Thursday, April 23, 2009

Diari 48 - Amman Jordan

22 April 09, Kami bertolak meninggalkan Doha International Airport pada pukul 1 tengah hari. Di dalam kapal terbang ada berbagai bangsa. Selain orang Arab, ada orang Indonesia. Mereka bekerja di Jordan sebagai pembantu. Ada orang Filipina. Ada orang Israel dan ada orang Nepal. Orang Nepal ini bekerja di Israel sebagai pembantu.


Pada pukul 3.45, kapal terbang menyentuh bumi Raja Abdullah ini. Kami sampai di Queen Alia International Airport. Jika di India ada Taj Mahal, satu istana yang dibuat oleh sang raja untuk isterinya, di sini ada Queen Alia Airport, lapangan terbang yang dibina oleh King Hussain untuk isterinya yang terkorban di dalam nahas kapal terbang di tapak lapangan terbang ini pada tahun 1976.


Kami dan rombongan mulai keluar dari lapangan terbang. Kami ditunggu oleh Ahmad, wakil agensi pelancongan yang menguruskan urusan di sini. Kami dibawa dengan sebuah coster ke Amman. Dari lapangan terbang ke Amman lebih kurang setengah jam perjalanan.


Di kanan kiri kanan jalan terdapat banyak bangunan-bangunan baru. Kali terakhir saya sampai di sini ialah setahun lepas, bersama dengan rombongan al-Hidayah TV3.


“Kali terakhir saya sampai sini tahun 1978” kata abang Aziz, juru gambar perjalanan kami.


“Hah, waktu tu mak dan ayah saya pun tak rancang nak dapat saya lagi,” Helmi mencelah. Kami semua tergelak.


Sedang kami duduk memerhatikan kanan dan kiri, tiba-tiba Ahmad menunjukkan,


“cuba lihat kiri, ini taman King Abdullah. Ada kereta Kabel. Kalau hari minggu, ramai orang datang sini dengan keluarga”.


Kemudian Ahmad berkata lagi dengan bangga :-


“Hah.. yang itu pula bangunan tertinggi di Jordan. Ia lebih kurang 48 tingkat”,


Kami semua melihat.


Kemudian Ahmad berkata lagi:-


“Tapi di Malaysia lagi tinggi, di sini, ini sahaja yang ada”.


Kami sampai di Kempinski Hotel di Jalan Abdul Hamid Shouman, Shmeisani Ammn. Bilik kami telah disediakan. Setelah berbincang beberapa perkara, kami pun naik ke bilik masing-masing.


Sejam kemudian, kami semua turun. Jam menunjukkan pukul 6.30 petang. Kami semua ke restoren di hotel ini. Kami menjamu selera, cara masak orang Arab. Sambil makan, berbagai topik yang dibincangkan. Mata masing-masing mulai kuyu. Walaupun di sini baru pukul 8.30 malam, tapi di Malaysia sudah pukul 1.30 pagi. Beza jam di sini dengan Malaysia ialah 5 jam. Mata yang belum diselaraskan dengan waktu tempatan menyebabkan terlalu berat nak diangkat.


“Marilah, kita jalan-jalan sekitar sini” kata Dato’ Yahya Jalil.


“Jom, kita ambil teksi kita jalan”, saya mengajak.


“Mmm, mana nak pergi ni,” saya berfikir.


“Ok, jom kita pergi kedai-kedai dia”, Helmi mencadangkan.


“Roh Balad (ke pusat bandar), Jabal Hussain,” kata saya kepada pemandu teksi.


“Dinareen (dua dinar),ok?” jawabnya.


Saya bersetuju, kami mengambil dua teksi ke sana.


Tidak ada apa yang menarik di sana hanyalah kedai-kedai yang berbagai. Lebih kurang jam 10.30, kami kembali ke hotel.


“Ok, jumpa esok semua,” kami masuk ke dalam bilik masing-masing.


Hari pertama di Amman, lebih kepada saling taaruf di antara ahli rombongan. Jika kita hendak mengenali seseorang, maka ajaklah bermusafir. Di sana nanti akan nampak betul-betul sikap dan perangai seseorang.


Ini kerana, seseorang itu belum dikatakan baik hinggalah kita lihat cara dia menghadapi suasana. Tidak di katakan seorang itu penyabar hinggalah kita lihat di waktu suasana membuatkan dia marah.


Tidak dikatakan seorang itu pemurah hinggalah kita lihat dia di waktu sama-sama kesempitan.


Tidak dikatakan seorang itu ramah hinggalah kita melihat ketika dia berhadapan dengan orang yang tidak disukainya.


Cara terbaik, lihatlah ketika musafir. Di dalam musafir, kita akan berhadapan dengan keadaan yang tidak dijangka. Semakin banyak bermusafir, semakin banyak kita belajar mengenai diri kita dan mengenai orang lain. Semakin kita faham diri dan orang lain, semakin kita menghormati diri kita dan orang lain.


“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”


Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Kempinski Amman Jordan

23 April 09 jam 7.45 pagi

Anak dan bapak, Raja Hussain (kiri) dan Raja Abdullah (kanan)
Jordan negara yang pro US dan mempunyai hubungan dengan Israel
Pembangunan baru
Amman, penuh dengan bangunan-bangunan
Bangunan tertinggi di Jordan
di hadapan hotel Kempinski
Hidangan kopi cara tradisional
Malam di Jaba Hussain
Antara kedai di Jabal Hussain
Lori dan pekerjanya
majalah di Jordan, ia akan melambangkan kebanyakkan minat orang di sini
Kesesakan di Amman Jordan
Jalam masuk ke Kempinski Hotel
Taman Raja Abdullah
Taman Raja Abdullah

Wednesday, April 22, 2009

Diari 47 - Doha Qatar

Jam 3.30 pagi waktu Malaysia, kapal terbang Qatar Airways meninggalkan KLIA. Mata yang telah mulai mengantuk melihat pemandangan malam sekitar Sepang melalui lubang tingkap.

"Ya Allah, selamatkanlah perjalanan ini, amin.." saya berbisik perlahan.

Kami semua menuju ke Doha sebelum meneruskan perjalanan ke Amman Jordan. Perjalanan mengambil masa 7 jam setengah. Sekitar empat jam kemudian, kami melalui zon pertukaran di antara malam dan siang.

Seperti di dalam entri yang lalu, satu pemandangan yang paling saya suka lihat di dalam hidup saya ialah melihat bumi berada di zon seperti ini, sama ada pertukaran itu dari siang ke malam atau dari malam ke siang.

Kita dapat melihat di sebelah kanan telah siang dan di sebelah kiri masih malam. Saya mengejutkan Helmi untuk solat Subuh.

Kapal terbang berlambangkan kepala kambing bertanduk panjang ini menerobosi awan. Sekali-sekala terasa juga gegaran seakan-akan kereta yang melanggar lubang.

Dua jam sebelum sampai kami dihidangkan dengan makan.

"What do you want sir? Pramugari Qatar Airways memulakan perbualan ketika hidangan mula dibawa.

"Nasi lemak", kata saya tersenyum.

"Ok," jawabnya dan dia memberikan saya nasi lemak.

Rupanya sungguh, hidangan pagi ini ada nasi lemak. Saya hanya bergurau.

Saya tersenyum sendiri, nak minta teh tarik pulak, boleh tak agak-agak?..

Perjalanan selama tujuh jam setengah ini tidaklah terasa letih sangat. Ini kerana kami menaiki kapal terbang memang dah waktu tidur. Waktu saya ke Rusia baru-baru ini, penerbangan pada pukul 7 pagi, jenuh juga mencuba untuk tidur. Ini kerana perjalanan bukan waktu tidur. Perjalanan ke Rusia tempohari memang meletihkan.

Pada jam 11.00 pagi waktu Malaysia, kapal terbang mula menyentuh bumi Arab ini. Orang-orang Arab yang ada bersama di dalam kabin, bertepuk tangan. Semua bising. Agaknya tanda syukur bagi masyarakat moden.

Turun dari kapal terbang, kami semua menaiki bas untuk ke terminal. Jauh juga pusing, hampir sepuluh minit untuk sampai ke terminal.

Saya melihat barisan kapal terbang Qatar Airways yang tersusun. Baru saya perasan, rupanya setiap kapal ada namanya sendiri. Tertulis dihadapan kepala kapal terbang, "Ummu Taqah", "Bahiyyah" dan sebagainya.

"Wah, macam jet pejuang pulak gayanya, setiap satu ada namanya sendiri", bisik hati saya.

Kami mulai beratur. Saya dan rombongan ke lorong pertukaran. Orang ramai bersesak-sesak. Biasalah bagi pemandangan di sini, sedang bersesak-sesak, antara pegawai pun bergaduh, saling salah menyalah dan saling angkat tangan tidak puas hati.

Kami melalui pemeriksaan dan x-ray barang untuk ke terminal pertukaran penerbangan. Selesai dari pemeriksaan, kami mula masuk ke dalam terminal.

Terminal di sini tidaklah besar. Dalam tak sampai 10 minit kita boleh habiskan jalan di semua kedai-kedai.

Di sini, mereka menggunakan matawang QR (Qatar Riyal). Pertukarannya lebih kurang sama dengan duit kita. Seringgit kita lebih kurang satu riyal dia. USD juga diterima untuk jual beli.

Beza masa di sini dengan Malaysia ialah 5 jam. Cuaca pada waktu ini lebih kurang di Malaysia. Pekerja airport kebanyakkannya orang dari Pakistan atau Bangladesh. Sewaktu berjalan di sekitar airport, saya terlihat papa tanda,

"Internet Point"

"boleh singgah ni, bolehlah menulis sikit. Transit selama 6 jam ni pun apa yang boleh dibuat," bisik hati saya.

Alhamdulillah, penggunaannya percuma. Bolehlah berkongsi pengalaman awal untuk setakat ini. Apa pun, semoga perjalanan ini dibantu Allah.

Sehebat mana kita, jika tidak dibantu Allah, akan susah juga. Serendah mana kita, jika dibantu Allah, pasti akan mulia juga.

"Diari, Merakam Sejarah, Mencatat Kenangan"

al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Doha International Airport
22 April 09, jam 8 pagi

Tuesday, April 21, 2009

Diari 46 - Semester Baru Universiti Kehidupan

Dalam dua hari ini, agak suntuk masa dengan tugasan yang ada. Menguruskan perkara-perkara yang ingin ditinggalkan sementara.

Apa yang penting, mudah-mudahan ia menjadi amalan. Tidak ada makna masa berlalu tanpa jadi amalan.

Fasa kedua pula, mudah-mudahan amalan kekal pahalanya. Ini kerana, ada orang yang berjaya berbuat amalan, tetapi amalannya dirosakkan dengan perkara lain.

Sesungguhnya berbuat amalan itu payah, lagi payah ialah mengekalkan amalan itu.

InsyaAllah, pada malam ini, jam tiga pagi saya akan berlepas ke Jordan. Jika diizin Allah, akan masuk ke Palestin. Selepas itu, insyaAllah akan ke Turki untuk menguruskan MOU dengan pusat pendidikan di sana bagi anak-anak yatim dan tahfiz di bawah jagaan.

Jika ada kesempatan, insyaAllah, kita akan berkongsi pengalaman dari sana. Jika saya payah untuk mendapatkan internet, maka mungkin agak lama tidak akan dapat bersama di alam maya ini.

Saya percaya kepada kehebatan doa, jadi, doakanlah semoga perjalanan ini diselamatkan Allah.
"Diari, Merakam Sejarah, Mencatat Kenangan"

al-Fakir ila Rabbihi
Muhamad bin Abdulah
Shah Alam 21 April 09 jam 6.15 petang.

Sunday, April 19, 2009

Universiti Kehidupan 58 - Percayalah, ia tidak semudah menyebutnya

18 April selepas subuh saya bertolak ke Penang bersama dua orang anak didik saya yang merupakan anak yatim yang saya jaga. Tujuannya ialah untuk mendaftarkan mereka di Kolej Ihsaniah Penang. Mereka akan mengambil bidang Syariah.

Baru sejam perjalanan telifon saya berbunyi, saya mengangkat. Ustaz Syafie, warden asrama pelajar yatim dan tahfiz menengah memberitahu saya:-

"Ustaz, malam tadi dekat asrama ada orang curi kasut sekolah kita. Yang letak dekat luar semua hilang ustaz, Laptop Ustaz Ibrahim pun hilang juga. Macam mana ye?

"Aduh.." bisik hati saya.

"Nantilah, tunggu saya balik petang ni" kata saya.

Sesampai di Penang, saya bertemu dengan Ustaz Jamal, Pengetua Kolej Ihsaniah. Saya berbincang mengenai perjalanan pembelajaran anak ini. Setelah menguruskan semua, ustaz Jamal mula mendaftarkan anak ini.

"Minggu depan ni boleh datang, nanti ana uruskan asrama dia" kata ustaz Jamal.

Hati saya puas. Memang dari awal lagi, saya berniat akan menjaga pembelajaran anak-anak ini. Saya bercita-cita agar mereka berjaya seperti mana orang yang ada ayah. Dia anak bangsa saya, dia anak saudara seIslam saya yang ayahnya telah dahulu mendahului saya.

Setelah agak lama berbual dari hal pembelajaran hingga hal yang ringan-ringan, saya meminta izin untuk pulang. Kami bersalaman. insyaAllah ustaz jumpa lagi.

Saya pun memandu pulang. Petang ini di Utara hujan renyai-renyai. Baru sampai Tapah, telifon saya berbunyi.

Kali ini berita dari asrama anak-anak, sekolah rendah pula. Mereka bergurau-gurau, bermain baling pasir, tidak perasan dalam pasir ada batu, kena cermin kereta orang dan pecah.

"Aduh.." sekali lagi hati saya berkata.

"Okeylah, tunggu, nanti saya sampai saya terus ke sana. " kata saya.

Sesampai di asrama mereka. Saya memanggil semua. Apa yang boleh dibuat, semua telah berlalu. Sementara itu, tuan punya kereta mencadangkan.
"Tak apalah, saya betulkan, nanti bil saya bagi. Budak tu tak sengaja. "

"Aik, baiklah pulak", bisik hati saya.

"Tak apalah, mereka tadi dah jumpa saya, mereka dah minta maaf."

Sejuk hati saya dengar. Buat salah dan pandai minta maaf.

"Okeylah, taka pa, nanti saya gantikan ye.." janji saya.

Beginilah cabaran menjaga anak-anak yang ramai. Ramai orang yang membaca hadith:-

"Aku dan penjaga anak yatim seperti ini di syurga, Rasullullah menunjukkan kedua-dua jari tengah dan telunjuknya.

HR al-Bukhari.

Apabila berbicara mengenai syurga, percayalah, ia bukan mudah sebenarnya. Ia susah jika tidak dipermudahkan Allah.

Saya melihat setiap wajah mereka. Wajah anak saudara saya yang telah mendahlui saya. Tak apalah. Semoga satu hari nanti menjadi orang hebat untuk agama, bangsa dan negara. Saya mengumpulkan mereka semua. Sama-sama kami membuat bulatan membaca tahlil dan nazam-nazam selawat dari kitab Maulid ad-Dibaie. Semoga berkat selawat ini Allah melembutkan hati-hati mereka. Di hujung, kami semua berdoa. Berdoa agar Allah senitasa membantu diri yang lemah ini dan juga anak-anak ini. Semoga berjaya di dunia dan di akhirat.

"Universiti Kehidupan Universiti Sepanjang Hayat"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights 19 April 09 jam 10 malam



Semoga semua berjaya seperti mana orang yang ada ayah di dunia dan di akhirat, amin...

Diari 45 – Mencintai Nabi

18 April 09, jam 8.00 pagi, walaupun hari ini sudah 22 Rabiul Akhir 1430, tetapi majlis sambutan kelahiran Nabi masih disambut.

Sambutan ini diadakan di Asrama Perindu Panasonic Communications (M) Sdn Bhd. Ia dianjurkan oleh Badan Kebajikan Islam PCM (BAKIP).

Saya sampai ke Johor pada 2.00 pagi 18 April ini. Saya bertamu di rumah pengurusi BAKIP, En Ali Ismail.

Majlis bermula pada jam 9.00 pagi. Ia dimulakan dengan majlis baacaan berzanji dan bacaan al-Quran. Saya diminta menyampaikan ceramah mengenai Nabi saw.

Sewaktu saya sampai di tempat majlis, saya dipersilakan rehat di surau. Ada beberapa orang yang sedang tidur sementara menuggu majlis bermula.

Melihat saya masuk, mereka bangun.

"Maaf ustaz, rehat sekejap. Malam tadi kerja sampai pagi. Balik sekejap terus datang balik. Rugi pulak kalau tak datang pagi ni", salah seorang dari mereka memulakan perbualan.

Saya terharu. Begitu bersungguh mereka untuk menyempurnakan majlis ingatan pada Nabi ini.

Saya teringat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari

"Datang seorang Arab kampong kepada Nabi saw, dia bertanya, bilakah hari kiamat, Rasullullah bersabda, apakah yang kamu sediakan untuk hari kiamat itu. Dia menyatakan, aku tidak mempunyai persediaan apa-apa melainkan aku mencintai Allah dan Rasul. Rasullullah menjawab, kamu akan bersama siapa yang kamu cintai."

Tidak kira siapa kita, orang kaya atau miskin, pandai atau bodoh, cantik atau tidak, jika cuba mencintai Allah dan Rasul, maka kita akan bersama Allah dan Rasul.

Amat malang orang yang merasa dirinya hebat di dunia tetapi tidak terselit cinta Allah dan Rasul di dalam hatinya.

Semoga Allah merezekikan kita mencintai Allah dan Rasul. Dengannya, kita cuba taat apa yang diperintahkan. Di hujung ketaatan inilah, kita akan dinilai untuk kehidupan seterusnya.

"Diari, Merakam Sejarah, Mencatat Kenangan"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights 19 April jam 8.45 malam.
Mereka membawa anak-anak kecil ke majlis.
Sedari kecil anak-anak ini sudah dibiasakan dengan majlis yang baik. Semoga anak ini terus dipelihara Allah


Bersama dengan ahli jawatan kuasa Majlis Maulidurasul Panasonic Communications Johor Bharu

Saturday, April 18, 2009

Universiti Kehidupan 57 – Memahami Gelombang Kehidupan

17 April 09, saya dijemput untuk menyampaikan kuliah dan mengimamkan solat Jumaat di Masjid di Pantai Dalam. Ustaz Affandi, Imam Masjid ini merupakan kawan saya ketika di Maahad Muhammadi Kelantan. Setelah selesai solat, setiausaha Masjid bangun dan memberikan pengunguman yang panjang.


“Tuan-tuan sekelian, saya selaku setiausaha masjid ini ingin mengisytiharkan….”


Hati saya berbisik, “aik! Macam nak pengunguman keputusan tengok anak bulan pulak.”


“Imam kita yang juga juru nikah dari kariah kita akan bercuti selama enam bulan dari tugasnya. Jika tuan-tuan hendak berurusan mengenai soal nikah kahwin, bolehlah berurusan dengan juru nikah kariah berdekatan”

beliau menyambung.


Pengunguman ini diulang-ulang hingga hampir lima minit.


“Alamak, apa dah jadi?” Bisik hati saya. Saya terus berdiri dan menunaikan solat sunat.


Orang ramai mula berkumpul di luar. Mereka berkumpul mengelilingi Ustaz Affandi.


“Kenapa ustaz? kenapa?”, mereka bertanya.


“Ana kena fitnah sebenarnya. Ada orang buat aduan pada JAWI ana susah nak ditemui untuk menikahkan orang. Bayangkan, ana di sini baru dua bulan sudah menikahkan lebih 300 pasangan. Macam mana ada orang aduan ana payah nak nikahkan orang”, jelas Ustaz Affendi.


Salah seorang jemaah menyampuk:-


“Tapi ustaz, ana rasa sebab lainlah, ana rasa sebab ustaz mengajar keras sangat kat sini. Jadi ada orang tak suka, orang cari pasallah”.


“Ye..ye ..ye..,” kenyataaan itu dibenarkan oleh beberapa jemaah yang ada di sekeliling Ustaz Affandi.


Setelah hampir 20 minit berbual, saya meminta izin untuk pulang. Saya salam Ustaz Affandi, saya peluknya dan bisikkan ditelinganya,


“Sabarlah”


Itu sahaja yang mampu saya ucapkan.


Inilah kehidupan. Tidak semua orang menyukai kita. Jika ada 10 orang yang memuji, akan ada lima orang yang mengeji. Jika ada 10 orang yang bersetuju dengan kita, akan ada 5 orang yang tidak bersetuju. Lebih parah lagi, jika tidak sependapat itu diapi-apikan syaitan, maka akan jadilah perpecahan, fitnah memfitnah, kata mengata, aib mengaib dan sebagainya.


Menyentuh mengenai fitrah, ia merupakan satu gelombang yang dahsyat. Seseorang itu tidak akan mampu melawan fitnah yang melanda dirinya.


Oleh sebab itulah, di dalam al-Quran Allah mengajar kepada Siti Maryam, ketika dia menghadapi fitnah kaumnya yang dahsyat, agar Maryam tidak berkata apa-apa. Biarkan orang yang mengata dan nanti Allah sendiri yang akan membela. Pembelaan Allah akan datang dengan berbagai cara.


Selain itu, apa panduan kita yang mendengar sesuatu fitnah ini? Jika kita yang mendengar dan kita tidak tahu adakah ia betul atau tidak, maka hendaklah kita diam dan jangan mengulas apa-apa


Rencam fitnah paling lama tujuh tahun. Kita lihat kisah Nabi Yusuf yang terfitnah kemudian terpenjara. Setelah tujuh tahun maka, Allah akan tunjukkan kebenarannya.


Jadi, paling lama fitnah itu akan bertahan selama tujuh tahun. Kita yang mendengar dan betul-betul tidak tahu, kita boleh tunggu. Paling lama tujuh tahun. Paling cepat, sepintas lalu dan kebenaran terus Allah tunjukkan.


Jika setelah tujuh tahun, dia tidak terbela, dan kebenaran tidak juga timbul, maka memang sungguh dia melakukan seperti yang dikata.


Tetapi, jika seseorang itu benar-benar terfitnah, maka paling lama tujuh tahun, pasti kebenaran itu akan timbul dan nampak.


Kita berdoa agar Allah menghindarkan kita dari terkena fitnah. Kita juga meminta agar Allah sentiasa membimbing kita untuk selamat dikehidupan di dunia ini, dan lebih-lebih lagi di akhirat. Sesungguhnya, fitnah itu lebih besar dari membunuh. Hari ini, jika seseorang membunuh orang lain, maka orang itu mati dan tiada dilihat lagi oleh orang. Tetapi, orang yang terfitnah, tetap wujud di tengah masyarakat dengan malu dan dihina.


Semoga, kita sentiasa dilindungi oleh Allah, amin..


“Universiti Kehidupan, Universiti Sepanjang Hayat”


Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Taman Impian Emas, Skudai Johor

18 April 09 jam 2.30 pagi.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...