Tuesday, April 5, 2011

Jom Kongsi Pengalaman 70 – “Local Genius Uzbek (Napkin Tradisional..)”

Ketika menunggu para ibu dan kakak dalam rombongan kami membeli belah, saya memerhatikan satu benda, seakan paip untuk orang menghisap rokok. Rupanya ia adalah napkin tradisonal yang dipasang kepada bayi ketika mereka tidur.

IMG_7725

Yang ada menonjol adalah untuk bayi lelaki dan yang rata adalah untuk bayi perempuan

IMG_7724

Ia akan dipasang pada kemaluan bayi ketika mereka tidur dan akan ada satu bekas seperti jug yang akan menadah air kencing dari bayi ini.

IMG_7719

Ini adalah buai tradisonal yang masih lagi digunakan sehingga kini. Bayi akan di bedung dan alat di atas di pasang pada kemaluannya dan ia akan ditadah dibawah buai ini. Menurut orang Uzbek, ia lebih baik keran bayi tidak akan basah.

“Pengalaman Asas Hikmah”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Tashkent Palace Hotel, Tashkent Uzbekistan

2 Jamadil Awal 1432/5 April 2011 jam 5.30 petang.

Diari 305 – “Binaan Hebat Kota Bukhara..”

31 Mac 2011 jam 7.15 pagi, saya dan rombongan menaiki kapal terbang Uzbekistan ke Bukhara. Kapal terbang jenis IL-114-100 yang kami naiki seakan kapal Firefly di Malaysia, kecil, berbunyi kipas di tepi dan akan bergegar kuat jika menerjah awan.

Perjalanan ke Bukhara dari Tashkent mengambil masa sejam setengah. Jam 8.45 pagi kami sampai ke Bukhara.

Lapangan terbang di Bukhara sangat kecil. Di pintu masuk itulah tempat mengambil beg, di situ juga tandas awan, disitu juga tempat pemeriksaan imigresen dan disitu juga pintu keluar, barang kali luas sedikit dari apartment di bandar di Malaysia.

Sebuah bas telah menunggu kami dan kami terus di bawa ke Hotel Asia Bukhara.

Selepas mendaftar masuk dan bersarapan pagi, program kami berehat hingga zohor. Jam 1.30 tengah hari kami mula diajak untuk berjalan sekitar bandar Bukhara.

Menyentuh mengenai orang pertama menyampaikan Islam ke Bukhara ini, ia berkaitan dengan usaha Qutaibah bin Muslim yang telah berjaya membuka Bukhara pada tahun 90 Hijrah / 709 Masihi. Ketika itu, agama di tempat sini ialah majusi iaitu penyembah api dan bintang. Kemasukan Qutaibah bin Muslim tidak banyak mengIslamkan masyarakat setempat sehinggalah terdirinya kerajaan Samanid yang diasaskan oleh Ismail Samany pada kurun ke 9 masihi.

Barangkali seakan Islamnya Nusantara, ia bermula dari daerah kecil bernama Barus (orang Arab datang ke sini untuk mengambil kapur barus, bahan memandikan mayat) pada kurun pertama hijrah lagi, tetapi belum dapat mengIslamkan keseluruhan masyarakat hinggalah akhirnya tertubuhnya kerajaan Islam, barulah Nusantara dapat di Islamkan.

Tempat pertama yang kami lawat ialah masjid menara Kalyan, satu binaan yang cukup menakjubkan dari kurun ke 11 masihi. Ketika negara Eropah sedang berada di dalam zaman kegelapan, umat Islam telah mampu membina binaan-binaan hebat.

Kemudian kami memasuki masjid yang boleh memuatkan seramai 15 ribu jemaah, masjid terbesar di sini. Masjid kedua terbesar di zaman itu ialah di Samarkand yang dibina oleh Bibi Hanim, isteri Timur Lank.

Banyak kedai-kedai menjual barangan lama termasuk barang-barang berumur hampir seratus tahun, begitu juga dengan jam-jam dari zaman Soviet Union yang hanya dijual dengan harga 10 USD. Jika kita menemuinya di bandar Moscow, sudah tentu harganya akan menjadi lebih 500 USD satu.

Saya memerhatikan setiap batu yang bersusun indah, utuh dan teguh dengan kehebatan para arkitek Islam.

Di dalam Islam, banyak ilmu seni bina yang disebut di dalam al-Quran seperti bilangan lapisan langit yang tidak bertiang, lapisan bumi, susunan bintang dan planet dan sebagainya.

Di dalam hadis juga menggariskan agar seni bina Islam tidak dibuat dari gambaran binatang dan manusia.

Kami di ajak untuk berpusing sekitar kawasan sini, melihat keindahan bangunan di Bukhara, sesungguhnya, Islam membina tamaddun yang tinggi dari sudut pembangunan zahiriah mahupun batinah. Islam adalah cara hidup yang membawa manusia hebat dari sudut tamaddun tetapi tetap bersifat Rabbani, tunduk kepada penciptanya.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Tashkent Palace Hotel, Tashkent Uzbekistan

2 Jamadil Awal 1432/5 April 2011 jam 6.00 petang

IMG_7628

Bersama para ibu-ibu saya, dari kanan ibu, ibu tiri, ibu anak saya dan ibu mertua.

IMG_7633

Di hadapan masjid Miri Arab

IMG_7639

IMG_7659

Banyak barang lama di jual di sini dengan harga yang sangat berpatutuan

IMG_7661

pasar lama sekitar manara Kaylan

IMG_7671

bangunan lama kini menjadi kedai-kedai cendera mata

IMG_7675

Kota ini adalah kota kelahiran ramai ulama antaranya Imam Al-Bukhari, Ibnu Sina, seorang cendekiawan Bukhara, seorang Doktor Bukhara dan seorang ahli falsafah Bukhara, Abu Hafsin Umar bin Mansur Al-Bukhari yang dikenali dengan nama Al-Bazzar, Al-Hafiz Abu Zakaria Abdul Rahim Ibnu Nasr Al-Bukhari dan Abu Al-Abbas Al-Maqdisi Al-Hambali

IMG_7682

Bersama ibu saya di kota Bukhara

IMG_7688

sekitar kota Bukhara, kota lama berumur 2700 tahun, seumur kota Siwa di Mesir dan kota Baitul Maqdis di Palestin

Sirah 9 – “Siapakah Yang MengIslamkan Bangsa Monggol…”

Kita biasa dengar mengenai Islamnya bangsa Monggol, tapi kita jarang dengar siapakah yang mengIslamkannya. Hari ini kita akan berkongsi kisah seorang yang sangat berjasa di dalam dunia Islam, orang yang berusaha mengIslamkan bangsa Monggol, dia adalah Syeikh Saifuddin al-Buharzi.

Syehikh Buharzi berasal dari wilayah Horasan (kini di bawah Negara Iran). Dia seorang yang sangat alim dan tinggi ilmunya. Jiwa muda yang dahagakan ilmu menjadikannya sentiasa merantau dari satu tempat ke satu tempat, dari satu guru ke satu guru hinggalah beliau bertemu dengan guru yang menjadi pembimbingnya iaitu Syeikh Najmuddin al-Kubra di Khuraizm (kini di bawah Turkeminstan).

Syeikh Buharzi belajar dan mendapat bimbingan dari gurunya ini hinggalah ketika monggol mula menyembelih umat Islam di Negara mereka.

Ketika Monggol mula sampai ke Khuraizm, dia member amaran agar penduduk meninggalkannya. Syeikh Najmuddin memilih untuk keluar berjuang hingga syahid dari meninggalkan dari tanahairnya. Dia kemudia memilih dua orang anak muridnya, salah seorangnya ialah Syeikh Saifuddin al-Buharzi.

“Aku perintahkan kamu agar keluar dari Khuraizm ini, pergilah kamu ke Bukhara dan di sana, ada tanggungjawab besar yang kamu akan laksanakan” kata Syeikh Najmuddin al-Kubra kepada muridnya ini.

Dengan hati yang berat, mentaati perintah gurunya, Syeikh Buharzi meninggalkan guru dan rakan seperguruannya menuju ke Bukhara. Tentera Monggol kemudiannya memasuki Khuraizm dan ramai ulama keluar berjuang dan akhirnya syahid. Syeikh Najmuddin al-Kubra syahid pada tahun 1221 masihi dan dimakamkan di Konya Urgench di Wilayah Dashoguz di Turkmenistan

Syeikh Buharzi tinggal di Bukhara sehinggalah Asia Tengah ini diperintah oleh cucu Gengis Khan, dari anaknya Chagatay iaitu Bayan-Quli Khan. Umat Islam ketika itu melihat pentingnya mengIslamkan pemerintah Monggol ini. Banyak utusan dirancang dan setiap kali utusan dakwah sampai ke Bayan- Quli Khan, pasti pulang dengan badan yang bercerai dari kepala.

Syeikh Buharzi merancang dan menghantar lagi utusan-utusan dakwah ini, hinggalah akhirnya, beliau membuat keputusan untuk memimpin sendiri rombongan dakwah ke Istana Bayan-Quli Khan.

Ketika Bayan-Quli Khan melihat wajah Syeikh Buharzi, terasa sejuk dihatinya. Dan ketika itu, untuk pertama kalinya, Bayan berkenan untuk bertanya kepada Syeikh Buharzi...

“Terangkan padaku, siapakah Tuhan?”

Surah Ikhlas di bacakan di hadapan Bayan Quli Khan, dan dengan muqaddimah soalan ini, banyak lagi soalan yang diajukan hingga kerap syeikh Buharzi mengunjungi Istana Bayan Quli Khan.

Akhirnya, tertarik dengan setiap jawapan yang diberikan oleh Syeikh Buharzi, Bayan Quli Khan mengucapkan dua kalimah syahadah, ikrar yang sama bagi setiap umat Islam di dunia ini.

Benarlah kata, Syeikh Najmuddin al-Kubra, hari itu, Syeikh Buharzi telah menunaikan satu tanggungjawab yang besar untuk umat Islam yang sebelum ini berjuang dengan darah ketika berhadapan dengan tentera Monggol ini.

Selepas membawa Bayan Quli Khan memeluk Islam, tidak lama selepas itu, syeikh Buharzi pulang bertemu Rabbnya.

Bayan Quli Khan menjadi pemerintah pertama dari kerajaan Monggol yang memeluk Islam. Setelah gurunya meninggal, dia menjadi pengembang Islam di dalam Negara-negara jajahan Monggol terutama daerah-daerah di kawasan Rusia.

Ketika hujung hayatnya, dia berpesan agar diwaktu kemangkatannya, penggantinya hendaklah memakamkannya di bawah kaki gurunya Syeikh Buharzi dan pada tahun 1358, ketika Bayan Qui Khan mangkat, dia disemadikan di Fathabad, di bawah kubur gurunya.

Berbahagialah ketiga tokoh ini, Syeikh Najmudin al-Kubra yang telah mendidik muridnya syeikh Buharzi,

Syeikh Buharzi yang telah berjasa mengIslamkan kerajaan Monggol dan Bayan Quli Khan yang akhirnya menjadi pengembang Islam di Negara-negar jajahan Monggol hingga akhirnya kerajaan Monggal menjadi Islam.

Semoga Allah berikah semangat mereka pada kita agar kita memelihara dan memperjuangkan agamaNya di akhir zaman ini, amin...

Al-fatihah buat diri kita, ibu dan ayah kita, keluarga kita dan khas untuk ketiga tokoh ini, Syekh Najmuddin, Syekh Buharzi dan Bayan Quli Khan......

“Sirah, Perjalanan Membina Sejarah”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Tashkent Palace Hotel, Tashkent Uzbekistan

2 Jamadil Awal 1432/5 April 2011 jam 7.30 pagi

IMG_7842

Masjid Sayfiddin Boharzi

IMG_7843

IMG_7853

Makam Syeikh Boharzi

IMG_7860

Makam Bayan Quli Khan, pemerintah Monggol yang Islam di tangan Syeikh Buharzi

IMG_7876

IMG_7858

Kenangan jemaah rombongan di hadapan masjid Buharzi

Monday, April 4, 2011

Jom Kongsi Pengalaman 69 – “Tandas Di Uzbekistan..”

Saya ingin kongsikan mengenai tandas di sini. Ia merujuk kepada tandas di bandar Bukhara dan bukan di kampung-kampung atau tempat lain

IMG_7788

Budaya orang Islam di sini ialah, mereka akan menggunakan kaedah istinjak dengan kertas berbanding air. Jadi, walaupun di masjid, amat jarang ada paip air, gayong kecil digunakan untuk orang yang mahu menggunakan air di dalam bersuci

IMG_7789

di dalam tandas di sini, akan disediakan tuala untuk mengelap muka dan kaki selepas berwudhuk. Warna merah untuk mengelap muka dan warna hijau untuk mengelap kaki

IMG_7790

setelah digunakan, pengguna akan meletakkannya ke dalam tong yang disediakan untuk dibasuh

IMG_7791

ada tempat menggantung beg dan baju di sini

IMG_7792

tuala yang telah digunakan akan dibasuh dengan mesin basuh dan akan disidai

IMG_7794

apa yang menarik, tingkap pada tandas di sini juga di pasang dengan jeriji besi, barangkali takut kalau ada orang mencuri-curi buang air…

“Pengalaman Asas Hikmah”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Asia Hotel Bukhara Uzbekistan

1 April 2011 jam 9.30 malam(waktu tempatan)

Saturday, April 2, 2011

Diari 304 – “Catatan Perjalanan Ke Uzbekistan 2011..”

30 Mac 2011, hari ini saya bertolak bersama rombongan seramai 31 orang ke Uzbekistan.

Jam 8.00 malam, saya mula keluar dari rumah ke KLIA. Hari ini, program saya agak penuh. Jadi, jam 7.00 petang masih lagi di Shah Alam bermesyuarat. Di lapangan terbang antarabangsa ini, saya bertemu dengan ahli rombongan yang lain.

Kami mula masuk ke dalam perut kapal dan jam 10.35 malam, kapal mula bergerak perlahan-lahan. Penerbangan malam ini agak banyak, oleh itu, kapal kami terpaksa menunggu giliran untuk terbang seakan anak-anak darjah satu berbaris untuk membeli makanan ketika rehat. Jam 10.55 malam, kapal mula meninggalkan KLIA. Dari atas saya melihat keindahan lampu-lampu menghiasi bumi Malaysia. Begini agaknya bumi Malaysia dari mata burung.

Penerbangan ke Uzbekistan mengambil masa lebih kurang 7 jam. Bertolak jam 10.55 malam, jam 6.10 pagi waktu Malaysia ( 3.10 pagi waktu Uzbekistan) kami telah sampai di Tashkent. Beza waktu di sini dengan Malaysia ialah 3 jam.

Kami telah ditunggu oleh Aziz Khan, pemandu pelancung kami di sini. Setelah semua urusan beg selesai, kami dibawa ke terminal domestik untuk penerbangan selanjutnya ke Bukhara.

Waktu subuh di sini ialah jam 4.45 pagi. Dengan kesejukan bandar Tashkent serendah 12 darjah celsius, kami menyempurnakan wudhuk dan mencari arah kiblat untuk bersolat.

Saya mengambil kompas untuk melihat arah kiblat, di Uzbekistan, kordinaat bagi kiblat adalah 14.

Seorang pegawai imigresn menghampiri kami..

“Musalman?” (Islam ke?) katanya

“Namaz.. namaz..?” (solat-solat…?) katanya lagi.

Saya hanya menganggukkan kepala. Dia kemudian menunjukkan arah kiblat di dalam lapangan terbang ini, ia lurus dan terdapat satu papan tanda berwarna hijau. Papan tanda hijau itu menunjukkan arah kiblat tetapi di dalam tulisan yang kami tidak boleh baca.

“patutlah tak perasan.. sekali tulisan uzbek la…” kata saya pada ahli jemaah sambil tersenyum.

Lapangan terbang di sini tidak ada surau. Tetapi tidak ada halangan untuk bersembahyang di mana sahaja. Kita boleh bersembahyang di ruangan legar di sini.

Untuk mengambil wudhuk tidak ada masalah kerana tandas tidak berapa jauh. Tetapi untuk masuk ke dalam tandas dikenakan bayaran 500 soom ( lebih jurang 75 sen)

Berbeza dengan lapangan terbang Casa Blanca Morocco, suraunya ada tapi bilik air sangat jauh untuk mengambil wuduk. Tapi di dalam surau terdapat banyak batu-batu. Batu itu digunakan untuk bertayammum. Di Morocco, fiqah mereka mazhab Maliki, menurut Maliki, para pemusafir boleh menggunakan batu untuk bertayammum jika dalam musafir.

Matawang di sini bernama Soom. Satu dolar bersamaan dengan dua ribu Soom bermakna seribu som besamaan dengan RM 1.50 Rata-rata wang kertas di sini adalah seribu soom.

Kalau kita menukar USD 100, kita akan dapat 200 ribu soom dan sudah tentu kita akan membawa sebemban wang itu ke sana sini.

Kami bertanya dengan Aziz pemandu pelancong, apa kami boleh beli dengan seribu soom ini? Spontan Aziz menjawab:-

“Kalau di Tashkent, kamu boleh masuk dua kali ke tandas, tapi kalau di Bukhara, kamu boleh masuk 5 kali dalam tandas dengan 1000 soom”

Kami semua tersenyum mendengar gurauannya.

Kami menunggu, untuk menaiki flight ke Bukhara dan pada jam 7.00 pagi kami mula naik ke kapal. Jam 7.15 pagi, kami mula meninggalkan Tashkent.

Penerbangan domestik tidak menggunakan kapal besar, bukan Boeing atau Airbus, tetapi kapal terbang jenis IL-114-100 atau seakan penerbangan Firefly di Malaysia. Kapal terbang berkipas ini menerobosi awan dan mudah bergegar. Ia seperti kereta kalau melanggar jalan berlekuk. Tetapi kapal kecil macam ni lebih selamat kerana jika enjin bermasalah, ia akan dapat melayang dan tidak terus menjunam dan terhempas seperti kapal besar.

Jam 8.40 pagi, kapal mula merendah dan “gddeeek” bunyi tayar mula dikeluarkan.

Jam 8.45 pagi, kami mula mendarat dengan selamat dan Alhamdulillah….

“Selamat Datang Ke Bukhara, Negeri Di Sebalik Sungai..”

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Asia Hotel Bukhara Uzbekistan

27 Rabuiyl Akhir 1432/ 1 April 2011 jam 2.30 petang

IMG_7572

Solat di ruang legar lapangan terbang

IMG_7573

arah kiblat, warna hijau di gunakan dan warna hijau memang sinonim dengan warna Islam

IMG_7579

teknologi Russia, bas berkepala lori

IMG_7580

ketika waktu dhuha, matahari naik segalah, kami meninggalkan Tashkent

IMG_7588

Penerbangan kapal cargo MAS

IMG_7590

Penerbangan domestik hanya menggunakan kapal kecil

IMG_7595

lapangan terbang Bukhara

IMG_7596

Selamat datang ke Bukhara, laluan sutera sejak ribuan tahun lepas…

IMG_7621

Untuk tukar USD 100, kita akan dapat 200 ribu Soom…

Friday, April 1, 2011

al-Ijabah 91 – “Kisah Tanah Bagi Kompleks Yayasan al-Ijabah..”

Jumaat 25 Mac 2011 jam 4.00 petang, saya menghadiri satu mesyuarat mengenai tanah untuk pembangunan kompleks Yayasan al-Ijabah di Puchong.

Sekarang ini, asrama perempuan Alhamdulillah, telah siap diduduki, asrama lelaki semakin di perbaiki. Tumpuan saya bagi tahun 2011 ini ialah membangunkan tanah 2 ekar di Puchong. Dua ekar ini akan dibangunkan kompleks Yayasan al-Ijabah.

Tapi, pembangunan di Puchong sangat laju, kerana kawasan di Kampung Kuala Sungai Baru adalah tanah orang Melayu yang masih tinggal. Di kanan kirinya telah terbangun bandar-bandar dan perumahan Putra Heights, Subang Jaya, Puchong Perdana dan sebagainya. Ia akan menjadi seperti Kampung Baru di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur.

Tanah yang kita beli 4 tahun lepas sekarang sudah menjadi hampir setengah juta seekar. Nasib baik keputusan untuk membelinya empat tahun lepas dibuat.

Tapi satu perkara terjadi ketika pelan pembangunan dibentangkan. Sebanyak 11 ekar tanah di sini akan diambil kerana akan menjadi laluan landasan dan stesen komuter. Dan tanah kompleks kita terkena sedikit.

Saya menemui peguam yang menguruskan tanah kita sejak awal dari Tetuan Shahrizat, Rashid & Lee di Damansara.

Agenda perbincangan tertumpu kepada perihal tanah kompleks Yayasan al-Ijabah yang mungkin akan terkena di dalam perancangan pembangunan di Puchong.

Walaupun terkena sedikit, tetapi ia tetap kena diuruskan menelusuri saluran undang-undang.

Semoga semua dipermudahkan Allah dan semoga usaha memulakan pembangunan kompleks Yayasan al-Ijabah tahun 2011 ini akan bermula.

“al-Ijabah, Bersatu Kita Berbakti”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Asia Hotel Bukhara Uzbekistan

31 Mac 2011 jam 6.40 petang (waktu tempatan)

IMG_7528

Di ruangan menunggu Tetuan Shahrizat, Rashid & Lee di Damasara

IMG_7531

Berbincang perihal tanah Yayasan al-Ijabah

Bicara Ilmu 27 – “Jenis Komunikasi Di Dalam Rumah Tangga..”

Isnin, 28 Mac 2011, jam 10.00 pagi, saya bersama dengan DJ Fairuz di dalam IKIM membicarakan mengenai “Hak-Hak Wanita Dalam Islam dan Undang-Undang”

Sebenarnya, saya akan bersama para pendengar di IKIM setiap hari Isnin minggu ketiga dan keempat, tetapi pada minggu ketiga lepas, saya belum pulang lagi dari tanah suci, jadi, perbicaraan minggu ketiga adalah ulangan bulan lepas.

Saya ingin kongsikan perbincangan yang dikongsikan minggu ini.

1. Kita mulakan perbincangan kita tempohari dengan ayat al-Quran surah Rom ayat 21 yang bermaksud:-

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan dan kebesaranNya ialah Dia menciptakan untuk mu pasangan suami isteri dari jenis mu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram antara satu sama lain, dan dijadikan di antara mu rasa kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."

Perkataan “supaya kamu cenderung dan merasa tenteram antara satu sama lain” apabila antara pasangan sentiasa meningkat keimanan, sentiasa memperbaiki diri dan sentiasa berusaha menjalankan tanggungjawab. Jika tiga perkara ini ada barulah akan dikurniakan “Mawaddah wa Rahmat” (kasih sayang dan belas kasihan).

2. Kita juga membincangkan jenis-jenis komunikasi di dalam keluarga. Ada lima jenis komunikasi dan kita sempat membincangkan tiga daripadanya.

i. komunikasi spontan

kadang kala, antara suami isteri ada komunikasi spontan mereka. Sebagai contoh, jika isteri kata “abang, kalau kita buat macam ni bagus tak?” dengan spontan suami akan menjawab “ ah! Awak orang perempuan apa tahu!”

kemudian, dia memikirkan kembali apa yang dikatakan oleh isterinya.

Jadi para isteri jangan berkecil hati jika ada komunikasi spontan begini. Cara nak berhadapan ialah berbicaralah dengan pasangan dengan ringkas dan padat, jika ada komuikasi spontan jangan layan dengan pergaduhan, nanti pergaduhan itu tidak akan habis.

ii. Komunikasi semburan

Hak ini berlaku jika pasangan bergaduh di dalam satu bab dan tidak bertegur. Sekali sekala jika berlaku komunikasi, maka suami akan jadikan ia jalan untuk menyampaikan tidak puas hatinya. Sebagai contoh isteri pernah bergaduh bab ungkit mengungkit perihal suami sehingga suami merasa isteri tidak menghormatinya lagi. Kemudian, setelah pergaduhan sejuk, isteri meminta izin pada suami untuk keluar dan apa kata suami…

“dah tak payah dah nak minta izin pada saya dah, awak nak tertungging atau terlungkup ke, dah tak payah beritahu saya”

Komunikasi sebegini jangan diambil endah kerana ia hanyalah peluang bagi suami untuk meluahkan tidak puas hatinya.

Nanti kalau isteri tak minta izin keluar, dia akan ungkit-ungkit pula..

“ha… tengok, bukan nak minta izin kalau keluar tu…”

Akhirnya isteri akan keliru. Untuk berhadapan dengan komunikasi sebegini, kena ambil masa bersama suami dan berkata dari hati ke hati mengenai tidak puas hatinya pada pasangan, selagi tidak puas hati itu tidak diubat, maka selagi itu komunikasi sebegini akan berlaku.

iii. Komunikasi bersilang– lain tafsiran

Kadang-kala, seorang isteri nak bergurau dengan suami, tapi suami tidak merasa ia satu gurauan malahan dia rasa isteri menyindirnya, isteri tidak hormat dan sebagainya.

Sebagi contoh, isteri bergurau.. “abang sekarang memang nampak gemuk sikit”

Tapi suami merasa ia satu sindiran “awak kata saya gemuk!”

“Abang ni, takkan tak nampak, kata isteri

“awak ni, mentang-mentang saya dah tua, awak kata saya tak nampak ye....” jawab suami pula.

Kalau berlaku komunikasi sebegini, maka pasangan perlu tahu apa sensitiviti pasangan dan kena lebih peka.

InsyaAllah, kita akan sambung lagi perbincangan ini di dalam IKIM pada minggu ketiga dan keempat bulan April nanti, insyaAllah.

“Ilmu Pelita Hidup”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Asia Hotel Bukhara Uzbekistan

31 Mac 2011 jam 6.22 petang (waktu tempatan)

IMG_7555

bersama DJ Fairuz

IMG_7556

Hari ini, kita membincangkan mengenai jenis komunikasi di dalam rumah tangga

IMG_7558

insyaAllah, saya akan bersama sidang pendengar pada setiap hari Isnin minggu ketiga dan keempat

IMG_7571

semoga memberi manfaat kepada semua…

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...