Sunday, October 31, 2010

Diari 252 – “Terengganu Dan Masjid Dengan Nama Warna…”

28 Oktober 2010, Masjid Abidin (Masjid Putih) Inilah salah satunya program yang pihak pengajur hanya berhubung dengan PA saya semata-mata. Hingga tajuk ceramah pun dicadangkan oleh PA saya sahaja. Ini kerana, sejak awal bulan 10, saya memang sibuk dengan berbagai program hingga tidak sempat untuk meneliti setiap jemputan yang diterima.

28 Oktober 2010, Jam 2.50 petang, saya menaiki Firefly dari Lapangan Terbang Subang ke Kuala Terengganu. Lapangan Terbang Sultan Mahmud ini tidaklah berapa besar, tetapi, jika hendak dibandingkan, ia lebih besar dan lebih meriah dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa Kelantan.

Sesampainya saya di Kuala Terengganu, saya telah ditunggu oleh Abang Lazim, pemandu bagi Jabatan Agama Islam Terengganu.

“Malam ni, ceramah ustaz akan “on air” di Radio kan? “tanya Abang Lazim.

“Eh, saya pun tak tahu, setahu saya, ceramah biasa aje” jawab saya agak terkejut.

“Ye, ustaz, ada dalam program “Suara Masjid Radio Malaysia Terengganu” kata Abang Lazim lagi.

“Mmmm, macam mana ye, ceramah “Sejarah Islam Nusantara” yang saya mahu bawakan memerlukan LCD projektor, kalau masuk radio macam mana pendengar nak bayangkan” kata saya.

“Tak apa ustaz, ustaz buatlah macam mana pun” kata Abang Lazim.

Saya dibawa ke Pejabat Majlis Agama dulu. Di sana beberapa ustaz telah menunggu saya. Saya tanyakan lagi perjalanan program malam ini.

Kemudian, saya terus dibawa ke Hotel Grand Continental Terengganu, sebuah hotel yang hebat di sini. Saya ditemankan oleh Ustaz Syauqi, imam masjid Abidin.

“Sebenarnya, kalau nak jemput saya, tak perlu hotel macam ni, janji boleh rehat sudahlah..” kata saya sambil tersenyum.

“Ustaz, kita kena datang awal sikit, sebab saya nak pasang peralatan terutama nak pastikan audio dapat digunakan dengan baik” kata saya pada Ustaz Syauqi

“Beres… pukul 6.00 nanti kita bergerak” Kata ustaz Syauqi.

Ustaz Syauqi seorang Imam muda berumur 24 tahun, belum berkahwin. Beliau pernah mengikuti saringan program Imam Muda Astro tetapi tidak berjaya.

“Seorang pun orang Terengganu tak dapat ustaz, saya cakap pun agak pekat sikit pelat Terengganu” kata Ustaz Syauqi.

Jam 6.00 petang, kami telah berada di Masjid Abidin atau dikenali Masjid Putih. Di dalam dunia ini, hanya ada beberapa masjid yang dinamakan dengan nama warna. Antaranya masjid Biru di Istanbul, Masjid Merah (Lal Masjid) di Rawal Pindi Pakistan dan Masjid Putih di Terengganu. Ini kelebihan masjid lama penuh barakah ini. Masjid lain ada juga yang dicat dengan warna putih, tetapi tidak pernah mendapat gelaran dengan nama warna.

Krew Radio RTM Terengganu telah berada di Masjid. Mereka sibuk menyaipkan persediaan. Ceramah malam ini akan keudara secara langsung dan dapat di dengar melalui internet melalui www.tfm.gov.my dari jam 7.15 hingga 8.50 malam.

6.50 petang, masuk waktu Maghrib, azan berkumandang dan solat didirikan. Selepas solat sunat Maghrib, saya dipersilakan untuk ke hadapan. Program di pengerusikan oleh Ustaz Luqman, imam jemputan Masjid Putih ini.

Menurut AJK Masjid ini, ramai orang yang memanggil masjid ini dengan nama masjid putih kerana masjid ini dibina dari putih telur, tetapi sebenarnya, ia berasal dari nama seseorang iaitu Syed wali Putih dari Acheh. Ia dibina bersama oleh Tok Pelam Terengganu dan Syeikh Ibrahim Terengganu.

Memang orang dahulu, mereka tahu akan kelebihan membina masjid seperti yang disabdakan Nabi SAW, “Barangsiapa membina masjid kerana Allah, maka Allah akan membina baginya rumah di syurga” Sebab itu orang dulu akan berebut-rebut membuat masjid.

Ceramah Sejarah Islam Nusantara dimulakan jam 7.20 malam. Setiap kali klip video keudara, saya akan membuat komentar melalui speaker Radio agar pendengar dapat merasakan kembara setiap klip video yang ditayangkan.

Ceramah berlalu dengan sulaman petir dan hujan lebat di luar, menambahkan lagi “sound effect” Sejarah Islam Nusantara ini.

Sejarah Islam Nustara ini disusun untuk menguatkan jatidiri orang Melayu Islam terutama anak-anak muda yang lalai. Saya bercita-cita membawanya ke seluruh tanah air terutama untuk golongan muda.

Ia merupakan satu kembara sejarah termasuk pengalaman yang saya lalui di dunia yang saya lawati, pertemuan saya dengan orientalis dan sebagainya.

Malam ini, satu kepuasan dalam diri saya ketika dapat berkongsikan ceramah ini di sini.

Alhamdulillah, ceramah dapat diselesaikan dengan sempurna pada jam 8.45 malam.

Dan keistimewaan orang di sini, ketika menghantar saya ke lapangan terbang untuk pulang pada keesokkan paginya, saya dibekalkan dengan keropok Terengganu.

Syabas dan tahniah pada AJK masjid yang menjayakan program malam ini.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

22 Zulkaedah 1431/ 30 Oktober 2010 jam 5.00 petang

Bersama imam besar Terengganu

Lapangan Terbang Kuala Terengganu

Bandar Terengganu waktu pagi

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...