Tuesday, December 21, 2010

Universiti Kehidupan 179 – Setiap Sesuatu Ada Kaedahnya…”

11 Disember 2010, rombongan Rain Forest Challenge mulai keluar dari Hutan Gunung Berlumut. Destinasi seterusnya ialah Hutan Simpan Tenee di Tanjung Leman Johor.

Semua kenderaan telah berkumpul di satu kawasan lapang di tengah hutan ini jam 9.00 pagi. Berbagai negara dan bangsa ada di sini.

Kenderaan pula berbagai jenis dan bentuk. Setelah semua berkumpul, kami mula bergerak.

Saya dan rombongan dari TV9 masih lagi menaiki kenderaan En Othman, Presiden Kelab Sukan Dan Rekreasi 4x4 Lipan Bara. Di dalam kembara kali ini, Kelab Lipan Bara membawa rombongan Media.

Jalan yang kami lalui terlalu licin, badan kami dihayun ke kanan dan kiri ketika pemandu cuba menstabilkan kenderaan 4x4 ini, jika silap gaya, kenderaan boleh terbalik. Sebuah pacuan empat roda jenis Prado menggelongsor ke hadapan ketika cuba menekan brek ketika menuruni cerun bukit.

Saya yang duduk di belakang turut juga memberek dengan kaki di kala kenderaan kami menggelongsor dan hampir melanggar kenderaan di hadapan.

80 buah kenderaan 4x4 berusaha keluar ke jalan biasa, meredah hutan belantara yang tebal, sekali sekala muka kami disebat dengan ranting-ranting hijau yang menceroboh masuk melalui tingkap kenderaan.

Lopak dan lumpur memerangkap tayar, sekali sekala, tayar menggesot dan lumpur naik hingga ke dalam kenderaan, cepat-cepat kami menaikkan tingkap kenderaan ini, tetapi tayar jenis “lipan” ini memang dibuat untuk mengatasi bentuk muka bumi sebegini.

Sampai jalan besar, kami semua telah ditunggu oleh belasan motor besar Honda dari pasukan polis, dengan seren yang dibunyikan, polis mengiringi kami hingga ke jalan masuk hutan Simpan Tenee.

Semua kereta yang kami lintas berhenti di tepi, ada yang melihat kami dengan penuh teruja, ada yang melambai tangan, dan ada juga yang berhenti dengan muka bengang, tapi sebenarnya, pihak trafik mengiringi kami dengan alasan.

Rombongan pacuan empat roda ini agak bahaya di jalan raya, tayar yang digunakan adalah khas untuk melalui tanah berlopak, ia tidak sesuai dan akan menjadi licin serta mudah menggelongsor jika di jalan tar.

Melihat polis mengiringi kami, saya berseloroh:-

“Mmm, macam ni agaknya rasa jadi menteri”

Kami melalui Pekan Kahang, sampai di sana, helikopter polis pula bersama mengiringi perjalanan.

“Hai… dengan seren polis di sana sini, ada helikopter pulak, dah rasa macam rombongan teroris pulak” kata salah seorang dari kami di dalam kenderaan pacuan empat roda ini.

“Ha.. jangan jadi teroris cinta sudah le..” kata seorang lagi, semua gelak kecuali saya, sebab saya tak faham apa maksud dia orang ni.

Pada saya teroris cinta adalah orang yang tidak membawa cintanya kepada Allah.

Di tepi jalan, ramai yang melambai-lambai rombongan ini.

Kami melambai balik setiap lambaian yang diberikan oleh orang yang melihat kami. Di satu simpang, ada seorang memekik pada kami..

“Bang nak pergi Gaza ke…”

“Ha..ha…” semua kami tergelak. Kali ini  rasa macam pejuang pembebasan pulak….

Tapi raptai kenderaan ini memang seperti raptai tentera, dengan deruman bunyi enjin yang kuat dan beberapa kenderaan tentera bersama, memang seakan rombongan tentera.

Sampai di satu kawasan di Jemaluang, kenderaan peserta telah masuk ke dalam laluan hutan berpaya. Bagi kami rombongan Media, kami mengikuti jalan lain dan akan bertemu kembali di satu kawasan di tepi pantai di tanjung leman.

Saya melihat jam, sudah jam 3.00 petang.

“Ok ustaz, orang Media akan melalui jalan lain, sebab peserta akan melalui hutan berpaya, rombongan paling awal akan keluar ke penghujung lebih kurang jam 2.00 pagi nanti, paling lambat, petang esok pun belum tentu keluar lagi” kata En Othman.

“Ya Allah, lamanya, teruk sangat ke paya yang mereka kena redah tu?” tanya saya.

“Taklah teruk, cuma paras pinggang dan ada kalanya paras dada kita” terang En. Othman lagi.

“Haaa… ye ke.?” saya terkejut.

Tapi sebenarnya setiap sesuatu itu ada kaedahnya. Jika kena dengan kaedahnya, maka ia akan dapat disempurnakan dengan baik.

Seperti meredah hutan berpaya begini, kena ada kaedahnya. Jika tidak ada kaedah maka kita tidak akan sampai.

Sifir ini sebenarnya sama sahaja di dalam apa-apa perkara di dalam hidup.

Di dalam mengamalkan agama, semua ada kaedahnya, salah cara dan kaedahnya, maka sesuatu amalan itu tidak dapat di sempurnakan dengan baik.

Solat ada kaedahnya, puasa ada kaedahnya, haji ada kaedahnya dan untuk selamat di akhirat juga ada kaedahnya, salah kaedah kita akan gagal.

Oleh itu, untuk selamat di dalam apa sahaja yang kita buat, sama ada di dunia atau di akhirat, maka kena ikuti kaedah dan cara yang betul. Semoga setiap apa yang kita buat memperolehi matlamat yang dicitakan.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

15 Muharram 1431/21 Disember 2010 jam 11.00 malam

IMG_3478

Kami telah ditunggu oleh pasukan polis trafik yang mengiringi perjalanan kami

IMG_3447

Polis memang perlu mengiringi rombongan kerana tayar pacuan empat roda ini agak licin dan boleh menggelongsor di jalan biasa

IMG_3449 

Rasa juga seperti perjalanan orang besar…

IMG_3464

Polis akan menahan kereta lain di setiap persimpangan jalan

IMG_3465

ramai orang yang menunggu di tepi jalan

IMG_3471

IMG_3477

“Nak ke Gaza ke bang!.. seorang menyapa kami

IMG_3463

Pasukan tentera dari unit perubatan juga bersama kami

IMG_3479

Kami juga diiringi oleh helikopter PDRM, kali ini rasa macam teroris pula..

Monday, December 13, 2010

Universiti Kehidupan 178 – “Hobi Dan Dakwah Medan…”

10 Disember 2010, saya memerhatikan hutan Gunung Berlumut ini, dari suasana sepi telah bertukar kepada hiruk pikuk bunyi deruman 80 pacuan empat roda, bertanding di dalam jalan-jalan berlecak dan paya.

Ada yang tersangkut dan ada terpaksa ditunda.

Bagi saya dan krew TV9, kami menyiapkan episod program Usrah yang akan ditayangkan pada Januari 2011 ini.

Bagi peserta yang bertanding, mereka tidak menghiraukan keselamatan diri, dengan bermandi lumpur dan luka di sana-sini, semuanya menjadi kecil bagi mereka.

“Orang yang menyertai sukan 4x4 ustaz, semuanya orang kaya ni ustaz” kata Abang Othman, Presiden 4x4 Lipan Bara dari Kelantan.

“Mana tidaknya, masuk ni pun yurannya sudah 1000 USD seorang, lagi pun, lepas keluar dari hutan, kereta mesti kena baiki punya” kata Abang Othman lagi.

“Rain Forest Challenge ni pun, yang menang tidak dapat apa-apa duit, cuma dapat trofi sahaja” beliau menambah lagi.

“Dia orang masuk pun kadang kala nak tenangkan jiwa sebab sibuk business di luar sana” katanya lagi.

Hati saya berbisik….

“Hebatnya ciptaan Allah, dia menjadikan hobi ini sebagai salah satu cara untuk seseorang itu melepaskan rasa tekanan dalam hidup, sebab itu semua orang ada hobinya dan seseorang itu tidak akan rasa penat jika membuat sesuatu yang disukainya ini”.

Saya memerhatikan peserta, ada peserta yang membawa isteri dan anak, kalau suami penat membawa kenderaan, isteri pula akan memandu, anak-anak di belakang memberi sokongan.

Dengan hobi, kita dapat bertemu dengan orang lain, dapat membina persahabatan, kandag kala di luar batasan geografi, dan bagi yang membawa anak dan isterinya ke dalam hutan ini, hobi dapat lagi mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Saya melihat berbagai peringkat usia, ada dari hujung 20an hinggalah kepada lebih 60 an. Masing-masing berbual mengenai pengalaman masing-masing di dalam pertandingan ini.

Minat boleh menyatukan manusia. Ia boleh mengumpulkan orang yang mempunyai kesamaan terhadap sesuatu perkara itu.

Sebab itu, hobi juga boleh dijadikan salah satu cara untuk berdakwah. Kita akan bertemu dengan orang bukan Islam dan berbual dengan mereka, dan ketika telah mesra berbual, kita akan dapat berbual mengenai Islam.

Ada seorang wartawan berbagsa Cina, dia begitu berminat dengan rombongan krew TV9 yang membuat pengambaran program “Usrah” ini, paling kurang, kita berpeluang membertahunya mengenai program ini dan isinya dan secara tak langsung, dia juga akan dapat mendengar apa itu Islam.

Bagi peserta Islam, ramai yang berkumpul di sekeliling saya bertanyakan berbagai masalah agama. Kebanyakkan mereka orang kaya kurang masa ke masjid dan surau. Kebanyakkan pendakwah pula hanya beruang lingkup di masjid dan surau, jadi mereka tidak pernah berpeluang mendekati orang agama.

Saya juga terasa perlunya para pendakwah turun ke medan masyarakat, kerana memang ada golongan yang mahukan agama, tetapi agak malu nak ke masjid kerana rasa terlalu hina dan bersalah di atas kesalahan yang pernah mereka buat.

Sunan Kalijaga pernah mengumpulkan orang, turun ke tengah masyarkat berdakwah kepada masyarakat melalui persembahan wayang kulit yang amat diminati oleh masyarakat Jawa ketika itu.

“Kalimah Soddo” (Kalimah Syahadah) antara tajuk wayang kulit yang dibawa.

Begitulah indahnya Islam, ia datang kepada masyarakat dengan berbagai cara. dengan kesenian, pendidikan, gaya hidup dan sebagainya.

Matlamatnya adalah satu, iaitu untuk memperkenalkan Allah dan dan juga syariat Nabi saw agar semua manusia selamat di dunia dan di akhirat, juga menjadikan syariat itu hidup di tengah-tengah kehidupan manusia.

Banyak dapat dikongiskan dengan peserta di dalam hutan ini, ia seperti kuliah di masjid, soal jawab terutama isu-isu fiqh di dalam hutan, cara ibadah dan sebagainya.

Akhirnya, mereka dengan jujur berkata kepada saya:-

“Mula-mula dengar ada ustaz nak datang, kami rasa sangsi juga, takut ustaz ni asyik nak marah-marah dan kata, itu dan ini tak betul, penat juga kami”

“Kalau tak betul, tetap tak betul, cuma kita betulkan sama-sama, jom.. mari saya tunjukkan bintang kiblat di langit” kata saya ketika berbincang mengenai isu kiblat di dalam hutan.

Semua yang ada bergitu teruja dengan perkongsian ilmu mengenai bintang kiblat.

“Haaa, barulah tahu ye ustaz, Islam tu mudahkan…” kata mereka.

“Ya, Islam itu mudah, cuma kita perlu tahu sahaja ilmunya, tapi walaupun Islam itu mudah, ia bukan untuk dipermudahkan iaitu dianggap ringan” saya menambah.

Semua begitu gembira dengan kuliah dan soal jawab di dalam hutan ini.

“Inilah universiti kehidupan, pengajiannya sepanjang hayat dan di mana sahaja” kata saya.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Hutan Tenee Johor

12 Disember 2010 jam 9.00 malam

***** di post dari The Zon Regency Hotel Johor Bharu 13 Dis 2010 jam 8.00 malam

IMG_3360

Kenderaan 4x4 ini berbagai jenisnya

IMG_3413

Kawasan perkhemahan peserta

IMG_3417

lumpur dan selut menjadi sebahagian kehidupan di sini

IMG_3427

Peserta dari berbagai negara

IMG_3433

Hutan ini menjadi bising dengan deruman 80 kenderaan 4x4 yang berbagai jenis

IMG_3431

Peserta dari China

IMG_3434

Peserta dari Eropah

IMG_3394

Kuliah dapat dibuat di mana-mana

IMG_3356

Asal ada kesempatan, kami menghabiskan masa dengan bersoal jawab

IMG_3416

Abang Ali, Jurugambar TV9

IMG_3440

Rombongan Rain Forest Challenge mulai keluar dari hutan Gunung Berlumut ke hutan Tenee di Tanjung Leman Johor

Universiti Kehidupan 177 - “Wahai Allah Yang Memberi Keselamatan, Selamatkanlah Kami..”

“Ustaz bangun ustaz, ular… ular besar” kata Abg Ali, jurugambar TV 9.

Hari ini, Jumaat 10 Disember 2010, jam 4.00 petang, Kala itu saya baru melelapkan mata kerana keletihan menyiapkan satu episode program usrah.

Ular berwarna hijau itu sebesar suku lengan saya, nisbah bagi seekor ular, ia sudah agak besar.

Saya melompat bangun kerana ular itu hanya dua meter sahaja dari tempat saya, badannya hijau bersisik, ekornya berwarna coklat lurus kecil. Ia baru sahaja mematuk kaki Sidek Abdullah Majin, Penerbit Majalah Tiga.

Semua yang ada di sekeliling menjadi riuh, “ular..ular…”

“Pukul cepat, pukul cepat…” kata seorang dari yang berada di situ.

“Bunuh aje.., bahaya ni..” ada yang mencadangkan

Abang Ali terus megambil kayu dan beberapa kali kepada ular ini dipukul, ia terus melawan.

Akhirnya, ular ini menjadi lemah, tidak mati tetapi mematikan dirinya.

Ular ini diusung ke tepi sungai. Kaki Sidek Abdullah Majin mulai bengkak sedikit. Kami semua memeriksa ular ini, sekali sekala badanya digerakkan.

“Nak buat macam mana ni?” kata Abang Ali.

Ular ini dilempar ke tanah, dan sedikit demi sedikit mula bergerak kembali. Kemudian, datang polis-polis yang bersama rombongan Rain Forest Challenge ini, diambilnya cangkul dan diceraikan kepala sang Ular dari badan.

“Eiiiii….” ramai yang memalingkan muka tidak sanggup melihat hukuman mati bagi sang Ular.

Satu lubang dibuat untuk dijadikan tempat semadi ular hutan ini.

“Ustaz, kalau dia tak datang tempat kita dan tak serang, mungkin kita halau sahaja” kata salah seorang dari kami.

Memang benar perkataannya, Rasullullah sendiri pernah berpesan, kalau jin menyerupai ular sekalipun, dia tidak boleh berada di kalangan manusia, kalau dia berada juga, maka manusia boleh membunuhnya.

Sidek Abdullah Majin menggosok kakinya yang sedikit bengkak. Tidak terasa pening atau sakit. Ada tiga perkara rasanya, sama ada memang ular itu tidak berbisa, atau ular itu hanya gigit untuk menghalau, bukan untuk menyerang, atau abang Sidek Abdullah Majin ada ilmu pertahanannya sendiri.

Tak kisah apa pun, yang pasti, kuasa Allah menghendaki beliau selamat.

Beginilah di hutan, pada pagi berikutnya pula, kami dikejutkan dengan kala jengking besar yang merayau sekitar khemah.

“Dah memang tempat dia, kita datang, kita kena ambil resikolah…” kata saya.

Malam itu, Abang Sidek Abdullah Majin, meminta jarum peniti atau pemotong kuku, jarinya telah ditusuk dengan duri hutan. Dia berusaha mengeluarkan duri yang menyakitkan itu.

Abang Shahril Rani, jurugambar bagi program Majalah Tiga mengusik Abang Sidek..

“Hebat Sidek, apa ilmu dia pakai, kena patuk ular pun tak de apa-apa, tapi kita dah tahu dah kelemahan dia”

“Apa dia?”, kata Abang Sidek.

“Dia tak boleh kena duri, kena duri baru tembus..” kata Abang Shahril sambil tertawa kecil.

Beginilah keadaan dalam hutan, selain usaha yang kita maksimakan, hendaklah kita sentiasa memohon pada Allah agar Allah memberi perlindungan kepada kita. Ada satu hadis mengenai satu peristiwa. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:-

Satu ketika, datang seorang lelaki kepada Nabi saw, dan dia berkata, “Wahai Rasullullah, aku telah bertemu dengan seekor kala jengkin dan ia telah menyegatkku, maka Rasullullah saw bersabda, jika engkau membaca ayat ini, maka ia tidak akan dapat memudharatkanmu :-

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya : Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan apa yang telah dia ciptakan.

(Hadis riwayat Muslim di dalam kitab al-Zikr, Wa al-Dua wa al-Taubah Wa al-Istighfar)

Inilah di antara amalan yang diwariskan kepada kita dari Nabi SAW, semoga kita akan terus di selamatkan Allah dari kemudharatan di mana sahaja kita berada, amin…


“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”


al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Hutan Gunung Berlumut Johor

11 Disember 2010 jam 7.00 pagi

*** di post dari The Zon Regency Hotel Johor Bharu 13 Dis 2010 jam 6.35 petang

IMG_3356

Baru saya faham, kenapa bentuk khemah tentera atau pengembara hutan kebanyakkannya adalah menggunakan katil. Ia untuk mengelakkan binatang merayap menyelinap masuk ke khemah

IMG_3361

Saya dikejutkan dengan jeritan “Ustaz, ular besar” tempat baring saya hanya dua meter dari ular itu berada.

IMG_3362

Bagi badan seekor ular, sebenar suku dari lengan itu sudah dikira besar

IMG_3368

Mulut ular ini, kami menunjukkan gambar ini kepada pegawai perubatan yang bersama kami, dan dia pun tidak dapat mengenal pasti jenis ular ini.

IMG_3375

Ia sudah berada di kalangan manusia dan membahayakan

IMG_3410

Kala jengking yang di sekitar kami

IMG_3420

Abang Sidek Abdullah Majin, penerbit Majalah Tiga TV3

Diari 267 – Perjalanan Ke Alam Lain

9 Disember 2010, hari ini merupakan hari pertama perjalanan saya dan krew TV9 bersama rombongan Rain Forest Challenge.

Rombongan Rain Forest Challenge yang telah masuk ke dalam hutan beberap hari lalu,  keluar ke bandar Kluang untuk mengisi minyak. Petang ini, bandar Kluang disimbah dengan hujan. Kami akan menyertai rombongan ini dan tempat pertemuan kami adalah di Balai Polis Kluang.  Jam 2.30 petang, kami semua berkumpul di Balai Polis Kluang menunggu rombongan Rain Forest Challenge ini.

IMG_3223

Jam 2.45 petang, dari kejauhan, seakan guruh, sebanyak 80 kenderaan pacuan 4 roda dari 21 negara dengan garangnya melintasi bandar Kluang. Perjalanan di iringi dengan peronda Polis.

IMG_3225

Kenderaan yang membawa para wartawan dan krew TV mengambil kami di Balai Polis Kluang.

“Oh, ustaz ini” kata salah seorang ahli rombongan yang telah dimaklumkan bahawa akan ada seorang ustaz yang akan menyertai rombongan ini. (nanti ikuti pandangan ikhlas mereka mengenai golongan ustaz di dalam artikel akan datang)

IMG_3227

Saya mula berkenalan dengan sabahat-sahabat media yang lain dari berbagai agensi. Bersama kami juga sahabat Media dari rancangan Majalah Tiga, satu program seusia wujudnya TV3.

IMG_3234

Gambar kenangan rombongan Media sebelum bertolak dari balai Polis Kluang.

IMG_3237

Saya menaiki kenderaan Presiden Kelab 4x4 Lipan Bara, Kelab Lipan Bara antara kelab yang ditugaskan membawa pihak media, di dalam kenderaan ini, penuh dengan peralatan komunikasi dan kembara.

IMG_3238

Sukan lasak 4x4 ini memang satu sukan yang sangat mencabar, Mat Salleh suka di tempat kita kerana hutan kita antara hutan yang mencabar untuk merentasinya.

IMG_3246

Kami mula memasuki kawasan hutan simpan Gunung Berlumut

IMG_3252

Antara kenderaan petugas

IMG_3259 

Berehat sebentar di tengah jalan

IMG_3267

Pasukan Paramedik tentera juga bersama kami, di dalam hutan, macam-macam boleh berlaku.

IMG_3287

Lubang gajah, lubang yang dibuat oleh penduduk kampung untuk menahan gajah dari menyeberang agar tidak merosakkan tanaman, pacuan 4 roda terpaksa melaluinya dengan penuh cabaran.

IMG_3322

Kami mula memasuki hutan Gunung Berlumut, badan kami dihempas ke kanan dan ke kiri ketika pacuan 4 roda ini cuba menstabilkan kedudukan dari terbalik

IMG_3338

Berehat seketika di satu kawasan, hari semakin gelap dan kami perlu segera ke destinasi perkhemahan

IMG_3343

Hidup dihutan agak mencabar, kita tidak boleh cerewet untuk makan dan minum, asalkan halal dan kena caranya, kena telan sahaja, cuba lihat air disebelah saya, beginilah antara sumber air dihutan ini.

IMG_3348

Sampai sahaja di tengah hutan ini, para peserta terus membuat khemah dan dapur, di dalam hutan, suasana lebih cepat gelap dari di luar, ini kerana, kita semua terlindung dengan pokok-pokok besar.

IMG_3352

Seakan pasukan tentera, semua peserta terus membuat khemah dan dapur

IMG_3354

Khemah ala tentera peserta, tak sampai setengah jam, dengan cekap, ahli pasukan siap membuat tempat menginap dan dapur.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Hutan Gunung Berlumut Johor

9 Disember 2010 jam 10.00 malam

*** di post dari The Zon Regency Hotel Johor Bharu 13 Dis 2010 jam 5.30 petang

Thursday, December 9, 2010

Diari 266 – “Apa Gheja…? Inilah Usrah 2011…”

Ada orang bertanya pada saya:-

“Apa gheja (kerja) ustaz ke sana ke mari ni…?”

“Ke sana ke mari banyaklah halnya, nak tau jom le ikut sekali, dengan satu syarat, jangan mengeluh..” jawab saya sambil melemparkan senyuman.

Untuk tahun 2011 ini sebenarnya, saya akan menjadi penyampai kepada program Usrah di TV9 sebanyak 26 episod. 26 episod lagi akan dikendalikan oleh Ustazah Hasni.

Menyentuh sejarah Usrah di TV9, rancangan ini pertama kali dikendalikan oleh Dato’ Dr. Fatma Zahrah yang bersiaran pada jam 11.30 pagi hingga 12.00 tengah hari. Ia berkonsep tafsir al-Quran dalam rumah orang atau masjid dan sasarannya ialah “midi” iaitu umur 40 tahun ke atas.

Selepas itu, ia dikendalikan oleh Ustazah Hasni yang lebih menumpukan peringkat pelbagai umur.

Pada tahun 2011 ini, penerbit Rozimalini Abdullah mengetengahkan konsep baru iaitu dakwah aktif, santai dan praktikal iaitu di luar studio dan waktu siaran juga telah bertukar kepada jam 1.00 hingga 1.30 tengah hari.

Konsep baru ini juga akan mengetengahkan rujukan buku dan kitab di dalam perbahasan. Konsep ini bagus sebenarnya kerana, dalam masa setengah jam, tidak banyak yang dapat dikongsikan, jadi para penonton dapat merujuk kitab dan buku yang diperkenalkan.

InsyaAllah, bagi segmen bersama saya, para penonton akan mengembara di pelbagai tempat. Ia seakan “Universiti Kehidupan” iaitu kita akan mengupas sesuatu di tempat-tempat yang kita pergi di bahawa lembayung syariah.

Penyertaan saya di dalam kembara “Rainforest Challenge” di Johor ini juga adalah sebahagian dari episod perjalanan usrah 2011. InsyaAllah, 4 episod akan dikupas di sini mengenai Islam dan keadaan dalam hutan seperti solat, tawakkal dan sebagainya.

Semoga program ini memberi manfaat pada semua terutamanya diri ini. Dan mudah-mudahan, ia menjadi sebahagian amal soleh buat kita semua, amin…

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Kluang Johor

3 Muharam 1432/9 Disember 2010 jam 2.45 petang

IMG_3210

Perjalanan “Rainforest Challenge” bermula di Kluang Johor, keadaan di sini hujan dan rombongan yang sepatutnya telah bergerak terpaksa ditangguhkan seketika, semoga terus dibantu Allah untuk agamaNya, amin..

Sisipan 15 – Program Rain Forest Challenge Bersama DYMM Sultan Johor

Ketika artikel ini ditulis, saya telah berada di Johor untuk program Rain forest challenge bersama DYMM Sultan Johor.

Selama beberapa hari di hutan, agak sukar untuk berhubung dengan pihak luar, semoga program ini memberi manfaat yang dapat dikongsikan kelak.

“Sisipan Mengwarkan Peristiwa”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

The Puteri Pacific Johor Bharu, Johor

3 Muharam 1432/9 Disember 2010 jam 5.00 pagi

Sisipan 14 – Program SINAR (Sejarah Islam Nusantara)

InsyaAllah, dengan izinnya, saya akan mengadakan sambutan tahun baru 2011 dengan persembahan Multimedia “Sejarah Islam Nusantara di De Palma In Shah Alam.

Persembahan Multimedia ini mengajak kita mengembara mengenai Sejarah Islam di Nusantara agar kita mengetahui asal usul Islam di tanah Melayu ini.

Ia sangat bagus untuk kita semua terutama untuk anak-anak muda yang mungkin terlupa jatidiri asal mereka.

Untuk keterangan lanjut, bolehlah pembaca menghubungi 019 6993643/ 03 5880 4586

 

“Sispan Mengwarkan Peristiwa”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

The Puteri Pacific Johor Bharu, Johor

3 Muharam 1432/9 Disember 2010 jam 4.20 pagi

POSTER A3

Program Multimedia Sejarah Islam Nusantara

BUNTING

Ia bermula jam 8.00 malam 31 Disember 2010

a5 back

Semoga memberi manfaat pada kita semua…

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...