Tuesday, April 26, 2011

Diari 306 - Perjalanan Baru Universiti Kehidupan

Banyak perkara tidak sempat saya kongsikan akhir-akhir ini. InsyaAllah, jika ada kelapangan nanti, kita akan teruskan.

Kala ini, saya sedang dalam perjalanan ke Krabi Thailand kerana menyempurnakan rakaman program Usrah TV9 dengan tajuk-tajuk yang santai yang di sekeliling kita.

Rakaman akan bermula pada 27 April hingga 29 April. Keluar dari Thailand, pada 30 April, saya akan terus ke Kelantan di dalam program lawatan pondok dan tempat pengajian.

Dan 1 hingga 4 Mei, insyaAllah, saya akan menyambung pengambaran Usrah di Johor Bharu. Tamat program bersama usrah, insyaAllah saya akan ke Singapura di dalam program dua hari di sana.

Bertemu kembali di dalam penulisan yang lebih aktif pada 7 Mei nanti.

Sesungguhnya, banyak perkara yang boleh diambil pengajarannya di dalam pengembaraan ini, kerana sesungguhnya, kehidupan ini merupakan universiti yang cukup luas dan saya namakannya sebagai...

"Universiti Kehidupan"

Pohon di doakan perjalanan kita semua, amin....

"Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"

al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Jitra Kedah
26 April 2011 jam 12 tengah hari

Tuesday, April 19, 2011

al-Ijabah 93 - “Keperluan Bas Menggantikan Yang Asyik Rosak…”

Isnin 18 April 2011 jam 8.00 pagi, saya sedang mengulangkaji bab kekeluargaan kerana jam 10.00 pagi ini, saya akan bersama dengan radio IKIM.fm di dalam segmen “Suri” membicarakan hak-hak wanita.

Telifon saya berdering, rupanya Firdaus, pemandu bas al-Ijabah memberitahu bahawa bas pagi ini tidak dapat dihidupkan.

Sebenarnya bas ini memang sering rosak, dalam sebulan pasti ada dua tiga kali, kali terakhir ia rosak ialah pada hari Jumaat, dua hari sebelum. Padahal kita telah memanggil makanik bas dan tak tahulah apa lagi pagi ini.

Saya terus mengaturkan semuanya. Ada yang ditugaskan memastikan agar sarapan dan makanan tengah hari diseliakan, ada yang ditugaskan untuk mengambil makanik, ada yang ditugaskan untuk memastikan pelajar-pelajar terus dengan pembelajarannya.

Hingga jam 10.00 pagi, beberapa minit sebelum bersiaran di IKIM barulah selesai semua.

Ketika turun dari studio IKIM, selepas selesai keudara di IKIM, saya merenung pohon-pohon hijau sekitar bagunan IKIM ini.

“Dah sampai masanya kena beli bas lain, kalau asyik rosak-rosak dan rosak, banyak perkara akan terbantut” bisik hati saya.

Petang ini, setelah habis beberap mesyuarat di Kuala Lumpur, saya singgah di Segambut, di syarikat penjualan bas.

Saya melihat beberapa bas di sini. Walaupun kewangannya belum ada, tapi ia pasti ada jika telah sampai masanya. Itulah sifir kehidupan di dalam menguruskan pusat pendidikan dan anak yatim ini. Sama seperti ketika kita mengusahakan coaster bagi asrama perempuan pada Januari lalu, sampai masanya, pasti cukup keperluan itu.

Pulang ke rumah, jam 10.00 malam saya keluar lagi, melihat sebiji lagi bas di Seputeh. Kondisinya baik dan tuan bas ini menjaganya dengan cermat, cuma keperluan membeli bas yang lebih baru menjadikan ia perlu dijual.

Saya melihat kondisi dalam bas ini, walaupun ia sudah berumur 10 tahun, tapi kelihatan masih baik dan cantik.

“Bolehlah, asal tak rosak ok lah tu….” kata saya.

InsyaAllah, sesiapa yang ingin bersama-sama di dalam usaha ini, dialukan, semoga, setiap hari anak-anak tahfiz dan anak yatim Ijabah ini pergi menuntut ilmu, menjadikan sahamnya turut mengalir pada kita.

Satu hari nanti, jika antara mereka menjadi ulama besar, selagi mereka berdakwah dan berjuang, selagi itu sahamnya sampai pada kita dan mungkin ketika itu kita sudah berada di alam yang lain.

“al-Ijabah, Bersatu Kita Berbakti”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdulllah

Putra Heights

16 Jamadil Awal 1432/19 April 2011 jam 12.45 tengah malam

IMG_8903

IMG_8910

IMG_8898

Bas yang dilihat agak baik dan cuba diusahakan untuk pembelian..

Monday, April 18, 2011

Bicara Ilmu 30 – “Arah Kiblat..”

Jumaat 15 April 2011, Tuan Nora, penerbit Nasi Lemak Kopi O menghubungi saya…

“Ustaz, boleh tak tolong bahaskan mengenai arah kiblat dalam Nasi Lemak Kopi O” katanya.

“Arah kiblat? Kenapa?” tanya saya.

“Ni, Tsunami di Jepun menyebabkan kerak bumi berubah, jadi kita nak bahaskan mengenai membetulkan kembali arah kiblat” katanya pula.

Perbahasan arah kiblat ini akan keudara secara langsung pada Sabtu 16 April jam 8.30 pagi. Tarikh dan waktu itu saya sedang bersiap untuk program “Promise” (Program Menyemarakkan Islam Negeri Selangor).

Ustaz dari JAKIM yang sepatutnya memenuhi undangan tidak dapat hadir kerana tidak mendapat pelepasan.

Ingin saya kongsikan arah penentuan kiblat…

Tsunami di Jepun menyebabkan kerak bumi beralih hingga beberapa kepulauan berganjak sejauh 2.4 meter ke arah Timur.

Jadi arah kiblat perlu dicari semula. Ada 4 kaedah untuk mementukan arah kiblat.

1. Dengan mencari balik kordinat yang betul dan dari situ kita boleh menggunakan kompas.

2. Dengan melihat kepada bulan. Kedudukan bulan boleh dijadikan panduan untuk kiblat. Di setiap negeri tidak sama ada kita boleh perhatikan.

3. Dengan melihat bintang. Kutub utara bertentangan dengan sebuah bintang yang dipanggil sebagai al-Kutbi atau Polaris atau bintang utara, dan dilangit memang ada beberapa bintang sebagai tanda kepada kiblat. Saya pernah membahaskannya di dalam program “Tanyalah Ustaz” dan juga “Usrah”, insyaAllah, boleh dicari kembali siri ini kerana di dalam siri tersebut ada dilukiskan kedudukan bintang ini.

4. Dengan melihat pada matahari. Ada dua tarikh matahari betul-betul berada di atas kaabah, jadi mana-mana tempat yang waktu siang, boleh membetulkan arah kiblat dengan memacakkan kayu dan melihat bayang pada kayu tersebut. Jika di Malaysia, waktunya ialah 28 Mei jam 5.16 petang dan juga pada 16 Julai 5.28 petang. Oleh kerana Jepun awal sejam dari negara kita, maka waku di Jepun ialah 28 Mei jam 6.16 petang dan pada 16 Julai jam 6.28 petang.

Beginilah kuasa Allah, arah kiblat dapat ditentukan dengan berbagai cara dan yang paling penting adalah kesungguhan kita untuk solat. Jika orang yang tak mahu solat, walaupun di tempat yang senang dan mudah menunaikannya, dia tetap tidak akan menunaikannya.

Semoga Allah menjadikan kita dan zurait kita sebagai orang yang mendirikan solat, amin…

“Ilmu Pelita Hidup”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

15 Jamadil Awal 1432/18 April 2011 jam 3.15 pagi

IMG_8872

Bersama saya adalah seorang Dr pakar kaji bumi

IMG_8873

Arah kiblat boleh dicari beberapa cara

IMG_8881

IMG_8886

Tamat di program “Nasi Lemak Kopi O”,  saya terus memenuhi program Menyemarakkan Islam Selangor “Promise”..

Bicara Ilmu 29 – “Tanggungjawab Anak Lelaki..”

13 April 2011 jam 1.00 petang, hari ini saya bersama krew Usrah, membuat program ini di rumah orang tua al-Ikhlas di Puchong 2.

Saya melangkah masuk ke rumah ini dan melihat puluhan orang tua lelaki dan perempuan berada di sini.

Tapak rumah orang tua al-Ikhlas sebenarnya adalah tapak masjid lama. Saya amat memahami apa yang dilalui oleh pengasasnya kerana kita juga biasa dengan rumah kebajikan. Ujian dan berbagai cabaran dilalui hinggalah berdirinya rumah kebajikan seperti ini.

Pada saya, ia adalah usaha yang sangat murni kerana tidak kurang penghuni di sini yang ditinggal oleh saudara mara tanpa apa khabar berita.

“Ustaz, paling kurang, mereka ziarahlah kami sebulan dua, ini ada yang bertahun pun tak pernah jenguk” kata saya seorang warga tua di sini dengan air mata yang bertakung.

Ada lima golongan ibu yang berada di bawah tanggungan anak lelaki hinggakan jika anak lelaki ini mempunyai zakat sekalipun, tidak boleh memberikan kepada golongan ini kerana golongan ini bukannya mendapat zakat, tetapi, jika mereka tidak mampu, mereka perlu mendapat nafkah yang mesti disediakan oleh anak lelaki.

1. Ibu kandungnya

2. Ibu susuannya

3. Ibu angkat yang mengambil alih tugas ibu kandung yang menjaganya dari kecil

4. Ibu tirinya

5. Ibu mertua

Ketika kita berkahwin dengan seorang wanita, kita bukan berkahwin dengan tubuhnya semata-mata, tetapi kita juga berkahwin dengan segala tanggungjawab yang ada bersamanya. Jika dia mempunyai anak, maka kita juga kena mengasihi anak itu dan jika dia mempunyai ibu bapa, maka kita wajib memeliharanya kerana ia adalah tanggungjawab yang ada bersamanya.

Kelima-lima golongan ibu di atas adalah dibawah tanggungan anak lelaki dan jika anak lelaki mengabaikannya dengan sengaja, ia akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.

Berbicara mengenai tanggungjawab, ia berkaitan dengan keimanan dan semoga, jika kita menunaikan tangungjawab pada golongan ibu di atas, mahupun bapa, mudahan anak kita nanti akan berbakti kepada kita, amin…

“Ilmu Pelita Hidup”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

15 Jamadil Awal 1432/18 April 2011 jam 3.15 pagi

IMG_8805

Memimpin solat ketika program ini

IMG_8813 

IMG_8822

IMG_8823

Semoga Allah menjadikan anak kita semua orang yang sentiasa menyayangi kita hingga akhir hayat kita, kerana sayang kepada ibu ayah, adalah sayang yang dituntut..

Bicara Ilmu 28 – “Kiamat Semakin Hampir”

12 April 2011, saya memenuhi jemputan di Masjid Abu Bakar di Temerloh Pahang.

Sejak dari tengah hari, saya memang berada di Ampang. Jam 5.00 petang, saya mula bergerak melalui MMR2 ke Gombak dan seterusnya ke lebuh raya Pantai Timur.

Cuaca petang ini hujan hingga ke Bentong, dan cuaca panas selepas itu. Saya sampai ke Temerloh jam 7.00 petang dan terus ke masjid Abu Bakar ini.

Malam ini, ceramah yang disampaikan bertajuk “Kiamat Semakin Hampir”. Ingin saya kongsikan sedikit beberapa isi penting di dalam ceramah ini.

1. Tanda-tanda kiamat ada yang kecil dan ada yang besar. Hampir semua tanda-tanda kecil telah terjadi sekarang dan kita hanya menunggu 10 tanda-tanda besar kiamat.

2. Antara tanda kiamat kecil, ada menyentuh mengenai keadaan bumi dan ada yang menyentuh keadaan manusia.

3. Yang menyentuh keadaan bumi seperti banyaknya gempa bumi, air laut yang membuak-buak.

4. Antara yang menyentuh keadaan manusia ialah banyaknya penzinaan, ibu melahirkan tuannya.

5. Walaubagaimanapun, kita tidak pernah diajar untuk takut pada hari kiamat, kita diajar untuk membuat persediaan untuk hari akhirat.

6. Hari akhirat ada lima fasanya.

7. Yang pertama adalah alam kubur, antara amalan yang boleh kita amalkan untuk selamat di alam kubur ialah banyakkan membaca surah al-Kahfi kerana ia akan menjadi teman kita di kubur nanti

8. Fasa kedua ialah padang Mahsar. Antara amalan yang boleh kita buat ialah dengan membuat ibadah korban kerana korban yang kita buat akan menjadi tunggangan kita di akhirat. Selain itu, kita digalakkan membaca surah al-Baqarah dan surah Ali-Imran, ia akan menjadi awan yang melindungi kita di akhirat nanti. Kemudian, ada tujuh golongan yang akan diiringi ke bawah arasy Allah di hari Akhirat nanti, antaranya ialah pemimpin yang adil, orang yang banyak bersedekah, antara lain ialah orang yang hatinya suka kepada masjid.

9. Fasa ketiga ialah hisab amalan, antara amalan yang boleh kita buat untuk selamat di fasa ini ialah mencintai Nabi dan mengikuti sunnah nabi kerana barangsiapa yang mencintai Nabi, mereka akan mendapat syafaat di akhirat ini.

10. Fasa keempat ialah titian sirat. Antara amalan yang perlu kita buat ialah dengan memperbaiki solat dan memperbanyakkkannya.

11. Fasa kelima ialah syurga atau neraka. Antara amalan yang boleh kita buat ialah dengan membela anak yatim kerana Nabi menyatakan bahawa orang yang membela anak yatim akan bersama Nabi di Syurga.

Ini antara isi ceramah yang boleh kita kongsikan, semoga bermanfaat untuk semua amin..

“Ilmu Pelita Hidup”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

15 Jamadil Awal 1432/18 April 2011 jam 2.50 pagi

IMG_8779

Iklan mengenai cermah malam ini

IMG_8772

masjid ini memang aktif dengan kelas agama

IMG_8775

masjid Abu Bakar Temerloh

IMG_8781

Jamuan selepas ceramah

IMG_8784

kenangan bersama AJK masjid

Tuesday, April 12, 2011

al-Ijabah 92 – “Kunjungan Jabatan Kesihatan Negeri ke Darul Ukhwah..”

7 April 2011 jam 2.00 petang, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor datang ke rumah HIV Darul Ukhwah.

Kunjungan Jabatan ini mengeratkan lagi hubungan antara Darul Ukhwah dan Jabatan Kesihatan. Sebenarnya, puan Salmah yang mengetui rombongan ini beberapa kali bersama saya di dalam mesyuarat mengenai rumah HIV yang kita pohon di MBSA (Majlis Bandaran Shah Alam).

Dia antara orang yang menyaksikan semua yang berlaku di dalam kisah permohonan rumah HIV kita. Banyak perkara yang saya mungkin tak dapat cerita di dalam blog ini.

Kami berbual-berbual mengenai perjalanan rumah HIV ini. Rombongan ini kami ajak melawat rumah HIV yang lelaki dan yang perempuan yang baru ditubuhkan baru-baru ini.

“Susah tak nak jaga HIV perempuan” tanya salah seorang rombongan Jabatan Kesihatan.

“Tak susah, tapi cabarannya tetap ada le..” jawab saya sambil tersenyum.

Hampir dua jam juga berbual dan beramah mesra dengan sahabat dari Jabatan Kesihatan ini. InsyaAllah, minta di doakan untuk urusan permohonan rumah HIV kita ni, sekarang ni ia akan dikendalikan pula oleh MPSJ (Majlis Perbandaran Subang Jaya)

“al-Ijabah, Bersatu Kita Berbakti”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Ampang

9 Jamadil Awal 1432/ 12 April 2011 jam 3.45 petang

IMG_8723

Kami berbual mengenai program menghilangkan stigma yang dibuat oleh Darul Ukhwah

IMG_8734

Antara cabaran membuat rumah HIV ini ialah menghilangkan stigma masyarakat

IMG_8746

Rumah HIV perempuan

IMG_8763

Bersama ahli rombongan dan sahabat penggerak di Darul Ukhwah..

Saturday, April 9, 2011

Sekilas 42 - Perselisihan Antara PGSM dan PPMM

9 April 2011 jam 9.15 pagi, hari ini saya memenuhi program “Promise” (ceramah) yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor. Tajuk perbincangan hari ini ialah beriman kepada Rasul. Tamat program jam 10.30 pagi, saya terus ke pejabat untuk melihat beberapa tugasan.

Saya membuka Harakah Daily dan tertarik dengan satu artikel mengenai pertikaian antara PGSM (Persatuan Guaman Syarie Malaysia) dan PPMM (Persatuan Peguam Muslim Malaysia) yang mengatakan bahawa video boleh diterima sebagai bukti untuk mendakwa seseorang di bawah kesalahan zina di Mahkamah Syariah.


Boleh baca di sini....


http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2700:video-pgsm-sokong-mufti-perlis-bidas-ppmm&catid=34:primary&Itemid=56


Saya juga seorang peguam syarie dan saya terpanggil untuk mengulas perkara ini.


Antara Tugas Pendakwa dan Hakim

1. Mendakwa dan menjatuhkan hukum adalah dua perkara yang berbeza. Mendakwa adalah bidang tugas seorang pendakwa dan menghukum adalah bidang tugas seorang hakim.

2. Jika terjadi sesuatu kes, maka kes itu akan disiasat oleh pegawai penyiasat dan kemudian akan diserahkan kepada pendakwa sama ada ia boleh dibawa ke mahkamah atau pun tidak, dan perkara ini terpulang kepada pendakwa, sama ada dia ingin membawa ke mahkamah ataupun tidak.

3. Sebagai contoh, jika penguatkuasa menyerbu bilik seorang yang berdua-duaan, dan kedua mereka di dapati berkemban, maka mereka berdua boleh di dakwa ke mahkamah dengan berbagai bukti dan saksi yang cuba dibawa oleh pendakwa.

4. Jika pendakwa membawa tuduhan mereka berzina, dia mestilah membawakan bukti untuk tuduhan itu, jika tidak, maka dia boleh mengubah tuduhan dari berzina kepada berkhalwat.

5. Biasanya, pertuduhan zina di mahkamah akan dijatuhkan apabila pelaku mengaku bersalah di atas barang-barang bukti yang ditemui ketika dia diserbu seperti kondom, kesan air mani dan sebagainya, tapi jika dia tidak mengaku, maka dia tidak dapat dijatuhkan hukum berzina, cuma pertuduhan akan ditukar kepada percubaan melakukan zina atau berkhalwat.

6. Jadi, sama ada pendakwa nak bawa atau tidak terpulang pada dia, bagi hakim pula, bukti tadi hanyalah sokongan dan dia tidak boleh menjatuhkan hukuman pada bukti yang dibawa semata-mata. Bukti itu akan menjadikan pesalah mengakui kesalahannya hakimlah yang akan menjatuhkan hukum di atas pengakuan itu.

Ulasan Perselisihan PGSM dan PPMM

7. Menurut petikan harakah seperti di dalam link di atas, kenyataan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, menyatakan bahawa video boleh diterima sebagai bukti untuk mendakwa seseorang di bawah kesalahan zina di Mahkamah Syariah dalam konteks Malaysia, maka ia boleh dibawa ke mahkamah. Penyataan ini adalah merujuk kepada seorang pendakwa syarie untuk membawa kes ke mahkamah. Bukannya seorang hakim yang ingin menjatuhkan hukuman.

8. Bagi seorang hakim, video bukan bukti tunggal di dalam penghakimannya, ia hanyalah salah satu cara untuk menjadikan seseorang pesalah mengakui kesalahannya. Jika dia tidak mengaku, maka pertuduhan zina memang tidak boleh dibuat, dan pertuduhan akan ditukar kepada percubaan melakukan zina atau berkhalwat.

9. Peselisihan yang berlaku antara Zainur Rijal dengan Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralip pada saya hanyalah cara menerangkan kepada umum sahaja dari sudut teknikal yang dipakai di Malaysia.

10. Bagi Mohamad Isa dan Mufti Perlis, ulasan mereka di dalam harakahdaily, mereka membincangkan dari sudut Mahkamah Syariah sebenar. Persoalannya, adakah Mahkamah Syariah di Malaysia sudah benar-benar menetapi syarak? Keterbatasan bidang kuasa hukumam zina di dalam enakman di Malaysia yang hanya didenda sebanyak RM 1000 pun sudah menggambarkan kelainan cara dari yang sebenar.

11. Bagi Zainur Rijal pula dia membicarakan dari segi teknikal realiti mahkamah di Malaysia.

12. Dua-duanya membicarakan dari sudut yang berbeza, PGSM berhujah dari sudut penjatuhan hukuman zina semata-mata tanpa ada pertuduhan percubaan zina atau khalwat, dan PPMM membicarakan realiti perjalanan mahkamah di Malaysia waktu ini.

13. Bagi, saya tak perlu digaduhkan. Kalau mahu bicara mengenai cara Islam sebenar, ia memerlukan satu rombakan sistem yang benar-benar ikhlas dan jujur. Kalau tidak, kita hanya memperdebatkan serpihan yang telah rosak dan dia tidak ada penghujung, yang makin pening adalah masyarakat.

14. Bagaimana kita nak bicarakan mengenai kereta yang memakai tayar basikal, kemudian kita gaduhkan, adakah pemandu boleh disaman kalau dia bawa terlalu lambat sehingga mengganggu pemandu lain dan sebaginya. Sistem kereta memakai tayar basikal pun dah tak betul, macam mana nak bincang teknikal yang berbangkit adakah boleh di saman atau tidak?

15. Sebagai penutupnya, semoga pengamalan Islam di Malaysia semakin baik bukan sahaja dari sudut masyarakat tetapi dari sudut pentadbiran dan perjalanan secara rasmi.

Sekilas Mewarkan Peristiwa”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

6 Jamadil Awal 1432/9 April 2011 jam 1.30 tengah hari

Thursday, April 7, 2011

Sekilas 41 – “Isu Budak Mati Di Pukul Guru Di Perlis..”

Ketika dalam perjalanan pulang dari Uzbekistan, saya membelek surat khabar Berita Harian yang terdapat di dalam kapal. Sehelai demi sehelai saya tatap tulisannya. Mata saya terpaku pada sebuah artikel mengenal kematian seorang anak yatim yang dipukul oleh gurunya di Perlis. Saya terpanggil untuk mengulas perkara ini kerana saya merasakan, dalam lebih enam tahun berkecimpung bersama anak yatim dan mengendalikan institute pendidikan sendiri, saya memahami apa yang berlaku.

Mula-mula kita bincangkan dahulu mengenai guru ini.

1. Kenapa guru yang bergelar ustaz ini bertindak sebegini?

2. Untuk renungan semua, tidak semua orang yang berada di dalam bidang agama adalah orang yang benar-benar menghayati agama.

3. Ini kerana, masih ada lagi trend, ibu ayah yang tidak dapat mengawal anak yang liar, yang bergaduh sana dan sini, memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah agama.

4. Akhirnya, ada sesetengah sekolah agama dipenuhi dengan orang yang teruk akhlaknya.

5. Tindakan ibu ayah menghantar anak mereka yang teruk ke sekolah agama adalah tepat kerana memang, agama sahaja dapat membentuk akhlak manusia. Tetapi, tidak semestinya setelah habis 4 tahun di sekolah tersebut, anak ini telah benar-benar baik.

6. Masalah yang timbul ialah, apabila seseorang itu tamat di mana-mana tempat, dia terus diamanahkan dengan tugasan seperti menjadi warden atau menjaga anak-anak yang memang nakal

7. Ini berikutan pihak pentadbiran sekolah hanya mampu membayar gaji yang murah kepada golongan ini.

8. Masalah akan lebih menjadi berganda apabila guru ini tidak mendapat latihan lanjutan atau bimbingan dari guru yang lebih senior. Dia diamanahkan dan dibiarkan dengan amanah yang berat itu.

9. akhirnya, apa yang berlaku? Dia bukan menjadi orang yang pandai memilih cara mendidik. Oleh kerana dia biasa memukul atau dipukul, maka itulah satu-satunya tindakan dan cara yang dia tau.

10. Jika perkara ini tidak dikawal, maka berlakulah seperti yang berlaku di Perlis, kematian anak yatim yang dipukul oleh gurunya.

Sekarang mari kita memahami pula keadaan anak yatim ini.

1. dalam enam tahun mengendalikan rumah anak yatim, saya memang mengakui bahawa kebanyakkan anak yatim agak nakal. Saya yakin bukan sahaja saya, malahan penjaga anak-anak yatim akan mengakui keadaan ini.

2. Dua sebab kenapa dia menjadi nakal, pertama kerana kurang kasih sayang dan mereka inginkan perhatian, yang kedua kerana sudah tidak ada ayah yang dia rasa takut, sebab itu dia boleh buat apa sahaja.

3. Kadang kala, ada keadaan anak yatim yang tidak nakal, tetapi kita anggap nakal seperti keinginannya untuk membeli itu dan ini. Ketika melihat kawan-kawan lain membeli ice cream, sudah tentu dia juga menginginkan demikian, tetapi oleh kerana tidak ada keluarga yang memberinya wang, dia akan mula mengambil barang orang lain.

4. Selain itu, naluri anak-anak yang menang banyak main, kita akan anggap dia nakal.

5. Jadi, kita tidak boleh hanya menyalahkan anak-anak ini tanpa melihat sebab kenapa dia menjadi begini. Memang perlu menghukum tetapi salah mereka mungkin bukan 100%.

Jadi, faktor guru yang kurang kualiti, ditambah dengan anak-anak yang nakal, maka jadilah perkara yang tidak wajar seperti memukul sehingga mati.

Apa jalan penyelesainnya?

1. Bagi anak yatim, satu formula yang kita amalkan di Yayasan al-Ijabah, bukan asli dari saya, tapi amalan ulama Hadramaut Yaman, amalkanlah selawat dan ia sangat berkesan di dalam mendidik jiwa anak-anak yang nakal, saya telah saksikan sendiri keberkatan selawat ini di dalam menjaga anak-anak yatim kita.

2. Bagi pentabdir sekolah, kena perhatikan latar belakang seseorang guru yang ingin diambil. Jangan kerana terlalu murah gajinya, kita terus bersetuju.

3. Bagi ibu ayah yang punyai anak yang nakal, bantulah anak untuk terus memahami agama, dan jangan ingat dia telah hafiz al-Quran, habis diploma di kolej swasta dan sebagainya, dia telah dapat membentuk akhlaknya, kita kenal anak kita dan kita kena terus bantu dia di dalam memperbaiki dirinya.

4. Bagi kerajaan, guru yang telah memukul sehingga mati anak yatim ini perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya untuk menjadi iktibar pada yang lain.

5. Bagi kerajaan, perlu berikan bantuan kepada sekolah-sekolah sebegini, paling kurang sediakan kursus untuk guru-guru mereka. Ada banyak perkara yang perlu kita pelajari dan fahami dair perkara yang berlaku seperti ini.

6. Bagi kerajaan, usahakan untuk meningkatkan ekonomi orang Islam sebab dari pengamatan saya, kebanyakkan gejala begini berlaku dari golongan yang susah atau sederhana. Oleh kerana keperluan harian pun tidak cukup, maka mereka tidak akan dapat menumpukan pembangunan ilmu dan pengalaman.

7. Bagi kita semua yang punyai kemampuan, banyaklah bersedakh dan membuat wakaf utuk umat Islam agar mereka dapat membangunkan usaha mendidik anak bangsa dengan sebaik-baiknya.

Sekilas Mewarkan Peristiwa”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

4 Jamadil Awal 1432/7 April 2011 jam 12.00 tengah hari

Tuesday, April 5, 2011

Jom Kongsi Pengalaman 70 – “Local Genius Uzbek (Napkin Tradisional..)”

Ketika menunggu para ibu dan kakak dalam rombongan kami membeli belah, saya memerhatikan satu benda, seakan paip untuk orang menghisap rokok. Rupanya ia adalah napkin tradisonal yang dipasang kepada bayi ketika mereka tidur.

IMG_7725

Yang ada menonjol adalah untuk bayi lelaki dan yang rata adalah untuk bayi perempuan

IMG_7724

Ia akan dipasang pada kemaluan bayi ketika mereka tidur dan akan ada satu bekas seperti jug yang akan menadah air kencing dari bayi ini.

IMG_7719

Ini adalah buai tradisonal yang masih lagi digunakan sehingga kini. Bayi akan di bedung dan alat di atas di pasang pada kemaluannya dan ia akan ditadah dibawah buai ini. Menurut orang Uzbek, ia lebih baik keran bayi tidak akan basah.

“Pengalaman Asas Hikmah”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Tashkent Palace Hotel, Tashkent Uzbekistan

2 Jamadil Awal 1432/5 April 2011 jam 5.30 petang.

Diari 305 – “Binaan Hebat Kota Bukhara..”

31 Mac 2011 jam 7.15 pagi, saya dan rombongan menaiki kapal terbang Uzbekistan ke Bukhara. Kapal terbang jenis IL-114-100 yang kami naiki seakan kapal Firefly di Malaysia, kecil, berbunyi kipas di tepi dan akan bergegar kuat jika menerjah awan.

Perjalanan ke Bukhara dari Tashkent mengambil masa sejam setengah. Jam 8.45 pagi kami sampai ke Bukhara.

Lapangan terbang di Bukhara sangat kecil. Di pintu masuk itulah tempat mengambil beg, di situ juga tandas awan, disitu juga tempat pemeriksaan imigresen dan disitu juga pintu keluar, barang kali luas sedikit dari apartment di bandar di Malaysia.

Sebuah bas telah menunggu kami dan kami terus di bawa ke Hotel Asia Bukhara.

Selepas mendaftar masuk dan bersarapan pagi, program kami berehat hingga zohor. Jam 1.30 tengah hari kami mula diajak untuk berjalan sekitar bandar Bukhara.

Menyentuh mengenai orang pertama menyampaikan Islam ke Bukhara ini, ia berkaitan dengan usaha Qutaibah bin Muslim yang telah berjaya membuka Bukhara pada tahun 90 Hijrah / 709 Masihi. Ketika itu, agama di tempat sini ialah majusi iaitu penyembah api dan bintang. Kemasukan Qutaibah bin Muslim tidak banyak mengIslamkan masyarakat setempat sehinggalah terdirinya kerajaan Samanid yang diasaskan oleh Ismail Samany pada kurun ke 9 masihi.

Barangkali seakan Islamnya Nusantara, ia bermula dari daerah kecil bernama Barus (orang Arab datang ke sini untuk mengambil kapur barus, bahan memandikan mayat) pada kurun pertama hijrah lagi, tetapi belum dapat mengIslamkan keseluruhan masyarakat hinggalah akhirnya tertubuhnya kerajaan Islam, barulah Nusantara dapat di Islamkan.

Tempat pertama yang kami lawat ialah masjid menara Kalyan, satu binaan yang cukup menakjubkan dari kurun ke 11 masihi. Ketika negara Eropah sedang berada di dalam zaman kegelapan, umat Islam telah mampu membina binaan-binaan hebat.

Kemudian kami memasuki masjid yang boleh memuatkan seramai 15 ribu jemaah, masjid terbesar di sini. Masjid kedua terbesar di zaman itu ialah di Samarkand yang dibina oleh Bibi Hanim, isteri Timur Lank.

Banyak kedai-kedai menjual barangan lama termasuk barang-barang berumur hampir seratus tahun, begitu juga dengan jam-jam dari zaman Soviet Union yang hanya dijual dengan harga 10 USD. Jika kita menemuinya di bandar Moscow, sudah tentu harganya akan menjadi lebih 500 USD satu.

Saya memerhatikan setiap batu yang bersusun indah, utuh dan teguh dengan kehebatan para arkitek Islam.

Di dalam Islam, banyak ilmu seni bina yang disebut di dalam al-Quran seperti bilangan lapisan langit yang tidak bertiang, lapisan bumi, susunan bintang dan planet dan sebagainya.

Di dalam hadis juga menggariskan agar seni bina Islam tidak dibuat dari gambaran binatang dan manusia.

Kami di ajak untuk berpusing sekitar kawasan sini, melihat keindahan bangunan di Bukhara, sesungguhnya, Islam membina tamaddun yang tinggi dari sudut pembangunan zahiriah mahupun batinah. Islam adalah cara hidup yang membawa manusia hebat dari sudut tamaddun tetapi tetap bersifat Rabbani, tunduk kepada penciptanya.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Tashkent Palace Hotel, Tashkent Uzbekistan

2 Jamadil Awal 1432/5 April 2011 jam 6.00 petang

IMG_7628

Bersama para ibu-ibu saya, dari kanan ibu, ibu tiri, ibu anak saya dan ibu mertua.

IMG_7633

Di hadapan masjid Miri Arab

IMG_7639

IMG_7659

Banyak barang lama di jual di sini dengan harga yang sangat berpatutuan

IMG_7661

pasar lama sekitar manara Kaylan

IMG_7671

bangunan lama kini menjadi kedai-kedai cendera mata

IMG_7675

Kota ini adalah kota kelahiran ramai ulama antaranya Imam Al-Bukhari, Ibnu Sina, seorang cendekiawan Bukhara, seorang Doktor Bukhara dan seorang ahli falsafah Bukhara, Abu Hafsin Umar bin Mansur Al-Bukhari yang dikenali dengan nama Al-Bazzar, Al-Hafiz Abu Zakaria Abdul Rahim Ibnu Nasr Al-Bukhari dan Abu Al-Abbas Al-Maqdisi Al-Hambali

IMG_7682

Bersama ibu saya di kota Bukhara

IMG_7688

sekitar kota Bukhara, kota lama berumur 2700 tahun, seumur kota Siwa di Mesir dan kota Baitul Maqdis di Palestin

Sirah 9 – “Siapakah Yang MengIslamkan Bangsa Monggol…”

Kita biasa dengar mengenai Islamnya bangsa Monggol, tapi kita jarang dengar siapakah yang mengIslamkannya. Hari ini kita akan berkongsi kisah seorang yang sangat berjasa di dalam dunia Islam, orang yang berusaha mengIslamkan bangsa Monggol, dia adalah Syeikh Saifuddin al-Buharzi.

Syehikh Buharzi berasal dari wilayah Horasan (kini di bawah Negara Iran). Dia seorang yang sangat alim dan tinggi ilmunya. Jiwa muda yang dahagakan ilmu menjadikannya sentiasa merantau dari satu tempat ke satu tempat, dari satu guru ke satu guru hinggalah beliau bertemu dengan guru yang menjadi pembimbingnya iaitu Syeikh Najmuddin al-Kubra di Khuraizm (kini di bawah Turkeminstan).

Syeikh Buharzi belajar dan mendapat bimbingan dari gurunya ini hinggalah ketika monggol mula menyembelih umat Islam di Negara mereka.

Ketika Monggol mula sampai ke Khuraizm, dia member amaran agar penduduk meninggalkannya. Syeikh Najmuddin memilih untuk keluar berjuang hingga syahid dari meninggalkan dari tanahairnya. Dia kemudia memilih dua orang anak muridnya, salah seorangnya ialah Syeikh Saifuddin al-Buharzi.

“Aku perintahkan kamu agar keluar dari Khuraizm ini, pergilah kamu ke Bukhara dan di sana, ada tanggungjawab besar yang kamu akan laksanakan” kata Syeikh Najmuddin al-Kubra kepada muridnya ini.

Dengan hati yang berat, mentaati perintah gurunya, Syeikh Buharzi meninggalkan guru dan rakan seperguruannya menuju ke Bukhara. Tentera Monggol kemudiannya memasuki Khuraizm dan ramai ulama keluar berjuang dan akhirnya syahid. Syeikh Najmuddin al-Kubra syahid pada tahun 1221 masihi dan dimakamkan di Konya Urgench di Wilayah Dashoguz di Turkmenistan

Syeikh Buharzi tinggal di Bukhara sehinggalah Asia Tengah ini diperintah oleh cucu Gengis Khan, dari anaknya Chagatay iaitu Bayan-Quli Khan. Umat Islam ketika itu melihat pentingnya mengIslamkan pemerintah Monggol ini. Banyak utusan dirancang dan setiap kali utusan dakwah sampai ke Bayan- Quli Khan, pasti pulang dengan badan yang bercerai dari kepala.

Syeikh Buharzi merancang dan menghantar lagi utusan-utusan dakwah ini, hinggalah akhirnya, beliau membuat keputusan untuk memimpin sendiri rombongan dakwah ke Istana Bayan-Quli Khan.

Ketika Bayan-Quli Khan melihat wajah Syeikh Buharzi, terasa sejuk dihatinya. Dan ketika itu, untuk pertama kalinya, Bayan berkenan untuk bertanya kepada Syeikh Buharzi...

“Terangkan padaku, siapakah Tuhan?”

Surah Ikhlas di bacakan di hadapan Bayan Quli Khan, dan dengan muqaddimah soalan ini, banyak lagi soalan yang diajukan hingga kerap syeikh Buharzi mengunjungi Istana Bayan Quli Khan.

Akhirnya, tertarik dengan setiap jawapan yang diberikan oleh Syeikh Buharzi, Bayan Quli Khan mengucapkan dua kalimah syahadah, ikrar yang sama bagi setiap umat Islam di dunia ini.

Benarlah kata, Syeikh Najmuddin al-Kubra, hari itu, Syeikh Buharzi telah menunaikan satu tanggungjawab yang besar untuk umat Islam yang sebelum ini berjuang dengan darah ketika berhadapan dengan tentera Monggol ini.

Selepas membawa Bayan Quli Khan memeluk Islam, tidak lama selepas itu, syeikh Buharzi pulang bertemu Rabbnya.

Bayan Quli Khan menjadi pemerintah pertama dari kerajaan Monggol yang memeluk Islam. Setelah gurunya meninggal, dia menjadi pengembang Islam di dalam Negara-negara jajahan Monggol terutama daerah-daerah di kawasan Rusia.

Ketika hujung hayatnya, dia berpesan agar diwaktu kemangkatannya, penggantinya hendaklah memakamkannya di bawah kaki gurunya Syeikh Buharzi dan pada tahun 1358, ketika Bayan Qui Khan mangkat, dia disemadikan di Fathabad, di bawah kubur gurunya.

Berbahagialah ketiga tokoh ini, Syeikh Najmudin al-Kubra yang telah mendidik muridnya syeikh Buharzi,

Syeikh Buharzi yang telah berjasa mengIslamkan kerajaan Monggol dan Bayan Quli Khan yang akhirnya menjadi pengembang Islam di Negara-negar jajahan Monggol hingga akhirnya kerajaan Monggal menjadi Islam.

Semoga Allah berikah semangat mereka pada kita agar kita memelihara dan memperjuangkan agamaNya di akhir zaman ini, amin...

Al-fatihah buat diri kita, ibu dan ayah kita, keluarga kita dan khas untuk ketiga tokoh ini, Syekh Najmuddin, Syekh Buharzi dan Bayan Quli Khan......

“Sirah, Perjalanan Membina Sejarah”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Tashkent Palace Hotel, Tashkent Uzbekistan

2 Jamadil Awal 1432/5 April 2011 jam 7.30 pagi

IMG_7842

Masjid Sayfiddin Boharzi

IMG_7843

IMG_7853

Makam Syeikh Boharzi

IMG_7860

Makam Bayan Quli Khan, pemerintah Monggol yang Islam di tangan Syeikh Buharzi

IMG_7876

IMG_7858

Kenangan jemaah rombongan di hadapan masjid Buharzi

Monday, April 4, 2011

Jom Kongsi Pengalaman 69 – “Tandas Di Uzbekistan..”

Saya ingin kongsikan mengenai tandas di sini. Ia merujuk kepada tandas di bandar Bukhara dan bukan di kampung-kampung atau tempat lain

IMG_7788

Budaya orang Islam di sini ialah, mereka akan menggunakan kaedah istinjak dengan kertas berbanding air. Jadi, walaupun di masjid, amat jarang ada paip air, gayong kecil digunakan untuk orang yang mahu menggunakan air di dalam bersuci

IMG_7789

di dalam tandas di sini, akan disediakan tuala untuk mengelap muka dan kaki selepas berwudhuk. Warna merah untuk mengelap muka dan warna hijau untuk mengelap kaki

IMG_7790

setelah digunakan, pengguna akan meletakkannya ke dalam tong yang disediakan untuk dibasuh

IMG_7791

ada tempat menggantung beg dan baju di sini

IMG_7792

tuala yang telah digunakan akan dibasuh dengan mesin basuh dan akan disidai

IMG_7794

apa yang menarik, tingkap pada tandas di sini juga di pasang dengan jeriji besi, barangkali takut kalau ada orang mencuri-curi buang air…

“Pengalaman Asas Hikmah”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Asia Hotel Bukhara Uzbekistan

1 April 2011 jam 9.30 malam(waktu tempatan)

Saturday, April 2, 2011

Diari 304 – “Catatan Perjalanan Ke Uzbekistan 2011..”

30 Mac 2011, hari ini saya bertolak bersama rombongan seramai 31 orang ke Uzbekistan.

Jam 8.00 malam, saya mula keluar dari rumah ke KLIA. Hari ini, program saya agak penuh. Jadi, jam 7.00 petang masih lagi di Shah Alam bermesyuarat. Di lapangan terbang antarabangsa ini, saya bertemu dengan ahli rombongan yang lain.

Kami mula masuk ke dalam perut kapal dan jam 10.35 malam, kapal mula bergerak perlahan-lahan. Penerbangan malam ini agak banyak, oleh itu, kapal kami terpaksa menunggu giliran untuk terbang seakan anak-anak darjah satu berbaris untuk membeli makanan ketika rehat. Jam 10.55 malam, kapal mula meninggalkan KLIA. Dari atas saya melihat keindahan lampu-lampu menghiasi bumi Malaysia. Begini agaknya bumi Malaysia dari mata burung.

Penerbangan ke Uzbekistan mengambil masa lebih kurang 7 jam. Bertolak jam 10.55 malam, jam 6.10 pagi waktu Malaysia ( 3.10 pagi waktu Uzbekistan) kami telah sampai di Tashkent. Beza waktu di sini dengan Malaysia ialah 3 jam.

Kami telah ditunggu oleh Aziz Khan, pemandu pelancung kami di sini. Setelah semua urusan beg selesai, kami dibawa ke terminal domestik untuk penerbangan selanjutnya ke Bukhara.

Waktu subuh di sini ialah jam 4.45 pagi. Dengan kesejukan bandar Tashkent serendah 12 darjah celsius, kami menyempurnakan wudhuk dan mencari arah kiblat untuk bersolat.

Saya mengambil kompas untuk melihat arah kiblat, di Uzbekistan, kordinaat bagi kiblat adalah 14.

Seorang pegawai imigresn menghampiri kami..

“Musalman?” (Islam ke?) katanya

“Namaz.. namaz..?” (solat-solat…?) katanya lagi.

Saya hanya menganggukkan kepala. Dia kemudian menunjukkan arah kiblat di dalam lapangan terbang ini, ia lurus dan terdapat satu papan tanda berwarna hijau. Papan tanda hijau itu menunjukkan arah kiblat tetapi di dalam tulisan yang kami tidak boleh baca.

“patutlah tak perasan.. sekali tulisan uzbek la…” kata saya pada ahli jemaah sambil tersenyum.

Lapangan terbang di sini tidak ada surau. Tetapi tidak ada halangan untuk bersembahyang di mana sahaja. Kita boleh bersembahyang di ruangan legar di sini.

Untuk mengambil wudhuk tidak ada masalah kerana tandas tidak berapa jauh. Tetapi untuk masuk ke dalam tandas dikenakan bayaran 500 soom ( lebih jurang 75 sen)

Berbeza dengan lapangan terbang Casa Blanca Morocco, suraunya ada tapi bilik air sangat jauh untuk mengambil wuduk. Tapi di dalam surau terdapat banyak batu-batu. Batu itu digunakan untuk bertayammum. Di Morocco, fiqah mereka mazhab Maliki, menurut Maliki, para pemusafir boleh menggunakan batu untuk bertayammum jika dalam musafir.

Matawang di sini bernama Soom. Satu dolar bersamaan dengan dua ribu Soom bermakna seribu som besamaan dengan RM 1.50 Rata-rata wang kertas di sini adalah seribu soom.

Kalau kita menukar USD 100, kita akan dapat 200 ribu soom dan sudah tentu kita akan membawa sebemban wang itu ke sana sini.

Kami bertanya dengan Aziz pemandu pelancong, apa kami boleh beli dengan seribu soom ini? Spontan Aziz menjawab:-

“Kalau di Tashkent, kamu boleh masuk dua kali ke tandas, tapi kalau di Bukhara, kamu boleh masuk 5 kali dalam tandas dengan 1000 soom”

Kami semua tersenyum mendengar gurauannya.

Kami menunggu, untuk menaiki flight ke Bukhara dan pada jam 7.00 pagi kami mula naik ke kapal. Jam 7.15 pagi, kami mula meninggalkan Tashkent.

Penerbangan domestik tidak menggunakan kapal besar, bukan Boeing atau Airbus, tetapi kapal terbang jenis IL-114-100 atau seakan penerbangan Firefly di Malaysia. Kapal terbang berkipas ini menerobosi awan dan mudah bergegar. Ia seperti kereta kalau melanggar jalan berlekuk. Tetapi kapal kecil macam ni lebih selamat kerana jika enjin bermasalah, ia akan dapat melayang dan tidak terus menjunam dan terhempas seperti kapal besar.

Jam 8.40 pagi, kapal mula merendah dan “gddeeek” bunyi tayar mula dikeluarkan.

Jam 8.45 pagi, kami mula mendarat dengan selamat dan Alhamdulillah….

“Selamat Datang Ke Bukhara, Negeri Di Sebalik Sungai..”

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Asia Hotel Bukhara Uzbekistan

27 Rabuiyl Akhir 1432/ 1 April 2011 jam 2.30 petang

IMG_7572

Solat di ruang legar lapangan terbang

IMG_7573

arah kiblat, warna hijau di gunakan dan warna hijau memang sinonim dengan warna Islam

IMG_7579

teknologi Russia, bas berkepala lori

IMG_7580

ketika waktu dhuha, matahari naik segalah, kami meninggalkan Tashkent

IMG_7588

Penerbangan kapal cargo MAS

IMG_7590

Penerbangan domestik hanya menggunakan kapal kecil

IMG_7595

lapangan terbang Bukhara

IMG_7596

Selamat datang ke Bukhara, laluan sutera sejak ribuan tahun lepas…

IMG_7621

Untuk tukar USD 100, kita akan dapat 200 ribu Soom…