Tuesday, August 6, 2013

Universiti Kehidupan 252 - Bagaimana Mereka ke al-Aqsa?



Rasullullah SAW bersabda yang maksudnya :-

Tidak perlulah bersusah payah untuk sampai ke sesuatu tempat melainkan pada tiga tempat, Masjid Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa.


Perjalanan ke masjid al-Aqsa adalah satu perjalanan yang disyariatkan, bermaksud setiap susah payah untuk datang ke sini mendapat ganjaran dan keredhaan dari Allah.

Saya tidak perlu ceritakan bagaimana saya dan rombongan datang ke al-Aqsa sebab kita orang luar, kita dianggap sebagai pelancong oleh Israel, asalkan memenuhi dan melalui prosedur yang ditetapkan, maka kita akan dapat sampai ke sini.

Saya nak kongsikan bagaimana orang Palesitin ingin datang ke al-Aqsa. Rakyat Palestin terbahagi pada tiga bahagian.

Pertama:-

Bagi orang Jerusalem, mereka tidak ada banyak masalah, kerana penduduk Islam Palestin yang berbilangan 300 ribu punyai kad pengenalan mereka tersendiri. Itu pun kadang kala, bagi anak-anak muda yang berumur bawah 40 tahun, tidak dibenarkan mereka masuk keal-Aqsa.

Kedua:-

Golongan yang dipanggil sebagai “Arab Dakhili” atau “Arab Israel”.  Penduduk ini seperti di Tulkarem, Nablus dan Nazareth. Mereka adalah penduduk Arab yang dimasukkan sekali oleh Isreal  sebagai rakyat mereka ketika Israel mengiystiharkan negara mereka pada tahun 1948. 

Bilangan mereka ialah 1.7 juta orang. Mereka termasuk di dalam statistik rakyat Israel yang berjumlah 7 juta orang.  Mereka boleh mengundi di dalam pilihanraya Israel. Antara tokoh “Arab Dakhili” atau “Arab Israel”  ini ialah Syeikh Raid Solah yang pernah bersama-sama di dalam kapal “KD Marmara”, ketika kapal ini ditahan di dalam operasi menghantar bantuan ke Gaza.

Oleh kerana Arab Dakhili atau Arab Israel ini dikira sebagai rakyat mereka, maka tidak ada masalah untuk mereka datang memakmurkan al-Aqsa. Cuma kadang-kala, yang di bawah 40 tahun tidak dibenarkan untuk masuk.

Ketiga :-

Iaitu orang Palestin yang dianggap sebagai penduduk Palestin, mereka seperti penduduk di Bethlahem, Ramallah, Gaza, Jericho dan lain-lain lagi. Mereka hanya memiliki 12 peratus sahaja kawasan dari seluruh bumi di sini.  Orang dari tempat ini perlu memohon permit untuk berada di al-Aqsa, kadang kala diberi dan kadang kala tidak diberi. Kadang kala diberi untuk hari Jumaat sahaja dan kadang kala diberi untuk hari tertentu sahaja.

Golongan ini sangat bersyukur jika mereka diberikan kebenaran dan mereka akan duduk di al-Aqsa dan tidak akan keluar kerana setiap saat di al-Aqsa amat berharga untuk mereka. Mereka akan berkongsikan kisah kesusahan mereka untuk sampai di al-Aqsa jika mereka bertemu dengan kita.

Selain itu ada satu lagi golongan..
Golongan keempat :-

Yang memasuki Aqsa secara tidak berpermit. Mereka adalah golongan yang akan memanjat tembok setinggi 8 meter untuk datang ke al-Aqsa, jika mereka tertangkap, pasti nasib mereka akan ke penjara.

Saya ada bertemu dengan golongan seperti ini ke al-Aqsa, mereka menunjukkan pada saya gambar-gambar mereka memanjat tembok, ada yang menggali dari bawah tembok untuk menyelinap masuk, ada yang patah kaki ketika terjun dari tembok 8 meter dan ada yang berjahit kepada tersangkut pagar duri ketika berlari kerana dikejar.

Saya bertemu dengan golongan keempat ini ketika saya beriktikaf pada malam 27 Ramadhan di al-Aqsa. Merenung mereka, terasa hiba, tapi berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Hari ini, saya merasakan kebenaran hadis bahawa : 

Tidak perlulah bersusah payah untuk sampai ke sesuatu tempat melainkan pada tiga tempat, Masjid Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa.

Dulu ketika membaca hadis ini, kita rasakan macam hadis itu untuk kita yang datang dari jauh, memang susah pun…

Tetapi rupanya, orang Palestin sendiri merasakan kesusahan itu, dan dari sudut psikologi  mungkin lebih lagi kerana mereka dapat melihat al-Aqsa dengan mata, tetapi tidak dapat merasa dengan kaki mereka.

“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah al-Amin
Jerusalem
6 Ogos 2013 jam 7.45 pagi

 Permit yang perlu dipohon oleh orang Palestin untuk ke al-Aqsa
 al-Aqsa adalah semua kompleks ini, ia terdiri dari 5 buah masjid, 2 atas tanah dan tiga bawah tanah. Dua atas tanah ialah 1. masjid kubah emas ini, 2. Masjid utama. tiga bawah tanah ialah 1.masjid utama lama, 2. masjid buraq dan 3. masjid Marwani
 Malam-malam Ramadhan semua sudut dipenuhi orang, bukan sahaja dalam masjid tetapi pada setiap ruang dalam kompleks al-Aqsa ini, ia akan memuatkan lebih 500 ribu orang
Ustazah Asni bergambar dengan keluarga Palestin yang kami ziarah.

2 comments:

Muhammad Samsul Rizal Masron, AFPM said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

Alhamdulillah...dpt tambah ilmu lg.JazakaALLAH. Fauzi UK10.