Wednesday, June 22, 2011

Jom Kongsi Pengalaman 74 - Inside Xi'an China

Saya ingin kongsikan perjalanan ke Xi'an China, salah satu kota yang terdapat orang Islam dan terdapat antara masjid tertua di dunia (1250 tahun) yang masih lagi aktif dimakmurkan.
Di antara tempat terpenting di kota Xi'an ini ialah kawasan umat Islam yang terdapat masjid lama. Ketika melangkah ke kawasan ini, kita dapat lihat ayat-ayat al-Quran ada di mana-mana. (Gambar - di atas pintu gerbang ini terdapat kalimah tayyibah)Kita tidak rungsing untuk mendapat makana halal di Xi'an ini.


Pembuat roti dengan cara tempatan

Yang ini pula kuih tempatan, unik tapi sedap

Kuih tempatan

Berlatar belakangkan tembok yang masjid

Mee antara makana terkenal di sini

Harley Dividson tempatan :)


Orang Islam di sini pandai bermain dengan rempah, makanan mereka juga pedas. Pedas dalam bahasa Cina "La..."

Di belakang saya adalah dinding dilukis dengan tangan. Orang cina terkenal dengan lukisan seperti ini.

Yang ini pula daging yang digoreng dalam bentuk bola kecil

Penjual daging dan organ dalam

Istimewa di sini, di dalam teksi pun terdapat internet yang boleh diakses

Van polis yang dipenuhi kamera di atasnya

Kota lama Xi'an

Yang ini pula menjual makanan seperti Yong Tau Foo

Berlatarbelakangkan bangunan lama

Xi'an antara kota lama berumur lebih 2000 tahun yang masih lagi diduduki oleh manusia. Banyak juga kota lama yang sudah tidak didiami lagi atau sudah ditinggalkan sekadar tinggalan sejarah atau dibangunkan kota moden disebelahnya seperti kota Jericho di Palestin (10 000 tahun), kota Siwa di Mesir (3000 tahun)

Teknologi binaan dari timur ini kebanyakkannya menggunakan kayu

Berjalan sekitar kota lama Xi'an

Orang tua yang masih aktif membuat roti



"Pengalaman Asas Hikmah"


al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Xian China

20 Rejab 1432/22 Jun 2011 jam 1.40 pagi

Tuesday, June 21, 2011

Diari 316 - Ziarah Makam Sahabat Abi Waqqas

19 Jun 2011 jam 9.00 pagi, saya bersama rombongan kedua Tabung Haji keluar dari hotel Mandarin menziarahi makam Sahabat Abi Waqqas di Guangzhou ini. Suasana pagi ini agak redup. Perjalanan kami dari hotel mengambil masa 20 minit untuk sampai. Saya menyampaikan sedikit tazkirah mengenai sejarah Guangzhou dan kedatangan Islam ke negeri China ini.
Kami sampai di kawasan makam ini. Di sini ada masjid untuk mendirikan solat.

Banyak pendapat mengenai adakah Abi Waqqas yang berada di sini adalah Saad bin Abi Waqqas atau seorang sahabat dari kabilahnya.

Yang paling sahih adalah figur ini seorang sahabat dari Kabilah Abi Waqqas dan bukannya Saad, panglima Islam, penunduk kerajaan Parsi. Ini kerana di dalam kitab Imam Malik mengatakan bahawa Saad meninggal di Madinah dan dimakamkan di Baqi'.

Kedatangan Islam ke China adalah satu perancangan rapi di zaman Saidina Uthman r.a. Oleh kerana negara China adalah sebuah negara yang besar, empat orang sahabat telah diutus bersama rombongan para Tabiian untuk mengIslamkan China. Satu rombongan melalui jalan laut dan tiga rombongan melalui jalan darat dari Madinah.

Rombongan yang melalui jalan laut dipimpin oleh Abi Waqqas ini. Kata-katanya yang sangat terkenal adalah:-

"Kami datang ke negara China ini untuk mengembangkan Islam, kami tidak akan kembali lagi ke negara Arab, satu antara dua pasti akan berlaku samaada kami syahid di bumi China ini atau Islam tersebar di sini.."

Terbukti Islam telah tersebar di bumi China ini.

Setelah beberapa ketika di China, rombongan pendakwah yang terus tinggal di sini mendirikan masjid yang diberi nama masjid Huaisheng bermaksud masjid kerinduan. Ia didirikan bagi melepaskan rasa rindu mereka kepada Nabi SAW. Mereka kekal di Guangzhou hinggalah akhir hayat mereka.

Tiga rombongan lagi melalui jalan darat dari susur Turki. Dua rombongan sampai dan satu lagi syahid di dalam perjalanan mereka.

Dua orang sahabat lagi yang dimakamkan di China adalah Khas dan Khis. Makamnya berada di satu kawasan bernama Hami di Kashgar China.

Menziarahi makam sahabat cukup memberi makna kepada kita kerana kita dapat melihat usaha mereka yang cukup bersungguh-sungguh mengembangkan Islam. Di dalam Ahli Sunnah wal Jamaah, ketika kita berselawat, kita juga diajarkan agar berselawat kepada para sahabat..

"Allahumma salli ala Muhammad, wa ala alihi wa sahbihi wa sallah.."

Selain itu, menziarahi makam sahabat yang berada di luar kota Madinah menjadikan kita lebih menghayati makna selawat untuk Rasullullah, ahli keluarga dan para sahabat ini. Mereka orang yang cukup ikhlas berdakwah hinggalah akhirnya kita semua dapat mengenal Allah dan ajaran Nabi SAW.

Semoga Allah kurniakan pada saya dan pembaca sekelian rasa bertanggungjawab menyampaikan agama ini kepada siapa sahaja yang kita jumpa, bagi membahu tanggungjawab yang ditinggalkan oleh generasi pertama ini kepada kita, amin...

"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
19 Rejab 1432/21 Jun 2011 jam 7.00 pagi. Kenangan bersama rombongan kedua Tabung Haji di Guangzhou China
Pintu masuk ke dalam makam Abi Waqqas

Kawasan yang meletakkan makam Abi Waqqas dan rombongan yang bersama dengan mereka.

Makam Abi Waqqas, seorang sahabat Nabi SAW

Telaga yang digali oleh beliau dan masih boleh lagi digunakan hingga ke hari ini. Airnya bersih dan boleh terus diminum oleh pengunjung

Kenangan di dalam kawasan rehat di sini

Masjid untuk mendirikan solat Jumaat di tepi makam ini.

Sesungguhnya, menziarahi makam mereka menjadikan kita cukup berterima kasih kepada para sahabat yang ikhlas berjuang menyebarakan Islam ke seantero dunia.


Semoga Allah memberikan kita rasa ingin menyampaikan agama ini kerana ia adalah sifat umat Muhammad. Sesiapa yang mempunyai sifat demikian akan menjadi sebaik-baik ummat (Surah Ali Imran ayat 110)

Diari 315 - "Walau Sampai Ke Negeri China..." (Program Asas Perniagaan Bersama Tabung Haji Kali Ke 2)

Khamis 16 Jun 2011 jam 9.30 pagi, saya bertolak dari KLIA ke Guangzhou bagi program "Persaraan Bersinergi", program yang mendedahkan mengenai perniagaan kepada bakal pesara Tabung Haji. Bakal pesara akan mengikuti kursus 2 hari mengenai perniagaan kemudiaan akan dibawa secara praktikal untuk memborong barang dan membawanya pulang ke Malaysia melalui jalan laut.
Saya sampai di Hotel Mandarin Guangzhou, tempat kursus berjalan jam 3.00 petang, berehat sebentar kemudian jam 4.00 petang terus membentangkan kertas kerja pertama mengenai perniagaan di dalam Islam.



Program persaraan bersinergi ini mempunyai berberapa modul yang dibentangkan oleh saya dan sahabat saya Shahabudeen Jalil (http://www.kursusborongchina.com/)






Pembentangan yang saya buat ialah "Kedudukan Peniaga Di Dalam Islam", "Persediaan Fizikal Dan Mental Di Alam Persaraan", "Pengurusan Kesihatan", "Pengurusan Kewangan" dan "Asas Perniagaan". Para peserta dikongsikan dengan beberapa perkara asas dan kemudiaan kami sama-sama berbengkel.



Para peserta akan berkongsikan apa yang dibengkelkan bersama.



Antara yang asas di dalam perniagaan adalah membuat keputusan dan juga memahami tipu daya yang terdapat di keliling kita.



Para peserta berkongsikan mengenai tipu daya yang pernah mereka kena. Memahami tipu daya amat penting agar kita tidak akan tertipu di atas nama sangka baik atau rasa kasihan.






Rasullullah juga pernah mengajarkan kepada para sahabat mengenai tipu daya yang ada di sekeliling mereka seperti ciri-ciri orang munafiq yang jika berkata mereka akan berbohong, kalau berjanji akan mungkiri dan jika diamanahkan maka mereka akan khianati.






Kalau zaman Nabi pun sudah ada berbagai tipu daya, zaman kita sekarang lagilah banyak. Jadi, memahami tipu daya akan menyebabkan kita lebih matang di dalam menjalani kehidupan terutama jika kita mahu memasuki alam perniagaa.






"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"






al-faqir Ila Rabbihi



Muhamad bin Abdullah



Jinjiang Inn, Xian China



19 Rejab 1432/ 21 Jun 2011 jam 1.55 pagi.

Diari 314 - 3 Asas Keluarga Bahagia... (Forum Bersama JAWI)

16 Jun 2011 jam 9.00 pagi, saya memenuhi undangan Forum "Seminar Pemantapan Keluarga" yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di Auditorium E2 Putra Jaya.
Forum ini bertajuk "Mahligai Merana" dan saya digandingkan dengan Kaunselor Puan Salmi dari LPKKN, Kementerin Pembangunan Wanita.


Secara jujurnya, program kekeluargaan begini sangat bagus kerana sekarang, kualiti keluarga bahagia agak rendah lantaran kekurangan pertarbiahan mengenai keluarga sakinah. Akhirnya, banyak berlaku kemudharatan di dalam rumah tangga.


Kehadiran hari ini mengejutkan penganjur kerana dewan dipenuhi oleh pengunjung dari berbagai jabatan.


perbincangan mengenai keluarga sangat penting kerana ia merupakan tapak kepada sesebuah masyarakat yang baik


Antara orang besar JAWI yang bersama di dalam program ini.



Seni keluarga bahagia ada tiga perkara, 1. Iman 2. Masing-masing ada rasa hendak meningkatkan diri 3. Masing-masing menunaikan tanggungjawab.



Sesiapa yang ada tiga perkara ini akan dianugerahkan dengan sakinah di dalam keluarganya seperti firmah Allah di dalam surah Rum ayat 21. Belum tentu rumah tangga orang agama juga ada sakinah jika ketiga-tiga ini tidak ada.



Belum tentu seorang ustaz dianugerahkan dengan isteri yang baik dan belum tentu seorang ustazah memiliki suami yang baik.



Perkara ini Allah sebutkan di dalam al-Quran surah at-Tahrim ayat 10 dan 11.



Semoga Allah yang Maha Pemurah sentiasa menganugerahkan kita kebahagiaan di dunia dan di akhirat, amin...



"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"



al-faqir Ila Rabbihi



Muhamad bin Abdullah



Xian China



19 Rejab 1432/ 21 Jun 2011 jam 1.10 pagi

Monday, June 20, 2011

Diari 313 - "Salam Perkenalan Dari Xian China.."

19 Jun 2011, jam 10.30, kami telah tiba di Hotel Jinjiang Inn, satu rangkaian hotel yang besar di China ini. Selepas menunaikan solat, kami turun ke bawah dan mencari sekitar hotel kedai makan Islam. Oleh kerana Xian adalah kawasan muslim, jadi kedai makanan muslim berada di mana-mana.
Kami menghampiri sebuah restoran. Di atas restoran ini tertulis satu tulisan Arab "Taam Islamiy" (makanan Islam). Saya menghampiri seorang pemuda yang sedang memanggang daging. Kami menunjukkan tanda pangkah dengan jari. Tanda pangkah pada jari di sini melambangkan angka sepuluh.

"Ah..." spontan pemuda bernama Ishak ini mengambil sepuluh batang besi yang dicucuk dengan daging dan terus diletakkan di atas para panggangnya.


Saya memerhatikan caranya memanggang daging ini. Tidak sama dengan kaedah satey di Malaysia yang menggunakan kaedah perapan. Di sini, sambil memanggang, mereka akan meletakkan rempah-rempah di atas daging.


Saya memerhatikan lagi gelagat Ishak membakar daging. Sekali-sekala, dia meletakkan minyak kepada daging dengan menggunakan berus cat. Ishak cuba ingin berbual dengan kami, tapi kami hanya banyak tersenyum kerana keterbatasan bahasa.

Ishak mengambil daging dan ditarikan daging ini di atas bara, di terbalikkan dan diangkat-angkat seolah-olah orang sedang bermain piano. Ini cara memanggang daging di sini. Ia bagi memastikan daging tidak hangus.

Besi-besi halus digunakan bagi memanggang daging. Di China, memanggang daging dengan kaedah ini hanya dipopularkan oleh orang Islam. Barangkali mengambil budaya panggang daging orang Arab. Ada kesamaan yang saya lihat antara China, Pakistan dan Arab. Mereka menggunakan besi untuk memanggangnya. Berbeza dengan orang Melayu yang menggunkan batang lidi. Cuma perbezaaan antara panggangan Arab dan China ialah permainan rempahnya. Orang Arab tidak pandai di dalam seni rempah.


Sepuluh batang daging terasa sikit ketika dimakan oleh tiga orang. Kami menunjukkan sekali lagi tanda pangkah dengan jari bermakna...


"nak tambah lagi sepuluh.."


Ishak tersenyum melihat kami makan dengan selera, sama ada memang daging ini sedap atau perut kami yang lapar.


Beginilah salam perkenalan di Xian ini...


"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"


al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Jinjian Inn

18 Rejab 1432/ 20 Jun 2011 jam 1.21 pagi

Sunday, June 19, 2011

Diari 312 - Kembara China Guangzhou - Xian

Khamis 16 Jun 2011, jam 9.30 pagi, saya bertolak dari KLIA menuju ke Guangzhou memenuhi undangan kedua program bersama Tabung Haji di dalam program persaraan bersinergi.

Yang yang mendedahkan kepada bakal pesara kepada dunia perniagaan sangat bagus kerana ia memberi peluang kepada bakal pesara terus aktif di dalam aktiviti harian.

Kami berseminar, berbengkel dan bersama di dalam praktikal membeli dan menguruskan barangan untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Saya bersama rombongan ini hingga hari Ahad 19 Jun dan pada petang ini, jam 6.45 petang, saya bersama beberapa orang lain meneruskan perjalanan ke Xian, dua jam setengah perjalanan udara.

Xian merupakan salah satu kawasan umat Islam di China. InsyaAllah, kita akan kongsikan pengalaman berada di sini nanti.

Kami menaiki Hinan Airlines kapal B737-800. Yang menarikya, penerbangan ke wilayah Islam ini, mereka menghidangkan makanan halal. Sama ada makan nasi atau mee dengan pelekat "muslim meal". Bermakna, pihak penerbangan menjaga sensitiviti Islam di sini.

Jam 9.25 malam, dengan lagu-lagu serunai China, kapal mula turun dan mendarat di lapangan terbang Xian.

Walaupun, lapangan terbang Xian bukan wilayah penting, tapi ia lebih besar dari KLIA. Dari lapangan terbang ke bandar, kita boleh menaiki bas dengan harga RMB 26 atau menaiki teksi dengan harga RMB 150 satu teksi.

Kami menaiki sebuah teksi dan bertukar kesebuah teksi lain di luar lapangan terbang. Bandar di sini agak sesak. Orang menaiki bas seperti sadin seakan-akan di Pakistan atau India bezanya di sini agak bersih berbanding Pakistan dan India.

Di sini, facebook dan blog disekat sama sekali, ia sebagai membendung rakyatnya dari terpengaruh dengan pandangan luar. Kami boleh berfacebook atau blog dengan program khas.

"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"

al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Jinjiang Inn, Xian China
17 Rejab 1432/19 Jun 2011 jam 11.57 malam
bas di sini yang penuh sesak


Kami terpaksa bertukar teksi di kawasan tanpa stesyen..

Friday, June 17, 2011

Universiti Kehidupan 196 - "Pencarian Kunci Ilmu..."

Walaupun dalam kesibukan jadual harian yang padat, saya sebenarnya tidak meninggalkan kesempatan untuk membaca dan menulis tesis bagi Phd saya.

Sudah 3 semester ia berlalu dan bahan-bahan kajian telah dikumpulkan.

Cuma dalam dua minggu kebelakangan ini, kajian saya agak terhenti, Maklumat yang sesuai bagi kajian saya agak terhad.

Kajian saya adalah mengenai pentadbiran harta, lebih focus lagi harta-harta syubhat dari sudut teori dan amalan. Dari satu kitab ke satu kitab saya membaca setiap halaman, tetapi tidak banyak yang dapat.

Saya jadi buntu, kadang-kala masa membaca yang dibuat di waktu malam menjadikan hampir-hampir tidak tidur sepanjang malam. Kadang-kala rasa terlalu puas dan letih, ada juga kadang kala melihat buku seperti mahu di makan sahaja, dikunyah-kunyah, digigit dan ditelan semuanya. Saya mula memahami apa maksud terlalu tepu ketika membaca.

Saya menghantar massage kepada penyelia saya, Prof Dr. Ahmad Hidayat. Ingin bertemu dan berbincang. Setelah dua minggu mencari masa yang sesuai, akhirnya pada 16 Jun 2011 jam 12.00 tengah hari, saya bersama beliau dan kami mulakan dengan makan tengah hari bersama.

Sehari sebelum itu sebenarnya, saya telah membuat satu proposal. Saya ingin tukar tajuk kajian saya kerana puluhan bahan dari berbagai kitab Syariah 4 mazhab dibaca tetapi dapatannya sangat terhad.

“Prof, saya nak minta pandangan ni?, kalau saya nak tukar tajuk saya boleh tak?” tanya saya agak suspen, maklumlah, di hadapan”Sifu…”

“Anta dah berapa semester dah?” kata Prof. Hidayat.

“3 semester” jawab saya ringkas.

“Dah tiga semester, kenapa nak tukar? Kalau benar-benar tajuk anta bermasalah, kenapa tidak dari awal-awal semester lagi” tanyanya agak hairan.

“Betul juga kenyataan yang dilontarkan” bisik hati saya.

Saya memasukkan kembali proposal cadangan menukar tajuk ke tepi tempat duduk kereta saya. Tak jadi nak keluarkan.

Kami mula berbual, kami berhenti di kedai makan di Pantai Dalam, sambil makan Prof. Hidayat mula bertanya satu persatu pada saya.

Akhirnya, saya mula berterus terang…

“Sebenarnya Prof, saya dah pening ni, bahan saya baca tak banyak dapat…” kata saya.

“Anta baca kitab apa?” tanya Prof. ringkas.

“Kitab-kitab perbahasan fiqh dari berbagai mazhab, tapi input nya sikit sangat” kata saya sambil menyebutkan nama kitab-kitab fiqh yang berjilid dari berbagai mazhab dan terbayang keadaan saya membaca yang kadang kala terpaksa menekupkan kedua tangan kemuka, berteleku di meja baca, kepenatan, dan kadang kala mengurut-urut pangkal hidung, antara kedua mata..

“Haa.. pening-pening dan pening….” sendirian mengomel…

“Memanglah tak jumpa, perbahasan anta ni banyak dalam kitab syiasah syariyyah atau kitab-kitab tasauf. Kitab Fiqh memang kurang bahaskan sebab dia lebih bahaskan mengenai harta-harta yang sah dan jenis akad-akad yang sah dalam Islam, bagi harta syubat, ia banyak dibahaskan di dalam syiasah syariah yang menceritakan bagaimana khalifah terdahulu menguruskannya” terang Prof. Hidayat sambil menyebutkan nama kitab-kitab dan buku-buku yang saya tak fikir pun sebelum ini.

Tak menang tangan menulis nama-nama kitab yang disebutkan…

“Kenapa tak bincang dengan ana sebelum ni?” tanya Prof. Hidayat.

“Saya tak nak ganggu Prof, takut Prof sibuk, ingatkan boleh cari sendiri, tapi sangkut pula” jawab saya sambil tersenyum.

“Haa, lain kali kalau sangkut bincang dengan ana” kata Prof. Hidayat.

“Mmm, kalau macam tu, saya teruskan tajuk saya ni Prof., baru ni dah pening, tu yang cadang nak tukar tajuk tu..” kata saya.

Fikiran saya agak lapang, tapi agak penat sebab bincang perkara ini dengan menumpukan penuh perhatian.

Ketika saya berada di peringkat BA dahulu, saya selalu hadiri kelas-kelas talaqqi yang dianjurkan oleh ustaz-ustaz yang balik dari luar negara.

Mereka selalu doktrinkan bahawa Phd tak bagus, entah sebab apa, atau mereka sendiri tak ada Phd.

“Kalau kamu nak sijil Phd, saya boleh beri kamu, bukan berapa keping kamu nak, berapa kilo pun boleh saya berikan?” Saya teringat lagi kata-kata seorang ustaz terkenal ketika satu ceramah diskusi di Nilam Puri Kelantan, dan dia sendiri tak pun sampai ke tahap itu.

“Orang yang ada Phd bukan alim sangat pun….” Ini juga antara perkataan yang saya pernah dengar. Saya terlalu muda ketika itu untuk membandingkan,

Tetapi setelah berada ditahap ini, saya mengakui, ia bukan satu yang mudah. Kalau orang karang buku, siapa yang nak semak atau tegur? Ada modal atau ada nama, maka buku kita boleh diterbitkan oleh mana-mana syarikat penerbit.

Tapi penulisan di dalam Phd, akan disemak dan dikomen oleh beberapa penyelia. Setiap tulisan perlu disertakan rujukan dan di dalam peringkat ini, kita diajar untuk amanah pada ilmu, bukan reka sendiri mengikut tafsiran sendiri, tapi mesti merujuk pada sumber asal dari ulama-ulama muktabar sebelum memberi satu kesimpulan.

Banyak dalam ceramah kadang-kala, yang memberikan ceramah menyebutkan satu bait arab, dikatanya itu hadis, tapi sebenarnya hanya kata-kata ulama’, ada disebutkan kata ulama ini, tapi sebenarnya ulama’ lain. Inilah yang jadi jika sikap sambil lewa terbiasa di dalam menyampaikan ilmu, kerana di dalam hidup, tidak pernah ada guru yang membetulkan dan memantau jika tersalah.

Mungkin benar, orang Phd tidak semua dia tahu kerana ilmu Allah itu memang luas, tetapi paling kurang di peringkat ini, sebenarnya, kita bukan mendabik dada kita alim, tapi kita baru diberi kunci kepada dunia ilmu pengetahuan.

Kita diajar prinsip mengkaji, menyelidik dan bermuzakarah. Jika ini menjadi tabiat, bermakna kita telah mempunyai kunci kepada dunia ilmu.

Sesungguhnya, makin kita tahu semakin banyak kita sedar bahawa kita tidak mengetahui. Orang yang suka merendahkan orang lain, sebenarnya, dia sudah rasa dia hebat, dan jika ini berlaku bermakna, kunci ilmu akan mula hilang darinya kerana nanti dia tidak akan menjadikan mengkaji, menyelidik dan bermuzakarah sebagai cara hidupnya.

Semoga Allah kurniakan saya dan pembaca sekilian sikap mencintai ilmu hingga akhir hayat kita kerana berkecimpung dengan dunia ilmu bermaksud berkecimpung kepada keselamatan dan kebaikan.

Nabi SAW bersabda “ Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, akan dijadikan dia (diberi ilmu) memahami agama” (HR Bukhari di dalam kitab al-Ilm)

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Dalam Perjalanan ke Guangzhou China

15 Rejab 1432/17 Jun 2011 jam 11.30 pagi

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...