Saturday, January 26, 2013

Universiti Kehidupan 240 – Makam Nabi Lut a.s

Rabu 16 Januari 2013..

Pada hari ini, saya dan rombongan berjalan menuju ke Hebron. Menurut orang Palestin, orang di Hebron terkenal dengan orang yang keras pendiran, sama seperti orang di Gaza. Di sini, kebanyakkan mereka memilih parti HAMAS sebagai pilihan.

Untuk mengenali orang Hebron agak mudah, mereka mempunyai bentuk badan yang lain dari orang di tempat lain di  Palestin, mata mereka kebanyakkan berwarna biru.

Setelah selesai melawat masjdi Khalili Ibrahimi, saya mengajak jemaah untuk pergi ke perkampungan Bani Naim.

Perkampungan Bani Naim tidak jauh dari Hebron. Di sini terletaknya makan Nabi :Lut a.s

IMG_0021 (Gambar : Masjid Bani Naim yang terdapat Makam Nabi Lut a.s)

Nabi Lut adalah anak saudara Nabi Ibrahim. Setelah peristiwa Nab Ibrahim di bakar di Ur Iraq, Nabi Lut telah beriman. Allah berfirman di dalam al-Quran surah al-Ankabut ayat 26 yang bermaksud :-

26. Maka Luth membenarkan (kenabian)nya. Dan berkatalah Ibrahim: "Sesungguhnya aku akan berpindah ke (tempat yang diperintahkan) Tuhanku (kepadaku); sesungguhnya Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana

Mereka berdua telah merantau ke bumi Syam bahagian Palestin.

Nabi Ibrahim di utus di kawasan Bir Sheba sedangkan Nabi Lut a.s telah di utus ke kota Sodum.

Kota Sodum terkenal dengan kota yang mewah tetapi penduduknya mengamalkan seks songsang iaitu homoseks.

Di dalam surah as-Syuaara ayat 165-168 Allah menyatakan yang bermaksud bahawa:-

165. Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki di antara manusia

(di dalam tafsir at-Tabari menyatakan bahawa kaum Lut mendatangi sesama lelaki dari dubur mereka)

 IMG_0016

(Gambar : Masjid Bani Naim dari dekat)

166. dan kamu tinggalkan isteri-isteri yang dijadikan oleh Tuhanmu untukmu, bahkan kamu adalah orang-orang yang melampaui batas".

(dalam tafsir al-Tabari menyatakan bahawa mereka bukan sahaja mendatangi dubur kamu lelaki tetapi kaum wanita dari mereka)

Setelah seruan Nabi Lut tidak dihiraukan dan perbuatan keji mereka semakin melampau, maka akhirnya Allah mengutuskan malaikat untuk menghancurkan kaum Nabi Lut a.s. Di dalam Surah Hud ayat ke 81 Allah berfirman yang maksudnya:-

81. Para utusan (malaikat) berkata: "Hai Luth, sesungguhnya kami adalah utusan-utusan Tuhanmu, sekali-kali mereka tidak akan dapat mengganggu kamu, sebab itu pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut-pengikut kamu di akhir malam dan janganlah ada seorangpun di antara kamu yang tertingga, kecuali isterimu. Sesungguhnya dia akan ditimpa azab yang menimpa mereka karena sesungguhnya saat jatuhnya azab kepada mereka ialah di waktu subuh; bukankah subuh itu sudah dekat?".

Ustaz Amin di Luar Makam Nabi Lut

(Gambar : Di hadapan masjid Makam Nabi Lut a.s di perkampungan Bani Naim)

Isteri Nabi Lut a.s adalah seorang yang mengingkari apa yang disampaikan dan akhirnya, isteri baginda Lut turut di hapuskan.

IMG_0026 (Gambar : Bangunan Masjid Makam Nabi Lut a.s)

Di dalam surah al-Qamar ayat 34 Allah telah berfirman dengan maksudnya :-

34. Sesungguhnya Kami telah menghembuskan kepada mereka angin yang membawa batu-batu (yang menimpa mereka), kecuali keluarga Luth. Mereka Kami selamatkan sebelum fajar menyingsing

Bumi telah diterbalikkan untuk mereka dan tempat itu telah menjadi tempat paling rendah di muka bumi iaitu laut mati.

IMG_0010

Maka Allah menyelamatkan Nabi Lut a.s ke tempat yang diberkati. Di dalam surah al-Anbiya ayat 71Allah telah berfirman yang maksudnya:-

71. Dan Kami seIamatkan Ibrahim dan Luth ke sebuah negeri yang Kami telah memberkahinya untuk sekalian manusia

Ustaz amin Di Makam Nabi Lut

(Gambar: di hadapan Makan Nabi Lut a.s)

Beginilah kisah Nabi Lut a.s.

Nabi Lut di makamkan perkampungan Bani Naim ini (Walaupun ada khilaf di tempat lain tetapi tanah yang diberkati di dalam al-Quran adalah merujuk al-Aqsa dan sekitarnya)

Perkampungan Bani Naim ini adalah perkampungan seorang sahabat Nabi SAW bernama Naim ad-Dari. Beliau adalah adik pada Tamim ad-Dari, seorang nelayan yang telah bertemu dengan dajjal.

Ketika para sahabat telah berjaya mengIslamkan negeri Syam termasuk Palestin dan sekitarnya, Saidina Naim ad-Dari membawa keluarganya tinggal di kawasan ini.

Abangnya Saidina Tamim ad-Dari pula tinggal di sekitar Hebron. Mereka memilih untuk tinggal di sini supaya keturunan mereka nanti dapat bersama-sama membantu Nabi Isa membunuh Dajjal kerana Tamim ad-Dari adalah seorang sahabat yang telah bertemu Dajjal yang dilaknat.

IMG_9995Nabi Lut a.s adalah seorang Nabi yang hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim, bermaksud ketika itu belum ada lagi Bangsa Arab dan Bani Israel. Kedua bangsa ini hanya wujud setelah zaman Nabi Ibrahim.

Sebab itulah makam ini tidak menjadi rebutan orang Yahudi. Ketika saya menziarahi makam ini, sebahagian makan ini telah rosak, Menurut penjaga makam ini, sebahagian pemuda Yahudi telah datang dan merosakkan makam ini.

Semoga Allah terus menjaga para AnbiyaNya, amin..

“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”

al-Faqir Ila Rabbbihi

Muhamad bin Abdullah

Sabtu 26 Januari 2012 jam 3.00 pagi

Friday, January 25, 2013

Universiti Kehidupan 239 - Pencuri Di Al-Aqsa

Jumaat 18 Januari 2013, selepas menunaikan solat Jumaat, saya membawa rombongan berjalan sekitar kota lama Jerusalem. 

Kemudian kami berjalan pulang ke hotel. Sampai di hotel, saya terus ke bilik untuk meletakkan beberapa barang sedangkan ahli jemaah yang lain terus ke dewan makan untuk makan tengah hari. 

Tidak lama selepas itu, saya turun ke dewan makan hotel, ada antara ahli jemaah yang telah selesai makan dan ada yang belum lagi.

Saya mengambil pinggan, menyenduk nasi putih dan memilih lauk pauk yang dihindangkan di dewan makan.

Baru tiga suapan, tiba-tiba seorang jemaah yang membangsakan dirinya sebagai Ibu Kiah menghampiri saya dengan nafas yang agak kencang..

"Ustaz, aduh ustaz..." kata Ibu Kiah.

Saya terus berpaling, "Kenapa? Ibu dah makan? tanya saya.

"Belum Ustaz...." kata Ibu Kiah. Mukanya agak panik.

"Pasport saya hilang ustaz.." kata Ibu Kiah.

"Hah...!" saya bingkas bangun. Nasi dan lauk yang berada di hadapan saya terus hilang dari ingatan.

"Kat mana last Ibu perasan pasport Ibu?" tanya saya lagi.

"Tadi ada sebelum Jumaat" kata Ibu Kiah.

Saya terus menghubungi Imam masjid al-Aqsa, Syeikh Yusuf Abu Sunainah sebab sebelum Jumaat kami ada menziarahi beliau di pejabat beliau. Mungkin ada terjatuh di sana.

Syeikh Yusuf agak terkejut, 

"Saya rasa tidak ada" kata beliau.

"Tak apa, cuba hubungi Maktab Hirasah (pejabat keselamatan) al-Aqsa" kata beliau memberi pandangan.

Nombor telah diberi, saya menghubungi Maktab Hirasah al-Aqsa. Nada dail berbunyi, tidak lama selepas itu telifon diangkat.

Saya bertanyakan passport.

"Ya ada pada kami" kata pegawai yang menjaga pejabat keselamatan al-Aqsa ini. 

""Macam mana kamu jumpa" tanya saya tidak sabar.

"Tak apa, datanglah kemari, nanti kami ceritakan" pegawai terbabit menerangkan.

Saya menarik nafas lega, tetapi belum lega sepenuhnya kerana belum tentu pasport ini Ibu Kiah yang punya. Mungkin orang lain punya.

Selera makan saya terus hilang, terus memikirkan kalaulah hilang macam mana, kita tidak ada kedutaan di sini. 

Saya terus bersiap, mengajak Ibu Kiah ke al-Aqsa...

Melangkah masuk ke al-Aqsa, saya semakin mempercepatkan langkah. Tak sabar ingin menghabiskan debaran yang datang. Ibu Kiah mengekori dari belakang. 

"Assalamualaikkum..." teriak saya dari luar pintu pejabat.

Salam saya dijawab.

"Haaaa, taali.. taaali (mari sini, mari sini) kata pegawai yang bertugas.

Kami melangkah masuk ke dalam pejabat, tidak berapa besar, tetapi punyai peranan besar di dalam mengkordinasi bahagian keselamatan di dalam masjid yang pernah di bakar oleh Yahudi.

Pegawai berkenaan mengeluarkan satu bungkusan plastik hitam, mata saya tertumpu pada plastik ini. Kemudian, dengan perlahan dia mengeluarkan satu beg kecil warna hijau tua.

"Ha,, inilah beg saya, dalam inilah pasport" kata Ibu Kiah.

Begi ini kosong, kemudian dari plastik hitam pegawai ini mengeluarkan satu buku kecil berwarna merah, tertulis di hadapannya "Pasport Malaysia".

Jantung saya macam kena elektrik, "Alhamdulillah....." spontan terlafaz dari mulut saya ketika Ibu Kiah mengesahkan bahawa memang ini pasportnya. 

"Tapi duit-duit dalam beg kecil ini sudah tidak ada" kata Ibu Kiah agak sedih.

"Tak apa Ibu, duit nanti boleh cari, asalkan pasport ini jumpa balik" kata saya.

"Ya, betul tu ustaz" kata Ibu Kiah. 

"Macam mana kamu boleh jumpa?" tanya saya pada pegawai tersebut.

"Kami minta maaf banyak-banyak dan kami rasa malu ia berlaku di dalam al-Aqsa" kata pegawai terbabit.

"Kenapa?" tanya saya hairan.

"Begi kecil saudari ini telah di seluk, dia tak perasan, salah seorang pegawai kami jumpa beg kosong dan pasport ini di buang di tong sampah" terang pegawai ini dengan wajah yang kesal. 

Saya tidak memberikan respons yang jengkel pada pegawai ini kerana di Mekah dan Madinah juga berlaku perkara seperti ini. 

"Selalu ke berlaku kes macam ini" tanya saya lagi.

"Tak selalu, tapi ada" terang pegawai ini lagi. 

"Tak apa, nanti saya maklmumkan pada jemaah di sini dan kami akan kumpul derma kilat untuk saudari ini" kata pegawai Hirasah al-Aqsa ini lagi.

"Tak apa, tak apa, terima kasih, kami sama-sama jemaah ada, terima kasih di atas pertolongan tuan-tuan" kata saya.

Kami bersalaman...

"Ibu Kiah, ibu pergi dulu ke masjid ye, saya nak rehat sekejap di lapangan al-Aqsa ini" kata saya pada ibu kiah dengan nada yang rendah.

"Nanti kita jumpa lepas Maghrib ye" kata saya lagi. Maghrib berbaki 40 minit. Saya merebahkan dahi sujud syukur di atas lapangan al-Aqsa. Baru terasa lapar dan penat.

Selesai sujud syukur, saya hanya duduk di lapangan al-Aqsa menanti azan. 

Ini baru barang hilang di dunia, macam mana kalau amalan hilang dituntut oleh orang lain ketika perhitungan di akhirat.

Saya merenung jauh, jauh mengambil iktibar dari peristiwa ini, susah di dunia, susah lagi di akhirat jika kita tidak bersedia...

"Ya Allah, selamatkan kami dari azabmu di akhiart, amin..." saya melangkah perlahan ketika azan Maghrib di laungkan. 

Terima Kasih Allah, Alhamdulillah...........

"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"

al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Tulip Hotel
Jordan
24 Januari 2012 jam 11 malam

 Di dalam pejabat keselamatan al-Aqsa, syukur tak terhingga apabila Ibu Kiah mengesahkan pasport itu miliknya
 Gambar kenangan bersama pegawai bertugas, mereka agak segan kerana perkara ini berlaku di al-Aqsa. Barangkali kita bersesak pada hari Jumaat, Ibu Kiah tidak sedar begnya diseluk.
Ini baru hilang barang di dunia, bagaimana jika kehilangan pahala di akhirat, sungguh menjadi iktibar keimanan buat kita...

Universiti Kehidupan 238 - Sekitar Jumaat Ketiga 2013 di al-Aqsa..

Jumaat 18 Januari 2013, Jumaat ketiga bagi tahun 2013..

Saya merakamkan gambar-gambar jemaah sekitar al-Aqsa...
Satu keluarga menunggu Jumaat
Di sini orang perempuan dan kanak-kanak akan ke masjid. Orang perempuan akan sembahyang di masjid Dome Of Rock
 al-Aqsa yang cuba di imarahkan  oleh masyarakat muslim sekalipun terdapat kekangan itu dan ini
 Ada kalanya mereka mudah untuk masuk ke al-Aqsa dan adakalanya, mereka orang muda tidak dibenarkan untuk sembahyang di al-Aqsa
 Bagi orang yang lebih 40 tahun, lebih mudah sedikit untuk ke sini
 Selangkah ke masjid, Allah tuliskan satu kebaikan dan Allah hapuskan satu keburukan, lagi banyak langkah lagi besar pahalanya.

Saya telah mengira, dari pintu pagar hotel untuk ke masjid, kami melangkah sebanyak 950 langkah, agak penat jika tak biasa, sebab kita di Malaysia, pergi kedai dekat pun naik kereta.

 Bagi yang pertama kali sampai, tidak melepaskan peluang untuk bergambar
 Pada hari Jumaat, masyarakat di sini menunaikan sembahyang di mana-mana sahaja
 Orang kurang upaya juga berusaha memenuhi masjid awal. Kita yang sihat bagaimana?
Kaum muslimah yang menunggu waktu solat

Universiti Kehidupan 237 - "Hari Pertama di al-Aqsa bagi tahun 2013.."

 16 Januari 2013,

Agak sejuk di sekitar al-Aqsa kerana sekarang memang sedang musim sejuk. Lagi tambah sejuk pula kawasan al-Aqsa ini memang sentiasa berangin.

Tetapi secara peribadi, saya sangat menyukai al-Aqsa kerana bumi ini bumi anbiya, tidak ada seorang pun para Nabi melainkan semuanya pernah ke sini secara langung atau tidak.

Secara langung iaitu sewaktu mereka hidup, tidak langsung ialah ketika Rasullullah saw mengimamkan solat bersama seluruh para Nabi sebelum baginda SAW di Mikrajkan.
 Sebelum subuh, ada sahaja orang berqiamullail dan berzikir di penjuru-penjuru al-Aqsa
Sebelum Subuh,  kumpulan-kumpulan kecil dibentuk bagi mengimarahkan al-Aqsa dengan halaqah ilmu dan al-Quran. Apa pun, perkara ini sangat-sangat jarang berlaku di Malaysia.

akan ada orang bertanya hairan nanti..

"Hah!, majlis ilmu sebelum subuh, sapa nak datang?'
Baru sebulan tabung derma masjid di letakkan di al-Aqsa. Jadi, orang ramai kalau tak jumpa sapa-sapa untuk diberi derma, boleh beri langsung ke dalam kotak ini.

Universiti Kehidupan 236 - "Perjalanan Kembara Universiti Kehidupan ke 12"

14 Januari 2013

Perjalanan Kembara Universiti Kehidupan ke 12 bermula lagi. Baru seminggu sebelum kami menjejakkan kaki ke sini, al-Aqsa telah diselubungi dengan salji. Kala kami sampai, salji telah tiada, hanya beberapa tempat sahaja yang masih kelihatan. 

Jam 10.40 malam, kapal Royal Jordanian Airbus 330 meninggalkan bumi tercinta. Singgah di Bangkok sejam, kami meneruskan lagi perjalanan merentas benua.

Tempat duduk saya kala ini sebelah tingkap, tempat yang saya tidak suka kerana susah untuk bangun ke tandas, pasti akan mengganggu orang di sebelah. 

Seperti biasa, rombongan kami sampai ke Amman jam 6.30 pagi waktu tempatan. Di Malaysia kala ini pukul 11.30 pagi, 5 jam beza dengan Amman. 
Rombongan kami kala ini disertai oleh seorang jurugambar Profesional, dengan barang kamera yang hampir 50 ribu, beliau mengusung kamera besarnya mengambil gambar setiap sudut bandar Jerusalem. 
(Kenangan rombongan kembara Universit Kehidupan 12)
 Kala ini, di Jerusalem, limau tempatan membanjiri pasaran sekitar. Di Jerusalem ini yang bagusnya buah-buahannya memang sedap-sedap.

 Kala ini bersama saya, ada sekumpulan ketua-ketua Travel Agen dari Malaysia yang datang untuk membuat tinjauan trip ke al-Aqsa. Oleh kerana masyarakat di Jerusalem tidak besar, kecoh satu Jerusalem syarikat-syarikat Travel Agen dari Malaysia yang datang ini mengambil "ground" dari orang Yahudi. Setiap kali saya ke masjid al-Aqsa pasti akan ada yang menyapa saya meminta memberitahu travel agen ini.

"InsyaAllah saya akan maklumkan.." kata saya pada orang yang menemui saya.

Kala ini juga, di Maa'le Adumin, (berhampiran dengan pemeriksaan tentera untuk masuk ke Jerusalem) sedang berlaku tunjuk perasaan. Orang Yahudi sedang berusaha untuk membuat penempatan baru di sini dan ia ditentang oleh orang Palestin.
 Jalan agak sesak kerana setiap kenderaan yang ingin masuk ke Jerusalem akan diperiksa oleh tentara.
 Beginilah keadaan di sini. Saya suka untuk membawa rombongan ke sini selagi ia masih boleh kerana pada bila-bila masa sahaja ia boleh ditutup untuk orang luar.
Sabda Nabi SAW, "Tidak perlu kamu semua bersusah payah untuk berjalan (kerana agama) kecuali untuk tiga tempat, masjid al-Haram, masjid Nabawi dan masjid al-Aqsa"

Friday, January 11, 2013

Universiti Kehidupan 235 - Kisah Syeikh Ali Di Palestin

12 Disember 2012, saya membawa rombongan ke Palestin. Rombongan kali ini adalah rombongan kesebelas dan saya menamakannya sebagai rombongan "Universiti Kehidupan ke 11". 

Rombongan kali ini disertai oleh krew TV9 dan kami membuat pengambaran rancangan "Usrah" terakhir bagi tahun 2012. 

15 Disember 2012, rombongan kami dalam perjalanan ke Yafa, kawasan yang bersebelahan dengan Tel Aviv. Kami menggunakan "highway no 1" membelah bukit bukau. Jalan ini dahulu pernah ditutup selepas tahun 1948 selepas  Yahudi mengisytiharkan kewujudan negara Israel. Ini kerana waktu itu, jalan ini masih dikuasi oleh orang Islam dan orang Yahudi tidak dibenarkan melaluinya. 

Pada tahun 1967, setelah Israel dapat mengalahkan Palestin dan Jordan serta menawan kota Jerusalem, barulah mereka bebas  menggunakan jalan ini.
Cuba kita lihat gambar di atas. Lebuh raya menuju ke Yafa-Tel Aviv ini tiba-tiba terdapat satu kawasan di tengah-tengah.
Sebenarnya, di tengah-tengah lebuh raya ini terdapat satu perkuburan seorang yang Alim bernama Syeikh Ali, seorang ulama dari Khilafah Uthmaniah di kurun ke 17 masihi.  Sewaktu Israel membuat lebuh raya ini, beberapa kali mereka cuba membongkar kubur ini dan mengalihkannya tetapi jentera yang mereka gunakan mati dan rosak. 

 Mungkin kisah ini kita anggap macam mengarut, tetapi orang Israel, dalam bab mempercayai perkara ghaib, mereka lebih percaya, ini kerana keturunan mereka memang telah terbiasa dengan kisah-kisah ghaib. Banyak Nabi dan Rasul diutus pada mereka.

Punya terlalu percaya pada perkara ghaib sehinggakan banyak khurafat berlaku di sekitar masyarakat Yahudi ini.

Barangkali seperti kisah makam Habib Noh di Singapura, akhirnya, mereka tidak berani untuk membongkar dan mengalihkan kubur ini. Lebuh raya ini dibahagia dua. Keadaannya seperti pulau dan setelah habis kawasan perkuburan ini, maka ia menjadi sambung kembali.

 Rombongan kami makan tengah hari di Yafa, pantai tempat Nabi Yunus di keluarkan oleh ikan Nun.
Bandar Yafa ini bersambung dengan bandar Tel Aviv, bangunan tinggi yang kita lihat di seberang sana adalah bandar Tel Aviv.


Sesungguhnya, orang soleh sentiasa dipelihara oleh Allah walaupun mereka telah tiada.

"Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat"

al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
11 Januari 2013