Blog yang membicarakan mengenai perjalanan kembara dakwah, soal-jawab agama, masalah rumah tangga, keluarga dan rakaman rancangan Usrah TV9, Tanyalah Ustaz TV9, IKIM.fm Persona de Zahra, Al-Kuliyyah TV3, rumah kebajikan anak yatim dan hiv, juga undang-undang keluarga.
Wednesday, August 24, 2011
Diari 330 - Madinah Kala Ini....
Teringat saya sepotong hadis ketika Nabi SAW melewatkan sedikit solat zohor kerana terlalu panas.
Hotel Diyaf al-Syarq yang saya tinggal betul-betul menghadap Masjid Nabawi. Dari tingkap hotel saya melihat terlalu ramai manusia memenuhi ruang masjid hingga melimpah keluar. Mereka datang dari berbagai negara. Wajah mereka bersih dan tenang menjadi jiran Nabi SAW pada 10 malam akhir.
Pada waktu petang, akan ada agen-agen yang menunggu di pintu hotel. Mereka bukan agen jualan langsung, tetapi agen meraih redha Allah. Mereka akan memberi salam pada kita, dengan senyuman menarik tangan kita dan mengajak kita berbuka puasa pada tempat yang mereka sediakan. Syarikat-syarikat di sini berlumba-lumba menyediakan buka puasa pada para jemaah yang membanjiri kota barokah ini.
Inilah kota yang menduduki senarai teratas sebagai kota paling aman di dunia. Semua terimbau seakan junjungan besar Nabi SAW seolah-olah di sisi.
Bayangkan, keberkatan masih terasa walaupun Nabi SAW sudah tiada, bagaimana ketika Nabi SAW masih bersama penduduk di sini? Aduh, indahnya kala itu..
Ketika pembukaan kota Mekah, Rasullullah memimpin sendiri tentangan yang dilakukan oleh penduduk sekitar kota Mekah. Selesai perang, Nabi SAW mengagihkan harta rampasan pada penduduk Mekah. Perkara ini menjadi bualan sahabat yang dari Madinah seolah-olah Nabi melebihkan saudara mara baginda di Mekah. Apa kata Nabi...
"Wahai sahabat Ansar sekelian, harta ini tidak punyai sedikit pun nilai di sisiku, yang paling aku hargai ialah kamu sekelian, oleh itu, bawalah aku balik ke Madinah kerana aku akan bersama kamu"
Perkataan itu menjadikan para sahabat Ansar memeluk Nabi dengan linangan air mata dan ternyata benar kata Junjungan Besar Nabi SAW, sekembalinya ke Madinah, Nabi SAW tenang bertemu Ilahi di sisi sahabat Ansar.
Melihat kubah hijau makam Nabi, akan mengimbau kisah-kisah kecintaan Nabi kepada ummat, persoalannya, adakah kita juga mencintai baginda sebagai jalan mencintai Allah..?
Semoga Allah rezkikan saya dan pembaca sekelian mencintai Allah dan RasulNya, amin..
"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Diyafah al-Syarq
Madinah Al-Munawwarah
24 Ramadhan 1432/ 24 Ogos 2011
Jam 3.15 petang
Tuesday, August 23, 2011
Diari 329 - Catatan Perjalanan Ke Mekah Ogos 2011
Oleh kerana kala ini telah mula 10 malam akhir bulan Ramadhan, jadi agak ramai yang bersama di Studio di Masjid ini, para jemaah yang bersama qiamullail di masjid langusung ke dalam progam ini.
Tamat jam 8 pagi, saya menziarahi rumah ibu saya di Subang Jaya, jam 9.15 pagi, saya ke IKIM.fm di dalam segmen Suri. Di dalam segmen suri, tajuk perbincangan adalah hak-hak wanita.
Tamat jam 11 pagi, saya terus ke Sungai Besi menghadiri kelas penerbangan. Sudah banyak kali tertangguh kelas ini kerana kesuntukan masa.
Jam 2.30 petang, semua bahagian pentadbiran Yayasan al-Ijabah berada di rumah saya membincangkan perkara berbangkit sebelum saya bertolak ke Mekah. Memastikan semua kebajikan anggota pekerja dan anak-anak yatim dan tahfiz telah sempurna terutama menjelang hari raya.
4 petang, saya mula bergerak ke KLIA.
Penerbangan Umrah kali ini menaiki Emirates, bermakna kami akan singgah di Dubai, tetapi perjalanan lebih mudah kerana dari Dubai, kami akan langusung ke Madinah. Kalau turun di Jeddah agak penat sikit kerana terpakas menyambung perjalanan selama 6 jam lagi dengan bas ke Madinah.
Kami sempat bersahur di Madinah dan chek in di Hotel, tepat dengan laungan azan dari Masjid an-Nabawi.
Selamat bertemu ya Rasullullah, sesungguhnya aku sangat merindui Allah dan dirimu.....ku pohonkan agar sesiapa sahaja yang bersama di dalam pengembaraan maya ini juga akan sentiasa diberi peluang menziarahimu, amin....
"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"
Al-faqir ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah al Amin
Dyaifah Al-Syarq
Madinah al-Munawwarah
23 Ramadhan 1432/ 23 Ogos 2011 jam 5.20 petang
Friday, August 19, 2011
Sekilas 43 – “Isu JAIS Memeriksa Gereja – Mengenal Ahli Politik Yang Ikhlas Dan Berkepentingan..”
Saya mengikuti perkembangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang memeriksa gereja sejak saya di China lagi. Sekembali dari China pada 6 Ogos 2011, ingin sahaja saya mengulas mengenainya, tetapi kerana beberapa hal, tidak sempat untuk mengulasnya.
Kesempatan kali ini, saya hanya ingin mengulas sedikit, tetapi hanya dari satu sudut sahaja iaitu mengenai pandangan dari ahli-ahli politik yang berada di negara kita ini.
1. Apa juga isu yang timbul di negara ini, akan ada orang yang ikhlas dan ada orang yang ingin mengambil kepentingan dan keuntungan.
2. Begitu juga dengan kes JAIS di dalam memeriksa gereja ini. Banyak sahabat-sahabat dari ahli politik yang memberi ulasan secara tegas dan jujur dan ada juga yang memberikan komen popular.
3. Bagi mereka yang memberikan ulasan secara tegas dan jujur di dalam mempertahankan kepentingan Islam, syabas dan tahniah diucapkan, tetapi yang memberikan komen popular hingga kadang-kala kepentingan Islam menjadi nombor dua, mudah-mudahan anda selamat dengan cara anda ini.
4. Saya pernah terlibat dengan kes seperti ini di dalam peristiwa HIV yang tinggal di gereja pada tahun 2009 dan saya ingin nukilkan pengalaman saya bersama orang politik. Ada di antara mereka yang tegas dan ikhlas dan ada juga yang ingin mengambil pendekatan popular.
5. Ketika kes HIV di gereja menjadi hangat, saya pernah dihubungi oleh bahagian pemuda PAS dan secara jujur bertanya apakah yang boleh mereka bantu. Kejujuran mereka terlihat dari kesungguhan mereka . Selain itu, ramai juga orang Islam dari mana-mana parti politik yang bersama-sama datang dan berusaha membantu.
6. Dalam waktu yang sama, ada satu pihak lain yang memberi ingatan sinis pada saya seolah-olah di belakang saya ada pihak-pihak yang ingin memburuk-burukkan kerajaan Selangor kala itu. Kalau dilayankan peringatan mereka, mungkin pesakit HIV masih lagi berada di dalam gereja.
7. Kes HIV di gereja semakin hangat dan kali ini, saya dipanggil untuk bertemu bekas menteri dan soalan pertama saya diajukan pada saya ialah
“benda ini berlaku pada zaman saya atau baru ni..” katanya.
“Maaf Dato’, benda ni dah lama sebenarnya, zaman Dato’ lagi. “ jawab saya.
“Oh, kalau dah lama susahlah sikit nak buat..” satu jawapan yang agak mengejutkan saya ketika itu.
Pertemuan itu berakhir tanpa apa-apa tindakan.
8. Alhamdulillah, dengan kesungguhan Majlis Agama Islam Selangor, akhirnya pesakit HIV dapat dipindahkan dari gereja pada Ogos 2009.
9. Pada 10 Oktober 2010, kala itu saya mempunyai program bersama MBSA. Ia dihadiri oleh seorang YB. Kala itu, penghuni HIV Darul Ukhwah hadir di dalam program ini. Ketika habis program, pengunjung dipersilakan makan. YB melihat penghuni Darul Ukhwah dengan pakaian rasmi mereka.
“Siapa dia orang ni” tanya YB.
Saya yang makan satu meja dengan YB menjawab “Ini pesakit HIV yang dari gereja tu..”
“Oh… dari gereja tu, dia orang semua ni, saya yang keluarkan ni, saya yang datang ke gereja tu dan arahkan untuk mereka dipindahkan” kata YB dengan penuh selamba.
Sahabat-sahabat dari MBSA dan para tetamu yang mengetahui kisah dari awal hingga akhir semua memandang pada saya dengan dengan mengangkat kening dan bibir yang dicebikkan. Saya hanya tersenyum.
10. Pada Disember 2010, saya yang memohon rumah dari Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA) telah dipanggil mesyuarat untuk peringkat akhir. Dato’ Bandar ketika itu telah bersetuju dari segi dasarnya untuk memberikan sebuah dewan bagi penempatan HIV. Semua ahli mesyuarat juga bersetuju. Wakil penduduk dan Nazir masjdi juga ada dan telah bersetuju kerana kepentingan Islam. Dua orang wakil YB yang ada di dalam mesyuarat baru tahu bahawa dewan yang ingin diberikan untuk penempatan rumah HIV itu kosong dan akan diberikan untuk penempatan HIV ini.
Dia langsung terus dia mengatakan bahawa YB memang sedang mencari-cari kawasan untuk dibuat pusat Dialisis. Dan kalau tempat itu kosong, maka mereka mahu mohon untuk membuat pusat itu.
Timbalan Dato’ bandar yang mempengerusikan mesyuarat bertanya, kenapa tidak pernah ada permohonan pun.
“Ya, kita memang sedang buat..” katanya selamba padahal tempat yang saya mohon itu hampir setahun dibincangkan dari masa ke masa.
Timbalan Dato Bandar ketika itu mengatakan bahawa, pusat Dialisis di mana-mana boleh buat, MBSA pun boleh tolong carikan, tetapi tempat yang sesuai bagi HIV tidak semua tempat boleh.
Tapi, wakil YB ini tetapi berminat tempat ini.
11. Januari 2011, saya dipanggil oleh YB ini di dalam mesyuarat dan dia mengatakan bahawa tempat itu tidak boleh digunakan. Dia berjanji dengan saya akan menguruskan tempat lain dalam tempoh dua minggu.
12. Dari sehari ke sehari saya menunggu. Tidak ada jawapan. Perbincangan mengenai rumah HIV ditolak pula ke Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Saya pernah dipanggil sekali untuk mesyuarat tetapi juga terus tidak mendengar khabar berita.
Penat juga terasa kalau banyak kali cuba mengubungi tetapi tidak juga mempunyai apa-apa perkembangan. Saya cuba menghubugi YB tetapi tidak pernah dapat bertemu selepas Januari 2011. Hinggalah pihak MBSA sendiri ingin mengaturkan kembali pertemuan saya dengan YB, pun hingga sekarang tidak mempunyai jawapan.
13. Pada Ogos 2011, rumah HIV yang kita sewa di Petaling Jaya telah melebihi dua tahun. Saya mendapat satu panggilan telifon dari tuan rumah yang menyatakan bahawa dia mahu menggunakan rumahnya. Kami kena keluar dalam notis tiga bulan.
14. Di bulan puasa ini, banyak masa saya pada waktu siang ke sana dan ke mari mencari rumah baru bagi penempatan HIV.
Saya tidak tahu macam mana nak buat. Saya mempunyai kenalan dengan setiausaha kanan kepada YB Yaakub Sapari. Berbual dan berbincang dengannya atas dasar Islam. Dia bersungguh-sungguh membantu membawa saya ke sana ke mari. Dia maklumkan kepada YB Yaakub dan YB Yaakub bersungguh ingin membantu setakat ini. Walau bagaimana pun, penempatan belum lagi dapat.
Pada Isnin 22 Ogos ini, insyaAllah, saya akan ke Mekah. Di sana akan dimunajatkan keperluan penempatan HIV ini.
15. Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah bagi orang politik ada jenisnya. Ada yang memang ikhlas berjuang dan ada yang hanya mahukan komen popular di dalam sesuatu isu. Dalam isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memeriksa gereja sama sahaja jadinya. Ada yang memberikan komen tegas dan jujur dan ada yang hanya mahukan kepentingan politik.
16. Apa pun, inilah ahli politik. Satu hari nanti, jika anak kita mahu jadi ahli politik pesankanlah pada mereka, politik hanya alat dan jadikan Islam itu sebagai matlamat.
“Sekilas Mewarkan Peristiwa”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
19 Ramadhan 1432/ 19 Ogos 2011 jam 8.00 pagi
Tuesday, August 16, 2011
al-Ijabah 98– “Anak-anak ini telah mula melapisi…..”
15 Ogos 2011 jam 5.45 petang, saya mengisi jemputan kuliah sebelum berbuka di rumah orang tua al-Ikhlas di Puchong yang dianjurkan oleh KUB Malaysia Berhad.
Majlis dimulakan dengan ucapan Kak Muji, pengasas rumah al-Ikhlas dan kemudian ucapan oleh Dato’ Hj. Abd. Halim Abd Samad, pengerusi KUB Malaysia Berhad.
Saya pernah ke rumah ini di dalam rancangan Usrah TV9 awal tahun ini. Penghuni di sini ada yang bertambah. Dari sudut hati kecil terasa juga kebimbangan mengenai kualiti anak soleh hingga ibu dan ayah yang telah tua boleh berada di sini.
Kalau mungkin tidak mempunyai kepakaran dalam menjaga orang tua, kemudian diletakkan di sini tidak mengapa, ini ada yang memang letak untuk seolah-olah buang. Tidak dikunjungi hingga bertahun-tahun.
Saya tidak dapat lama di dalam majlis ini kerana di rumah saya sendiri, saya akan berbuka puasa dengan anak-anak yatim al-Ijabah dan saudara HIV Darul Ukhwah.
Jam 6.45 petang, saya sudah berada di rumah. Warga HIV Darul Ukhwah telah sampai begitu juga anak yatim peringkat rendah. Yang menengah belum sampai lagi kerana bas mempunyai sedikit masalah.
Rumah saya dipenuhi denga sorak anak-anak yatim dan tahfiz al-Ijabah. Tersenyum melihat telatah mereka semua. Ketika mula-mula mengasaskan rumah anak yatim ini pada tahun 2005, mereka semua kecil-kecil, sekarang ada yang sudah boleh menjadi imam menggantikan saya, ada dikalangan mereka yang sudah menghafal lebih 10 juzuk al-Quran, ada yang telah menjadi imam di surau-surau pada bulan Ramadhan ini.
“Ya, mudah-mudahan menjadi pengganti dan pelapis pada perjuangan Islam akan datang untuk agama, bangsa muslim dan negara, amin..” doa saya untuk mereka semua.
Saya mengamanahkan majis di rumah saya pada beberapa anak murid saya ini untuk meneruskan hingga ke tarawikh dan more. Ini kerana, saya akan memenuhi jemputan kuliah Tarawih di Masjid al-Husna Bandar Baru Sunway.
Mereka semua berselawat sambil menunggu waktu solat. Dan saya meninggalkan mereka ketika sayup-sayup anak kecil ini melaungkan azan. Mudah-mudahan, mereka semua dilindungi Allah di dalam apa juga keadaan, amin…
“al-Ijabah, Bersatu Kita Berbakti”
Al-Faqir ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah al-Amin
Putra Heights
16 Ramadhan 1432/ 16 Ogos 2011 jam 7.45 pagi
Majlis KUB berhad di rumah orang tua al-Ikhals
Kuliah sebelum berbuka
Bersama Dato’ Haji Abd Halim, Pengerusi KUB Malaysia Berhad
Saya bergegas pulang dan berbuka dengan anak yatim dan tahfiz al-Ijabah
anak-anak perempuan.
Kanan gambar kekanda Ustaz Jazlan
Mereka sudah boleh diamanahkan dengan perkara besar sekarang
Isyak, kuliah di Masjid Sunway
tajuk hari ini ialah mengenai
Deria Manusia” insyaAllah saya akan bawakan tajuk ini dalam “Tanyalah Ustaz pada 21 dan 22 Ogos ini
Para muslimah Masjid Sunway
Bicara Ilmu 40 – Di IKIM “Sebab Pertengkaran Rumah Tangga..”
15 Ogos 2011 jam 9.20 pagi, saya bertolak dari pejabat saya ke IKIM.fm di Jalan Duta. Pagi ini jalan raya tidak sesak. Mungkin bulan Ramadhan seperti ini, orang keluar awal sejurus selepas sahur.
Jam 10.00 pagi, saya telah bersedia bersama DJ Yati di bilik siaran. Kami dalam segmen Suri dalam membahaskan hak-hak wanita.
Tapi sempena bulan Ramadhan ini, saya suka bahas tajuk memperbaiki diri, tidak telalu berat bagi para pendengar yang mungkin mengatuk kerana bangun awal pagi untuk bersahur.
Saya bawakan pagi ini kenapa suami isteri boleh bertengkar. Pertengkaran boleh berlaku dalam 5 sebab yang besar:-
Pertama, memang sebab salah satu pasangan jenis yang jahat atau aniaya. Pasangan jenis ini memang akan menzalimi pasangannya sama memukul, mencederakan. Kalau bicara mengenai pasangan khianat ini, ia bukan sahaja pasangan moden, para nabi juga ada yang mendapat isteri yang mengkhianati mereka. Di dalam al-Quran surah at-Tahrim ayat 10 menyatakan bahawa :-
Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): "Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)".
Sebab kedua ialah sebab salah faham. Ini banyak terjadi terutama bagi pasangan yang kurang mahir di dalam komunikasi rumahtangga. Saya pernah membahaskan mengenai komunikasi rumah tangga di dalam perbahasan lepas di IKIM dan di dalam blog ini.
Sebab ketiga ialah rasa sakit hati yang tidak diubat. Masalah rumah tangga ibarat sakit jantung. Ia bukan berlaku sekelip mata. Ia adalah masalah yang dipendam sekian lama dan tiba-tiba ia menjadi komplikasi yang besar. Sebab itu, bagi pasangan, kena selesaikan sesuatu perkara sekalipun kecil. Jangan dipendam sakit hati takut bertambah. Di dalam surah al-Baqarah ayat 10, Allah menyatakan bahawa:-
“Dalam hati mereka ada penyakit , lalu ditambah Allah penyakitnya”
Sebab keempat ialah sihir. Kita tidak menafikan kewujudan sihir. Di dalam surah al-Baqarah ayat 102 Allah menyatakan bahawa :-
“Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya”
Sebab kelima ialah ujian hati. Ada orang yang diuji hatinya dengan rasa jemu, rasa menyampah, rasa tidak suka pada pasangan. Jika ini berlaku maka memang kena banyak berdoa pada Allah untuk mengembalikan kesejahteraan hati ini.
Inilah lima sebab besar kenapa boleh berlaku pertengkaran di dalam rumah tangga.
“Ilmu Pelita Hidup”
Al-Faqir ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah al-Amin
Putra Heights
16 Ramadhan 1432/ 16 Ogos 2011 jam 7.20 pagi
Bersama DJ Yati di dalam segmen SURI
Melihat facebook IKIM dan respons yang diberikan oleh pendengar
Kita bahaskan hari ini sebab-sebab pertengkaran
Sunday, August 14, 2011
Universiti Kehidupan 202 – “Kami Berniaga Untuk Kayakan Masjid…”
27 Julai 2011, ini kali ke empat saya datang ke Guangzhou China dalam tempoh dua bulan iaitu Jun dan Julai bagi memenuhi pembentangan kursus pra persaraan bersinergi anjuran Tabung Haji.
Rombongan kali ini begitu bersemangat untuk menjadi peniaga dan usahawan. Mereka adalah bakal pesara. Mereka beruntung kerana Tabung Haji membawa mereka ke China, mengajar untuk mengambil barang di China dan membawanya balik ke Malaysia untuk berniaga.
Seperti rombongan yang lepas, ada juga antara mereka yang tidak bercita-cita untuk menjadi peniaga dan usahawan.
“Alah ustaz, nak apa lagi, semua cukup dah, rumah dah ada, kereta dah ada, anak dah masuk universiti, dah berumur dah.., duduk rumah diam-diam buat ibadah cukuplah…” kata salah seorang peserta.
Betul juga kalau dilihat dari sekali pandang. Nak apa lagi? Dah pencen dan berumur….
Selepas tamat program bersama Tabung Haji, saya bersama pula dengan krew TV9 ke Xian, dua jam setengah perjalanan menaiki kapal terbang dari Guangzhou. Kami membuat pengambaran mengenai “Islam di China” dan juga “Ramadahan di China”.
Ketika berjalan-jalan di kota Xian, saya seronok melihat orang-orang Cina Muslim berniaga dan mereka cukup bersemangat menjalani perniagaan.
Saya melihat seorang yang telah tua, janggutnya putih dan lurus, kalau kita tengok cerita Cina, barangkali seakan tok guru Kung Fu yang duduk di biara-biara. Dia memakai kopiah putih, mukanya jernih dan tenang, akan sentiasa berjemaah di masjid besar Xian setiap kali solat.
Dari wajahnya, saya menganggarkan umurnya dalam 90 tahun.
Saya duduk bersama-samanya, berbual-bual dengan bahasa yang terbatas, dia mengatahui sedikit bahasa Arab.
Kalau nak lihat dari segi umur, apa lagi yang dia mahu? Sepatutnya cukuplah duduk di rumah berehat, tak perlu untuk bersusah payah buka kedai waktu pagi dan tutup waktu petang.
Tetapi ketika di tanya kenapa dia mahu berniaga? Maka jawapan yang agar menarik perhatian hati saya, berbeza dengan jawapan sesetegah orang dari kita yang pernah saya temui.
“Saya berniaga bukan untuk kayakan diri saya, diri saya dah cukup, tapi saya berniaga kerana saya nak kayakan masjid….”
Saya agak tersentak dengan cara berfikir seperti ini.
Orang seperti ini yang kita mahu ramaikan di dalam negara kita. Berniaga bukan sahaja untuk kayakan diri, tapi mahu kayakan institusi. Kayakan masjid, kayakan sekolah agama, kayakan madrasah, rumah anak yatim dan sebagainya.
Bayangkan jika institusi masjid punyai kewangan berjuta ringgit. Maka sudah tentu program yang hebat dapat dilaksakan diperingkat masjid. Sudah tentu program pada semua golongan akan dapat dilaksanakan di masjid.
Kebanyakkan program di masjid sekarang adalah sasarannya orang tua dan pencen. Jarang sasarannya orang muda.
Tapi kalau masjid kaya, sudah tentu banyak program dapat dibuat. Untuk orang muda, boleh anjur khas program orang muda, untuk kanak-kanak boleh anjur khas program kanak-kanak.
Ini satu contoh yang boleh kita kongsikan. Bekerja dan berniaga untuk kayakan ummah dan bukan semata-mata untuk diri sendiri. Kalau ini dapat kita ubah, maka sudah tentu kita akan lihat fungsi masjid dan institusi sosial bagi muslim ditingkatkan ke arah yang lebih hebat.
Berbeza dari sesetengah kita, kerana kita terlalu memikirkan kepentingan diri……
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-Faqir ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah al-Amin
Putra Heights
14 Ramadhan 1432/ 14 Ogos 2011 jam 11.50 malam
Kursus perniagaan dan pra persaraan rombongan keempat Tabung Haji
Bengkel berkumpulan
Ziarah masjid Abi Waqqas di Guangzhou
Kenangan di hadapan masjid Abi Waqqas
Tuesday, August 9, 2011
Bicara Ilmu 39 – Tanyalah Ustaz “Prinsip Keluarga Bahagia 1
Alhamdulillah, 22 Julai hingga 24 Julai saya dapat menyempurnakan program tanyalah ustaz bertajuk “Prinsip Keluarga Bahagia.
Kita kongiskan bahagian pertama..
Di dalam al-Quran surah Rum ayat 21 Allah menyatakan bahawa:-
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk mu pasangan suami isteri dari antara kamu, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram antara satu sama lain dan dijadikanka di antara mu kasih sayang dan belas kasihan; sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
Kepentingan keluarga bahagia hingga Allah sebutkan bahawa antara perkara yang menggembirakan kita bangsa manusia ialah ketika kita masuk syurga, keluarga kita juga masuk ke syurga (al-Insyiqaq 7-9)\
Kelurga di sini bermaksud keluarga di dunia atau pun keluarga yang akan dianugerahkan di akhirat (Tafsir Qurtubi)
إلى أهله الذين كانوا له في الدنيا ***إلى أهله الذين قد أعدهم الله له في الجنة .
Prinsip Pertama Keluarga Bahagia (Jaga Tiga Perhubungan)
1. Suami dan Isteri
2. Ibu bapa dan anak
3. Adik-beradik
Suami Isteri
- kurang memahami (saya penat/ perbelanjaan)
-penuhi keperluan nafkah batin
- jaga sekufu
Ibu bapa dan anak
Lima jenis ibu bapa yang perlu di hormati.
Ibu bapa kandung/ Ibu bapa tiri / ibu bapa Susuan/ ibu bapa mertaua Mertua dan ibu bapa angkat
Adik-beradik
Hendaklah sentiasa menjaga perhubungan adik beradik dan damaikan yang mana berselisihan
“Ilmu Pelita Hidup”
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
KLIA (Dalam perjalanan ke Guangzhou China)
26 Julai 2011 jam 9.00 pagi
Perbincangan hari pertama
tamat di TV9 saya terus ke Sek 4 Shah Alam program bersama Jabatan Pendidikan Selangor
Perbincangan mengenai Ramadhan
Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...
-
Bagi siri yang ketiga ini ingin saya kongsikan, kenapa Manhaj Wahabi ini ditolak oleh tuan-tuan guru kita terdahulu. Saya mulakan dengan...
-
Perjalanan saya ke Saint Petersburg mempunyai satu misi. Saya ingin bertemu dengan Prof. Dr . Alexander K. Ogloblin, pengkaji Nusantara per...
-
7 April 2012, saya bersama dengan ahli rombongan ke Ben Yehuda St, penempatan orang Yahudi di Jerusalem ini. Nama jalan ini diambil sempena ...