Tuesday, June 21, 2011

Diari 315 - "Walau Sampai Ke Negeri China..." (Program Asas Perniagaan Bersama Tabung Haji Kali Ke 2)

Khamis 16 Jun 2011 jam 9.30 pagi, saya bertolak dari KLIA ke Guangzhou bagi program "Persaraan Bersinergi", program yang mendedahkan mengenai perniagaan kepada bakal pesara Tabung Haji. Bakal pesara akan mengikuti kursus 2 hari mengenai perniagaan kemudiaan akan dibawa secara praktikal untuk memborong barang dan membawanya pulang ke Malaysia melalui jalan laut.
Saya sampai di Hotel Mandarin Guangzhou, tempat kursus berjalan jam 3.00 petang, berehat sebentar kemudian jam 4.00 petang terus membentangkan kertas kerja pertama mengenai perniagaan di dalam Islam.



Program persaraan bersinergi ini mempunyai berberapa modul yang dibentangkan oleh saya dan sahabat saya Shahabudeen Jalil (http://www.kursusborongchina.com/)






Pembentangan yang saya buat ialah "Kedudukan Peniaga Di Dalam Islam", "Persediaan Fizikal Dan Mental Di Alam Persaraan", "Pengurusan Kesihatan", "Pengurusan Kewangan" dan "Asas Perniagaan". Para peserta dikongsikan dengan beberapa perkara asas dan kemudiaan kami sama-sama berbengkel.



Para peserta akan berkongsikan apa yang dibengkelkan bersama.



Antara yang asas di dalam perniagaan adalah membuat keputusan dan juga memahami tipu daya yang terdapat di keliling kita.



Para peserta berkongsikan mengenai tipu daya yang pernah mereka kena. Memahami tipu daya amat penting agar kita tidak akan tertipu di atas nama sangka baik atau rasa kasihan.






Rasullullah juga pernah mengajarkan kepada para sahabat mengenai tipu daya yang ada di sekeliling mereka seperti ciri-ciri orang munafiq yang jika berkata mereka akan berbohong, kalau berjanji akan mungkiri dan jika diamanahkan maka mereka akan khianati.






Kalau zaman Nabi pun sudah ada berbagai tipu daya, zaman kita sekarang lagilah banyak. Jadi, memahami tipu daya akan menyebabkan kita lebih matang di dalam menjalani kehidupan terutama jika kita mahu memasuki alam perniagaa.






"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"






al-faqir Ila Rabbihi



Muhamad bin Abdullah



Jinjiang Inn, Xian China



19 Rejab 1432/ 21 Jun 2011 jam 1.55 pagi.

Diari 314 - 3 Asas Keluarga Bahagia... (Forum Bersama JAWI)

16 Jun 2011 jam 9.00 pagi, saya memenuhi undangan Forum "Seminar Pemantapan Keluarga" yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di Auditorium E2 Putra Jaya.
Forum ini bertajuk "Mahligai Merana" dan saya digandingkan dengan Kaunselor Puan Salmi dari LPKKN, Kementerin Pembangunan Wanita.


Secara jujurnya, program kekeluargaan begini sangat bagus kerana sekarang, kualiti keluarga bahagia agak rendah lantaran kekurangan pertarbiahan mengenai keluarga sakinah. Akhirnya, banyak berlaku kemudharatan di dalam rumah tangga.


Kehadiran hari ini mengejutkan penganjur kerana dewan dipenuhi oleh pengunjung dari berbagai jabatan.


perbincangan mengenai keluarga sangat penting kerana ia merupakan tapak kepada sesebuah masyarakat yang baik


Antara orang besar JAWI yang bersama di dalam program ini.



Seni keluarga bahagia ada tiga perkara, 1. Iman 2. Masing-masing ada rasa hendak meningkatkan diri 3. Masing-masing menunaikan tanggungjawab.



Sesiapa yang ada tiga perkara ini akan dianugerahkan dengan sakinah di dalam keluarganya seperti firmah Allah di dalam surah Rum ayat 21. Belum tentu rumah tangga orang agama juga ada sakinah jika ketiga-tiga ini tidak ada.



Belum tentu seorang ustaz dianugerahkan dengan isteri yang baik dan belum tentu seorang ustazah memiliki suami yang baik.



Perkara ini Allah sebutkan di dalam al-Quran surah at-Tahrim ayat 10 dan 11.



Semoga Allah yang Maha Pemurah sentiasa menganugerahkan kita kebahagiaan di dunia dan di akhirat, amin...



"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"



al-faqir Ila Rabbihi



Muhamad bin Abdullah



Xian China



19 Rejab 1432/ 21 Jun 2011 jam 1.10 pagi

Monday, June 20, 2011

Diari 313 - "Salam Perkenalan Dari Xian China.."

19 Jun 2011, jam 10.30, kami telah tiba di Hotel Jinjiang Inn, satu rangkaian hotel yang besar di China ini. Selepas menunaikan solat, kami turun ke bawah dan mencari sekitar hotel kedai makan Islam. Oleh kerana Xian adalah kawasan muslim, jadi kedai makanan muslim berada di mana-mana.
Kami menghampiri sebuah restoran. Di atas restoran ini tertulis satu tulisan Arab "Taam Islamiy" (makanan Islam). Saya menghampiri seorang pemuda yang sedang memanggang daging. Kami menunjukkan tanda pangkah dengan jari. Tanda pangkah pada jari di sini melambangkan angka sepuluh.

"Ah..." spontan pemuda bernama Ishak ini mengambil sepuluh batang besi yang dicucuk dengan daging dan terus diletakkan di atas para panggangnya.


Saya memerhatikan caranya memanggang daging ini. Tidak sama dengan kaedah satey di Malaysia yang menggunakan kaedah perapan. Di sini, sambil memanggang, mereka akan meletakkan rempah-rempah di atas daging.


Saya memerhatikan lagi gelagat Ishak membakar daging. Sekali-sekala, dia meletakkan minyak kepada daging dengan menggunakan berus cat. Ishak cuba ingin berbual dengan kami, tapi kami hanya banyak tersenyum kerana keterbatasan bahasa.

Ishak mengambil daging dan ditarikan daging ini di atas bara, di terbalikkan dan diangkat-angkat seolah-olah orang sedang bermain piano. Ini cara memanggang daging di sini. Ia bagi memastikan daging tidak hangus.

Besi-besi halus digunakan bagi memanggang daging. Di China, memanggang daging dengan kaedah ini hanya dipopularkan oleh orang Islam. Barangkali mengambil budaya panggang daging orang Arab. Ada kesamaan yang saya lihat antara China, Pakistan dan Arab. Mereka menggunakan besi untuk memanggangnya. Berbeza dengan orang Melayu yang menggunkan batang lidi. Cuma perbezaaan antara panggangan Arab dan China ialah permainan rempahnya. Orang Arab tidak pandai di dalam seni rempah.


Sepuluh batang daging terasa sikit ketika dimakan oleh tiga orang. Kami menunjukkan sekali lagi tanda pangkah dengan jari bermakna...


"nak tambah lagi sepuluh.."


Ishak tersenyum melihat kami makan dengan selera, sama ada memang daging ini sedap atau perut kami yang lapar.


Beginilah salam perkenalan di Xian ini...


"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"


al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Jinjian Inn

18 Rejab 1432/ 20 Jun 2011 jam 1.21 pagi

Sunday, June 19, 2011

Diari 312 - Kembara China Guangzhou - Xian

Khamis 16 Jun 2011, jam 9.30 pagi, saya bertolak dari KLIA menuju ke Guangzhou memenuhi undangan kedua program bersama Tabung Haji di dalam program persaraan bersinergi.

Yang yang mendedahkan kepada bakal pesara kepada dunia perniagaan sangat bagus kerana ia memberi peluang kepada bakal pesara terus aktif di dalam aktiviti harian.

Kami berseminar, berbengkel dan bersama di dalam praktikal membeli dan menguruskan barangan untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Saya bersama rombongan ini hingga hari Ahad 19 Jun dan pada petang ini, jam 6.45 petang, saya bersama beberapa orang lain meneruskan perjalanan ke Xian, dua jam setengah perjalanan udara.

Xian merupakan salah satu kawasan umat Islam di China. InsyaAllah, kita akan kongsikan pengalaman berada di sini nanti.

Kami menaiki Hinan Airlines kapal B737-800. Yang menarikya, penerbangan ke wilayah Islam ini, mereka menghidangkan makanan halal. Sama ada makan nasi atau mee dengan pelekat "muslim meal". Bermakna, pihak penerbangan menjaga sensitiviti Islam di sini.

Jam 9.25 malam, dengan lagu-lagu serunai China, kapal mula turun dan mendarat di lapangan terbang Xian.

Walaupun, lapangan terbang Xian bukan wilayah penting, tapi ia lebih besar dari KLIA. Dari lapangan terbang ke bandar, kita boleh menaiki bas dengan harga RMB 26 atau menaiki teksi dengan harga RMB 150 satu teksi.

Kami menaiki sebuah teksi dan bertukar kesebuah teksi lain di luar lapangan terbang. Bandar di sini agak sesak. Orang menaiki bas seperti sadin seakan-akan di Pakistan atau India bezanya di sini agak bersih berbanding Pakistan dan India.

Di sini, facebook dan blog disekat sama sekali, ia sebagai membendung rakyatnya dari terpengaruh dengan pandangan luar. Kami boleh berfacebook atau blog dengan program khas.

"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"

al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Jinjiang Inn, Xian China
17 Rejab 1432/19 Jun 2011 jam 11.57 malam
bas di sini yang penuh sesak


Kami terpaksa bertukar teksi di kawasan tanpa stesyen..

Friday, June 17, 2011

Universiti Kehidupan 196 - "Pencarian Kunci Ilmu..."

Walaupun dalam kesibukan jadual harian yang padat, saya sebenarnya tidak meninggalkan kesempatan untuk membaca dan menulis tesis bagi Phd saya.

Sudah 3 semester ia berlalu dan bahan-bahan kajian telah dikumpulkan.

Cuma dalam dua minggu kebelakangan ini, kajian saya agak terhenti, Maklumat yang sesuai bagi kajian saya agak terhad.

Kajian saya adalah mengenai pentadbiran harta, lebih focus lagi harta-harta syubhat dari sudut teori dan amalan. Dari satu kitab ke satu kitab saya membaca setiap halaman, tetapi tidak banyak yang dapat.

Saya jadi buntu, kadang-kala masa membaca yang dibuat di waktu malam menjadikan hampir-hampir tidak tidur sepanjang malam. Kadang-kala rasa terlalu puas dan letih, ada juga kadang kala melihat buku seperti mahu di makan sahaja, dikunyah-kunyah, digigit dan ditelan semuanya. Saya mula memahami apa maksud terlalu tepu ketika membaca.

Saya menghantar massage kepada penyelia saya, Prof Dr. Ahmad Hidayat. Ingin bertemu dan berbincang. Setelah dua minggu mencari masa yang sesuai, akhirnya pada 16 Jun 2011 jam 12.00 tengah hari, saya bersama beliau dan kami mulakan dengan makan tengah hari bersama.

Sehari sebelum itu sebenarnya, saya telah membuat satu proposal. Saya ingin tukar tajuk kajian saya kerana puluhan bahan dari berbagai kitab Syariah 4 mazhab dibaca tetapi dapatannya sangat terhad.

“Prof, saya nak minta pandangan ni?, kalau saya nak tukar tajuk saya boleh tak?” tanya saya agak suspen, maklumlah, di hadapan”Sifu…”

“Anta dah berapa semester dah?” kata Prof. Hidayat.

“3 semester” jawab saya ringkas.

“Dah tiga semester, kenapa nak tukar? Kalau benar-benar tajuk anta bermasalah, kenapa tidak dari awal-awal semester lagi” tanyanya agak hairan.

“Betul juga kenyataan yang dilontarkan” bisik hati saya.

Saya memasukkan kembali proposal cadangan menukar tajuk ke tepi tempat duduk kereta saya. Tak jadi nak keluarkan.

Kami mula berbual, kami berhenti di kedai makan di Pantai Dalam, sambil makan Prof. Hidayat mula bertanya satu persatu pada saya.

Akhirnya, saya mula berterus terang…

“Sebenarnya Prof, saya dah pening ni, bahan saya baca tak banyak dapat…” kata saya.

“Anta baca kitab apa?” tanya Prof. ringkas.

“Kitab-kitab perbahasan fiqh dari berbagai mazhab, tapi input nya sikit sangat” kata saya sambil menyebutkan nama kitab-kitab fiqh yang berjilid dari berbagai mazhab dan terbayang keadaan saya membaca yang kadang kala terpaksa menekupkan kedua tangan kemuka, berteleku di meja baca, kepenatan, dan kadang kala mengurut-urut pangkal hidung, antara kedua mata..

“Haa.. pening-pening dan pening….” sendirian mengomel…

“Memanglah tak jumpa, perbahasan anta ni banyak dalam kitab syiasah syariyyah atau kitab-kitab tasauf. Kitab Fiqh memang kurang bahaskan sebab dia lebih bahaskan mengenai harta-harta yang sah dan jenis akad-akad yang sah dalam Islam, bagi harta syubat, ia banyak dibahaskan di dalam syiasah syariah yang menceritakan bagaimana khalifah terdahulu menguruskannya” terang Prof. Hidayat sambil menyebutkan nama kitab-kitab dan buku-buku yang saya tak fikir pun sebelum ini.

Tak menang tangan menulis nama-nama kitab yang disebutkan…

“Kenapa tak bincang dengan ana sebelum ni?” tanya Prof. Hidayat.

“Saya tak nak ganggu Prof, takut Prof sibuk, ingatkan boleh cari sendiri, tapi sangkut pula” jawab saya sambil tersenyum.

“Haa, lain kali kalau sangkut bincang dengan ana” kata Prof. Hidayat.

“Mmm, kalau macam tu, saya teruskan tajuk saya ni Prof., baru ni dah pening, tu yang cadang nak tukar tajuk tu..” kata saya.

Fikiran saya agak lapang, tapi agak penat sebab bincang perkara ini dengan menumpukan penuh perhatian.

Ketika saya berada di peringkat BA dahulu, saya selalu hadiri kelas-kelas talaqqi yang dianjurkan oleh ustaz-ustaz yang balik dari luar negara.

Mereka selalu doktrinkan bahawa Phd tak bagus, entah sebab apa, atau mereka sendiri tak ada Phd.

“Kalau kamu nak sijil Phd, saya boleh beri kamu, bukan berapa keping kamu nak, berapa kilo pun boleh saya berikan?” Saya teringat lagi kata-kata seorang ustaz terkenal ketika satu ceramah diskusi di Nilam Puri Kelantan, dan dia sendiri tak pun sampai ke tahap itu.

“Orang yang ada Phd bukan alim sangat pun….” Ini juga antara perkataan yang saya pernah dengar. Saya terlalu muda ketika itu untuk membandingkan,

Tetapi setelah berada ditahap ini, saya mengakui, ia bukan satu yang mudah. Kalau orang karang buku, siapa yang nak semak atau tegur? Ada modal atau ada nama, maka buku kita boleh diterbitkan oleh mana-mana syarikat penerbit.

Tapi penulisan di dalam Phd, akan disemak dan dikomen oleh beberapa penyelia. Setiap tulisan perlu disertakan rujukan dan di dalam peringkat ini, kita diajar untuk amanah pada ilmu, bukan reka sendiri mengikut tafsiran sendiri, tapi mesti merujuk pada sumber asal dari ulama-ulama muktabar sebelum memberi satu kesimpulan.

Banyak dalam ceramah kadang-kala, yang memberikan ceramah menyebutkan satu bait arab, dikatanya itu hadis, tapi sebenarnya hanya kata-kata ulama’, ada disebutkan kata ulama ini, tapi sebenarnya ulama’ lain. Inilah yang jadi jika sikap sambil lewa terbiasa di dalam menyampaikan ilmu, kerana di dalam hidup, tidak pernah ada guru yang membetulkan dan memantau jika tersalah.

Mungkin benar, orang Phd tidak semua dia tahu kerana ilmu Allah itu memang luas, tetapi paling kurang di peringkat ini, sebenarnya, kita bukan mendabik dada kita alim, tapi kita baru diberi kunci kepada dunia ilmu pengetahuan.

Kita diajar prinsip mengkaji, menyelidik dan bermuzakarah. Jika ini menjadi tabiat, bermakna kita telah mempunyai kunci kepada dunia ilmu.

Sesungguhnya, makin kita tahu semakin banyak kita sedar bahawa kita tidak mengetahui. Orang yang suka merendahkan orang lain, sebenarnya, dia sudah rasa dia hebat, dan jika ini berlaku bermakna, kunci ilmu akan mula hilang darinya kerana nanti dia tidak akan menjadikan mengkaji, menyelidik dan bermuzakarah sebagai cara hidupnya.

Semoga Allah kurniakan saya dan pembaca sekilian sikap mencintai ilmu hingga akhir hayat kita kerana berkecimpung dengan dunia ilmu bermaksud berkecimpung kepada keselamatan dan kebaikan.

Nabi SAW bersabda “ Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, akan dijadikan dia (diberi ilmu) memahami agama” (HR Bukhari di dalam kitab al-Ilm)

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Dalam Perjalanan ke Guangzhou China

15 Rejab 1432/17 Jun 2011 jam 11.30 pagi

Wednesday, June 15, 2011

Bicara Ilmu 36 – “Amalan Yang Mencambahkan Pahala..”

11 Jun 2011 jam 9.15 pagi, sudah agak lama saya tidak dapat memenuhi undangan dari program menyemarakan Islam Selangor (Promise), alhamdulillah, pagi ini dapat bersama pengunjung sekelian.

Program Promise ini dibuat pada setiap hari sabtu bermula jam 9.15 pagi. Ia dibuat di ruang legar, tempat terbuka antara perpustakaan dan muzium Shah Alam.

Memang satu majlis ilmu yang agak lain kerana tempatnya dibuat di ruang terbuka, kalau waktu mendung, angin bertiup sepoi bahasa, redup, ia sangat nyaman dan mengujakan.

Memang majlis ilmu tidak semestinya di masjid, ia perlu dibuat di mana-mana.

Pagi ini, pengajian tauhid, dan semua pengujung telah sampai ke pengajian al-Mizan (timbangan amalan).

Yang bagusnya program ini ialah ia pengajian bersilibus, walau ustaz bertukar, tetapi pengajiannya tetap bersinambungan.

Apabila kita membicarakan mengenai al-Mizan, ia bermaksud kita akan bicara mengenai timbangan amalan kita sama ada baik atau buruk.

Banyak segi boleh dikupas dan kita juga biasa mendengar kupasan para ustaz dan guru mengenai al-Mizan ini. Tetapi saya nak kongsikan pada kali ini satu sudut sahaja iaitu bagaimana hendak mencambahkan pahala kita supaya banyak di Mizan.

Ada lima cara.

1. hendaklah kita membuat sesuatu perkara itu dengan berjemaah, kerana berjemaah akan mencambahkan pahala.

Lihat sahaja kasih sayang Allah yang memberikan 27 kali ganda bagi orang yang mendirikan solat secara berjemaah.

2. hendaklah kita membuat sedekah yang kekal seperti mewakafkan harta membuat masjid, membuat sekolah agama, membuat rumah kebajikan dan sebagainya kerana sedekah yang kekal akan mengalirkan pahala dan mencambahkan kebaikan buat kita.

3. Hendaklah kita menyampaikan ilmu yang kita tahu pada orang lain walaupun satu ayat. Ini kerana, ilmu yang bermanfaat akan mencambahkan pahala untuk kita. Jika orang yang kita sampaikan itu mengamalkan apa yang kita sampaikan, maka Allah berikan pahala amalan orang itu pada kita tanpa mengurangkan pahala orang itu.

4. Hendaklah kita menganjurkan amalan yang besar manfaatnya seperti mengajurkan majlis ilmu, menganjurkan berbuka puasa, mengajurkan kutipan amal dan sebagainya kerana semakin ramai orang yang menyertai majlis yang kita anjur, semakin besar pahala kita.

5. Hendaklah kita membuat amalan yang lagi besar manfaat lagi bagus kerana semakin banyak manfaat yang diperolehi oleh orang semakin besar pahala kita. Ia seperti bersedekah pada orang yang benar-benar memerlukan sehingga mencukupkan keperluannya, kita membuat kedai makan bagi orang Islam di tempat yang tidak ada kedai makan orang Islam, kita membangunkan industri makanan halal ketika susahnya mendapat makanan halal, kita bangunkan sistem perparitan bagi petani untuk menamam padi dan sebagainya.

Kelima-lima perkara ini adalah kaedah mencambahkan amalan kita ketika kita di Mizan. Semoga kita sentiasa beramal kerana Allah untuk keselamatan kita di dunia dan keselamatan di akhirat.

“Ilmu Pelita Hidup”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad binAbdullah

Putra Heights

13 Rejab 1432/ 15 Jun 2011 jam 7.30 pagi

IMG_1625

IMG_1615

Diari 311 – Khatam al-Quran MQA

Jumaat 10 Jun 2011 jam 11.00 pagi, saya memasuki bagunan PKNS di Petaling Jaya menuju ke pejabat MQA (Malaysian Qualifications Agency) atau Agensi Kelayakan Malaysia. Ia satu jabatan yang diamanahkan untuk menjaga standard pendidikan peringkat tinggi di Malaysia. Kalau barang kita ada SIRIM, kalau pendidikan yang mengiktirafnya ialah MQA ini.

Hari ini, MQA meraikan 8 orang anak-anak staf mereka yang khatam al-Quran. Saya diminta untuk memimpin majlis khatam al-Quran ini.

Program seperti ini sangat bagus terutama di akhir zaman ini, kalau orang meraikan Akademi Fantasia, anugerah pelajar cemerlang akademik, maka menggalakkan anak-anak di dalam bidang-bidang agama seperti meraikan yagn khatam ini, menjadikan yang lain juga teruja untuk mengkhatamkan al-Quran.

Kalau di kampung-kampung, maka khatam al-Quran sinonim selepas itu akan disunatkan.

Majlis bermula jam 11.10 pagi, dengan perarakan berkompang pengarah dan pegawai MQA bersama anak-anak yang khatam al-Quran ini.

Dan khatam al-Quran ini biasanya dimulakan dengan bacaan surah lazim sehinggalah surah an-Nas.

Bagaimana adab mengkhatamkan al-Quran?

Ketika saya mengambil sanad al-Quran bersama guru saya di Mesir, Allahyarham Syeikh Redha Salim, saya mempelajari adab mengkhatamkan al-Quran.

Bagi kita biasanya, mengkhatamkan al-Quran habis dengan surah an-Nas dan doa, tetapi sebaiknya selepas berdoa, maka kita memulakan dengan membaca surah al-Fatihah dan kemudian disambung dengan surah al-Baqarah ayat 1 hingga 5, barulah ditutup majlis khatam al-Quran.

Saya bertanya kepada guru saya ketika itu..

“Syeikh, kenapa adab ahli al-Quran biasanya mereka berbuat demikian..”

Allahyarham Syeikh Redha Salim menyatakan bahawa, khatam al-Quran bukannya bererti kita tamat membaca al-Quran dan tutup al-Quran itu, khatam al-Quran bermaksud kita akan memulakan kembali bacaan baru dan usaha mengkhatamkannya lagi dan lagi.

Adab menutup majlis khatam al-Quran dengan surah al-Fatihah dan Surah al-Baqarah ayat 1-5 memberi gambaran bahawa kita telah memulakan bacaan baru kita untuk kita mengkhatamkannya lagi.

“Ooooo….” Kata saya panjang memahami konsep adab ahli al-Quran.

Orang kita membaca al-Quran dan niat khatam dengan surah an-Nas, itu yang setelah khatam langsung dah tak buka al-Quran sebab memang niat dah habis dah baca.

Alhamdulillah, majlis tamat jam 11.45.

Semoga Allah menjadikan saya dan kita semua orang yang mesra dengan al-Quran, banyak membacanya, baca menghafalnya, banyak memahaminya dan banyak mengamalkannya, amin…

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

13 Rejab 1432/ 15 Jun 2011 jam 12.00 tengah hari

IMG_1552

Peserta diiring dengan paluan kompang

IMG_1527 

IMG_1565

IMG_1579

IMG_1600

Kenangan bersama Y.Bhg Dato’ Dr. Syed Ahmad Hussein

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...