Wednesday, December 29, 2010

al-Ijabah 81 – “Kenderaan Ini Sedang Diusahakan….”

Isnin 27 Disember 2010, hari ini merupakan hari yang agak sibuk, dari pagi hingga ke malam. Setelah habis rakaman bersama Chef Wan jam 12.30 tengah hari, saya terus ke Jalan Ipoh Kuala Lumpur untuk melihat kenderaan bagi anak yatim dan tahfiz al-Ijabah.

Bagi tahun 2011, seluruh anak perempuan al-Ijabah akan berpindah ke Puchong, ke mini kompleks yang telah siap. Masalahnya ialah, di sana bas besar tidak boleh masuk. Ia hanya boleh dilalui dengan kenderaan kecil.

Jadi, anak-anak Ijabah memang memerlukan van atau bas kecil untuk ke sekolah.

“Ustaz, mana nak dapat kewangan ni?” soalan biasa yang akan ditanya pada saya ketika menguruskan perkara seperti ini.

Dan jawapan yang biasa saya akan berikan:-

“Kalau Allah kehendaki kita mempunyai kemampuan, maka insyaAllah, kewangan itu akan ada” jawab saya.

Secara jujur, keperluan al-ijabah sekarang memang banyak dan saya pula sering ditegur oleh sahabat-sahabat yang bersama-sama membahu al-ijabah.

“Ustaz, kalau dalam ceramah tu, sebutlah sikit untuk orang menderma”

Tetapi, sejak dahulu lagi, setakat ini, saya memang tidak pandai menyebut untuk itu. Yang tahu, akan bersama, tetapi yang tidak tahu, saya tidak akan menyebut melainkan mereka dahulu bertanyakan mengenainya.

Saya melihat sebuah coaster yang mempunyai 21 tempat duduk. Sesuai untuk jalan kampung tempat asrama anak-anak perempuan ini.

Harganya, RM 93 000, itu pun dah sehabis tawar, harga asal RM 98 000. Duit mukanya RM 30 000.

“Mmmm, mana nak cari ni, entahlah...” bisik hati saya.

“Haa”, saya teringat, ada sedikit kewangan hasil program bersama MBSA yang baru sahaja mendapat bayaran, bersih dalam RM 10 000, saya memejamkan mata berfikir, meletakkan kedua jari telunjuk antara mata, menghela nafas panjang, menguatkan hati.

“Tak apalah, insyaAllah, rezki anak-anak ini bukan usaha kita, Allah yang akan beri” bisikan hati berbual sendiri.

“Oklah, tolong uruskan, saya bayar RM 10 000 sekarang, baki nanti saya usahakan” kata saya pada taukey syarikat menjual bas terpakai ini dengan yakin sambil menulis cek kepadanya.

Petang ini juga, beberapa dokumen telah ditanda tangani, apa pun, semoga semua perkara dipermudahkan oleh Allah. Kadang kala, kita tidak tahu bagaimana caranya, kita hanya perlu mengusahakannya semaksima yang kita boleh, bakinya… serahkan pada Allah dan Allah yang akan menyempurnakannya.

Semoga usaha ini terus dipermudahkan, mudah-mudahan menjadi amalan yang berkekalan, amin…

“Ijabah, Bersatu Kita Berbakti”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

23 Muharram 1432/ 29 Disember 2010 jam 11.30 malam

IMG_4226

Depoh bas di Jalan Ipoh

IMG_4231

Coster yang dirancang untuk dibeli

IMG_4239

Semoga dipermudahkan Allah, amin….

Tuesday, December 28, 2010

Universiti Kehidupan 182 – Sudut Pandang Chef Wan….

27 Disember 2010 jam 11.30 pagi, saya dijemput untuk memenuhi program masakan dari Chef Wan bertajuk “apa chef” di studio NTV7 di Glenmarie Subang.

Program baru ini akan ke udara bermula pada Febuari 2011 setiap hari Isnin jam 10.30 pagi hingga 11.30 pagi.

Ia akan memaparkan huraian mengenai masakan dan coretan masyarakat.

Rakaman hari ini adalah episode pertama. Chef Wan akan masak Kuzi Ayam dan tajuk perbincangannya adalah   mengenai  “Aqiqah”. Penonton studio hari ini dari Persatuan Ibu Tunggal Selangor dan Wilayah.

Saya sampai sejak jam 10.45 lagi. Duduk di Studio dan berbual dengan Chef Wan, seorang yang ramah dan tidak berhenti-henti bercakap.

Dari satu topik ke satu topik. Hari ini saya nak kongsikan sikit perkara yang mungkin bermanfaat dari pandangan Chef Wan mengenai kehidupan.

Beliau seorang yang amat menghormati ibunya. Bagi Chef Wan, ibu adalah segala-gala. Menurut beliau, pernah di dalam perjalanan beliau bersama ibunya ke Spain, krew rakaman meminta agar Chef Wan berbuat itu dan ini, tapi apa kata beliau:-

“Ooooi, ibu saya first ye…”

Beliau pernah tunduk memakaikan kasut untuk ibunya, ketika di tanya, Chef Wan menjawab:-

“Mak kita dulu pakaikan kita kasut berapa ribu kali?”

Pada saya, ibu memang sumber kepada keberkatan, sehinggakan Nabi pernah di tanya oleh seseorang, siapakah yang patut aku hormati, tiga kali Nabi SAW menjawab, ibunya barulah ayah. Doa ibu adalah satu senjata untuk kita berjaya di dalam kehidupan ini.

Di dalam hadis, Nabi SAW pernah bersabda yang maksudnya:-

“Syurga itu di bawah telapak kaki ibu”

Bagaimana sikap kita dengan ibu kita?

“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

22 Muharram 1432/28 Disember 2010 jam 11.45 malam

IMG_4189

Chef Wan, orang yang sangat menghormati ibunya

IMG_4190

Rancangan apachef adalah rancangan baru untuk 2011

IMG_4198

Bersama Chef Wan

IMG_4199

IMG_4200

Antara penonton yang hadir

IMG_4210

Berceloteh bersama Sari

IMG_4211

“Satu lagi yang saya percaya ialah sedekah akan memurahkan rezki” kata Chef Wan

IMG_4222

Mendengar celotehnya yang tak habis-habis sama ada di dalam mahupun luar program

Diari 271 – Majlis Penutup GEMPAQ

Pejam celik dah habis sebulan program Generasi Pencinta al-Quran yang dianjurkan di Seksyen 16 Shah Alam.

Program selama sebulan ini menggabungkan program hafalan al-Quran dan motivasi-motivasi pelajar.

Yang paling menariknya, peserta tahun 2010 ini mencipta rekod apabila dapat menyiapkan al-Quran tulisan tangan sepanjang program ini berjalan.

Semoga program seperti ini dapat terus dianjurkan demi kebaikan anak-anak kita.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-faqir ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

22 Muharram 1432/ 28 Disember 2010 jam 12.30 tengah malam

IMG_4129

Kenangan majlis penutup

IMG_4119

antara ibu dan ayah yang hadir

IMG_4125

majlis penutup di rasmikan oleh YB Yaakub

IMG_4162

Anak kecil generasi pencinta al-Quran

IMG_4169

Semoga nanti lahir orang yang sayangkan al-Quran dan mahu mengamalkannya di dalam kehidupan seharian, amin…

Monday, December 27, 2010

Sisipan - Program Sejarah Islam Nusantara (SINAR)

InsyaAllah, dengan izinnya, sambutan tahun baru 2011 dengan persembahan Multimedia “Sejarah Islam Nusantara” (SINAR) akan di adakan De Palma In Shah Alam.
Persembahan Multimedia ini mengajak kita mengembara mengenai Sejarah Islam di Nusantara agar kita mengetahui asal usul Islam di tanah Melayu ini.
Ia sangat bagus untuk kita semua terutama di dalam pembinaan jatidiri asal orang Melayu Islam.
Untuk keterangan lanjut, bolehlah pembaca menghubungi 0193407113/0196003643/019/6993643/03-58804586

“Sispan Mengwarkan Peristiwa”
Al-faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Sri Pentas
27 Disember 2010 jam 8.30 malam

Saturday, December 25, 2010

Universiti Kehidupan 181 – “Yesterday Was An Easy Day…..”

Pengalaman di hutan Gunung Berlumut agak mencabar, dengan ular dan kala jengking yang boleh muncul dengan tiba-tiba.

Ketika saya diberitahu kami akan bergerak keluar, hati ini merasa lega, lebih-lebih lagi ketika mendapat tahu destinasi seterusnya bukan di dalam hutan, tetapi tepi pantai laut lepas iaitu Laut China Selatan.

Kami rombongan Media agak beruntung kerana tidak kena melalui jalan yang dilalui oleh peserta, iaitu hutan berpaya Tenee.

Tapi dari segi pengalaman mungkin agak rugi kerana alang-alang kami sudah berada di sini, sudah tentu perlu mengambil pelung untuk melalui bersama.

Rupanya keadaan di dalam hutan berpaya Tenee memang cukup mencabar, dengan paya separas pinggang dan dada, nak jalan pun susah apatah lagi nak meredahnya dengan menggunakan kenderaan 4x4, rombongan paling cepat ialah 12 jam dan yang paling lambat, hampir dua hari suntuk baru dapat keluar.

12 Disember 2010, penerbit rancangan “Usrah”, Rozimalini mengajak semua krew ke dalam hutan Tenee untuk membuat satu episod usrah bertajuk “Ibadah Pengembara”. Bersama kami ketika itu beberapa orang tentera dan peserta.

Baru masuk setengah kilometer sahaja, kami telah melalui beberapa lopak paya sedalam pinggang. Bertatih perlahan-lahan di tepi lopak ini, kami perlu masuk dalam sikit lagi untuk merasai apa itu hutan berpaya.

Jalan di dalam hutan berpaya seperti ini memang tidak menentu. Badan kita tiba-tiba boleh terbenam dan terjerlus di dalam lumpur. Walaupun cukup berhati-hati, tetapi tenggelam separas lutut dan pinggang boleh terjadi bila- bila masa.

Kami menyiapkan pengambaran di dalam hutan Tenee ini, tiba-tiba dari kejauhan terdengar deruman pacuan 4x4. Rupanya, ada ramai lagi peserta belum berjaya keluar dari hutan ini sejak mereka masuk jam 3.00 petang hari sebelumnya. Saya membelek jam, jarum jam menunjukkan pukul 12.00 tengah hari.

“Ya Allah, hampir sehari semalam pun belum berjaya keluar?” kata saya pada semua.

“Ustaz, dalam tu, sepanjang-panjang air lumpur separas pinggang dan dada, ada dekat 30 kereta lagi belum keluar, dan ada yang dah “kong” tak boleh jalan dah” kata salah seorang tentera yang bersama kami.

“Abis kalau tak boleh jalan macam mana?” tanya saya lagi.

“Dia orang akan tarik sesama dia orang, kalau tak pun, pihak penganjur memang ada team penyelamat” kata Abang Ismail, ahli Kelab Lipan Bara yang biasa menyertai sukan lasak ini, cuma tahun ini dia ditugaskan untuk membawa pihak Media.

Memang di antara kelebihan sukan ini ialah pembinaan semangat kerja berpasukan. Bukan sahaja kepantasan itu di nilai untuk memang, tetapi nilai-nilai murni seperti bantu membantu dan tolong menolong lebih dihormati walaupun tidak ada kiraan markah.

Tidak lama selepas itu, hampir sepuluh kenderaan 4x4 melintasi kami, melalui paya-paya akhir di dalam hutan Tenee ini, ada yang masih gagah menderum dan ada yang telah rosak, ditarik oleh kawan-kawan lain atau pasukan penyelamat.

Selepas semua kenderaan ini melintasi kami, tiba-tiba ada sebuah kenderaan 4x4 datang dari arah songsang, begitu laju dan garang terjun ke dalam paya dengan penuh kemahiran. Begitu teruja saya. Rupanya dia bukan peserta, tetapi dari kelab Belentara yang juga membawa pihak Media. Dia membawa krew rancangan “Majalan Tiga” yang membuat liputan mengenainya.

Krew Majalah Tiga turun di sisi kami, membuat ulasan pada hutan paya Tenee ini, ketika kenderaan berpatah balik, dia betul-betul berhenti di hadapan saya.

“Boleh saya cuba?” tanya saya bergurau.

“Ahh, boleh, naik-naik” kata tuan punya kenderaan ini.

“Eh, saya bergurau aje, tak pandai saya” jawab saya semula.

“Tak apa ustaz, saya ajar” katanya lagi.

Wah, bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, pintu dibukakan dan saya dipersilakan naik.

“Ok ustaz, bawa dengan gear dua, waktu nak sampai dekat paya, terus tukar gear satu dan tekan minyak habis-habis, jaga stering agar kereta tidak terbalik” katanya.

Saya meneguk air liur yang sudah mulai kering, secara peribadi agak risau juga, tapi satu ilmu yang memang Allah nak beri.

Saya mula membawa, tayar bergesut ketika terbenam, berpusing dan berpusing lagi, naik dari terbenam seakan melompat dan yang paling mendebarkan……

“Ok ustaz, tukar gear satu sekarang, tekan minyak habis!…..” katanya mengajar saya ketika kami mahu terjun ke dalam lopak paya sedalam pinggang.

Saya mengecilkan lopak mata, mengetap gigi dan tidak putus mengucapkan nama Allah di dalam hati, dan…..

Boooom….., kenderaan ini masuk ke dalam paya, tayar bergesut.

“Ok ustaz, tukar gear undur dan tekan minyak habis-habisan. Kali ini saya menekan minyak dan menukar gear undur, berdesup kereta melompat ke belakang.

“Ok tukar balik gear satu” katanya lagi, kali ini melompat pula kereta kehadapan. Beberapa kali undur dan maju akhirnya satu paya berjaya di atasi.

Dari rasa berdebar kepada rasa semangat ketika berusaha mengeluarkan kenderaan 4x4 dari dalam paya, dan rupanya, itulah kepuasan yang ada, ketika berjaya memacu kenderaan ini keluar dari paya.

Beberapa paya di lalui dan saya sudah mula biasa mengendalikannya.

“Ok ustaz, keluar ni nanti boleh join kelab” katanya bergurau.

Satu perasaan yang tidak dapat digambarkan, gembira bercampur puas kerana berjaya mengendalikan kenderaan mengatasi cabaran bentuk muka bumi yang berbagai.

Kenapa kepuasan ini terbit dalam diri seseorang. Ia akan terbit apabila kita berjaya mengatasi cabaran yang menghalang kita.

Sebenarnya di dalam kehidupan ini pun sama, banyak cabaran dan ujian datang dan pergi di dalam hidup kita, dan cabaran ini datang dengan alasannya tersendiri, kita juga perlu mengatasi cabaran ini dengan alasan yang lebih kuat yang terbit dari hati kita.

Jika kita tidak mempunyai alasan yang kuat untuk mengatasi cabaran, kita akan lemah semangat dan berputus asa.

Di dalam Islam, kita diajar dengan alasan yang cukup kuat, sebab itu orang beriman tidak akan pernah putus ada di dalam hidup, kalau gagal sekalipun, mereka akan tetap bangun dan bangun untuk terus berjuang mengatasi cabaran tanpa gentar dan takut.

Cuba lihat sahaja semangat yang ditunjukkan oleh Nabi SAW, walaupun dihina, dipukul, difitnah, dicaci dan dipulau, tetapi baginda tetap datang pada orang yang menghina itu untuk menyampaikan Islam sehingga kejituan semangat baginda menghairankan orang kafir yang akhirnya mengatakan Muhammad ini seorang yang gila.

Kenapa di gelar gila? Pada mereka seolah tidak ada perasaan, tapi pada Nabi, kerana baginda tidak kenal putus asa.

Apakah sebab dan alasan yang kuat untuk mengatasi cabaran. Alasan yang begitu ampuh itu ialah iman, menyakini tiga perkara:-

1. Allah menjadikan sesuatu ujian untuk manusia pada perkara yang mampu dilaluinya, bermakna, kalau ada ujian, sebenarnya ujian itu kita pasti mampu mengatasinya. Di dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud:-

Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekedar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan. (Surah at-Talaq ayat 7)

2. Allah memang sulamkan hidup ini dengan ujian untuk kita berusaha mengatasinya, kerana Allah nak lihat usaha kita itu, dengan usaha yang baik, maka Allah akan berikan kehidupan yang baik di dunia dan kehidupan yang baik di akhirat.

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya (al-Baqarah ayat 286)

3. Allah tidak pernah mensia-siakan kita, setiap ujian, pasti ada kesenangan selepas itu, oleh itu, ketika diuji, maksimakan usaha untuk mengatasinya kerana pasti selepas itu ada kesenangan. Di dalam al-Quran Allah menyatakan yang bermaksud:-

5. oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

6. (sekali lagi ditegaskan): Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

(Surah al-Insyirah ayat 5-6)

Tiga sebab ini menjadikan orang beriman akan mengatasi ujian hidupnya dengan gembira dan tenang, sekalipun kadang kala agak tertekan dengan ujian itu, dia tetap akan balik pada Allah untuk berdoa. Firman Allah yang bermaksud :-

Dan Tuhanmu berfirman: "Berdo'alah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu (Surah al-Ghafir ayat 60)

Semoga kita menjadi orang beriman yang akan sentiasa mempunyai kepuasan di dalam menghadapi cabaran hidup, dan semoga Allah sentiasa bersama kita di dalam apa yang kita usahakan. Percayalah, sesusah mana hidup di dunia ini, jika tidak membuat amalan, di akhirat lebih susah lagi dan percayalah….. “Yesterday Was An Easy Day”

“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

19 Muharram 1431/ 25 Disember 2010 jam 8.30 pagi

IMG_3606

Kita boleh terjerlus di mana sahaja

IMG_3560

Bersama anggota tentera membincangkan Ibadah Sang Pengembara

 

IMG_3562

Bersoal jawab mengenai isu fiqh bagi seorang pengembara hutan

IMG_3566

kenderaan yang terperangkap

IMG_3570

ada yang terpaksa di tarik kerana telah rosak di dalam hutan ini

IMG_3571

Tiba-tiba berhenti sebuah kenderaan di sebelah saya.

IMG_3589

Saya diberi peluang untuk memandu

IMG_3593

Berdegup juga jantung ni, tapi “cover” tetap senyum…

IMG_3596

Ada teknik tersendiri untuk tidak terbalik

IMG_3597

Gear di mainkan antara satu dan dua

IMG_3609

tayar bergesut untuk melepaskan kenderaan ini dari jalan lumpur

IMG_3603

Melintasi paya, Satu pengalaman yang diberi Allah, dan saya dapat memahami isu-isu fiqh  di dalam hutan dan semuanya ada di bahaskan oleh al-Quran atau hadis, syumul dan indahnya Islam….

Thursday, December 23, 2010

Dairi 270 – “Konsert Dan Sembang Santai…”

Kalau budak sekolah agama, biasanya, tokoh dakwah moden yang sering menjadi idola adalah al-Syahid Hassa al-Banna.

Ketika saya di peringkat sekolah menengah juga, saya selalu membaca mengenai kisah hidup beliau, dan yang paling memberi inspirasi pada saya ialah al-Syahid Hassan al-Banna terkenal dengan dakwah medan iaitu terus terjun ke tengah masyarakat, bukan hanya di masjid dan surau.

Yang agak terkenal ialah dakwah 5 minitnya di disko dan konsert-konsert di Mesir ketika itu.

Saya selalu tertanya satu ketika dahulu, macam mana perasaan al-Syahid Hassan al-Banna ketika naik ke pentas dengan keadaan orang sedang seronok berhibur?......

20 Disember 2010, saya dihubungi oleh Haji Noryzal, merancang untuk  memberikan tazkirah ketika anak-anak muda sebaya saya yang sedang khusyuk mendegar konsert di Stadium Melawati Shah Alam.

Kala ini, Kerajaan Negeri Selangor sedang menganjurkan program Selangor Ria, dalam seminggu, anak-anak muda akan diberi santapan konsert oleh penyanyi dan kumpulan terkenal.

Cuma…..

Di tengah-tengah konsert itu, akan di adakan tazkirah di atas nama “Sembang Santai…”

Rabu 22 Disember 2010 jam 8.45 malam, saya bergegas dari TV9 menuju ke Stadium Melawati. Malam ini, anak muda di Shah Alam sedang menikmati persembahan dari dua kumpulan terkenal iaitu kumpulan Jinbara dan Lan & Typewriter.

Di dalam kereta, saya menukar pakaian yang lebih santai. Krew Usrah TV9 juga ada bersama untuk membuat rakaman program malam ini.

9.05 malam, saya telah sampai di Stadium Melawati, saya terus diiring ke khemah urusetia, kumpulan Jinbara sedang panas memberikan persembahannya, sebelum kumpulan Lan & Typewriter pula naik, saya akan mengisi “Sembang Santai”.

Di bilik urusetia, sempat juga berbual dengan Lan, secara fitrahnya, semua orang memang ada perasaan untuk menjadi baik, cuma kadang kala, tidak menemui orang yang dapat membimbing mereka.

“Ok ustaz jom” kata Haji Noryzal.

Jam 9.15 malam, saya dijemput naik ke pentas, saya memerhatikan sekeliling, tidak seperti keadaan di masjid dan surau yang rata-rata orang berketayap, baju melayu dan kain sarung. Tidak juga melihat orang terhangguk mengantuk mendengar penyampaian.

Di hadapan saya sekarang penonton seramai lebih 2000 orang dengan berbagai keadaan, berseluar jin, berpelukan, rambut berwarna, kening bertebuk dengan besi, hidung bersubang dan sebagainya.

Haji Noryzal pandai mengendalikan majlis,

“Yeeaaaaah… katakan yeaaaaah pada Selangor Ria….”

“Yeaaaaah…. Semua yang ada bersorak.

“Ok semuaaaaa, malam ni kita akan bersama ustaaaaaaaz Muhaaaaaaammad” beliau memperkenalkan saya seperti di dalam Wresling WWF.

Semua yang ada begitu teruja, entah kenal atau tidak…. Ataupun agaknya mereka ingat saya akan menyampaikan kisah-kisah lawak seperti Abon atau Nabil Rajalawak.

“Yaaah… malam ni, kita akan bersembang mengenai “Semangat Orang Muda”… kata saya memulakan kalam.

Saya bersembang mengenai semangat orang muda…

Orang muda memang ada kegilaannya, yang paling menarik ialah, Rasullullah pandai menyalurkan kegilaan anak muda pada tempatnya.

Abdulrahman bin Auf, keghairahannya adalah berniaga, diberi laluan untuk berniaga, Usamah Bin Zaid, semangat anak muda, 17 tahun telah memimpin bala tentera perang, Hassan bin Thabit, membangunkan pendidikan dengan syair-syairnya.

Cuma, anak muda perlukan bimbingan, untuk mereka datang mencari bimbingan itu, agak sukar, jadi, kita yang pelu datang pada mereka.

Alhamdulillhah, sembang santai dapat disempurnakan dengan jayanya, paling kurang, sekalipun mereka sedang berhibur dengan konsert, ada juga diselitkan dengan santapan rohani.

Semoga program seperti ini dapat dibuat, kita bukan mencampurkan yang buruk dengan yang baik, tetapi kita turun kepada yang buruk untuk menerangkan yang baik. Janji Allah di dalam al-Quran:-

Dan katakanlah: "Yang benar telah datang dan yang batil akan lenyap". Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti akan lenyap. (surah al-Isra ayat 81)

Yang baik perlu sampai ke tengah masyarakat walau apa keadaanya, semoga dengan turunnya yang baik ke tengah masyarakat, maka yang batil pasti akan lenyap.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

17 Muharram 1431/ 23 Disember 2010 jam 2.oo petang

IMG_4003

Bersama Lan, secara fitrahnya, semua orang ada naluri kebaikan, cuma perlukan pembimbing

IMG_4017

Haji Noryzal menjemput saya naik ke pentas

IMG_4025

Sembang santai sebenarnya tazkirah, tapi ditukar nama agar orang tak terkejut

IMG_4029

Tajuk hari ini ialah “Semangat Orang Muda”

IMG_4038

Sembang santai program antara dua konsert

IMG_4057

lebih 2000 orang malam ini berada di sekitar konsert

IMG_4062 

IMG_4041

Kebenaran kena datang pada mana-mana tempat sekalipun…

Diari 269 – Perlancaran “Raudhah” TV9

“Syeikh, jemput datang hari Rabu ni depan ye, kita ada pelancaran Raudhah” kata En. Ruzmi pada saya ketika saya bertemu beliau Sri Pentas hari Rabu 15 Disember 2010.

Saya diingatkan sekali lagi oleh Kak Syam, penerbit Tanyalah Ustaz:-

“ustaz, jangan lupa datang ye..”

“InsyaAllah kak..” jawab saya.

Mereka semua orang senior yang taraf abang dan kakak saya, jadi segan nak tanya lebih-lebih.

“Mmm, macam mana ni” bisik hati saya.

“Haaa..” terlintas satu firkiran.

Saya menghubungi Rozimalini, penerbit program usrah. Beliau taraf adik-adik saya.

“Rozi, program pelancaran Raudhah ni, perjalanannya macam mana? boleh saya minta diri awal tak?” tanya saya.

“Mmm… kenapa ustaz? Tanya Rozi.

“Sebenarnya, malam Rabu tu, jam 9.00 malam, saya dijemput untuk menyampaikan “tazkirah” di tengah-tengah konsert di Stadium Melawati” kata saya.

“Aaaa… booooleh!!…” kata Rozi.

Saya menghela nafas lega.

22 Disember 2010, jam 7.00 petang, saya telah berada di dalam majlis pelancaran “Raudhah” di Sri Pentas. Jam 9.00 malam pula, saya perlu berada di Stadium Melawati Shah Alam di dalam Dakwah Medan atau Dakwah Lapangan iaitu dakwah terjun ke tengah masyarakat.

Negeri Selangor sedang mengadakan program “Selangor Ria”. Untuk seminggu, setiap malam akan ada konsert. Cuma ditengah-tengah konsert itu akan di adakan tazkirah.

“Isk, merepek aje bunyinya” ada orang yang berkata demikian.

22 Disember Jam 8.00 malam, perlancaran “Raudhah” dimulakan dengan bacaan Quran dan doa. “Raudhah” adalah 8 program agama yang akan keudara di TV9 bagi tahun 2011. Program itu ialah:-

Progaram Halaqah, Usrah, Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah, Akademi al-Quran, Adik dan Al-Quran, Semanis Kurma dan Safiyya.

Perlancaran malam ini disempurnakan oleh Dato’ Sri Jamil Khir Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Secara peribadi, tahniah dan syabas saya ucapkan pada TV9 dan semua yang menjayakan program ini. Jika di dalam dakwah masjid, selalunya orang yang mendengar dalam 40-50 orang, ratusan pun sudah dikira luar biasa, tetapi dakwah media, pendengarnya mencapai jutaan orang.

10 tahun dahulu, sangat susah program agama di TV, tapi sekarang, alhmadulillah, semakin banyak dan semakin bagus. Walaupun, belum dapat menandingi program hiburan, tetapi ia sudah mula menjadi arus.

Semoga, Allah terus merezkikan kita di Malaysia ini dengan kefahaman agama, kerana di dalam hadis Nabi SAW bersabda:-

“Barang siapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, akan difahamkannya pada Agama” (Kitab al-Ilm, Sahih al-Bukhari)

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

17 Muharram 1431/ 23 Disember 2010 jam 1.40 tengah hari

IMG_3975

Saya telah sampai di Sri Pentas sejak jam 7.00 petang lagi

IMG_3977

Sahabat dari peserta Akademi al-Quran musim lepas

IMG_3978

majlis dimulakan dengan bacaan al-Quran dan doa

IMG_3979

Kenangan bersama sahabat dari “Tanyalah Ustaz”

IMG_3983

Majlis dirasmikan oleh Dato’Sri Jamil Khir

IMG_3984

Raudhah adalah lapan program agama di TV9 bagi tahun 2011

IMG_3989 

IMG_3991

Peserta Akademi al-Quran musim lalu yang membaca al-Quran secara bersama

Diari 268 – “Buku Panduan Rumahtangga Bahagia…”

Alhamdulillah, di dalam kesibukan jadual harian, dengan izinNya juga, dapat saya menyelesaikan sebuah lagi buku yang akan diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Buku kali ini berkaitan mengenai “Panduan Rumahtangga Bahagia”, saku kupasan mengenai rumah tangga, hak-hak suami dan isteri, bukan sahaja menurut Islam bahkan menurut undang-undang di Malaysia yang boleh dikuatkuasakan.

Kebahagian di dalam rumahtangga apabila suami dan isteri menjadi orang yang bertanggung jawab, hak dan tanggungjawab masing-masing dilengkap dan ditunaikan. Walaupun seorang suami beristeri lebih, tapi kalau ia seorang yang mempunyai tanggungjawab, ia tetap memberi kebahagiaan.

Dan orang yang tidak bertanggungjawab, tetap tidak akan bahagia dan membahagiakan orang lain.

Jika berlaku perceraian, orang yang bertanggungjawab tetap menunaikan hak nafkah anak, nafkah eddah dan sebagainya,  akhirnya, dengan penunaian hak itu, mereka akan terus dikurniakan kebahagiaan lebih-lebih lagi di akhirat.

Jadi, bahagia di sisi Islam adalah ketika semua menunaikan tanggungjawab di dunia mahupun di akhirat dan ketika itu, Allah akan mengurnaikan kebahagiaan pada mereka.

Bahagia adalah satu anugerah ilahi dan ia tidak dapat dibeli sekalipun orang itu sangat berharta. Di dalam al-Quran Allah menyatakan, hanya Allah sahaja sumber bahagia:-

Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mu'min supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada) (surah al-Fath ayat 4)

22 Disember 2010 jam 4.00 petang, saya menghadiri perbincangan akhir mengenai buku ini yang telah disemak oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Semoga ia memberi manfaat kepada saya dan jika boleh dikongsikan kita manfaatkan bersama. Sesungguhnya, saya begitu mencemburui para ulama yang telah mendahului kita, walaupun mereka sudah tiada, tetapi tulisan mereka terus memberi manfaat kepada kita semua. Mudah-mudahan, kita semua direzkikan untuk menjadi seperti mereka.

Dan memang, salah satu amalan yang akan kekal pahalanya walaupun kita sudah tiada ialah, ilmu yang bermanfaat (maksud al-hadis)

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

17 Muharram 1431/ 23 Disember 2010 jam 12.40 tengah hari

IMG_3973

Meneliti draf yang telah disemak oleh Jabatan Mufti

IMG_4069

InsyaAllah, semoga memberi manfaat pada saya dan kita semua…

Wednesday, December 22, 2010

Sekilas 38 – Isu Non Muslim Menjadi Peguam Syarie

Baru-baru ini, Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-92 di Melaka bersetuju untuk menyatakan agar non-Muslim dihalang daripada menjadi peguam syarie.

Ada ahli muzakarah yang tidak bersetuju dengan keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan ini, antaranya Mufti Perlis kemudiannya giat menulis mengenainya (http://www.malaysiakini.com/news/151256)

Saya rasa terpanggil untuk menulis perkara ini kerana saya salah seorang daripada pegamal undang-undang syarie di Malaysia dan saya ingin ulas perkara ini berdasarkan realiti perjalanan Mahkamah Syariah di Malaysia.

1. Perjalanan Mahkamah Syariah di Malaysia berlainan dengan perjalanan mahkamah negara lain. Pertamanya soal bidang kuasa mahkamah syariah yang kecil dan ia tidak mencakupi persoalan kehidupan yang lebih luas, ia hanyalah mencakupi bidang yang terlalu kecil iaitu perkara yang berkaitan dengan orang Islam sahaja, sama ada kekeluargaan mahupun jenayah Syariah. Sebagai contoh, Jika dua orang di dapati berzina, seorang Islam dan seorang lagi kristian, hanya orang Islam sahaja yang akan dikenakan hukum di mahkamah syariah di Malaysia kerana mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa terhadap orang kafir.

Realiti ini berbeza dengan kes di zaman Rasullullah kerana bidang kuasa hukum Islam itu menjangkau soal kehidupan yang lebih luas sama ada kehidupan hingga kepada orang kafir seperti di dalam kes baju besi yahudi dan Saidina Ali.

Ia juga berbeza dengan negara Mesir yang bidang kuasa mahkamah itu lebih luas dari yang ada di Malaysia. Kita tidak boleh berhujjah dengan mendatangkan contoh pada dasar dan keadaan yang tidak sama.

2. Konsep dan etika Peguam Syarie di Malaysia bukan sebagai pembela seperti yang fahami oleh sesetengah pihak, tetapi peguam syarie adalah orang yang membantu mahkamah di dalam memutuskan sesuatu perkara. Ini kerana, hukuman yang akan dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Syariah bukan sahaja berkaitan dengan hak di dunia, tetapi tanggungannya hingga ke akhirat. Ini yang didoktrinkan pada kami Peguam Syarie terutama bagi yang mengambil Diploma In Law And Administation Of Islamic Judiciary (DAIJ) yang melayakkan seseorang itu menjadi peguam Syarie. Bagaimana orang yang tidak percaya pada Allah mahu berpegang kepada etika tanggungan hingga akhirat?

Sebab itu, bagi peguam Syarie yang benar-benar berpegang kepada etika ini, mereka tidak akan membela orang salah sekalipun tawaran pembayaran khidmat professional itu dibayar dengan berkali ganda.

Alangkan di kalangan orang Islam pun ada yang melupakan tanggungan akhirat ini, mahu diharapkan orang kafir berpegang padanya?

3. Selain itu, keputusan yang dibuat di Mahkamah Sivil tidak sama dengan Mahkamah Syariah. Mahkamah sivil, keputusan kes-kes terdahulu akan mengikat keputusan seorang hakim sedangkan di Mahkamah Syariah, keputusan kes terdahulu tidak mengikat. Jadi setiap keputusan adalah ijtihad bagi hakim, jadi peranan peguam Syarie adalah membantu hakim di dalam berijtihad, sudah tentu pembantu untuk ijtihad sesuatu hukum, orang yang juga mahir di dalam hukum itu dan sudah tentu jika berkaitan dengan syarak, orang itu mestilah muslim. Mana ada dalam sirah Rasullullah dan para sahabat yang mengambil pandangan orang kafir untuk mentafsir hukum Allah. Lihatlah ayat-ayat Allah yang melarang kita mengambil orang kafir sebagai pelindung, pembela pemimpin, teman rapat dan sebagainya.

Surah al-Ankabut ayat 41, surah al-Zumar ayat 3, surah al-Syura ayat 9, surah al-Mumtahinah ayat 1, surah Ali Imran ayat 28 dan puluhan ayat lagi.

4. Dasar hujjah yang digunakan di dalam penghujahan adalah berdasarkan dalil syarak. Jika kita telita tuntutan, pembelaan dan sebagainya di Mahkamah Syariah, ia berdasarkan hujjah syarak. Bagaimana orang kafir yang tidak percaya kepada al-Quran dan hadis ini mampu berhujjah pada perkara yang mereka tidak faham. Jika atas tiket dakwah agar mereka masuk Islam, dahulukan cara lain untuk dakwah, jadikan mereka peguam pemerhati dan bukannya laluan untuk bergelanggang.

5. Membenarkan orang kafir menjadi peguam syarie bermakna membenarkan dan memberi pengiktirafan pada mereka mengulas segala isu syariah. Bayangkan jika mereka akhirnya memberi ulasan bahawa hukum syarak sebenarnya memang tidak sesuai diamalkan. Walaupun tidak memberi apa-apa kesan pada enakmen, tetapi kita memberi pengiktirafan pada mereka untuk mengulas perjalanan hukum dan Mahkamah syariah mengikut pemahaman mereka, dan jika perkara ini terjadi, ia akan lebih mengelirukan. Akhirnya, apa yang tinggal pada umat Islam?… hanya melihat agamanya terus diperleceh tanpa mampu berbuat apa-apa di tanah airnya sendiri…

Bagi saya secara peribadi, di dalam realiti perjalanan Mahkamah Syariah di Malaysia, saya menyokong Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-92 di Melaka yang menyatakan agar non-Muslim dihalang daripada menjadi peguam syarie.

Non-Muslim boleh untuk menjadi peguam Syarie jika satu hari nanti, bidang kuasa Mahkamah Syariah diperluaskan hingga dapat mendengar dan membicarakan kes-kes yang menjangkau tuntutan hingga kepada orang bukan Islam dan di dalam bidang yang lebih luas lagi.

“Sekilas Mewarkan Peristiwa”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

16 Muharram 1431/ 22 Disember 2010 jam 2.30 pagi

al-Ijabah 80 – Di Ambang 2011

Di samping  asyik bercerita kisah Rain Forest Challenge, mari kita selitkan juga kisah al-Ijabah sama ada rumah anak yatim mahu pun rumah HIV Darul Ukhwah.

Bagi menghadapi tahun 2011 ini, banyak perancangan telah diatur bagi kedua-dua rumah ini.

Bagi anak-anak yatim, persediaan menghadapi tahun baru 2011 memerlukan belanja yang agak besar. Bukan sahaja persediaan persekolahan malahan kelengkapan asrama al-Ijabah.

Biasalah…., berkaitan dengan anak-anak kecil, memang banyak kreativiti di luar jangka yang perlu dilalui bersama. Kalau tidak ada cabaran, masakan pembela anak yatim dijanjikan syurga dan kebaikan di akhirat. Jika disebut tentang syurga dan kebaikan akhirat, ia bermakna, usaha itu pasti tidak mudah.

Saya berada  asrama anak-anak ini, ada katil dan almari yang perlu dibelikan baru, ada yang perlu diperbaiki. Awal tahun baru ini, selalu anak-anak kampung di sini memecah masuk ke dalam asrama  al-Ijabah, saja buat kacau dan merosakan beberapa almari dan keperluan di sini. Hinggalah pihak polis membantu menyelesaikannya.  

Saya memerhatikan kipas siling, tersengih sendiri melihat ada yang togel kerana kreativiti mereka. Tak apalah, asalkan berjaya satu hari nanti, amin…

Di pusat pentadbiran asrama anak yatim di Subang Jaya, terima kasih saya ucapkan pada yang menghantar berbagai keperluan, ada ubat gigi, ada sabun, ada beras dan sebagainya.

Saya tidak nafikan belanja untuk anak-anak ini agak besar, dan pasti ia akan dicukupkan Allah. Cuma kena usahakan sahaja. Terima kasih bagi pembaca yang bersama-sama kita di dalam perjuangan ini.

Bagi perkembangan rumah HIV, insyaAllah, dialog bersama masyarakat akan di adakan pada 26 Disember 2010 ini, ia adalah rentetan dari mesyuarat bersama MBSA baru-baru ini. Jika masyarakat sekeliling bersetuju, maka MBSA akan memberikan dewannya untuk dijadikan rumah perlindungan ini.

Terima kasih pada semua sahabat dari MBSA yang begitu perihatin dengan usaha kita selama ini. Semoga ia menjadi satu amalan yang mengundang redha Allah untuk semua yang terlibat menjayakan usaha ini.

Bagi kita semua, doakan agar ruang untuk berkhidmat pada agama, bangsa dan tanah air dapat diperluaskan pada semua, agar semua kita dapat berpeluang di dalam usaha ini. Bagi sahabat di dalam al-Ijabah, terima kasih pada kalian semua, semoga Allah terus memberikan yang terbaik untuk kalian, amin…

“al-Ijabah, Bersatu Kita Berbakti”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

16 Muharram 1431/ 22 Disember 2010 jam 1.00 pagi

IMG_3958

Banyak keperluan yang perlu disediakan di ambang 2011 ini.

IMG_3949

Semoga Allah memberi kebaikan pada semua yang membantu, amin…

Universiti Kehidupan 180 – “Jangan Lupa Faktor ini….”

11 Disember 2010, semua rombongan Rain Forest Challenge mulai keluar dari Hutan Gunung Berlumut. Destinasi seterusnya ialah Hutan Simpan Tenee di Tanjung Leman Johor.

Jam 3.00 petang, ketika sampai di satu tempat di Jemaluang, rombongan Media melalui jalan lain tempat perkhemahan di satu tempat di Tanjung Leman. Bagi peserta, mereka kena melalui hutan berpaya yang penuh cabaran, jika tidak markah mereka akan dipotong sebanyak 200 mata.

Jalan yang kami lalui biasa sahaja, dan kali ini , kami melalui jalan laut, saya memerhatikan GPS jenama “Garmen” yang dipasang di kereta En. Othman, Presiden Kelab Sukan Dan Rekreasi 4x4 Lipan Bara.

Mengikut GPS ini, kami sedang berada di dalam laut. Rupanya memang jalan yang kami lalui sebenarnya di dalam laut. Kami hanya dapat melalui jalan ini jika air surut dan jika air pasang, semua jalan akan terputus. Jika ada kecemasan, maka helikopter polis akan datang, begitu juga speed bot polis, sentiasa bersedia tidak jauh dari destinasi kami.

Sampai di satu kawasan, pihak pengajur dan media mula membuat khemah masing-masing. Yang ajaibnya ciptaan Allah di sini, di satu kawasan, hanya beberapa langkah dari laut, ada sebuah kolam air tawar. Tidak sedikit pun masin, jernih dan segar dan semua yang ada mengambil air untuk masak dan mandi.

Saya memerhatikan tanah lembap tempat kami berkhemah.

“Ini kalau air pasang ni, naik air ni…” kata saya ketika melihat bekas lembap di kawasan khemah kami.

Tapi, hanya di sini sahaja kawasan tanah agak tinggi, di belakang kami hutan tebal berpaya dan di hadapan kami laut. Sama ada kami masuk ke dalam hutan untuk berkhemah atau tunggu nasib, kebarangkaliannya hanya dua, sama ada air naik atau tidak.

Agaknya, begitulah perasaan Panglima Tariq bin Ziyad ketika mengislamkan Spanyol. Setelah kapalnya berlaboh di Gibraltar Spanyol, beliau membakar semua kapalnya dan berkhutbah pada tenteranya:-

“Wahai tentera Islam sekalian, di belakang kami laut dan di hadapan kamu musuh, kamu pilihlah, mana satu yang kamu mahu mati…”

Oleh kerana tidak ada pilihan, maka pejuang Islam berjuang bersungguh-sungguh hingga 7000 ribu tentera Tariq bin Ziyad dapat mengalahkan puluhan ribu tentera Spanyol hingga akhirnya Spanyol dapat diIslamkan.

Saya hanya memerhatikan air naik sedikit demi sedikit, menunggu untuk mengalihkan khemah dan beg-beg jika air naik, tapi Alhamdulillah, ketika air pasang penuh waktu malam, air tidak naik hingga ke khemah kami, rupanya yang menjadikan tanah ini lembab adalah air hujan.

Dalam pukul 10.00 malam, gempar satu berita salah seorang dari peserta telah cedera teruk di tengah hutan kerana dihempap pokok.

Ketika kenderaannya tersangkut di dalam paya, dia berusaha menggunakan teknik “Wincing” iaitu menggunakan kabel yang di ikat dipokok untuk menarik kereta, tetapi ketika usaha itu, pokok yang diikatnya tumbang dan menghempapnya.

Pasukan Paramedik tentera terus masuk ke dalam hutan paya itu. Helikopter tidak dapat turun kerana hutan yang tebal manakala ambulans pula tidak dapat masuk kerana air sedang pasang.

Satu-satunya cara untuk membawanya ke hospital adalah dengan menggunakan bot. Semua wartawan bersedia dengan kamera masing-masing.

Jam 2.30 pagi, pasukan Paramedik tentera baru dapat membawa mangsa keluar dari tengah hutan, bot telah menunggu dan dengan pantas, mangsa di usung ke bot. Semua yang ada membantu mangsa yang separuh sedar.

Setelah bersama-sama mengusung mangsa ke dalam bot, saya balik ke khemah. Merenung langit yang di hiasi dengan bintang-bintang, baru terasa sejuk dari basahan air laut ketika membantu menggangkat mangsa.

Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi, masih ramai yang tersangkut di dalam hutan paya ini. Paya separas dada dan pinggang menyebabkan beberapa kenderaan tidak berfungsi dan terpaksa menyerah kalah. Yang masih boleh hidup meneruskan usaha keluar dari hutan ini. Tetapi sehebat mana kenderaan, bahaya tetap menanti di mana-mana.

Rupanya, ketika berada di dalam apa keadaan sekalipun, selain dari ilmu, pengalaman dan kemahiran yang cukup, ada satu lagi perkara yang tidak boleh diketepikan. Itulah doa dan pergantungan kepada Allah.

Ini kerana, untuk selamat di dalam apa yang kita buat, bukan terletak pada tangan dan usaha kita semata, tapi kuasa dan kehendak Allah mengatasi segala-galanya.

Sebab itulah, Rasullullah selalu mengingatkan kita mengenai doa dan jika kita mahu berdoa, mintalah pada Allah yang baik-baik.

Allah empunya takdir kita, dia menetapkan perkara yang baik untuk kita sekalipun kita rasa perkara itu buruk. Oleh itu, selalulah minta pada Allah kebaikan yang banyak.

Doa yang paling banyak Nabi baca di dalam hidup Nabi ialah doa meminta kebaikan di dunia dan akhirat. Bacalah selalu doa ini,

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Ya Tuhan kami, berikan kami di dunia kebaikan dan di akhirat kebaikan dan peliharalah kami dari azab api neraka

(HR al-Bukhari)

Dengan memperbanyakkan doa, insyaAllah, hidup kita akan terpelihara dari segala kejahatan dan mara bahaya.

Semoga kita menjadi orang yang memaksimakan usaha kita ke arah kebaikan, dan kita tidak melupai Allah sebagai sumber kebaikan. Dengannya segala usaha akan diiringi dengan doa.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

16 Muharram 1431/22 Disember 2010 jam 12.20 tengah malam

IMG_3481

Jalan yang kami lalui sebenarnya berada di dalam laut

IMG_3482

jika air pasang, maka jalan ini tidak boleh dilalui

IMG_3484

Jika kecemasan, maka alternatif kenderaan digunakan

IMG_3491 

IMG_3495

IMG_3498

IMG_3507

Kenderaan ini dinamakan sebagai ATV (All Terrain Vehicles)

IMG_3523

Pasukan Paramedik tentera yang memang sentiasa bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan

IMG_3640

Helikopter PDRM yang sentiasa membuat rondaan keselamatan

IMG_3642 

IMG_3512 

Alhamdulillah, selamat sampai ke destinasi

IMG_3527

Kenangan robongan media

IMG_3533

khemah kami

IMG_3536

dapur untuk masak

IMG_3542

jam 10 malam, gempar seorang peserta yang cedera dihempap pokok

IMG_3543

Semua jalan terputus kala ini, jadi mangsa hanya dapat dibawa dengan bot

IMG_3547

begitulah, selain ilmu dan kemahiran, faktor terbesar adalah pergantungan kita pada Allah untuk keselamatan