Thursday, January 13, 2011

Diari 274 – “Amanah Dari IKIM…”

“Haiii… susah betul nak jumpa ustaz ni” kata DJ Fairuz ketika saya bermesyuarat dengan beliau di IKIM pada 12 Januari 2011 jam 12.30 tengah hari.

Tak mampu nak jawab apa-apa, tersenyum saja lah…

Hari ini sebenarnya, saya dan DJ Fairuz membincangkan mengenai satu slot yang akan diamanahkan pada saya di Radio IKIM.

Slot ini akan membincangkan mengenai hak-hak wanita menurut Islam dan Undang-undang. InsyaAllah ia akan keudara pada setiap hari Isnin minggu ketiga dan keempat.

Rancangan ini akan bermula pada hari Isnin 24 Januari 2011 bermula jam 10.15 pagi hingga 11.00 pagi.

Ia satu rancangan yang interaktif iaitu para pendengar boleh berkomunikasi langsung bersama saya melalui telifon.

Semoga ia memberi manfaat untuk saya dan seluruh yang mendengar.

Sesungguhnya, mengetahui hak-hak kita akan menjadikan kita lebih menghormati diri kita dan menghormati orang lain. Dan dengan budaya menghormati inilah akan menjadikan sebuah rumah tangga itu rukun dan damai.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

8 Safar 1432/13 Januari 2010 jam 2.50 pagi

IMG_4729

IKIM antara wadah untuk pendengar meningkatkan ilmu

IMG_4720

Apa beza DJ dan penceramah? DJ lebih petah berceloteh…

IMG_4732

“Minggu depan boleh start ustaz?” kata DJ Fairuz menyakat saya. Terkedu sekejap saya. “Ala gurau aje ustaz, kita start dua minggu lagi ye..”

Universiti Kehidupan 183 – “Amanah Si Tukang Cuci…”

“Sinar Baru” itulah tajuk bagi program TV Hijrah.

Penerbitnya menghubungi saya untuk melihat Yayasan al-Ijabah mengendalikan dua rumah iaitu rumah anak yatim al-Ijabah dan rumah HIV Darul Ukhwah.

“Ustaz, kami nak ikut ke mana ustaz pergi, nak ambil gambar” kata pembantu penerbit.

“Mmm, kalau nak ikut saya kena awal sikit, lepas subuh dan kena ada di Darul Ukhwah Petaling Jaya, sebab saya akan terus ke Klang” kata saya yang mempunyai program ceramah di SMK Bandar Baru Sultan Sulaiman Pelabuhan Klang pada hari ini iaitu Jumaat 7 Januari 2011 jam 8.00 pagi.

Kami sama-sama bersarapan pagi di Darul Ukhwah.

Warga SMK Bandar Baru Sultan Sulaiman Pelabuhan Klang gempar ketika saya memaklumkan bahawa TV al-Hijrah ingin bersama bertandang ke tempat mereka.

Sebenarnya, saya jarang menerima jemputan dari sekolah kerana kebiasaannya, “Sound System” di sesebuah sekolah kurang baik, jadi kebiasannya, ketika ceramah, para pelajar tidak dapat menumpukan perhatian pada ceramah kerana tidak dapat mendengarnya, hasilnya, penceramah terpaksa meninggikan suara supaya dapat didengar oleh pelajar, tetapi  pelajar tetap juga  bising.

Kalau perkara ini berlaku, pelajar pun kurang dapat manfaatnya, penceramah pun akan letih kerana terpaksa memekik sepanjang ceramah.

Tetapi, “sound system” SMK Bandar Baru Sultan Sulaiman ini memang terbaik….

Barangkali, ada cikgu atau anggota PIBG yang mahir di dalam hal-hal pembesar suara ini.

Satu lagi yang saya puji sekolah ini ialah kadar kebersihannya yang baik. Tak ada sampah sana dan sini.

Ketika anak buah saya bertanyakan pada salah seorang guru di sini mengenai rahsia kebersihan, guru ini menjawab:-

“Entahlah, tak ada apa rahsia, cuma cleaner (tukang cuci) sekolah ni memang rajin buat kerja”.

Jawapan ini benar-benar membuatkan saya tersenyum menahan gelak tapi kita dapat mempelajari satu perkara…

“Mmmm.. betul juga tu, jadi kalau nak suasana sekolah sentiasa bersih, carilah tukang cuci yang amanah di dalam tugas mereka” kata saya sambil tersenyum.

Memang, nilai sebuah amanah sangat penting. Kita akan sentiasa maju kalau setiap anggota masyarakat menjaga amanah yang diberikan.

Di dalam hadis, Nabi SAW pernah mengatakan bahawa di antara ciri orang munafiq ialah apabila dia diamanahkan sesuatu maka dia akan mengkhianati amanah itu.

Bayangkan, jika hanya dengan tukang cuci yang amanah dapat mencerikan sebuah sekolah, bagaimana jika pemimpin amanah, pekerja amanah, penguatkuasa amanah, pendakwa amanah, dan semuanya sentiasa amanah, sudah tentu akan membentuk sebuah tamadun yang luar biasa hebatnya.

Sekecil tugas sebagai pencuci pun nampak hasilnya secara zahir, apatah lagi jika tugasan yang lebih besar.

Apa pun, tahniah pada SMK Bandar Baru Sultan Sulaiman Pelabuhan Klang di atas segala usaha menjadikan sekolah anda cemerlang dan tahniah juga pada krew TV al-Hijrah kerana kedatangan anda menjadikan warga sekolah ini lebih bersemangat.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Zaman”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

8 Safar 1432/13 Januari 2010 jam 2.20 pagi

IMG_4616

Krew al-Hijrah yang bersama pagi ini.

IMG_4586

Tajuk ceramah ini ialah “Hijrah Nabi”

IMG_4567

Tajuk “Hijrah”, TV Hijrah, kalau anak di sini tak dapat hijrah lagi, tak tahulah….

IMG_4581

Kalau “sound system” baik, pelajar akan dapat menumpukan perhatian dengan baik dan banyak manfaat dapat dikongsikan.

IMG_4579

Penceramah pun tidak letih kerana tidak perlu memekik untuk berusaha orang belakang mendengarnya

IMG_4613

Kenangan di SMK Bandar Baru Sultan Sulaiman

al-Ijabah 83 – “Mesyuarat Dua Sayap Yayasan al-Ijabah dan.. saya menyedari satu perkara…”

6 Januari 2011, dengan izinNya jua, saya memimpin mesyuarat dua kompenan besar Yayasan al-Ijabah iaitu rumah HIV muslim pada jam 9.30 pagi  dan juga rumah anak yatim dan tahfiz al-Ijabah pada jam 4.00 petang.

Bagi perancangan rumah HIV Darul Ukhwah, Alhamdulillah, kepercayaan pihak hospital semakin baik hingga rumah Darul Ukhwah menjadi rujukan kepada pesakit baru.

Kini, Darul Ukhwah telah melangkah setapak kehadapan apabila menerima kehadiran pesakit HIV perempuan. Dan dengan izinNya jua, rumah Darul Ukhwah perempuan telah ada.

Cabaran untuk melangkah bagi tahun 2011 ini ialah tenaga sukarelawan untuk bersama-sama di dalam usaha ini.

Kesedaran masyarakat Islam kita di Malaysia pada isu kebajikan memang tinggi, cuma kita memerlukan cara untuk menyatukan tenaga-tenaga yang terbiar.

Cuba banyangkan, di tempat penjagaan orang bukan Islam, sukarelawan dari bidang perubatan tidak putus sama ada yang datang dari dalam negeri mahupun luar negeri.

Kita ramai dan banyak, tetapi usaha menyatukan tenaga ini masih agak lemah. Semoga tahun 2011 ini, Darul Ukhwah dapat menarik lebih ramai lagi tenaga-tenaga sukarelawan untuk berkhidmat demi agama.

Bagi perancangan rumah anak yatim dan tahfiz pula, mesyuarat telah di adakan di Maahad Sains al-Quran al-Amin di Kompleks 3C Bandar Baru Sunway.

Alhamdulillah, perbezaan rumah anak yatim dan tahfiz kita dengan tempat lain ialah, kita cukup menjaga pelajaran dan pendidikan akhlak mereka. Walaupun usaha terus di maksimakan, cabaran tetap ada kerana usaha mendidik bukan semudah memetik jari dan terus jadi.

Progaram-program terus dirancang, dengan rutin majlis selawat, hafalan al-Quran, hinggalah kepada aktiviti sukan lasak.

Ketika mengendalikan dua institusi pendidikan iaitu rumah al-Ijabah dan Maahad Sains al-Quran al-Amin, saya menyedari satu perkara…

Ramai rupanya anak-anak remaja yang sedang gagal dari sudut pentarbiahan dan akhlak mereka. Tidak sedikit yang ingin masuk ke dalam Maahad Sains al-Quran dan juga rumah Ijabah adalah anak-anak yang telah luar biasa “mazmumahnya”, dengan kes dibuang dari sekolah, kes tak mahu ke sekolah, kes telanjur dan seribu satu kes yang mungkin tidak pernah kita dengar ketika kita kecil dahulu.

Saya rasa, sudah sampai waktunya, kita semua memikirkan untuk mengadakan sebuah institusi pendidikan bagi anak-anak sebegini. Kalau bahasa yang agak lurus ialah rumah pemulihan, atau pun boleh kita namakan rumah pentarbiahan.

Kita tidak boleh biarkan golongan seperti ini, kerana mereka anak bangsa kita, anak muslim kita. Kalau seorang dari mereka rosak bermakna muslim kehilangan satu pemimpin masa depan.

Kalau nak ikutkan hasrat, gunung mahu kita peluk, tetapi apakan daya tangan tak sampai, kalau mahu diikutkan hasrat, semua benda rasa bertanggungjawab nak buat, tapi apa kan daya, kemampuan yang ada setakat ini sahaja.

Tapi kita pohonkan pada Allah agar satu hari nanti Allah berikan kemampuan untuk membuat satu sayap pendidikan bagi anak-anak bermasalah. Semoga niat yang baik terus diperbaiki oleh Allah, amin….

“Al-Ijabah, Bersatu Kita Berbakti”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

8 Safar 1432/13 Januari 2010 jam 1.30 pagi

IMG_4536

Mesyuarat rumah HIV Darul Ukwah di Shah Alam

IMG_4519

Meneliti setiap perancangan yang telah digariskan

IMG_4526

SKT (Sasaran Kerja Tahunan) bagi Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah.

IMG_4538

Adat mesyuarat bagi program kebajikan, ada kalanya tersenyum bersama, adakalanya menangis bersama.

IMG_4543

Pada waktu petang, membincangkan pula mengenai rumah anak Yatim al-Ijabah dan perjalanan Maahad Sains al-Quran al-Amin

IMG_4545

Saya menyedari satu perkara, kita sekarang memerlukan sebuah institusi pendidikan tarbiah kerana terlalu ramai ibu ayah yang memerlukan, doakanlah sama-sama, demi anak-anak umat Islam khususnya di Malaysia ini…

Diari 273 – Perjalanan Vietnam 2011

9 Januari 2011, inilah kembara pertama Universiti Kehidupan pada tahun 2011.

Jam 7.00 pagi, saya telah bersiap-siap menuju ke KLIA, hari ini saya akan bertolak ke Ho Chi Minh City. Kalau ayah atau datuk kita dulu lebih mengenalinya dengan nama Saigon.

Ia telah ditukar nama mengambil sempena nama pemimpin revolusi Vietnam yang kemudiannya menjadi presiden Vietnam pada tahun 1946 hingga 1969.

Saya sampai di Ho Chi Minh City jam 12 tengah hari waktu tempatan. Agak lambat kerana kelewatan penerbangan di sebabkan masalah teknikal. Waktu di sana kurang sejam dari Malaysia.

Saya telah ditunggu oleh sahabat saya, Ustaz Halim, seorang ustaz lulusan Madinah yang kini bekerja di kedutaan Kuwait.

Komunikasi dengan Ustaz Halim hanya dapat dibuat dengan bahasa Arab. Beliau tidak tahu bahasa Melayu dan hanya sedikit bahasa Inggeris.

Kehadiran saya ke Indo China ini ialah untuk menyusun perjalanan “travel” ke sini. Baru-baru ini, saya telah mengambil alih sebuah Travel Agent yang diamanahkan pada saya.

Perjalanan ini mungkin tidak pernah disusun oleh mana-mana “travel” sebelum ini.

Kita biasa berjalan ke negara-negara seperti ini, tetapi kita jarang mengembara dengan mengadakan hubungan sesama orang Islam hingga dapat mewujudkan berbagai perkara antara muslim.

Bermula dengan hanya berjalan dan menziarahi mereka, kita boleh mewujudkan kerjasama ekonomi sesama muslim walaupun mungkin pada permulaannya secara kecil-kecilan.

Di Vietnam terkenal dengan kain yang cantik dengan berbagai warna dan kualiti. Begitu juga dengan tenaga buruh untuk menjahit. Memang ada sebelum ini, ada orang dari Malaysia mengambil baju kurung, telekung dan sebagainya dari sini, tapi kebanyakkannya dari orang bukan Islam.

Dengan perjalanan yang saya cuba susun ini insyaAllah, kita akan mengenali kawasan muslim dan mungkin dapat mewujudkan kerjasama ekonomi.

Selain itu, kita boleh juga menguruskan korban atau aqiqah di sini kerana kebanyakkan orang Islam di sini juga agak susah. Lagi pun harga lembu atau kambing di sini tidaklah semahal di Malaysia.

Pendek kata, banyak lagi yang sedang disusun. Kemuncaknya, semoga Allah mengizinkannya.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

8 Safar 1432/13 Januari 2010 jam 12.45 tengah malam

IMG_4625

Sesampainya saya di Ho Chi Minh, bendera parti Komunis berada di mana-mana, tidak sampai sebulan, Vietnam akan merayakan hari Kebangsaan mereka.

IMG_4626

Ho Chi Minh terkenal dengan kenderaan motorsikal

IMG_4640

Bangunan yang sedang dibuat seakan menara Rebung di Malaysia

IMG_4642

Patung Tran Hung Dao seorang bangsawan dan jenderal pada masa Dinasti Tran. Ia terkenal karena keberhasilannya menghalau Monggol atas negerinya yang menjadikannya salah satu pahlawan nasional Vietnam pada kurun ke 12 masihi.

IMG_4646

Peniaga kaki lima

IMG_4648

Penjual benih dan anak pokok bunga

IMG_4649

gelagat peniaga, budaya berniaga agak tinggi di sini.

IMG_4652

Muzium perang

IMG_4663

Saigon Square, antara pusat membeli belah di sini.

IMG_4656

Kedai yang membuat baju-baju kurung untuk pasaran Malaysia

IMG_4662

Kawasan baju yang harganya jauh lebih murah

IMG_4639

Setelah menyusun perjalanan “Travel” ini, saya melihat juga bagaimana untuk menghantar barang balik ke Malaysia.

Tuesday, January 4, 2011

al-Ijabah 82 – Mesyuarat Rumah HIV Bersama YB Rodziah

Di kesibukan menguruskan anak-anak Ijabah dengan persekolahan mereka, hari ini 4 Januari 2010, saya dipanggil oleh YB Rodziah, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Kebudayaan bagi membincangkan mengenai rumah HIV Muslim Darul Ukhwah.

Pagi ini, saya menyempurnakan ceramah di Yayasan Restu, jam 11.00 pagi, saya telah berada di pejabat exco Kerajaan Negeri Selangor tingkat 2 bangunan SUK.

Sampai sahaja di sana, saya dimaklumkan bahawa YB dalam perjalanan dari Klang kerana menghadiri mesyuarat di Klang.

Jam 11.30, pagi YB melangkah masuk ke dalam pejabatnya,

“Maaf ye, saya lambat” katanya dengan senyuman.

Bersama saya kala ini ialah En. Shahrul, wakil dari Majlis Bandaran Shah Alam. Kami memulakan mesyuarat mengenai cadangan rumah HIV di Shah Alam.

YB sangat menyokong cuma cadangan tempat yang diberikan oleh MBSA di Sek 17 kurang dipersetujui.

“Nanti saya akan bantu untuk melihat ditempat-tempat lain ye ustaz” kata YB.

“Tak kisah YB, asalkan jangan jauh sangat dari Shah Alam ni, sebab kalau jauh kita akan menghadapi masalah sukarelawan yang ingin sama-sama berkhidmat” kata saya.

Mesyuarat di tamatkan pada jam 1 tengah hari.

“InsyaAllah, dalam dua minggu lagi, kita akan meeting lagi” kata YB.

Mudah-mudahan, Allah memberikan kemudahan di dalam urusan ini dan semoga ia mendapat sokongan dari semua pihak, untuk kepentingan agama kita, amin….

“al-Ijabah, Bersatu Kita Berbakti”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

29 Muharram 1432/ 4 Januari 2010 jam 2.45 petang

IMG_4483

YB sangat positif, semoga terus dipermudahkan….

Bicara Ilmu 23 – “Tahun Baru & Azam Bisnes Baru Di Astro Awani…”

Saya bersama dengan Shahabudeen Jalil telah dijemput untuk menjadi tetamu jemputan di dalam Astro Awani pada 3 Januari 2010.

Tajuk perbincangan kami ialah “Azam Baru & Bisnes Baru.

Kami sampai ke Studio Astro jam 7.40 malam.

“Ada surau tak kat sini?” tanya saya pada pegawai bertugas.

“Sini tak ada, nak sembahyang di BSKL sana” jawabnya ringkas.

Kami turun dan jalan agak jauh, saya memandang Shahbudeen dengan hairan..

“Tak ada tempat solat ke?” kata saya.

“Habis tu…….!” tak mampu nak habiskan perkataan.

Kami bersiaran secara langsung pada jam 8.30 malam, membincangkan mengenai perniagaan, dan ini pertama kali dalam TV saya membincangkan satu tajuk yang tidak sepenuhnya perbahasan mengenai agama.

Perbincangan lebih tertumpu pada bagaimana seseorang ingin menjadi usahawan kerana menurut kajian dan data dari US Small Business Administration (SBA), 2/3 perniagaan baru, hanya hidup kurang dari dua tahun.

Dari 1/3 tadi pula, 44 peratus hidup kurang dari empat tahun.

Di mana silapnya?

Pengacara menekankan bahawa seorang ahli perniagaan memerlukan “gen” ataupun darah atau keturunan seorang ahli perniagaan.

Bagi saya secara peribadi, darah ahli perniagaan bukan faktor tunggal yang menjadikan seseorang itu menjadi usahawan, tetapi seorang ahli perniagaan perlu melalui proses usaha dan matang di dalam bidang perniagaan.

Tidak sedikit orang yang memulakan perniagaan dengan alasan yang salah, jika alasan perniagaan kita tidak kuat, maka kita tidak akan kuat menghadapi cabaran di dalam perniagaan.

Selain dari itu, pengurusan yang lemah juga menjadi faktor. Saidina Ali mempunyai kata-kata hikmah yang jitu :-

“Kebenaran tanpa peraturan akan dikalahkan dengan kebatilan yang berperatuaran”

Jadi, walau apa pun yang kita buat, pengurusan hebat akan melahirkan impak yang hebat.

Dari segi tauhid pula, kita perlulah meminta agar Allah mempermudahkan segala apa yang kita buat, kerana yang memberi kemudahan dan kesusahan itu adalah Allah.

Perbahasan kami tidak panjang, hanya dua puluh minit, tetapi pendekatannya seakan program “Tanyalah Ustaz” bezanya, soalan spontan datang dari pengacara, bukan penonton.

Jadi, kalau anda dijemput untuk ke Astro Awani, bersedialah untuk puluhan soalan cepu emas.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

29 Muharram 1432/ 4 Januari 2010 jam 2.15 petang

IMG_4471

Surau hanya ada di BSKL

IMG_4480

Studio Astro Awani

IMG_4473

Make Up bagi putih sikit si Shahabudeen ni…

IMG_4474

Perbincangan mengenai Bisnes..

IMG_4476

Seorang usahawan perlukan ilmu dan ketahanan di dalam perniagaan…

IMG_4481

Kenangan selepas program..

Diari 272 – “Mari Kembara Bersama Saya…”

Hujung tahun 2010 ada perkembangan terbaru, atau saya lebih suka menamakannya sebagai perkembangan di tahun baru Hijrah 1432.

28 Disember 2010, saya menghadiri mesyuarat di Alor Star mengenai sebuah Travel Agen yang ingin diamanahkan kepada saya.

Dari awal pertemuan, saya sering tertanya-tanya mengenai hajat seorang Dato’ yang ingin mengamanahkan Travel ini ,dan hari ini saya meluahkan pertanyaan itu kepadanya.

“Dato’ nak tanya sikit, kenapa Dato’ nak beri pada saya jalankan semua ini?”

“Ustaz, ustaz ingat saya mudah percaya pada orang ke? ustaz ingat semua orang saya beri kepercayaan ke?” kata Dato’ ini.

“Saya juga aliran agama ustaz, dan saya hanya percaya pada orang yang sealiran saya” katanya, seorang bekas pelajar Maktab Mahmud Kedah.

“Saya nak ustaz berjaya, dan saya serahkan Travel ini pada ustaz” katanya lagi.

Walaupun akadnya adalah jual beli, tetapi beliau seakan memberikan pancing pada saya di dalam usaha mengendalikan rumah anak yatim al-Ijabah dan rumah HIV Darul Ukhwah.

“InsyaAllah Dato’ saya minta tunjuk ajar ye..” kata saya seakan maksudnya “tujuk ajarku sifu…”

Dahulu, saya selalu memimpin jemaah untuk umrah atau kembara melalui Travel orang lain. Tapi hari ini, Allah telah memberi laluan untuk saya bergelanggang.

Atau barangkali, inilah hadiah Allah setelah berjaya membawa belasan anak yatim ke Mekah awal tahun 2010 baru-baru ini.

Nabi pernah berkata, sedekah pasti akan digandakan dan saya antara orang yang pernah menyaksikan perkara ini.

Entahlah, yang pasti, tahun 2011, kembara Universiti Kehidupan akan lebih aktif lagi dengan lingkungan yang lebih besar, kerana kita telah mendapat lesen untuk bergelanggang.

Pintaku padaMu Allah, agar terus Kau berkati usahaku ini, dan jika Engkau berikan ku peluang untuk beramal, berikan juga padaku keikhlasan, kerana tidak semua orang yang dikurniakan peluang beramal itu mendapat peluang untuk ikhas.

Aku terlalu hina untuk berbangga, bagiku tawadhuk lebih nikmat dari berbangga untuk dihargai. Apa sahaja yang Engkau tentukan, Aku pinta agar ia diredhai, dan apa sahaja yang kau aturkan, aku pinta agar ia terbaik untuk dunia dan akhirat, itulah yang NabiMu ajar kepadaku.

Yang lemah tetap lemah melainkan Kau kuatkan, dan yang kuat tetap kuat melainkan Kau lemahkan, dan di antara sulaman kuat dan lemah inilah, kau sentap hidup manusia untuk menghadapMu.

Semoga terbaik untuk semua, terima kasih Allah, izinkan aku untuk berterima kasih kepadaMu … amin…

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

30 Disember 2010 jam 11.30 malam

IMG_4261

Pemandangan pagi bumi Kedah dari langit

IMG_4263

Pertemuan pihak pengurusan dengan penyewa di Suq al-Bukhari, tempat pejabat Travel ini beroperasi

IMG_4264

Pihak pengurusan membincangkan beberapa isu bersama penyewa

IMG_4271

InsyaAllah, saya dan kekanda saya, Ustaz Jazlan akan mengendalikannya secara bersama

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...