Tuesday, August 4, 2009

Universiti Kehidupan 101 - Belajar Cara Memandang

“Aaa, mmmm, memang tak patut, doktor sepatutnya kena lebih lembut pada pesakit… “ kata Dr. Suhaini Kamdi.

Kasihan saya melihatnya, ketika berusaha menjawab soalan dari seorang pelajar tahun 3, jurusan al-Quran dan Hadith dari Akademi Pengajian Islam UM.

Siswi ini bertanyakan:-

“Saya ada satu soalan, baru ini, saya praktikal di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), saya tengok, doktor tak hormat pesakit, cakap tinggi suara. Dia panggil saya psikatrik. Dia banyak suruh saya jengok karenah pesakit ini. Beginikah seorang yang profesioanal?”

Ketika ini, saya, Dr Suhaini dan Ustaz Mohd Suhaimi sedang memenuhi undangan bagi forum “Anda Sihat Dengan Islam” sempena Ekspo Perubatan Islam Malaysia (Episma 09) di padang Varsiti UM.

Setelah Dr. Suhaini menjawab, saya meminta laluan pada pengerusi untuk menambah.

Memang apa yang dikatakan itu betul dan memang kadang-kala Dr. agak kasar dengan pesakit. Tetapi, apa yang kita buat untuk membantunya.

Adik ini sedang praktikal. Kenapa tak bantu dengan semaksima yang boleh. Doktor mempunyai tekanan kerja yang agak tinggi, 26 hari sebulan dengan kadang kala hampir 12 jam sehari.

Sepatutnya, tak payah disuruh, ambil peranan untuk membantu.

Manusia ada satu cara berfikir yang perlu diperbaiki. Kebanyakkan manusia berfikir

“sepatutnya dia”

Jarang yang berfikir

“sepatutunya saya”

Dalam apa keadaan pun, dalam rumah tangga dan sebagainya.

“Ustaz, dia kan suami, sepatutnya, dia lah yang pujuk saya kalau saya merajuk”

“Ustaz, dia kan isteri, sepatutnya, dia kena taatlah pada saya”

“Ustaz, dia kan dah besar, sepatutnya dia kena fikirlah sendiri, takkan saya asyik nak ingatkan sahaja”

Ramai orang yang berfikir dengan cara sepatutunya dia. Tapi tak ramai yang berfikir, sepatutnya, apa yang perlu aku buat?

Dengan cara berfikir sepatutunya dia, kita tidak akan memperbaiki diri kita, malahan kita akan ada satu sifat iaitu selalu menyalahkan orang lain.

Kita akan Nampak kesalahan orang lain berbanding kesalahan diri kita sediri. Dan jika semua orang berfikir, sepatutunya dia, tidak ada orang yang akan memperbaiki diri mereka.

Ini beza para sahabat, mereka berfikir, sepatutnya saya. Jadi, para sahabat saling tegur menegur, saling memperbaiki diri, semakin meningkatkan amalan, semakin kuat berjuang.

Cuba sahabat berfikir,

Islam tu agama tertinggi, sepatutunya, oranglah datang cari kita di Madinah..

Adakah Islam boleh berkembang dengan cara berfikir, sepatutnya dia.

Jika setiap individu, berfikir, sepatutnya saya, kita akan lihat setiap individu saling bahu membahu, tidak akan ada saling menyalahkan, tidak ada sikap membiarkan orang lain di dalam kesalahan, akan wujud amar makruf nahi mungkar dan sebagaiya.

Dan cara berfikir, sepatutnya saya, akan menyebabkan kita membina kecemerlangan bagi diri, keluarga, masyarakat, Negara dan ummah.

Semoga, kita belajar cara memandang. Jika melihat orang lain salah, jangan tuding satu jari padanya. Tuding sepuluh jari kemudian kesepuluh jari kita itu, kita genggam tangan mereka, kita bimbing dan ajak mereka ke arah yang lebih baik.

Usaha membimbing orang lain, mudah-mudahan, Allah akan membimbing kita.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
4 Ogos 09, jam 8.35 pagi
forum “Anda Sihat Dengan Islam” sempena Ekspo Perubatan Islam Malaysia (Episma 09) di padang Varsiti UM.
Dari kanan, Ustaz Mohd Suhaimi, Saya dan Dr. Suhaini
Program di adakan di Padang Tasik Varsiti UM
antara yang hadir
Jamuan selepas program

Jawapan Pada Persoalan 36

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan oleh Allah untuk berkongsi jawapan bagi persoalan yang diajukan

azamGuest seorang mati meninggal seorang balu,seorang anak lelaki dan bapanya masih ada,adakah bapanya berhak menerima pusaka anaknya yg meninggal itu. 2009-08-01 10:14 AM

berhak

Lin Salam, betulkah org mati syahid, besar atau kecil, terlepas dpd seksaan kubur? Bgmn klu masa hidup krg amal ibadahnya? 2009-08-01 9:57 AM

Itu kelebihan orang yang mati syahid, Cuma, kelebihan ini akan tergantung jika dia mempunyai dosa sesama manusia yang tidak ditaubatkan seperti hutang dan lain-lain

Rey Salam Ustaz, ada sekor anjing jinak yg sentiasa ada dihalaman rumah siang & malam. Kami beri mkn krn kesian & xde niat nk bela. Apa hukumnya ustaz? 2009-08-01 7:54 AM

Boleh dan terpuji

Guest salam ustaz siapa yg perlu didahulukan ibu angkat atau ibu kndg? 2009-08-01 7:36 AM

Ibu kandung

Guest salam ustaz..jika seseorang sudah solat maghrib, kemudian keluar musafir. Di pertengahan jalan, dia nak solat isyak secara jamak pula, boleh ke?tq. 2009-08-02 2:32 PM

Boleh qasarkan. Qasar bermakna pendekkan, jamak bermakna himpunkan. Jamak qasar bermakna himpun dan pendekkan.

Jadi kalau dah solat maghrib, tak perlulah jamak lagi, Isyak tu, qasarkan sahaja

nur salam. nak tny boleh ke sy byar zakat kwsp sy pd rumah anak yatim atau rumah aids yang utz usahakan..kalau boleh sy bank inkan..sy batch dynamic 2009-08-02 1:16 PM

boleh, bagi anak yatim atas asnaf fi sabilillah kerana belajar, bagi HIV atas asnaf Riqab (itu yang ditafsirkan oleh MAIS).

Untuk bersama-sama, bolehlah bank inkan di no sebelah kanan blog ini.

Guestazam salam ustaz,apakah hukum wanita berkahwin berwalikan wali pasik atau saksi yang pasik sah atau tidak pernikahan tersebut. 2009-08-02 11:07 AM

Kalau wali fasiq yang jelas, seperti peminum arak, penzina dan sebagainya, tak sah, tapi kalau sekadar dia salah kecil, sebelum akad, dia bertaubah, maka tak mengapa.

saady btul ke golongan khunsa tidak bleh kawen? 2009-08-02 10:55 AM

betul, ikut kecenderungannya. Jika kecenderungannya lelaki, maka dia seorang lelaki, jika kecenderungannya wanita, maka dia adalah wanita

saady saye kurang faham pasal puasa sunat d bln syaaban. kalau kite x mula pada awal 15 syabaan, kite x bleh puasa utk 15 syabaan terakhir ye?2009-08-02 10:54 AM

puasa selepas 15 sya’ban secara berterusa makruh kecuali

1. pada seorang yang telah berpuasa sebelum dari 15 sya’ban
2. pengamal isnin dan khamis
3. pengamal puasa Nabi Daud iaitu sehari berbuka dan sehari puasa

haz Salam, boleh ke doa mengubah takdir allah. 2009-08-02 7:15 AM

boleh, berdasarkan hadith

haz Salam, ingin kepastian tentang waktu solat sunat isyraq dr jam brp ke jam brap. adakah delakukan bersama dhuha 2009-08-02 7:13 AM

isyraq dulu baru dhuha, boleh tengok pada pada waktu solat. Ada ditulis waktu isyraq

saady rumah anak yatim al-ijabah kat mane? usj 4, area mane? 2009-08-02 6:30 AM

4/9 D

Guest ustaz tolong jelaskan adab & cara taubat nasuha 2009-08-02 5:12 AM

1. menyesal sungguh-sungguh
2. berjanji tidak akan melakukan lagi
3. menunaikan yang telah luput seperti ganti balik puasa, solat dan lain-lain
4. Jika dengan manusia, minta maaf dengan manusia.

atiqah salam, ustaz berdosakah seorang isteri sekiranya hatinya telah mati(tawar) terhadap suami kerana perbuatan suami yang amat menyakitkan. 2009-08-03 5:12 AM

sesuatu tidak dikira berdosa hinggalan kita melahirkan perbuatan itu. Tetapi, hati begini kena ubat, jika tidak, maka takut satu hari nanti akan terkeluar juga. Ubatnya, banyakkan baca selawat syifa

Guest apa alamat email ust amin? 2009-08-03 3:51 AM

muhamadbinabdullah@gmail.com

haslan salam ustaz macam nak order/blei air mineral yg ustaz usahakan itu? apakah size botol air mineral tersebut? 2009-08-03 2:45 AM

saiz 500 ml, untuk order, hubungi sahabat saya, Azizi 019-3064814

Muhammad Hanif Bin Sulaiman Assalammualaikum wahai Ustaz Amin. Hanya menyampaikan Salam sejahtera pada Ustaz. Semoga segala amal dan koran Ustaz sekeluarga di redhai Allah. 2009-08-03 2:37 AM

Terima kasih wahai Muhamad Hanif, semoga tuan sekeluarga juga diredhai Allah

Guest salam ustaz..dlm hadis ada mengatakan Allah memberi 1 rahmat pd manusia..99 lagi tetap padaNya.Apakah 1 rahmat yg dimaksudkannya? 2009-08-03 2:18 AM

Pengajaran hadith ini ialah, nak bagitahu bahawa, rahmat Allah itu jauh lebih luas. Dengan satu rahmat yang diturunkan oleh Allah inilah, maka semua makhluk ada rasa belas dan kasih. Cuba bayangkan betapa luas rahmat dan kasih sayangnya

Guest salam ustaz..boleh ke saya bersalam dgn bapa saudara sebelah suami (adik beradik ibu mertua).. 2009-08-03 2:12 AM

Boleh jika tidak menimbulkan syahwat pada puan dan dia, tapi wudhuk, batal. Seeloknya elakkan

Guest Ustaz, apa hukumnya kalau kita kutip tin minuman arak (can yg dah kosong tapi kadang2 ada sisa) utk tujuan jual ke recycle centre? 2009-08-03 1:37 AM

Sudah jadi bahan buangan tak apa, tetapi tetap ada syubhat

Guest salam ustaz..selawat fateh tu macam mane ustaz?tq 2009-08-03 1:29 AM

Cari dekat buku doa,

Guestazam berapakah kadar nisab wang yg terendah yang diwajibkan zakat. 2009-08-03 12:43 AM

RM 8000 setahun setelah ditolak keperluan asas, kalau dah tolak dan tak sampai RM 8000, maka tak kena

Guest Salam Ustaz.Apa hukum sentuh@tanggung mushaf Al-Quran tanpa wuduk.Contoh peniaga kedai buku tu.tq 2009-08-02 2:34 PM

Asal hukum haram, kecuali darurat. Jadi, bagi penjual kedai buku, niatkan bahawa, anda berkhidmat untuk menyampaikan Quran ini pada orang lain.

Walaubagaimana pun, jika mampu, maka kena berwudhuk

Man ustaz, jika saya nak bertanyakan soalan epada ustaz bolekah saya e mailkan kepada ustaz kerana soalan saya agak peribadi 2009-08-03 2:35 PM

muhamadbinabdullah@gmail.com

Guest salam ustaz, bagaimana saya boleh membantu untuk penghuni HIV tersebut? Atau ada no akaun untuk memberi sumbangan dari segi kewangan, insyaAllah. 2009-08-03 1:06 PM

Sebelah kanan blog saya

morazas: Terima kasih jawapan sebelum ni(2009-07-28 9:38 AM) Ada kaedah yg dianjurkan oleh Islam,utk tuntut hutang dari peminjam yg liat bayar(cara spt sms,call & bila dtg umah peminjam beri mcm2 dalih)? 2009-08-03 9:14 AM

Minta Allah lembutkan hatinya. Bacakan fatihah padanya

Guest Ustaz, apa hukumnya kalau isteri keluar utk belajar agama dgn izin & dorongan suami tapi suami & anak2 masih kecil dirumah yg ada maid, bukan mahram 2009-08-03 9:10 AM

Suami kena jaga diri, kalau sampai kemudian berduaan dengan maid ditempat yang mencurigakan, maka hal ini dilarang.

Bagi puan, belajarlah, bagi suami jaga diri, bagi kedua-dua suami dan isteri, saling mendoakan

Guest assalamualaikum.ustaz boleh kah kite memakai kalung bunga yang diberi oleh org india semasa menghadiri kenduri mereka 2009-08-03 9:02 AM

Jika kalung itu tanda penghormatan boleh, kalau sebagai upacara agama tak boleh

esan salam ustaz, apakah saluran untuk memberi bantuan kepada rumah untuk pesakit HIV? thanks. 2009-08-03 7:07 AM

Akaun sebelah kanan blog ini

Aida salam ustaz, waktu terbaik untuk solat duha. saya selalu solat pukul 12 - 12.30. zohor temapt saya 1.15. afdalkah?mohon pandangan 2009-08-03 7:05 AM

Boleh

umiesafa assalamualaikum ustaz, ank2 saya sering melihat kelibat lembaga dirumah kami. tapi ia tdk menganggu sekadar.apakah ia jin atau syaitan? bagaimana hendak mengusir ia keluar krn kdg2 terasa seram sejuk terutama bila bersendirian.terima kasih ustaz. 2009-08-03 6:28 AM

jadikan rumah kita, tempat kita bersolat sunat dan membaca al-Quran

Wallahualambisawab

Semoga menepati kehendak soalan, jika masih ada kesamaran, boleh tanya kembali


"Pertanyaan, Kunci Pengetahuan"

al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights4 Ogos 09 jam 7.50 pagi

Jawapan Pada Persoalan 35

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan oleh Allah untuk berkongsi jawapan bagi persoalan yang diajukan

tuah askum.. ustaz. apa cara nak perbetulkan isteri berzinah.dia selalukata saya buruk sangka.tapi saya tahucumatidak boleh di buktikan dengan mata kepala. 2009-07-31 9:00 AM

kalau tak ada bukti, tak boleh tuduh. Dirikan solat banyak-banyak dan minta Allah tunjukkan yang sebenar.

Atifah Ustaz, macam mana sya nak contact ustaz..ini mengenai sedara sya yg mengidap HIV tetapi tak ada tempat untk tinggal, keluarga buang dia..terima kasih 2009-07-31 8:44 AM

Untuk urusan HIV, hubungi kak Liza, 016-2675056

Guest salam,ustaz apa doa yang boleh mempercepatkan jodoh. 2009-07-31 6:04 AM

Banyakkan selawat

izah cth...ucpan innalillahiwainnalillahhirojiun ustaz kate boleh diucapkkan untok orng bkn islam..makcik sye kte dose..tolng bantu sye ustaz... 2009-07-31 10:13 AM

ucapan inna lillah bukan untuk diucap pada sesiapa, dia adalah kalimah ketika kita mendengar musibah. Walaupun kita dengar musibah itu terkena pada orang kafir.

Jadi, kita bukan ucap pada dia, kita ucapkan untuk kita mengingat Allah. Jadi, tak salah kalau kita ucap

Guest Seseorang menepuk bahu kanan untuk berjamaah sedangkan ketika itu saya sedang menunaikan solat sunnat. Apakah yang sepatutnya saya lakukan Ustaz?. 2009-07-31 2:30 PM

Teruskan solat, orang itu, dengan niatnya, dia akan mendapat pahala berjemaah

lid kebanyakan lagu nasyid masa kini muziknya menggunakan alat2 muzik yg diharamkan.pandangan ustaz 2009-07-31 1:55 PM

Pengharaman beberapa alat muzik ada khilaf. Jadi, jika nasyid itu merapatkan kita pada Allah, maka tidak mengapa

Guest kenapa ramai org pergi umrah, tapi tetap tidak menutup aurat 2009-07-31 1:54 PM

Mereka sedang memperbaiki diri. Alhamdulillah, umrah dah buat, jadi mudahan yang lain. Perlahan-lahan dapat diubah

Guest mewarna rambut utk suami.bolehkah?padahal bila mandi wajib rambut yg diwarna tidak kena air 2009-07-31 1:52 PM

Kalau menggunakan pewarna yang tidak sampai air, maka tak boleh.

Guest pandangan ustaz terhadap sistem pendidikan sekarang 2009-07-31 1:48 PM

Bagus cuma perlu lebihkan pendidikan agama

Guest salam ustaz saya mohon izin utk memasukkan alamat web ustaz di facebook saya supaya rakan saya yg tidak mengetahui boleh melayari 2009-07-31 1:44 PM

Silakan, semoga ada manfaat

Guest di rumah saya ada menggantung gambar adik beradik konvokesyen dan gambar famili.bolehkah 2009-07-31 1:40 PM

Boleh dengan syarat gambar itu tidak menjadi perkara yang dipuja

Guest haramkah kita mengaji dgn menggunakan Quran Majeed...bukan resam Uthmani 2009-07-31 11:56 AM

Tidak jika bacaan kita betul

Guest lalu di dpn org sedang solat apa hukumya.bagaimana kalau tak de tempat hendak lalu,setengah org letak brg di depan org sdg bersolat.itukah cara sebena 2009-07-31 11:55 AM

Lalu dengan sengaja, boleh jatuh haram, kalau dah tak ada laluan lain, maka di maafkan. Orang meletakkan barang di hadapan itu, itu sunnah

Ia dipanggil sutrah. Iaitu tanda tempat sembahyang. Jika orang lalu di hadapan barang itu, maka tidak mengapa

Guest Anak lelaki sy 13thn,sgt degil & malas, dah hafalQuran55pg. Now dia dah tukar sklh,x nak hafaz lagi. How nak elokkan akhlaknya & semangatnya. Sy sedih 2009-08-01 4:07 AM

Terus doakan. Bagi harapan pada dia. Jaga solat dia. Orang yang jaga solat, kalau nakal pun, insyaAllah, Allah akan bimbing.

Guest salam ustaz,apakah langkah2 seseorang itu utk bertaubat nasuha 2009-08-01 2:27 AM

1. menyesal sungguh-sungguh
2. berjanji tidak akan melakukan lagi
3. menunaikan yang telah luput seperti ganti balik puasa, solat dan lain-lain
4. Jika dengan manusia, minta maaf dengan manusia.

Jika setelah kita taubat, maka kita masih lakukan lagi, taubat lagi dan lagi. Semoga Allah akan bimbing kita

Ingintahu Salam Ustaz. Saya ingin bertanya bagaimanakah caranya untuk membasuh atau samak rumah yg baru dibeli kerana terdapat bnyk anjing dikawasan tersebut.2009-08-01 2:05 AM

Satu kali air tanah dan enam kali air biasa

Guest kalau saya di datangi dan di hinggap kat badan saya seketika olih saekor kupu2 putih pada pagi hari apakah tanda nya agak nya. sekian salam 2009-08-01 1:23 AM

Wallahualam, saya tak tahu mengenai tanda-tanda terhadap kejadian seperti ini. Tanya ustaz lain.

azamGuest salam ustaz...adakah potongan pinjaman perumahan termasuk dalam perbelanjaan yang dibenarkan ditolak dalam pengiraan zakat pendapatan.kalau x kenapa. 2009-08-01 12:39 AM

ditolak zakat kerana rumah merupakan keperluan asas

Guest bole tak saya bayar zakat secara sendiri kapada amel yang 8 tu.bagi tahun lepas saya bayar zakat kurang sikit 11k 2009-07-31 4:19 PM

Boleh, Cuma kalau beri sediri, gugur asnaf amil, sebab kita bagi langsung, maka kita tak boleh ambil bahagian sebagai amil

Guest saya dok bayar zakat kat pusat zakat selangor,tapi baru2 ni depa nak guna wag zakat untuk pembangunan ng selangor supaya bukan islam pun dapat kecapi 2009-07-31 4:17 PM

Belum guna lagi, Mufti Selangor pertahankan, Alhamdulillah

Pika salam ustaz. saya nk tanya. A bermimpi B menjadi seorang ustaz. padahal di alam realitinya, B merupakan seorang yang kurang baik. terima kasih. 2009-07-31 4:00 PM

Mungkinkan B kawan baik anda? Dari mimpi ini, A mengharapkan B berubah.

Guest Salam ustaz...terima kasih utk setiap jawapan, walau soalan kian bertambah, moga ustaz urusan ustaz dipermudahkan... 2009-07-31 3:34 PM

Amin…

Guest seseorang wanita solat memakai baju biasa..tudung 3 segi dan baju kurung.tapi bahagian bwh dagu tak ditutup.bolehkah 2009-07-31 3:15 PM

Persoalan dagu adakah aurat atau tidak, memang ada khilaf. Ada pendapat yang mengatakan ia sebahagian dari aurat, maka wajib tutup, ada sebahagian berpendapat ia bukan aurat, maka tidak wajib ditutup, tetapi afdhalnya tutup.

Bagi saya, di dalam solat, dagu kena tutup

nik Guest sedekah fatihah utk datuk nenek yg dah meninggal.sampaikah pahala? 2009-07-29 11:38 AM Sampai. Boleh beri penjelasan lanjut beserta nas. 2009-08-02 3:24 AM

Metodologi saya menjawab soalan di sini adalah ringkas. Untuk memudahkan sidang pembaca berinteraksi secara mudah.

Saya yakin, anda pun tahu, hal ini ada khilafnya dan ia tidak akan habis jika dibincangkan.

Jika ikhlas dan jujur, boleh buka perbahasan di dalam kitab-kitab dan anda boleh jumpa jawapannya. Saya tidak berminat dengan perbahasan khilafiah di dalam blog ini yang akhirnya menyebabkan kita mengabaikan perkara lebih besar.

Membid’ahkan sana sini pada perkara khilaf, dalam waktu yang sama ramai orang mati dalam gereja, ramai anak luar nikah lahir, ramai anak orang miskin dan anak yatim yang tidak terbela.

Kalau anda seorang ustaz, mari kita sama-sama berkhidmat untuk agama dan umat Islam, perbaiki mereka dan bukan asyik nak berhujah sana sini pada perkara khilafiah.

Nanti orang akan kata, “ ah ustaz ni, cakap aje pandai, buat kerja langung tak reti”

Ia akan memberi imej buruk pada para ustaz dan orang Islam itu sendiri seperti yang pernah saya dengar ketika mengusahakan saudara seIslam kita keluar dari gereja ini.

Semoga Allah terus memberi kekuatan pada kita mendaulatkan Islam, amin..

Guest salam..tidak menunaikan solat jumaat kerana bertugas...bolehkah?adakah saya berdosa?saya hanya solat zohor ganti solat jumaat 2009-08-01 3:06 PM

Telah ada fatwa, jika tuan bekerja seperti Polis, imigresen dan perkara untuk kepentingan yang lebih luas maka, tuan boleh gantikan dengan zohor, Cuma, jangan tinggal jumaat selama tiga kali berturut.

Atikah salam ustaz..teima kasih atas bimbingan...kat mane bley saya dapatkan air mineral yg ustaz keluarkan? 2009-08-01 1:14 PM

Hubungi sahabat saya, Azizi 019-3064814

Wallahualambisawab

Semoga menepati kehendak soalan, jika masih ada kesamaran, boleh tanya kembali

"Pertanyaan, Kunci Pengetahuan"

al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
4 Ogos 09 jam 7.50 pagi

Sunday, August 2, 2009

Diari 97 - Ucapan Takziah Pada Keluarga Allahyarham

Saya mengucapkan Takziah kepada ahli keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Allahyarham Dato' Mohd. Hamdan Abd, Rahman

Saya juga mengucapkan "Takziah" pada seluruh muslimin muslimat yang sedang diuji dengan musibah dan kematian orang disayangi ketika ini walau di mana mereka berada.

Orang mukmin, dunia ini tempat berpenat, kuburnyalah tempatnya berehat. Untuk Allahyarham Dato' YB, semoga tuan dapat berehat dari kesibukan dunia ini.

Allah akan membalas selaga usaha dan kesungguhan tuan berbakti pada Islam.

Yang tinggal, semoga dapat menyambut perjuangan dan amanah dengan baik. Tak kira apa parti kita, ketika mati, yang ditanya adalah amalan yang dibawa.

Untuk kita semua,

Pada ketika ini, kita hidup, ke sana dan ke sini, berkenalan di antara satu dengan lain, berhimpun dan bersama

Hari ini, kita semua ada yang pernah bersua di dunia, semoga, kita akan bersua dan berhimpun juga di akhirat dan semoga perhimpunan itu berada di syurga bersama kekasih kita Junjungan Muhammad saw.

Asalkan sahaja, apa yang kita buat mengundang keredhaan Allah.

“Dairi, Merakam Sejarah, Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
2 Ogos 09, jam 12.15 tengah hari

al-Fatihah

Diari 96 – Pancing Lebih Bagus

“Ustaz, apa yang boleh saya bantu?” Kata Dato Roslan Khalid, salah satu Melayu Islam kita yang dapat membina sebuah kompleks membeli belah Axis Atrium di Cempaka, Pandan Indah.

Beliau tahu akan rumah anak yatim al-Ijabah yang saya dan sahabat-sahabat kelolakan.

“Ustaz, kalau kompleks saya siap, saya nak bagi ustaz lot kedai untuk ustaz berniaga” kata Dato’ Roslan

“Itu yang terbaik, bagi saya pancing dan jangan bagi saya ikan” kata saya pada hujung tahun 2008.

“Ustaz, nak buat apa?” Katanya

“InsyaAllah, saya nak kembangkan kedai optical yang saya ada. Setakat ini, Alhamdulillah, telah ada satu di kampung Melayu Subang dan satu di Seksyen 9 Shah Alam. Dua kedai ini banyak membantu aktiviti yang dijalankan” Kata saya.

“Satu lagi, kalau dapat saya nak buat kedai buku” kata saya.

“Ok ustaz, saya uruskan lot ini untuk ustaz” kata Dato Roslan.

Dengan pertolongannya, saya dapat dua lot kedai ini. Malahan, bagi kedai buku, saya mendapat hak eksklusif bahawa di tempat ini, tidak akan ada kedai buku lain. Kedai buku yang bukan Islam menunggu sahaja untuk masuk.

Bagi kedai optical, tidak ada masalah insyaAllah, pengalaman saya dan isteri yang juga seorang optometrist mengendalikan dua kedai ini, banyak membantu.

Bagi kedai buku, saya mendapat mentor dari seorang anak murid arwah ayah saya, En. Hussain. Beliau empunya kedai buku di dalam terminal di KLIA.

“Ustaz, kedai buku ni, modal dia agak besar juga. Kalau nak buat betul-betul, paling kurang, stok buku dalam RM 500 ribu dan alat tulis dalam RM 150 ribu, barulah sesuai ia terletak di Kompleks membeli belah” kata En Hussain yang tinggal di Subang Jaya.

Saya membuat kertas kerja, kedai buku dihantar ke Prosper PUNB dan kedai optical ke Mara.

Masa terus berlalu. Kompleks ini semakin naik. Hinggalah, baru-baru ini, saya dimaklumkan bahawa, Mara tengah tidak ada budjet sekarang kerana kementeriannya telah dimansuhkan manakala PUNB tidak meluluskan projek ini kerana tidak yakin akan potensi tempat ini.

Sebaik sahaja saya memaklumkan hal ini, kedai buku yang bukan Islam terus masuk ke dalam kompleks ini.

Apa yang boleh saya katakan. Tak apalah bukan rezki.

“Abis kedai optical macam mana ustaz” Tanya Dato’ Roslan.

“InsyaAllah, saya akan teruskan. Walaupun tidak ada bantuan dari mana-mana setakat ini, itu Allah punya kerja” kata saya.

“Tapi ustaz, ustaz akan bersaing dengan pesaing besar. England Optical, Focus Point dan sebuah kedai lagi. Mereka semua telah mengesahkan kemasukan mereka di kompleks ini” kata Dato’ Roslan.

“Tak apa, biar ia menjadi satu fardhu kifayah, ketiga tadi semuanya bukan orang Islam”

“Ustaz nak tengok tapak kedai ustaz tak?” Kata Dato Roslan.

“Boleh juga” kata saya.

Kami berjanji bertemu di tapak pembinaan pada pagi 1 Ogos 09, jam 10.30 pagi. Saya mengajak sekali kontraktor untuk tujuan renovation yang dijangka akan bermula hujung bulan ini.

Ketika melangkah masuk, saya melihat kompleks yang tersergam ini. Hampir mahu siap. Tapak kedai saya (insyaAllah) betul-betul di hadapan tangga bergerak. Saya melihat kedudukan kedai England Optical, Focus Point dan sebuah lagi kedai. Memang strategik.

Kompleks ini memang mempunyai potensi. Kalau tidak, masakan penyewa besar semua ada di sini, Carefore, KFC dan lain-lain. Tapi sayang, tidak ramai orang Islam kita yang mampu untuk ke sini.

Saya melangkah keluar. Setelah berbual tentang perjalanan kompleks ini, saya meminta diri.

Macam mana ia hendak dimulakan, saya tak tahu. Tapi insyaAllah, jika ia dipermudahkan Allah, maka ia akan berjalan dengan mudah.

Kita bukan bergantung dengan dunia. Kita bergantung dengan Allah. Kalau Allah menghendaki ia berjaya, ia dapat direalisasikan.

Cuma, Allah mahu usaha kita digandakan. Gandaan usaha itu bukan untuk Allah susahkan kita, tetapi untuk Allah beri pula pahala berusaha sebagai bekalan di akhirat.

Sebab itu orang mukmin tidak pernah rasa kecewa dalam hidupnya. Kalau berjaya, mereka akan bersyukur, kalau gagal, mereka akan bangun dan usaha lagi.

Apa pun, semoga ia dipermudahkan oleh Allah.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
2 Ogos 09 jam 11.15 pagi
Di hujung tangga ini, insyaAllah tapak kedai, orang sekitar Pandan dijemput hadir
Bersama Dato' Roslan Khalid
Axis Atrium, hampir siap
Semoga ia dipermudahkan Allah

al-Ijabah 15 - Isu Muslim Di Gereja : Di Sebalik Tilam Kita Yang Empuk, Ada Saudara Kita Yang Berlantaikan Simen

“Ustaz, tilam tak cukup lah, penghuni di rumah HIV kita tidur dekat lantai aje, kasihan kat mereka ustaz” Kak Liza memaklumkan pada saya.

“Saya dah bagitahu dekat bahagia Riqab MAIS, dia kata tilam semua datang 7 Ogos ni. Kedai akan hantar sekali gus dengan penempatan di Yayasan Budi. Yayasan Budi belum siap lagi tempatnya” jawab saya.

“Lambatlah ustaz, abis tu, waktu sekarang, dia orang nak tidur macam mana ye” Kak Liza menambah lagi.

“Mmm, tak apa kak, saya tengah nak ada program ni, sampai malam hari ini. Nanti lepas program malam ni, saya tengokkan dekat rumah anak yatim kita, kalau ada tilam lebih, kita bawa ke sana, nanti kak tolong bagitahu saya berapa kurang ye” kata saya.

Tak lama selepas itu, satu message masuk ke dalam telifon. Dari Kak Liza.

“Tilam lagi 8, bantal 8”

“InsyaAllah,”bisik hati saya

1 Ogos, jam 8.00 malam, saya memenuhi undangan Israk dan Mikraj di surah ar-Raudhah, di Seksyen 19 Shah Alam. Alhamdulillah, program semua selesai jam 10.30 malam.

Saya menghubungi ibu saya:-

“Mak, kat rumah anak-anak yatim kita, ada tilam tak?”

“Ada, tapi anak-anak ni, pakai lah” jawab ibu saya.

“Tak ada lebih ke?” Tanya saya lagi.

“Rasanya ada lebih satu, tapi Toto ada lebih” jawab ibu saya.

“Aaa, Amin nak datang ambil ye, nak bagi kat saudara kita yang HIV tu, dia orang tak ada tilam lah” kata saya.

“Aa ah, datanglah ambil” kata ibu saya.

Saya singgah ke USJ 4, rumah anak Yatim al-Ijabah. Ada satu tilam lebih dan empat Toto yang boleh diberikan. Terus saya membelokkan kereta dan ke Petaling Jaya.

Jam menunjukkan jam pukul 12 tengah malam. Pagar dibuka, kebanyakkan penghuni telah tidur.

Saya melangkah masuk ke kawasan rumah. Mata saya terus tertumpu pada seorang penghuni yang sedang tidur di atas lantai simen.

Dada saya berdegup kencang, terasa pilu melihat keadaan ini. Banyangkan kalau kita yang sedang tidur sedemikian.

“Samsul, Azim, firdaus, tolong bawa masuk tilam dan Toto dalam van” kata saya pada anak buah saya ini.

Saya memberi salam, duduk disebelah sahabat yang sedang tidur ini. Dia terjaga dan cepat-cepat bingkas bangun, cepat-cepat memakai bajunya. Yang telah tidur semuanya terbangun dengan kehadiran saya.

“maaflah ye, ada program tadi”

“Tak apa ustaz” kata mereka.

Apa yang paling saya sedihkan? Saya sangat terharu pada mereka yang mahu keluar dari gereja ini, padahal duduk di sana lebih selesa dibandingkan di sini.

Tapi mereka mahu ikut saya dan kawan-kawan. Sebab hati kecil mereka mahu keluar dari gereja ini. Cuma sebelum ini, tidak ada orang yang menyediakan tempat.

Saya telah usahakan semaksima yang mampu, jika masih kurang, saya minta ampun pada Allah. Semoga Allah terus memberikan kekuatan dan kemampuan kepada sesiapa sahaja yang bersama-sama untuk usaha ini, dan sesiapa sahaja yang mahu berbakti pada Islam.

Kita bukan tak mampu menandingi gereja, kita cuma tidak mampu menandingi kelemahan diri sendiri. Kelemahan untuk berkorban demi Islam.

“ustaz, terima kasih sebab luangkan masa jenguk kami di sini”, kata salah seorang penghuni.

Saya melemparkan senyuman buat mereka.

“tak apalah, kita bina pelahan-lahan ye, insyaAllah, Allah akan bantu” kata saya.

Terima kasih Allah, kerana telah mengizinkan usaha ini bermula. Akan ku cuba semaksima yang mampu untukMu.

Terima kasih pada sahabat-sahabat yang sama-sama membantu, paling kurang, dengan mendoakan. Saya yakin, semua ini berjaya hasil keberkatan doa dari kalian semua.

Semua bermula dari kecil, semoga ia terus dibantu Allah. Yang penting ialah, mudah-mudahan, ia mengundang keredhaaNya. Amin..

“Mencari Kepulangan Yan g Diredhai”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
2 Ogos 09 jam 10.30 pagi.
Saya memenuhi undangan Israk dan Mikraj di surah ar-Raudhah, di Seksyen 19 Shah Alam
Alhamdulillah, semua selesai jam 10.30 malam
Kenangkanlah, di sebalik keempukan tilam kita, ada orang yang sedang tidur beralaskan simen yang sejuk. Kita bukan tidak mampu menyediakan seperti gereja itu, tetapi, kita tidak mampu untuk berkorban untuk Islam
Saya telah usahakan semaksima yang mampu, baki aku pohon ampun padaMu ya Allah...

Universiti Kehidupan 100 - Mengapa Wujud Putus Asa Dalam Mendidik?

Khamis, 30 Julai 09, hari ini, saya memenuhi undangan di Panasonic Senai Johor. Ceramah berkisar mengenai Israk dan Mikraj.

Saya dan Rombongan bertolak dari Kuala Lumpur jam 4 petang, sejurus selepas program bersama warga Pusat Asasi Universiti Malaya.

Alhamdulillah, perjalanan dipermudahkan Allah, dan kami sampai di Johor sebelum Maghrib.

Selepas solat maghrib berjemaah, program dimulakan. Saya kongsikan dengan sidang pendengar sekelian, mengenai Israk dan Mikraj beserta dengan catatan dan gambar pengalaman berada di al-Aqsa dua bulan lepas.

Ceramah kali ini, dihadiri oleh Ustaz Ahmad Helmi, Naib Qadhi Mukim Senai/ Kulai Jaya. Saya kagumi tawadhuk beliau.

Biasanya, ustaz senior, jarang yang mahu duduk di kuliah yang disampaikan oleh anak-anak muda. Tetapi, beliau duduk di hadapan sekali.

Semoga Allah mengekalkan sifat ini pada beliau dan menganugerahkan juga pada kita sifat yang sama, amin…

Ceramah disempurnakan jam 9.15 malam, dan kami menunaikan solat Isyak berjemaah. Majlis diakhiri dengan jamuan makan malam.

Ketika makan, Ustaz Ahmad Helmi duduk di hadapan saya. Kami berbual-bual mengenai keadaan semasa.

“Anak-anak sekarang ni, susah nak solat Ustaz. Pulak tu, mak bapak harap pihak sekolah aje untuk didik. Sepatutnya, solat mesti dimulakan dari rumah lagi. Kalau ayah tak solat, macam mana anak nak solat?” Kata Ustaz Ahmad Helmi.

Perbulaan ini mengingatkan saya mengenai keluhan ibu-ibu di Shah Alam yang mengadu susahnya mendidik anak-anak sekarang.

Hingga, rasa susah itu menyebabkan akhirnya mereka berhenti menegur dan malas nak bising pada anak-anak mereka.

“Alah ustaz, kalau kita cakap pun, bukannya nak dengar” kata salah seorang kakak yang memberitahu kekecewaannya pada anaknya.

Sebenarnya, hari ini kita menegur anak kita, bukan nak suruh dia dengar cakap kita. Kalau itu tujuannya, maka, jika kita rasa dia tidak mahu berubah, maka kita akan berhenti menegur.

Hari ini, kita tegur anak kita kerana Allah suruh menegur orang yang salah. Sama ada dia hendak dengar atau tidak, maka kita akan terus menegur.

“Ustaz, anak saya, yang sulung belajar di UM, di Akademi Pengajian Islam, Yang kedua di al-Azhar Mesir, yang ketiga pun di al-Azhar. Balik, dah kerja pun di Jabatan Agama. Kadang-kala, solat subuh pun, saya kena kejut lagi” kata Ustaz Ahmad Helmi.

“Ustaz, itu yang dah kita hantar ke sekolah agama, masuk universiti, bidang agama, pun nak kena bantu lagi. Cuba ustaz bayangkan, ibu ayah yang tak kejutkan anak solat, macam mana dia orang nak boleh bangun?” Ustaz Ahmad Helmi menambah lagi.

Saya tertarik dengan kata-katanya. hari ini, ramai orang yang menyerahakan tugasan mendidik anak-anak pada sekolah semata-mata, dan ramai yang tidak merasa tugasan mendidik juga perlu dilakukan oleh para ibu dan ayah.

Pendidikan terbaik ialah sulaman di antara sekolah dan rumah. Barulah anak-anak itu mendapat teguran berterusan.

Walaupun sekolah tahfiz, walaupun sekolah agama, walaupun belajar di institusi agama yang besar-besar, kita belum boleh harap anak kita berdikari menjaga agamanya. Ini kerana, pendidikan hati ini berterusan hingga kita mati.

Kalau tidak, masakan, Nabi juga mengadakan pendidikan pada orang yang lebih tua. Ini bermakna, tugasan untuk mendidik tidak pernah henti.

Oleh itu, jangan kita putus asa mendidik keluarga kita. Hari ini gagal, cuba lagi, hari ini tidak berjaya, usaha lagi.

Allah tidak melihat di mana kita bermula, kita akan dinilai, di mana kita berakhir. Dan oleh kerana, penghujung kita terlalu penting, maka syaitan terus berusaha melalaikan orang dihujung usiannya.

Itu yang terjadi, semakin tua semakin sombong, semakin rakus, semakin rasa diri hebat, semakin rasa orang lain hina, semakin rasa orang lain rendah dan sebagainya.

Jadi, pendidikan agama perlu berterusan, sepanjang hidup, tidak boleh berhenti, tidak boleh ditangguh.

Semoga dengan ilmu dan kefahaman, menjadikan hati ini lebih bersedia untuk menerima hidayah dari Allah dan semoga kita semua diselamatkan di dunia ini dan di akhirat.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
Ahad 2 Ogos 09
Jam 9.30 pagi
Di Panasonic Senai Johor
Tajuk ialah "Falsahan Israk dan Mikraj"
Kita berkonsi gambar di al-Aqsa
Menimba ilmu dan pengalaman dari Ustaz Ahmad Helmi

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...