Monday, May 17, 2010

Diari 218 – Warga Baru al-Ijabah

Sabtu 15 Mei 2010, jam 2.00 petang, rumah al-Ijabah menerima kemasukan dua orang anak yatim piatu dari Johor.

Anak-anak ini dihantar oleh datuk saudara mereka. Ayah mereka meninggal pada hujung tahun 2009 dan diikuti dengan ibu mereka awal tahun ini. Semoga Allah merahmati kita dan mereka.

Rumah al-Ijabah memang bersedia menerima mana-mana anak yatim jika terdapat kekosongan dan beza kita dan tempat lain ialah kita menjaga tarbiah dan pelajaran mereka.

Di kala, kebanyakkan rumah anak yatim lain kurang berjaya (menurut seorang pegawai di LZS bahawa 40 rumah anak yatim dalam bantuan LZS kurang berjaya)  Dengan izin Allah, anak-anak Ijabah telah sampai ke Turki dan Mesir. Hujung bulan ini juga saya akan ke Mesir menguruskan tiga orang dari mereka.

Tapi itu semua dengan izin Allah dan dengan bantuanNya jua. Kita cuma berusaha dan mengharapkan agar ia terus dibantu dan dikekalkan.

Bulan Jun/ Julai ini, kita akan merasmikan pembukaan rumah Ijabah kedua di Kuala Selangor. Kekosongan yang ada ialah untuk 20 orang anak-anak sekolah rendah dan menengah rendah. InsyaAllah yang berminat boleh hubungi PA saya Nur Alia di talian 019-6003643.

Dokumen yang diperlukan ialah surah beranak anak yatim, surat mati ayah dan kad pengenalan penjaga sekarang. Jika mahu di poskan, boleh di alamatkan kepada :-

No. 14 Jalan Tengku Ampuan Zabedah, K9/K Seksyen 9 Shah Alam 40100, Selangor.

Minta sama-sama mewar-warkan. Di atas motto, “bersatu kita berbakti”, insyaAllah kita cuba mendapatkan kelebihan dari hadis Nabi saw bahawa:-

Aku dan pemelihara anak yatim begini di syurga, sambil Nabi menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya.

Semoga Allah terus memberi kekuatan pada kita beramal dan berbakti untuk akhirat kita, amin….

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

3 Jamadil Akhir 1431/17 Mei 2010 jam 8.00 pagi.

IMG_9634

Kemasukkan dua anak yatim piatu perempuan dari Johor

IMG_9658

Lawatan ke MASAA

IMG_9663

Pendaftaran ke MASAA bagi anak perempuan

IMG_9669

Sembang santai selepas urusan selesai

Sunday, May 16, 2010

Sisipan 9 – Program Halaqah “Orang Muda”

InsyaAllah, malam ini, Ahad 16 Mei  2010, saya akan bersama dengan kita semua di rancangan Halaqah di TV9.

Tajuk perbincangan kali ini ialah”Orang Muda” membahaskan mengenai keadaan orang muda

Semoga memberi kebaikan dan manfaat pada diri saya dan kita semua insyaAllah, amin…

“Sisipan Mengumumkan Peristiwa”

al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

2 Jamadil Akhir 1431/ 30 Mei 16  2010 jam 2.00 petang

Friday, May 14, 2010

Diari 217 – Ziarah Allahyarham Ustaz Ashaari dan Allahyarham Habib Ali Jaafar al-Idrus

Khamis 13 Mei 2010, hari yang agak penuh dengan berbagai program bermula dengan jemputan ceramah, mesyuarat Maahad Sains al-Quran al-Amin dan mesyuarat mengenai penubuhan cawangan rumah anak yatim al-Ijabah di Kuala Selangor.

Baru sahaja kembali ke pejabat di Shah Alam, saya menerima satu massage:-

“Ustaz Ashaari meninggal dan akan dikebumikan di Pilin”

Hah, Ustaz Ashari Arqam ke? Spontan saya mengucapkan:

“Innalillah wa Innailahihirajiun”

Malam ini sepatutnya saya ada program di Kuala Lumpur kerana tahlil 40 hari pulangnya Habib Abdul Qadir al-Saqqaf di Mekah.

Baru saya ingin membuat keputusan, mana yang saya mahu ziarah masuk lagi satu massage:-

“Innalillah wa Inna Ilahi Rajiun..umat Islam kehilangan insan yang dikasihi dengan pulangnya Habib Ali Jaafar al-Idrus, Batu Pahat, Petang tadi, untuknya, al-fatihah”….

Sekali lagi saya mengucapkan, “Innalillah wa Inna Ilahi Rajiun..”

Saya berbincang dengan beberapa sahabat yang ada.

“Kalau macam tu, kita tak ke Kuala Lumpur,  kita pergi ziarah Allahyarham Ustaz Ashaari kemudian terus kita ke Johor Ziarah Allahyarham Habib Ali al-Idrus.

Semua yang bersama saya bersetuju.

Selepas solat Isyak, semua yang bersama saya telah berkumpul di rumah saya. Kami bertolak jam 9.00 malam ke Pilin Negeri Sembilan.

“Sapa tahu jalan ni?” tanya saya.

“Redah aje lah, mesti banyak kereta, kita ikut aje dia orang” kata salah seorang ahli rombongan.

Jangkaan kami tepat apabila banyak kereta malam ini menuju ke tanah perkuburan sejak keluar dari Tol Pedas/Linggi lagi.

Saya sampai jam 10 di tanah perkuburan di Pilin. Terus menaiki bukit kerana tanah perkuburan di sini di atas bukit.

Sesampai di atas, Allahyarham telah selamat disemadikan . Anak Allahyarham, Ustaz In’am membacakan talkin untuk Allahyarham.

Ketika beliau membacakan:-

“Wahai saudara, kini saudara telah berada di alam barzakh”

Hadirin yang hadir semua membetulkan…

“Ayahada, ayahanda la….

Ustaz In’am membetulkan:-

“Wahai ayahanda, kini ayahanda telah berada di alam barzakh….

Setiap kali Ustaz In’am terlupa ketika membaca talkin itu dengan mengucapkan “wahai saudara” setiap kali itu jugalah semua yang ada akan membetulkan

“Ayahada, ayahanda….

Suara Ustaz In’am agak tersekat-sekat, mungkin kesedihan..

“Wahai Ayahanda Ashaari bin Muhmaad..”

Sekali lagi yang ada disekeliling membetulkan…

“Ashaari bin Maimunah…”

Tersasul lagi..

Wahai Ayahanda, Ashaari binti Maimunah….

“bin..bin… yang lain membetulkan..

Walau apa pun, beruntung Allahyarham Ustaz Ashaari kerana semua yang menguruskan adalah dari darah daging sendiri.

Tamat talkin dan tahlil, saya membuat solat jenazah ghaib, solat jenazah bagi kita yang tidak sempat untuk membuatnya ketika di hadapan jenazah.

Dari pemerhatian saya, tidak kurang 5000 orang berada di tanah perkuburan malam ini.

Jam 11.30 malam, saya dan sahabat yang lain terus ke Batu Pahat Johor untuk menziarahi Allahyarham Habib Ali al-Idrus. Kami sampai di Batu Pahat jam 1.45 pagi.

Orang ramai telah berkumpul, beberapa polis menjaga jalan. Untuk menziarahinya sahaja, terpaksa beratur.

Berbeza dengan Allahyarham ustaz Ashaari, kali ini, semua berjubah putih. Ada datang dari Singapore, dari Indonesia dan dari berbagai pelosok negara.

Kalau menurut beberapa ulama’ yang saya temui di Hadramaut Yaman, mereka menyatakan bahawa Allahyarham Habib Ali al-Idrus adalah antara wali Nusantara.

Walaupun di kawasan setempat tidak ramai yang mengenalinya, tetapi beliau diziarahi oleh ramai orang dari Nusantara, Timur Tengah, Eropah dan berbagai-bagai lagi.

Rumahnya yang uzur dan sederhana, memang membuatkan ramai orang sekeliling tidak mengenalinya.

Kami terpaksa beratur untuk menziarahi jenazah Allahyarham Habib Ali al-Idrus. Agak panjang. Dalam 300 orang menunggu giliran untuk  menziarahinya. Malam ini sahaja, lebih kurang 1000 orang berada disekeliling rumah Allahyarham.

Saya mengambil kerusi untuk duduk kerana agak letih berdiri menunggu giliran.

Orang di sekeliling membacakan Yasin dan al-Quran. Memasuki pintu, sudah terhidu bau bakaran kemiyan.

Memasuki kawasan jenazah diletakkan. Ia di jaga oleh cucunya dan beberapa orang ahli keluarga yang sedang membacakan al-Quran.

Dengan wajah yang putih bersih, saya mencium dahinya, memegang tangannya. Kemudian memberikan sedekah al-Fatihah. Lansung terus bangun untuk memberi laluan kepada yang lain.

Duduk di luar sebentar, bersalaman dan berbual, kemudian, kami semua pulang ke Kuala Lumpur.

Demikianlah, sehebat mana kita, pasti kita juga akan pulang bertemu Allah. Hari ini, antara hak muslim dengan muslim adalah menziarahi jenazahnya. Agar, kala kita bertemu Allah, orang lain juga akan menziarahi dan membacakan fatihah untuk kita.

Kepada ahli keluarga kedua-dua Allahyarham, saya ucapkan takziah, semoga Allah menggolongkan kita dan Allahyarham berdua di dalam golongan orang yang soleh dan solehah.

Semoga kita terus memperbaiki diri, agar bertemu Allah dengan keredhaannya.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

Jumaat 12.00 tengah hari

30 Jamadil Awal 1431/ 14 Mei 2010

IMG_9207

Jalan yang jem di tanah perkuburan Pilin

IMG_9211

dari pemerhatian saya, tidak kurang dari 5000 orang berada di sini kala ini.

IMG_9224

Tanah perkuburan di Pilin ini berada di atas bukit

IMG_9254

Anakanda Allahyarham Ustaz Ashaari sendiri yang menguruskan jenazah hingga kepada bacaan talkinnya

IMG_9295

Selesai talkin, tahlil ringkas

IMG_9341

Semoga Allah menggolongkan kita dan Allahyarham bersama orang yang soleh

IMG_9373

laluan untuk wartawan

IMG_9455

Orang ramai berpusu untuk pulang

IMG_9495

Jam 1.45 pagi, kami berada di Solok Wan Mo, Batu Pahat untuk menzirahi Allahyarham Habib Ali Jaafar al-Idrus

IMG_9508

Barisan yang panjang  untuk ke rumah Allahyarham

IMG_9510

Duduk sebentar, letih tu dari jauh…

IMG_9523

Ahli keluarga menyiapkan tempat untuk tetamu yang hadir

IMG_9526

Bergotong royong menyediakan tempat

IMG_9529

Di dalam dan luar, orang sibuk membaca al-Quran

IMG_9532

Semoga Allah menggolongkan kita dan Allahyarham bersama orang yang soleh, amin… Ziarah akhir Allahyarham….

Thursday, May 13, 2010

Jom Kongsi Pengalaman 54 – Pengalaman Pertama Ke Turki 2006 “Kisah Orang Sombong”

Kami masuk ke Turkey dan semakin menghampiri Istanbul. Pandangan penulis mula baik terhadap orang Turkey. Beberapa kali orang ini membelanja kami minum.

“Eh!.. baik pulak? Entahlah..” bisik hati saya.

Kami sampai di Istanbul pada pukul 5 pagi dan terus mencari hotel. Kami mengikuti beberapa orang Arab Syria yang biasa ke Istanbul ini. Sampai disebuah hotel kami terus mandi dan rehat sekejap.

Selepas dua jam berehat, kami mula keluar dan berjalan-jalan di sekitar Istanbul. Di dalam benak pemikiran, masih basah lagi ingatan mengenai kisah kami di border dan tanggapan pertama mengenai orang Turki yang sombong.

Setelah penat berjalan, kami mula mencari Masjid biru, masjid yang selalu nampak di gambar-gambar apabila orang menggambarkan negara Turki. Kebanyakkan masjid di Turki binaannya sama sahaja dengan Masjid Biru.

Dengan berbekalkan bahasa Inggeris dan Arab, kami bertanya-tanya masyarakat sekitar dan akhirnya buat pertama kami di dalam hidup penulis, menatap masjid yang telah menyaksikan banyak sejarah di dalam peradaban Islam dari zaman jatuhnya kota Konstantinopel ini ke tangan Sultan Muhammad al-Fateh sehinggalah orang Turkey sendiri yang memutuskan untuk manamatkan sistem Khalifah yang tidak pernah putus sejak dari zaman Rasullullah lagi.

Masyaallah, sayu hati saya apabila melangkah masuk ke dalam masjid tersebut. Setelah menunaikan solah tahyatul masjid. Saya menunggu masuknya waktu Zuhur dan berjemaah di dalam masjid tersebut.

Setelah sempurna menunaikan sembahyang, kami menuju ke Muzium Topkapi. Saya telah lama mengidamkan untuk manatap barang-barang kepunyaan Rasullullah. Tetapi, melihat barang-barang tidak menjamin apa-apa bagi iman kita melainkan jika kita kemudiannya mengamalkan apa yang Nabi S.A.W kita ajar.

Mudah-mudahan kita tergolong dari orang yang mencintai Nabi S.A.W

Ketika masuk ke Muzium Topkapi, saya bertemu dengan sekumpulan orang dari Malaysia, saya memberi salam kepada mereka, hanya seorang sahaja yang menjawab itu pun memandang atas dan bawah pada kami,

“Ya Allah, sombongnya orang ini” bisik hati saya.

Baru Allah izinkan berjalan ke Turki sudah sombong sampai memandang kami dengan pandangan yang amat dingin.

Melalui tepi mereka saya beristighfar dan mendapat satu pengajaran.

Rupa-rupanya sombong itu bukan milik sesiapa, bukan milik orang Turki, bukan milik orang Arab, bukan milik orang barat, ia adalah milik kepada orang yang miliki dua sifat ini iaitu :-

1. Orang yang merasa dirinya hebat

2. Orang yang memandang rendah pada orang lain

Jika mana-mana orang, dari mana-mana bangsa memiliki dua sifat ini, orang tersebut akan lahir sifat sombong di dalam diri mereka.

Di dalam al-Quran, Allah pernah menceritakan kisah Azazil (iblis) yang merupakan di antara barisan hamba-hamba Allah yang taat. Ketika diciptakan Adam A.S, maka turunlah titah perintah Allah untuk semua malaikat hormat kepada Adam.

Semua malaikat patuh dengan apa yang Allah perintahkan melainkan Iblis. Kenapa iblis ini tidak taat dan menjadi ingkar, ini kerana dia telah sombong dan terbit dua sifat tadi iaitu merasa hebat dan memadang rendah kepada yang lain. Allah menceritakan hal ini di dalam al-Quran :-

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir

Surah al-Baqarah ayat 34

Di dalam hadith, Rasullullah pernah bersabda di dalam hadith Qudsi yang menyebut:-

“Dari Abu Hurairah telah berkata Hannad, telah bersabda Rasullullah S.A.W, telah berfirman Allah S.W.T, Takabbur itu selindangKu dan kebesaran selempangKu, sesiapa yang mengambil dariKu satu daripada keduanya, aku campakkan dia ke dalam neraka”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Ini pengajaran Universiti Kehidupan, hari pertama saya berada di Istanbul, ketika pertama kali menjejakkan kaki di Turki.

Belajar mengenai adab, belajar mengenai tawadhuk dan belajar memahami perasaan orang lain.

Dengan cuba memahami perasaan orang lain, kita akan semakin menghargai diri kita dan menghormati orang lain.

Dua perkara ini yang telah banyak hilang di dada manusia.

Kurang menghargai diri akhirnya menyebabkan manusia selalu mengeluh dan kurang bersyukur.

Kurang menghormati orang lain menyebabkan manusia sering mengambil hak maruah, harta dan darah orang lain.

Semoga kita tergolong di dalam golongan orang yang sentiasa menghargai diri dan menghormati orang lain.

“Pengalaman Guru Tanpa Bicara”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

29 Jamadil Awal 1431/ 13 Mei 2010 jam 9.00 pagi

P6120016

Mula-mula sampai dan mencari hotel

P6130075

Di dalam metro ke masjid biru

P6120024

Masjid biru

P6120033

Muslimah sini sembahyang tak ada bertelekung

P6120036

Penjual roti di masjid biru

P6120044

Pedang sultan di muzium Topkapi

P6120048

Dalam istana di Topkapi

P6120050

Lukisan di dinding dalam istana

P6120054

Apabila telah terlalu mewah, tandas yang mempunyai paip emas di istana

P6120058

Balairong tempat menerima tetamu luar

P6120065

Dalam istana

P6120073

Seperti biasa, untuk rujukan, ke kedai buku

Diari 216 – Kisah Madu…..

Pernah dengar mengenai Madu Khuala?

Mungkin ada yang kita biasa dan ada yang tidak biasa. Madu dari Iran ini telah berada di pasaran sejak 17 tahun dulu.

Apa yang menarik ialah, tahun ini, Madu Khaula akan membekalkan madunya kepada jemaah Haji secara percuma dengan tajaan dari mana-mana syarikat.

Untuk tujuan itu, pihak Madu Khaula berminat untuk bekerjasama dengan Yayasan al-Ijabah bagi mencari penajaan itu.

Jika ada syarikat yang menaja madu ini, maka sebahagian keuntungan ini akan disalurkan kepada rumah anak yatim al-Ijabah.

Setelah perbincangan mengenai madu ini selesai, kami dari Ijabah bersama pihak madu khaula menziarahi Tan Sri Abdul Aziz, meminta pandangannya bagi apa yang dibincangkan.

“Saya tak ada masalah, kalau niat kita baik untuk bantu anak-anak Yatim dan orang HIV ini, maka teruskan” kata Tan Sri Abdul Aziz.

Madu merupakan makanan sunnah. Banyak hadis mengenainya. Di dalam al-Quran berfirman kepada lebah:-

68. Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: "Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia",

69. kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu ke luar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat obat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.

(Surah an-Nahli ayat 68-69)

Di antara negara pengeluar Madu yang baik ialah Yaman dan Iran. Saya pernah ke Hadramaut dan berbual dengan orang-orang tua di sana. Apabila ditanya petua kesihatan mereka, apa kata mereka:

“Itu Allah punya kuasa, tapi apa yang saya selalu makan adalah madu”

Orang Yaman mempunyai seni memakan madu. Ada kalanya mereka memakan madu dengan mencampurkannya dengan beberapa rempah dan herba kesihatan.

Kita dah tak rasa makan madu dah. Kita akan rasa macam makan herba bermanisan.

Berbalik pada Madu Khaula, semoga jemaah haji tahun ini dapat dibekalkan dengan madu secara percuma dan jika ada penajaan madu, maka sebahagiannya dapat disalurkan ke dalam Yayasan al-Ijabah.

InsyaAllah, bersatu kita berbakti, untuk akhirat kita.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

29 Jamadil Awal 1431/ 13 Mei 2010 jam 8.40

100_3858

Taukey Madu Khaula, Dato’ Mansoor dan Dato’ Syuib

100_3902

Kenangan bersama, semoga mendapat rahmat Allah dan bantuannya

Tuesday, May 11, 2010

Jom Kongsi Pengalaman 53 – Coretan Pengalaman Pertama Ke Turki 2006

Kali ini, saya nak kongsikan pengalaman pertama saya menjejakkan kaki ke Turki iaitu pada tahun 2006. Sudah tentu keadaannya tidak sebaik sekarang apabila parti Islam dapat menguasai Turki.

Waktu itu, negara Turki masih lagi dalam lingkungan sekular. Ketika itu, anak-anak perempuan hanya memakai rambut palsu ke sekolah sebagai ganti tudung mereka.

Pengembaraan saya ke Turki sebenarnya selepas ketika saya selesai menguruskan beberapa urusan di Syria. Oleh kerana jadual saya pulang ke Malaysia masih jauh, saya bercadang untuk menziarahi bumi Khilafah Uthmaniah ini.

Saya memilih jalan darat untuk ke Turki. Oleh kerana hari-hari sebelumnya, saya tidak rehat dan terlalu padat program yang ada, maka perjalanan pada malam itu dilalui dengan keadaan badan yang tidak berapa sihat. Badan rasa hendak demam dan perut pula sakit.

Tetapi setelah beristikharah, maka saya menguatkan juga hati untuk bermusafir ke Turki ini.

Saya bertolak dari stesyen bas Boolman, iaitu stesyen bas untuk destinasi luar Syria, hati saya berdebar-debar entah kenapa.

Perjalanan saya ke Turkei ditemankan oleh seorang pelajar Melayu yang belajar di Syria ketika itu, (kini telah belajar di Jordan). Pelajar yang bernama Shah Reza Kamaruddin ini lebih mesra menggelarkan dirinya dengan nama Sha.

Ketika sampai di stesyen bas, kami pun membayar harga tiket bernilai 1600 Lira seorang. Ia bersamaan lebih kurang RM 140. Bas mula meninggalkan stesyen Boolman pada pukul 10 malam.

Setelah berjalan selama empat jam, lebih kurang pukul 2 pagi kami tiba di border Syria-Tukei. Kami dan penumpang lain turun untuk prosedur biasa bagi meniggalkan sesebuah negara. Setelah selesai di sempadan Syria, kami terus ke border Turkei pula.

Di Turkey, kami berbaris untuk pengesahan pasport. Apabila tiba giliran saya, pihak imigresen Turki bertanyakan dari mana pasport kami dikeluarkan. Saya terus menjawab:-

“Dari Malaysia”

Pegawai imigresen ini tidak dapat mengecam apa yang saya katakan dan membelek-belek pasport saya. Kemudian, pegawai imigresen itu terlihat perkataan Israel dipasport saya dan menyatakan adakah pasport ini dikeluarkan di Israel.

Saya mengatakan bahawa pasport Malaysia adalah satu pasport yang tidak boleh ke Israel.

Setiap pasport Malaysia memang ada perkataan Israel yang menyebut bahawa pasport ini sah digunakan untuk semua negara kecuali Israel.

Pegawai imigresen itu dengan mudah terus membuat telahan bahawa pasport kami dikeluarkan oleh Israel.

“Iskh.. takkan cerdik sangat mereka ni sampai bahasa Inggeris pun tak tahu? Bisik hati saya.

Tapi itulah hakikat pada malam tersebut. Pasport kami berdua diletakkan ke tepi dan pegawai Imigresen tersebut meminta pasport orang lain dan seterusnya.

Setelah habis rombongan kami diperiksa, barulah dia memeriksa pasport kami semula. Kemudian, pihak imigresen tersebut bertanya kembali,

“apa tujuan masuk ke Turki?”

Saya meminta pemandu bas yang ada di sisi saya kami menterjemahkan bahawa kami ke Turkey untuk tujuan siahah (melancong).

Pemandu bas yang berasal dari Turkey itu boleh bertutur di dalam bahasa Arab. Tiba-tiba kami terkejut kerana dia memberitahu kepada pihak imigresen bahawa kami akan masuk ke Turki dengan tujuan tijarah (business).

Pasport kami berdua diletakkan ditepi lagi. Kemudian dia bertanya lagi kami ingin business apa?

Kami cuba memberitahu kembali bahawa kami datang untuk tujuan siahah bukan tijarah.

Rupa-rupanya driver Turkey tersebut tidak mahir di dalam bahasa arab dan telah salah menterjemahkan apa yang kami hasratkan.

Saya cuba membetulkan keadaaan, tetapi dengan sombong pegawai imigresen terebut telah memulangkan pasport kami dan tidak membenarkan kami masuk ke Turki.

Pada ketika memulangkan pasport kami, ada seorang perempuan yang sedang berbual dengan seseorang dengan bahasa arab. Saya terus bertanyakan adakah dia orang Turkey.

“Ya” jawab perempuan itu ringkas. Saya terus meminta perempuan itu menyatakan kembali kepada pegawai imigresen tersebut bahawa pemandu bas tadi silap terjemah dan meminta memberitahu kembali bahawa kami datang ke Turki kerana tujuan melancong.

Setelah bercakap beberapa perkataan perempuan itu menyatakan dia tidak dapat menolong apa-apa kerana memang pihak imigresen tidak membenarkan kami masuk ke Turki.

Kami pun keluar dari pejabat dan kemudian ingin masuk kembali agar dapat memujuk imigresen itu supaya membenarkan kami untuk masuk. Tetapi kami dihalang oleh seorang polis di sana. Polis tersebut boleh berbahasa Arab. Dia mengatakan biarkan, nanti dia sendiri akan cuba memujuk imigresen tersebut.

Bas sudah membunyikan honnya menandakan akan bergerak. Kami belum juga dipanggil untuk diberikan kebenaran untuk masuk ke Turki. Akhirnya, kami pun naik ke bas dan mengambi beg dan mahu turun. Apabila ditanya orang di dalam bas, kami menyatakan bahawa kami tidak dibenarkan masuk dan ia berpunca dari kesalahan kecil iaitu silap faham adakah kami masuk sebagai pelancong ataupun ahli perniagaan.

Ketika melangkah turun dari bas, seorang gadis Turki dengan sombongnya melontarkan perkataan

“Lain kali jangan salah lagi"

Aduh, terasanya hati. Kenapa dia berkata dengan sombongnya begitu, istimewa sangatkah Turki ni?

Pada ketika itu, tanggapan pertama pada orang Turki amat buruk. Kadang kala terasa juga benci. Mana tidak, dengan sombongnya menyatakan demikian dan dengan sombongnya menolak kebenaran kami masuk ke Turki.

Persoalan sekarang, macam mana kami ingin balik ke Syria dari border ini?

Sedang saya termenung, tiba-tiba, saya mendengar orang berkali-kali menyebut nama Malaysia. Saya memandang kanan dan kiri. Saya melihat empat orang Cina dari Malaysia juga tidak dibenarkan memasuki Turki.

“Hah, kami bukan berdua rupanya yang mengalami peristiwa ini, sekarang sudah berenam” bisik hati saya.

Penulis melihat seorang perempuan Cina itu membebel-bebel dan saya hanya tersenyum dari jauh.

Setelah habis, saya pun menghampiri perempuan itu dan bertanyakan,

“Dari Malaysia ke?”

“Aah” jawabnya pendek.

“Kawan-kawan lain juga dari Malaysia” tanya saya lagi.

Dia mengiyakan juga. saya tanyakan pada rakannya itu.

"Malaysia dekat mana?” Dia tidak menjawab. Seorang dari mereka menyatakan bahawa yang lain dari Johor dan tidak tahu cakap Melayu.

Saya berbisik sendiri kehairanan,

“Masakan lahir di Malaysia, menggunakan pasort Malaysia tetapi tidak tahu sepatah pun cakap melayu. Mustahil..., takkan perkataan siapa nama dan apa khabar pun tak tahu? Macamana jadi orang Malaysia tapi perkara macam itu pun tak tahu? Kitakan dah lama merdeka!.. Entahlah...”

Polis yang ingin membantu kami tadi menghampiri kami dan menyatakan adakah kami mengenali orang-orang Cina ini.

Saya menyatakan bahawa saya tidak kenal tapi oleh kerana dari Malaysia kami berbuallah. Polis itu menyatakan bahawa dia akan menolong saya dan kawan saya tetapi tidak dapat menolong yang lain.

“Engkau tunggu sampai subuh esok, nanti tukar syif, cuba lagi” kata polis ini memberikan cadangan.

Pada pukul 7.30 pagi, syif telah tukar dan pegawai yang baru memanggil kami dan memberikan kami kebenaran masuk.

“Kenapa pula beri?” saya berbisik sendiri.

Tak ada alasan, yang penting malam tadi tak nak bagi dan sekarang saya nak bagi.

Persoalan seterusnya, sekarang dari border, macam mana nak masuk ke Turkey?

Polis itu memberitahu kami yang kami boleh tumpang mana-mana bas ekspres yang tak penuh. Kami cuba menahan mana-mana bas ekspres, tapi semuanya penuh. Akhirnya, kami dapat menahan sebuah bas ekspres yang buruk, daif lagi uzur. Yang ni tak penuh, dan driver membenarkan kami naik dengan tambang Lira 200 seorang, lebih kurang RM 17 untuk sampai ke stseyen bas Antakiya. Dari sana barulah kami akan cari bas semula ke Istanbul.

Sebelum bas meninggalkan border, kami diperiksa. Saya melihat beberapa bas lagi yang diperiksa. Saya melihat, memang sudah menjadi budaya, mana-mana bas yang datang dari Syria, pemandu bas akan membawakan apa-apa hadiah kepada pihak imigresen.

“Iskh, ini syarat negara atau budaya ni? Bisik saya pada Sha kehairanan. Atau rasuah yang telah ditukar nama sebagai hadiah.

Ada sesetengah bas yang diambil sebahagian minyaknya.

Bas mula bergerak, bas ekspres yang kami naik ini sangat daif. Barangkali bas ekspres untuk golongan bawahan.

Di dalam bas eksperes ini, saya boleh lihat orang kebanyakkan. Orang yang membawa barang-barang keperluan dari Syria dan ada juga barang yang diseludup.

Saya bertemu dengan dua orang Tunisia yang sering berulang dari Turki ke Syria dengan menyeludup barang-barang seperti rokok dan lain-lain.

“Alamak, bas penyeludup, kalau kena tahan ni, tak pasal dengan saya sekali kena” saya berbisik pada Sha.

Perjalanan dari sempadan Syria ke Turki sungguh menarik. Jalan-jalannya dihiasi dengan gunung ganang, dan pemandangan semula jadi yang indah.

Selain itu, jalannya di kelilingi dengan ladang dan ada air sungai yang jernih. Saya melihat ladang-ladang tempat menanam gandum. Sesekali ada juga ladang pokok bunga matahari. Mereka buat kuaci. Ada ladang jagung juga.

Kami sampai ke Antakiya pada pukul 9.00 pagi dan kami terus mendapatkan tiket untuk ke Istanbul. Bas akan bergerak selama dua puluh jam berikutnya untuk sampai ke Istanbul.

“Selamat Datang Ke Turkey” saya bersalaman dengan Sha.

“Pengalaman Guru Tanpa Bicara”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

20 Jamadil Awal 1431/ 11 Mei 2010 jam 12.30 tengah malam

P6110002

Saya naik bas orang menyeludup beberapa barang dari Syria. Gambar di atas adalah orang menyeludup rokok ke Turki

P6110004

Perjalanan melalui jalan darat memang cantik

P6110005

Bersama, orang Tunisia ke Turki

P6110006

Stesyen bas Antakya

P6110008

Salah satu perhentian

P6120009

Perjalanan yang sangat lama menyebabkan saya telah berkenalan dengan semua penumpang 

P6120010

Susu masam.

P6120011

Salah satu hentian

P6120028

Dalam masjid biru, lima tahun lepas

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Berlatar belakangkan Aya Sofea

Monday, May 10, 2010

al-Ijabah 55 – Hari Terbuka Darul Ukhwah “Jangan Tinggal Daku”

Hari ini Ahad 9 Mei 2010, seperti yang dirancang, Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah telah mengadakan “Hari Terbukan “Jangan Tinggal Daku” di PKKN Sungai Buloh.

Darul Ukhwah adalah sebuah rumah kebajikan yang menjaga orang muslim HIV. Asal penubuhannya pada pertengahan 2009 ialah ketika kita membawa mereka keluar dari gereja.

Matlamat terbesar program ini ialah untuk mengajak ahli keluarga pesakit HIV menerima mereka dan juga sebagai program kesedaran untuk masyarakat bahawa mereka adalah golongan yang tidak boleh dipinggirkan.

Pada saya, yang paling menyentuh saya ialah ketika penghuni ini memberikan persembahan lagu tentang kematian “andaiku tahu….”

Program jangan tinggal daku ini dirasmikan oleh Dato’ Zaman Khan dan Dato’ telah tiba sejak jam 9.00 pagi lagi walaupun program hanya akan bermula jam 10.00 pagi.

Program hari ini juga mendapat sokongan dari sahabat dari media.

Peranan media sebenarnya penting bagi membantu memahamkan masyarakat bahawa golongan HIV merupakan sebahagian dari komuniti kita.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa mereka perlu dibiarkan lantaran latar belakang mereka yang gelap.

Tapi saya tetap yakin bahawa, mereka perlu dibela kerana sebelum ini, yang membela mereka adalah pihak gereja dan orang bukan Islam.

Pembukaan majlis dirasmikan oleh Dato’ Zaman Khan. Ia kemudian diteruskan dengan persembahan nasyid kumpulan “Heart of Sakinah”.

Selepas makan tengah hari, program diteruskan dengan rakaman al-Hidayah bertajuk “Jiwa Merdeka” ia akand itayangkan pada hari Israk Mikraj nanti.

Ahli keluarga waris pesakit datang memberikan sokongan padanya. Alhamdulillah, ada ahli keluarga yang pada mulanya membuang mereka, tetapi lama kelamaan dapat menerima hakikat bahawa anak mereka, walaupun HIV tetapi tetap sebahagian dari anggota masyarakat.

“Ada orang yang marah-marah, biarkan mereka mati sahaja ustaz, dulu mereka kan orang teruk”

Saya sangat berbeza pendapat dengan orang seperti ini.

“Selagi mana mereka ada nyawa, mereka tetap ada harga, siapa kita untuk membuang mereka, sedangkan Allah sentiasa menerima mereka”

Dan perkara inilah juga yang dipesankan oleh Pehin Mufti Brunei pada saya ketika saya menziarahinya hujung bulan lepas.

“Mereka tetap ada harga, dan kalau mereka bertaubat, mereka lebih mulia dari kita yang tidak bertaubat” kata Pehin Mufti Brunei”

Alhamdulillah, majlis dapat disempunakan dengan baik.

Terima kasih diucapkan kepada semua sahabat-sahabat Darul Ukhwah yang telah menjayakan program hari ini, pihak media terutama dari program al-Hidayah TV3, para penaja dan siapa sahaja yang menjayakan program ini. Semoga Allah membalas semua titik peluh tuan puan semua.

Saya bercadang untuk membuat program seperti ini setiap dua bulan sekali. Agar, matlamat menjadikan masyarakat tidak meminggirkan mereka satu hari nanti tercapai.

Ia bukan mudah, tetapi tidak mustahil. Semua atas izin Allah yang maha berkuasa.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

Isnin 26 Jamadil Awal 1431/ 10 Mei 2010 jam 8.15 pagi

Pameran dari agensi lain

Dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)

IMG_9014

Motivasi dari Dr. Norhayati, pakar dalam HIV

IMG_9026

Persembahan lagu “andaiku tahu”

IMG_9035

Persembahan kumpulan nasyid jemputan

IMG_9045

Cabutan bertuah

IMG_9046

IMG_9052

IMG_9056

Kenangan bersama rombongan dari Melaka

IMG_9059

Sidang Media

IMG_9078

Rakaman al-Hidayah TV3 “Jiwa Merdeka”

IMG_9096

Antara yang hadir

IMG_9109

Temuramah penghuni, tak boleh tunjuk muka..

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...