Friday, December 4, 2009

Jom Kongsi Pengalaman 47 – Kenangan Arafah

Kesempatan kali ini, kita kongsikan pengalaman di padang Arafah.

Sehari sebelum wukuf di Arafah, di laman Masjid al-Haram jemaah telah mula bergerak, mereka berkumpul dan memegang panji-panji masing-masing

IMG_1501

Pagi wukuf, ada di antara mereka yang berkhemah di laman Masjid al-Haram

IMG_1499

Berbagai kaedah mereka pergi ke Arafah

IMG_1532

Jemaah yang menaiki bas hingga ke bumbung

 IMG_1534

Gelagat jemaah

IMG_1545

Ada yang menunggang motosikal sahaja

IMG_1544

Kami menaiki bas biasa

IMG_1516

Saya dan beberapa jemaah

 IMG_1550

Arah kiblat di padang Arafah

 IMG_1551

Tandas di Arafah, agak sadis

 IMG_1553

Khemah di Arafah

 IMG_1554

Salah seorang jemaah Malaysia, ibu Abang Rosli

IMG_1555

Ada yang lebih suka duduk di luar khemah

 IMG_1557

Ketika duduk, ada sahaja orang yang memberikan makanan pada jemaah

  IMG_1562

Lebih selesa di luar

IMG_1565 

Gelagat Jemaah Malaysia

IMG_1566

Waktu makan, semua masuk ke khemah, dah macam ketua-ketua badui..

   IMG_1589

Waktu petang, ada yang berdoa di luar dan ada yang berdoa di dalam khemah

IMG_1592

Habis sahaja waktu maghrib, khemah akan di kemas

 IMG_1596

Deretan ambulans yang menjaga jemaah di padang Arafah

 IMG_1603

Dari padang Arafah, jemaah akan ke Muzdalifah

Thursday, December 3, 2009

Diari 133 – Kenangan di Mina

27 November 09, selepas wukuf kami terus ke Muzdalifah dan kembali ke Mekah untuk menunaikan tawaf dan saie haji.

Di Mekah ketika ini, telah ramai orang. Kebanyakkannya jemaah dari Pakistan. Pagi ini, solat hari raya Idul Adha dibuat tepat jam tujuh pagi.

Selepas solat, khatib membaca khutbah, agak panjang khutbahnya. Saya tidak dapat mendengar dengan baik khutbah pagi ini kerana suara yang agak bergaung di tempat Saie.

Ketika khatib membaca khutbah, saya meneruskan saie haji yang tinggal lagi empat perjalanan antara Safa dan Marwa.

Selesai semua, saya dan jemaah kembali ke apartment kami. Tengah hari, kami turun untuk solat Jumaat.

Selepas Asar, semua ahli jemaah berkumpul dan kami mencari bas untuk ke Mina. Ketika bas sampai, semua jemaah terkejut melihat keadaan bas.

“Ustaz, kenapa bas ni tak ada bumbung” tanya salah seorang ahli jemaah.

“Ooo, ini bas orang syiah, kita kan tak boleh menutup kepala ketika ihram, jadi bagi pandangan mereka, naik bas pun tak boleh ada yang berbumbung” jelas saya.

Semua ahli rombongan yang bersama saya begitu teruja menaiki bas tanpa bumbung itu.

Kami Kami sampai ke Mina hampir waktu maghrib. Di kanan kiri jalan ke Jamrah, penuh khemah-khemah yang di dirikan oleh para Jemaah haji dari seluruh dunia ini walaupun terdapat papan tanda tidak dibenarkan membina khemah.

Untuk masuk ke kawasan Jamrah, para jemaah tidak dibenarkan membawa beg besar. Yang membawa beg besar akan ditahan oleh polis yang menjaga kawasan jamrah ini. Beg kena ditinggalkan di satu kawasan.

Ketika ini, kawasan jamrah tidak seperti dulu. Tiang untuk melontar telah dibesarkan seperti sebuah dinding. Perjalanan juga hanya satu hala. Setakat tahun 1430/ 2009 ini, ia mempunyai lima tingkat.

Kami memilih untuk membuat lontaran dari tingkat lima. Di sini tidak ramai orang. Kebanyakkan mereka melontar dari tingkat satu.

Setelah melontar Jamrah Aqabah ini, kami semua mencari Maktab 100, khemah bagi jemaah yang bersama saya ditempatkan.

Satu perkara yang agak rumit ialah mencari khemah. Ini kerana, susunan khemah di Mina ini tidak konsisten nombornya. Kejap no. 101 tiba-tiba nombor 80 lebih.

Hampir empat jam berjalan mencari maktab 100 dan semua jemaah sudah keletihan.

Salah seorang ahli jemaah yang bersama saya mencuit tangan saya:-

“Ustaz, barangkali, ini kifarah dosa (pengampunan dosa) untuk kita ye ustaz” katanya.

Saya hanya tersenyum.

Setelah lama berjalan, sekali lagi dia mencuit tangan saya sambil berkata:-

“Ustaz, bila kifarah kita nak habis ni?”

Yang lain hanya tergelak melihat gelagat yang seorang ini.

Akhirnya, kami bertemu dengan maktab 100. Seorang petugas menunjukkan khemah kami.

Maktab ialah satu kawasan penempatan bagi jemaah Haji yang bermalam di Mina. Ia khemah-khemah yang setiap satunya boleh memuatkan 20 orang.

Terdapat ribuan khemah di sini.

Saya memerhatikan sekeliling. Memang hebat perhimpunan 3 juta jemaah haji setiap tahun ini. Ia seakan-akan satu penempatan tentera.

Kawasan Afrika ada tempatnya, kawasan Asia Tenggara ada kawasan khasnya. Di setiap maktab, terdapat satu unit untuk memasak. Dengan kuali dan periuk besar, mereka memasak untuk penghuni maktab.

Sekali sekala kelihatan rombongan-rombongan dengan panji-panji maktab dan panji kumpulan, berjalan menuju ke jamrah untuk membuat lontaran.

Semuanya berjalan dengan satu tujuan, melontar syaitan di tiga jamrah. Istilah baru sekarang ialah jamrah sughra, jamrah usto dan jamrah kubra. Setiap satu jamrah perlu dilontar dengan tujuh biji batu.

Setelah mereka melontar, mereka akan kembali semula ke khemah masing-masing dan akan kembali lagi untuk keesokkan harinya bagi melontar lagi.

Tidak ada apa-apa program rasmi di Mina ini melainkan membaca al-Quran, berzikir dan bertazkirah. Lebihnya hanya berbual-bual mengeratkan lagi ukhwah antara ahli jemaah.

Semakin mengenali antara satu sama lain, semakin ukhwah terbentuk dan terbina. Semoga ia terus menjadi kesatuan di antara muslim.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Syi’ab Ali Mekah al-Mukarramah

3 Disember 09 jam 1.15 pagi

Semua jemaah teruja menaiki bas tanpa bumbung ini

Jalan ke Mina

Ada yang hanya berjalan kaki sahaja ke Mina

Kawasan lapang yang tidak jauh dari kawasan melontar

Kami baru membuat panji-panji di sini.

Ahli jemaah

Di larang membina khemah

Khemah yang dibina

Gelagat ahli jemaah

Kawasan turun untuk ke khemah diri kawasan melontar

tangga yang membawa kami ke tingkat satu di bawah

Kedai cukur rambut di kawasan Mina

Kipas di dalam terowongan di Mina

Terowong ke kawasan perkhemahan Asia Tenggara

 

Maktab 100, 4 jam kami mencarinya

di dalam khemah di Maktab

Khemah di Mina

Kawasan khemah di Mina

Diari 132 – “Berkembangnya Ilmu Jika Diberikan”

Selama berada di Mekah ini, saya beberapa kali dijemput untuk menyampaikan beberapa kuliah untuk para jemaah Haji.

Ini tidak bermakna tidak ada orang yang lebih berilmu. Tetapi, menemui orang-orang alim yang tawadhuk menyejukkan hati kerana mereka tidak janggal menghadiri majlis ilmu orang lain.

Kita boleh belajar bagaimana orang berilmu yang tawadhuk tidak akan menjadi rendah dengan tawadhuknya itu, bak kata pepatah melayu:-

“Tidak hilang bisa ular yang menyusur di bawah akar”.

Ada juga para ustaz yang hanya menyampaikan kuliah dan jika orang lain menyampaikan, dia tidak akan dengar malahan mengata sana dan sini:-

“ustaz itu tak betul, ustaz ini tak betul”

Akhirnya menimbulkan rasa menyampah antara jemaah Haji.

Saya mempelajari satu prinsip hidup,

“Jika mahu orang menyampah pada kita, maka hendaklah kita bercakap besar, merendahkan orang lain, dan mengatakan kita sahaja betul”

Itu satu cara yang paling mujarab untuk mengundang kebencian orang lain. Tetapi, jika kita mahu dipandang tinggi oleh orang lain, maka bersikaplah rendah hati, tawadhuk di atas kelebihan dan sentiasa meraikan orang lain.

Ia bertepatan dengan sabda Junjungan besar Nabi saw:-

“Barangsiapa yang tawadhuk kerana Allah satu darjat, maka Allah akan mengangkatnya satu darjat sehinggalah ia akan tergolong di dalam orang-orang yang tinggi darjatnya”

(Hadis Riwayat Ahmad di dalam kitab Baqi Musnad al-Mukathirin, musnad Abi Said al-Khudri r.a)

Hari-hari sebelum wukuf, saya sempat bersama krew untuk RTM, membuat pengambaran di Menara al-Manar, bangunan lama yang berada di hadapan Zam-Zam Tower. Tepatnya selepas solat Isyak 23 November 09 lebih kurang jam 10 malam.

Menara al-Manar adalah bagunan khas yang diperuntukkan untuk VIP bagi kerajaan Arab Saudi. Ia tidak disewakan kepada sesiapa.

Kami dijemput oleh pihak pentadbiran kawalan Jemaah Haji Saudi Arabia dan bahagian “Hadiah al-Haj wal Muktamar al-Khairiah” untuk bertemu di Hilton, kemudian, mereka membawa kami pergi ke tingkat 14 menara al-Manar. Dari sini, kelihatan masjid al-Haram. Pemandangan sangat cantik.

Kelihatan para jemaah sedang lalu lalang sekitar Masjid al-Haram.

Ketika ingin memulakan pengambaran, pegawai yang mengiringi kami menutup satu tingkap yang menghala ke istana Raja Saudi yang berada di sebelah masjid al-Haram.

“Kamu boleh ambil mana-mana sudut, tapi tidak dibenarkan mengambil ke arah istana ye” pesannya kepada kami.

Kesempatan yang ada, kami gunakan untuk mengupas falasah haji dan apa yang berkaitan dengannya.

Bilik tempat kami mengambil gambar sangat cantik, terdapat dua kerusi mengurut badan yang menghadap ke arah masjid al-haram.

Barangkali, para VIP yang dijemput duduk di sini boleh bersembahyang di bilik ini kemudian terus duduk untuk mengurut badan.

“Mmm, best ke?” bisik hati saya.

Selesai, kami dijamu dengan kurma dan air di bilik tetamu.

Barangkali, Allah telah memberi peluang kepada saya untuk berada di menara al-Manar ini. Lama saya melihat bagunan ini dan ingin untuk berada di situ. Walaupun ia tidak sehebat Zam-Zam Tower, tapi sudah tentu ia mempunyai keistimewaan tersendiri. Rupanya, yang membawa saya ke sana bukannya harta, tetapi sedikit ilmu yang Allah berikan.

Apapun, saya teringat kata-kata Saidina Ali mengenai ilmu dan harta :-

“Harta akan berkurangan jika kamu memberinya sedangkan ilmu akan semakin bertambah ketika kamu memberinya”

(Musaid Muhamad al-Dauyis. Ajmal al-Aqwal, Dar Tauyiq li al-Nasr wa al-Tauzik, Riyadh, hal 11)

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Syi’ab Ali Mekah al-Mukarramah

2 Disember 09 jam 11.55 malam

Kuliah bersama jemaah haji

Ia tidak bermakna, yang mengikuti kuliah kita orang yang tidak alim

IMG_1353

Dari Hilton

IMG_1362

Pertemuan di pejabat Hadiah al-Haj wal Muktamar al-Khairiah di Hilton.

IMG_1381

Jurugambar siap untuk memulakan tugas

IMG_1390

Prosedur biasa, memeriksa perakam suara

IMG_1399

Kenangan bersama krew dan ahli jemaah yang bersama saya malam ini.

Wednesday, December 2, 2009

Diari 131 - Titisan Air Mata Tawaf

Jemaah Malaysia mula bertolak ke Arafah sedari hari Rabu 25 November 09, sehari lebih awal dari tarikh wukuf.

Perancangan begini memang baik kerana tabung haji menguruskan lebih 20 ribu jemaah. Jika mahu bertolak pada hari wukuf, ditakuti ada yang tak sampai nanti.

Pada tengah hari Rabu ini pula, hujan turun dengan lebatnya di kota Mekah, jadi banyak jemaah kita yang basah kuyup di Arafah.

Saya dan rombongan bertolak ke padang Arafah pada pagi Khamis 26 November 09 jam 7.35 pagi. Kami sampai ke Arafah lebih kurang jam 11.30 pagi. Jalan jem teruk menyebabkan perjalanan yang lebih kurang 14 KM ini memakan masa hingga 4 jam.

Di padang Arafah, kami mendapat khemah. Ia telah ditinggalkan kerana banjir pada hari semalam. Kami memasuki khemah tersebut dan menjemur carpet yang telah basah kerana hujan kelmarin.

Jemaah perempuan ditempatkan di dalam khemah manakala jemaah lelaki lebih senang duduk di luar khemah berbumbungkan langit.

Matahari semakin meninggi tetapi hari ini, tidaklah panas. Walaupun sinarnya agak garang, tapi kami tidak merasa terlalu panas.

Di padang Arafah, tidak ada program yang tertentu melainkan membaca al-Quran, berdoa dan bermunajat pada Allah swt.

Kami berada di padang Arafah sehinggalah masuknya waktu Maghrib. Setelah solat berjemaah, kami terus ke bas yang disewa khas untuk membawa kami.

Saya melihat, setelah maghrib, khemah telah mula dibersihkan. Ada pekerja khas yang telah mula mengemas khemah yang ada.

Kami meniggalkan Arafah jam 6.10 petang. Di sini, waktu Maghribn jam 5.30 petang.

Saya terus ke bahagian belakang bas.

“Inilah pertama kali dalam hidup saya, naik bas tak pakai baju” kata En. Nizam dari UiTM sambil mengelap peluh dengan kain Ihramnya.

Kami singah di Muzdalifah untuk mengutip batu bagi membuat lontaran jamrah. Perjalanan dari tempat perkhemahan kami di Arafah ke Mina hanyalah 4 KM, tapi ia mengambil masa hampir lapan jam. Kami sampai di Muzdalifah jam 2.15 pagi. Bas yang banyak dan penuh sesak di jalan menjadikan jalan ke Muzdalifah jem teruk. Puluhan ribu bas semuanya mahu meninggalkan padang Arafah.

Bagi kebanyakkan jemaah haji di Malaysia, mereka semua akan terus ke Mina. Saya dan rombongan akan ke Mekah dahulu untuk membuat tawaf dan Saie haji.

Selesai di Muzdalifah, saya dan rombongan terus kembali ke Mekah. Kami hanya sampai di Mekah jam 4.15 pagi. Lebih kurang sejam sebelum masuk waktu subuh.

Di Mekah kala ini, penuh sesak dengan orang. Kalau lima tahun dahulu, semua orang akan ke Mina, tapi sekarang kebanyakkan mereka telah memilih untuk balik ke Mekah terus, barulah kemudian ke Mina.

Saya terus ke Masjid al-Haram dan di kawasan tawaf telah penuh dengan orang ramai. Saya memulakan tawaf, penuh sesak, berhimpit,di tolak, disiku dan sebagainya. Hingga kadang-kala kaki ini tidak dapat menjejaki lantai, hanya bergerak dengan bersandar pada badan-badan jemaah dari seluruh dunia ini.

Baru dua pusingan azan telah berkumandang. Tidak lama selepas itu terus Iqamat dan imam terus memulakan takbir al-Ihram.

Ketika solat dimulakan, secara automatik semua yang ada berhenti tawaf dan ingin membentuk saf untuk bersolat. Ketika ini keadaan menjadi sangat gawat. Berhimpit-himpit, beberapa orang ada yang menjerit dan sesak nafas. Salah seorang jemaah saya mencuit saya:-

“Ustaz, saya nak keluarlah” tak ada tempat ni”

“Jangan, laluan keluar dah tak ada, semua dah jadi saf orang solat, nanti lagi ditolak dan terhimpir” jawab saya.

Subuh pagi ini, imam membaca penuh syahdu.

Selepas membaca fatihah seluruh masjid al-Haram bersama ratusan ribu jemaah melaungkan amin. Saya betul-betul berada di hadapan kaabah ketika ini.

Imam mula membaca surah. Ia melaungkan ayat dari surah al-Baqarah mengenai haji bermula dari ayat 197. Saya yang dapat memahami bacaan ini tak dapat menahan air mata terutamanya hingga ke sampai ayat 200-203, surah al-Baqarah ini:-

200. Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berdzikirlah dengan menyebut Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut nenek moyangmu, atau (bahkan) berdzikirlah lebih banyak dari itu. Maka di antara manusia ada orang yang bendo'a: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.

201. Dan di antara mereka ada orang yang bendo'a: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka"

202. Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian daripada yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.

203. Dan berdzikirlah (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang berbilang. Barangsiapa yang ingin cepat berangkat (dari Mina) sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya. Dan barangsiapa yang ingin menangguhkan (keberangkatannya dari dua hari itu), maka tidak ada dosa pula baginya, bagi orang yang bertakwa. Dan bertakwalah kepada Allah, dan ketahuilah, bahwa kamu akan dikumpulkan kepada-Nya

Apa yang saya ingatkan ialah kerdilnya diri ini di hadapan Allah. Walaupun penuh kelemahan tetapi tetap dijemput untuk menjadi tetamunya.

Adakah dengan jemputan ini semakin menjadikan diri ini bertaqwa.

Air mata terus menitis hingga ke selesai solat. Ketika ini teringat anak-anak Yatim di Malaysia yang ada bersama saya, anak-anak murid yang ada, saudara dari HIV, dan seluruh sahabat yang berjuang bersama, yang sama-sama menerima sindiran dan hinaan dari sesetangah golongan.

Terasa banyak perkara yang sepatutnya dibuat untuk agama ini tetapi kemampuan yang ada agak terhad.

Tapi, satu sahaja yang mampu dibisikkan kala ini :-

“Ya Allah, aku telah cuba membela agamamu semampu yang dapat, tapi aku tahu, banyak kekurangan sebenarnya, bantulah aku ya Allah”.

Saya mengesat air mata di kelopak, dengan rasa hina di hadapan Allah, saya memohon agar segala apa yang diusahakan di Malaysia kala ini mendapat keredhaanNya dan terus mendapat bantuan dariNya.

Semoga ia menjadi amal jariah yang dapat ditinggalkan ketika dijemput menghadapNya nanti.

Sesungguhnya, saya memohon agar Allah terus membimbing diri ini dan siapa sahaja yang bersama, ke arah keredhaannya. Tanpa bimbinganmu Ya Allah, kami tidak akan mampu untuk mengharungi hidup ini dengan baik. Jangan tinggalakan kami keseorangan tanpa rahmat dan bimbinganMu, amin.., ya Rabbal Alamin…

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

(Catatan Kenangan Haji 1430/ 2009)

Syi’ab Ali Mekah al-Mukarramah

2 Disember 09 jam 9.15 pagi

Setelah tawaf dan saie haji, jemaah boleh bertahallul dan membuka ihram

Kedai mencukur rambut yang penuh sesak

ramai yang bercukur sendiri di halaman masjid al-Haram

Universiti Kehidupan 131 – Haji Mabrur, Antara Pakej A dan Pakej B

Di Mekah kali ini, saya jumpa berbagai orang. Ada yang datang ke Mekah denga pakej A yang berharga ratusan ribu dan yang dengan pakej B yang murah dan melalui Tabung Haji.

Pakej A duduk hotel yang berdekatan dengan masjid al-Haram, pakej B duduk berbatu-batu dari Masjid.

Pakej A boleh sembahyang di hotel sahaja berimamkan masjid al-Haram sedangkan pakej B berjalan jauh hingga sakit lutut dan tumit.

Ketika semua orang mula bertolak ke Arafah, pakej A pergi dengan bas yang khas di sediakan sedangkan pakej B terpaksa menunggu bas Saptco yang dipenuhi oleh orang dari seluruh dunia ini.

Selesai di Arafah, pakej A terus ke Mekah dengan bas khas untuk menyelesaikan tawaf dan saie haji sedangkan pakej B ke Mina dan duduk di sana.

Pakej A datang kemudian ke Mina dengan kenderaan khas, duduk di khemah yang berdekatan dengan jamrah. Pekej B duduk di maktab yang berbatu jauhnya dengan jamrah. Yang tua-tua kadang-kala tersesat untuk balik ke maktab sendiri.

Maktab pakej A selesa ada layanan yang baik sedangkan maktab pakej B, bilik air yang penuh dan agak kotor.

Kemudian orang dari pakej A berkata:-

“Haji ni memang senang betullah, ini tanda haji Mabrur ni”.

Ustaz yang membawa jemaah dari pakej A pun mengiyakan kenyataan ini sambil tersengeh-sengeh.

Orang Pekej B pula berkata:-

“Susah buat haji ni, kena jalan jauh, sakit kaki, makan tak cukup, inilah tanda mendapat haji mabrur”

Ustaz yang bersama dengan pakej B akan mengatakan:-

“Ye, ye, betul tu, betul.., kita kena redha, itu tanda haji mabrur” sambil menyapu janggut dengan muka agak sedih.

Tak kira dari pakej mana sekalipun, masing-masing mengharapkan haji yang mabrur. Di dalam hadis, Nabi saw menyatakan bahawa:-

“Haji yang mabrur itu, tidak ada balasan baginya melainkan syurga” (Hadis Riwayat Ahmad di dalam kitab Baqi Musnad al-Mukatthirin, bab Musnad Abi Hurairah r.a).

Ada dari pakej A yang hatinya sentiasa berbisik:-

“Ya Allah, syukur di atas segala nikmatmu ya Allah, bimbinglah aku”

Dari pakej B, walaupun telah disediakan maktab, tapi jauh, mungkin jalan bebatu-batu. Kaki pecah. Jadi ramai yang duduk tepi jalan sahaja, berkhemah sahaja. Ada antara mereka yang berbisik:-

“Ya Allah, mudahkanlah urusan haji ini ya Allah, terlalu susah aku hadapi, barangkali kerana dosa ini ya Allah, ampunkanlah aku ya Allah”

Tapi……..

Ada dari pakej A yang selalu berkata:-

“kamu tak kenal ke siapa saya? Tahu tak berapa saya bayar untuk pakej ni, tak akan macam ni aje” memberi komen kerana sesaknya jalan di Mekah ketika mahu balik dari Arafah.

Kadang-kala, kata-katanya diselang selikan dengan bahasa Inggeris, menunjukkan gaya orang terpelajar di hadapan petugas haji atau ustaz lulusan al-Azhar ataupun lulusan Sanawi Empat dari sekolah agama terdahulu.

Ada dari pakej B pula berkata:-

“Apalah tuhan ni, kan aku nak buat haji, kenapa susah sangat ni?” Membebel kepada petugas tabung Haji yang kemudian semakin naik angin kerana petugas Tabung Haji malas nak layan karenah orang macam ni.

Jadi, antara pakej A dan pakej B, mana satu haji mendapat haji Mabrur?”

Mmmm, mana satu ha…?

Sebenarnya dalam mendapatkan haji Mabrur, bukan pakej A atau pakej B yang menjadi ukuran, tapi sejauh mana, haji ini semakin menghampirkan diri kita pada Allah swt.

Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa:-

197. (Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats ("Rafats" artinya mengeluarkan perkataan yang menimbulkan berahi yang tidak senonoh atau bersetubuh.) berbuat fasik dan berbantah- bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal.

200. Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berdzikirlah dengan menyebut Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyangmu, atau (bahkan) berdzikirlah lebih banyak dari itu. Maka di antara manusia ada orang yang bendo'a: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.

201. Dan di antara mereka ada orang yang bendo'a: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka"

202. Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian daripada yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.

(al-Baqarah)

Jika bersama pakej A yang puluhan hingga ratusan ribu harganya menjadikan seseorang itu semakin hampir dengan Allah, semakin bertaqwa, semakin memperbaiki diri, maka mereka mempunyai tanda-tanda mendapat haji mabrur. Ini kerana, mereka adalah orang kaya yang bersyukur.

Jika bersama pakej B, seseorang itu semakin menghampirkan diri pada Allah, semakin memuhasabah diri, semakin banyak istighfarnya, maka mereka ada tanda-tanda haji yang mabrur kerana mereka adalah orang yang sentiasa bersabar dan redha.

Apa yang penting, setiap ibadah itu, akhirnya melahirkan sifat mengagungkan Allah dan semakin merasakan diri ini hamba kepadaNya.

Dengan sifat demikianlah, kita akan terus dibimbing oleh Allah. Bimbingan Allah itulah yang sangat penting di dalam hidup kita ini. Ini kerana, tanpa bimbingan dari Allah, susah kita untuk menjadi baik dan selamat di dalam kehidupan ini.

Semoga Allah terus membimbing kita dengan kasih sayangnya, dan semoga, seluruh jemaah haji yang menjaga ibadah mereka, dianugerahkan haji yang Mabrur oleh Allah, amin…

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Mina

27 November 09 jam 8.00 malam.

Bersama Kak Raja Mazian dan suami (kanan gambar) dan adik pelajar Jordan dan Isterinya (kiri gambar)

Khemah di Mina, perhimpunan manusia dari seluruh dunia

Keadaan khemah di Mina

Kawasan perkhemahan Malaysia

Suasana di salah satu khemah

Ada yang hanya tidur ditepi jalan sahaja

Tuesday, December 1, 2009

Univerisiti Kehidupan 130 – Keajaiban Di Padang Arafah

“Alhamdulillah ustaz, syukur”, kata Puan Zanariah atau lebih mesra dipanggil dengan nama Kak Yah.

“Ye ye”, kata saya sambil senyum tapi hati saya tertanya-tanya,

“Siapa kakak ni?”

Taklah susah sangat untuk mengenali semua penghuni apartment yang tak sampai 50 orang ini, tapi sebelum ini saya tak pernah nampak Kak Yah.

Saya tak kenal kak Yah tapi, dia menyapa saya dengan mesra. Lebih-lebih lagi dia menyapa di apartement yang saya duduk.

“Ustaz sebelum ni, mesti ustaz tak perasan saya, tapi mula-mula datang dulu, saya dah cam ustaz” kata kak Yah lagi.

“Aahlah, kak duduk mana sebelum ni” tanya saya.

“Ada, tapi dalam bilik sahaja” jawabnya ringkas.

“Saya syukur ustaz, saya sebenarnya stroke, jalan pun orang papah, itu yang duduk dalam bilik sahaja” kata kak Yah.

“Semalam ke Arafah, orang papah saya. Alhamdulillah, sehari di padang Arafah, saya berdoa pada Allah agar Allah beri kesihatan pada saya, lepas itu Alhamdulillah ustaz, waktu tu, Allah terus beri kesembuhan kepada saya ustaz. Saya terus dapat jalan sendiri. Tak sangka, saya dah boleh jalan sendiri ustaz” kak menyambung kisah gembiranya dengan perasan terharu.

“Subahanallah, subahanallah”, tak henti-henti saya mengucapkan tasbih menyatakan kekaguman kepada Allah.

Seorang yang sedang sakit, menadah tangan, mengadu pada Allah, Allah berikan kesembuhan kepadanya.

“Macam mana nak logikkan menurut sains”, bisik hati saya.

Tapi itulah hakikatnya. Sains hanyalah dilahirkan dari kajian manusia, sedangkan banyak lagi perkara yang manusia tidak temui.

Itulah hakikatnya, satu antara ribuan kisah ajaib di tanah suci Mekah. Mungkin ada di antara kita yang mecebek cerita seperti ini. Mungkin ada yang mengatakan:-

“Ah!.. kebetulan kot”

Sebenarnya, di dalam Islam, memang ada dibincangkan mengenai keajaiban-keajaiban ini.

Jika ia berlaku kepada para Rasul, maka ia disebut sebagai Mukjizat. Di antara contoh mukjizat Nabi ialah membelah bulan, batu pernah berkata-kata dengan Nabi berdasarkan hadis:-

Dari Jabir bin Samurah dia telah berkata, telah bersabda Rasullulah saw, sesungguhnya aku sangat mengenali satu batu di Mekah dulunya ia mengucapkan salam padaku sebelum aku diutus, aku mengenalinya sekarang (Hadis riwayat Muslim di dalam kitab al-fadhail di dalam bab Fadl Nasab an-Nabi saw wa at-Taslim)

Jika sesuatu keajaiban itu berlaku pada para sahabat, para wali, ia disebut sebagai karamah. Ia seperti yang berlaku kepada Saidina Umar r.a ketika beliau mengirim pasukan tentera yang dipimpin oleh seorang yang dipanggil Sariyah. Saidina Umar yang sedang berkhutbah di Madinah tiba-tiba berteriak:-

“Wahai Sariyah, bertahanlah di gunung”

Ketika pasukan Islam itu pulang, antara mereka bertemu Saidina Umar, “Wahai Amirul Mukminin, kami menghadapi musuh kami dan kami hampir kalah, tiba-tiba ada teriakan:-

“wahai Sariyah, bertahanlah di gunung, maka kami bertahan di gunung, dan Allah mengalahkan mereka”

(Menurut at-Tabrizi, diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Dala’il an-Nubuwwah dan Muhaqqiq al-Misykat berkata : Ibnu Asakir juga meriwayatkan serupa dengan sanad Hasan)

Jika ia keajaiban itu berlaku kepada orang awan, maka ia dipanggil Maunah. Ia berlaku seperti kepada kisah kakak di atas.

Jika keajaiban itu berlaku ke atas orang-orang kafir, fasik, zalim dan orang-orang jahat, maka ia dipanggil Istidraj, iaitu kelebihan yang Allah beri kerana usahanya sedangkan pemberian itu untuk lebih menjauhkannya dari Allah. Pemberian itu dianugerahkan dengan keadaannya dimurkai Allah.

Rasullullah saw, ditanya tentang dukun (yang mempunyai keajaiban), baginda bersabda:-

“Dia tidak mempunyai kemampuan apa-apa, Mereka berkata, Ya Rasullullah, mereka (para dukun itu) menyampaikan kepada kami tentang sesuatu dan ternyata benar, maka bersabda Rasullullah saw, Itulah kalimat hak yang dicuri oleh jin, kemudian mereka sampaikan ke telinga pendukungnya lalu berita benar tersebut mereka campur seratus dusta” (Jami Ushul, Ibnu Atsir, V/63)

Al-Harits ad-Dimisyqi, seorang penjahat dan pendusta, ketika ditangkap oleh umat Islam untuk dibunuh, ada yang menikamnya dengan tombak tetapi tidak lut, maka Khalifah Abdul Malik bin Marwan berkata pada tenteranya:-

“Sesungguhnya engkau tidak membaca Bismillah”

Maka mereka membaca Bismillah, lalu menikamnya dan mereka dapat membunuhnya (al-Rusul wa al-Risalah, Dr. Umar Sulaiman al-Asyqar, hal 220)

Itulah pembahagian keajaiban. Ia meman ada dan ada ketogerinya.

Sebab itu di dalam Islam, kita tidak diajar untuk ghairah dan takjub pada keajaiban yang ada pada manusia ini. Ditakuti kita cuba mendapatkannya dengan keadaan yang dimurkai oleh Allah.

Menjadi kebal tetapi dikurniakan dengan istidraj.

Semua kejaiban yang berlaku adalah untuk Allah tunjukkan kebesaran dan keagunganNya. Semoga kita tergolong di dalam golongan orang yang sentiasa meningkatkan keimanan kepada Allah swt.

Sesungguhnya, redha Allahlah yang kita buru di dalam hidup ini, bukan selainnya.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Sya’ab Ali, Mekah al-Mukarramah

Jumaat 27 November 09 jam 3.00 petang

IMG_1559

Padang Arafah, tempat terbaik untuk berdoa

IMG_1589

Para jemaah ada yang berdoa di dalam khemah dan ada yang memanjatkan doa di tanah lapang.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...