Monday, November 30, 2009

Universiti Kehidupan 129 – Melontar Syaitan Di Jamrah

9 Zulhijjah 1430/ 26 November 09, saya dan rombongan semua telah berada di Padang Arafah, satu kawasan yang menempatkan seluruh umat Islam di dunia.

Wukuf di Arafah merupakan salah satu rukun haji yang utama. Jika seseorang tidak dapat wukuf di Arafah, maka, ia tidak dikira menyempurnakan haji.

Di padang Arafah, semua jemaah diberikan kawasan diberi nama maktab. Saya dan jemaah yang bersama di letakkan di Maktab 100. Di setiap maktab itu, kita akan diberkan khemah yang agak sederhana.

Sehari sebelum wukuf, hujan lebat melanda Mekah menyebabkan banyak antara maktab ditenggelami air.

Pada permulaan sampai, ahli rombongan yang lelaki semuanya duduk di luar, dengan carpet yang lembab lantaran hujan semalam, kami semua duduk di luar berbumbungkan langit.

Matahari semakin tinggi.

Duduk di sebelah saya ialah En.CM dan En. Nizam dari Bahagian Pengambilan UiTM.

“Besar-besar batu kat Arafah ni ye” kata En.CM.

“Aah, ustaz, nak tanya sikitlah. Di tempat melontar tu, betul-betul ada syaitan atau sebenarnya kita melontar syaitan yang ada di dalam diri kita” tanya En. Nizam pada saya.

Belum sempat saya menjawab, En. CM terus menyampuk,

“Memang ada kat situ tu, patutnya kita baling pakai batu besar sikit, biar syaitan tu pengsan sikit,

“Ooo, dulu ko tipu aku ye, haah, ambil kau” En. CM menggayakan.

“Haa, baling pakai batu besar sikit ustaz, baru padan dengan muka dia” kata En. CM

Kami ada ada di sekeliling semuanya tergelak. Barangkali benci betul kerana pernah tertipu.

Apapun, melontar di Jamrah itu symbol kepada keimanan kepada Allah. Disunatkan hanya menggunkan batu-batu kecil sebesar kekacang.

Tetapi, ramai jemaah yang melontar penuh emosi sehingga payung pun terbang, kasut, botol, batu besar dan sebagainya.

Syaitan tidak pernah sakit dengan batu itu, tetapi syaitan akan sakit dengan lontaran bersama doa dan ayat-ayat suci yang dipanahkan kepada mereka ketika melontar.

Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa hendaklah kita sentiasa memohon perlindunga kepada Allah dari syaitan ini:-

Dan jika syetan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (surah Fussilat ayat 36)

Sesungguhnya, terdinding kita dari syaitan bukan kerana azimat-azimat, bukan sebab kayu koka, bukan sebab tangkal-tangkal, tetapi terdinding kita dari syaitan apabila Allah melindungi kita daripadanya dan seluruh tenteranya.

Oleh itu, selalulah meminta perlindungan kepada Allah dari tipu daya iblis dan tenteranya ini. Semoga kita semua sentiasa dilindungi dengan rahmat dan kasih sayangNya, amin..

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Sya’ab Ali,

Jumaat 27 November 09 jam 3.00 petang

IMG_1560

En.CM dan batu besarnya di Padang Arafah

Universiti Kehidupan 128 – Hati Jika Tanpa Bimbingan Ilahi

23 November 09, selepas Isyak, saya dan beberapa jemaah bercadang untuk makan di restoren berdekatan dengan masjid kucing.

Di samping merasa masakan lain dari yang biasa di apartment kami, kami dapat berbual-bual menguatkan lagi ukhwah yang terbina di bumi mulia ini.

Sepulangnya kami dari restoren di Masjid Kucing ini, saya melihat ramai orang berkumpul. Beberapa orang Arab sedang bergaduh dan bertumbuk. Dua orang daripadanya berlumuran darah.

Mereka memekik dan menjerit menyalahkan satu sama lain.

Polis yang datang tidak diendahkannya.

Saya memerhatikan dari dekat. Rupanya, ia pergaduhan antara dua tuan kedai mengenai salah faham tentang pelanggan.

Jemaah yang bersama saya bertanya:-

“ustaz, kat sinikan tempat mulia, kenapa ada ada orang bergaduh?”

Mmm, pelikkan. Dekat sinikan memang tempat mulia, kenapa ada orang bergaduh?

Sebenarnya, untuk menjadi baik, bukan sahaja tempat yang penting, tapi yang terlebih penting ada di hati.

Walaupun orang yang tidak pernah pergi ke Mekah, tetapi hatinya sentiasa bersama Allah, merintih dengan Allah, selalu meminta Allah membimbingnya, maka dia akan menjadi baik.

Tetapi, walaupun duduk di sini, hati tidak bergantung dengan Allah, maka susah untuk menjadi baik.

Di Mina, ada juga orang yang ingin bergaduh, hingga batu yang sepatutnya dilepar di Jamrah untuk melontar syaitan hampir-hampir dibaling sesama mereka.

Apa sudah jadi? Beginilah jika hati tanpa bimbingan dari Allah.

Orang beriman adalah orang yang sentiasa mengingati Allah apa keadaan mereka sekalipun. Di dalam al-Quran, Allah menyatakan bahawa:-

(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. (surah Ali- Imran ayat 191)

Oleh kerana sering mengigati Allah, maka hati mereka akan menjadi lembut dengan Allah hingga Allah menyatakan bahawa:-

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat- ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. (surah al-Anfal ayat 2)

Walaupun duduk di Mekah atau di Madinah, jika hati tidak bergantung dengan Allah, maka ia akan jauh dengan Allah.

Walaupun bekerja di Jabatan Agama sekalipun, hati tidak bersama Allah, maka akan jauh dengan Allah.

Walaupun anak Imam atau nazir masjid sekalipun, hati tidak bersama Allah, maka akan jauh dari Allah.

Sesungguhnya, untuk menjadi baik akhir zaman ini bukanlah mudah. Tanpa bantuan dari Allah sendiri, kita payah untuk menjadi orang yang baik.

Oleh itu, berusahalah untuk menjadi orang yang baik dengan selalu bergantung dengan Allah apa keadaan kita sekalipun.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Syi’ab Ali Mekah al-Mukarramah

30 November 09 jam 9.00 pagi

Polis yang cuba meleraikan pihak-pihak yang bertengkar

seorang yang berlumuran kepalanya dengan darah

Pergaduhan betul-betul di kedai di hadapan masjid Kucing, tidak jauh dari masjid al-Haram

barang-barang yang bersepah kerana dihempas oleh pihak-pihak yang bergaduh

Universiti Kehidupan 127 – Iktibar Van Jenazah

22 November 09, beberapa hari lagi, seluruh dunia akan berkumpul untuk menyempurnakan wukuf di Arafah.

Setiap subuh, saya akan turun ke Masjid al-Haram dan setiap kali juga saya akan melalui beberapa van jenazah yang membawa orang yang telah meninggal untuk disembahyangkan di Masjid al-Haram.

Setakat hari ini, sudah 20 Jemaah Malaysia yang telah kembali ke Rahmatullah.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi, kitab al-Qadr bab Ma Ja’a an al-Nafs Tamut Haisu Ma Kutiba Laha.

“Jika Allah menghendaki seseorang hamba itu mati di sesuatu tempat, akan dijadikan ia akan ke tempat itu kerana sesuatu hajat”

Saban tahun, bumi Mekah menerima ribuan jenazah untuk dikebumikan di sini. Alangkah untungnya mereka, jika niat mereka datang untuk beribadah kepada Allah, tetapi mereka dijemput oleh Allah swt, sudah tentu mati mereka di dalam keadaan yang baik.

Kita bagaimana?

Antara perkara yang disembunyikan Allah dari pengetahuan manusia ialah kematiannya. Bila dan di mana kita tidak tahu. Yang boleh kita usahakan ialah bagaimana kita mati.

Adakah mati kita di dalam keadaan yang baik atau mati kita di dalam keadaan yang dimurkai oleh Allah.

Masa terus berlalu dan ia tidak akan patah kembali ke belakang.

Saya, sidang pembaca dan semua manusia akan menempuhnya.

Melalui van jenazah membayangkan menyedarkan saya.

Hari ini, kita melihat orang dimandikan, dikafankan, diusung, disembahyangkan. Diletakkan ke liang lahad, ditinggalkan sendirian dan dikambus dengan tanah.

Satu hari nanti pasti, kita juga akan dimandikan, dikafankan, diusung, disembahyangkan. Diletakkan ke liang lahad, ditinggalkan sendirian dan dikambus dengan tanah.

Bila dan di mana kita tidak tahu, yang kita boleh usahakan ialah cara kita mati. Adakah ketika kita mati di dalam keadaan yang diredahi Allah atau sebaliknya.

Adakah kita mati sedang dengan memakan perkara yang haram, atau sedang mengusahakan yang halal walaupun susah.

Adakah kita mati di dalam keadaan menderhaka dengan suami atau berusaha mentaati suami kerana Allah.

Adakah kita mati dengan keadaan menzalimi isteri atau sedang berusaha menjaga isteri dengan kasih sayang.

Apa pun keadaannya, ada orang yang mati di dalam keredhaan Allah dan ada yang mati di dalam keadaan yang dimurkai Allah.

Kita mohon pada Allah agar, ketika kita mati, keredhaan Allah sedang kita buru, agar selamat kita di dunia dan selamat kita di akhirat.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Syi’ab Ali Mekah al-Mukarramah

23 November 09 jam 11.00 malam

Van Jenazah yang diletakakn di sekitar Masjid al-Haram

Universiti Kehidupan 126 – Hujan Di Mekah

Hari ini Rabu 25 November 09. Satu hari sebelum semua tetamu Allah wukuf di Arafah. Selepas balik dari solat subuh di masjid al-Haram, saya memandang ke langit.

“En, macam nak hujan aje” bisik hati saya.

Memang pagi ini, Mekah kelihatan gelap seperti di Malaysia. Awan mula berkumpul dan menjadi gelap dan gelap.

Bermula pagi ini, para tetamu Allah mula meninggalkan kota Mekah menuju ke padang Arafah. Saya dan para Jemaah yang lain pun mula bersiap-siap untuk ke Arafah.

Jam 12.08, minit, tiba-tiba, kota Mekah dibasahi dengan hujan. Semakin lama semakin lebat. Apartment dan Hotel di Mekah kebanyakkan dibuat dengan tidak mengambil kira soal hujan. Ini kerana, di Mekah memang jarang-jarang hujan. Kalau hujan sekalipun hanya dalam lima minit sahaja. Oleh sebab itu, jika hujan, maka akan berlaku masalah.

Bagi saya dan jemaah yang berada di Mekah kala ini, dewan makan apartment yang kami duduk mula bocor dan menitiskan air hujan. Pada peringkat awal, tempat-tempat bocor tersebut kami tadah dengan baldi dan bekas yang ada.

Lama kelamaan, semakin lebat dan semakin banyak ketirisan yang berlaku. Akhirnya, kami pun tak larat dah untuk menadahnya. Biarkan sahaja ia di basahi hujan ini.

Saya memandang ke luar tingkap.

Jemaah yang berpakaian ihram, yang berada di sekitar Masjid al-Haram masing-masing berteduh di dalam masjid, di dalam kawasan tandas dan di dalam kawasan saie. Ada juga berlari-lari ke sana dan ke sini yang dibasahi dengan hujan.

Cuba bayangkan, dengan memakai dua helai pakaian putih yang tidak berjahit, kemudian basah, tentulah ia sejuk.

Sudahlah kain ihram itu kebanyakkannya tebal. Kalau kena air, sudah tentu payah nak kering.

Hujan terus mencurah hingga ke waktu asar. Di Mekah sudah melebih tiga jam. Bilik yang kami duduk juga sudah mula bocor dan menitiskan air.

Di Jedah, beberapa jalan terputus dan menurut berita, sudah ada lebih 100 orang yang terkorban. Banyak rumah tenggelam dan banyak kawasan di landa banjir.

Di padang Arafah, para jemaah yang berada di sana, kebanyakkannya kesejukaan. Ada khemah yang banjir.

Di Mekah, kawasan berbukit mengalirkan air seperti air terjun, banyak dan deras membawa sekali sampah-sampah ke bawah. Burung-burung juga berteduh di bawah ruang-ruang bumbung rumah di sekitar Mekah.

Berbisik di hati saya:-

“Janganlah sampai kawasan Kaabah ni banjir, sebab peristiwa banjir Kaabah ini pernah berlaku”.

Saya mengira dengan baik. Hujan lebat yang turun di kota Mekah semuanya ada tujuh simbahan. Hujan lembat dan berhenti seketika, kemudian turun lagi dengan lebatnya. Kemudian berhenti seketika, kemudian turun lagi.

Sebelum waktu Maghrib, hujan di kota Mekah mula reda. Saya dan jemaah yang lain membersihkan kawasan apartment kami yang sudah basah. Saya membuka tv di dewan makan.

Walaupun hujan telah berhenti di kota Mekah, beberapa kawasan di Saudi ini masih hujan. Di sebelah Madinah, Yanbu’, Tabuk, hujan masih lebat.

Setiap detik, korban semakin meningkat. Mujurlah di Mekah tidak ada apa yang berlaku.

Di Jedah sistem di lapangan terbang mengalami kerosakan menyebabkan banyak penerbangan pulang jemaah haji terpaksa ditangguhkan.

Beginilah saban tahun, berbagai bentuk ujian para tetamu Allah ini. Tahun ini, ujian terbesar adalah simbahan hujan yang lebat. Para tetamu Allah kebanyakkannya basah dan kesejukkan di padang Arafah.

Hikmah yang tersulam kadang kala tidak mampu dicungkil dengan akal yang dangkal ini. Tapi ia pasti tetap ada.

Apapun, mari kita lihat perbahasan hujan menurut hadis. Di dalam sebuah hadis, ada menyatakan bahawa :-

Adalah Nabi saw, jika baginda melihat hujan, maka baginda akan berkata, “Ya Allah, curahkanlah kepada kami dengan yang bermanfaat” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Di dalam hadis yang lain, Rasullulah telah bersabda,

“Kunci perkara ghaib ada lima yang tidak mengetahuinya melainkan Allah 1. Tidak seorang pun akan tahu apa yang berlaku untuk hari esok, 2. Tidak seorang akan tahu di dalam rahim 3. Tidak seorang pun tahu apa yang diusahakannya esok 4. Tidak seorang pun tahu di tempat mana dia mati 5. Tidak seorang pun tahu dari mana datang arah hujan”

(Hadis Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab al-Jemaah di dalam Bab La Yadri Mata yaji’u la-Matar Ila Allah)

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitab Solat al-Istisqa bab al-taawwuz Inda ru’ya al-riih wa al-Gayyim wa- al-Farah, Rasullulah akan merasa takutkan azab Allah ketika melihat keadaan gelap di langit, ini kerana banyak kaum terdahulu yang pernah diazab dengan kesengsaraan yang turun dari langit.

Di dalam hadis yang lain, Aisyah berkata bahawa, Rasullullah menyatakan bahawa, ada kaum yang pernah diazab dengan angin kuat dari langit lalu dibacakan ayat:-

Maka tatkala mereka melihat azab itu berupa awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, berkatalah mereka: "Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami". (Bukan!) bahkan itulah azab yang kamu minta supaya datang dengan segera (yaitu) angin yang mengandung azab yang pedih, (surah al-Ahqaf ayat 24)

Jika sesuatu hujan itu mempunyai guruh pula, Rasullulah mengajarkan kita doa yang berbunyi

اللَّهُمَّ لا تَقْتُلْنَا بِغَضَبِكَ وَلا تُهْلِكْنَا بِعَذَابِكَ

Ya Allah, jangalah Engkau membunuh kami dengan kemurkaanMu dan janganlah Engkau membinasakan kami dengan azabMu (hadis riwayat al-Tarmizi di dalam Kitab ad-Da’awat bab Ma Yaqul Iza Sami’a al-Ra’d)

Selain itu, di antara saat mustajabnya doa ialah doa yang dipanjatkan ketika hujan turun dengan lebat. Di hadapan Kaabah ketika hujan, orang akan berkumpul beramai-ramai dan berdoa dan bermunajat pada Allah.

Inilah beberapa panduan berhadapan dengan awan yang gelap, hujan dan juga guruh.

Bagi di Mekah kala ini, hujan yang turun memang mengundang rasa hairan. Ini kerana, amat payah jika ingin melihat kota Mekah hujan dengan lebat sebegini, lebih-lebih lagi dalam tempoh yang panjang.

Ada yang berpendapat ia sebagai rahmat, ada yang berpendapat sebagai ujian. Apa pun, semoga ia terus menghampirkan diri pada Allah.

Alam merupakan makhluk Allah juga, ia bergerak dan bertindak menurut perintahNya. Bagi kita manusia, ada amalan-amalan yang disunatkan untuk kita buat jika berhadapan dengan alam ini. Tujuannya ialah untuk melihat siapakah di antara kita yang paling banyak amalannya.

Semoga Allah, terus membimbing kita di dalam memperbaiki diri dan semoga kita terus berusaha menjadi hamba yang soleh.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Syi’ab Ali Mekah al-Mukarramah

29 November 09 jam 11.30 malam

IMG_1431

Waktu pagi, kota Mekah tiba-tiba menjadi gelap

IMG_1432

Awan yang hitam menjadikan kota Mekah kala ini suram

IMG_1435

bermula 12.08, hujan mula membasahi kota Mekah

IMG_1436

Suasana di laman al-Haram menjadi kosong kerana semuanya berteduh di dalam al-Haram dan sekitarnya

IMG_1437

di kawasan tandas

IMG_1445

dari kawasan berbukit, air mengalir seperti air terjun

IMG_1446

air mengalir menuju ke kota al-Haram

IMG_1447

air mengalir dengan membawa sekali sampah sarap

 

IMG_1452

para Jemaah berteduh di kawasan Saie

IMG_1453

di kawasan tandas

IMG_1480

burung Mekah berteduh di kawasan bumbung, barang kali, burung ini pun tidak biasa dengan hujan yang lebat

IMG_1488

berita di TV mengenai perjalan jemaah ke padang Arafah

IMG_1490

di beberapa kawasan di padang Arafah, air naik dan para jemaah kesejukkan

Jom Kongsi Pengalaman 46 – Santai Jemaah Haji (2)

Kita kongsikan lagi santai Jemaah Haji tahun 1430H/ 2009

Jemaah yang tidur berlantaikan tanah, barangkali hotel yang agak jauh dari masjid al-Haram

Jemaah yang seakan berehlah di laman al-Haram

Di sini, selagi muat, maka akan diletakkan penumpang

Makcik Pakistan berduduk santai di jalan berhampiran dengan terowong Syi’ab Ali

Jemaah Paksitan yang seolah-olah tidak mempunyai hotel, berehat dan berkhemah di kaki bukit sekitar masjid al-Haram

Jemaah dari Afrika

Jemaah Indonesia yang sama tudung agar senang di kesan jika kehilangan

budak saudi yang merokok sedangkan kempen Mekah bebas rokok sedang giat dijalankan

Kawasan mengambil air zam-zam berdekatan dengan tempat lahir Nabi saw

para jemaah yang beratur untuk mengambil air zam-zam

Kawasan mengambil air zam-zam

Jemaah yang keletihan mengangkut air zam-zam tertidur di tepi jalan

Air zam-zam yang diangkut untuk kegunaan jemaah

Di sini, naik motor lagi bagus, tidak ada jem..

Jemaah dari Afrika yang sesat dibantu polis

hampir pada hari wukuf, semua telah bersedia ke padang Arafah

Perkhidmatan di dalam masjid al-Haram, untuk mengecas telifon

 

“Pengalaman Melahirkan Hikmah”

al-Fakir Ila Rabbihi Muhamad bin Abdullah

Syi’ab Ali Mekah al-Mukarramah

29 November 09 jam 10.30 malam

Jom Kongsi Pengalaman 45 – Santai Jemaah Haji (1)

Alhamdulillah, pada kesempatan kali ini, dapat saya berkongsi pengalaman mengenai santai jemaah haji 1430H/ 2009 M

Orang ini yang botak separuh sahaja dari kepalanya

Jemaah Indonesia yang begitu teruja di hadapan masjid al-Haram

Jemaah Indonesia yang agak uzur

santai jemaah Pakistan, mereka seolah berehlah di medan al-Haram

 

Munajat jemaah Paksitan

Qiamullail jemaah Malaysia

Jemaah berehat di bahagian atas masjid al-Haram

 

Berbantalkan besi pun masih selesa tidur

Rehat jemaah Paksitan di laman al-Haram

Jemaah yang keletihan selepas saie

Syarikat Ben Laden yang berkhidmat membersihkan masjid al-Haram dengan tender berharga hanya satu riyal setahun

Jemaah yang mengusung air zam-zam

Makcik Turki yang keletihan mengambil air zam-zam

“Pengalaman Melahirkan Hikmah”

al-fakir Ila Rabbihi Muhamad bin Abdullah

Syi’ab Ali Mekah al-Mukarramah, 29 November 09 jam 10 malam

Wednesday, November 25, 2009

Universiti Kehidupan 125 – Air Mata Taubat

“Boleh tak, nak ceritakan kisah di dalam blog saya ni” tanya saya pada pakcik berumur hampir 60an ini.

“boleh” jawabnya ringkas.

“Ok, tapi saya tak akan ceritakan nama sebenar” kata saya.

“Mmm, saya namakan pakcik dengan nama En.CM ( Encik Cermin Mata)” saya menambah lagi.

En. CM hanya tersenyum.

En. CM memulakan kisah hidupnya apabila beliau disapa oleh seorang jemaah.

“En CM, wah betul-betul menangis di Kaabah airtu, mesti banyak dosa ni” kata salah seorang jemaah pada En. CM dengan niat bergurau.

Perbualan ini terjadi ketika kami sedang bersarapan.

“Ye, memang betul, sebenarnya, banyak dosa saya” tiba-tiba En. CM mengaku dengan jujur.

“Sebenarnya, saya pernah keluar dari Islam dan pernah ingin menukar nama saya kepada nama Jony James Yumata ” dia menyambung.

Semua yang ada terkejut.

Bagaimana ceritanya:-

“Dahulu hati saya selalu tertanya-tanya mengenai kebenaran agama ini. Saya pernah meninggalkan sembahyang ketika hati saya tertanya-tanya mengenai kenapa kamu bersembahyang? apa tujuannya?Akhirnya saya meninggalkan sembahyang itu” En CM memulakan ceritanya

“Selepas itu, saya selalu membaca bacaan kristian. Waktu tu tahun 70an, ada sebuah majalah Kristian bertajuk “The Plain Truth”. Di dalam majalah tu ada borang untuk memohon risalah kristian dan saya selalu mengisinya dan selalu mereka kirimkan saya risalah-risalah kristian ini” En. CM semakin rancak bercerita.

“Hingga pernah saya mengisi borang itu untuk menyambung belajar kristian di Australia. Australia adalah pusat bagi pergerakan dan penyebaran dakyah kristian bagi timur jauh (far east)” katanya lagi.

“Tapi, setiap malam, saya tak boleh tidur. Saya menjadi tak tenang dan takutkan mati. Saya terpaksa makan ubat tidur, ubat yang menghayalkan, termasuk ganja.”

“Hinggalah satu ketika, saya sakit sebab konflik jiwa dan pengsan di pejabat saya. Rakan-rakan saya menghatar saya ke hospital. Saya diarahkan masuk wad dan pada ketika itu saya mula bertaubat.”

“Lepas keluar, saya bertanya dengan kawan-kawan macam mana bertaubat?” Kawan saya tak tahu macam mana nak taubat.

Peristiwa ini terus berlalu hinggalah satu ketika ada pertandingan menulis sempena Maal Hijrah. Ia awal tahun 70 an. Itu kali pertama Maal Hijrah di sambut secara rasmi di Malaysia.

Pertandingan ini ialah pertandingan mengarang novel, cerpen, puisi dan rencana. Hadiahnya besar, keseluruhannya RM 5000.

Saya nak menulis pasal Islam ini, tujuannya ialah nak dapatkan hadiah RM 5000 ini dan saya memilih untuk menulis cerpin, rencana dan puisi.

Pada ketika itu, dakwah sedang rancak di tanah air dan adik saya antara orang yang mengikuti badan-badan dakwah yang ada pada ketika itu.

Saya meminjam buku-buku pasal Islam dari adik saya untuk menjadi bahan rujukan saya menulis. Saya mula membaca buku-buku ini, saya cuba mula menulis.

Tajuk rencana saya ketika itu ialah “Apa itu Islam?”

Tapi, semakin saya baca, semakin banyak yang saya tidak tahu. Kemudian, saya merasakan pula, banyak yang saya telah baca dan banyak yang tidak ada di dalam diri saya sendiri.

Akhirnya, saya menutup tulisan saya. Saya tutup, tak minat dengan duit dan pertandingan ini, dan saya ada matlamat baru, saya nak baca untuk faham agama.

En. CM mengakhiri kisah hidupnya ditanah Mukarramah ini.

Saya merenung sendirian. Benarlah kata Nabi saw:-

“sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, akan diberi kefahaman di dalam agama”

(Hadis riwayat Ahmad di dalam Kitab Min Musnad Bani Hashim)

Memang, semuanya bermula dengan hidayah dan taufiq. Kemudian, jika Allah mahukan seseorang itu berterusan menjadi baik, ketukan hati untuk menjadi baik ini akan diperkasakan dengan kefahaman kepada agama.

Sesungguhnya, beruntanglah orang yang memperuntukkan masanya untuk mendalami ilmu agama. Sesungguhnya, ilmu itu menghidupkan hati yang buta, menyuburkan iman yang lemah dan membaiki perilaku yang rosak.

Tanpa ilmu, seseorang akan terkapai-kapai di dalam kegelapan.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-fakir Ila Rabbihi’

Muhamad bin Abdullah

Sya’ab Ali Mekah al-Mukarramah

24 November 09 jam 4.00 petang.

Universiti Kehidupan 124 – Falsafah Perhimpunan Manusia Di Tanah Suci

Kalau sebut orang Melayu, apa cirinya? Seorang yang berhidung pesek, berbadan kecil, berkulit sawa matang tetapi mempunyai jiwa yang lembut.

Kalau disebut orang Arab, apa cirinya? Seorang yang berbadan besar, berkulit putih merah dan mempunyai jiwa yang kasar.

Kalau disebut orang Eropah, apa cirinya? Seorang yang berbadan besar, putih kemerahan.

Jika nak disebut sebagai bangsa, maka cirinya berbagai.

Dalam satu bangsa pun berbagai keadaan, lain gaya, lain baju, lain cara.

Orang Arab yang terkenal dengan kasar, ada yang lembut hati.

Orang Melayu yang terkenal dengan lemah lembut, ada juga yang samseng.

Berpakaian, ada yang suka warna cerah, ada yang suka warna putih dan lain-lain lagi.

Inilah kerencaman sesebuah bangsa. Bergaul dengan berbagai bangsa akan menyebabkan kita lebih menghormati orang lain dan lebih menghormati  diri kita sendiri

Tapi hebat, bangsa yang berbagai rupa, warna kulit dan gaya ini telah disatukan di atas dasar akidah mentauhidkan Allah swt.

Semua datang dengan ketaatan dan deraian air mata.

Bangsa Arab yang terkenal dengan kasar, boleh meraung di hadapan kaabah, bangsa Pakistan dan India yang keras boleh menggogoi di hadapan Multazam.

Dari Malaysia, tak kira orang Pas, PKR, Umno dan apa pun platformnya, selagi Islam, datang ke sini, pun sama keadaannya.

Semua mengangkat tangan berdoa meminta ampun dan memohon agar hajat ditunaikan Allah.

Tapi pelikkan? Kenapa ketika selesai haji, semua balik dan tidak hiraukan kesatuan ini? Dari Arab membiarkan saudara kita di Palestin. Dari Malaysia, kembali bertegang.

Perkara ini sebenarnya memang menjadi perangai manusia yang selalu lupa sesuatu perintah. Di dalam al-Quran, Allah menceritakan bagaimana keadaan manusia yang, apabila susah akan mengingati Allah, tetapi ketika telah senang, maka dia akan melupakan Allah:-

22. Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan, (berlayar) di lautan. Sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan meluncurlah bahtera itu membawa orang-orang yang ada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka bergembira karenanya, datanglah angin badai, dan (apabila) gelombang dari segenap penjuru menimpanya, dan mereka yakin bahwa mereka telah terkepung (bahaya), maka mereka berdo'a kepada Allah dengan mengikhlaskan keta'atan kepada-Nya semata-mata. (Mereka berkata): "Sesungguhnya jika Engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini, pastilah kami akan termasuk orang-orang yang bersyukur".

23. Maka tatkala Allah menyelamatkan mereka, tiba-tiba mereka membuat kezaliman di muka bumi tanpa (alasan) yang benar. Hai manusia, sesungguhnya (bencana) kezalimanmu akan menimpa dirimu sendiri; (hasil kezalimanmu) itu hanyalah keni'matan hidup duniawi, kemudian kepada Kami-lah kembalimu, lalu Kami kabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

Surah Yunus ayat 22-23

Sesungguhnya bersatunya muslim itu di dalam beberapa sudut :-

1. bersatu dari sudut akidah

2. bersatu dari sudut syariat

3. bersatu dari sudut akhlak

4. bersatu dari sudut amal

5. bersatu dari sudut ukhwah Islamiah

6. bersatu dari sudut berjihad meninggikan kalimah Allah

7. bersatu dari sudut menentang kemungkaran

Rasulullah mengibaratkan kesatuan ini ibarat sebuah bangunan yang akan saling memperkukuhkan antara satu sama lain (maksud dari hadis Bukhari).

Tapi, asas kesatuan ini perlu jelas, jika tidak jelas, kita akan bersatu kerana dunia yang rapuh, terdedah dengan khianat dan saling menjatuhkan.

Ini kerana, bersatu kerana dunia akan menjadikan seseorang berebut kerana dunia, tetapi bersatu kerana Allah akan menjadikan orang berebut untuk mendapakan keredhaannya.

Hasil kedua-dua perkara ini tidak akan sama. Yang berebut dunia, semakin ada semakin tak cukup, akhirnya kematian sahaja yang mencukupkan.

Yang berebut kerana keredhaan Allah, dunia ketika berada di tangan tidak akan sampai jatuh ke hati. Dunia yang ada di tangan bila-bila masa boleh dilepaskan tanpa rasa sayang untuk mencari keredhaan Allah.

Hasilnya, yang berebut kerana dunia semakin jauh dari Allah, yang berebut keredhaan Allah, dunia mengikut, akhirat menurut.

Semoga falsafah perhimpunan besar bangsa Muslim dapat kita hayati dan fahami dan kita praktikkan di dalam kehidupan kita.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Sya’ab Ali Mekah al-Mukarramah
23 November 09 jam 10.00 pagi

Afghanistan

 

Afrika

China

Somalia

Indonesia

India

Iran