Wednesday, October 31, 2012

Diari 411 - "Korban Dan Masyarakat Sekitar al-Quds.."

26 Oktober 2012...

Hari raya pertama di sini sangat meriah.

Selepas Asar saya menguruskan korban yang dirancang dan dianjurkan di Ramallah.

Berhari raya di rumah orang di sini, saya dihidangkan dengan buah-buahan dan berbagai manisan. Ia seperti jamuan kuih raya di Malaysia. 


Di sini, kebanyakkan dan kebiasaannya, sembelihan lembu di buat di rumah penyembelihan.
Berbeza dengan budaya di Malaysia, kita membuat korban dengan melihat harga lembu, mungkin sesetengah masjid satu bahagian RM 400, dan masjid yang lain RM 430 atau RM 450 dan sesetengah kita akan terus memandang serong pada masjid yang mahal tanpa kita mengambil kira saiz lembu dan kos pengangkutan. 
Di sini, mereka bukan mengutamakan harga lembu, mereka mengutamakan kegemukkan lembu, semakin gemuk semakin bagus tanpa mengira soal harga, pada mereka ibadah kurban hanya setahun sekali dan ia perlu dibuat dengan terbaik. 

 Kemudian, setiap sembelihan, imam atau orang yang dihormati di sesuatu tempat itu terus menyenaraikan orang miskin yang ingin diberikan daging korban.
 Selepas selesai urusan korban, saya dijemput berhari raya di rumah Syeikh Ali, seorang pengamal perubatan Islam di kota Jerusalem ini. Beliau menghidangkan saya nasi "Mansaf" iaitu nasi kambing yang dimasak ala Arab.

Menurut beliau, banyak sihir dan gangguan jin kafir di sekitar Jerusalem dan beliau antara yang terlibat di dalam membantu orang yang disihir atau terdapat gangguan mahkluk halus.

"Mana datang pengamal sihir ini"tanya saya.

"Banyak, dari orang Arab ada dan dari orang Yahudi pun ada" kata Syeikh Ali.

"Gangguan jin pun ada di sini" kata Syeikh Ali lagi.

Saya sempat mempelajari beberapa perkara mengenai alam jin dan sihir dari beliau terutama dalam konteks kota Jerusalem dan tanah di Timur Tengah ini.

Ini kerana karenah jin di setiap tempat berbeza, di Nusantara golongan jin ada karenah dan angkaranya tersendiri, di negara Arab juga begitu, ada yang terjadi di negara Arab tidak ada di Nusantara dan begitu juga sebaliknya.

Setelah beberapa kali ke al-Quds ini, banyak yang dapat dipelajari dari kota penuh barakah ini. Sesungguhnya, ilmu Allah itu sangat luas dan tidak berpenghujung.

Cuma...

Adakah budaya ilmu menjadi budaya orang Islam...?

"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"

al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Amman Jordan
30 Oktober 2012 jam 9.45 malam

Diari 410 - Bagaimana Aidil Adha Di Sambut Di al-Aqsa 2

26 Oktober 2012...

Kala ini di Jerusalem, subuh jam 4.30 pagi, selesai solat subuh jam 5.00 pagi, kami semua tidak pulang ke Hotel, menunggu solat sunat hari raya yang akan dilaksanakan jam 6.30 pagi. 

Di masjid al-Aqsa, ramai jemaah juga menunggu sambil ramai-ramai mereka bertakbir (insyaAllah saya akan kongsikan suasana hari raya Aidil Adha di dalam masjid al-Aqsa di Youtube). Budaya di Malaysia, kita akan bertakbir pada hari raya Aidil Adha setiap kali selepas solat, di sini, selain selepas solat,  takbir akan dilaungkan setiap kali selepas azan. 

Sambil bertakbir, ada yang membaca al-Quran, memang budaya orang Arab gemar membaca al-Quran. Selain itu, takbir hari raya di al-Aqsa ini  berlagu dan akan-akan takbir hari raya orang Melayu. Ia tidak seperti di Saudi atau Pakistan yang tidak berlagu.


Selepas solat hari raya, kami pulang ke Hotel, untuk pergi pula ke masjid bagi solat Jumaat saya menemankan jemaah saya yang uzur menaiki teksi. Di hadapan teksinya terdapat gambar budak belasan tahun.

Saya bertanya padanya "ini gambar siapa yang kamu letakkan ni"

"Ini gambar anak aku, tapi dia dipenjara sekarang.." jawabnya dengan nada yang sedih di pagi raya.

"Tapi dia anak yang baik, aku bangga dengannya" kata pemandu ini.

Anak belasan tahunnya dipenjara kerana pergaduhan mengenai masjid bersama orang Yahudi. Kala ini, orang Yahudi telah mula meminta hak bersama terhadap al-Aqsa, mereka mahukan masjid ini diberikan dua jam kepada mereka bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi, tetapi orang Islam di sini tetap mempertahankannya, sebab itu sekarang, ramai yang selepas subuh terus berada di masjid untuk tidak kelihatan masjid ini kosong.
 Di pintu "Lion Gate" terdapat pelepah-pelepah tamar. Orang Palestin menggunakan pelepah tamar sebagai pengalas kepada liang lahad bagi jenazah yang diletakkan ke dalamnya.

 Kenangan bersama jemaah muslimah yang bersama saya selepas menunaikan solat Jumaat pada hari raya pertama Aidil Adha.
Alhamdulillah, tahun ini, saya dapat menganjurkan ibadah kurban di sini, insyaAllah akan kita kongsikan nanti kisahnya.

"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"

al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
30 Oktober 2012 jam 9.15 pagi
Amman Jordan

Diari 409 - Bagaimana Aidil Adha Disambut di Masjid al-Aqsa?


Khamis 25 Oktober 2012...

Malam ini adalah malam hari raya Aidil Adha, ia merupakan haji akbar bagi tetamu Allah di Mekah. Kami telah sampai di kota Jerusalem jam 3.30 petang.
Orang Arab menyambut hari raya korban lebih meriah dari hari raya Aidil Fitri. Petang ini, polis Israel membuat rondaan menaiki kuda di jalan-jalan sekitar masjid al-Aqsa

 Pada hari raya Aidil Adha, tidak ramai orang tempatan di kawasan masjid ini. Ini kerana kebanyakkan mereka balik berhari raya di kampung mereka sekitar Jerusalem.

Kami memasuki al-Aqsa sebelum maghrib, ya.. bermulanya malam hari Jumaat dan bermulanya malam hari raya Aidil Adha. Masjid ini pada hari ini dipenuhi oleh orang Sudan. Mereka adalah buruh kasar yang bekerja untuk Israel di Tel Aviv, tetapi jika tanya, mereka akan berusaha mengelak dari menjawab mereka bekerja di bawah orang Yahudi.

Di sekitar al-Aqsa, yang tidak balik merayakan dengan penuh gembira, di sini mereka bertakbir dengan memalu gendang. Keadaan seperti di dalam peperangan. Ketika kami melalui lorong-lorong al-Aqsa, orang di sini memberikan hadiah-hadiah kepada kami.
 Penerbit rancangan Usrah TV9 menghubungi saya melalui SMS mengenai keadaan jemaah di sini kerana terdapat berita yang diterima bahawa berlaku tembakan pada pagi hari raya.
 Memang kadang kala terdapat berita-berita buruk yang menakutkan orang untuk ke sini, dan ini kali kedua ketika saya berada di sini terdapat berita di Malaysia bahawa Yahudi menembak jemaah di al-Aqsa, tetapi ketika berita ini tersebar saya berada di al-Aqsa dan saya menyaksikan bahawa berita ini tidak benar, ia saja di reka untuk menakutkan orang untuk datang ke sini.
 Pagi selepas solat hari raya, saya mengajak jemaah menziarahi bahagian bawah masjid al-Aqsa, ruangan bawah ini sepatutnya dibuka pada hari Jumaat, tetapi kebetulan hari raya jatuh pada hari Jumaat, banyak petugas di al-Aqsa pulang bercuti, rentetan dari itu, bahagian bawah masjid di buka sekejap sahaja kemudian ditutup kerana kekurangan penjaga.
Ketika kami pulang ke Hotel selepas solat hari raya, terdapat seorang budak perempuan membawa sejambak bunga, dia menghadiahkan bunga ini kepada ahli jemaah, diraut wajahnya terpancar kegembiraan kerana menyambut hari raya.

Beginilah, orang Jerusalem menyambut hari raya qurban. Ia lebih meriah lagi berbanding hari raya Aidil Fitri, berbeza dengan tempat kita.

"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"

al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Amman Jordan
30 Oktober 2012 jam 8.35 malam

Saturday, October 27, 2012

Diari 408 - Perjalan Uni. Kehidupan al-Aqsa ke (9)

Rabu 24 Oktober 2012, bermulakan perjalanan Universiti Kehidupan al-Aqsa (9). Tarikh yang saya pilih untuk bersama rombongan kali ini adalah bertepatan dengan sambutan hari raya Aidul Adha.


Kapal Roual Jordan yang kami naiki mula meninggalkan KLIA jam 10.10 malam. Singgah di Bangkok sebentar, kami meneruskan perjalanan ke Amman sebelum memasuki Jerusalem. Tempat duduk saya kala ini ialah no. 14 A.


 Kala ini di Palestin sedang peralihan dari musim panas ke musim sejuk, jadi berbagai buah-buahan sedang mekar ketika musim ini.
 Rombongan Universiti Kehidupan (9) kali ini seramai 24 orang, dan rombongan kali ini beruntung kerana dapat merasakan solat Idul Adha dan suasana hari raya di Palestin
Kebanyakkan orang Arab hari ini berpuasa sunat Arafah. Di serambi al-Aqsa mereka bersama-sama berbuka puasa ketika azan Maghrib dilaungkan dari Mihrah al-Aqsa.
 Satu yang menarik di al-Aqsa ini adalah budaya bersedekah, ada yang sedekah manisan, ada yang sedekah tisu, ada yang sedekah minyak wangi.
Oleh keran sekarang peralihan ke musim sejuk, jadi malam lebih panjang dari siang. Jam 4.28 pagi sudah masuk waktu Subuh dan jam 5.02 minit dah masuk waktu Magrib. Beza jam di Malaysia kala ini dengan jam Palesitin adalah 6 jam.

"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"

al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Jerusalem
26 Oktober 2012 jam 10 malam.

Diari 407 - "UPSI Berselawat.."

Isnin 22 Oktober 2012, di Dewan Besar Kampus Sultan Azlan Shah Tanjung Malim UPSI, menyaksikan program selawat.

 Ia dipimpin oleh Habib Syech as-Saggaf dari Solo Indonesia
 Pada malam ini, saya diamanahkan untuk memberikan "tausyiah" (tazkirah)  selepas berlangsungnya masjlis selawat ini.
Ramai yang datang dari berbagai ceruk, Alhamdulillah, dengan kehadiran Habib Syeich menyemarakkan lagi laungan selawat di negara tercinta ini.
Kehadiran pada malam ini memang ramai, para Muhibbin al-Rasul bersama-sama membasahi lidah dengan laungan selawat
 Tausyiah malam ini menyentuh mengenai kecintaan pada Nabi SAW. Dari kecintaan pada Nabi insyaAllah akan terbit kecintaan kepada perkara baik.
 Sesungguhnya, hati manusia perlu diisi dengan dua perkara iaitu iman dan kasih sayang. Orang yang kurang iman hatinya akan mudah rungsing pada perkara keduniaan dan orang yang hatinya kurang kasih sayang akan tumbuh kebencian. Orang yang hatinya ada kebencian akan mudah membenci orang lain.
Dunia selawat adalah dunia orang-orang soleh, dari Masjidil Haram ke Masjidil al-Aqsa, para pengamala selawat sentiasa menyuburkan bumi dengan bacaan selawat, semoga kita tergolong di dalam orang yang sentiasa berselawat kerana Allah dan para Malaikat juga berselawat kepada Nabi SAW.

"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"

al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Jerusalem
26 Oktober 2012 jam 9.30 malam

Friday, October 19, 2012

Diari 406 - "Seminar Keibubapaan, kisah anak tahfiz.."

Sabtu 13 Oktober 2012 jam 8.30 pagi....

Pagi ini saya bersama dengan peserta kursus keibubapaan yang dianjurkan oleh Pusat Perunding Dan Latihan IKIM (PPLI) di jalan Off Jalan Duta. 

Yang saya suka kongsikan ialah pengalaman seorang ibu dan ayah yang anaknya yang telah menghafal al-Quran, kini telah jemu dan mahu meninggalkan sekolah tahfiznya.

Sebenarnya, bagi ibu ayah yang ingin menjadikan anak mereka tahfiz, tidak cukup hanya sekadar menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah tahfiz, tetapi ibu ayah perlu sentiasa memberi semangat untuk anak itu terus menghafal al-Quran.


Ini kerana cabaran penghafal al-Quran sebenarnya memang besar.

Pada kesempatan ini juga, TV Hijrah dan Bernama bertanyakan mengenai gejala sosial yang semakin meruncing sekarang ini.
Saya boleh simpulkan dengan satu perkataan iaitu, banyakkan doa. Kadang kala, kita telah berusaha dengan semaksima mungkin untuk melihat anak kita berjaya, tetapi faktor doa tidak boleh dianggap remeh.

Doa juga ada rahsia-rahsia untuk ia menjadi mustajab...

Semoga perkongsian hari itu memberi manfaat, amin..

"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"

al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
19 Oktober 2012 jam 10.30 malam.

al-Ijabah 112 - Anak Ijabah Ke Mesir

Sabtu 13 Oktober 2012, hari ini, tiga orang anak murid saya dari Maahad Sains al-Quran al-Amin dan anak Yatim al-Ijabah bergerak ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran di sana.

Kami semua berkumpul di KLIA selepas Asar.

Agak terharu juga, tapi saya mengharapkan mereka menjadi pelapis perjuangan untuk masa akan datang. 

Kehebatan perjuangan Islam itu bukan sentiasa di atas, tetapi kehebatan sesebuah perjuangan itu ialah apabila perjuangan itu disambung oleh generasi seterusnya.

 Bersama anak-anak murid saya dari Maahad Sains al-Quran al-Amin dan Yayasan al-Ijabah.


Semoga mereka dapat belajar bersungguh-sungguh untuk berjasa pada Agama, Bangsa dan Negara kelak, amin..

"Bersama Kita Berbakti"

al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
19 Oktober 2012 jam 10.20 malam

Diari 405 - Program Kekeluargaan Di Meru Klang

Ahad 14 Oktober 2012 jam 9.00 pagi, saya memenuhi jemputan di Masjid Nurul Jannah Meru Klang.


Program ini membicarakan mengenai keluarga, satu topik yang sering saya kongsikan di dalam IKIMfm setiap hari Isnin jam 10.15 hingga 11 pagi.
Topik keluarga adalah satu topik yang memang sentiasa ada, kerana permasalahan keluarga merupakan permasalahan yang tidak akan habis. Selagi ada keluarga selagi itu ada permasalahan rumahtangga.


Apa yang menarik program di sini ialah ia dihadiri oleh kaum lelaki dan perempuan, kebiasaannya, program agama seperti ini orang perempuan yang akan memenuhinya.
Menurut pengalaman saya yang cetek ini, 80 peratus permasaslahan di dalam rumahtangga adalah bermula dari masalah komunikasi yang lemah.

Sebab itulah, Rasullullah SAW sering berpesan mengenai bahaya lidah yang tidak dijaga dengan iman dan ilmu. Ia boleh membuatkan seseorang terjerumus kepada permusuhan dan persengketaan.

"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"

"al-Faqir Ila Rabbihi"

Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
19 Oktober 2012 jam 10.00 malam

Monday, October 8, 2012

Bicara Ilmu 115- Mari Cintai Nabi Seperti Sahabat

Orang kafir semakin berani menghina dan memperlecehkan Islam. Orang Islam perlu terus diingatkan untuk mencintai Allah dan RasulNya.

Ketika terbitnya filem "Innocence Of Muslims" mari kita mencintai Nabi seperti sahabat mencintai baginda.

Ini sebahagian ceramah saya di UNISEL mengenai kecintaan pada Nabi, dan ia membuat saya agak tersentuh, semoga Allah mengurniakan kita semua mencintaiNya dan mencintai Nabi kita, dan semoga kita terus menjadi umat baginda yang baik, amin..

Selawat dan salam sayang kepadamu wahai Rasullullah....

Bicara Ilmu 114 - Forum Cintakan Rasul

Jumaat 5 Oktober 2012.

Malam ini saya bersama dengan Dato' Dr. Harun Din, Dr. Zaharuddin di dalam forum mengenai cintakan Nabi bertajuk "Penghinaan Pada Nabi, Kejayaan Yahudi Atau Pengabaian Sunnah.


 Soalan yang ditanya pada saya ialah, apakah tanggungjawab kita di dalam membela Rasullullah?

Alhmdulillah, dapat kita kongsikan sebahagian dari isi forum malam ini.