Sunday, August 30, 2009

Universiti Kehidupan 108 - Catatan Bahrian - Jeddah

Jam 11.00 malam, 26 Ogos 09. Kami bertolak dari Hotel Delmon International Hotel untuk ke airport. Sesampainya di airport, pintu untuk penumpang yang akan ke Jedah mula dipaparkan di skrin kaca. Pintu 32.

Kapal terbang akan dijangka bertolak ke Jedah jam 2 pagi. Kesempatan masa yang ada saya gunakan untuk bersolat tarawikh dengan jemaah dari Malaysia di surau tingkat bawah pintu 16.

Dalam pukul 12.00 tengah malam, beberapa pengunguman dibuat, memberitahu penumpang ke Jeddah, bahawa pintu telah mula dibuka dan sedia untuk membuat persiapan penerbangan.

Saya dan berberapa jemaah bergegas ke pintu 32. Sesampainya di sini, boarding pass kami diperiksa dan kami menunggu di ruang menunggu.

Tidak lama selepas itu, kami diberitahu, kapal yang sepatutnya bertolak jam 2.00 pagi akan lambat dalam 1 jam. Jadi kami akan bertolak jam 3 pagi.

Para penumpang sudah mula bising.

2.45 pagi, semua penumpang yang berada di pintu 32, diarahkan untuk pergi ke pintu 31 dengan segera. Semua penumpang berebut-rebut ke sana. Saya yang memang telah tahu perangi orang Arab, tidak berganjak dari tempat duduk. Hingga semua penumpang telah ke pintu 31, barulah saya bangun untuk keluar.

Baru sahaja melepasi pintu 32 ini, pegawai bertugas memanggil kembali saya.

”tengok bording pass kamu” katanya.

Saya memberikan boarding pass saya. Kemudian dia mengatakan:-

Masuk balik ke pintu 32 ini.

Kemudian semua penumpang dipanggil kembali masuk ke pintu 32. Rupanya, dia mengarahkan untuk semua penumpang pergi ke pintu 31 itu hanyalah untuk mengosongkan pintu 32 agar dapat mereka memeriksa kembali bording pass setiap penumpang.

Semua penumpang kali ini berebut-rebut untuk ke pintu 32 kembali.

Seorang jemaah dari Kajang mula naik angin dengan perangai orang Arab ini:-

“apa punya system ni. Kejap sana, kejap sini”

”Sabar kak, sabar…” kata seorang jemaah lain, menenangkan kakak ini.

“tak ada la, kasihan tengok dia orang ni, kurang akal” sindirnya dengan suara yang menahan marah.

Saya hanya senyum memerhatikan gelagat para penumpang.

Di dalam musafir inilah, kita akan kenal diri kita dan orang lain. Di dalam menghadapi keperitan musafir, maka kita akan nampak perangai dan sikap kita yang sebenar.

Sama ada kita ini pemarah, penting diri, sombong dan sebagainya.

Jika kita hendak mengenal seseorang pun, kita boleh kenal mereka ketika bermusafir bersama. Dan jika hendak sungguh-sungguh bermusafir, maka pilihlah kawan yang boleh sama-sama membantu kita di kala sama-sama susah.

Bak kata pepatah Arab

“ikhtar jar kobla dar wakhtar rafiq kobla tariq” ( pilihlah jiran sebelum membuat rumah dan pilihlah kawan sebelum jalan)

Itu baru perjalanan di dalam musafir, belum lagi perjalanan dalam hidup. Maka lebih penting lagi kita memilih teman yang boleh sama-sama, bahu membahu di dalam hidup.

Ada orang yang terburu-buru memilih teman di dalam hidup, akhirnya, teman yang diharapkan menjadikannya tersiksa di dalam kehidupan ini.

Sebab itu, kita diajarkan untuk selalu membuat istikharah di dalam mencari keputusan hidup. Jangan sampai, kita hanya menurut hati dan perasaan semata-mata. Akhirnya, hidup yang akan binasa.

Apapun yang cuba kita usahakan, biasakan dengan istikhrah. Ini kerana, tidak akan menyesal seseorang yang membuat keputusan dengan istikharah.

Sesungguhnya, sedikit kesusahan ketika musafir mengajar kita lebih menghargai kesenangan. Selain itu, bersyukur di atas nikmat akan lebih manis ketika nikmat yang ada, pernah dilalui dengan kesusahan.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
King Abdul Aziz International Airport, Hajj Terminal
27 Ogos 09, jam 6.35 pagi.

di post dari Mekah pada 30 Ogos 09, jam 4.30 petang
Lapangan Terbang Bahrain, dari luar seakan lapangan terbang Saudi
Dalam kawasan terminal
Gate 16, surau terletak di sini
Azim dan Abu, jemaah yang bersama saya

Thursday, August 27, 2009

Jom Kongsi Pengalaman 53 - Inside Bahrain

Bahrian adalah antara Negara yang kaya di kalangan Negara Arab. Ia merupakan Negara Arab pertama yang menjumpai minyak iaitu pada tahun 1932.

Matawang yang digunakan di sini ialah Dinar.

Hari ini, satu dinar bersamaan dengan RM 10.00

Cuba bayangkan kalau kita beli barang kecil yang bernilai 5 Dinar?

Orang di sini seperti orang di Saudi, berpakaian dengan jubah dan serban yang ditebarkan di atas kepala.

Sekarang ini, cuaca amat panas.

Bangunan di Bahrain ini, mempunyai bentuk moden yang berbagai. Tidak seperti di Yaman dan Oman yang masih mengekalkan bentuk tradisonal. Tidak juga seperti di Saudi, Syria dan Jordan yang mempunyai bangunan yang petak tanpa bentuk.

Bahrain adalah sebuah Negara yang mempunyai 30 batu panjang dan 20 batu lebar. Ia diperintah oleh King Hamad.

Penduduknya hampir 1.5 juta dan hanya 700 000 sahaja penduduk asal.

Dari segi, geografinya, Bahrain terdiri dari dua pulau iaitu Bahrain dan Muharraq dan terdapat pulau-pulau kecil di sekitarnya.

Pada satu masa dahulu, ia dikenali sebagai tanah Dimun (Land Of Dimun) yang kaya dengan mutiara dan emas. Ia pernah menjadi pelabuhan perdagangan antara pedagang dari Mesopotamia (sekarang Iraq) dan India.

Agama rasmi di sini adalah Islam dan bahasa Arab menjadi bahasa utama. Walaubagaimanapun, kebanyakan penduduknya boleh bertutur di dalam bahasa Inggeris.

Anugerah minyak dari Allah menjadikan penduduk yang pernah terkenal dengan kemiskinan 70 tahun dahulu menjadi antara yang terkaya di rantau ini.

Semoga kekayaan ini dapat digunakan dengan sebaiknya untuk agama.

“Pengalaman, Memberi Kematangan”

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Bahrain International Airport
27 Ogos 09, jam 1.10 pagi

** rujukan, Majalah Bahrian & Beyond 18 July/ August 09




Diari 102 - Catatan Perjalanan – Kuala Lumpur - Bahrain

Saya mula bertolak dari rumah jam 8.30 pagi, bertemu dengan ahli Rombongan yang akan sama-sama ke Mekah di Airport. Di Airpot, semua staf saya dari bahagian ALC Media telah menunggu.

Beberapa orang sahabat dari MAIS juga ada bagi membincangakan beberapa perkara.

Jam 10.00 pagi, saya mulai turun ke Imigresen. Dan jam 11.00 pagi, semua penumpang mula masuk ke dalam perut kapal Boeing B777 -300.

Kapal Terbang mula memanaskan enginnya pada jam 11.30 pagi. Ngauman enjen menggegarkan pesawat. Beberapa kali ia di tekan, akhirnya, jam 11.40, kapal mula bergerak.

Di dalam kapal terbang kala ini, penuh dengan orang-orang Iran, India dan Sudan. Mereka semua dari Malaysia kerana melawat. Memang, pada waktu sekarang, mereka suka datang ke Malaysia kerana di Negara mereka sedang musim panas.

Duduk di sebelah saya ialah seorang dari Iran dan seorang lagi ahli jemaah yang akan sama-sama ke Mekah.

Ketika kapal terbang mula naik, mata saya telah mulai mengantuk, maklumlah, malam tadi hingga pukul dua lebih, masih ada tetamu di rumah.

Saya mula melelapkan mata.

Pukul satu, makanan dihidangkan. Orang-orang Iran, semua mengambil hidangan. Orang Malaysia, boleh dikatakan semua bertahan untuk berpuasa. Walaupun ketika musafir kita diharuskan berbuka. Tapi kebanyakan mereka memilih untuk berpuasa.

Memang jika ingin di nilai, orang Melayu lebih kuat puasa di bandingkan dengan bangsa lain. Hatta orang Arab sekalipun, mereka tidak sekuat orang Melayu di dalam berpuasa. Tapi, dalam bab solat, orang Melayu tak boleh lawan orang Pakistan dan India. Dalam bab baca al-Quran pula, orang Arab agak hebat. Ini kerana mereka faham apa yang mereka baca.

Ketika menghidangkan makanan, Pramugari bertanya pada kami yang tak mengambil makanan:-

“saum.. saum… (puasa, puasa,)

“Mmm..” saya menjawab sambil menganggukkan kepala.

Kapal terus membelah awan. Pukul 5.15, pramugari membuat pengunguman,

“Sesiapa yang doktor di sini, boleh bantu”

Rupanya, ada seorang penumpang yang tiba-tiba sesak nafas dan pengsan. Dalam kapal jadi agak kecoh sedikit.

Saya melihat Kak Jah, salah seorang rombongan kami :-

“Kak, anak kak Fatin ambik medickan?, tu dia orang tanya doktor tu..”

“dia masih studentlah ustaz” kata Kak Jah sambil tersenyum, beliau bersama dua orang anaknya beserta di dalam rombongan kami.

Orang yang pengsan telah mula sedar, saya tak tanya sebab apa.

Di dalam kapal terbang, saya membelek rancangan tv yang disediakan. Ada satu cerita yang bagus untuk di tonton. Cerita Kingdom Of Haven. Ia sebuah cerita mengenai kekalahan tentera salib di tangan Salahuddin al-Ayubi pada tahun 1187 masihi

Jam 6.15, waktu Malaysia, kapal mula merendah. Jam 6.32 kapal mula menjejakkan tayar ke Bahrain International Airport.

Seperti kebiasaan orang Arab, Iran dan Pakistan, belum kapal terbang betul-betul berhenti, mereka sudah bangun dan sibuk nak ambil beg masing-masing, padahal, bukan boleh keluar pun. Pramugari beberapa kali memberikan amaran agar para penumpang terus duduk hinggalah kapal terbang benar-benar berhenti. Tapi, bukan diendahkan pun.

Saya memandang, diluar tingkap, masih terik dan panas. Beza waktu Malaysia dan Bahrain ialah 5 jam.

Ketika mahu turun, saya menyapa seorang pramugara,

“pukul berapa sekarang?”

“Mmm, pukul 1.45, kamu ada lima jam lagi untuk berbuka” katanya dengan tersenyum. Malaysia ketika ini jam 6.45 petang.

Pramugara ini kemudian memberikan saya satu bekas berisi buah-buahan.

“Nah, ini untuk kamu buka puasa” katanya.

“Terima kasih,” jawab saya ringkas

Kami mula keluar dari kapal. Angin panas jam 1.45 tengah hari menerjah muka. Terasa macam nak tumbang rasanya.

Kami serombongan akan berada di Bahrain selama 10 jam. Oleh itu, pihak pengurusan Gulf Air telah menyediakan kami hotel untuk kami berehat.

Kami mula menunggu untuk diambil ke Hotel sejak jam 2.20 lagi. Pukul 3.08 minit, azan asar berkumandang di airport.

Jam 3.30 petang, baru kami diambil untuk ke Hotel. Memang orang Arab kalau berurusan, agak lambat. Kami dibawa ke Delmon International Hotel di bandar Manama.

Hari ini, buka puasa jam 6.05 petang. Ada beberapa jam lagi untuk menunggu waktu berbuka. Jika mahu diukur waktu Malaysia, bermakna, kami akan berbuka jam 11.00 malam.

"Haa, kali ni, kita berpuasa 18 jam", kata saya pada para Jemaah. Semua mereka tersenyum kelat.

Apa pun, semoga terus di rahmati Allah.

“Dairi, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Manama City Bahrain
26 Ogos 09, 4.47 petang
Pemandangan dari atas, Bahrain
Airport Bahrain
Lambang Gulf Air
Kapal tentera US yang banyak di air port mereka, Bahrain antara negara yang Pro US
Kapal tentera US
Kapal tentera US sebelah MAS KARGO
Ini pula kapal tanpa tingkap
Selain Gulf Air, mereka ada satu lagi syarikat penerbangan, Bahrian Air
Tingkap Kapal terbang yang ditutup, cuaca sangat panas sekarang ini

Monday, August 24, 2009

Jawapan Pada Persoalan 52

Alhamdulillah, kesempatan yang ada, dapat kita berkongsi jawapan bagi persoalan yang diajukan

ijoks Salam Ustaz 2009-08-23 2:42 PM

Salam..

iza sy x suka bersebab,cthnya bapa slalu menghabiskn duit dgn perkara yg sia2 dan membazir 2009-08-23 1:10 PM

jangan sampai zahirkan dekat perbuatan dan doakan terus untuk perubahannya.

Haiza Najwa Slmt berpuasa ustaz. Moga diberkati sllu 2009-08-23 11:20 AM

Selamat..

Ancak Salam ustaz, apakah hukum jika org bkn islam pegang brg berunsurkan babi dan slps itu pegang barang2 saya. Perlukah sya samak. Tksh. 2009-08-23 8:51 AM

Kalau confirm nampak dia pegang babi kemudian pegang barang anda dengan tangannya yang basah, maka kena samak, jika kita agak-agak, maka, itu dinamakan sebagai syubhat. Syubhat, kalau terbaik, maka samak sebab syubhat menghampiri yang haram.

Guest assalamualaikum..boleh ustaz terangkn hukum bercinta zaman remaja?? 2009-08-23 8:24 AM

Cinta perasaan hati, jangan terjemah dalam perbuatan yang dilarang agama

ROKIAH MUSA Salam Ust; slmt berngkat ketnh suci .Doakan utk kak murah rezeki n smpai ksana [Hati ini trlalu ingin kesana tp blm mampu] 2009-08-24 1:01 AM
Amin.. insyaAllah, ada niat, akhirnya dijemput jua menjadi tetamunya
Guest salam ustaz,betulkah ustaz akan ketanah suci bila?saya doakan slmt berangkat&sampaikam salam buat Rasulullah dgn lafas Assalamualaikum wbkt 2009-08-24 12:43 AM

insyaAllah, terima kasih..

Nur Salam Ustaz, bagaimana jika berpuasa tapi solat tak cukup 5waktu.Bagaimana memperbetulkan keadaan ini. 2009-08-24 12:30 AM

Teruskan mujahadah untuk buat solat. Baca artikel saya, bagaimana Nabi berpuasa

Pn.Hazilah Assalamualaikum ustz,doakan semoga kmi suami isteri murah rezeki smpai ke sana (Mekah) (blum mampu).tq 2009-08-24 12:19 AM

Amin, insyAllah..

Guest ustaz,slmt bermusaffir.sy nur atikah nik mazlan. Mohon ustaz doakan sy cepat dan
dipermudahkan jodoh,murah rezeki,diberkati dirahmati diredhai.amin.. 2009-08-24 12:04 AM

Amin... Allah bersamamu

morazas Apa hukum menyembelih binatang ternakan @ buruan dgn tangan kiri & hukum org yg makannya? 2009-08-23 9:50 PM

makruh dan makannya tak apa, halal jika cara sembelihan betul

che hasan al-hasan pengkhianat bangsa,apa jawapan dari al-qur'an dan hadis 2009-08-23 5:19 PM

Kalau pengkhianat agama ada, hukumnya bunuh jika tidak bertaubat

mawar suami bekerja diluar negara, saya dan anak tinggal disini. dimana lebih afdah untuk saya membayar zakat fitrah ditempat suami bekerja atau disini 2009-08-23 3:07 PM

tempat di mana lebih memerlukan

mojo assalamualaikum ustaz...selepas hari ke 7 darah haid telah tiada, hari ke 8 & 9 puasa... hari ke 10 - 12 ada keluar haid lg... soalannya adakah sah pu adakan sah puasa saya...atau saya perlu mengganti puasa tersebut 2009-08-23 2:55 PM

tempoh haid ialah 15 hari, jika hari ke 7 kering, maka kena sembahyang dan puasa. Datang balik hari ke 10, maka berhenti, tak perlu puasa, kering balik hari 12 puasa balik.

Dalam tempoh 15 hari, jika datang darah, masih dalam lingkungan haid, kalau lebih 15 hari, maka itu darah penyakit. Darah penyakit walaupun ada, kena puasa dan solat.

seridewimalam ust,kalau permpuan bercerai mati atau hidup,siapakah pasangannya disyurga kelak.apakah amalan yang membawa kesyurga . 2009-08-24 1:55 AM

suami terakhir, amalan ke syurga ialah taat pada perintah Allah

seridewimalam ustaz,apa hikmah hidup bermadu.suami nak kwin lain,tapi sy nak bercerai.sy ada perasaan.sy tak sanggup nak berkongsi suami.suami pun gj cukup mkn je. 2009-08-24 1:52 AM

hikmahnya untuk kita cari rasa sayang dari Allah, bukan dari manusia. Suami kalau tak mampu tak boleh. Suruh dia kerja rajin-rajin, dah mampu baru boleh cerita nak kawin lagi.

nur_izaiti salam ramadhan al- mubarak ustaz. maaf kalo sy nk tny cara nk wat solat witir yg seeloknye mcm ner ye.. 2009-08-24 1:51 AM

dua rakaat kemudian satu rakaat, terbaik, solat terakhir di antara solat malam.

iateri tanya askum ustaz sya bru aja bca blog ustaz.mohon pd ustaz doakan kesejahteraan dan lindungi kami anak beranak daripd sbarang penganiayaan 2009-08-24 1:34 AM

Amin... Allah bersama orang yang bergantung harap padanya

Muhammad Hanif Bin Sulaiman Selamat Menyambut Ramadhan, semoga kemapunan Allah keatas kita semua2009-08-24 1:26 AM

Amin...

nor Salam. Semoga ustaz sihat n slmt ke Mekah.Doakn saya noraziah abdullah n suami,hasrulnizar abdullah juga akan ke Mekah.Kirim slm kpd Nabi saw.. 2009-08-24 1:25 AM

insyaAllah..

isteri terianaya askum usataz..sya nk bertanya apa harus saya buat saya istri taniya..tak tau nk buat apa.sb sya bgantung spnuhnya pd suami 2009-08-24 1:21 AM

jangan bergantung pada suami. Bergantung pada Allah. Jika bergantung pada suami, suami aniaya, tak ada siapa yang bela, tapi, jika bergantung dengan Allah, suami aniaya, maka Allah akan bela.

tonet Slmt b'angkat ke Tanah Suci. Sy DOAkan semoga Ust slmt pegi n kembali. 2009-08-24 1:15 AM

amin...

HambaAllah Salam ustaz,Tolong Doakan moga Allah merahmati&meredhoi hambanya ini serta selmat berangkti 2009-08-24 1:01 AM

Amin...

khatijah ustaz..setelah solat istikharah sejak dr tahun lps lg...hati sy sgt cenderung pd seseorg, skrg sy rasa lebih tenang, btlkn itu petunjuk jodoh sy tp kami sgt jarang berhubung @ berjumpa
2009-08-24 4:46 AM

jika semakin dimudahkan jalannya, maka itulah petunjuk

Guest ustaz..bagaimana cra utk sya menegur suami yg pentingkn diri sendri melbh2kn kluga dia mcm sya x ada ibu bapa sdih rasanya. 2009-08-24 4:44 AM

Minta Allah datangkan hidayah padanya. Sabarlah.. semua orang diuji. Kalau kita baca soalan dari blog ini, ada yang diuji dengan suami, kalau tak dengan suami, dengan anak, kadang-kala dengan kawan pejabat, dengan sempit rezki. Puan diuji dengan suami, sabarlah. Sebab semua orang diuji.. Allah nak beri kebaikan pada kita yang kita tak tahu..

Guest salam ustaz,boleh ke wanita disuntik utk boleh berpuasa penuh dgn niat utk melakukan amal ibadat bulan ramadhan.. 2009-08-24 4:16 AM

Boleh tapi tak afdhal

nurul trima ksh krn jwb soaln htg pose sya.bkn mls kra tp utk lbh psti bertnya pd yg lbh arif.bukn sya mta alisya byrkn htg sya. 2009-08-24 4:05 AM

semoga terus meningkatkan iman dan ilmu

donutmanis slm ustz.mtk tlg doa ditanah suci agar wabak H1N1 berakhir,tq. 2009-08-24 3:56 AM

amin...

Shila salam ustaz.nak tanya apa yang ustaz maksudkan dengan nama seseorang itu berat.nama anak saya muhammad adam shafiq.adakah nama ini berat baginya.terim 2009-08-24 3:33 AM

Berat maknanya, nama dari orang yang baik, dia kena berusaha menjadi baik macam orang tu. Kalau tak, tak sepadan nama tu dengan dia..

muslimah ustaz..bolekah diamalkan ayat surah Yusuf dan ayat 39 surah Toha sbgai amalan supaya org kasih pd kita,sbgai tujuan mengeratkan siratulrahim 2009-08-24 3:32 AM

boleh

naza522 Salam ustaz boleh saya dapatkan no telefon uztaz. sebab saya mahu tanyakan mengenai Rumah perlinduangan ini 2009-08-24 3:19 AM

Hubungi PA saya, namanya Ustaz Muhamad Abdullah Zamhari, namanya macam nama saya juga, 012-3018369

seridewimalam ust,doakan sy kat mekah nanti,supaya mendapat ketenangan hidup dan ada jalan keluar dari masalah ini. terima kasih banyak2 ustz kerana jasa baik ust. 2009-08-24 2:03 AM

insyaAllah..

seridewimalam ust,suami tk nak ceraikan saya,tapi sy tak boleh tengok muka suami lagi bcoz the men i married was dead. 2009-08-24 2:01 AM

kalau dah mati tu, dah cerailah tu..

tonet Salam. Ilmu yg sy dpt kat blog ust, dgn segera sy bg tahu kwn2 agar mrk juga mdpt manfaat dr nya. Tp sy bimbang jika di lihat spt mnunjuk2 sdg kan tonet niat d hati ikhas nak bkongsi ilmu.... Apa pandangan Ust ?? 2009-08-24 6:23 AM

takut dituduh menunjuk itulah menunjuk, ikhlaskan niat, keikhlasan boleh dirasai walaupun tidak dilihat.

mama salam ustaz. klu ade org nak ke Mekah, bolehkah kita ucapkan 'sampaikan salam kepada Nabi SAW'. 2009-08-24 6:21 AM

Ada yang kata boleh, dan ada yang berpendapat tidak perlu. Kak peganglah mana satu.

putra Salam ustz. Apa khabar? Doa kan saya sekeluarga di raudhah dsb supaya dpt pergi lagi tanah suci tu & dimurahkan & diberkati rezeki ke atas kami. 2009-08-24 6:00 AM

amin, insyaAllah..

anggerikdesa Selamat Berangkat Ke tanah suci..semoga selamat pergi dan selamat kembali..sy adalah pengunjung setia blog ustaz..timakasih ustaz \2009-08-24 5:49 AM

terima kasih..

anggerikdesa Bagaimana nak buat witir yg satu rokaat itu,boleh ustaz terangkan. 2009-08-24 5:47 AM

tak afdal, paling kurang, tiga

anggerikdesa Salam Ustaz.Sy solat terawih 8 rakaat,bolehkah sy buat solat witir 3 rakaat mengikut imam yg sdg teruskan solat terawih 2009-08-24 5:45 AM

boleh..

ahmad salam..klu kluar air mani pd waktu mlm dan mandi wajib pada siang hari, batal x puasa? 2009-08-24 5:00 AM

tak asalkan jaga jangan sampai masuk ke dalam rongga yang lima iaitu, mulut, hidung, telinga, kemaluan depan dan kemaluan belakang

wardina ustaz..sekiranya seseorg wanita itu bercerai hidup dgn suaminya, jodohnya di syurga adakah ahli syurga?bolehkan dia berdoa berjodoh dgn org lain di syurga sekiranya dia masih menjadi isteri org? 2009-08-24 4:54 AM

akan dijodohkan dengan orang sedarjat dengannya

aiman ustaz macam mana bacaan selawat fateh. boleh berikan. tkasih. 2009-08-24 6:44 AM

InsyaAllah, tapi nak tunggu saya scankan mungkin lambat, cari dulu dekat kedai buku.

Rahmathullah hati teringin utk jejak kaki di bumi para anbiya tapi apakan daya tanggungjawap lain masih byk lg..doa kan sy spya dpt ke mekah..semoga utz dirahmati
2009-08-24 6:37 AM

Amin..

tonet Ust, blh x tulis artikel berkaitan dgn perkara2 yg sunat d lakukan sewaktu mejlnkan Ibadat Umrah? Jika d izinkan oleh Allah, th depan sy nak ke sana. 2009-08-24 6:36 AM

insyaAllah..

sa80 Ramadhan Karim. Selamat berpuasa ustaz. Slmt berangkat ke tanah suci. Tlg doakn saya agar diberi kekuatn dlm beribadah dan dipertemukan jdoh. Tq 2009-08-24 6:30 AM

amin.. Allah bersamamu

tonet Klu Ust pegi Mecca nanT, sapa plk yg nak jwp soalan2 d cni? 2009-08-24 6:29 AM

saya akan jawab dari sana, jawapan dari sini dan sana sama saja insyaAllah..

tonet Pembetulan....Blh x Solat Sunat sblm Zohor,kita baca surah lain dr AL-KAFIRUN? 2009-08-24 6:28 AM

Boleh

tonet Ustaz, blh x sewaktu kita Solat, kita x baca lafaz, tp niat je dlm hati? 2009-08-24 6:27 AM

boleh..

mama Selamat berangkat ke Mekah. Doakan kami sekeluarga untuk sampai ke sana. Amin.
2009-08-24 6:23 AM

insyaAllah..

mamadeeba Tahniah ustaz, dpt smbung study buat phd. Moga dpermudahkan. 2009-08-24 9:03 AM

terima kasih, bermula perjuangan baru dalam dunia ilmu..

Aida ustaz, kdg2 saya wat solat sunat lebih sedikit, solat fardunya dah cam x berapa nak sempurna. sibuk nak pikirkan solat sunat. camna ustaz 2009-08-24 8:16 AM

Seimbangkan..

Aida salam. ustaz, saya solat zuhur berjamaah, di tahiyat akhir saya terlelap sekejap. camna ustaz 2009-08-24 8:14 AM

Kalau terlelap yang tak ditakrifkan dengan tidur, maka tak batal, tapi kalau memang tertidur yang tak sedar, maka batal solat.

mamadeeba Uztaz pegi umrah stiap tahun ke ?Doakan sye ye uztaz....hjh norhaliza 2009-08-24 8:05 AM

setiap kali dipanggil menjadi tetamunya

masmerah Sy seorg tukang jahit. Apakah terbatal puasa jika sy menjilat benang utk dimskkan ke dlm jarum 2009-08-24 8:04 AM

tak, jika tidak ada rasa

idarotun Bolehkah niat sebagai imam ketika solat dgn anak yg belum baligh. 2009-08-24 7:57 AM

boleh..

keraknasi Salam ustaz...Batal tak solat jika angin keluar drpd faraj (bukan kentut) 2009-08-24 7:54 AM

angin dari faraj bukan angin dari usus, ia adalah angin dari kedapan udara yang terperangkap pada sesetengah faraj. Dia bukan angin dari dalam perut, dia dari luar. Maka tak batal..

Iezzah Ustaz. batal tak solat jika terdpt sisa makanan di dlm mulut 2009-08-24 7:51 AM

Batal jika ditelan,

blue ocean bila ustz akn blik smula ke Malaysia? 2009-08-24 7:26 AM

10 September insyaAllah

blue ocean slm ustz.Slmt b'agkt ke Tanah Suci n slmt prgi n blik.Doakan yg baik2 utk kami sume pmbca blog ustz ni.. 2009-08-24 7:24 AM

amin.. Allah bersama kita semua..

Wallahu Alam,

Semoga menepati kehendak soalan. Kalau masih ada kesamaran, bolehlah bertanya kembali.

“Pertanyaan, Kunci Pengetahuan”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
3 Ramadhan, 24 Ogos 09, jam 6.05 petang

Bicara Ilmu 6 – Kuliah Ramadhan 3 – Bagaimana Nabi Berpuasa?

Kuliah Ramadhan ketiga ini, kita akan kongsikan melalui ceramah yang saya berikan di Surau Taman Desaria Sunway.

Saya dijemput untuk memberi kuliah Ramadhan setelah solat isyak pada malam 3 Ramadhan bersamaan dengan 23 Ogos 09. Kuliah diberikan dalam 20 minit. Kemudian, jemaah bersama-sama menunaikan solat Tarawikh sebanyak 8 rakaat dan tiga witir.

Surau kali ini dipenuhi dengan jemaah hingga melimpah ke ruang koridor luar. Alhamdulillah, ramai yang faham akan kelebihan Ramadhan ini.

Setelah habis kuliah, kami dijemput untuk makan more. Saya terpandang di satu papan putih.

“ (1) sila serahkan sumbangan Ramadhan (wang tunai) kepada AJK surau

(2) sumbangan gula sangat dialu-alukan

Selamat Menyambut Ramadhan”

Ketika jamuan, saya bergurau dengan beberapa AJK yang ada,

“wah.. isu gula ni, sampai aktiviti surau pun terjejas juga”

“aah ustaz, kami nak beli, boleh dua kilo aje, kena pergi berempat ustaz” kata salah seorang AJK surau.

Itulah jadinya jika ada orang yang mengawal dan menyimpan barang makanan. Di dalam Islam ia dipanggil “Ihtiqar”, dan ihtiqar hukumnya haram.

Kita balik pada kuliah Ramadhan kita. Hari ini, kita akan bincangkan mengenai, bagaimana cara Nabi berpuasa. Kita nak ikut cara Nabi berpuasa supaya kelebihan taqwa yang Allah beri pada puasa, diberikan pada kita. Sesungguhnya, Nabi berpuasa dengan menjaga lima perkara:-

1. Dengan menunaikan juga perkara wajib yang lain.
Ramai orang berpuasa, tapi sembahyang tak jaga, lepas sahur tidur balik, banguh pukul 8 pagi baru solat. Ada yang tidur, dari pukul 10 pagi, sampai pukul 6 petang, baru bangun. Zohor ke mana, asar pun lambat.

Jadi, Nabi berpuasa dengan menjaga perkara wajib yang lain. Wajib itu banyak kategori.

i. Perkara wajib dalam diri
sembahyang, menuntut ilmu, zakat,

ii. Perkara wajib dalam keluarga
Nafkah, menjaga keluarga, mendidik keluarga

iii. Perkara wajib pada masyarakat
Menjaga keamanan masyarakat

2. Menjaga diri dari yang haram
Nabi berpuasa dengan menjaga perkara yang diharamkan seperti berdusta, mengumpat, sumpah palsu, memandang dengan syahwat. Jika seorang isteri menjadi derhaka, jika seorang anak menjadi anak yang derhaka, jika suami menjadi suami tidak menunaikan tanggungjawab.

Kepentingan menjaga perkara haram ini hingga Nabi pernah berkata bahawa, ramai orang yang berpuasa tidak ada apa bagi puasanya melainkan lapar dan dahaga sahaja.

3. Membanyakkan yang sunat
Banyak benda sunat yang disuruh kita buat seperti bersahur memperbanyakkan sembahyang sunat memperbanyakkan membaca quran, menghadiri majlis Ilmu, bersegera berbuka ketika telah masuk waktu, solat tarawikh, solat malam dan lain-lain lagi.

4. Menghindarkan yang makruh
Perkara makruh seperti bercakap yang sia-sia, mendengar perkara yang sia-sia, memberus gigi setelah waktu zohor dan sebagainya

5. Memikirkan kebesaran Allah
Nabi berpuasa dengan banyak mengingati Allah. Baginda akan selalu bertafakkur, membaca Quran, melihat kebesaran Allah, berzikir dan sebagainya.

Dengan banyak mengingati Allah, maka hati ini akan terus dibimbing oleh Allah swt.

Inilah lima perkara, bagaimana Nabi berpuasa. Semoga dengan mencontohi Nabi berpuasa, kita akan lebih menjaga kualiti puasa kita. Semoga, ketaqwaan yang dikurniakan kepada orang yang berpuasa, diberikan kepada kita, dan semoga Allah terus memberikan kebaikan kepada kita di dunia mahupun di akhirat.

“Bicara Ilmu, Bicara Kecemerlangan”

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
3 Ramadhan / 24 Ogos 09Jam 4.58 petang
krisis gula turut melanda surau
Yang penting solatnya, more nombor bawah dah..

Diari 101 - Rehlah Ilmu Yang Tidak Berpenghujung

“Tuntutlah ilmu dari buaian sampai ke liang lahad”

Itu yang selalu dipesankan oleh Allahyarham Tuan Guru saya, Tuan Haji Abdullah Lubuk Tapah, kata-kata yang selalu beliau ulangkan ini, menurut sesetengah pandangan adalah hadith manakala sesetengah lagi berpendapat ia hanyalah kata-kata hukama’. Perkataan ini sering diulangkan pada kami, 5 orang budak UM Nilam Puri yang selalu berkunjung ke Pondoknya.

Ketika saya memasuki UM Nilam Puri, saya mengajak 4 orang lagi sahabat-sahabat untuk bersama-sama ke Pondok yang telah saya kunjungi sejak berada di Kelantan tiga tahun sebelum itu lagi.

“Amin.., belajar setinggi yang dapat, zaman kamu nanti, cabaran agama lagi hebat dari zaman abah,” kata Allahyarham Ayahanda saya yang juga seorang ustaz dan pendakwah. Beliau sering berpesan pada saya perkara ini.

“Bila nak sambung…, bila nak sambung”. Ini pula perkataan yang selalu diucapkan oleh Guru saya Prof. Dr Ahmad Hidayat Buang, Pengarah Akademi Islam yang selalu memberi semangat pada saya untuk meneruskan belajar.

Hinggalah pada 14 Ogos 09, jam 8.11, pagi, saya menerima sms dari beliau:-

“pakai baju jangan ketat, sebelum pakai hendaklah mandi, Sarjana Syariah sudah dapat, bila hendak sambung Phd – saja seloka pagi jumaat – Tahniah. AHB"

Tersenyum sendiri saya membaca sms beliau.

Yang ini pula datang dari Isteri saya, setiap kali anak saya membelek gambar saya di Universiti :-

“Abah korang kena belajar tinggi-tinggi, dia banyak tanggung jawab, ibu ni, dapat master dalam jaga korang aje”

Alhamdulillah, kata saya. Mujur ada isteri yang memahami dan sentiasa memberi sokongan pada apa yang saya buat.

Dan yang tak kalah penting juga ialah, apabila mengenangkan anak-anak yatim yang berada di bawah tanggungjawab saya.

Saya selalu berpesan pada mereka:-

“Saya selalu bisikan pada diri saya, insyaAllah, dengan izinnya, saya mahu kamu semua berjaya seperti mana orang ada ayah, kamu kena belajar betul-betul”.

Bagi tujuan ini, saya nak mereka mempunyai contoh untuk diikuti. Contoh dalam bidang pelajaran ini, saya mahu mereka melihat dari orang yang dekat dengan mereka sendiri. Tak perlu orang jauh. Jadi, setiap penjaga mereka, memang saya galakan untuk terus sambung belajar untuk menjadi contoh dalam hidup mereka.

Kelima-lima sebab di atas menjadi penguat bagi diri ini untuk terus belajar. Ini kerana belajar itu satu proses yang tidak akan habis.

Semakin banyak perkara yang kita tahu, semakin banyak sebenarnya perkara yang kita tidak tahu. Jika belajar dan kita dah rasa jadi alim, salahkan orang sana dan sini, bid'ah orang sana dan sini, kena teruskan belajar hingga dapat ilmu dan adab. Perkara yang kita tak pernah dengar bukan bermakna tidak ada.

Saya cuba mendampingi guru yang ditemui, belajar dengan mereka, bertamu di rumah mereka dan yang paling penting adalah mempelajari kehidupan mereka.

Di celah-celah kesibukan jadula harian, Alhamdulillah, dapat saya mencuri masa, menyiapkan proposal untuk pengajian saya.

Kelima-lima sumber semangat saya di atas menyebabkan saya menggagahkan diri untuk meneliti dan menyemak setiap keperluan kemasukan.

Akhirnya, hari ini 24 Ogos 09, jam 12.00 tengah hari saya telah berjaya membuat pendaftaran bagi calon Phd di Universiti Malaya.

Alhamdulillah, semua keperluan untuk pendaftaran dapat dipenuhi. Syukur pada Allah yang terus memberi peluang dan kemahuan untuk belajar.

Selesai urusan, saya cuba mendail nombor Prof Dr. Ahmad Hidayat. Biasanya, beliau memang jarang mengangkat telifon lantaran kesibukan kerja-kerja sebagai Pengarah Akademi Islam.

Tapi, kali ini nasib saya baik, beliau mengangkat telifon.

“Dr, ada kat API (Akademi Pengajian Islam) tak? Hajat nak jumpa sekejap” kata saya.

“Hah.. datanglah..” kata beliau.

Sesampai di Pejabat Pengarah Akademi Pengajian Islam, setiausahanya mempersilakan saya masuk.

"Hah, apa cerita?" Katanya yang memang agak peramah tapi tegas.

Kami berbual-bual mengenai perjalanan Akademi Islam. Semuanya ok.

“ana saja nak jumpa Doktor, hari ini, ana dah daftar untuk Phd” kata saya.

“Haa, baguslah tu,” kata beliau. Sebelum ini, beliau pernah menyuruh saya menyambung Phd di Rusia sana tu. Kaji manuskrip Melayu yang saya temui di St. Petersburg.

Alhamdulillah, dengan berkat doa dan rangsangan dari kelima-lima orang di atas, hari ini saya dapat menyambung amanah ilmu yang ditinggalkan oleh orang-orang terdahulu.

Semoga Allah terus memberi kekuatan untuk itu dan semoga rehlah ilmu ini terus diberkati. Agar satu hari nanti, dapat berkhidmat untuk Agama dan Negara.

Apa yang penting ialah, setiap detik perjalanan ini, mudah-mudahan diredahi Allah.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
3 Ramadhan/ 24 Ogos 09
Jam 3.38 petang.
Prof. Dr. Ahmad Hidayat Buang, Pengarah Akademi Islam
Beliau banyak mendidik saya terutamanya di dalam bidang penulisan akademik. Terima kasih di atas tunjuk ajar selama ini. Semoga tuan sentiasa di rahmati Allah

Sunday, August 23, 2009

Bicara Ilmu 5 – Kuliah Ramadhan 2 – Apa Yang Ramadhan Bentuk

Allah menyatakan bahawa tujuan kita berpuasa ialah untuk meningkatkan ketaqwaan kita pada Allah. Jadi, sebenarnya Ramadhan membentuk seseorang itu menjadi orang yang bertaqwa. Makna taqwa ialah kehebatan.

Kesempatan kali ini, mari kita bincangkan, apakah yang kita akan jadi, jika benar-benar berpuasa dan menuruti madrasah Ramadhan ini.

1. Ramadhan melahirkan orang yang cintakan Allah

Kenapa kita berpuasa? Bukan kerana budaya, bukan kerana terpaksa, bukan sebab malu. Kita berpuasa kerana Allah perintahkan kita berpuasa dan kita sebagai hambanya ingin sekali cuba mentaati perintahnya ini.

Jadi, puasa akan menyebabkan kita semakin mengingati Allah. Kelebihan orang yang berpuasa dan mengingati Allah ini, Allah akan ampunkan dosanya yang telah lalu. Di dalam hadith, Nabi saw telah menyatakan bahawa:-

Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan di dalam keadaan beriman dan mengharap-harapkan (janji Allah) maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu (Hadith Riwayat al-Bukhari)

2. Ramadhan akan melahirkan orang yang mencintai Nabi saw.

Terkenang kita pada Nabi yang sentiasa menunjukkan kita jalan untuk pulang ke akhirat dengan selamat. Sebab itu di dalam hadith, Nabi saw menyatakan bahawa:-

Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mendirikan solat dan berpuasa pada bulan Ramadhan, maka sungguhlah bagi Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga (HR Bukhari)

3. Ramadhan akan melahirkan kita mencintai saudara seIslam kita.

Kita akan berusaha membantu dan mengasihi saudara seIslam kita. Di dalam hadith, Nabi saw menyatakan bahawa:-

Dan barangsiapa yang menunaikan hajat saudaranya yang Muslim pada bulan Ramadhan, Allah Taala akan menunaikan seribu hajatnya pada hari kiamat.

Walaupun, status hadith ini agak lemah, tetapi untuk merangsang kita beramal, ia boleh dibacakan untuk renungan.

Di dalam hadith yang lain Nabi saw menyatakan:-

Tidak sempurna iman kamu hingga kamu mengasihi saudara kamu seperti mana kamu mengasihi saudara kamu sendiri.

4. Ramadhan akan melahirkan orang yang hebat akhlaknya.

Ini kerana, banyak hadith mengenai kelebihan akhlak di dalam bulan Ramadhan. Di dalam hadith, Nabi saw menyatakan bahawa:-

Adalah Rasullullah saw orang yang paling pemurah dan adalah baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan (HR Bukhari)

5. Ramadhan melahirkan orang yang hebat ibadahnya

Ramadhan bulan ibadah. Ia akan membentuk seseorang itu hebat ibadahnya kerana banyak kelebihan amalan pada bulan Ramadhan ini.

Di dalam hadith, Nabi saw menyatakan bahawa:-

Maka apabila Ramadhan hendaklah kamu melakukan umrah kerana sesungguhnya Umrah pada bulan Ramadhan menyamai pahala haji (HR Muslim)

Nabi sendiri, di bulan Ramadhan menyatakan bahawa:-

sesungguhnya mataku tidur tetapi hatiku tidak tidur (HR Muslim)

6. Ramadhan akan melahirkan orang yang hebat berjuang

Ramadhan tidak melemahkan semangat seseorang dan tidak akan menyebabkan seseorang itu merasa tidak berdaya. Banyak peperangan berlaku pada bulan Ramadhan dan Islam menang.

Jika zaman sekarang, orang yang berjuang di dalam mana-mana bidang sekalipun, dia akan menggandakan usahakan kerana di bulan Ramadhan, berjuang menggandakan pahala.

Di dalam hadith, menyatakan :-

Rasullullah saw keluar berperang pada bulan Ramadhan ke peperangan Hunain (HR Bukhari)

7. Ramadhan akan melahirkan orang yang sentiasa meningkatkan dirinya

Setiap orang mempunyai kelemahan diri. Yang paling terbaik ialah orang yang sentiasa meningkatkan dirinya. Rangsangan meningkatkan diri inilah yang dibentuk di dalam bulan Ramadhan. Di dalamhadith, Nabi saw menyatakan bahawa:-

Pada bulan Ramadhan dibuka pintu langit dan ditutup pintu neraka dan dirantai semua syaitan yang ingkar dan menyerulah malaikat penyeru, wahai yang meminta kebaikan besegeralah dan wahai yang gemar pada maksiat berhentilah (HR Tarmizi)

Sesungguhnya Ramadhan menjadikan kita semakin hebat, sebenar-benar kehebatan apabila kita hebat di dunia dan di akhirat

“Bicara Ilmu, Bicara Kecemerlangan”

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
2 Ramadhan/ 23 Ogos
Jam 4.30 petang

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...