Monday, May 18, 2009

Universiti Kehidupan 68 - Mengenal Masjid Dua Keturunan - Masjid Khalilil Rahman, Hebron

Hebron adalah nama lain bagi al-Khalil iaitu satu tempat yang dinisbahkan dengan nama Ibrahim a.s. Ia merupakan kawasan yang tinggi iaitu 1000 meter dari paras laut. Pada musim sejuk, tempat ini akan dilitupi dengan salji.

25 April 09, kami serombongan menuju ke Hebron.Ia sebuah wilayah di bawah jagaan Palesitn. Oleh kerana ia di bawah Palestin, maka jika kita terputus duit, orang dari Malaysia boleh mengirimakan duit melalui Western Union yang terdapat di sini. Tetapi, jumlahnya tidak lebih dari 2500 USD sekali transaksi. Jika di wilayah Israel, tidak ada kemudahan begini. Ini kerana, di wilayah Israel, banyak negara-negara tidak mempunyai hubungan dengan mereka.

Kami melalui kem perlarian al-Arub. Apabila disebut kem pelarian, ia bukanlah khemah-khemah perlarian seperti di dalam peperangan, ia adalah kawasan penempatan baru bagi penduduk Palestin yang tanah mereka dirampas. Mereka duduk di rumah-rumah pangsa siap dengan kemudahan air dan letrik. Di sini juga terdapat sekolah dan kawasan kedai.

Di Palestin ini, mudah untuk kita mengenal kem pelarian. Biasanya, di kem ini mempunyai pejabat United Nation (UN) yang akan menjaga pembelajaran anak-anak Palestin.

Untuk sampai ke Hebron, kami melalui banjaran Judian. Di dalam bahasa Arabnya ia disebut sebagai Jabal Yahuda. Saya merasa pelik dengan nama tempat ini. Saya bertanya pada Nasir:-

"Kenapa mereka menamakan banjaran ini dengan Jabal Yahuda. Ia seolah-olah mengiktiraf bahawa kawasan pergunungan ini adalah kawasan mereka yang asal"

"Memang, orang Yahudi telah banyak memberi nama-nama baru dengan nama mereka di sini. Dahulu, kawasan pergunungan ini bernama "Jabal al-Quds", terang Nasir ringkas.

Begitulah Yahudi, mereka akan menamakan sesuatu tempat dengan nama mereka. Apabila generasi berpindah ke generasi seterusnya, maka akhirnya orang akan mengiktiraf nama baru itu.

Untuk sampai ke Hebron, kami melalui satu kawasan bernama "Hul-Hul", di sini adalah tempat Nabi Yunus a.s, terdapat makamnya Nabi Yunus di sini.

Di dalam perjalanan, saya memerhatikan kenderaan yang kami temui. Ada tiga warna flat kereta di sini, kuning, putih dan hijau. Saya bertanyakan kepada Nasir, apakah bezanya ketiga-tiga flat kereta ini.

Nasir menerangkan, warna kuning ialah kereta yang didaftarkan di wilayah Israel. Warna putih adalah kereta yang didaftarkan di wilayah Palestin dan warna hijau adalah kenderaan awam.

"Aik, warna pun ada beza ke?" Tanya saya pada Nasir.

"Memang beza, tapi kami dengan Israel sebenarnya sepupu, Mereka dari keturunan Nabi Ishak bin Nabi Ibrahim, kami dari keturunan Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim. Tapi, sepupu yang jahat, kalau kamu hendak sepupu saya, saya jualkan dengan harga 10 USD sahaja," kata Nasir sambil ketawa.

Hebron terkenal dengan orang Palestin yang paling keras tetapi paling mengamalkan agama. Di sini, kita tidak akan jumpa orang perempuan yang tidak memaki tudung, semuanya tertutup. Orang Hebron juga pandai berniaga. Barangkali, seperti orang Tataristan dan Checnya di Rusia dan orang Kelantan serta Aceh di Nusantara.

"Di sini, kalau kamu paku dinding, tiba-tiba paku itu tak boleh tembus, mesti ada orang Hebron tengah tahan dengan kepala dia" Nasir cuba menggambarkan keadaan orang di Hebron.

Pemandu Coster hanya tergelak sahaja, Namanya Soleh. Dia berasal dari Hebron. Sekali- sekala dia memandang kami dengan cermin pandang belakangnya sembil tersenyum. Dia gembira bersama kami. Ini kerana biasanya, dia membawa pelancong Kristian. Dalam tahun ini, baru dua kali dia membawa rombongan muslim.

Ada dua tempat yang paling terkenal di Hebron ini. Pertama Masjid Khalilil Rahman yang menepatkan enam makam iaitu Nabi Ibrahim dan isterinya Sarah, Nabi Ishak dan isterinya Rifqah (Rebecca) serta Nabi Yaakub dan isterinya Liqiyyah (Liyah).

Tempat kedua ialah pokok yang ditanam oleh Nabi Ibrahim. Di pokok ini, Nabi Ibrahim sering menerima wahyu.

Masjid Khalilil Rahman ada sebelum kedatangan Islam lagi. Dahulu, Rom membuat sebuah bangunan untuk melindungi enam makam ini. Terdapat batu bersurat di dalam tulisan Rom kuno oleh Queen Helani dari Byzantin di dalam masjd ini.

Setelah kedatangan Islam, tempat ini dibuat masjid. Masjid ini kemudian dibaharui pada kurun ke 13 masihi oleh kerajaan Mamaluk. Batu mar-mar tiga warna iaitu merah, hitam dan putih yang menjadi identiti kerajaan Mamaluk menghiasi masjid ini.

Masjid ini, dibina di atas sebuah gua, iaitu tempat asal rumah Nabi Ibrahim a.s. Sekarang kita boleh melihat gua ini melalui lubang kecil dari dalam masjid. Lubang sedalam 15 meter ini dipasang dengan lampu. Kita boleh melihat kawasan rumah asal Nabi Ibrahim a.s ini.

Mihrab masjid ini sudah berumur lebih 1200 tahun. Ia dibina sejak zaman kekhlifahan Umayyah lagi. Mimbar di sini telah berumur hampir 1000 tahun. Ia dibawa oleh Salahuddin al-Ayubi dari Halab (Aleppo) Syria setelah mengalahkan tentera salib. Batu-batu dinding masjid ini berumur 700 tahun iaitu dari kerajaan Mamaluk Mesir. Batu-batu ini dibawa dari sana. Di tepi mihrab terdapat lilin lama yang dihadiahkan oleh Sultan Abdul Hamid dari Khalifah Uthmaniah. Cuba bayangkan, berapa juta manusia pernah bersembahyang di sini. Berapa ribu quran pernah dikhatamkan di sini. Kalau di Malaysia, pasti setengah orang sudah menganggap masjid ini masjid keramat.

Melihat masjid lama seperti ini, hanya satu sahaja yang saya renungkan. Ia masih masih lagi digunakan. Bermakna, orang yang membina masjid ini masih menerima pahala walaupun mereka telah mati ribuan tahun lalu.

Nabi pernah mengatakan:-

"Apabila mati anak Adam, maka terputuslah amalannya keculai tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan."

Semoga Allah memberi kita peluang untuk membuat amalan yang terus kekal pahalanya, amin..

Pada tahun 1994, seorang Yahudi bernama Barukh Goldistine memasuki masjid ini. Ketika itu, ahli kariah sedang menunaikan solat subuh. Dia menembak jemaah yang sedang solat. 29 jemaah mati dan 300 lain cedera.

Saya bertemu dengan seorang jemaah bernama Abu Hani. Beliau antara jemaah yang sedang solat ketika kejadian berlaku. Beliau menceritakan kepada saya keadaan detik-detik kejam itu berlaku.

Seperti biasa, Barukh Goldistine ditangkap, dibicarakan dan dilepaskan dengan alasan pada ketika itu dia kurang waras.

Kesan dari peristiwa ini, pihak Yahudi memagar makam Nabi Yaakub dan isterinya dan memperuntukkan bahawa tempat ini adalah untuk orang yahudi sahaja. Makam ini hanya dibuka untuk orang Islam sepuluh hari sahaja dalam setahun iaitu pada awal Muharam, hari raya Aidul Fitri dan Aidul Adha, tiga hari Tasyrik dan 4 kali jumaat pada bulan Ramadhan.

Beginilah keadaan di sini. Tetapi apa yang boleh dibuat. Negara Islam sendiri tidak banyak yang membantu saudara Islamnya sendiri. Arab Saudi hanya berdiam diri ketika Gaza diserang. Ketika Iran membantu, keluar fatwa dari ulama Saudi bahawa orang Gaza telah mula cenderung ke syiah sebab itu, tak perlu kita bantu mereka.

Di masjid al-Haram, doa untuk Palestin digugurkan. Imam yang cuba membaca, akan digam sementara. Ini belum Mesir lagi. Sepadan ditutup, bantuan ubat dan makanan hanya sedikit dibenarkan untuk melepasi sepadan Mesir-Palestin.

Semoga generasi muda akan sedar hakikat ini. Ukhwah itu penting, kerana ia membawa kepada keredhaan Allah dan redha Allah yang kita buru untuk keselamatan di dunia dan di akhirat.

"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
18 Mei 09 jam 8.20 pagi.
Lubang gua, rumah asal Nabi Ibrahim a.s
Kita boleh melihat gua ini melalui lubang kecil ini
Mar-mar dari kerajaan Mamaluk yang dibawa dari Mesir
Mimbar yang dibawa oleh Salahudin al-Ayubi
Mihrab dari zaman Umayyah
Bekas peluru pada kejadian 1994
Batu bersurat dari zaman Rom di dalam masjdi ini.
Batu bersurat dari zaman kerajaan Mamaluk Mesir
Dalam masjid. Di kiri dan kanan ialah makam Nabi Ishak dan isterinya Rifqah (Rebecca)
Bersama Abu Hani, orang yang ada ditempat kejadian ketika Barukh Goldistine menembak mati 29 jemaah yang sedang menunaikan solat subuh. Lebih 300 jemaah cedera.
Tazkirah selepas solat
Di sebalik dinding ini, makam Nabi Yaakub dan isterinya Liyyah. Sekarang orang Islam tidak boleh masuk lagi ke sini. Nabi Yaakub dinisbahkan sebagai bapa Bani Israel.
Suasana dalam masjid.

Sunday, May 17, 2009

Universiti Kehidupan 67 - Pintu-Pintu Masjid

24 April 09 dan 1 Mei 09 merupakan hari kami bersembahyang Jumaat di masjid al-Aqsa. Kedua-dua hari ini mempunyai pengalaman yang berbeza.

Pada Jumaat 24 April, kami mulai masuk ke Jerusalem menuju ke al-Aqsa. Dari kejauhan kami melihat empat orang tentera siap dengan senapang menjaga pintu masuk ke al-Aqsa. Mereka menahan orang-orang muda dan membiarkan hanya orang tua sahaja yang memasuki al-Aqsa.

Bagi orang muda, jika tentera yahudi membenarkan, mereka boleh masuk. Jika askar ini tidak membenarkan, mereka akan beredar dan akan mencuba pintu lain pula. Untuk masuk ke dalam masjid yang penuh barakah ini, kita boleh menggunakan 10 pintu.

Kami bertujuh mulai menghampiri pintu al-Aqsa. Seorang tentera menahan kami. Tiga dari kami mempunyai kamera besar dan disandang di bahu. Pada ketika itu, imam sudah memulakan bayannya (ceramah sebelum Jumaat). Ketika melihat kami, mereka tidak membenarkan kami masuk. Mereka mahu melihat surat pengesahan perjalanan kami di sini.

Nasir pemandu kami pula telah meninggalkan surat tersebut di dalam bas. Kami mula merayu untuk masuk. Askar ini tetap berkeras dan memerintahkan Nasir membawa kertas pengesahan perjalanan kami.

Dia membisikan pada Nasir dalam bahasa Arab:-

"Hari ini, aku nak susahkan mereka ini"

Saya yang memahami apa yang diperkatakan hanya memandang dengan hati yang mula mendongkol.

Seorang Arab tua yang lalu, berkata pada askar ini:-

"Biarlah mereka masuk, mereka datang dari jauh. Mereka tidak akan membuat kacau", dia merayukan bagi pihak kami.

Askar Yahudi ini buat tak tahu sahaja.

Kami duduk di tepi kawasan tembok setinggi enam meteri di al-Aqsa ini sementara itu, Nasir kembali ke bas untuk mengambil pengesahan perjalanan.

Ketika menunggu, tiba-tiba ramai orang lalu. Mereka membawa jenazah untuk disembahyangkan di al-Aqsa.

"Nak aje selet di tengah-tengah ramai orang yang ke al-Aqsa ini." bisik hati saya.

Tak lama selepas itu, Nasir kembali dan mengajak kami untuk cuba masuk sekali lagi.

Kali ini mereka tidak membenarkan kami masuk juga. Mereka menyuruh kami meninggalkan kamera yang kami bawa.

"Aduh, nak letak kat mana kamera ni. Nak balik ke bas jauh. Kenapa tadi tak cakap", bisik hati saya.

"bolehlah, kami datang dari jauh ni. Tak tahu lagi bila akan sampai. Benarkanlah kami masuk dengan kamera ini". saya memujuk askar yahudi ini.

"Biaklah, kamera kamu sahaja boleh, yang lain tak boleh. Yang lain boleh tinggalkan di mana-mana," jelas askar yahudi ini.

Antara kami ada yang menggeleng kepala tanda tak tahu apa lagi nak diperkatakan. Pada ketika itu, Nasir terus ke sebuah kedai, meminta jasa baiknya untuk dia tumpangkan segala kamera kami. Mujurlah tuan kedai berbangsa Arab itu menerimanya.

Untuk kali ketiga, kami cuba masuk. Kali ini sekali lagi dia menahan. Kali ini askar ini menyuruh kami membaca surah al-Fatihah. Ia untuk memastikan bahawa kami semua adalah Islam.

Setelah selesai barulah mereka mengizinkan kami memasuki al-Aqsa. Dengan doa dan kesyukuran kami memasuki al-Aqsa.

Beruntungnya kita. Masjid sentiasa terbuka tanpa halangan untuk dipenuhi. Tetapi adakah ia dipenuhi? Kenapa agaknya. Boleh bincangkan?

1 Mei 09, kami sudah ada pengalaman mengenai kamera di al-Aqsa. Jumaat kali ini kami datang lebih awal. Semua kamera tidak lagi disandang di atas bahu. Diletakkan di dalam beg dan dibungkus dengan kain.

Saya tidak membawa beg. Hanya plastik hitam kecil yang saya letakkan atas bahu. Di bahagian atas sekali, saya meletakkan buku saya, kemudian kain pelekat yang membungkus kamera.

Kali ini, teknik kami berjaya. Kami hanya ditahan seketika dan apabila tentera membuka beg, hanya pakaian sahaja di atas. Jumaat kedua, semua kamera dapat dibawa masuk.

Di dalam al-Aqsa tidak seperti di masjid al-haram. Di Masjdil Haram, kita dilarang mengambil gambar. Di sini, kami disuruh untuk mengambil gambar banyak-banyak. Ini supaya gambaran al-Aqsa dapat dilihat oleh dunia luar. Ramai masyarakat di luar tidak dapat melihat al-Aqsa dari dekat. Tidak semua kamera dapat melepasi chek point tentera.

Berlainan dengan keadaan untuk masuk ke Masjid Khalilil Rahman di Hebron. Ia lebih ketat.

25 April 09, sesampainya kami di masjid ini, kami terpaksa melalui dua "Metal Detector". Semua barang besi hendaklah dikeluarkan. Pintu pertama "metal detector" dijaga oleh tentera. Memasukinya seperti stadium, beratur dengan pagar besi di kanan dan kiri, pintu mempunyai halangan besi. Hanya seorang sahaja dalam satu-satu masa boleh lalu. Pintu kedua sama, cuma kali ini ia dijaga oleh empat orang tentera. Setiap barang besi hendaklah dikeluarkan dan diletakkan diatas satu tempat. Salah seorang tentera akan membelek setiap barang besi. Dia akan membelek jam, menggoyangkannya membelek lagi sebelum dipulangkan kepada kami. Agaknya, barang besi sekecil jam pun mampu membuat bom.

Setelah selesai semua barang besi diperiksa, kami melalui satu lagi post pengawal. Mereka tidak memeriksa hanya memerhati dengan pandangan yang tajam. Di kanan dan kiri masjid Khalilil Rahman terdapat menara yang dikawal oleh tentera. Keadaan jalan masuk di masjid ini sama ketat seperti di airport.

Kenapa lebih ketat? Kerana kita berkongsi masjid dengan orang yahudi. Di masjid Khalilil Rahman terdapat enam makam.

Nabi Ibrahim dan isterinya Sarah. Nabi Ishak dan isteriya Rifqah (Rebecca) , Nabi Yaakub dan isterinya Liqiyyah (Liyah).

Nabi Yaakub dan isterinya Liqiyyah di anggap sebagai bapa Bani Israel. Jadi, makamnya sekarang, hanya boleh dilawati 10 hari sahaja setahun. Ia pada hari-hari kebesaran Islam. Yang lain, semuanya untuk orang Yahudi.

Kawalan di sini lebih ketat kerana mereka takut, orang Islam akan membunuh orang Yahudi.

Ye ke? Dalam sejarah, tidak pernah orang Islam di sini membunuh orang yahudi yang ingin melawat makam Nabi Yaakub, tetapi dalam sejarah, orang yahudi pada tahun 1994 telah menembak jemaah yang sedang menunaikan solat subuh. Lebih 300 orang cedera dan 29 lagi syahid ketika sedang sujud menyembah Allah. Hasil dari kejadian itu, yahudi mahu makam Nabi Yaakub dan isterinya diserahkan pada mereka.

Jika itu yang mereka mahu, kenapa perlu menjandakan isteri dan menyatimkan anak kecil. Mereka tidak bersejata. Mereka ke masjid untuk menunaikan solat seperti biasa. Jika mahu pertarungan yang adil, bertarunglah sebagai anak lelaki yang sejati.

Tapi inilah keadaannya apabila negara umat Islam dikuasai dan diperintah oleh orang bukan Islam. Cuba lihat saudara kita di tempat lain, di Thailand contohnya, orang Islam ditembak tanpa mampu berbuat apa-apa.

Adakah kita boleh mengharapkan negara ini diperintah oleh orang yang bukan Islam? Adakah orang bukan Islam boleh diharapkan untuk membela agama kita? Dan adakah orang lain akan setoleransi umat Islam.

Jawapannya ada pada sejarah, jawapannya ada di depan mata kita. Jawapannya, ada di dalam dada kita semua.

"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"

Al-Fakri Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
17 Mei 09, jam 10.30 pagi
Lorong-lorong menuju masjid Khalilil Rahman di Hebron, masjid dan makam nabi Ibarahim a.s
menuju ke pemeriksaan tentera untuk ke masjid
Torwong yang perlu dilalui untuk sampai ke pemeriksaan tentera.
lorong keluar pun dijaga oleh tentera dari atas.
Masjid Khalili Rahman yang meletakkan tiga makam para Nabi dan isteri mereka.
Jenazah yang diusung menuju ke pintu al-Aqsa.

Friday, May 15, 2009

Universiti Kehidupan 66 - Benarkah Palestin Tanah Asal Yahudi?

25 April 09, jam 11.30 pagi, saya betul-betul berada di hadapan makam Nabi Ibrahim di Masjid Khalil al-Rahman di Hebron, memerhati tempat semadi bapa para Nabi dan Rasul. Gelaran itu kerana banyak para Nabi dari keturunan baginda. Bangsa Arab dan Bani Israel juga bersusur galurkan baginda.

Hari ini kita akan berbincang mengenai sejarah keturunan Bani Isreal. Benarkah kenyataan mereka yang mendakwa bahawa tanah Palestin ini adalah tanah mereka yang asal. Mari kita bincang sedikit asal usul keturunan mereka ini.

Kita mulakan dengan kisah hijrahnya Nabi Ibrahim a.s ke Hebron (Khalili) setelah peristiwa pembakaran baginda di Iraq. Baginda datang ke Hebron dengan sepupu baginda Nabi Lut a.s. Mereka berdua adalah ahli perniagaan yang berjaya.

Sesampainya ke Hebron, baginda telah berkahwin dengan Siti Sarah manakala Nabi Lut a.s telah melanjutkan perjalanannya ke Kota Sodum (tapak laut mati sekarang).

Nabi Ibrahim kemudiannya ke Mesir. Sampai di Ber Siva ini baginda bertemu dengan seorang raja yang akan suka meniduri isteri orang. Ketika ditanya kepada Nabi Ibrahim, adakah Sarah isterinya, maka Nabi Ibrahim menjawab bahawa Sarah ialah adiknya. Maka pasangan ini tidak digangu. Selepas beberapa ketika di Mesir, maka Nabi Ibrahim kembali ke Hebron. Sekembalinya ke Hebron baginda berkahwin pula dengan Siti Hajar.

Dari Siti Hajar lahirlah Nabi Ismail dan dari Siti Sarah lahirlah Nabi Ishak. Nabi Ismail kemudiannya dibawa ke Mekah bersama ibunya. Dari keturunan Nabi Ismail lahirlah bangsa Arab.

Nabi Ishak masih tetap di Hebron. Baginda kemudiannya berkahwin dengan Rifqah (Rebecca) dan mendapat anak bernama Ya'kub. Nabi Ya'kub inilah bapa kepada Bani Israel.

Nabi Ya'kub berkahwain dengan Liqiyyah (Liyah) mendapat anak seramai 12 orang yang akhirnya dinisbahkan 12 suku Bani Israel. Salah seorangnya adalah Nabi Yusuf.

Ketika kecil Nabi Yusuf telah dibuang ke perigi, baginda telah diambil oleh pedagang dan dibawa ke Mesir. Secara ringkasnya, setelah dewasa, akhirnya Baginda Yusuf menjadi menteri dan membawa seluruh keluarganya ke Mesir. Bermulalah sejarah Bani Israel di Mesir.

Selama beberapa keturunan mereka di sana, menjadikan mereka menguasai Mesir dan bersikap sombong. Bangsa Qibti yang memang berasal dari Mesir ini akhirnya menjadikan mereka hamba. Semakin hari semakin tertekan hinggalah sampai zaman firaun dan Nabi Musa. Nabi Musalah yang membawa 12 suku Bani Israel keluar dari Mesir dan menuju ke Palestin.

Nabi Musa wafat sebelum sempat membawa Bani Israel masuk ke Palestin. Misinya diteruskan oleh anak muridnya Nabi Yusyak (makamnya ada di Jordan). Ketika itu Palestin telah ada penduduk asal iaitu bangsa Kan'an. Bangsa inilah penduduk asal Palestin.

Mereka duduk aman damai hinggalah mereka ditindas oleh seorang penguasa jahat bernama Jalut. Bani Israel melalui Nabi mereka bermunajat pada Allah supaya diutuskan seorang pemimpin, maka Allah mengutuskan seorang pemimpin bernama Talut. Berperanglah keduanya. Orang yang dapat membunuh jalut ialah seorang keturunan Israel bernama Nabi Daud.

Bagi mengenang jasa, Nabi Daud telah berkahwin dengan anak Talut. Ketika Talut meninggal, maka Nabi Daud menaiki tahta dan Nabi Daud merupakan raja pertama bagi Bani Israel. Kerajaan ini diganti oleh anaknya Nabi Sulaiman. Pada tahun 967 s.m (sebelum masihi), Nabi Sulaiman mendirikan istananya yang besar untuk semua beribadah kepada Allah.

Selepas kewafatan Nabi Sulaiman, maka tahta ini diganti oleh keturunan Bani Israel hinggalah tahun 586 s.m apabila kota Jerusalem dihanguskan oleh seorang raja bernama Nabuchatnizar dari Iraq. Raja ini juga telah menghancurkan istana Nabi Sulaiman. Dari tahun ini, Bani Israel tidak mempunyai kuasa hinggalah Rom menawan mereka.

Pada tahun 37 s.m, Rom telah melantik wakilnya dari Bani Israel iatu Raja Herod untuk membantu memerintah Palestin. Ketika inilah Raja Herod membangunkan kembali Istana Sulaiman. Ketika kelahiran Nabi Isa, Raja Herod cuba membunuh Nabi Isa kerana berpendapat bahawa Isa akan merampas tahtanya ketika besar nanti. Nabi Isa dilarikan ke Mesir selama dua tahun dan kembali ke Palestin setelah Raja Herod mati. Nabi Isa kemudiannya dibesarkan di Nazareth.

Herod digantikan oleh anaknya iaitu Raja Herod Agripa dan terjadilah peristiwa pembunuhan Nabi Zakariya, Yahya dan pemburuan Nabi Isa. Nabi Isa kemudiannya diangkat Nabi Isa ke langit.

Sebagai kehinaan dari Allah, Rom akhirnya tidak mempercayai Herod Agripa dan pada tahun 70 m (masihi) Rom telah menyerang dan menghancurkan Jerusalem. Sejak tahun 70 m inilah, Bani Israel keluar dan duduk di merata-rata tempat. Mereka tidak berani untuk datang ke Palestin kerana takutkan Rom.

Mereka menunggu kedatangan Nabi akhir zaman yang diisyaratkan lahirnya dibumi Tihamah iaitu tanah rendah yang banyak pokok tamar. Mereka mencari di mana Tihamah ini. Akhirnya, mereka berpendapat Tihamah ialah Madinah Munawwarah. Pada ketika itu nama tempat ini ialah Yathrib. Bani Israel beramai-ramai pindah ke Madinah, beranak pinak di sana kerana mengharapkan Nabi akhir zaman lahir dari Bani Israel. Rupanya Allah menghendaki bahawa nabi akhir zaman lahir dari bangsa Arab.

Sebahagian besar Bani Israel menolak kenabian Muhammad saw dan bagi mereka yang tidak beriman inilah, digelar oleh Allah sebagai Yahudi. Kemuncak penentangan mereka ialah apabila mereka cuba mengkhinatai Nabi saw dan akhirnya mereka semua diperangi dan keluar dari Madinah.

Yahudi duduk bersepah-sepah. Mereka hanya kembali ke Palestin pada tahun 1187 m apabila Salahuddin al-Ayubi mengalahkan tentera Salib. Istana Sulaiman yang dihancurkan pada tahun 70 m ini habis dan hanya tinggal sekeping tembok (walling wall) sekarang menjadi tempat ibadah mereka.

Propoganda untuk menubuhkan negara Israel telah bermula dihujung kurun ke 19 dan akhirnya dengan bantuan British, pada tahun 1948, negara Israel telah ditubuhkan.

Dari rentetan sejarah ini, jelaslah bahawa, Israel hanyalah pendatang. Palestin bukan tanah asal mereka. Bangsa Kan'an (orang Palestin sekarang) adalah penduduk asal tanah ini.

Mereka sedang berusaha menipu sejarah dengan menyatakan bahawa merekalah penduduk asal tanah ini.

Walau apa pun, kesombongan mereka menyebabkan mereka menganggap bangsa lain adalah setaraf binatang. Mereka menganggap mereka bangsa pilihan, mereka menganggap mereka dijadikan khas oleh tuhan dan merekalah satu-satunya bangsa yang boleh menegur tuhan.

Sesungguhnya, al-Quran menyatakan bahawa, orang yang paling mulia ialah orang yang paling bertaqwa. Mulia tidak terletak kepada keturunan. Ia terletak kepada iman di dada. Walau apa bangsa dan keturunan pun, jika beriman, maka mereka mulia di sisi Allah.

Semoga Allah memberikan kita rezki keimanan untuk terus menjadi hamba Allah yang baik. Semoga selamat di dunia dan selamat di akhirat.

"Univsersiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
15 Mei 09 jam 2.30 petang
Makam Nabi Ibrahim yang berada di Masjid Khalil al-Rahman di Hebron, 60 km dari Jerusalem
Makam Nabi Yaakub dan isterinya Liqiyyah (Liyah) di sebelah makam Nabi Ibrahim. Sekarang orang Islam tidak dibenarkan melawat makam ini lagi. Hanya untuk orang Yahudi. Dalam setahun hanya sepuluh hari sahaja mereka membuka untuk lawatan orang Islam. Nabi Yaakub inilah yang dianggap bapa Bani Israel.
Makam Siti Sarah yang berada sebelah dengan makam Nabi Ibrahim
di kanan adalah makam Nabi Ishak dan kiri adalah makam isterinya Rifqah (Rebecca). Ia juga berada di dalam masjid lima meter dari makam Nabi Ibrahim.
Walling Wall. Orang Yahudi mendakwa, inilah dinding istana Nabi Sulaiman. Istana Nabi Sulaiaman dua kali telah dihancurkan, pertama oleh Nabucatnizar dan kedua oleh tentera Rom di bawah arahan Titos pada tahun 70 m. Mereka sedang berusaha membangunkan untuk kali ketiga istana Nabi Sulaiman ini.
Pintu masuk ke makam Nabi Daud di Jerusalem, raja pertama Bani Israel
Untuk masuk ke sini, orang Yahudi mensyaratkan mesti memakai penutup kepala.
Di sediakan kopiah kertas untuk pengunjung. Ia untuk menghormati Nabi Daud
Makam Nabi Daud a.s. Ia dipisahkan dengan dinding. Orang lelaki dan orang perempuan tidak dibenarkan bercampur. Nabi Daud dikurniakan dengan suaranya baginda yang merdu. Bagi orang yahudi, Nabi Daud adalah ahli muzik. Lambang di makamnya ialah lambang guitar Nabi Daud.

Wednesday, May 13, 2009

Universiti Kehidupan 65 - Apakah Bezanya Yahudi Dan Kita Jika……

30 April 09, saya dan rombongan memasuki kota Jerusalem melalaui Zion Gate (Bab Nabi Daud atau Bab Shahyoun). Nasir pemandu pelancong kami menunjukkan bekas lubang-lubang peluru di Zion Gate.

 "Ketika Yahudi cuba menawan Jerusalem pada tahun 1967, di sinilah kubu terakhir tentera Islam. Ramai yang syahid pada ketika itu,". jelas Nasir sambil menunjukkan lubang peluru di Zion Gate.

 Pada tahun 1948, Israel hanya dapat menawan sebahagian kecil dari tanah Palestin tetapi cukuplah untuk mengisytiharkannya sebagai sebuah negara. Pada tahun 1967, mereka berperang dan mengalahkan lima negara sekaligus iaitu Palestin, Mesir, Syria, Lubnan dan Jordan. Pada tahun inilah, kota al-Aqsa berada di bawah tangan mereka dan beberapa kali masjid ini telah dibakarnya.

 

Yahudi sedang mempromosikan Israel Raya iaitu satu negara besar mereka bermula dari Iraq ke Mesir, Madinah, Syria, Jordan dan Lubnan. Ini kerana, negara-negara ini mempunyai sejarah berkaitan dengan mereka. Peta Israel Raya telah dicop dan terdapat di syiling 10 sen mereka.

 

Kami memasuki pintu Zion Gate. Di satu sudut, saya terpandang sebuah besi lurus sepanjang sejengkal. Saya bertanya Nasir mengenainya.

 

"Oh, ini dipanggil Me'zuzah. Di dalamnya terdapat kitab Taurat kecil mereka. Mereka percaya bahawa Me'zuzah akan memberi kebaikan kepada mereka. Setiap kali mereka melalui pintu mereka akan memegang Me'zuzah ini dan dan kemudian tangan yang menyapu Me'zuzah ini akan diciumnya." Terang Nasir.

 "Semua Yahudi buat macam tu ke?" Tanya saya ingin tahu lebih lanjut.

 "Ya, walaupun mereka orang moden, mereka tetap percaya pada Me'zuzah. Orang yahudi memang percaya pada perkara-perkara ghaib dan mistik," Nasir menerangkan pada saya.  

 Setelah mengenal Me'zuzah, saya memerhatikan disetiap kedai yahudi di sini. Memang ada ditampal Me'zuzah walaupun mereka orang moden dan ahli perniagaan besar.

 Orang Yahudi, walaupun kita lihat moden, mereka cukup mempercayai perkara-perkara ghaib.

 Mereka percaya mengenai "Tabut" iaitu kotak yang menyimpan barang-barang Nabi Musa dan kitab Taurat. Mereka percaya, jika mereka mempunyai "Tabut" ini, mereka tidak akan kalah di dalam peperangan.

 Mereka percaya bahawa harta Nabi Sulaiman ada tertimbus di sekitara al-Aqsa. Mereka caba menggali sebuah lubang dari Walling Wall ke arah al-Aqsa. Mereka percaya dengan penemuan harta Nabi Sulaiman, mereka akan dapat memerintah dunia.

 Pada hari Sabtu, bandar Jerusalem akan agak lengang. Ini kerana mereka yakin bahawa hari itu hari rehat mereka. Jika mereka tidak rehat mereka akan menerima bencana.

 Hinggakan perkhabaran Nabi saw mengenai mereka pun mereka ambil perhatian. Nabi saw pernah menyatakan bahawa:-

 "Tidaklah akan berlaku qiamat, sehingga kaum Muslimin memenangi kaum Yahudi sehingga kaum Yahudi itu bersembunyi disebalik batu dan pohon kayu, lalu batu dan pohon kayu itu berkata, "Hai orang Islam, inilah orang Yahudi ada di belakang saya. Kemarilah! Dan bunuhlah ia! , kecuali pohon gharqad (semacam pohon yang berduri), kerana sesungguhnya pohon ini adalah dan pohon Yahudi (oleh sebab ini ia melindunginya).

 Mereka menanam pokok gharqad ini, di tempat tinggal mereka, di tepi jalan dan di mana-mana.

 Hairankan? Kenapa mereka boleh percaya sebahagian dari hadith tetapi mereka menolak sebahagian.?

 Inilah sifat mereka. Allah memang telah memberitahu kita mengenai sikap mereka di dalam al-Quran:-

 Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan. Al-Baqarah ayat 85

 Ayat ini menyelar orang yahudi yang mengubah kitab dan mempercayai sebahagian-sebahagian. Yang beriman tidak termasuk di dalam ayat ini. Ini kerana ramai juga ahli kitab yang kemudian beriman, masuk Islam setelah mendapat hidayah dan melihat keindahan Islam. Hingga saat ini pun, ada di antara orang Israel yang kembali kepada Islam.

 Apa agaknya yang kita fikirkan selepas membaca ayat di atas?

 Yahudi memang jahat, memang patut ditimpa kehinaan, yahudi memang laknat dan sebagainya.

 Apa sebab itu semua? Sebab mereka menerima sebahagian kitab dan merubahnya.

 Tapi, adakah kita perasan, kita orang Islam juga ada yang berperangai seperti ini. Sedar atau tidak, kita orang Islam yang juga ada yang mempercayai sebahagian dari al-Quran dan menolak sebahagian yang lain. Rasa atau tidak, kita orang Islam, ada juga  yang merubah kitab seperti mana yang dilakukan oleh orang Yahudi? Jadi. apa bezanya kita dengan yahudi?

 Melihat cara berfikir yahudi dari dekat, menyedarkan kita. Sesungguhnya Islam bukannya agama yang membenci bangsa. Islam menyelar kekufuran. Walau apa bangsa pun, jika kufur maka termasuk di dalam celaan Allah.

 Bagi Israel yang Islam, mereka tidak pernah dikutuk oleh al-Quran, malahan al-Quran menyatakan bahawa mereka adalah golongan yang baik dengan Islam, Allah berfirman:-

 46: Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): "Kami dengar", (sedang mereka berkata dalam hati): "Kami tidak akan menurut". (Mereka juga berkata): "Tolonglah dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk", serta (mereka mengatakan): "Raaeina"; (Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya memutar belitkan perkataan mereka dan mencela ugama Islam. Dan kalaulah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami", tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu, mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antara mereka). Al-Baqarah ayat 46.

 Kehinaan Yahudi apabila mereka mengubah apa yang diturunkan Allah. Oleh itu, janganlah kita termasuk di dalam golongan yang berperangai seperti ini. Semoga Allah yang Maha Pengasih sentiasa membimbing kita dan memberi kekuatan pada kita untuk menerima setiap apa yang disampaikanNya. Semoga dengan iman kita hidup, dengan iman kita mati dan dengan iman kita dibangkitkan. Dengan iman juga kita dimasukkan ke syurga. Amin…

 

 "Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam

13 Mei 09 jam 10.15 malam

Penggalian ke al-Aqsa
Bekas peluru di Zion Gate
Me'zuzah di Zion Gate
Me'zuzah di kedai-kedai
Me'zuzah di hotel-hotel
Mereka beriman pada sebahagian kitab. Gambar menunjukkan mereka mengutip derma untuk orang susah
Pembinaan kuil ketiga Yahudi, di atas al-Aqsa. Ini idaman mereka.

Tuesday, May 12, 2009

Universiti Kehidupan 64 - Nak Tahu Tempat Dajjal Dibunuh?

"Brother Muhamad, hari itu kamu ingin tahu kota kecil Lud kan?. Kejap lagi saya akan tunjuk di mana pekan Lud ini", kata Nasir, pemandu pelancung pada saya ketika kami mula meninggalkan Bethlehem.

Coster yang kami naiki mula bergerak. Hari ini, 27 April 09, kami bergerak ke Yafa melalui Tel Aviv. Perjalanan melalui highway besar. Dari Jerusalem ke Yafa lebih kurang 70 km.

"Kamu tahu, orang di sini suka tinggal di Yafa. Dia bandar cantik tepi pantai. Yafa digelar sebagai "Arus al-Bahr" (pengantin pantai). Orang yang tinggal di sini semua ibarat pengantin kerana cantiknya tempat ini. Ada satu pepatah orang Palestin. Mari tinggal di Yafa, Enjoy di Tel Aviv dan Taubat di Jerusalem" Nasir memulakan celotehnya.

"Kenapa kamu ingin tahu di mana pekan Lud, dan ramai orang dari luar juga bertanyakan tempat ini," tanya Nasir.

"Tempat ini adalah tempat di mana Nabi Isa akan membunuh Dajjal. Ia terdapat di dalam hadith yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi. Anak Maryam (Isa) akan membunuh Dajjal di pintu Lud " Saya menerangkan pada Nasir.

"Saah (ye ke?..)" tanya Nasir dengan kepala sedikit teleng. Nasir memoncongkan sedikit bibir bawahnya sambil menganggukan sedikit kepalanya tanda perkara ini baru didengarnya.

"Hah di sinilah jalan ke kota Lud, cuba kamu lihat di sana, tanah yang subur, itulah perkampungan Lud", Nasir menunjukkan jarinya ke sebelah kanan jalan.

Saya melihat tempat ini. Berbukit dan luas saujana mata memandang. Di dalam hati saya berbisik. "Subhanallah, di sinilah tempat Dajjal di bunuh".

Pada zaman Khalifah al-Walid bin Abdul Malik dari kekhalifahan Umayyah, beliau pernah datang ke kampung Lud ini. Beliau ingin membeli kampung yang ada sejak zaman Nabi Isa ini. Beliau ingin menjadikan perkampungan ini perkampungan orang Islam.

Khalifah tahu bahawa tempat inilah, tempat di mana Dajjal laknatullah dibunuh. Ketika ditawarkan, orang kampung ini tidak mahu menjual tanah di sini. Mereka juga tidak mahu menerima Islam. Oleh kerana penduduk di sini membayar jizyah, khalifah tidak boleh memerangi mereka.

Penasihat Khalifah berkata kepada beliau, kenapa kita tidak bina sahaja perkampungan lain. Kita dudukkan di sana semua orang Islam. Khalifah termenung dan memikirkan cadangan ini. Kemudian, baginda bangun, bersetuju untuk mencari tanah disebelah perkampungan Lud.

Ketika di dalam pencariannya, khalifah bertemu dengan seorang ketua Badui yang telah Islam. Khalifah bertanyakan adakah orang di kawasan ini ingin menjual tanahnya. Ini kerana khalifah akan mewaqafkan kembali untuk dijadikan perkampungan orang Islam. Ketua Badui ini bersetuju memujuk kaumnya untuk membangunkan perkampungan orang Islam di sebelah kampung Lud ini.
Di dalam perbicangan, khalifah telah dihidangkan dengan kopi yang sangat enak. Khalifah bertanya kepada ketua Badui ini,

"Siapakah yang membuat kopi ini?"

"Anak perempuan saya", kata ketua Badui.

"Siapa namanya" tanya khalifah lagi.

"Ramlah". Jawab ketua Badui.

"Baiklah. Kita akan namakan perkampungan baru ini dengan nama Ramlah." Kata Khalifah.

Kota Ramlah dibangunkan dengan indah sekali oleh Khalifah al-Walid bin Abdul Malik. Keindahan kota Ramlah hingga ramai orang berkunjung ke kota ini berbanding kota Lud.

Ketika Salahuddin al-Ayubi datang ke Ramlah, beliau telah membangunkan satu menara di Ramlah. Ia sebagai menara peninjau bagi keselamatan kedua pekan kecil ini. Selepas zaman Salahuddin, kedua-dua kota ini telah Islam sepenuhnya.

Berbicara mengenai kota Lud, kita boleh bayangkan bagaimana, Dajjal dikejar dari Jerusalem, berperang dan kalah. Nabi Isa yang memimpin tentera Islam terus mengasak mereka yang kafir ini hinggalah mereka diibaratkan lenyap seperti larutnya garam di dalam air.

Dengan keadaan yang masih sombong, maka Dajjal dibunuh dipintu masuk perkampungan ini.

Di dalam dunia ini, hanya ada dua orang sahaja yang memakai gelaran al-Masih. Mereka ialah Nabi Isa dan Dajjal. Kenapa keduanya memakai gelaran ini?. Kerana keduanya Allah kurniakan kelebihan yang hebat. Ketika Dajjal keluar, banyak penganiayaan dibuatnya terhadap orang beriman. Orang beriman mula bangun kembali ketika Nabi Isa diturunkan.

Di dalam bahasa Arab ada pepatah,

Iza al-Masih Yaqtulul Masih (apabila al-Masih yang akan membunuh al-Masih) Di dalam konteks bahasa Melayunya, "apabila, buku bertemu ruas."

Apa gunanya kita mengetahui kisah kampung Lud? Apa kaitan dengan kita sekarang? Paling rendah ialah kehairanan kita, bagaimana Rasullullah boleh tahu di sekitar tempat ini ada satu kampung bernama Lud.

Rasullullah tidak pernah sampai ke sini. Baginda hanya pernah sampai ke al-Aqsa ketika peristiwa Isra dan Mikraj. Ia membuktikan bahawa perkhabaran Rasullulah bukan rekaan baginda. Allah telah menyatakan di dalam al-Quran:-

3: Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. 4: Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. (Surah an-Najmi ayat 3-4)


Kita mungkin rasa teruja membaca kisah-kisah sejarah seperti ini. Perkhabaran Rasulullah mengenai sesuatu tempat dan apabila dikaji, wujud sungguh tempat ini. Tapi, banyak lagi perkhabaran Rasullulah mengenai perkara lain yang ramai orang tidak yakin.

Mengenai cara hidup yang dilagangkan, mengenai hukum hakam sesuatu. Ada orang yakin, tak nampak pula kebesarannya akhirnya ia membiarkan perkara itu tidak diamalkan.

Sesungguhnya, ramai orang yang membicarakan mengenai kisah-kisah hari kiamat, tanda-tandanya, tetapi tidak ramai orang yang menyediakan dirinya untuk ke sana. Mereka sentiasa lalai dengan dunia. Sedangkan semakin hari, kubur semakin merindui jasad kita untuk dimamahnya.

Semoga, kita menjadi orang yang sentiasa memperbaiki diri dan semoga Allah yang Maha Pengasih terus membimbing kita.

"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
12 Mei 09, jam 6.40 petang.
Highway ke Tel Aviv
Yafa ialah bandar lama tepi pantai. Ia sebelah Tel Aviv
Pintu masuk ke kota Lud. Tempat Dajjal akan dibunuh. Jauh tempat ini dari Jerusalem lebih kurang 45 km
Kawasan berbukit yang subur di kota Lud, kota yang berumur 2000 tahun
Ramlah, Kota baru yang dibina oleh Khalifah al-Walid bin Abdul Malik dari kekhalifahan Umayyah.
Tanah subur di Ramlah.

Universiti Kehidupan 63 – Rahsia Bintang Enam Israel

Jumaat 24 April 09, merupakan hari bersejarah dalam hidup saya dan rombongan apabila ia merupakan hari pertama di dalam hidup kami menjejaki kaki ke al-Aqsa. Saya menunaikan solat Tahyatul Masjid. Sebelum khutbah bermula, kami mendengar bayan (syarahan) yang disampaikan oleh Imam al-Aqsa, Syeikh Yusuf Abu Sunainah. Di dalam bayannya, beliau mengutuk Israel dengan suara yang lantang.

Ketika khutbah bermula, beliau menegaskan agar semua anak-anak muda Palestin balik merujuk kepada sejarah kerana orang Yahudi telah mula mahu menipu sejarah. Mereka mengatakan bahawa tanah Palestin adalah tanah asal mereka. (saya akan tulis kemudian tajuk khas bab ini)

Ketika selesai menunaikan solat Jumaat, saya dan rombongan berjalan-jalan sekitar al-Aqsa. Saya menghampiri mimbar al-Aqsa. Ia merupakan mimbar lama hampir berumur 1000 tahun.

Ketika Salahuddin al-Ayubi dapat mengalahkan tentera salib di Jerusalem, beliau membawa dua mimbar dari Halab (Aleppo) Syria, tempat dimakamkan Saidina Khalid al-Walid . Saidina Khalid al-Walid antara sahabat yang berjuang untuk membuka kota Jerusalem ini. Setelah enam ratus tahun kemudian, Jerusalem berada di dalam tangan tentera salib. Pada tahun 1187, ia berada ditangan Islam kembali. Mimbar ini sebagai simbol bahawa masjid ini telah di dalam amanah Islam semula

Satu mimbar diletakkan di masjid al-Aqsa, satu lagi di masjid al-Khalil (Masjid dimakamkan Nabi Ibrahim a.s)

Ketika saya menghampiri mimbar Salahuddin di al-Aqsa ini, saya mengerutkan dahi. Kenapa di mimbar ini ada bintang enam? lambing negara Israel.

Gelagat saya diperhatikan salah seorang penjaga al-Aqsa. Dia menghampir saya, memberi salam dan memegang bahu saya.

"Aku tahu apa yang engkau fikirikan" kata beliau.

'Kamu tentu hairan kenapa ada lambang Israel di mimbar ini kan"? Beliau menambah.

Saya hanya menganggukkan kepala.

Penjaga ini menarik tangan saya, pergi ke tepi masjid. Dia kemudian menudingkan jarinya ke arah tingkap berhampiran dengan syiling al-Aqsa.

"Cuba kamu lihat, ditingkap itu pun ada lambang bintang enam ini, di dinding ini pun ada," katanya sambil menunjukkan arah dinding al-Aqsa.

"Emmm, kenapa ya?" Tanya saya ingin mengetahui lanjut.

"Sebenarnya nak, bintang enam ini adalah lambang bangsa Arab Kan'an. Ia ada sejak ribuan tahun dahulu. Bangsa Arab Kan'an menggunakan bintang ini sebagai lambang kaum mereka. Sebab itu, ketika Salahuddin datang, dia membina tingkap ini dengan mengekalkan lambang bintang enam ini sebagai menghormati kaum Arab Kan'an yang telah Islam. "

"Orang Kan'an merupakan penduduk asal tanah Palestin ini. Sebelum Israel dibawa oleh Nabi Musa ke Palestin, mereka telah ada. "

"Umur mimbar ini hampir seribu tahun. Tingkap dan mar-mar di dinding ini berumur ratusan tahun. Orang Israel menggunakan lambang ini baru dalam 100 tahun. Mereka menggunakan lambang ini dengan alasan seolah-olah mereka penduduk asal seperti Arab Kan'an di sini ".

Penjaga ini menerangkan kepada saya dengan panjang lebar.

"Oh, baru saya faham. Rupanya bintang enam ini bukannya lambang asal Israel." Kata saya.

Apa ada pada lambang? Ia merupakan simbol. Orang yang memakai lambang sesuatu kaum dia akan termasuk di dalam kaum itu.

Di dalam Islam kita dilarang memakai lambang orang kafir. Bukan sahaja lambang, menyerupai sesuatu kaum pun kita dilarang.

Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud,

"Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia akan tergolong di dalam kaum itu".

Israel menggunakan lambang bintang enam untuk menyatakan dia adalah penduduk asal Palestin ini. Mereka mengarang buku-buku yang menyatakan mereka adalah penduduk asal dengan menafikan bahawa Arab Kan'an adalah penduduk asal di sini.

Sebab itulah, Syeikh Yusuf Abu Sunainah menekankan kepada pemuda-pemuda Palestin agar kembali mendalami sejarah.

Apabila sejarah tidak diajar, maka akhirnya, sesorang akan hilang jatidirinya. Inilah yang sedang berlaku bagi penduduk Palestin yang bersekolah di sekolah rasmi. Enam puluh tahun berada di dalam jajahan Israel bermakna sudah masuk generasi ketiga tanah ini dijajah.

Saya bertemu dengan penduduk Palestin yang merasa selesa berada di bawah Israel kerana semua kelengkapan telah cukup dan keadaan di sini lebih selesa dari negara Arab lain. Tidak sedikit yang lebih bangga memakai passport Israel dari memakai passport Palestin atau Jordan.

Pada mereka, saudara di Gaza hal mereka. Sebab itu, dari Palestin sendiri, tidak banyak bantuan yang datang ke Gaza. Orang kaya semakin kaya dengan syarikatnya. Coca cola tidak diboikot di Palestin. Iklan terpampang besar di sana sini.

Benarlah kata hukama':-

"Jika mahu membunuh tanamam, racunlah akarnya, jika mahu membunuh bangsa, racunlah sejarah mereka"

Jika ini dibiarkan, maka generasi Palestin yang akan datang akan lebih selesa bersama Israel dari bersama orang Arab. Semoga, iman dan ilmu akan menyelamatkan mereka. Dan semoga ia menjadi iktibar buat kita di Malaysia.

"Universiti Kehidupan, Universiti Sepanjang Zaman"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
12 Mei 09 jam 12.55 malam.
Bintang Enam yang menjadi lambang rasmi negara Israel
Bintang enam yang terdapat di mimbar al-Aqsa
Mimbar ini telah berumur hampir seribu tahun.
Mar-mar yang menghiasi dinding al-Aqsa.
Tingkap dengan bintang enam yang berada di al-Aqsa
Di sini, barangan Israel digunakan oleh orang Arab sendiri.Coca-cola menjadi minuman harian mereka.
Iklan Coca Cola yang terpampang di sana sini. Apakah fatwa Yusuf al-Qardawi tidak terpakai di sini?

Monday, May 11, 2009

Universiti Kehidupan 62 - Hanya Diamond Boleh Memotong Diamond

Ketika berada di Nazareth Palestin, kami serombongan telah diajak untuk melawat kilang diamond. Ia kilang dan penjualan diamond yang terbesar di Israel. Israel membeli lebih 50 % diamond di dunia sebelum di eksport kembali ke tempat lain.

Sesiapa yang membeli diamond di Israel akan mendapat pengembalian wang sebanyak 15% dari kerajaannya ketika keluar meninggalkan Israel.

Ketika kami melawat, kami diberikan taklimat mengenai cara proses diamond dan menggilapnya. Israel mempunyai teknologi memotong dan mencanai diamond terbaik di dunia. Hinggakan banyak teori pemotongan dan polish diamond dicipta oleh Yahudi. Ini kerana, sejak dari kurun ke 12 masihi lagi mereka telah berkecimpung di dalam bidang ini.

Kami mendengar taklimat mengenai cara memilih diamond. Selepas itu, kami diajak melihat antara diamond terbaik di dunia. Anda tahu harganya? Hampir 250 000 USD sebelum diskaun dengan hanya seberat 4 gram.

Saya bertanyakan mengenai kisah filem "Blood Diamond". Pakar diamond itu mengatakan bahawa, filem itu hanya sampah. Banyak teori di dalamnya tidak betul. Wilayah Kivu di Congo itu bukannya tempat mengeluarkan diamond. Ia tempat banyak "pure uranium".

"Jadi di mana sebenarnya tempat diamond?" Saya bertanya.

"Di wilayah Kamitugaite, tapi jangan cuba-cuba pergi ke sana, anda hanya sempat melalui jalan pergi sahaja," jawab pakar diamond ini dengan sedikit senyuman.

Ada satu teori di dalam memotong diamond. Teori ini ditemui oleh seorang Yahudi dari Prancis pada kurun ke 18 masihi. Namanya Tolkopsky.

"hanya diamond yang boleh memotong diamond"

Diamond hanya boleh dipotong oleh diamond sahaja. Alat lain tidak boleh. Besi pun tidak akan mampu memotongnya. Jika terlalu kuat hentakan pun, ia akan memecahkannya, tidak memotongnya.

Ketika dalam perjalanan pulang, teori ini terngiang-ngiang di telinga saya,

"hanya diamond yang dapat memotong diamond".

Tiba-tiba, saya teringat satu hadith yang diriwayatkan oleh Muslim (rujuk Mausu’ah al-Hadith as-Syarif al-Kutub as-Sittah, Dar as-Salam li an-Nasri wa at-Tauzi’, al-Mamlakah al-Arabiah as-Saudiah, 2000, hal 1180)

"Maksudnya, Dari Abu Hurairah R.A dia berkata, telah berkata Rasul S.A.W Maka turunlah Isa anak Maryam S.A.W dan memimpin mereka (orang beriman). Maka apabila musuh-musuh Allah itu melihat mereka lenyaplah mereka seperti lenyapnya garam di dalam air."

Hadith di atas menceritakan mengenai kisah Nabi Isa yang memimpin orang beriman dari semua bangsa dan akan mengalahkan orang Yahudi yang dipimpin oleh Dajjal.

Saya terus teringat sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh Tarmizi, (rujuk Mausu’ah al-Hadith as-Syarif al-Kutub as-Sittah, Dar as-Salam li an-Nasri wa at-Tauzi’, al-Mamlakah al-Arabiah as-Saudiah, 2000, hal 1877)

"Anak Maryam (Isa) akan membunuh Dajjal di Pintu Luud"


Saya terus berlari ke hadapan bas mendapatkan Nasir pemandu pelancong kami dan bertanya:-

"Nasir, di sini ada tak tempat bernama Luud ?",

Ada, dekat dengan pekan Ramlah dalam perjalanan ke Tel Aviv, Kenapa semua orang tanya pasal pekan Luud ye? Dulu, ada rombongan dari Sudan pun bertanya tempat yang sama?' kata Nasir.

"Saya hanya tersenyum, Nasir pakar sejarah tempatan tetapi perihal agama bukan bidangnya," bisik hati saya.

Siapa Nabi Isa? Dia dari keturuanan Bani Israel. Bukankah Nabi Isa ini yang akan memimpin seluruh orang beriman mengalahkan Yahudi? Kenapa bukan pemimpin dari orang Arab?

Sebab itulah orang Yahudi tidak takut dikelilingi dengan orang Arab. Mosyi Dayyan, menteri pertahanan Israel pada tahun 1967 berjaya mengalahkan lima negara Arab serentak iaitu Mesir, Lubnan, Syria, Jordan dan Palestin.

Mereka tidak takut langsung pada orang Arab. Tetapi mereka cukup takut jika orang Israel mula memeluk Islam dan turunnya Nabi Isa.

Dua perkara yang paling ditakuti Yahudi:-

1. kebangkitan orang yang ikhlas memperjuangkan Islam
2. Orang Yahudi yang sudah mula memeluk Islam.

Ya.. sama seperti teori diamond,

"Hanya diamond yang boleh memotong diamond", "hanya Israel yang dapat mengalahkan Israel".

Perkara ini telah pun bermula. Saya teringatkan kata-kata Salleh, pemandu bas kami, yang mengatakan bahawa ramai juga orang Yahudi tidak jauh dari tempat tinggalnya telah mulai masuk Islam.

Perkara ini tidak menyebabkan kita lemah semangat untuk berjuang. Ia bermaka, Yahudi boleh dikalahkan, Cuma kekalahan secara total akan tiba ketika Nabi Isa memimpin tentera Islam.

Yahudi percaya kepada hadith. Berbekal dengan hadith-hadith Nabi juga mereka mula menamam pokok "Gharqad" (bahasa saintifiknya Oliender) di sekitar Israel. Pokok yang akan melindungi mereka apabila semua pokok seolah berkata, di sini ada orang Yahudi, bunuhlah mereka".

Mereka percaya mengenai khabar akhir zaman. Kita orang Islam, semakin lupakan panduan-panduan hadith akhir zaman.

Untuk mengembalikan Islam diperingkat ummah, kita perlu meneliti hadith-hadith akhir zaman. Semoga perjuangan Islam akan semakin hebat dan dibantu Allah.

Selamat berjuang untuk semua,


"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights 11 Mei 09 Jam 1.00 pagi

Pokok Gharqad, pokok yang mula ditanam oleh Yahudi. Pokok ini boleh membesar. Getahnya beracun dan mempunyai bunga berwarna putih atau merah jambu.
Kilang memotong dan menggilap diamond. Bendera di dunia yang menjadi pelanggannya ada termasuk bendera Malaysia.
Diamond yang berharga hampir 250 000 USD. Seberat 4 gram sahaja. Ada lagi yang lebih baik yang mencecah jutaan USD.
Dapat pegang pun jadilah.
Teori-teori pemotongan Diamond banyak dicipta oleh Yahudi
Tempat ini tidak ada jaga dan tidak ada CCTV. Tetapi di dalam sejarahnya tidak ada kes rompakan.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...