Friday, June 29, 2012

Universiti Kehidupan 224 – “Pecah Kaca Pecah Gelas..”

“Prang…” bunyi gelas pecah di restoran tempat saya makan di Amman Jordan. Mata saya terus memandang, ke arah bunyi tersebut tetapi orang Arab yang berada di sekeliling tidak mengendahkannya.

Sahabat saya berbangsa Arab bernama Atef juga tidak mengendahkannya.

Saya berkerut kehairanan. Terimbau satu kenangan.

Ia pernah berlaku pada saya sendiri ketika saya makan dengan Mahmood, pemandu pelancong kami di Jericho Palestin. 

Saya tertolak gelas yang saya minum dengan siku kanan, gelas itu jatuh ke lantai dan pecah berkecai.

“Tak apa, kejahatan pecah..” kata Mahmood.

Oleh kerana telah dua kali berlaku, saya bertanya pada Atef.

“Saya mahu tanya sesuatu, apa maksud gelas pecah bagi kamu” tanya saya.

“Ohhh, bagi kami orang Arab, jika sedang makan dan terlanggar gelas sehingga pecah, itu tanda baik” jawab Atef ringkas.

“Tanda apa?” tanya saya semakin ingin mengetahui.

“Itu tandanya, kejahatan yang ada disekeliling kita pecah” tambah Atef lagi.

“Oh ye ke?,” saya memberi respons.

Hati saya berbisik…

“Bagus juga, sama ada perkara ini betul atau orang-orang tua bangsa Arab mengambil sikap positif agar tidak memarahi orang yang tidak sengaja memecahkan barang ketika makan”

Saya mengambil gelas dan mengangkatkannya.

“Kalau macam tu, saya nak pecahkan satu boleh tak?”

“Ha.. ha, itu kalau tak sengaja lah” dia memberi respons.

Teringat saya ketika saya berada di Uzbekistan. Bagi bangsa Uzbek, jika kita meminta sesuatu yang masam atau masin ketika makan, mereka tidak akan memberikannya di tangan kita. Mereka akan mengambilkan dan meletakkan berhampiran dengan kita untuk kita ambil sendiri.

Tetapi jika kita meminta gula atau sesuatu yang manis, dia akan memberikan di tangan kita untuk kita ambil.

Ketika saya bertanya, pemandu pelancong di Uzbek  memberi tahu..

“Bagi kami, tidak elok memberikan perkara masin atau masam di tangan orang, seolah-olah kita beri perkara tidak baik pada tangannya, tapi kalau yang manis tak apa..”

Inilah falsafah ketika makan. Ada maksud di sebalik.

Orang Melayu juga ada falsafahnya tersendiri ketika makan.

Boleh kita kongsikan di ruang komen?..

“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

29 Jun 2012 jam 1.30 pagi

IMG_3737

Orang Arab tidak mengendahkan gelas yang pecah

IMG_3738

Mereka ada falsafah tersendiri bagi kejadian ini

Wednesday, June 27, 2012

Bicara Ilmu 61 – Allah al Muhsyi (yang maha penghitung)

Mari kita kongsikan Kuliah Syarah Asmaul Husna iaitu sifat ALLAH Al Muhsyi = ALLAH Yang Maha Penghitung ~ADMIN

Bahagian 01



Bahagian 02

Bahagian 03

Sunday, June 24, 2012

Universiti Kehidupan 223 – “Kisah Matahari Yang Pernah Berhenti..”

Setelah Nabi Musa dapat membawa kaumnya, Bani Israel keluar dari Mesir, baginda Musa menuju ke Baitul Maqdis.

Sampai di sepadan Baitul Maqdis, mereka mendapat tahu bahawa Baitul Maqdis diperintah oleh seorang raja yang zalim

Oleh sebab trauma dengan raja Firaun yang menindas mereka, Bani Israel tidak berani untuk masuk ke dalam Jerusalem.

Mereka menyuruh Nabi Musa pergi seorang diri dan selepas itu tidak lagi didengari perkhabaran nabi Musa.

Bani Israel terkontang kanting kerana tiada yang dapat memimpin mereka. Akhirnya Allah melantik Nabi Yusak memimpin mereka untuk menuju ke Jerusalem. Mereka berperang dengan kaum Kan’an yang perkasa.

Mereka berperang pada hari Jumaat dan ketika sampai petang, mereka belum memperoleh kemenangan sedangkan bagi Bani Israel, mereka tidak boleh bekerja atau membuat apa-apa pada hari Sabtu, maka Nabi Yusak bermunajat kepada Allah hingga Allah memberhentikan perjalananan matahari untuk mereka sehinggalah mereka dapat menundukkan kaum Kan’an yang mereka hadapi.  Peristiwa ini disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad (Musnad Ahmad, kitab Baqi kitab al-Mukatthirin)

عَنِ ابْنِ سِيرِينَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الشَّمْسَ لَمْ تُحْبَسْ لِبَشَرٍ إِلَّا لِيُوشَعَ لَيَالِيَ سَارَ إِلَى بَيْتِ الْمَقْدِسِ

Dari Ibnu Sirin dari Abu Hurairah dia berkata, Rasullullah saw bersabda, sesungguhnya, matahari tidak pernah berhenti untuk manusia melainkan pada Yusyak ketika perjalanan ke Baitul Maqdis.

Hari ini, 21 Jun 2012, saya dan ahli rombongan melalui tempat kejadian yang disebut di dalam hadis ini.

Ia berada di Bet Shemesh. Bet bermaksud rumah dan Shemesh bermaksud matahari.

Melalui kawasan ini menjadikan kami dapat menghayati kisah para Nabi terdahulu dan dapat kita menyaksikan keagongan Allah yang membuat apa sahaja yang Dia kehendaki.

Sesungguhnya, kita dari Allah dan akan pulang kepada Allah jua.

Yang merasakan kebesaran Allah ketika hidup adalah yang akan mendapat kasih sayang Allah ketika mati, tetapi yang merasakan keagongan dunia ketika hidup akan ditinggalkan keseorangan tanpa pembelaan dari Allah ketika mati.

Seperti sejarah Nabi Yusak, sesungguhnya Allah Maha Berkuasa..

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Sadeen Hotel, Amman

24 Jun 2012 jam 9.15 pagi

IMG_3377

Ke Bet Shemesh, lokasi peperangan Bani Israel dengan kaum Kan'an sehingga Allah memberhentikan matahari untuk mereka

IMG_3378

Kawasan ini tidak jauh dari Tel Aviv dan Jaffa

Universiti Kehidupan 222 - “Berhati-Hati Pada Pengkhianat..”

21 Jun 2012, saya bersama rombongan Universiti Kehidupan al-Quds ke 8 melalui lebuh raya  (no. 1) ke Nazareth, perkampungan Nabi Isa a.s.

Kami melalui satu kawasan bernama Abu Ghous.

Penduduk di Abu Ghous pada tahun 1948 pernah mengkhianati bangsa, agama dan negara sendiri, bekerja sama dengan orang Yahudi, menumbangkan orang Islam yang sedia ada,  di dalam usaha menubuhkan negara Israel.

Saya teringat kata-kata orang Turki…

“Din Ma Fi, Iman Yok, Arab Khianat..”

Ini adalah kata-kata yang cukup terkenal di kalangan orang Turki ketika kejatuhan negara-negara Khilafah Uthmaniah.

Ayat ini bermaksud:-

“Tak ada agama, kurang iman, dan Arab itu pengkhianat…”

Sejarah menyaksikan pengkhianatan Abu Ghous.

Jadi, kewujudnya negara Israel bukan kerana Yahudi itu semata-mata, tetapi ada pengkhianat-pengkhianat dari bangsa Arab Islam yang membantu mereka.

Apa hasilnya? Sedikit imbuhan yang diterima tetapi negara hancur.

Di setiap tempat dan zaman memang ada pengkhianat seperti ini. Mereka akan bekerja bersama musuh yang dirasakan dapat memberi keuntungan kepada mereka.

Tindakan mereka silap kerana mereka berurusan dengan orang yang memang mahu melihat umat Islam itu jahanam.

Dalam bahasa al-Quran, golongan pengkhianat ini disebut sebagai munafiq yang manis mulutnya, takjub ucapannya, tetapi mereka sebenarnya sedang berusaha bersama musuh menjahanamkan saudara mereka sendiri.

Mereka rela bekerja bersama orang kafir kerana sakit hati dan dendam sesama Islam.

Meruntuhkan sesuatu sangat mudah dibandingkan membina sesuatu. Sesuatu yang telah terlepas, tidak mudah untuk diambil semula.

Berhati-hatilah dengan 5 perkara kerana ia adalah musuh orang beriman.

1. Syaitan

2. Nafsu

3. Orang kafir

4. Orang munafiq

5. Orang Islam yang hasad

 

Orang tua-tua  kita pernah memberikan satu ibarat yang cukup bermakna

“Hanya kayu yang akan dapat menjahanamkan kayu..”

Ibarat ini dirujuk kepada sebuah kapak yang menebang pokok. Tanpa batang kapak yang biasanya dibuat dari kayu, maka kapak tidak akan dapat menebangnya.

Banyak bangsa-bangsa muslim hancur hasil dari pengkhianatan. Lihat contoh kejadian Baghdad dilanggar Monggol, lihat sejarah tumbangnya kota Andalusia.

Lihat sejarah ini dan kita akan lebih matang di dalam hidup kita kerana sejarah pasti akan berulang…

 

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Sadeen Hotel, Amman

24 Jun 2012 jam 6.45 pagi

IMG_3363

Kota Abu Ghous, golongan yang membantu Israel pada tahun 1948

IMG_3372

Perjalanan ke Jaffa. Dari arah bertentangan, jalan agak jem untuk ke Jerusalem

IMG_3376

Hidup adalah satu Universiti Kehidupan…

Universiti Kehidupan 221 – “Memahami Kekuatan Deria…”

Rabu 20 Jun 2012, kami serombongan sampai di Hebron, kota Nabi Ibrahim a.s.

Kota ini lebih ketat dijaga dibandingkan oleh orang Yahudi kerana perebutan sebahagian masjid dengan orang Islam.

Separuh masjid ini telah di ambil oleh orang Yahudi.

Setelah melawat masjid ini, kami berhenti makan.

Sesampai sahaja di restoran di Hebron ini, kami dihidangkan dengan sup.

“Silakan, ini adalah sup Nabi Ibrahim” kata pelayan restoran.

Saya memerhatikan sup ini. Ia dibuat dari barli.

Memang barli adalah salah satu bijirin yang banyak di sekitar sini. Tapi sup ini agak tawar dan rata-rata makanan di tanah Arab ini tawar.

Tidak seperti orang Melayu, orang Arab tidak pandai bermain dengan rempah di dalam makanan mereka.

Jika kita mahu merenung…

Allah menjadikan manusia ada derianya samaada mata, hidung, telinga dan lidah.

Kehebatan Allah ialah Dia menjadikan kekuatan deria tidak sama.

Bagi orang Melayu, deria lidahnya agak kuat. Sebab itu orang Melayu pandai menggunakan rempah di dalam makanan mereka. Deria lidah orang Arab tidak kuat. Mereka tidak pandai di dalam penggunaan rempah. Makanan mereka tawar.

Bagi orang Arab pula, deria hidung mereka kuat. Sebab itu mereka suka wangian. Banyak minyak wangi berasal dari mereka.

Kalau mereka duduk di dalam majlis, mereka akan membakar setanggi. Bagi kita orang Melayu, kita akan sesak nafas, bagi mereka, ia wangi dan mereka sangat selesa dengan keadaan tersebut.

Bagi orang Eropah, deria mata mereka kuat. Mereka menghargai seni lukis. Lihat sahaja Muzium Lorve di Perancis, mereka boleh duduk berjam-jam memerhati gambar lukisan. Fesyen juga banyak lahir dari Eropah.

Melihat kekuatan deria yang Allah jadikan, menjadikan kita mengkagumi hebatnya Allah mencipta sesuatu.

Kita akan melihat keunikan kekuatan deria di dalam kehidupan bangsa-bangsa di dunia.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Sadeen Hotel, Amman

24 Jun 2012 jam 6.45 pagi

P1000159

Makam Nabi Ishak dan isterinya Rifqah atau disebut oleh orang Barat sebagai Rebecca

P1000161

Sup Nabi Ibrahim

P1000162

Ia campuran barli

P1000163

Bersama jemaah di restoren di Hebron

Friday, June 22, 2012

Universiti Kehidupan 220 -“Waqaf al-Quran di al-Aqsa..”

Imam Malik r.a mengatakan bahawa ibadah macam rezki makan. Ada orang suka makan ayam, ada yang suka makan daging, ada yang suka makan sayur.

Macam itu juga ibadah, ada yang suka solat tapi kurang baca Quran, ada yang suka puasa, tapi kurang bangun malam, ada yang suka pergi umrah, tapi kurang sedekah.

Sepemerhatian saya di masjid al-Aqsa ini, budaya membaca al-Quran memang hidup. Dari waktu subuh lagi, mereka akan membaca al-Quran. Mungkin ia salah satu terapi jiwa ketika dalam tekanan yang mereka amalkan.

Ada seorang ahli rombongan yang bersam saya kala ini.  Saya berjalan ke al-Aqsa bersamanya. Dia membawa sesuatu di dalam bungkusan plastik.

Saya bertanya kepadanya..

“Tok, bawa quran ke?”

“Aah” jawabnya ringkas.

Pada mulanya saya menyangka beliau membawa untuk membacanya, tetapi di dalam bungkusan plastik itu terdapat beberapa naskhah.

“Banyak bawa tok?” sapa saya lagi.

“Aah, nak wakaf dekat al-Aqsa..” jawabnya.

“Ah, untungnya..” bisik hati saya. Kebetulan memang budaya orang di al-Aqsa ini membaca al-Quran, jadi setiap naskhah yang diberi pasti akan dimanfaatkan.

Kalau kita ke Mekah atau Madinah,  dan kita meletakkan al-Quran dengan tujuan wakaf, pihak pengurusan masjid nanti akan mengeluarkannya kembali.

Polisi kedua masjid haram ini, tidak membenarkan al-Quran selain yang disediakan oleh kerajaan Saudi sahaja.

Dari segi kewajaran, ada munasabahnya, ditakuti ada orang yang meletakkan al-Quran yang telah diselewengkan.

Apa pun, untuk rombongan akan datang dan bagi sesiapa sahaja yang ingin ke al-Aqsa, saya suka mencadangkan agar membawa al-Quran untuk di wakafkan di al-Aqsa kerana insyaAllah, setiap naskhah yang diberikan akan dimanfaatkan.

P1000139 

Budaya membaca al-Quran di al-Aqsa.

P1000138

Saya sempat merakamkan detik-detik ini. Rezki bagi beliau yang Allah gerakkan hatinya untuk membawa al-Quran ke al-Aqsa.

Thursday, June 21, 2012

Diari 364 – “Jerusalem di Musim Panas..”

Perjalanan kami kali ini di musim panas. Apabila bicara musim panas, tentu kita akan membayangkan suasana di Mekah dengan panas membahang sehingga angin juga panas.

Tetapi ia berbeza dengan di Jerusalem. Di sini, walaupun panas tetapi angin dia yang kuat dan dingin menjadikan kita selesa di bumi barakah ini.

Perjalanan di musim panas juga menjadikan kita merasa sangat puas makan buah-buahan. Ini kerana, buah-buahan banyak di musim panas. Dari buah yang biasa kita lihat sehingga yang tidak pernah kita rasa.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

New Metropole Hotel

Jerusalem

21 Jun 2012 jam 6.15 pagi

P1000156

Dulu waktu saya kecil, kalau orang balik haji, antara yang mereka bawa ialah buah tin yang telah kering, dipotong bulan, tengah-tengahnya diikat dengan tali.

Di sini, kita dapat makan buah tin yang muda. rasanya lebih lazat dari yang kering yang selalu kita makan.

P1000157

Ia manis, saya pun tak tahu nak gambarkan macam mana, tapi datanglah sendiri untuk rasa :)

Diari 363 – “Perjalanan Universiti Kehidupan al-Quds Kali Ke 8…”

Sambutan Israk dan Mikraj tahun 1433/2012, disambut di Masjid al-Aqsa, lokasi peristiwa Israk dan Mikraj.

Perjalanan kali ini agak bertuah kerana, 9 orang tok guru pondok menyertai rombongan.

Selain dari aliran pondok, aliran universiti juga ada, seorang Prof. juga bersama-sama perjalanan ini, jadi ia satu perjalanan perbincangan ilmu yang sangat menarik.

Perjalanan juga banyak dipermudahkan. Qasim, tour guide kami kali ini begitu tertarik dengan kerencaman rombongan kami hingga dia mengaturkan agar kami dapat  berjalan lebih jauh lagi melihat bumi Palestin. Ia mengajak kami berjalan sehingga Nazareth.

Walaupun saya pernah sampai di Nazareth, tetapi inilah kali pertama saya akan membawa rombongan ke sini.

18 Jun 2012, kami bertolak ke Amman. Sampai Amman 19 Jun 2012, rombongan kami terus masuk ke border  dan hanya dua jam lebih sahaja semua urusan di border telah selesai.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

New Metropole Hotel

Jerusalem

21 Jun 2012 jam 6.10 pagi

P1000134

Gambar bersama beberapa orang tuan-tuan guru pondok di Dome Of Rock

P1000136

al-Aqsa kala ini

P1000137

Kenangan bersama Prof. Dr. Ahmad Hidayat di dalam masjid al-Aqsa. Beliau adalah penyelia bagi tesis PhD saya.

Diari 362 – IKIM “Dilema Suami Tidak Bekerja..”

18 Jun 2012, hari ini saya di IKIM membicarakan mengenai tajuk dilema rumah tangga.

Tamat jam 11.00 pagi, saya menunggu untuk membuat rakaman program di IKIM kerana pada Isnin 25 Jun ini saya tidak ada di tanah air.

Tajuk yang dibincangkan adalah “Dilema Suami Tidak Bekerja”

InysaAllah kita akan dengar siarannya pada Isnin 25 Jun ini semoga memberi manfaat, amin..

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

New Metropole Hotel

Jerusalem

21 Jun 2012 jam 6.50 pagi

P1000127

Sekarang di IKIM, tidak dibenarkan memberikan “testimoni” pada produk-produk kesihatan

P1000128

Apa komen anda?

P1000131

Siap untuk rakaman

P1000133

Semoga memberi manfaat

Monday, June 18, 2012

Diari 361 – “Drama Untuk Bulan Ramadhan..”

Bulan Ramadhan hanya tinggal sebulan lebih sahaja lagi.

Di tv, banyak program sedang dirancang dan dibuat.

Saya diminta untuk bersama di dalam satu drama bulan Ramadhan.

Watak yang diberi adalah seorang ustaz sedang mengajar di satu surau. Ada di antara ahli jemaah yang meninggalkan kerjanya hanya semata-mata beranggapan ibadah itu di tikar sembahyang.

Saya difahamkan Drama ini akan disiarkan setiap malam Rabu bulan Ramadhan nanti.

Memegang watak kita sebenar sebagai pendakwah tidaklah susah.

Tahun ini juga, insyaAllah, saya juga akan bersama krew Jejak Rasul. Kami akan membuat pengambaran di Mekah dan Madinah.

Tapi, pengambaran tahun ini adalah untuk tahun hadapan, bagi Jejak Rasul tahun ini, saya difahamkan ia hanyalah ulangan siri tahun terdahulu.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

18 Jun 2012 jam 8.05 pagi

P1000109

Pengambaran dibuat di surau Sri Pentas

P1000113

antara pelakon hari ini

P1000117

Memegang watak kita sendiri memang tidak ada masaalah, macam beri kuliah seperti biasa.

al-Ijabah 109 – “Penghuni Darul Ukhwah Meninggal..”

16 Jun 2012, hari ini adalah hari kedua saya di dalam progaram “Tanyalah Ustaz” membicarakan mengenai Israk dan Mikraj.

Selepas tamat program, saya menerima SMS dari sahabat saya Ustaz Azmi yang membantu saya mengendalikan rumah HIV Muslim.

“Seorang penghuni telah meninggal jam 2 pagi tadi”

Ketika itu saya sedang minum pagi bersama penerbit program dan beberapa krew.

Saya menghubungi Ustaz Azmi,

“Syeikh, nanti ana habis kat sini ana terus ke hospital”

Jenazah berada di hospital Sungai Buloh.

Keluarga penghuni yang tinggal bersama kita ini tidak dapat dihubungi, maka kitalah yang mengendalikan jenazahnya dari mula hingga ke liang lahadnya.

Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Semoga Allah terus mempermudahkan urusan di rumah kebajikan ini, amin…

“Bersama Kita Beramal”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

18 Jun 2012 jam 7.50 pagi

P1000081

Di Darul Ukhwah, kitalah ayah, kitalah ibu dan kitalah keluarga mereka.

P1000087

Khidmat terakhir untuk saudara seIslam kita

P1000092

Jika keluarga tidak dapat dihubungi, maka kami di Darul Ukhwah akan menguruskan sehingga ke liang lahad

P1000099

Semoga Allah cucuri roh Allahyarham dan mengampuni segala dosa kita dan dosanya, amin…

Diari 360 – Tanyalah Ustaz Jun 2012“Iktibar Israk Dan Mikraj”

Alhamdulillah, saban tahun kita menyambut Israk dan Mikraj, tiap-tiap tahun kita mendengar kisah iman ini. Semoga kita akan terus menjadi orang beriman.

15 hingga 17 Jun 2012, saya memenuhi program Tanyalah Ustaz TV9 membicarakan tajuk “Iktibar Israk dan Mikraj”

Yang paling saya suka kalau mengendalikan program Israk dan Mikraj ini ialah saya dapat kongsikan gambar-gambar di sana kerana Alhamdulillah, saya telah direzkikan banyak kali ke sana.

Malam ini 18 Jun 2012, saya akan sekali lagi bersama rombongan melawat ke al-Aqsa.

InsyAllah, pada bulan Oktober sekali lagi saya akan ke sana, menyambut hari raya aidil Adha di sana, bulan 11 pun ada juga menyambut awal Muharram di sana.

Bagi yang tak sempat untuk bersama di dalam tanyalah ustaz ini, insyaAllah, rakamannya akan di “upload” ke blog ini.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

18 Jun 2012 jam 730 pagi

P1000051

Persediaan sebelum bersiaran

P1000067

Bersama krew bertugas

Thursday, June 14, 2012

Bicara Ilmu 60 – “Mengingati Nabi Dengan Membaca Ayat Yang Terdapat Di Makamnya..”

Sempena dengan Israk dan Mikraj yang akan kita lalui minggu depan, ingin saya kongsikan amalan yang boleh menjadikan kita mengingati Nabi.
Ayat ini terdapat di hadapan makam junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW.
Sekali kita membaca potongan ayat ini, pasti hati kita akan mengembara jauh sehinggalah sampai di hadapan makam Nabi SAW.
InsyaAllah, pada Isnin 18 Jun ini, saya bersama 30 orang jemaah akan bertolak ke al-Aqsa dan kami akan meraikan Israk dan Mikraj di dari bumi yang mempunyai kaitan secara langsung dengan peristiwa Israk dan Mikraj ini.
Semoga Allah terus merezkikan saya dan seluruh sahabat maya orang yang mencintai Allah dan RasulNya, amin…
“Ilmu Asas Amal”
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
14 Jun 2012 jam 1.20 pagi

Wednesday, June 13, 2012

Bicara Ilmu 59 – “Behind The Scene IKIM – Dilema Kewangan Rumah Tangga..”

Isnin 11 Jun 2012, hari ini saya bertolak awal ke IKIM, sebelum jam 10 pagi saya telah sampai di Jalan Duta.
Pagi ini saya membincangkan satu delima yang sering ditanyakan di dalam kursus atau majlis-majlis ilmu yang saya kendalikan iaitu “Delima Kewangan Rumah Tangga..”
Kesempatan pagi ini, kita kongsikan lima delima kewangan dalam rumah tangga iaitu:-
1. Suami bekerja dan isteri sangat boros
2. Suami yang terlalu berkira
3. Perkongsian ekonomi antara  suami dan isteri sehingga suami tidak dapat menerajui rumah tangga dengan baik
4. Isteri yang melebihi suami di dalam kewangan  sehingga hilang hormat
5. Delima isteri atau suami yang tahu pasangannya terlibat dengan harta haram.
Bagi siapa yang tidak berkesempatan untuk mendengar, bolehlah mendengar dari rakaman di bawah.
“Ilmu Asas Amal”
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
13 Jun 2012 jam 12.15 tengah malam

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...