambar si mati. Batu nesan ini dibuat dari batu mar-mar dan ukiran dibuat di atasnya. Mungkin untuk memudahkan waris mencarinya.









Kalau di Malaysia, seorang pengembala akan mengikat tali pada lembunya di leher, di sini mereka mengikatnya di tanduk. Kemudian tali ini akan diikat pada besi dan besi ini akan dipancangkan ke tanah




Rata-rata orang tua di sini mempunyai gigi emas. Mereka membuat gigi palsu ini dari emas. Waktu gawat, bolehlah digadaikan kembali.











Di Uzbekistan terdapat banyak makam para ulama. Insyalllah saya akan kongsikan kemudian. Ini adalah kawasan pemakaman. Seorang sahabat nabi iaitu Saidina Kussam bin Abbas di makamkan di sini. Saidina Kussam syahid di sini apabila penyembah bintang membunuhnya.







Ini adalah salah satu Univerisiti di Registan. Ada tiga buah Universiti di sini. Sekarang ia telah menjadi muzium. Apa yang menarik, kebanyakkan bangunan besar di sini bentuk hadapannya seperti ini. Ia ibarat pintu gerbang yang besar untuk masuk.








Satu budaya yang menarik di sini ialah mereka akan menyusun selipar mereka untuk masuk ke masjid. Mereka akan mengundur sebelum masuk. Ini satu budaya yang boleh dicontohi. Bukankah Islam itu membentuk disiplin diri? Jadi sekecil ini pun dapat dibudayakan.








Saya menziarahi satu masjid. Di sini mereka sedang membaiki kawasan kubur. Tujuan memperbaiki adalah untuk menjadikan makam ini lebih terpelihara. Tetapi, ketika memperbaiki, tulang-tulang orang di bawah itu bersepah-sepah. Jadi, apakah tujuan sebenar memperbaiki kubur ini? saya pun tak tahu. Untuk memelihara orang di bawah atau untuk mencantikkan yang atas. sama-samalah kita beri jawapan..


al-Ijabah 2 - Bahagiakah mereka dengan material?






Hari ini 17 2008 September bersamaan dengan 17 Ramadhan 1429. 17 Ramadhan merupakan cuti umum bagi negeri Selangor. Saya dan berberapa orang pentadbir rumah Ijabah merancang untuk membawa warga al-Ijabah ke Sunway Piramid. Tujuannya ialah untuk membelikan mereka buku bacaaan di kedai buku Popular dan baju raya di Jusco. Beberapa orang kakak dari Shah Alam menawarkan diri untuk menjadi penjaga warga al-Ijabah seramai 50 orang ini ketika membeli di Sunway Piramid.

Hari ini Sunway Piramid sesak dengan pengunjung. Rombongan kami sampai dan kami bersama-sama berjalan, menuruni escalator untuk ke destinasi pertama iaitu kedai buku Popular.

Sewaktu melintasi orang ramai, saya melihat berbagai-bagai memek muka. Ada yang memandang kami dengan tersenyum gembira, ada yang memandang kami dengan senyuman kelat. Maklumlah, pada pandangan mereka rombongan kami tidak class. Seolah-olah kedatangan kami ke sini hasil belas orang yang menderma. Jika tidak, mana mungkin kami mampu menjejaki kaki ke sini.

Saya hanya tersenyum melihat gelagat mereka memandang ke arah rombongan kami yang ramai. Ah.. pedulikan senyuman orang pada kita walauapa pun jenisnya, yang penting saya rasa cukup bahagia melihat anak-anak ini tersenyum riang.

Kami mula memasuki kedai buku ini. Anak-anak ini terus membelek-belek buku yang ada. Yang besar memilih buku cerita, yang kecil memilih buku bergambar.

Walaupun mereka memilih sendiri buku-buku ini, mereka akan menunjukkan kepada kami adakah buku ini baik untuk mereka. Dari gelagat mereka, sebenarnya mereka bukan sahaja gembira dapat memilih buku-buku ini sendiri, tetapi mereka lebih bahagia apabila penjaga memberi perhatian kepada mereka.

Setelah selesai di kedai buku, kami pergi ke Jusco. Mereka memilih sendiri baju yang mereka inginkan. Pengiring-pengiring yang ada melayan mereka dengan baik sekali.

Ada di antara pengiring yang berkata,

"terima kasih Ustaz sebab ajak saya temankan anak-anak ini, saya bukan sahaja gembira malahan rasa bahagia sekali."

Sebenarnya, anak-anak ini bukan sahaja memerlukan perhatian lahiriyyah mereka malahan mereka juga memerlukan kasih sayang ataupun perhatian batiniyyah mereka.

Saya teringat kisah beberapa bulan yang lepas. Ada seorang artis yang menjemput kami ke rumahnya. Ia mahu meraikan hari jadinya dengan anak-anak yatim. Ada wartawan yang dijemput sama di dalam majlis ini. Tujuannya untuk diminta menulis artikel yang mengatakan bahawa dia menyambut hari jadinya bersama anak-anak yatim.

Tetapi, ketika berada di dalam rumahnya, ditengkingnya anak ini, Ketika sedang makan, diarah-arah dengan kasar anak ini,

"sini jangan duduk, duduk dekat sana" dan lain-lain lagi.

Apa yang paling mengejutkan, ketika majlis tamat, dia mengatakan anak-anak yatim ini nakal, gelojoh, seolah-olah tidak cukup makan dan lain-lain lagi. Sehinggakan dia mengatakan bahawa, lain kali tak apalah, kita tak payah jemput mereka ini, jika nak makan, nanti kakak hantar sahaja makanan ke rumah mereka.

Semua tetamu yang bersama saya pada malam itu merasa terkejut dan kesal dengan sikap artis ini. Akhirnya mereka semua mengucapkan perkataan yang sama,

"inilah kali pertama dan terakhir kita datang ke sini"..

Sesungguhnya, setiap orang bukan sahaja memerlukan perhatian lahiriyyah, malahan mereka juga memerlukan kasih sayang yang datang dari hati yang ikhlas.

Kita tidak bahagia dengan banyaknya material disekeliling kita, tetapi kita akan lebih bahagia jika orang disekeliling kita menerima kewujudan kita di samping mereka.

Inilah fitrah setiap manusia, mereka mahu menyayangi dan mahu di sayangi. Tetapi tidak ramai orang yang sedar hakikat ini. akhirnya, kita kaya dengan material tetapi miskin dengan jiwa.

Semoga kita menjadi orang yang sentiasa memburu cinta Allah. Dengannya, kita akan menyayangi manusia dengan ikhlas, bukan dengan kepentingan yang ada.

Wednesday, September 17, 2008

al-Ijabah 1 - Membela yang tidak terbela


Rumah Ijabah dikejutkan dengan kehadiran tiga orang yang anak berumur 6, 7 dan 9 tahun. Seorang kakak menghantar anak-anak ini dan mengharapakan ia terus dapat ditempatkan di sini. Penulis agak terkejut kerana perkara ini tidak dibincangkan awal pada penulis. Tetapi setelah mendengar latar belakang anak ini, penulis terus bersetuju menjaga dan memeliharanya.

Anak-anak ini merupakan anak dari pasangan seorang melayu dan seorang perempuan India yang masuk ke dalam Islam. Dalam tahun ini mereka bercerai dan anak ini telah ditempatkan dirumah seorang India beragama hindu.

Mana pembelaan masyarakat Islam sekitar? Agak tidak dipedulikan keluarga ini. Sehinggalah kakak ini mendapat berita dan terus mengambil anak ini. Walaubagaimanapun, dia tidak tahu ke mana ingin diletakkan anak-anak ini. Sehinggalah ada kawan yang memberitahu bahawa Rumah Ijabah biasanya akan menerima dan membela orang-orang susah.

Penulis merenung panjang. Maha Suci Allah yang telah memberi penulis amanah yang besar. Aku tahu Ya Tuhan, engkau hantarkan mereka bukan dengan kebetulan. Oleh itu berikan juga anak-anak ini keperluan yang cukup bagi makanan rohani dan jasmani mereka. Berikan daku kekuatan dan kemampuan yang tinggi untuk terus membela yang tidak terbela. Semoga Engkau akan membelaku dihari tidak ada siapa yang dapat membela. amin ya Rabb..

Monday, September 8, 2008

Salam pengenalan

Salam pengenalan untuk semua. Saya Muhamad bin Abdullah Al-Amin. Amin adalah nama gelaran yang diberi oleh datuk sebelah ibu saya al-Marhum Haji Umar. Di kalangan ahli keluarga terdekat mereka memanggil saya dengan nama ini.

Saya dibesarkan di dalam keluarga orang agama. Bermula dengan sekolah rendah dan menengah di Johor, pada umur saya 15 tahun, al-Marhum ayahanda saya telah menghantar saya ke Pakistan untuk menghafal al-Quran dan mempelajari ilmu berkaitan agama. Saya berada di Pakistan selama 3 tahun.

Sekembalinya saya dari sana, saya meneruskan pelajaran ke Maahad Muhammadi Kota Bharu Kelantan. Selepas tamat tingkatan 5, saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya Nilam Puri Kelantan. Selama 5 tahun berada di Kelantan ini, saya sering berulang dan belajar di Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas dan berguru dengan al-Marhum Tuan Guru Haji Abdullah. Kemudian saya membuat pengkhususan di dalam bidang Syariah dan Undang-undang diUniversiti Malaya Kuala Lumpur.

Semasa di Universiti Malaya, saya sering mengidam untuk belajar di luar negara. Alhamdulillah, setelah tamat di UM ini, saya melanjutkan pelajaran ke Maahad Ihsaniah Penang. Oleh kerana saya telah mempunyai Ijazah Sarjana Muda pada ketika itu, saya diterima untuk masuk tahun akhir di sini.

Setelah dua semester di sini, saya diterima masuk ke Universiti Al-Azhar di dalam Kuliyyah Syariah di Kaherah untuk tahun akhir.

Sekembalinya, saya mengambil Diploma Administration Of Islamic Judiciary (DAIJ) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ia melayakkan saya menjadi pengamal Undang-undang Syariah (Peguam Syarie).

Selepas itu saya mula membuat Master di dalam bidang Pentadbiran Undang-Undang Islam di Universiti Malaya.

Kini, saya sedang mengikuti pengajian bagi master kedua saya di UIAM di dalam LLM (AIOL).

Saya merasakan bahawa ilmu Allah itu sangat luas dan amat kerdilnya diri ini sekalipun telah lama belajar. Dari perasaan inilah, bermula tahun 2003, saya mula merantau ke serata negara Arab, melawat orang-orang alim, bertamu di rumah mereka, berbincang dan memohon bimbingan.

Saya telah membuat lawatan, bertalaqqi dengan ulama' yang saya temui, mengambil sanad dari mereka. Ada juga negara yang hanya melihat peninggalan ulama' terdahulu. Bermula dengan Yaman, saya ke Syria, Jordan, Lubnan, Turkey, Maghribi, Spanyol, Mesir, Iran, Uzbekistan serta lawatan ukhwah ke China, Hong Kong, Vietnam, dan Combodia. Saya juga membuat lawatan ke negara barat seperti UK dan France untuk bertemu dengan sahabat seagama di sana.

Secebis pengalaman yang ada ini ada yang saya bukukan dan ada yang akan saya kongsikan di dalam blog ini.

selain dari itu, Alhamdulillah, dengan izin Allah saya juga terlibat dengan operasi kemanusiaan di beberapa negara yang di landa bencana seperti operasi kemanusiaan di Aceh, gempa bumi di Pakistan, Gempa bumi di Jogjakarta, Tsunami di Pangandaran Jawa Barat, Gempa bumi di Bengkulu.

Daripada negara yang saya lawat ini, saya mulai tersentuh dengan rasa ingin bersama anak Yatim. Maka pada pertengahan 2005, saya mula mengasaskan rumah anak yatim di Subang Jaya. Perbincangan dengan para sahabat terdekat melahirkan pengurusan yang lebih baik. Hasilnya lahirlah Yayasan al-Ijabah dan rumah anak yatim ini sekarang dikenali dengan nama Rumah Anak Yatim dan Tahfiz al-Ijabah.

Rumah ini menempatkan anak-anak yatim dan orang yang susah dari seluruh negara. Ada juga anak keluarga orang yang ingin menempatkan anak mereka menjalani sistem pengajian yang kita lagangkan. Mereka membantu dari sudut yuran yang diberikan.

Rumah al-Ijabah ini terbeza dengan rumah yang ada dari sudut penekanan kepada akademi dan akhlak mereka. Mereka dihantar ke sekolah swasta terpilih untuk menerima pengajian integrasi yang menggabungkan sistem Kementerian Pendidikan Malaysia dan Agama.

Di dalam bidang agama, mereka dididik dengan akidah ahli Sunnah, memahami hukum dengan melalui mazhab Syafie, lenturan akhlak kaedah Imam al-Ghazali dan ketegasan hujjah sistem Imam al-Bukhari.

Semoga usaha yang sedikit ini membuahkan kebaikan pada agama, bangsa dan negara. Yang penting bukan usaha ini telah dimulakan, tetapi bagaimana usaha ini dapat diteruskan dengan lebih baik.

Semoga perkenalan kita di dalam blog ini menambahkan lagi kesatuan ukhwan. Dengannya dapatlah kita sama-sama terus berusaha ke arah yang lebih diredhai Allah.

Sekian, salam hormat.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...