Saturday, May 28, 2011

al-Ijabah 96 – “Bas al-Ijabah, Semoga Kali Ini Lebih Baik…”

Kalau nak bicara mengenai rasa letih, tak tercakap lagi dengan karenah bas al-Ijabah yang asyik rosak dan rosak.

“Entahlah, saya pun tak tahulah.. agaknya ada hantu makan bas ni” kata saya pada pomen yang asyik dijemput datang untuk membetulkan bas anak-anak al-Ijabah. Tapi hakikatnya, memang keadaan bas kita yang sudah terlalu uzur.

Saya dicadangkan ke Taiping, khabarnya, bas di sana lebih murah dan lebih baik dari di Lembah Klang ini.

Khamis 16 Mei 2011, jam 7.15 pagi saya sudah bergerak dari rumah menujuk ke Taiping. Dalam jam 11.00 pagi sudah berada di sana bertemu dan berbincang mengenai bas.

“Ok ustaz, tak apa, nanti bas ini kita bawakan pada ustaz di Puchong” kata Rahim penjual bas ni.

“Kita kalau nak beli bas ustaz, jangan bas yang berhenti, sebab walaupun badanya nampak cantik tapi mungkin enjinnya bermasalah” katanya lagi memberikan tips pada saya untuk membeli bas.

“kalau beli bas yang memang berjalan, bermakna terbukti memang bas tu boleh berjalan” dia menambah.

Saya hanya merenung kata-katanya sambil sekali sekala menganguk-angguk membayangkan bas al-Ijabah yang asyik rosak dan rosak.

Dalam perjalanan pulang, anak buah saya Shafawi menyapa saya…

“Ustaz ni confident aje nak beli, kewangannya ada ke?”..

Saya hanya tersenyum dan sambil spontan menjawab…

“InsyaAllah…….”

Ada beberapa pembaca blog yang telah memasukkan sumbangannya untuk membeli bas, walauberapa pun amaunnya, saya ucapkan jutaan terima kasih, yang penting bukan banyak atau sedikit, yang penting kita dapat menyediakan kenderaan untuk anak-anak yatim dan tahfiz al-Ijabah ke sekolah mereka.

(Siapa yang nak bersama-sama untuk membuat wakaf bas ini, dialu-alukan untuk menyumbang ke dalam akaun Yayasan al-Ijabah)

Sabtu 28 Mei 2011, jam 11.00 pagi, bas yang dibeli telah dihantar ke asrama al-Ijabah.

“Mari biar saya sendiri yang “test” bas ni, saya tak mahu jadi kali kedua, beli bas tapi asyik rosak, rosak dan rosak” kata saya.

Saya mula menghidupkan enjin bas jenis Scania ini. Enjinnya kedengaran lembut dan nampak bagus.

Saya membawa bersama anak buah saya dan pemandu baru al-Ijabah. Waktu ini, saya memakai jubah dan kopiah putih kerana baru balik dari ceramah di Bangi.

Saya memandu masuk ke dalam lebuh raya elit dari Putra Heights. Ketika mengambil tiket, penjaga pondok tol asyik senyum pada saya. Saya pun tak tahu kenapa…

Waktu ini, kawasan di sini hujan dan agak lebat, semua alatan di dalam bas berfungsi. Saya membawa bas turun ke susur USJ dan terus menuju ke pondok tol. Ketika sampai ke pondok tol, saya memberikan tiket tol kepada penjaga pondok itu, seorang perempuan lingkungan tengah dua puluhan. Dia juga tersenyum pada saya..

“apa kena ni..” bisik hati saya sambil mencari duit di poket kanan dan kiri untuk membayar harga tol.

Perempuan ini tersenyum dan kali ini dia menyapa..

“Hai ustaz, kali ni bawa bas pulak ke?....

“Haa..” kata saya kerana tidak perasan apa yang dia kata..

“Tak ada.. hari ni bawa bas pulak ke? hari tu naik motor..” katanya lagi sambil tergelak.

Yang ada bersama saya semuanya ketawa…

Rupanya baru saya perasan, ada anak-anak muda yang mengikuti program Usrah di TV9 dan melihat perbahasan ketika saya menaiki motor bersama mat rempit. Ketika itu saya membahaskan tajuk “Pengurusan Akhirat”. Kita membawa mat rempit bersihkan kubur…

“Ye laaaa… kata saya sambil tergelak kecil.

Saya sampai kembali ke asrama al-Ijabah.

“Oklah.. jadi kita beli bas ni”, kata saya yang nampak begitu yakin sedangkan dana untuk bas ni belum cukup.

Tapi saya yakin satu perkara, kalau kita membantu agama Allah, pasti Allah akan membantu kita. Dan itulah satu kata-kata perangsang selama ini.

Semoga kali ini, tak ada pening kepala lagi memikirkan mengenai kenderaan anak-anak Ijabah dan semoga dengan kemudahan yang diberikan Allah, anak-anak ini akan terus belajar sehingga berjaya di dalam pelajaran mereka, amin..

“al-Ijabah Bersatu Kita Berbakti”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

24 Jamadil Akhir 1432/ 28 Mei 2011 jam 6.30 petang

IMG_0348

Mencari bas sampai ke Taiping

IMG_0363

kami bertemu di bengkel, suka saya melihat besi-besi enjin ini

IMG_0393

semoga kali ini lebih baik

IMG_0436

“Kali ini biar saya sendiri yang bawa” kata saya mencuba bas yang baru ini.

Diari 308 – Kem Kepimpinan Maahad Sains al-Quran al-Amin

Selesa 24 Mei 2011 jam 9.00 pagi, seronok rasanya melihat anak-anak didik dari Maahad Sains al-Quran al-Amin bersiap-siap untuk ke Sungai Congkak. Mereka semua akan menyertai Kem Kepimpinan kali ke 3 yang dianjurkan oleh Maahad.

Saya hanya bersama mereka di Maahad, kemudian mereka dan para guru akan menaiki bas ke Sungai Congkak. Saya akan bersama mereka lagi dalam perasmian pembukaan program jam 2.00 petang.

Rasanya tidak perlu menjadi terlalu stress di dalam pembelajaran kerana proses pembelajaran bukan semata-mata melibatkan IQ, tapi faktor lain yang perlu dibangunkan juga adalah aspek emosi, spiritual dan sosial. Jika semata-mata IQ dibangunkan, nanti lahir orang yang hebat akalnya tetapi kurang dari segi syakhsiahnya.

Sistem pendidikan di Maahad Sains al-Quran al-Amin menekankan tujuh penekanan:-

1. Pembentukan AKADEMIK

2. Pembentukan SOSIAL

3. Pembentukan SYAKSIAH

4. Pembentukan AKHLAK

5. Pembentukan FIZIKAL

6. Pembentukan JATIDIRI

7. Pembentukan EMOSI

Ia mengidamkan lahirnya kepimpinan umat Islam yang berketrampilan dan dapat mendepani cabaran semasa di dalam membangunkan agama Islam, bangsa umat Islam dan tanah air Islam. Peningkatan sebahagian kualiti umat Islam sekarang sebenarnya telah semakin meningkat secara menyeluruh tanpa menafikan kerosakan sebahagian yang lain juga semakin membimbangkan.

Semoga, kem yang berjalan selama tiga hari ini menjadi salah satu program yang menyuntik anjakan paradigma para di Maahad ini dan semoga Allah terus memelihara generasi ini untuk menjadi generasi Rabbani, pemangkin kepada ummah akan datang, amin…

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

24 Jamadil Akhir 1432/ 28 Mei 2011 jam 6.00 petang

IMG_0275

Bersiap untuk berangkat ke Sungai Congkak

IMG_0294

IMG_0295

Sebahagian pelajar MASAA

IMG_0298

di mulakan dengan Doa

IMG_0306

Ucapan pembukaan, saya suka menyuntikan semangat dan kesedaran di dalam mengharungi hidup masa hadapan

IMG_0303

Dengan lafaz “Bismillahir rahmannir Rahim” saya merasmikan program ini…

IMG_0331

pembentangan kumpulan..

Wednesday, May 25, 2011

Jawapan Pada Persoalan 128

Alhamdulillah, baru ada kesempatan untuk berkongsi soalan yang diajukan

Guest salam ustaz, mcmana nak tenangkan hati di tempat kerja.2011-02-08 2:50 AM

Ingat Allah

Assalam.. ustaz, kalau telekung yang nampak bayang badan boleh tak digunakan untuk solat? Tolong ustz jelaskan yg dikatakan kain telekong jarang itu bagaimana? 2011-02-08 1:44 AM

Jarang apabila nampak warna kulit dan tak boleh nak dibuat solat kerana apabila nampak warna kulit seakan tidak berpakaian

Assalam.. apakah persediaan yang sebaiknya sebelum kita menunaikan umrah? saya belum pernah ke Mekah? Rasa risau pulak... 2011-02-08 1:42 AM

Jaga hati, jaga lisan, jaga mata

HZ Ustaz, kalau darah haid berhenti waktu zohor di pejabat, bagaimana nak solat? Tiada kelengkapan? 2011-02-08 1:38 AM

Kalau mampu mandi dan bersihkan diri buat, kalau tidak gantikan nanti setelah dapat buat dan minta ampun pada Allah

Gegirl Ustaz, suami saya pernah curang (ada temn wanita) tapi dah insaf. Bagaimana saya nak hilangkan rasa curiga/berprasangka dan dendam pada suami? 2011-02-08 1:36 AM

Ubat hati dengan zikrullah

HZ Ustaz, kalau kita balik kg lebih dari 3 hari, boleh jamak tak 3 hari pertama semasa berada di kg tersebut? 2011-02-08 1:33 AM

Boleh

HZ Ustaz, Keretapi tanah melayu (laluan utara) tiada surau. Bagaimana nak solat? boleh solat menghormati waktu tak? Lepas tu ena qadho solat ke? 2011-02-08 1:31 AM

Solat semaksima mampu di mana-mana tempat sesuai

Firzi Salam, ustaz saya bru trsadar dari sebuah mimpi mati. Saya menangis2 agar diberi peluang kedua lantas saya terjaga smbil air mata yg mngalir. Soalan: Adakah mimpi itu hanya mainan tidur? atau saya telah mndapat sebuah peringatan? saya benar2 insaf dan bertaubat2011-02-08 1:25 AM

Untuk keinsafan

Ariff Sy br keluarkan wang epf. EPF klrkan cheque atas nama pihak bank. Sy hanya mmgang cheque shj dn mghntrnya kpd pihak bank. Adakh sy kn klrkan zakat. 2011-02-08 8:09 AM

Kena

Guest salam ustaz, macamana nak buat kalu kita ada perasaan pada suami orang??2011-02-08 7:31 AM

Ubat dengan zikrullah

Guest ust, hukum khitan anak permpuan 2011-02-08 7:28 AM

Sunat

RRaheemi Salam Ustaz Amin, keluarga isteri saya terdiri daripada lima adik beradik yang semuanya perempuian. Ibu mertua saya yang berusia 83 tahun kini berada dibawah jagaan kesihatan Kakak Sulung beliau lengkap dengan bantuan jururawat peribadi kerana ibu mertua saya ini mengalami sakit tua & 'bed ridden'. Ibu mertua saya ini ditempatkan disebuah apartment berdekatan dengan apartment anak Kakak Sulung isteri saya & juga utk memudahkan berulang alik ke hospital. Permasaalahan yang timbul adalah perihal harta ibu mertua saya yang berbentuk sebuah rumah yang ingin dijual oleh adik beradik isteri saya sementara ibu mertua saya masih hidup tetapi didalam keadaan ibu mertua saya yang sakit tua. Adakah ini melanggar apa2 hukum hakam kita yang beragama islam atau adakah ianya boleh dilakukan. Harap Ustaz dapat nasihatkan. Trima kasih. 2011-02-09 3:46 AM

Boleh dengan keredhaan ibu

hambaAllah9211 salam ustaz, saya memnag teringin untuk mengerjakan umrah sebelum berkahwin.Masalahnya ibu saya belom menunaikan umrah/haji.keadaan kewangan membenark membenarkan sy soerg ja yg pegi?apa pendpt ustaz?sy mmg teringin nk pegi 2011-02-09 2:09 AM

Hantar ibu dulu jika ibu sudah agak jauh umurnya…

Guest Salam Ustaz, minta p'jelasan, bolehkah seorang Islam mengambil Bee Pupae (8-14 days honey bees) sebagai supplement? sekarang byk di jual di farmasi. 2011-02-08 3:20 PM

Jika ada cap halal JAKIM, boleh..

nur salam ustaz..nk tanya apa hukumnya klu si suami mengatakan "aku haramkn apa yg aku beri selama ni".. minta ustaz jelaskan..terima kasih.. 2011-02-09 6:58 AM

tak ada kesan sebab perkara pemberian telah berlaku dan tidak boleh ditarik balik

RR salam..ustaz..sy ada sorg kwn y mpnyi msalh rumahtgga.suami dia sorg y sperti xmngetahu tggungjwbnya pd dia n ank2,slma 4thun bkhwin xpernah suami dia sbg sorg isteri.n bgai2 msalh dlm kwangan slain suaminya sorg y boros.slma hidup dgn suami xpnah suami mbwa dia n ank bcuti mhupun melayan khndk dia utk uruskn ank pun dia sndiri lakukan malah suami dia bekira dgn dia soal uruskn ank.y sy kesian dia xmcm suami isteri y lain sntiasa bgaduh n ada maslh dgn suami dia.apa y suami dia jnji pasti suami dia mngkiri,n dia sntiasa bsabar,salah ke ustaz kalu kita ada ms teluang n bawa istri n ank2 bcuti.dia speti patung y bial kiyt nk main kita ambil bila xnk kita buang.suami dia law dia ajak solat pun melnting,mrh n ckp ko jgn sibuk hal aku, pas 2 xsmpat 5minit suami dia blh baik pulak.mcm lupa apa y dia ckp n mrhkn td.sy dgr mcm mrka nk bpish tp dia harp suami nk bwt konsling kt pjbt agam tp suami dia xnk.dia kesiankan ank2 dia 2org n dia msih muda umur 24thun..mintak ustaz bg pnyelesain n jwbn utk dia hadapi semua ni... apa y patut dia bwt selain bsabar n bdoa 2011-02-09 5:12 AM

Walaupun suami tak terima, teruskan teguran dan hinggalah akhir hayat..

Guest assalamualaikum ustaz.kmi dah berkawin selama 24 tahun dan mempunyai 5 orang anak..anak2 semua masih belajar..gaji suami rm2300 sebulan, 2 thn lepas, suami saya ada berkawan dgn janda ank 4..dan mereka rancang nak berkahwin dan suami nak madukan saya.apakah pandangan ustaz tentang masalah ini?bolehk 2011-02-10 3:31 PM

Kalau mampu boleh, kalau tak mampu tak boleh..

Guest salam ustaz, sah ke solat jika semasa sujud tapak tangan berlapik dengan telekung ? t.k2011-02-10 11:26 AM

Sah mengikut sebahagian ulama, dan ada yang mengatakan sebaliknya, tapi sebaiknya biar tangan terus cecah lantai

Ibu Salam ustaz. Apakah cara terbaik menguruskan tembuni. Rumah tak de tnh utk ditanam. Bgm cara yang sesuai dilakukan. Tk 2011-02-10 5:52 AM

Tak ada tanah, tanam tempat lain, asalkan jangan di tempat hina seperti tempat najis

Insan Salam. Bgm cara untuk menguba hati yang sedih bila mengenang dah hampir 20 thn berkhidmat dalam perkhidmatan awam tapi tak pernah dpt penghargaan spt2011-02-10 5:46 AM

Syukur kerana terlalu banyak lagi nikmat yang ada di sekeliling

Guest boleh tak kita solat sunat lepas waktu subuh2011-02-09 3:47 PM

Tak boleh kecuali beberap solat iaitu tahyatul masjid, solat jenazah dan solat gerhana

Ayu Ustaz, ingin bertanya soalan tentang zakat, adakah wajib dikenakan zakat jika kita membuat pengeluaran KWSP untuk membayar yuran pengajian? Jika di kenakan zakat,bagaimana pula jika KWSP membuat pembayaran terus ke Jab Bendahari Universiti, adakah itu dikira pemilikan yg sah? 2011-02-14 8:51 AM

KWSP adalah zakat simpanan, kalau keluarkan elok kira dan tunaikan dengan baik..

mimi salam ustaz.saya beli banyak buku agama apa hukumnya jika saya tak baca buku tu.kerana terlalu banyak buku sampaikan tak terbaca 2011-02-12 2:01 PM

kalau tak baca sampai jahil tentang rukun iman dan islam, maka berdosa

Guest salam ustaz...adakah bulu hidung yg terkeluar ketika bersin semasa dlm ihram akan dikenakan dam?berapakah bayarannya.... 2011-02-11 10:26 AM

Kalau semulajadi, tak apa.

Aisyah KT Salam Ustaz Amin, tumpang bertanya. Apakah hukum menggantung gambar keluarga sebagai perhiasan di rumah? Ada ustaz yang kata tidak boleh. 2011-02-16 10:49 AM

Kalau untuk pemujaan tak boleh, untuk kenangan taka pa

Guest salam.. ust,sy ni seorg pnjual shisha,br2 ni sy ade dgr dlm tv shisha d katekn haram utk d isap,krna mngndungi bhn2 y trlrg. apa pndpt ust? 2011-02-16 6:00 AM

Kalau jelas memudhratkan, maka haram

beeboo salam ustaz, saya nak tnya. baru2 ni ada berlaku salah faham dgn keluarga mertua. Mertua saya buat keputusan yang saya x blh jejakkan kaki ke rmhnya. apa yang perlu sy buat ustaz?? mertua juga menuduh saya kurang ajar. 2011-02-16 4:20 AM

sabar dan usaha baiki perlahan-lahan

zul utz, sy nak sedekah nilai emas berat rambut anak sy dekat al ijabah boleh ke? nak cari pakir miskin skrg pun susah.. 2011-02-16 1:16 AM

boleh

jamalabdillah ap hukum org muslim pegi tempt2 ibadah bkn islam dgn niat untuk melancong saje? 2011-02-15 4:09 PM

niatkan untuk iktibar dibolehkan tetapi boleh jatuh makruh atau haram jika ia boleh menjadikan seseorang itu ragu-ragu hatinya

Guest ustaz makluman lanjut mgenai manuskrip melayu dirussia takde ke?2011-02-14 1:34 PM

Ada

Semoga menepati kehendak soalan..

“Ilmu Pelita Hidup”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

21 Jamadil Akhir 1432/ 25 Mei 2011 jam 11.30 malam

Tuesday, May 24, 2011

Universiti Kehidupan 195 – “Melihat Masa Dari Bidang Penerbangan…”

Rasanya lama saya sudah tidak bercerita mengenai “Universiti Kehidupan”, satu catatan yang diakhiri dengan pengajaran di bawah lembayung syarak.

Dalam kesibukan pengurusan rumah anak Yatim dan HIV, saya memulakan kembali kelas yang lama ditinggalkan. Iaitu kelas mengenai penerbangan.

24 Mei 2011, saya menghadiri kelas “Navigation”, bagaimana ingin mencari arah di dalam penerbangan.

“Ah.. kena ulang kaji pelajaran Sains tingkatan lima yang telah berbelas tahun ditinggalkan” bisik hati saya ketika melihat sukatan mengenai membaca peta dari sudut Longitude dan Latitude.

“Ok, Muhamad, sekarang cari bacaan bagi Ipoh? kata pengajar malam ini, Captain Kumar. Dia membentangkan peta Malaysia kepada saya.

Agak terkial-kial juga mencari bacaan bagi Ipoh.

“Ok Capt, bacaan Ipoh Latitude 04’34 N dan Longitude 101,05 E…” kata saya tersengeh kerana tidak pasti akan jawapan yang diberikan.

“Ha.. betul lah tu… kata Captain.

“Alhamdulillah, betul pun”. kata saya. Barulah saya dapat peka dengan nombor yang diberikan oleh mesin GPS  jika kita menekankan kedudukan kita di sesebuah tempat.

Setelah lebih sejam mempelajari mengenainya, kami meneruskan ke tajuk lain..

“Ok, sekarang kita belajar “Navigation Log” kata Captain Kumar.

Kami diminta untuk memenuhkan “Navigation Log”. Di antara yang penting di isi ialah ruangan ETE (Estimated Time En Route) iaitu jangkaan masa penerbangan dari tempat bertolak hingga ke tempat sampai.

Kami mula mengira. Kalau dari lapangan terbang Subang ke Melaka, penerbangannya dalam jangkaan 40 minit. Dan ia tidak boleh suka-suka terbang. Sudah ada jalan yang perlu diikut. Dari Subang perlu melalui Petaling Jaya, kemudian ke Kajang, dari Kajang akan ke Mantin kemudian ke Seremban, kemudian melalui ruangan udara Pedas, kemudian Alor Gajah dan barulah sampai ke Melaka.

Dan setiap laluan ada anggaran masa yang perlu diisi oleh seorang juruterbang.

“Habis, kalau tower di Melaka tidak menerima isyarat diri kami dalam 40 minit penerbangan, macam mana? Tanya saya pada Captain Kumar.

“Ha.. dia akan hantar orang pergi cari you le..” kata Captain Kumar sambal tertawa kecil.

Bermakna, akan ada satu pasukan penyelamat diutus jika masa sepatutnya sampai kita tidak tiba.

Begitu pentingnya masa di dalam sesuatu penerbangan.

Kenapa begitu penting? kerana ia berkaitan dengan keselamatan…..

Bagaimana dengan kehidupan kita?.....

Kenapa masa begitu penting?...

Ya… kerana ia berkaitan dengan keselamatan juga.., keselamatan hidup di dunia dan keselamatan hidup di akhirat.

Kita telah diberikan satu masa sunnah untuk sampai. Jika dari lapangan terbang Subang ke Melaka 40 minit, maka dari kelahiran kita ke masa sampai perpindahan alam adalah 63 tahun, umur sunnah seperti yang diberikan kepada baginda Rasullullah SAW.

Jadi setiap tahap, kita perlu mengukur diri kita bahawa kita semakin hampir dengan tempat ketibaan. Mungkin sekarang kita berumur 30 tahun, bermakna masa ketibaan untuk ke akhirat dari segi sunnahnya tinggal 33 tahun. Kalau 40 tahun? Maka hanya tinggal 23 tahun, kalau 50? Tinggal 13 tahun. Kalau 60? Tinggal 3 tahun.

Mungkin kita punyai lebihan masa kerana penerbangan kita agak perlahan, atau kita mungkin tidak sampai pada masa sunnah yang diberikan kerana terhempas ditengah jalan atau terpaksa mendarat secara kecemasan di tempat lain. Maka kita perlukan panggilan kecemasan untuk membantu kita agar selamat.

Itu di dalam penerbangan, bagaimana di dalam kehidupan?

Ya.. dalam kehidupan, kita juga pasti akan mendarat sama ada pada umur sunnah 63 tahun, atau lebih dari itu atau kurang dari itu. Yang pasti kita kena mendarat dan memang akan mendarat.

Apakah yang boleh menyelamatkan kita jika tiba-tiba kita terpaksa mendarat sedangkan pada umur yang tidak sampai 63 tahun?

Ya.. Nabi SAW selalu mengingatkan kita tentang perkara boleh menyelamatkan kita. Antara yang terpenting adalah kita berusaha membuat amalan yang kekal pahalanya.

Di dalam hadis Nabi SAW menyatakan bahawa:-

“Ketika mati anak Adam, terputuslah amalannya keculai tiga perkara, ilmu yang bermanfaat, sedekah Jariah, dan doa anak yang soleh”

Persoalannya, berapa ramai yang sedar kepentingan masa penerbangan dalam hidup dan berapa ramai orang yang telah membuat persediaan untuk selamat jika tiba-tiba terpaksa mendarat?

Semoga Allah rezkikan kita menjadi orang yang bijaksana iaitu orang yang sentiasa membuat persediaan untuk hari mendaratnya. Dan semoga Allah hindarkan kita dari menjadi orang yang rugi, iaitu orang yang lalai dari membuat persediaan hidupnya, amin…

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

20 Jamdil Akhir 1432/ 24 Mei 2011 jam 2.00 pagi

IMG_0272

Bersama Captain Kumar, ada iktibar dari setiap ilmu yang Allah berikan pada kita…

Thursday, May 19, 2011

Bicara Ilmu 34 – “Jom Kongsi Pengalaman Di IKIM..”

Isnin 16 Mei 2011, pagi ini jam 9.00, saya merasmikan sambutan Hari Guru di Maahad Sains Al-Quran al-Amin di Kompleks 3 C, Bandar Baru Sunway.

Melihat anak-anak murid saya ini, sejuk hati kerana harapan agar mereka menjadi pelapis kepada kepimpinan akan datang. Di dalam ucapan saya, sering saya ingatkan mengenai adab terutamanya adab kepada guru dan ilmu.

“Hebatnya manusia kerana, ilmu, hebatnya ilmu kerana keberkatan dan cara untuk mendapatkan keberkatan adalah dengan menjaga adab”

Sebab itulah Imam Malik berpesan, belajarlah adab dan kemudian belajarlah ilmu. Ini kerana ilmu tanpa adab akan melahirkan ilmu tanpa keberkatan.

“Dengan lafaz Bismillahhirrahmanir Rahim, saya merasmikan sembutan Hari Guru bagi tahun 2011 ini.”

Jam 9.20 pagi, saya terus ke IKIM. Setiap hari Isnin minggu kedua dan ketiga jam 10.00 pagi, saya akan bersama sidang pendegar membicarakan mengenai hak-hak wanita di IKIM.

Dalam sejam perbahasan, saya ingin kongsikan satu soalan yang diajukan oleh seorang pendengar yang berkongsikan keadaan dingin suaminya dengan ayah mertuanya.

Dari satu sudut, isteri banyak menyalahkan suami itu dan ini, tak balik ke rumah mertua, dingin dengan mertua dan sebagainya.

Dari satu sudut, kita akan lihat ketidak patutnya suami ini hingga pendengar ini bertanyakan pandangan untuk bercerai.

Soal patut atau tidak, memang tak patut, cuma kita kena adil di dalam mencari sebab kenapa perkara ini berlaku.

Rupanya, bapa mertua pernah menegur keadaan rumah tangga mereka hingga hubungan mertua menantu ini menjadi renggang.

Perbalahan di dalam rumah tangga diceritakan oleh isteri kepada bapanya. Dan bagi seorang bapa, apabila tahap kesalahan diletakkan 100 peratus pada suami tanpa melihat bahawa isteri ada menyumbang kepada kekeruhan ini, menjadikan nasihat yang diberikan mungkin kurang tepat.

Apabila nasihat kurang tepat dan seseorang seakan dipaksa untuk mengakui pandangan ini, maka akan timbul masalah.

Apa pengajaran yang dapat kita kongsikan, sebagai seorang bapa atau ibu, kita perlu lebih tenang dan tidak terburu-buru di dalam mencampuri urusan rumah tangga anak.

Jika seorang anak mengadu perihal rumah tangganya, seorang ayah tidak patut campur dulu. Biar ayah orang terakhir untuk mencampurinya. Ayah orang paling tinggi dalam “ranking” keluarga, jika terjadi kedinginan perhubungan dengan ayah, amat susah untuk mendamaikan dan tidak ada lagi orang yang lebih atas untuk mendamaikan.

Sesungguhnya, rumah tangga adalah gedung pada pahala, banyak pahala lahir dari sebuah rumah tangga dan sebab itulah salah satu institusi yang syaitan akan hancurkan adalah rumah tangga.

Semoga Allah pelihara saya dan rakan maya sekelian dari bisikan syaitan yang membawa kerosakan, amin…

“Ilmu Pelita Hidup”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

15 Jamadil Akhir 1432/ 19 Mei 2011 jam 8.30 pagi

IMG_0051

Majlis perasmian Hari Guru di Maahad Sains al-Quran al-Amin

IMG_0049

Antara Para Guru

IMG_0061

Simbolik perasmian

IMG_0064

Saya kemudian ke IKIM di dalam membicarakan hak-hak isteri

IMG_0071

Terlalu banyak soalan yang dapat dikongsikan

IMG_0077

Sesungguhnya, rumah tangga adalah gedung pada pahala, kita kena berusaha semaksima untuk memeliharanya..

al-Ijabah 95 – “Inilah Coretan Rumah HIV..”

“Assalamualikum Ustaz, nak jemput ustaz untuk mesyuarat di MPSJ (Majlis Perbandaran Subang Jaya) mengenai rumah HIV” kata En. Faizal pada saya.

Sebenarnya, permohonan untuk mendapatkan rumah bagi pesakit HIV telah saya pohon di MBSA (Majlis Bandaran Shah Alam). Oleh kerana beberapa perkara, maka permohonan itu telah dipindahkan kepada MPSJ (Majlis Perbandaran Subang Jaya).

Bezanya, di Shah Alam, semua ahli majlis yang terlibat adalah orang Melayu tetapi di Subang Jaya, ahli majlis ada yang Cina dan India.

Isnin, 16 Mei 2011, jam 2.30 petang, saya mula masuk ke dalam di bilik mesyuarat 1, MPSJ, USJ 5 Subang Jaya . Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Yang Dipertua MPSJ En. Abdullah Marjunid. Mesyuarat ini adalah Mesyuarat Jawatankuasa Kemasyarakatan. Ramai yang hadir dalam mesyuarat kali ini, ada wakil dari Polis, dari JAIS, campur antara Melayu, India dan Cina.

“Assalamualaikum dan Selamat Petang” kata saya memulakan taklimat rumah HIV. Beberapa “slide” power point dipaparkan.

Perkara yang agak  susah nak mulakan ketika saya memulakan sejarah Darul Ukhwah. Kerana ia berkaitan dengan mengeluarkan pesakit HIV dari gereja kerana di hadapan saya ada orang bukan Islam.

Kira-kira 15 minit kemudian, saya mula diasak dengan soalan demi soalan. Tapi yang agak menarik, yang paling banyak memberikan soalan adalah dari orang India dan Cina.

“Kita kena bantu ni, kalau tempat tak ada, saya boleh cadangkan di tempat saya” kata En. Jasminder Singh.

“Berapa orang penempatan itu?, kalau kita beri tanah, kamu boleh cari dana untuk buatkan rumah” kata En. Loka Ng Sai Kai.

“Dana insyaAllah MAIS boleh bantu” kata Ustaz Zamin (JAIS), sementara itu En. Zafrizal, Ustaz Abdullah Isa dan Puan Azizan yang menyokong diberikan penempatan baru kepada Darul Ukhwah.

Di hujung mesyuarat, seorang ahli majlis, Ustaz Nasir meluahkan isi hatinya,

“Kita baru tahu ni, demi untuk orang Islam, kita kena buat perkara ini”

“Alhamdulillah, dan terima kasih pada semua” kata saya dipenghujung mesyuarat.

Saya melangkah keluar dan mesyuarat di pihak MPSJ disambung dengan agenda yang lain.

17 Mei 2011, sekali lagi saya dijemput oleh Ahli Majlis Puan Azizah, menghadiri mesyuarat penempatan rumah HIV di Balai Raya Kampung Tengah A. Mesyuarat kali ini bersama Jawatan Kuasa Penduduk Zone B.

Sekali lagi saya diminta untuk membentangkan mengenai rumah HIV.

Alhamdulilah, melihat kepada kesungguhan beberapa pihak-pihak, saya sangat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua yang terlibat di dalam usaha ini. Semoga ia menjadi amal jariah yang berkekalan nanti, amin…

“al-Ijabah, Bersatu Kita Berbakti”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

15 Jamadil Akhir 1432/ 19 Mei 2011 jam 8.00 pagi

IMG_0085

Pembentangan di MPSJ

IMG_0088

Di MPSJ, ahli Majlis ada yang bukan Islam

mesyurat hiv

Dalam mesyuarat

IMG_0102

Pada 17 Mei 2011 jam 8.00 malam, saya dijemput pula oleh Puan Azizan untuk mesyuarat peringkat JKP

IMG_0104

Ahli mesyuarat

IMG_0105

Beberapa ahli menyuarat meneliti perkara yang dibentangkan

Monday, May 16, 2011

Bicara Ilmu 33 – Ceramah Meraikan Ibu-Ibu

15 Mei 2011 jam 2.00 petang, saya memenuhi undangan dari kaum Ibu seksyen 27 Shah Alam di Holiday Villa Subang Jaya.

Majlis ini membicarakan mengenai ibu, mungkin bersempena dengan hari ibu. Saya ingin kongsikan mengenai ibu dan ayah seperti yang tersebut di dalam al-Quran.

1. Allah memerintahkan kita berbuat baik pada ibu dan ayah. Perintah ini disebut di dalam surah al-Nisa ayat 36

Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibu bapa

Berbuat baik pada ibu dan ayah bermakna kita mencari keredhaannya dan menyenangkan hatinya.

Tersebut di dalam kitab Durrah an-Nasihin, bahawa satu ketika Nabi Musa a.s bermunajat pada Allah untuk mengetahui siapakah jirannya di dalam syurga. Maka Allah memberikan panduan kepada Nabi Musa sehingga baginda Musa mencari orang ini dan akhirnya menemui bahawa orang ini adalah orang yang sangat memelihara hubungan dengan ibu dan ayahnya.

2. Mendoakan mereka.
Allah berfirman di dalam surah al-Isra ayat yang ke 24 bermaksud:

Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku ketika aku kecil.


3. Tidak meninggikan suara kepada ibu dan ayah.

Di dalam al-Quran surah al-Israk ayat 23 Allah menyatakan bahawa :-

Maka sesekali janganlah kamu mengucapkan “ah” (apa-apa perkataan yang memberi maksud aku benci) kepada keduanya.

Selain dari itu, apa yang ada pada seorang ibu?

1. Seorang ibu terdapat keredhaan Allah bermaksud, jika kita mencari keredhaan ibu, maka keredhaan Allah akan bersama kita. Kita boleh telusuri kisah Saidina al-Qamah yang tidak dapat mengucapkan syahadah ketika nazaknya sehinggalah ibunya memaafkannya. Begitu besar kelebihan ibu sehingga syurga itu terletak di bawah telapak kakinya.

2. Pada seorang ibu terdapat keberkatan jika seorang anak itu menjaga adab bersamanya. Terdapat satu kisah di mana seorang hamba Allah telah terperangkap di dalam gua kerana batu-batu bukit runtuh ketika dia berada di dalamnya.

Dia adalah seorang anak yang cukup baik sehingga dia berdoa pada Allah dengan menyandarkan perbuatan baiknya pada ibu bapanya, kemudian dengan keikhlasannya itu, direnggangkan batu yang menutup pintu gua itu dan dia selamat keluar dari runtuhan itu.

3. Pada ibu ada doa yang mustajab untuk seorang anak.

Oleh yang demikian, hendaklah kita sentiasa berusaha menjadi anak yang soleh dan mengajar anak kita untuk menjadi anak yang soleh/ ah.

“Ilmu Pelita Hidup”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdulllah

Shah Alam

12 Jamadil Akhir 1432/ 16 Mei 2011 jam 5.30 petang

IMG_0005

Ceramah mengenai ibu dan kekeluargaan

IMG_0013 

IMG_0001

Ia dianjurkan persatuan Mawaddah, kumpulan Yasin Seksyen 27 Shah Alam

IMG_0017

Kenangan bersama para ibu…

Tuesday, May 10, 2011

Universiti Kehidupan 194 – Bantuan Allah..

Allah Maha Berkuasa dan berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki, sudah tentu kita perlu selalu tunduk kepada perintahNya. Walaupun kita menguasai kenderaan, tetapi hakikatnya, Allah yang memberi kemampuan untuk kita menguasainya…

Saksikan, Universiti Kehidupan di dalam tajuk “Bantuan Allah..”

“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Darul Saadah

Kepong Kuala Lumpur

6 Jamadil Akhir 1432/ 10 Mei 2011 jam 5.15  petang

 

al-Ijabah 94 – “Selamat Berehat Saudaraku..”

Selepas tamat pengambaran Usrah TV9 di Thailand pada 30 April 2011, saya terus ke Kelantan. Ini kerana di Kelantan, penghuni Darul Ukhwah sedang di dalam program kembara ke Pantai Timur.

Program kembara memang sangat bagus kerana dengan menziarahi orang alim dan tempat-tempat pengajian seperti pondok dan madrasah, akan memberi insipirasi kepada penghuni untuk memperbaiki diri.

Ketika tamat program kembara ke Selantan pada hujung tahun 2010, siapa sangka, penghuni Darul Ukhwah sudah boleh melazimkan diri dengan qiamullail.

Kembara di Pantai Timur telah saya susun dan untuk hari pertama, semua penghuni Darul Ukhwah tinggal di Pondok Lubuk Tapah. Dari sini, mereka akan dibawa ke Pondok Pasir Tumbuh dan tempat-tempat bersejarah di sekitara Kelantan ini sebelum meneruskan perjalanan ke Terengganu dan Pahang.

Kali ini, tidak semua penghuni Darul Ukhwah dapat bersama-sama kerana ada beberapa orang di wad hospital menjalani pemantauan kesihatan.

1 Mei 2011, jam 5.00 pagi, saya sudah bersama-sama dengan penghuni Darul Ukhwah bersedia untuk solat subuh di Masjid Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas.

Ustaz Azmi menghampiri saya:-

“Syeikh, penghuni kita seorang meninggal…”

“Hah, siapa?” tanya saya terkejut…

“Zainuddin…” kata Ustaz Azmi ringkas.

Ya… seorang penghuni yang telah mula memperbaiki dirinya, selalu bersama di dalam kelas pengajian yang saya kendalikan. Telinganya kurang dengar tetapi begitu meraikan orang lain.

Sebelum meninggal, Zainuddin pernah menjadi imam kepada jemaah di satu masjid. Memang balik dari kembara, saya sudah berniat untuk membelikan alat pendengarannya.

Selepas solat subuh di masjid Lubuk Tapah, saya memimpin bacaan yasin dan dinaitkan untuk arwah keluarga masing-masing serta kepada Allahyarham Zainuddin.

8 Mei 2011 jam 10.30 pagi, semua penghuni Darul Ukhwah telah kembali dari “Kembara Pantai Timur”.

Pagi ini, program mereka adalah menzirahi kubur Allahyarham Zainuddin. Di kuburnya, saya sempat memberi sepatah dua kata pada semua penghuni…

“hari ini, saudara kita ini telah mendahului kita, kita juga sedang menunggu giliran kita, tingkatkanlah ibadah dan teruslah baiki diri…”

Kami membacakan tahlil ringkas untuk arwah keluarga masing-masing dan untuk Allahyarham Zainuddin, penghuni Darul Ukhwah.

Pendekatan staf Darul Ukhwah bukanlah pendekatan antara pekerja dan penghuni tetapi pendekatan kekeluargaan. Semoga bertemu di akhirat dengan keadaan yang lebih baik, amin…

“Ijabah, Bersatu Kita Berbakti”

al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Darul Saadah

Kepong Kuala Lumpur

6 Jamadil Akhir 1432/ 10 Mei 2011 jam 5.00 petang

IMG_9770

Tanah perkuburan Petaling Jaya

IMG_9781

Di kubur Allahyarham saudara kami, Zainuddin Arshad

IMG_9806

Selepas kubur Zainuddin, kami singgah di kubur suami salah seorang AJK Darul Ukhwah.

IMG_9813

Selepas itu kami ke USJ 21

IMG_9816

Di sini, saya bersama-sama menziarahi rumah Allahyarham Ayahanda saya Ustaz Abdullah Mohd Said

IMG_9825

Menzirahi kubur menjadikan kita ingat pada mati….

Friday, May 6, 2011

Diari 307 - "Nama Saya Muhamad bin Abdullah..."

5 Mei 2011 jam 2.30 petang, saya bersama beberapa krew TV9 melintasi sepadan Malaysia – Singapura di Woodlands.

Cuaca agak redup petang ini, kereta agak banyak dan kereta yang kami naiki perlahan-lahan melalui Imigresen Malaysia dan selepas itu terus ke bahagian Singapura. Passport kami diserahkan kepada pegawai bertugas.

Pegawai ini kemudian meinggalkan pondok imigresen dan meletakkan “kon” di belakang kereta kami bermakna laluan ditutup dan hanya untuk kami sahaja.

Pada permulaan, raasa macam jadi vip kerana ruangan ini hanya untuk kami sahaja.

Seorang demi seorang diperiksa passport dan pemeriksaan agak lama. Sehinggalah nama saya dipanggil..

“Siapa Muhamad bin Abdullah?”

“Saya! saya Muhamad bin Abdullah..” jawab saya ringkas.

Kemudian, pegawai perempuan lewat 30an ini berkata..

“Kejap lagi ada pegawai akan datang dan ikut pegawai itu, sebab cip passport Muhamad tidak boleh dibaca..”

“Tapi, kesemua passport kami tidak diberikan, kalau cip passport saya yang bermasalah kenapa tidak diberikan passport yang lain..” kata saya dengan ahli rombongan.

Tidak lama selepas itu, datang seorang pegawai menaiki basikal:-

“Ikut saya ye encik..?”

Untuk pergerakan yang pantas, pegawai di sini hanya menaiki basikal. Kami dibawa ke satu tempat, di sana terdapat beberapa kereta orang awam yang lain.

“ha.. parking di sini..” katanya

Setelah kereta diletakkan, semua ahli rombongan pun keluar, pegawai tadi sudah menunggu dipintu automatic. Saya dijemput masuk dan terus pintu tertutup. Rombongan yang lain terhenti di hadapan pintu. Saya sudah terpisah dari rombongan cuma dapat melihat mereka melalui pintu kaca yang agak tebal.

Di dalam ruangan ini ada lebih kurang lima orang yang ditanya dengan beberapa soalan. saya melabuhkan punggung saya ke kerusi yang ada disitu, kerusi bersambung empat seperti di ruangan menunggu di hospital.

Saya hanya menunggu tanpa berkata apa-apa. Ahli rombongan yang lain kadang kala menjengah dipintu kaca yang memisahkan kami.

Dalam 15 minit menunggu, nama saya mula dipanggil..

“Muhamad bin Abdullah…”

“Ya saya..” jawab saya ringkas.

“Sila duduk di sini” kata pegawai berbangsa cina berumur awal 40 an.

Dia kemudian sibuk menekan butang-butang komputernya sambil kadang kala mengerutkan dahinya.

“Maaf, ada masalah apa-apa ke? Tanya saya.

“Tak ada apa-apa Muhamad, you fahamlah ye, nama Muhamad Abdullah ni banyak di luar-luar sana, jadi kita kena cek dulu sekejap ye..” katanya.

“tapi jangan risau, saya rasa tak ada problem apa-apa” katanya lagi.

Saya menunggu dihadapanya dalam 5 minit…

“Ok..” jawabnya ringkas sambil mengambil passport saya dan distem tanda dibenarkan masuk. Kemudian pegawai ini memberikan kesemua passport ahli rombongan kepada saya.

“Terima kasih..” kata saya.

Sampai di luar, ahli rombongan bertanya pada saya..

"Apa hal tu?"

Tak ada apa-apalah, nanti saya cerita.." kata saya ringkas. Saya kemudian menguruskan Autopass untuk kegunaan kereta yang dibawa masuk. Selepas itu, kami mula memandu masuk ke Singapura.

Ini kali ketiga saya pernah di tahan di atas nama “Muhamad bin Abdullah”. Dua kali di di Hongkong dan sekali di Singapura ini.

Jika pembaca blog saya yang baru, boleh baca pengalaman kedua saya di Imigresen Hong Kong pada awal tahun 2010 melalui catatan di bawah..

http://www.ustazamin.com/2010/01/diari-144-peristiwa-di-imigresen-hong.html

Rupanya, berat juga nama “Muhamad bin Abdullah” ini, nama junjungan kita tercinta ini rupanya agak dikhuatari oleh sesetengah pihak.

Apa pun, saya tidak pernah meminta diberikan nama ini, semuanya telah ditakdirkan Allah, yang penting, saya harapkan agar diri ini terus mendapat bimbingan ilahi untuk terus menghampirkan diri dan mencintaiNya dan NabiNya. Mudah-mudahan, satu hari nanti dapat dikumpulkan dengan empunya nama ini di akhirat nanti, amin....

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
North Bridge Road, Singapura
3 Jamadil Akhir 1432/ 6 Mei 2011 jam 1.45 pagi

Tuesday, May 3, 2011

Universiti Kehidupan 193 – Nikmat Kemajuan

Kita kongsikan perbahasan mengenai nikmat ketika saya berada di Kemboja.

Dengan merantau dan melihat dunia yang ada di sekeliling kita, maka kita akhirnya mengakui bahawa kita sedang berada di lautan nikmat yang Allah berikan untuk kita.

Semoga dengan memahami nikmat, ia akan menjadikan kita menjadi hamba yang bersyukur di atas anugerahnya.

“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Sungai Rengit

30 Jamadil Awal 1432/ 3 Mei 2011 jam 6.30 petang

 

Jom Kongsi Pengalaman 73 – Pengambaran Usrah “Hidup Untuk Menang 2”

Di dalam membawa tajuk “Hidup Untuk Menang” ini, antara lokasi pengambaran adalah pendakian bukit di pergunungan Krabi

IMG_9256

Di kawasan Tonsai memang terdapat bukit bukau dan yang menariknya, ia berhadapan dengan laut dan pemandangan sangat cantik

IMG_9264

Orang putih banyak mendaki di sini

IMG_9267

“Amacam, boleh ke?” :)

IMG_9296

Jurugambar mencari idea untuk merakamkan 

IMG_9304

Melihat lokasi

IMG_9307

Melonggarkan sendi sebelum memulakan pendakian..

IMG_9326 

Tali khas yang digunakan untuk mendaki, ia mampu menampung berat sehingga 3000 kg

IMG_9362

Sukan mendaki seperti menyelam, ia memerlukan pasangan. Di dalam mendaki, seorang akan manjat dan seorang lagi akan menjaga tali atau menghulurkan tali.

IMG_9366

Secara jujur, kalau nak jadi mendaki, badan kena kurus sikit le.. :)

IMG_9374

Persediaan akhir sebelum mendaki

IMG_9377

Sukan ini ada falsafahnya tersendiri, antaranya, “lagi tinggi lagi bagus..” Ia boleh diaplikasikan di dalam kehidupan, semakin tinggi ibadah semakin bagus, semakin tinggi iman semakin bagus, semakin tinggi taqwa semakin bagus

IMG_9387

Membahaskan falsafah mendaki di atas bukit

IMG_9405

Chelet dari atas bukit

IMG_9410

antara pendaki yang ada bersama saya..

IMG_9417

di sini, bukitnya tepi pantai dan pemandangan sangat cantik

IMG_9441

mengulas di atas tebing curam

IMG_9465

santai semasa rakaman berjalan..

Akhirnya, saya membisikkan, memang orang Islam perlukan badan yang kuat untuk berjuang di apa bidang pun dan benarlah kata Junjungan “orang mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah dari Mukmin yang lemah..”

“Pengalaman Asas Hikmah”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Sungai Rengit

30 Jamadil Awal 1432/ 3 Mei 2011 jam 6.00 petang

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...