Sunday, June 26, 2011

Jom Kongsi Pengalaman 76 – Tentera Terracotta

22 Jun 2011, hari ini perjalanan kami di Xi’an diteruskan melihat tempat pengebumian Maharaja China yang pertama iaitu Qin Sin Huang dan tentera tanah liatnya atau lebih dikenali dengan Terra Cotta Army.

IMG_1916

Qin Sin Huang dikatakan sebagai Maharaja Cina yang pertama kerana kejayaannya menundukkan dan menyatukan 6 wilayah besar negeri Cina. (pintu masuk kawasan ini terdapat gambaran Qin Sin Huang)

IMG_1917

Untuk masuk ke kawasan ini, kita perlu membayar tiket RMB 110 atau lebih kurang RM 55

IMG_1918

Kita digalakkan untuk menaiki kereta elektrik dengan bayaran RMB 5 (RM 2.50) untuk sampai ke kawasan Terra Cotta ini atau kita perlu berjalan selama 20 minit untuk sampai ke lokasi Terra Cotta.

IMG_1920 

Pengunjung menunggu giliran menaiki kereta elektrik. Memasuki kawasan ini, kita dibenarkan membawa kamera, tidak seperti di Mesir yang memerlukan bayaran tambahan untuk membawa kamera.

IMG_1923

Replika kedudukan muka bumi kawasan ini. Qin Sin Huang mati di Beijing tetapi ditanamkan di sini kerana dia percaya kepada Feng Shui bahawa tempat ini bagus untuk penghidupan akan datang. Ini kerana Ia ditanam di antara gunung yang kaya dengan jade dan emas dan juga sungai yang kaya dengan timah dan tembaga. Qin Sin Huang mempunyai 2000 gundik dan 1000 orang dibakar hidup-hidup ketika kematiannya.

IMG_1925

Terdapat 8000 tentera tanah liat yang dibina sebagai kepercayaan bahawa ia akan menjadi tenteranya selepas kematian.

IMG_1926

Mereka membuat patung tentera ini cukup teliti hingga setiap muka dari mereka tidak sama.

IMG_1932

Setiap satu beratnya dari 110 kg hingga ke 300 kg, ada yang kosong dalamnya dan ada yang solid.

IMG_1944

Patung di sini terbahagi kepada 4 golongan iaitu hamba, tentera, pegawai dan jeneral. 

IMG_1947

Walaupun pembinaan patung di sini bukan untuk penyembahan, tapi di dalam Islam ia tetap tidak dibenarkan, kerana ia berkaitan dengan kepercayaan. Mengenai patung yang dibenarkan hanya satu sebab sahaja iaitu permainan.

IMG_1948

Di sini ada beberapa kawasan. Pit 1 untuk tentera biasa, pit 2 dan pit 3 untuk pegawai dan jenera. Ada 8000 patung tentera dan 68 patung  pegawai.

IMG_1950

Ada 7 patung jeneral tapi hanya satu sahaja yang dikeluarkan untuk tontonan umum

IMG_1965

Apa yang menarik ialah patung ini sebenarnya mempunyai warna seperi manusia, mukannya warna pink dan coklat, bajunya warna biru, kasutnya warna hitam. Tapi setelah mereka keluarkan, warna ini semakin hilang dan pudar

IMG_1966

Kawasan perkuburan Maharaja belum dibuka untuk umum, ini kerana ia masih dalam kajian dan bahaya kerana di kawasan itu penuh dengan mecury

IMG_1969

Mereka telah ada sistem untuk bezakan antara tentera. Kalau askar biasa, mereka kena ada misai dan janggut,  kalau pegawai hanya misai, kalau jeneral, hanya misai tetapi ia melentik ke atas dan kalau maharaja, ia berjanggut panjang.

IMG_1972

Patung jeneral

IMG_1974

Kedaan tangan jeneral yang digambarkan seolah-olah memberi arahan

IMG_1975

Misai jeneral

IMG_1976

Muka tentera yang perlu ada misai dan sedikit janggut

IMG_1978

Gambaran tentera yang siap untuk bertempur

IMG_1983

Kereta kuda Maharaja

IMG_1987

Kawasan di luar kompleks

IMG_1992

Kami diajak melihat dokumentari selama 15 minit. Biasanya, cerita 2D atau 3 D, di sini 10D, kita dapat hayati seoalah-olah kita berada di zaman itu dari semua sudut dan arah.

IMG_1995

Kedai cenderahati

IMG_2003 

IMG_2004

Sesungguhnya, seorang itu berbuat hasil dari kepercayaan yang ada padanya, sebab itu dalam bab kepercayaan ini, ia sangat ditekankan dalam Islam. Ia diletakkan di dalam rukun iman kerana jika silap kepercayaan, maka orang akan silap di dalam tindakannya.

“Pengalaman Asas Hikmah”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

24 Rejab 1432/ 26 Jun 2011 jam 7.45 pagi

Thursday, June 23, 2011

Jom Kongsi Pengalaman 75 - Inside Masjid Xi'an

Kesempatan kali ini, mari kita kongsikan mengenai masjid Xi'an
Masjid ini adalah sebuah kompleks Islam yang terdiri dari dewan solat, tempat wuduk, pejabat, rumah tetamu, bilik mesyuarat, menara peninjau dan lain-lain lagi. Ia adalah satu contoh fungsi masjid yang berbagai dan bukan semata-mata dewan solat

Masjid ini telah didirikan sejak 1250 tahun lalu, binaannya masih kukuh dan dipelihara dengan baik

Menara Xi'an yang cukup terkenal. Dahulu muazzin melaungkan azan dari atas ini.
Terdapat batu bersurat dan batu-batu nesan lama di sini. Kubur salah satu syiar Islam, sebab itu kubur orang Islam akan terbeza dengan kubur orang bukan Islam. Jika terdapat perkuburan Islam, maka orang terkemudian akan dapat mengetahui bahawa pernah wujud umat Islam di tempat tersebut

Orang di sini azan dengan lahjah mereka. Mereka menghidupkan baris hujung seperti :- "Hayya Alas Solaaaaaatiiiiiii, Hayaa Alal Falaaaaaheeeeee..."

Terdapat binaan-binaan lain di dalam kompleks masjid ini. Ia unik dan cantik.

Bilik wudhuk dan tandas di dalam kompleks ini. Kompleks ini seluas 12 5oo meter persegi

Orang di sini mengambil wudhuk dengan membersihkan sekali badan mereka. Mereka akan membuka baju, mengelap badan dengan tuala yang mereka bawa kemudian mereka akan basuh tuala dan sidaikan di tempat yang disedaikan.

Peluang wudhuk akan digunakan untuk membersihkan sekali badan mereka.

Tandas di sini agak ringkas. Pintu hanyalah separuh dari badan.

Orang Cina banyak bermazhab Hanafi

Tuala yang digunakan untuk mengelap muka dan kaki setelah selesai mengambil wudhuk

Telaga lama yang terdapat di dalam kompleks masjid ini

Kalau masjid di Malaysia, masjid kebiasaannya akan dihiasi dengan ayat-ayat al-Quran yang dibuat dari batu mar-mar, di sini, ayat al-Quran dipahat pada kayu dan berada di dinding masjid

Di bahagian bawahnya pula adalah tafsiran dengan tulisan Cina

Masjid Xi'an ini dibuat dari kayu yang kuat dan telah berumur 1250 tahun. Bayangkan berapa ramai orang telah merebahkan dahinya untuk menyembah Allah di sini dan berapa banyak pahala generasi pertama yang mengusahkan agar masjid ini terbina. Orang Islam memainkan peranan penting di Xi'an ini terutamanya di dalam Dinasti Ming dan Dinasti Qing sehingga ada kajian yang menyatakan bahawa Maharaja Dinasti Ming adalah Islam.

Punya seni orang Cina muslim hingga lantai masuk pun diukir dengan gambar pokok tempatan

Hiasan dinding masjid dengan ukiran pohon-pohon kayu

selepas solat, ramai yang berkumpul dengan kami, mereka semua merasa gembira kita mengetahui bahawa kami orang Islam. Bagi orang Islam, masuk ke dalam komples masjid ini adalah percuma tetapi bagi orang bukan Islam ia dikenakan tiket untuk masuk

" Musaleeem?" (orang Islam ke?) tanya mereka. Kami mengangguk dengan senyum, mereka datang dan bersalaman penuh gembira sambil menunjukan pada pelancong yang ada di sebelah kami "kafiiir, kafiirr".


Sesungguhnya, masjid adalah syiar Islam dan di mana sahaja kita berada, barang pertama yang perlu kita wujudkan adalah masjid. Di dalam hadis, Nabi SAW bersabda:- "Barang siapa yang mendirikan masjid kerana Allah, maka Allah akan mendirikan baginya rumah-rumah di syurga".


Tinggal di kota Xi'an menjadikan kami merasa tenang kerana, walaupun berlainan bahasa dan bangsa, tetapi kami sebenarnya satu keluarga besar, keluarga muslim yang sentiasa berkasih sayang sesama kami.


Biasanya di Malaysia, kita bergaul dengan rakan-rakan Cina tetapi bukan dari keluarga Muslim, di sini, mereka beragama Islam, membaca al-Quran, bersolat, berselawat dan mengamalkan ibadah rutin bagi seorang muslim. Kita dapat rasakan tautan hati yang mesra bersama mereka. Semoga satu hari nanti, kita juga akan dikumpulkan di tempat yang lebih baik bersama kekasih kita Muhammad SAW, amin....


"Pengalaman Asas Hikmah"


al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Xi'an China

21 Rejab 1432/ 23 Jun 2011 jam 12.50 tengah malam

Wednesday, June 22, 2011

Universiti Kehidupan 197 - Majlis Selawat Di Kota Xi'an

20 Jun 2011, jam 10.00 pagi, saya melawat kawasan umat Islam China di Xi'an, kota lama yang mempunyai masjid berumur 1250 tahun dan masih aktif dimakmurkan.

Sejuk hati melihat saudara seIslam di China yang berlainan bahasa dan budaya, tetapi mempunyai kesamaan dari sudut akidah dan pengamalan Islam, orang Islam cina bertudung dan sopan berbicara dengan kita, akhlak Islamnya dijaga dan pertuturannya tertib

Saya berhenti di sebuah kedai, mata saya tertumpu pada tulisan khat yagn menulis beberapa ayat-ayat al-Quran, rupanya, kedai ini milik Imam Yahya, salah seorang Imam di Masjid Xi'an. Imam Yahya boleh berbahasa Melayu sedikit-sedikit kerana sudah enam kali beliau datang ke Malaysia membuat pameran seni khatnya.

Pertemuan yang singkat ini menjadikan kami mesra. Kami lebih selesa berbual di dalam bahasa Arab kerana lebih mudah menyampaikan maksud sesuatu kerana bahasa Melayu Imam Yahya yang agak terhad.

Saya dikenalkan dengan seorang guru Kung Fu Muslim di Kota Xi'an dan beliau tidak kekok memperlihatkan seni bela diri kepada saya. Biasanya, kita selalu menggambarkan bahawa Kung Fu adalah milik orang bukan Islam, tetapi sebenarnya, ia juga salah satu seni bagi orang Islam di sini.

Perkenalanan dengan Imam Yahya menjadikan beliau menjemput saya untuk datang ke rumahnya, beliau membuat satu jamuan khas pada kami, meraikan kami sebagai tetamunya.
Pada waktu azan berkumandang, kami semua ke masjid untuk bersolat bersama-sama. Masjid lama Xi'an hanya tidak sampai 200 meter dari kediaman Imam Yahya.


Kesempatan yang ada juga sempat kami berbincang jika berpeluang mengadakan ibadah korban di sini. Imam Yahya mengalu-alukan hasrat kami dan jika bilangan lembu yang ingin dibuat di sini banyak, beliau akan aturkan agar ia dibuat di kampung-kampung yang terdapat banyak faqir dan miskin.

Pertemuan kami habis pada hampir waktu asar. Malam ini, saya diajak oleh Abang Azizi dan Shahbudeen (ahli rombongan) untuk ke tempat ini lagi bagi membeli sedikit cenderahati untuk di bawa pulang di Malaysia.

Selepas solat Maghrib, kami mula bergerak dari hotel ke sini. Sedang Abang Azizi memilih cenderahati untuk dibeli, dari celahan bangunan kota Xi'an ini, terdengar sayup-sayup suara selawat. Saya mencuit bahu Shahabudeen dan mengajaknya untuk mencari arah datangnya suara selawat ini. Kami memasuki celah-celah bagunan lama kota ini hinggalah sampai ke satu pintu rumah yang diwakafkan sebagai madrasah. Ramai orang berkumpul di sini, mereka semua sedang membaca bait-bait selawat kepada Nabi SAW..

Dari kejauhan, saya melihat Imam Yahya, rupanya, Imam Yahya yang mengetuai bacaan selawat ini. Melihat kami, Imam Yahya terus mempersilakan kami masuk. Majlis bacaan selawat diteruskan, bait-baitnya sama cuma rentak iramanya berlainan.

Tidak lama selepas itu, datang tiga orang dari Pakistan pula bersama-sama di dalam majlis kami. Rupanya, memang dalam seminggu sekali, masyarakat Islam Xi'an akan bersama-sama di dalam majlis zikir dan selawat. Mereka berkumpul dan selepas habis selawat mereka akan bertazkirah bersama-sama.

" Tafaddal ya Ustaz", imam Yahya tiba-tiba mempersilakan saya untuk memberikan tazkirah kepada jemaah yang hadir. Saya agak tergamam. Setelah diminta beberapa kami akhirnya saya memberikan beberapa perkara berkaitan dengan kelebihan berselawat pada Nabi saw, Imam Yahya kemudiannya menterjemahkan ke dalam bahasa Cina kepada semua jemaah yang hadir. Majlis kami diakhiri dengan berdoa bersama-sama meminta Allah berikan kebaikan kepada kami semua.


Seperti di Malaysia, selepas habis majlis, kami semua berjamuan bersama-sama, bezanya ia bukan nasi dan roti tetapi buah-buahan yang segar bersama teh hijau panas.


Saya merasa terharu, malam ini secara tidak dirancang saya dapat bersama-sama di dalam majlis selawat. Di dalam majlis ini berkumpul orang Cina, Pakistan dan Melayu semuanya melaungkan zikir dan selawat pada Nabi SAW.


Walaupun berlainan bahasa, tapi kami semua dapat berkumpul. Inilah kehebatan ukhwah Islamiah. Dan benarlah kata guru saya bahawa:-


"Kita akan bertemu orang macam kami di mana sahaja kamu berada.."


Kalau kita ahli majlis ilmu, kita akan bertemu orang ahli majlis ilmu, kalau seseorang itu ahli maksiat, di mana-mana pun akan bertemu dengan ahli maksiat juga.


Oleh itu sama-samalah kita memperbaiki diri kita dan insyaAllah Allah akan sentiasa menggolongkan kita bersama orang-orang yang baik, sama ada di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat, amin...


"Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat"


al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Xian China

20 Rejab 1432/ 22 Jun 2011 jam 2.40 pagi

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...