Friday, February 25, 2011

Diari 289 - “Sejarah Islam Nusantara” dua tempat di UiTM

“Ustaz, jangan lupa ye…” kata puan Rozita, pensyarah di UiTM ketika menjemput saya memberikan ceramah sempena Maulid bertajuk “Sejarah Islam Nusantara” kepada kakitangan dari Fakulti Kejuruteraan Awam pada 23 Febuari 2011 bermula jam 10.00 pagi.

Apa yang mengharukan saya ialah testimonial dari pelajar-pelajar di sini setelah mendengar ceramah multimedia “Sejarah Islam Nusantara”.

“Yang malas belajar jadi rajin ustaz, dan yang tak pakai tudung dan ada yang mula pakai” kata Puan Rozita.

“Sebab itulah saya nak bawa sangat sekali lagi pada staf pula” katanya.

Tidak ada yang mampu saya ucapkan melainkan pujian pada Allah yang memberikan perubahan pada hati-hati..

Memang, modul “Sejarah Islam Nusantara” di susun untuk memberikan suntikan kesedaran kepada pendengar pentingnya kita bersungguh-sungguh di dalam apa sahaja yang kita buat.

IMG_6067

Walaupun ceramah maulid, tetapi tajuk yang dibawa ialah “Sejarah Islam Nusantara”

IMG_6065

Antara yang hadir

IMG_6066

majlis dimulakan dengan nasyid dan bacaan sajak dari para pensyarah

 

Jumaat 25 Febuari 2011, jam 9.00 pagi, sekali lagi saya dijemput oleh UiTM di Pusat Islam untuk mengisi ceramah maulid.

Kali ini seorang ustaz menghubungi saya..

“Ustaz, kita buat di ruangan solat” katanya.

Terbayang saya, ia hanyalah seperti di Surau seperti jemputan saya di Universiti lain.

Ketika saya melangkah ke Pusat Islam UiTM, saya agak terkejut kerana ia merupakan dewan besar yang sangat kondusif, berhawa dingin dengan sistem pembesar suara yang canggih, skrin yang besar dan dipenuhi oleh staf UiTM, rupanya hari ini adalah perarakan dan kemuncaknya adalah ceramah Maulid.

Sekali lagi saya, saya membawakan “Sejarah Islam Nusantara” kepada para pendengar.

Walaupun masa yang diberikan pada saya hayan 45 minit, tapi isi penting dalam ‘Sejarah Islam Nusantara” dapat di sampaikan.

Apa lagi, kembang kempis hidung pendengar bersemangat kerana tahu apa yang perlu dibuat selepas ini.

Alhamdulillah, majlis dapat disempurnakan dengan baik..

Semoga ia dapat dikongsikan dengan lebih ramai lagi, agar memberi manfaat dan kesedaran terutama di dalam mengembalikan jatidiri kita sebagai Melayu Islam. Tapi semuanya….

Dengan izin Allah…..

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

22 Rabiul Awal 1432/ 25 Febuari 2011 jam 6.55 petang

IMG_6070

Dewan Pusat Islam UiTM

IMG_6072

Di tengah memakai baju kelabu, Dato’ Abdullah, Timbalan Naib Censelor HEP juga bersama di dalam masjlis pagi ini..

IMG_6073 

IMG_6076

Antara hadirin yang bersama

Diari 288 – Memelihara Tabiat….

22 Febuari 2011, jam 12.30 tengah hari, saya dikunjungi oleh seseorang yang ingin berkhidmat untuk agama. Seorang lulusan Syria dan sekarang sedang mengambil Master di Universiti Malaya.

“Mmm, saya tak sempat nak bincang ni, jomlah ikut saya ke Bank Pembangunan, saya ada ceramah di sana jam 1.00” kata saya.

“Oklah ustaz” dia dan ibunya bersama saya ke Bank Pembangunan di Kuala Lumpur dan dalam perjalanan kami membincangkan apa yang boleh dibuat olehnya.

“Ok, kebetulan anak murid saya dari Mesir semua balik ni, jadi saya tak mahu mereka duduk saja di rumah, saya memang sedang susun kelas untuk pengajian mereka, kalau macam tu, boleh lah mengajar untuk mereka” kata saya.

“Hmm, boleh juga tu” katanya.

“InsyaAllah, nanti saya susunkan” kata saya.

Sebenarnya, belajar adalah cara hidup. Sebab itu, orang yang ingin menjadi orang berilmu perlu menjadikan sistem belajar sebagai cara hidupnya, tidak terhenti di sekolah atau Unversiti.

Sama macam orang belajar tahfiz, kalau hafiz itu tidak menjadikan hafalan cara hidupnya, dia mungkin menjadi orang yang pernah menghafal al-Quran, tetapi bukannya pemelihara al-Quran.

Dalam konteks murid saya yang balik dari Mesir, kita perlu susunkan kelas untuk mereka kerana tidak mahu semangat ilmu itu menjadi patah dan luntur.

Dalam permulaan kita perlukan kebiasaan untuk membentuk tabiat, tetapi setelah itu, tabiatlah yang membentuk kita.

Kalau anak murid ini, dah biasa nanti di Malaysia, tidur dan rehat, takut menjadi tabiatnya pula untuk banyak tidur dan rehat.

InsyaAllah, semoga pelapis agamawan dapat terus di lahirkan demi memastikan ia tidak terputus. Mohon di doakan…..

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

22 Rabiul Awal 1432/ 25 Febuari 2011 jam 6.15 petang

IMG_6045

Ceramah Maulid di Bank Pembangunan

IMG_6049

IMG_6050

Bersama warga di sini

Diari 287 – “Ceramah Multimedia, jemput datang…..”

22 Febuari 2011, jam 9.30 pagi, hari ini merupakan siri ketiga ceramah maulid Multimedia di Yayasan Restu.

Siri pertama bertajuk iktibar Badar

Siri kedua bertajuk iktibar Uhud

Siri ketiga bertajuk hari ini ialah iktibar Ahzab.

InsyaAllah, kemuncak ceramah multimedia sempena Maulid Nabi ini ialah pada hari Rabu 2 Mac 2011 jam 9.00 pagi.

Semua tuan-puan dijemput hadir, masuk adalah percuma dan makan tengah hari insyaAlah akan disediakan pada ceramah kemuncak ini.

Untuk pertanyaan bolehlah berhubung dengan PA saya, Alia 019 6003643.

Semoga ia menamakan lagi rasa kecintaan pada Nabi dan semoga Allah merezkikan kita untuk menyayangiNya dan NabiNya, amin…..

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

22 Rabiul Awal 1432/ 25 Febuari 2011 jam 2.00 pagi

IMG_5993

Sebahagian pendengar yang telah memenuhi dewan

al-Ijabah 87 – Hasrat Majlis Agama Islam Terengganu

21 Febuari 2011, jam 8.15 malam, saya berada di Darul Ukhwah menyempurnakan mesyuarat bulanan bersama semua badan pengurusan.

Malam ini lebih kepada perbincangan perjalanan rumah HIV muslim ini, terutama mengenai hari keluarga yang di rancang pada hari Ahad 27 Febuari.

Darul Ukhwah mempunyai “7 Tonggak”

1. Penjagaan ubat,

2. penjagaan kesihatan,

3. program penerimaan keluarga,

4. program jati diri,

5. program penerimaan masyarkat,

6. program rohani

7. program kaunseling

Semua program yang diatur di Darul Ukhwah ini menjurus kepada 7 tonggak ini. Jadi, program hari keluarga bermatlamatkan agar keluarga penghuni bersama-sama penghuni dan menerima mereka.

InsyaAllah, ia akan disempurnakan di Sungai Congkak.

Selain itu, kami juga membincangkan serba sedikit mengenai tetamu yang akan datang melawat Darul Ukhwah iaitu Majlis Agama Islam  Terengganu (MAIT)

Pihak MAIT sedang bercita-cita untuk membuka rumah perlindungan HIV muslim di Terengganu seperti yang terlaksana di Selangor, dan mereka menziarahi kami untuk berkongsi pengalaman di dalam mentadbir program ini.

“Kalau macam tu, apa kata kita buat kerjasama Ustaz, kita buat macam cawangan Darul Ukhwah di Terengganu” kata Ustaz Halim, ketua Rombongan MAIT.

Alhamdulillah, kita sangat mengalu-alukan kedatangan dan niat mereka, kerana memang, rumah HIV muslim tidak banyak ada sedangkan pesakit HIV rata-rata orang Melayu dan beragama Islam.

Memang mereka dulu mempunyai latar belakang yang agak hitam tetapi ia tidak bermakna kita perlu meyisih mereka sama sekali. Kita usahakan semampu boleh untuk membantu golongan ini. Semoga niat yang baik akan terus diperbaiki Allah.

“Al-Ijabah, Bersatu Kita Berbakti”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

22 Rabiul Awal 1432/ 25 Febuari 2011 jam 1.45 pagi

IMG_5969

Sebelum mesyuarat, bersama warga DU di dalam bacaan “ratib”

IMG_5972

Ini cucu saya di DU

IMG_5981

Mesyuarat DU

IMG_6021

Kunjungan MAIT

IMG_6022

Berbincang dan berbual mengenai pengalaman mengendalikan rumah HIV

IMG_6028

InsyaAllah, saya doakan semoga MAIT berjaya demi membantu muslim..

Diari 286 – Syabas Warga “Syabas”

Isnin 21 Febuari 2011, jam 5.50 petang…

“Bagus juga jika ada persatuan Islam di jabatan-jabatan ni” bisik hati saya.

Kala ini, saya memenuhi undangan ceramah Maulid bersama warga Syabas di Petaling Jaya. Program petang ini dianjurkan oleh Badan Kebajikan Islam Syabas.

Pernah seorang sahabat saya menyatakan pendapatnya pada saya bahawa dia tidak nampak sekarang ini ramai orang mahukan Islam. Mungkin di dalam lingkungannya begitu.

Bagi saya, yang saya saksikan adalah semakin banyak program agama yang dianjurkan, bermakna semakin ramai orang yang mahukan Islam. Dan semakin ramai anak muda yang menganjurkan program-program agama.

Kalau dulu, program agama dianjurkan oleh orang tua, tetapi sekarang, ramai anak muda sendiri yang berusaha bersungguh-sungguh menajayakannya.

Yang pasti, kalau pun ada orang menafikannya, kita boleh menelurusi perkhabaran akhir zaman, antaranya ialah Islam pasti akan gemilang kembali.

Syabas dan tahniah warga “Syabas”…

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

22 Rabiul Awal 1432/ 25 Febuari 2011 jam 1.30 pagi

IMG_5946

Ceramah sekarang berada di mana-mana

IMG_5941

Jam 5.30 petang, ketika pejabat tutup, terus ia bertukar menjadi dewan kuliah

IMG_5939

Tajuk petang ini ialah “Maulid”

Wednesday, February 23, 2011

Jom Kongsi Ilmu 26 – IKIM (Hak Wanita Sebelum Berkahwin..)

Isnin 21 Febuari 2011 jam 10.00 pagi, ingin saya kongsikan perbahasan yang dibuat IKIM.fm.

Pagi ini, saya membincangkan mengenai hak-hak wanita sebelum berlakunya perkahwinan.

Hak Yang Pertama : Pertunangan

Pertunangan merupakan satu perjanjian untuk pernikahan.

Sebelum peminangan dijalankan, terdapat dua syarat yang perlu dipenuhi iaitu:-

(1) Perempuan tersebut tidak berada di dalam pinangan orang lain sebagaimana sabda Rasullullah SAW:-[1]

Tidak boleh seorang lelaki meminang di atas pinangan saudaranya sehinggalah orang yang meminang itu meninggalkan atau mengizinkan baginya

(2) Perempuan yang dipinang itu tidak terhalang oleh halangan-halangan syara’ yang menyebabkan tidak dapat dinikahi. Halangan-halangan tersebut antaranya:-

a) Perempuan tersebut telah bersuami

b) Perempuan tersebut haram dinikahi untuk sementara waktu atau selama- lamamya seperti saudara isteri atau perempuan yang mahram.

c) Perempuan tersebut berada di dalam tempoh iddah raj’ie yang mana suaminya masih lagi berhak untuk merujuk kembali. Sekiranya perempuan tersebut berada di dalam tempoh iddah talak ba’in, maka peminangan boleh dibuat hanya secara sindiran sahaja.

Hak Kedua : Mengetahui Kemungkiran Di Dalam Pertunangan

Ulama’ mazhab Syafie mengatakan sekiranya berlaku perlanggaran kepada perjanjian pertunangan, maka pihak yang menyebabkan pertunangan itu terputus hendaklah mengembalikan barangan pemberian itu sekiranya ia masih lagi baik dan jika telah rosak maka dikembalikan semula berdasarkan kepada nilai barang tersebut.

Hak Ketiga : Menetapkan Mahar

Mahar adalah pemberian yang wajib daripada lelaki kepada perempuan yang dikahwininya sama ada sebelum, sesudah atau pada waktu akad nikah dilakukan dan ia tidak dapat digantikan dengan pemberian yang lain. Kewajipan ini telah dinyatakan oleh Allah S.W.T yang berbunyi :-[2]

"Dan berikan kepada perempuan-perempuan isi mahar mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan sesuka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya, maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat lagi baik kesudahannya."

Hak Ke Empat : Mengetahui Wali Dan Orang Yang Boleh Mengakad Nikahkan Perkahwinan

Mengetahui perihal wali ini penting kerana tiga sebab :-

  1. mengetahui orang yang layak menikahkan
  2. berkaitan dengan sah atau tidak sesuatu pernikahan
  3. mengetahui sebab-sebab yang menghalang wali untuk menikahkan

Hak kelima : Mengetahui Halangan Pernikahan

Mengetahui keadaan bakal suami penting untuk mengetahui halangan-halangan yang membuatkan seseorang lelaki itu terhalang untuk bernikah dengan seorang perempuan. Halangan pernikahan ada dua sebab iaitu :-

  1. Haram buat selamanya

i. sebab nasab

ii. sebab susuan

  1. Haram buat sementara

i. sebab perkahwinan

ii. sebab keadaan

iii. sebab agama

Sebab keadaan antaranya ialah :-

1. Wanita yang bersuami

2. Pernikahan dengan wanita yang dalam iddah sama ada atas sebab perceraian atau kematian suaminya.

3. Pernikahan dengan wanita yang hamil yang bukan anaknya sendiri.

4. Pernikahan dengan bekas isteri selepas gugur tiga talak.

5. Pernikahan waktu sedang melakukan ihram haji atau 'umrah.

InsyaAllah, sambungannya, kita akan bincangkan di dalam IKIM.fm pada hari Isnin 28 Febuari 2011 jam 10.00 pagi.

Dengan mengetahui hak, kita akan lebih menghormati diri kita dan menghormati orang lain. Yang penting ialah rasa untuk menunaikan tanggungjawab pada hal orang lain kerana ia adalah titah dari Allah swt.

“Ilmu Pelita Hidup”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

20 Rabiul Awal 1432/ 23 Febuari 2011 jam 10.40 malam


[1] Hadith riwayat al-Bukhari

[2] Surah an-Nisa ayat 4

IMG_5919

Kenangan bersama DJ Fairuz

Diari 284 – Kenangan Jumaat Pertama….

18 Febuari, sekadar ingatan dan catatan saya, hari ini, buat pertama kalinya, solat Jumaat dibuat di Maahad Sains al-Quran al-Amin.

Alhamdulillah, dengan dilaksanakan solat Jumaat di sini, lebih memastikan perjalanan untuk solat lebih selamat kerana sebelum ini, para pelajar kena berjalan selama 20 minit untuk ke masjid.

Selain itu, staf MPSJ dan juga beberapa pejabat sekitar juga dapat bersama-sama lagi.

Jumaat pertama di sini, saya sendiri yang pimpin. Semoga menambahkan lagi keberkatan di tempat ini, amin….

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

23 Febuari 2011 jam 9.00  malam

IMG_5905

Kenangan Jumaat Pertama..

Tuesday, February 22, 2011

Diari 284 – Mengajak Si Kecil Berselawat pada Nabi SAW

Apa yang menarik di dalam bulan kelahiran Nabi ini? Bagi saya adalah ketika penglibatan anak-anak kecil di dalam majlis selawat dan ceramah. Biar mereka di biasakan dengan program mulia seperti ini kerana di luar sana terlalu banyak program berbentuk maksiat yang bila-bila masa menjerumuskan mereka.

Saya memang amat jarang menerima jemputan dari sekolah, lebih-lebih lagi jika sekolah rendah. Ini kerana, ramai pelapis para ustaz yang baru naik boleh mengisi ruang ini untuk berdakwah.

Ketika Dr. Harun Din, Ustaz Dato’ Ismail Kamus, dan Dato’ Dr. Hassan Ali mewarnai Forum Perdana TV 1 dahulu, ketika itu, ruangan bagi saya memulakan dakwah adalah di sekolah-sekolah. Ia memang satu medan yang sangat baik kerana para pendengar kita adalah anak-anak yang kecil, bahasa yang digunakan perlu sesuai dengan mereka.

Tapi kalau semua tempat Dr. Harun Din dan lain-lain tokoh tadi mereka isi, maka tidak ramai pelapis para pendakwah dapat di lahirkan.

18 Febuari 2011 jam 9.00 pagi, saya memenuhi undangan di Sek Kebangsaan Bukit Jalil. Seorang anak murid saya dari Yayasan Restu, beberapa kali bertemu dengan saya meminta agar saya memenuhi undangan sekolah anaknya itu.

“Oklah kak, tapi minta tolong sediakan projector ye..” kata saya.

Biasanya, bagi anak-anak, saya akan bawakan ceramah multimedia, barulah mereka akan mengikuti ceramah dengan baik.

Pihak sekolah telah menyediakannya sedangkan saya juga membawa satu lagi set projector kerana saya mengandaikan tentu murid yang duduk di bahagian belakang tidak akan nampak visual yang dikongsikan.

Rupanya betul, dan ia amat memberi manfaat pada guru dan murid pagi ini.

Seperti biasa, di hujung kuliah, saya akan mengajak semua yang hadir berselawat, dan sudah tentu anak kecil dari sekolah rendah ini begitu bersemangat mengalunkan selawat.

Semoga anda semua menjadi anak yang soleh dan solehah, pembela kepada agama, bangsa muslim dan negara umat Islam, amin….

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

19 Rabiul Awal 1432/ 22 Febuari 2011 jam 12.30 tengah malam

IMG_5894 

IMG_5875

Dimulakan dengan persembahan nasyid

IMG_5876

anak-anak kita….

IMG_5886

IMG_5889

Para guru yang turut serta…..

Monday, February 21, 2011

al-Ijabah 86 – Sitgma Oh Stigma….

Khamis 17 Febuari 2011, jam 3.00 petang. hari ini seharian saya menguruskan mengenai rumah HIV yang sepatutnya telah diperolehi di Shah Alam.

Saya menenumui Puan Asma dari Bahagian Korporat Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA), membincangkan perkara ini akhirnya ada satu cadangan:-

“Mmm ustaz, kalau tak dapat sangat nanti, saya cadangkan ada satu tanah perkuburan di Seksyen 21 di Shah Alam, ok tak?”

Saya tergelak kecil…

“Ok aje kak” kata saya yang memang sentiasa nak sesuatu itu dipandang secara positif.

Sebelum ini, ketika MBSA mencadangkan beberapa tempat, halangannya ialah individu tertentu yang tidak bersetuju.

Secara jujurnya, beginilah antara cabaran mengendalikan rumah HIV, stigma masyarakat memang tinggi. Kita tak boleh nak salahkan masyarakat juga kerana kempen kesedaran amat kurang.

Kekurangan inilah yang kadang kala diambil oleh orang Kristian untuk menonjol di dalam bab kebajikan.

“Ustaz, pelajar Kolej Melaka dah sampai” satu massage masuk ke dalam telifon saya. Ia dari PA saya.

Petang ini, saya dikunjungi oleh beberapa pelajar dari Kolej Islam Melaka, mereka dari bahagain Kaunseling.

Mereka juga ingin menemubual saya mengenai HIV ini…

Saya memang suka kalau mahasiswa atau mahasiswi dari institusi pengajian tinggi datang, kerana dari generasi baru inilah yang mahu kita fahamkan mengenai pentingnya memelihara kebajikan. Benda besar penting, tapi jangan terlupa perkara kecil kerana manusia tidak jatuh sebab tersepak bukit, tapi manusia akan terjatuh ketika tersandung batu-batu kecil.

Minta di doakan yang terbaik, mudah-mudahan terus kita dirahmati Allah, amin….

Ijabah, Bersatu Kita Berbakti”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

18 Rabiul Awal 1432/ 21 Febuari 2011 jam 8.15 pagi

IMG_5870

Mahasiswi dari Kolej Islam Melaka

IMG_5873

Thursday, February 17, 2011

Diari 283 – Kembara Maulid 2011

Isnin 14 Febuari 2011 jam 7.00 petang, kalau ikut calendar Islam, malam ini adalah malam 12 Rabiul Awal, tarikh yang dinisbahkan dengan kelahiran Nabi SAW.

Biasanya, malam kebesaran Islam saya tidak akan menerima mana-mana jemputan, saya akan dahulukan dengan murid-murid saya dari anak Yatim dan tahfiz al-Ijabah dan juga murid serta staf dan guru dari Maahad Sains al-Quran al-Amin.

Malam ini selepas Maghrib, di rumah ibu saya di USJ 4 Subang Jaya, kami semua memenuhi ruangan rumah, lebih seratu orang murid bersama-sama mendirikan solat Maghrib. Selepas solat, kami terus berjamuan kerana ramai di antara yang hadir puasa sunat Isnin.

Jam 8.15 malam, kami bersama-sama memimpin selawat, satu amalan yang Allah minta kita buat seperti di dalam firmannya :-

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya (Surah al-Ahzab ayat 56)

Secara peribadi, apa yang paling menggembirakan saya di dalam majlis seperti ini? Saya sangat terhibur melihat anak-anak kecil melaungkan selawat. Bagi kita yang telah dewasa, kita telah dapat berfikir yang mana baik dan yang mana buruk, tetapi bagi anak-anak di bawah umur, program seperti ini amat perlu untuk membiasakan mereka duduk di dalam lingkungan yang baik. Alhamdulillah, program dapat disempurnakan dengan baik.

IMG_5684

IMG_5695

IMG_5710

Selasa 15 Febuari 2011, jam 5.30 pagi, saya membawa anak-anak Ijabah ke Surau at-Taqwa Seksyen 7 Shah Alam bagi menyertai forum Maulid Rasul bertajuk “Maulid vs Valentine Day’s” rakan forum saya ialah Ustaz Syed Norhisyam, mentor Imam Muda. Solat subuh di sini terus forum bermula.

“Ah…, satu forum yang sangat bagus untuk memahamkan terutamanya anak muda tentang bahayanya Valentine Day’s” kalau baca di dada akhbar, apa penghujung sambutan Valentine Day’s?

“Ya… penzinaan….” ini yang wajib diperangi, dan jika dengan menentang Valentine Day’s, kita dipanggil seperti kolot, satu penghormatan buat kita….

IMG_5754

IMG_5758

IMG_5762

(Gambar : Jika dianjurkan sesuatu majlis, pasti ada sahaja orang yang memenuhinya, sebab itu memang kita perlu selalu menganjurkan  majlis yang baik )

Tamat forum jam 10.30 pagi, sekali lagi saya bersama dengan anak-anak Ijabah dan tahfiz di dalam program bacaan Maulid Dibaie di asrama mereka di Puchong, beberapa jemputan juga datang memeriahkan lagi bacaan selawat ini. Bergema surau di asrama Ijabah dengan bacaan selawat dan semoga ia mendapat keberkata…

IMG_5787 

Tamat bersama anak Ijabah, selepas zohor, perjalanan Maulid diteruskan ke Melaka, lebih tepat lagi di Kampung Air Molek. Program yang bermula selepas Isyak membincangkan sejarah kehidupan Nabi dan secara peribadi, yang paling saya suka apabila melihat keterlibatan anak-anak kecil di dalam majlis seperti ini. Sudah terlalu banyak rancangan hiburan dan maksiat yang mendorong anak kecil terlompat-lompat melupakan Allah….

Dan satu yang menarik bagi orang kampung Air Molek, kawasan perkuburannya sangat bersih. Ditanya dan jawab ahli jawatan kuasa masjid,

“Kami tiap-tiap bulan ada gotong royong memberishkan kubur”

Sangat bagus kerana inilah bunglow kita di masa akan datang jika kita meningkatkan amalan, kalau sebaliknya, ia akan menjadi penjara buat kita…

IMG_5828

Masjid Air Molek Melaka

IMG_5860 

IMG_5867

Kenangan bersama AJK masjid

Tamat jam 12 malam, saya terus pulang ke Selangor kerana esok masih banyak program membesarkan Allah dan mengingati Nabi SAW.

16 Febuari 2011, jam 9.00 pagi saya berada di masjid bukit Jelutong dan kemudian ke jam 10.30 pagi di Yayasan Restu di dalam ceramah Multimedia mengingati Nabi SAW, tajuk pagi ini iktibar peperangan Uhud. Sebak mengingati peristiwa tubuh Nabi yang cedera dan 70 para syuhada yang dikhianati jenazah mereka oleh kafir Quraisy.

Sesiapa yang mahu mengikuti ceramah multimedia mengenai Nabi boleh datang ke Yayasan Restu jam 9.00 pagi pada hari Selasa 22 Febuari dan juga Rabu 2 Mac juga jam 9.00 pagi, kita akan menggembara dengan multimedia menghayati sirah junjungan SAW.

Jam 8.00 malam pula, Alhamdulillah, saya bersama dengan masyarakat di Kampung Sri Ceding Banting Selangor.

Apa yang menarik di masjid ini pula, sebelum ceramah, ia dimulakan dengan selawat beramai-ramai oleh penduduk yang diterajui oleh ahli kariah sendiri. Semua melaungkan selawat dan anak-anak kecil duduk di saf hadapan ketika ceramah. Dan pengerusi majlis, seorang yang sangat detail. Ucapan penutup pengerusi program..

“terima kasih diucapkan pada ustaz yang dapat memberikan ceramahnya selama 1 jam 21 minit”

Tersenyum sendiri saya, apa pun semoga kita terus dapat mencintai Nabi dan ajak sama-sama anak, isteri dan keluarga kita juga mencintai Nabi. Semoga kita semua dihujani dengan keberkatan.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

14 Rabiul Awal 1432/ 17 Febuari 2011 jam 2.30 petang.

Monday, February 14, 2011

al-Ijabah 85 – Meyuarat HIV bersama MAIS

Saya membelek surat yang sampai di tangan saya….

“PEMBENTANGAN LAPORAN BULAN DISEMBER BAGI MESYUARAT PENGURUSAN RUMAH HIV/AIDS”

Mesyuarat akan berlangsung pada hari Jumaat 11 Febuari 2011, jam  3.00 petang di Bilik Mesyuarat Haji Pateh Akhir, tingkat 6 menara Selatan bangunan Sultan Abdul Aziz Shah.

Padahal hari-hari sebelumnya iaitu hari Rabu dan Khamis saya berada di Johor bagi program bersama masyarakat yang ditimpa banjir…..

Semalaman tidak tidur melainkan sedikit sahaja, dari kejauhan, saya membuat laporan mengenai mesyuarat ini.

Rumah HIV Darul Ukhwah sekarang telah mempunyai rumah wanita dan dengan izin Allah, penghuni wanita telah mula memenuhi rumah ini.

Selama setahun lebih kita membuat rumah perlindungan HIV Muslim, telah 63 orang berada bersama kita menerima rawatan dan penjagaan. Ada yang sihat, ada yang meninggal dan ada yang masih lagi bersama.

Rumah HIV kita di Puchong pun terhenti sebentar pembinaannya kerana baru-baru ini, fokus kewangaan kepada anak-anak Ijabah. Maklumlah, baru naik sekolah, sudah tentu banyak perbelanjaannya.

Tahun ini, insyaAllah, dengan izinnya juga, kompleks anak yatim dan tahfiz al-Ijabah akan mula dibangunkan, begitu juga dengan bangunan rumah HIV kita.

Bagi yang bersama-sama secara maya, saya ucapkan ribuan terima kasih, semoga ia menjadi amalan yang kekal pahalanya amin…

Minta di doakan, mudah-mudahn semuanya dibantu Allah….

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

11 Rabiul Awal 1432/14 Febuari 2011 jam 5.15 petang

IMG_5670 

Mesyuarat di MAIS

IMG_5671

Ia dipengerusiakan oleh Pengarah JAIS baru

IMG_5680

Hadir bersama wakil dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor

Diari 283 – Program Banjir Di Johor

10 Febuari 2011, saya bersama krew usrah berada di Johor bagi program bersama penduduk yang diuji dengan banjir, semua krew dan para sukarelawan tinggal di Muar sebelum bertolak ke lokasi

IMG_5491

Suasana pagi di Bandar Maharani Muar

IMG_5496

kami mendengar taklimat perjalanan jam 8.30 pagi

IMG_5504

Perjalanan di mulakan dengan bacaan doa

IMG_5516

persiapan akhir untuk pengambaran

IMG_5519

IMG_5530

Menurunkan barang asasi di kawasan penempatan banjir di Lenga Muar

IMG_5542

Bantuan banjir adalah dari “Tabung Bencana”

IMG_5560

Rumah yang masih ditenggelami banjir walaupun sudah hampir dua minggu

IMG_5568

Kita boleh lihat kesan air di dinding rumah

IMG_5570

Setelah di Lenga selesai, kami ke Liang Batu dan semua warga NST bergotong royong membersihkan masjid yang ditenggelami banjir setinggi lapan kaki setengah

IMG_5573

antara al-Quran yang tenggelam

IMG_5591

Gotong royong tamat jam 3.00 petang dan Alhamdulillah, masjid telah bersih dan dapat digunakan seperti sedia kala.

IMG_5595

Rombongan seterusnay diajak ke Dusun Damai yang dimiliki oleh Dato’ Johan Jaafar

IMG_5645

IMG_5622

Kenangan warga NST

IMG_5634

bersama tuan rumah, Dato’ Johan

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

11 Rabiul Awal 1432/14 Febuari 2011 jam 4.40 petang