Thursday, October 9, 2008

Jom Kongsi Pengalaman 8 - Sekitar Perayan Jhe Di Phuket

Hari ini 7 Oktober, saya mula meninggalkan Phuket. Saya melalui perarakan Jhe di kota Phuket. Di sini apa yang boleh kita kongsikan dan kita nilai sendiri menurut ilmu yang ada pada kita melalui bab Syariat, Tauhid dan Tasauf. seorang gadis yang mencucuk pipinya dengan besi daging
Seorang yang mencucuk dirinya dengan dawai-dawai
seorang gadis yang mencucuk pipinya dengan besi
Dengan tiang bendera
mereka juga duduk di bawah bakaran mercun
Keadaan mereka yang menahan letupan mercun
lagi gambar mengenai letupan mercun

Sejurus selepas perarakan lori pembersih sampah membesihkan kawasan jalan

Walau apa pun yang kita saksikan, kita bersyukur kepada Allah yang telah menganugerahkan kepada kita nikmat iman dan Islam. Semoga Allah juga memberi hidayah kepada seluruh manusia agar semua kita selamat di dunia dan di akhirat.

Monday, October 6, 2008

Universiti Kehidupan 2 - Perayaan Je, Phuket

Hari ini 6 Oktober 2008. Saya terkejut di Phuket ini. Orang di sini seolah-olah sedang merayakan satu perayaan. Jalan-jalan ditutup, liputan di TV dan akhbar dibuat secara besar-besaran.

Rupanya, penganut Budha berbangsa Cina sedang merayakan perayaan Je. Orang Budha berbangsa Cina dan Orang Budha berbangsa Siam mengamalkan agama mereka dengan cara yang sedikit berbeza.

Pada setiap tahun, Orang Cina beragama Budha akan meraikan hari puasa selama sepuluh hari. Pada hari puasa ini mereka boleh makan apa sahaja selain dari daging. Mereka hanya makan sayur-sayuran.

Dalam masa sepuluh hari ini juga, ada kumpulan-kumpulan dari kuil yang mengadakan persembahan. Mereka akan membuat pemujaan dan seterusnya akan mencucuk diri mereka dengan benda-benda tajam. Ada di kalangan mereka yang memukul diri mereka dengan objek keras. Lagak dan gayanya seakan orang Hindu yang merayakan perayaan mereka.

Perayaan ini hanyalah akan di sambut oleh orang Budha berbangsa Cina. Orang Siam tidak terlibat dengan upacara ini. Perayaan ini menjadi salah satu daya tarikan pelancung di Thailand ini khususnya di Phuket.

Di dalam Islam, kita tidak dibenarkan membuat upacara seperti ini. Islam mengajarkan agar umatnya tidak membuat perkara yang memudharatkan. Selain itu, di dalam Islam, pemujaan hanyalah pada Allah.

Setelah memuja Allah, seseorang tidaklah disuruh membuktikan pemujaannya dengan memudharatkan badan. Di dalam Islam, orang yang memuja Allah akan diperintahkan menterjemahkan pemujaan itu di dalam ketaatan lahiriyyah. Ketaatan hasil dari pemujaan pada Allah terdapat lima peringkat.

1. Peringkat diri seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan sebagainya
2. Peringkat keluarga seperti menjaga nafkah anak dan isteri, jika dia seorang isteri menjadi isteri yang solehah. Jika dia seorang anak menjadi anak yang soleh dan solehah dan sebagainya. 3. Peringkat masyarakat seperti amar makruf nahi mungkar, mengadakan majlis ilmu dan sebagainya
4. Peringkat negara seperti mempertahankan negara, membangunkan negara selaras dengan kehendak Allah dan sebagainya.
5. Peringkat Ummah seperti menghulurkan bantuan kepada saudara seIslam di Palastin, Afghan, mendoakan mereka dan memberi sokongan kepada mereka.

Di dalam Islam, semakin seorang memuja Allah, semakin tamaddun kemanusiaan juga terbangun. Jika kita memahami hasil pemujaan pada Allah yang lima ini, maka kita akan menjadi umat yang hebat di dunia dan selamat di akhirat. Semoga kita semua menterjemahkan pemujaan pada Allah dengan ketaatan yang lima ini.
Salah satu keadaan peserta yang mencucuk pipinya dengan pedang.
Salah satu peserta yang mencucuk dirinya dengan payung

Universiti Kehidupan 1 - Belajar Tawakkal dari nelayan

Hari ini, 6 Oktober 2008, sahabat saya, Ustaz Hussain, mengajak saya berjalan sekitar pulau di Phuket.Dia membawa beberapa orang kawannya dan juga abangnya yang memang nelayan di sini. Dia telahmenyediakan nasi yang telah di masak. Saya bertanya, bagaimana dengan lauk. Apa yang ingin kita bawa. Dia mengatakan bahawa sediakan doa sahaja.

Saya tidak faham,apa yang Ustaz Hussain maksudkan. Dia melanjutkan lagi, hari ini kita akan makan di pulau sekitar Phuket ini. Lauknya ialah ikan yang akan kita tangkap di perairan Phuket ini.

Kami mula menaiki bot seawal pukul 9 pagi waktu tempatan. Setelah setengah jam berlayar, kami tiba di pulau Loan. Kami mula melebarkan jala yang dibawa. Ada seorang pembantu Ustaz Hussain bernama Aziz membawa penembak ikan. Kami mula menjala dan Aziz mulai menembak ikan. Setelah dua jam menjala, kami membawa naik hampir sepuluh kilogram ikan yang berbagai jenis dan rupa. Ha.. rezki tetamu dari Malaysia hari ini banyak, sapa Ustaz Hussain pada saya.

Kami makan ikan yang segar, ada yang digoreng dan ada yang dibakar. Alhamdulillah,banyak rezki kita hari ini.

Merenung kehidupan nelayan, sebenarnya, jika mereka beriman, mereka lebih kuat pergantungan hati dengan Allah. Setiap pagi mereka keluar mencari rezki, mereka tidak tahu berapa banyak yang akan Allah kurniakan.

Setiap kali mereka menjala, hati mereka berdebar-debar akan perolehan yang mereka dapat.Jika banyak mereka akan bersyukur dan jika tidak dapat mereka redha. Hati mereka tenang kerana usaha yang telah dimaksimakan.

Berbeza dengan orang makan gaji. Kadang kala, hati kurang pergantungan pada Allah. Ini kerana, setiap bulan rasa selamat kerana gaji yang akan diperolehi. Rasa selamat kepada selain Allah akan menyebabkan kita hilang ketenangan. Kita akan rungsing jika dibuang kerja, jika tidak dibayar gaji, akan merungut jika tidak ada bonus. Kita memang boleh suarakan hak kita cuma kadang kala orang menyuarakannya dengan lupa pergantungan pada Allah.

Dari sudut usaha, nelayan terpaksa berhempas pulas dengan keringatnya. Orang makan gaji kadang kala boleh curi masa. Dia boleh ponteng, beli resit klinik untuk dapatkan cuti dan sebagainya. Lebih malang lagi barang pejabat yang bukan miliknya diangkut bawa balik. Pen pejabat, kertas pejabat, klip kertas dan lain-lain. Bayangkan, betapa susahnya ingin diselesaikan di akhirat nanti.

Kita tidak disuruh tukar kerja kepada nelayan jika kita bekerja di pejabat. Cuma pengajaran dari kehidupan nelayan yang perlu kita ambil iktibar. Jika kita semua tergolong di dalam golongan orang yang amanah di dalam usaha, insyallah kita akan berjaya di dunia beserta keberkatan dan berjaya di akhirat bersama kerahmatan.
Menyelami kehidupan nelayan, mempelajari erti kesungguhan dan tawakkal di dalam kerja. Gambar di atas, bot nelayan yang saya naiki untuk menziarahi pulau sekitar Phuket dan menangkap ikan.
Setiap hari, rezki tidak diketahui, hanya kesungguhan dan tawakkal bekal untuk berusaha.Gambar di atas adalah teluk di pulau Loan Phuket Thailand
Sesungguhnya, orang yang bersungguh di dalam kerjanya akan memaksimakan usahanya. Ini kerana, kesungguhan usaha mendapat pahala, memaksimakan kerja mendapat laba.

Sirah 2 - Secebis catatan Islamnya Nusantara

Ada enam negeri di Thailand yang berbatasan dengan laut mempunyai masyarakat Islam. Negeri itu Patani, Satun, Krabi, Phang Ha, Trang dan Phuket. Negeri ini mendapat Islam hasil dakwah orang Melaka, orang Acheh dan pendakwah Islam dari tanah Arab sendiri. Di Patani, kita akan dapat melihat, kitab-kitab jawi berbahasa Melayu dibaca, kemudian disyarahkan oleh tuan-tuan guru di dalam bahasa Thailand. Bahasa Melayu seolah-olah seperti bahasa Arab yang dibaca tulisannya kemudian disyarahkan ke dalam bahasa ibunda.

Di sebelah atas Thailand yang bersepadan dengan China seperti Chiang Mai juga terdapat masyarakat Islam. Mereka mendapat Islam dari orang Arab yang berada di China.

Ada empat orang sahabat Nabi yang dimakamkan di negeri China. Mereka mengembangkan Islam ke China dan negara bersebelahan dengan China. Utusan-utusan dakwah ini meliputi Nusantara ini.

Baru-baru ini, ada satu makam yang ditemui di Barus Indonesia. Makam ini tertulis wafatnya pada tahun 48 hijrah. Kita masih menunggu lagi apa kata ahli sejarah mengenai makam ini. Jika benar makam ini wafat pada tahun 48 hijrah, maka pemiliknya, jika tidak sahabat, pasti Tabi'in. Ini juga akan menafikan kajian Orentalis yang mengatakan bahawa Islam hanya sampai ke Nusantara pada kurun ke 15 masihi sahaja.

Apa yang penting ialah, dengan mengetahui sejarah, kita akan lebih mengenali diri kita. Orang yang mengenali dirinya akan terus mempertingkatkan dirinya. Orang yang sentiasa mempertingkatkan dirinya, insyaallah akan terus berjaya samada hidup di dunia mahupun akhirat.

Sunday, October 5, 2008

Sirah 1 - Srikandi yang dilupakan


Hari ini 5 Oktober, hari kedua saya berada di Phuket Thailand. Saya menziarahi kawan lama sempena hari raya ini. Seperti biasa, pertemuan dengan anak tempatan akan membincangkan mengenai sejarah dan masyarakat Islam tempatan. Semasa berjalan di bandar Phuket saya terlihat dua patung perempuan yang memegang pedang. Melihat patung ini, saya bertanya kepada sahabat saya, Ustaz Hussain, mengenai siapakah tokoh yang dijadikan tugu di tengah bandar ini.

Ustaz Hussain mula bercerita kepada saya sejarah Phuket ini.

Sebelum perang dunia kedua iaitu pada sebelum 1940, Thailand mempunyai raja-raja kecil yang bernaung pada raja utama di Bangkok. Mereka semua raja dari Dinasti Cakri. Di Phuket juga terdapat raja kecil yang bernaung di bawah Bangkok.

Segalanya bermula ketika raja Phuket ingin mencari bakal permaisurinya. Dia pernah menyamar menjadi rakyat biasa dengan melihat kehidupan masyarakat. Pencariannya berakhir apabila dia berkenan kepada seorang perempuan Muslimah bernama Fatimah. Fatimah seorang yang kuat memegang ajaran agama. Jika Raja benar-benar ingin memperisterikannya, raja mestilah memeluk Islam. Jika tidak, maka Fatimah rela mati dari menjadi isteri seorang yang tidak menyembah Allah.

Kelebihan dan keutamaan yang ada pada Fatimah menyebabkan raja akur dengan syaratnya. Raja memeluk Islam dengan disaksikan oleh masyarakat setempat. Islamnya raja Phuket dirahsiakan dari pengetahuan pusat iaitu raja agung di Bangkok.

Pada tahun 1940an, meletuslah perang dunia kedua. Siam tidak ketinggalan dari menjadi sasaran Jepun. Bagi mempertahankan Bangkok, seluruh raja kecil dan tenterannya diarahkan naik ke Bangkok untuk menghadapi kemungkinan serangan Jepun.

Tanpa disangka, Jepun telah melabuhkan kapalnya di Krabi dan Phuket. Ketika itu, pahlawan-pahlawan Phuket tidak ada di sini. Mereka semua telah berangkat ke Bangkok.

Bagi mempertahankan negeri Phuket pada ketika itu, Pemaisuri Fatimah telah menyusun dan memimpin sendiri tentera. Tentera permaisuri terdiri dari orang-orang perempuan. Hanya sedikit orang lelaki yang ada pada ketika itu. Mereka memakai pakaian lelaki, mengangkat pedang, dan berjuang mempertahankan Phuket.

Selama dua hari mereka mempertahankan Phuket sebelum tentera suaminya tiba kembali dari Bangkok. Peperangan kemudiannya berlalu selama sebulan dengan menyaksikan kemenangan di pihak Phuket. Ramai yang terkorban termasuk permaisuri Fatimah.

Islamnya raja Phuket hasil dakwah Fatimah telah lama dirahsiakan. Ia hanya terbongkar pada tahun 2004 apabila ketua Islam negeri Phuket, Bamrung Sampaurat atau nama Islamnya Abu Bakar ingin mengadakan sambutan Maulidur Rasul. Sambutan kali ini akan mengetengahkan sejarah Islam di Phuket. Dia telah membentuk satu jawatankuasa bagi mengkaji sejarah Islam di Phuket. Di antara ahli panel jawatankuasa ini ialah sahabat saya Ustaz Hussain.

Ustaz Hussain telah menemui makam Permaisuri Fatimah dan adindanya Maimunah. Dia juga telah menemui makam sebenar Raja Phuket yang Islam itu. Makam yang sebenar tidak didedahkan pada masyarakat umum. Ada sebuah makam lain yang dibina untuk Raja ini dengan binaan yang tidak Islam. Ini supaya generasi akan datang tidak mengetahui Islamnya raja ini. Sejarah permaisuri Fatimah juga telah disasarkan dengan hebahan bahawa Permaisurilah yang memeluk Buddha bukannya raja yang memeluk Islam. Dengan penemuan makam-makam ini, masyarakat Thailand agak gempar kerana sejarah sebenar telah terbongkar.

Sesungguhnya, ahli sejarah memang boleh menipu sejarah. Sebab itu, dalam membicarakan mengenai Islam, umat Islam sendiri perlu mengkajinya. Kita banyak membaca sejarah umat Islam terutamanya di Nusantara hasil dari penulisan orang yang bukan Islam. Ramai juga yang lebih percaya kepada Orentalis.

Sudah sampai masanya kita perlu memperdalamkan sejarah Umat Islam terutamanya di Nusantara ini dengan kajian dari Umat Islam sendiri. Sesungguhnya, orang yang mampu mencipta sejarah adalah orang yang mahir di dalam sejarah.

Semoga banyak lagi yang boleh kita kaji di masa akan datang.

Friday, October 3, 2008

Jom Kongsi Pengalaman 7 - Petra Jordan

Pada Jun 2008, saya terlibat dengan program al-Hidayah TV3 dan "kembara bumi Ambiya bersama Rabbani" yang insyallah akan disiarkan tidak lama lagi. Salah negara yang kita kunjungi ialah Jordan. Salah satu tempat yang kami pergi ialah Petra, kota kaum Nabatean. Tempat ini termasuk di dalam tujuh keajaiban dunia. Insyallah, kita akan berkongsi pengalaman di sini. Sebagai muqaddimahnya, mari sama-sama kita kongsi gambar-gambar menarik di sini.

Apa yang menariknya ketika masuk ke dalam kawasan kota lama ini, kita tidak terus nampak bangunan tersebut. Ia melalui dinding-dinding batu sehingga 40 meter tingginya
Inilah lorang-lorong memasuki kota Petra.
Ada perkhidmatan kuda di situ.

Setelah lebih kurang satu 3 kilometer, maka tiba-tiba kita dikejutkan dengan bangunan yang menjadi di antara keajaiban dunia.
Kaum Nabatean mewarisi ilmu kaum Ahqaf di hadramaut Yaman. Mereka memliki kemahiran memahat bukit yang menjadi rumah. Gambar di belakang ialah bagaimana bukit dipahat dan menjadi salah satu pintu gerbang

Kita boleh meneruskan perjalanan kembali dengan menaiki keldai pula

Kalau ramai orang kagum dengan pahatan bukit, mari kita kagumi batu yang membentuk nama Allah ini. Gambar di atas adalah salah satu batu yang berada di kota ini yang membentuk secara semulajadi perkataan "Allah"
salah satu ukiran yang tidak sempat disiapan oleh mereka.
Batu yang berbelang dengan warna-warna semulajadi.

Tangga yang mereka pahat

Batu yang membentuk rupa khinzir secara semula jadi

Batu yang membentuk muka orang singa secara semula jadi
batu yang membentuk rupa tengkorak.
Walauapa pun yang kita lihat, ia memperingatkan kepada kita kisah satu kaum yang handal tetapi telah tiada sekarang. Mereka semua telah bertemu dengan Allah. Kita juga begitu, hanya menunggu giliran untuk bertemu. Oleh itu, siapkanlah bekalan agar kita sentiasa selamat di dunia dan di akhirat.

Thursday, October 2, 2008

Motivasi Iman 1 - (Mari berbahagia dengan Islam)

Sempena hari raya ini, saya melihat ramai di antara kita yang bergembira. Apakah kita dilarang untuk bergembira. Tidak.. bahkan, jika betul caranya, gembira kita akan menjadi ibadah.

Islam tidak pernah melarang umatnya berhibur, bersolek, mencari harta, bergaul, belajar, berbelanja dan sebagainya. Tetapi apa yang Islam ajar adalah supaya kita melaksanakan semua itu mengikut lunas-lunas agama Islam. Apa juga yang umat Islam buat ada panduan yang perlu diikut. Ini supaya kehidupan kita lebih selamat dan lebih teratur serta dapat membezakan di antara kehidupan orang Islam dan orang kafir. Dan yang paling penting ialah agar kita mendapat keredhaan Allah.

Islam meraikan perasaan gambira yang ada pada manusia. Manusia boleh gembira. Cuma cara kita gembira perlu kita selaraskan mengikut apa yang telah Islam ajarkan.

Islam bukannya "no, no, religion". Ia merupakan tunjuk ajar untuk kita lebih bahagia. Ini kerana tidak semua kebahagiaan dapat kita kecapi dengan cara yang difikirkan akal.

Berapa ramai orang yang mencari bahagia dengan akal akhirnya menjadi gila dan hilang kebahagiaan. Ada yang membunuh diri, ada yang hilang ketenangan. Kita boleh melihat, berapa ramai penghibur yang tidak terhibur jiwanya. Dia menghiburkan orang lain, diri sendiri pun tidak terhibur.

Oleh yang demikian, tidak rugi kita mengikut agama. Kadang kala ajarannya seolah-oleh berat untuk diamalkan tetapi setelah diamal terasa hikmahnya.

Sempen hari raya ini, "betulkanlah yang biasa dan biasakanlah yang betul"...

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...