Monday, June 27, 2011

Diari 318 – “Kelas Robotik Maahad Sains al-Quran al-Amin..”

Dulu, kalau bicara mengenai budah tahfiz, gambarannya mesti jumud dan tak tahu dunia luar.

Inilah yang saya lalui ketika saya belajar di Madrasah Tahfiz 20 tahun dahulu.

Kini, saya diamanahakan untuk memimpin sebuah sekolah tahfiz peringkat menengah di Sunway iaitu “Mahaad Sains al-Quran al-Amin” (MASAA), sebuah sekolah tafiz yang tidak memisahkan antara agama dengan akademik.

Di MASAA, semua anak-anak yatim al-Ijabah belajar di sini.

Di sini para pelajar diintegrasikan antara tahfiz al-Quran, agama dan juga akademik. Tingkatan limanya mengambil aliran Sains.

Ketika saya berprogram dengan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Seksyen 34 Shah Alam,  (ADVANCED TRAINING TECHNOLOGY CENTER) di dalam program usrah TV9, saya terus berbincang untuk menghantar anak-anak tahfiz di bawah jagaan saya berkursus mengenai robotik di sini.

Pihak pentadbiran Adtech setuju dan satu modul dua hari disusun untuk anak-anak MASAA. Tujuannya adalah untuk mencambahkan minat mereka pada Sains walaupun mereka berada di dalam bidang tahfiz.

25 Jun – 26 Jun, sejuk hati saya melihat anak-anak pelajar saya bersungguh-sungguh mempelajarinya. Mereka cukup minat dan ini yang kita mahu tanamkan iaitu belajar tahfiz al-Quran dan tahu juga menganai sains dan teknolongi.

Semoga satu hari nanti mereka akan menjadi orang-orang hebat di dalam memenuhi keperluan negara dan dapat berbakti untuk negara tercinta ini, amin..

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

25 Jun 2011/ 27 Jun 2011 jam 8.30 pagi

IMG_2091

IMG_2085

Bersungguh-sungguh anak-anak ini di dalam kelas Robotik

IMG_2098

Bersama En. Ubaidulllah, pensyarah di Adtech ini.

IMG_2103

IMG_2104

Semoga mereka menjadi penghafal al-Quran yang celik Sains dan Teknologi, amin…

Diari 317 – “Jom Ke Pesta Buku Shah Alam”

24 Jun hingga 3 Julai, Perpusatakaan Shah Alam menganjurkan Pesta Buku. Banyak gerai-gerai buku menyertainya.

Bercerita mengenai buku, saya sangat meminatinya hingga bercita-cita untuk membuka perniagaan berkaitan dengan buku sama ada menulis, mencetak, menjual dan apa-apa pun yang berkaitan dengannya.

Dan hari ini, dengan izin Allah, ia telah ditunaikan. Allah telah kurniakan saya sebuah kedai buku di Axis Ampang dan di Pesta Buku Shah Alam ini juga, saya mengambil sebuah gerai untuk tujuan itu.

Dan kalau nak tahu, video yang terdapat di dalam Youtube mengenai “pencuri buku agama” tu, di kedai saya le tu :)

Walaupun ada orang yang mengatakan bahawa buku adalah “Dying Business” tapi saya menceburinya kerana minat pada bidang ini.

Di bawah ini, kita boleh lihat dua sudut kejadian mencuri di kedai buku saya, bilangannya agak banyak juga.. tapi tak apalah, saya halalkan sahaja, barang kali orang ini minat nak baca, tapi tak mampu nak beli, dan bilangan yang banyak barangkali nak kongsi dengan saudara maranya…

Semoga satu hari nanti, bidang ini akan dapat dibuat dengan skala yang lebih besar lagi, amin…

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

25 Jun 2011/ 27 Jun 2011 jam 7.50 pagi

IMG_2036

Gerai buku saya di Pesta Buku Shah Alam

IMG_2030

Suasana di dalam gerai di pesta buku

Youtube ini diupload oleh pekerja saya, ia sebagai iktibar bahawa pencuri berada di mana-mana disekeliling kita..

Bicara Ilmu 37 – “Promise” – Bagaimana Mahu Bercerita Mengenai Neraka…?

Ada dua cara kalau hendak bercerita mengenai neraka…
1. Berbicara dengan penuh menggambarkan kegerunan dan balasan yang amat dahsyat jika seorang itu melakukna maksiat
2. Berbicara dengan penuh kasih sayang dan menggambarkan bahawa walaupun wujudnya neraka, tapi rahmat dan pengampunan Allah itu sangat besar.
Kedua-dua cara ini dibicarakan mengikut siapa pendengar. Jika pendengarnya memang orang yang selalu engkar pada Allah, maka pendekatan pertama bagus, tapi jika orang yang memang sudah baik, pendekatan kedua lebih baik.
Baru sahaja pulang dari China, 25 Jun 2011 jam 9.00 pagi, saya memenuhi undangan program menyemarakkan Islam Selangor (Promise) di Shah Alam.
Tajuk yang diamanahkan pada saya adalah mengenai neraka…
Di dalam perjalanan saya memikirkan kaedah mana yang bagus untuk dibicarakan, sama ada kaedah satu atau dua. Modul “Promise” yang ada di tangan saya membawa pendekatan yang pertama iaitu mengenai dahsyatnya neraka dan kegeruanan padanya.
“Tapi orang di Promise rata-ratanya orang masjid, maknanya orang yang dah mahu meningkatkan diri…” bisik hati saya.
Jadi, saya membawa pendekatan kedua…
Kalau kita baca di dalam hadis nabi mengenai Neraka, bagi umat Muhammad, mereka hampir mustahil masuk ke dalam neraka kerana banyak kelebihan-kelebihan yang Allah berikan pada umat Muhammad, antaranya…
1. Gandaan pahala
2. jika berniat nak buat pun dah ditulis pahala
3. berbuat dosa akan ditulis satu dosa tapi berbuat pahala boleh digandakan hingga ratusan kali ganda.
4. Peluang taubat yang sentiasa terbuka
5. dan lain-lain lagi.
Sehingga di dalam hadis Nabi SAW pernah bersabda..
“Semua kamu akan masuk ke dalam syurga melainkan orang yang enggan. Para Sahabat bertanya, siapakah orang yang enggan itu wahai Rasullullah? sabda Nabi SAW, siapa yang mentaatiku maka dia adalah orang yang akan masuk ke syurga dan siapa yang mengingkariku itulah orang yang enggan”
Dalam hadis ini jelas menyatakan peluang yang besar bagi kita umat Muhammmad untuk masuk syurga. Cuma orang yang enggan sahaja yang tidak berpeluang untuk ke sini.
Orang yang enggan ialah:-
1. Orang kafir
2. Orang munafiq iaitu orang yang hatinya ada perkara yang dia ragu pada Islam
3. Orang ahli maksiat yang tidak mahu bertaubat. Maksudnya tidak ada di hatinya untuk memperbaiki dirinya.
Jika kita tidak tergolong di dalam tiga golongan di atas maka kita akan sentiasa mempunyai peluang yang besar untuk ke syurga.
Semoga Allah anugerahkan saya dan semua rakan maya peluang yang besar untuk ke syurga, Amin…
“Ilmu Asas Amal”
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
25 Jun 2011/ 27 Jun 2011 jam 7.30 pagi
IMG_2015
IMG_2025
Program ini sangat bagus kerana ia memberi peluag bagi yang tidak sempat untuk berkuliah di malam hari untuk datang ke sini

Sunday, June 26, 2011

Jom Kongsi Pengalaman 76 – Tentera Terracotta

22 Jun 2011, hari ini perjalanan kami di Xi’an diteruskan melihat tempat pengebumian Maharaja China yang pertama iaitu Qin Sin Huang dan tentera tanah liatnya atau lebih dikenali dengan Terra Cotta Army.

IMG_1916

Qin Sin Huang dikatakan sebagai Maharaja Cina yang pertama kerana kejayaannya menundukkan dan menyatukan 6 wilayah besar negeri Cina. (pintu masuk kawasan ini terdapat gambaran Qin Sin Huang)

IMG_1917

Untuk masuk ke kawasan ini, kita perlu membayar tiket RMB 110 atau lebih kurang RM 55

IMG_1918

Kita digalakkan untuk menaiki kereta elektrik dengan bayaran RMB 5 (RM 2.50) untuk sampai ke kawasan Terra Cotta ini atau kita perlu berjalan selama 20 minit untuk sampai ke lokasi Terra Cotta.

IMG_1920 

Pengunjung menunggu giliran menaiki kereta elektrik. Memasuki kawasan ini, kita dibenarkan membawa kamera, tidak seperti di Mesir yang memerlukan bayaran tambahan untuk membawa kamera.

IMG_1923

Replika kedudukan muka bumi kawasan ini. Qin Sin Huang mati di Beijing tetapi ditanamkan di sini kerana dia percaya kepada Feng Shui bahawa tempat ini bagus untuk penghidupan akan datang. Ini kerana Ia ditanam di antara gunung yang kaya dengan jade dan emas dan juga sungai yang kaya dengan timah dan tembaga. Qin Sin Huang mempunyai 2000 gundik dan 1000 orang dibakar hidup-hidup ketika kematiannya.

IMG_1925

Terdapat 8000 tentera tanah liat yang dibina sebagai kepercayaan bahawa ia akan menjadi tenteranya selepas kematian.

IMG_1926

Mereka membuat patung tentera ini cukup teliti hingga setiap muka dari mereka tidak sama.

IMG_1932

Setiap satu beratnya dari 110 kg hingga ke 300 kg, ada yang kosong dalamnya dan ada yang solid.

IMG_1944

Patung di sini terbahagi kepada 4 golongan iaitu hamba, tentera, pegawai dan jeneral. 

IMG_1947

Walaupun pembinaan patung di sini bukan untuk penyembahan, tapi di dalam Islam ia tetap tidak dibenarkan, kerana ia berkaitan dengan kepercayaan. Mengenai patung yang dibenarkan hanya satu sebab sahaja iaitu permainan.

IMG_1948

Di sini ada beberapa kawasan. Pit 1 untuk tentera biasa, pit 2 dan pit 3 untuk pegawai dan jenera. Ada 8000 patung tentera dan 68 patung  pegawai.

IMG_1950

Ada 7 patung jeneral tapi hanya satu sahaja yang dikeluarkan untuk tontonan umum

IMG_1965

Apa yang menarik ialah patung ini sebenarnya mempunyai warna seperi manusia, mukannya warna pink dan coklat, bajunya warna biru, kasutnya warna hitam. Tapi setelah mereka keluarkan, warna ini semakin hilang dan pudar

IMG_1966

Kawasan perkuburan Maharaja belum dibuka untuk umum, ini kerana ia masih dalam kajian dan bahaya kerana di kawasan itu penuh dengan mecury

IMG_1969

Mereka telah ada sistem untuk bezakan antara tentera. Kalau askar biasa, mereka kena ada misai dan janggut,  kalau pegawai hanya misai, kalau jeneral, hanya misai tetapi ia melentik ke atas dan kalau maharaja, ia berjanggut panjang.

IMG_1972

Patung jeneral

IMG_1974

Kedaan tangan jeneral yang digambarkan seolah-olah memberi arahan

IMG_1975

Misai jeneral

IMG_1976

Muka tentera yang perlu ada misai dan sedikit janggut

IMG_1978

Gambaran tentera yang siap untuk bertempur

IMG_1983

Kereta kuda Maharaja

IMG_1987

Kawasan di luar kompleks

IMG_1992

Kami diajak melihat dokumentari selama 15 minit. Biasanya, cerita 2D atau 3 D, di sini 10D, kita dapat hayati seoalah-olah kita berada di zaman itu dari semua sudut dan arah.

IMG_1995

Kedai cenderahati

IMG_2003 

IMG_2004

Sesungguhnya, seorang itu berbuat hasil dari kepercayaan yang ada padanya, sebab itu dalam bab kepercayaan ini, ia sangat ditekankan dalam Islam. Ia diletakkan di dalam rukun iman kerana jika silap kepercayaan, maka orang akan silap di dalam tindakannya.

“Pengalaman Asas Hikmah”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

24 Rejab 1432/ 26 Jun 2011 jam 7.45 pagi

Thursday, June 23, 2011

Jom Kongsi Pengalaman 75 - Inside Masjid Xi'an

Kesempatan kali ini, mari kita kongsikan mengenai masjid Xi'an
Masjid ini adalah sebuah kompleks Islam yang terdiri dari dewan solat, tempat wuduk, pejabat, rumah tetamu, bilik mesyuarat, menara peninjau dan lain-lain lagi. Ia adalah satu contoh fungsi masjid yang berbagai dan bukan semata-mata dewan solat

Masjid ini telah didirikan sejak 1250 tahun lalu, binaannya masih kukuh dan dipelihara dengan baik

Menara Xi'an yang cukup terkenal. Dahulu muazzin melaungkan azan dari atas ini.
Terdapat batu bersurat dan batu-batu nesan lama di sini. Kubur salah satu syiar Islam, sebab itu kubur orang Islam akan terbeza dengan kubur orang bukan Islam. Jika terdapat perkuburan Islam, maka orang terkemudian akan dapat mengetahui bahawa pernah wujud umat Islam di tempat tersebut

Orang di sini azan dengan lahjah mereka. Mereka menghidupkan baris hujung seperti :- "Hayya Alas Solaaaaaatiiiiiii, Hayaa Alal Falaaaaaheeeeee..."

Terdapat binaan-binaan lain di dalam kompleks masjid ini. Ia unik dan cantik.

Bilik wudhuk dan tandas di dalam kompleks ini. Kompleks ini seluas 12 5oo meter persegi

Orang di sini mengambil wudhuk dengan membersihkan sekali badan mereka. Mereka akan membuka baju, mengelap badan dengan tuala yang mereka bawa kemudian mereka akan basuh tuala dan sidaikan di tempat yang disedaikan.

Peluang wudhuk akan digunakan untuk membersihkan sekali badan mereka.

Tandas di sini agak ringkas. Pintu hanyalah separuh dari badan.

Orang Cina banyak bermazhab Hanafi

Tuala yang digunakan untuk mengelap muka dan kaki setelah selesai mengambil wudhuk

Telaga lama yang terdapat di dalam kompleks masjid ini

Kalau masjid di Malaysia, masjid kebiasaannya akan dihiasi dengan ayat-ayat al-Quran yang dibuat dari batu mar-mar, di sini, ayat al-Quran dipahat pada kayu dan berada di dinding masjid

Di bahagian bawahnya pula adalah tafsiran dengan tulisan Cina

Masjid Xi'an ini dibuat dari kayu yang kuat dan telah berumur 1250 tahun. Bayangkan berapa ramai orang telah merebahkan dahinya untuk menyembah Allah di sini dan berapa banyak pahala generasi pertama yang mengusahkan agar masjid ini terbina. Orang Islam memainkan peranan penting di Xi'an ini terutamanya di dalam Dinasti Ming dan Dinasti Qing sehingga ada kajian yang menyatakan bahawa Maharaja Dinasti Ming adalah Islam.

Punya seni orang Cina muslim hingga lantai masuk pun diukir dengan gambar pokok tempatan

Hiasan dinding masjid dengan ukiran pohon-pohon kayu

selepas solat, ramai yang berkumpul dengan kami, mereka semua merasa gembira kita mengetahui bahawa kami orang Islam. Bagi orang Islam, masuk ke dalam komples masjid ini adalah percuma tetapi bagi orang bukan Islam ia dikenakan tiket untuk masuk

" Musaleeem?" (orang Islam ke?) tanya mereka. Kami mengangguk dengan senyum, mereka datang dan bersalaman penuh gembira sambil menunjukan pada pelancong yang ada di sebelah kami "kafiiir, kafiirr".


Sesungguhnya, masjid adalah syiar Islam dan di mana sahaja kita berada, barang pertama yang perlu kita wujudkan adalah masjid. Di dalam hadis, Nabi SAW bersabda:- "Barang siapa yang mendirikan masjid kerana Allah, maka Allah akan mendirikan baginya rumah-rumah di syurga".


Tinggal di kota Xi'an menjadikan kami merasa tenang kerana, walaupun berlainan bahasa dan bangsa, tetapi kami sebenarnya satu keluarga besar, keluarga muslim yang sentiasa berkasih sayang sesama kami.


Biasanya di Malaysia, kita bergaul dengan rakan-rakan Cina tetapi bukan dari keluarga Muslim, di sini, mereka beragama Islam, membaca al-Quran, bersolat, berselawat dan mengamalkan ibadah rutin bagi seorang muslim. Kita dapat rasakan tautan hati yang mesra bersama mereka. Semoga satu hari nanti, kita juga akan dikumpulkan di tempat yang lebih baik bersama kekasih kita Muhammad SAW, amin....


"Pengalaman Asas Hikmah"


al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Xi'an China

21 Rejab 1432/ 23 Jun 2011 jam 12.50 tengah malam