Tuesday, December 30, 2008

Jom Kongsi Pengalaman 21 - (Pulau Besar Melaka)

30 Zulqaidah bersamaan dengan 28 Disember 2008. Saya dan berberapa orang sahabat ke Pulau Besar Melaka. Tujuannya ialah untuk melihat perkara yang dibuat oleh masyarakat pada malam 1 Muharram di Pulau ini.
Pulau Besar terletak kira-kira 5 km dari pesisiran pantai Kampung Umbai Melaka.Keluasan pulau ini dianggarkan 168 hektar. Berhampiran dengan pulau ini terdapat pulau-pulau lain seperti pulau Undan, Pulau Dodol, Pulau Nangka, Pulau Serimbun dan Pulau Nangka. Walaubagaimana pun, hanya pulau ini yang dihuni manusia lantaran terdapat telaga yang membekalkan air bersih.
Perjalanan dari jeti Umbai ke Pulau Besar mengambil masa 20 hingga 30 minit bergantung kepada keadaan laut.
Kami bertolak ke Pulau Besar pukul 6 petang. Hari ini angin bertiup kencang. Hasilnya ombak agak besar memukul bot kami. Sebahagian ahli rombongan basah kuyup.
Pulau Besar dikunjungi oleh ramai orang. Pada hari ini, dianggarkan lebih seribu orang berada di Pulau ini. Mereka membawa keluarga, berkhemah dipersisiran pantai. Ada yang membawa kambing hidup untuk dibuat lauk lantaran lamanya mereka tinggal di sini.
Mereka semua membawa khemahy masing-masing. Jika yang tidak membawa khemah, ada perkhidmatan sewa. Satu khemah RM 50. Jika dekat kawasan hotel, tambahan RM 30 untuk penggunaan fasiliti hotel.
Kami datang serami tujuh orang. Kami tinggal di dua buah khemah yang disewa.
Terdapat papan tanda amaran bagi sesiapa yang berbuat khurafat dan syirik di pulau ini. tetapi, sejauh mana penguat kuasaan, itu saya tidak tahu. Ini kerana yang saya jumpa hanyalah Imam masjid yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Melaka. Dia pun tidak mampu berbuat apa-apa kepada orang yang datang. Saya bertemu dengan polis yang berpakaian biasa. Dia ditugaskan untuk menjaga keselamatan pada hari keramaian seperti hari ini.
Majlis Agama Islam membuat program alternatif kepada perkara khurafat di pulau ini. sembahyang jemaah dan kuliah agama dihidupkan. Selain itu, selepas magrib ada bacaan Yasin. Ramai juga pengunjung yang hadir pada malam ini ke surau.
Ini salah satu ruang makan di surau

Penduduk yang hadir pada hari ini datang dengan berbagai niat. Bagi penduduk kampung Telok Mas, mereka akan datang ke Pulau ini setiap satu Muharaam. Mereka datang dengan membawa makanan dan berkhemah di pulau ini. Budaya ini telah ada sejak dulu dibuat. Mereka tidak datang dengan hajat tertentu. Hanya sebagai perhimpunan persaudaraan sekampung. Ia mengeratkan lagi hubungan persaudaraan sesama ahli kampung.
Ada yang datang pada hari ini dengan tujuan mempertajamkan ilmu. Ia dari golongan persilatan. Pada malam ini, ada di antara mereka yang mengkhatamkan perguruan mereka. Ada yang bertapa dan sebagainya.

Ada yang datang dengan membawa hajat tertentu. Mereka duduk dihadapan kubur dengan memasang lilin. Mereka duduk dan berzikir di hadapan kubur hingga pagi.
Bagi golongan India Muslim, mereka tetumpu kepada makam. Makam yang mereka jaga ini ialah makam Sultanul Arifin Syeikh Ismail. Setelah solat Isyak, beberapa orang masuk ke dalam makam. Mereka membaca selawat dan takbir. Mereka meletakkan pewangi berwarna kuning. Kemudia mereka membentangkan kain hijau di atas makam,

Setelah upacara doa selesai, orang berbondong-bondong masuk ke dalam tempat makam. Mereka menyiramkan air mawar. Menyapu-nyapu kubur dan ada di antara mereka yang memegang nesan pada makam sambil menutup mata dan berdoa. Ada di antara mereka yang menangis. Makam ini bukan sahaja dipenuhi oleh orang Melayu dan India Muslim, malahan, India Hindu pun sama berada di makam ini. mereka turut menuangkan air mawar dan bertafakkur pada makam ini.
Di luar makam, sebahagian orang India Hindu membakar setanggi. Mereka juga memuja-muja makam. Mereka membakarnya segenggam-segenggam. Apa marak menyala hinggakan kadang-kala terpaksa di matikan dengan kayu yang ada. Ini kerana, pokok yang ada ditempat pembakaran ini hampir terbakar sama.
Ada di antara orang Islam di situ yang memandang dengan rasa tidak puas hati. Saya bertanya dengan Imam Ibrahim, bekas imam di sini yang turut memerhati gelagat orang hindu ini. Kenapa ada di antara orang yang memandang dengan pandangan yang tidak puas hati. Rupanya, orang hindu pernah cuba membina kuil di pulau besar ini. Mereka mendirikan ditanah wakaf makam yang ada di sini. Imam Ibrahim dan beberapa orang yang lain sendiri yang merobohkan kuil tersebut. Mereka memuja Syeikh Ismail kemudian tuhan mereka pula. Usaha membina kuil pernah dibuat di pulau ini.

Orang hindu ini membakar setanggi dan turut berdoa di makam ini juga. Ada di antara mereka menunggu di hadapan pintu makam untuk menagihkan nandek. Sebelum masuk ke dalam makam, mereka mesti memakai tanda di dahi ini dahulu.
Ada juga orang yang membaca doa-doa tertentu di makam ini. Kandang kala, ada imam yang memimpin mereka.
Pada hari-hari kebesaran ini, pengunjung tidak takut lapar. Akan ada sahaja orang bersedekah makanan. Jika kita tidak mahu makan yang disedekahkan, ada restoren yang buka hingga pagi di Pulau ini.
Pengunjung yang berniat tinggal lama di sini, mendirikan khemah untuk makan. Makanan ini berikan secara percuma.
Sapa-sapa sahaja boleh datang dan makan. Pada malam ini, mereka masak kari kambing.

Kambing-kambing hidup di bawa dari Melaka. Mereka akan menyembelihnya untuk dijadikan lauk.
Dari segi logistiknya, ia dirancang dengan baik, ada tempat membasuh tangan dan pinggan siapa yang makan di sini.
Peringantan kepada mereka yang makan. Hendaklah dibasuh sendiri bekas makanan

Terdapat juga bekas air untuk minum setelah makan.
Kisah-kisah di sini saya ceritakan nanti insyaAllah. Tetapi, apa yang ingin kita kongsikan ialah, ada orang datang ke Pulau ini dengan niat yang baik, dan ada yang datang dengan niat yang salah. Cabaran kita ialah bagaimana ingin berdakwah secara praktikal bagi keadaan ini. Kita bukan hanya perlu duduk di surau dan rasa puas, kita perlu turun ke lapangan, berfikir dan bertindak untuk sama-sama memperbaiki masyarakat. Dakwah bukan hanya di surau dan masjid semata-mata. Jika Islam itu sifatnya global, maka dakwah juga perlu menjadi global. Semoga, kita semua ada cita-cita memperbaiki diri. Kemudian, baikilah keluarga, kemudian, jika mampu, kongsikan dengan masyarakat yang lebih luas. Semoga niat yang baik diperbaiki oleh Allah.

Sunday, December 28, 2008

Diari 19 - Pulau Besar Melaka

Hari ini, Ahad 28 Disember bersamaan dengan 30 Zulhijjah 1429. Saya dan beberapa orang sahabat akan ke Pulau Besar Melaka. Saya akan membuat satu liputan mengenai amalan yang dibuat di sana.

Di Pulau Besar Melaka terdapat beberapa kubur yang pada sesetangah orang menganggap ia mempunyai keramat.

Mereka meminta kepada kubur-kubur keramat ini hajat dan keperluan mereka.

Bagi kita Ahli Sunnah Wal Jamaah, meminta, hanyalah pada Allah. Perkara lain tidak sekali-kali memberi manfaat ataupun memberi mudharat.

InsyaAllah, kita akan berkongsi pengalaman mengenainya nanti.

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah al-Amin

Tarbiah dan Dakwah 9 - Maal Hijrah

Hari ini merupakan hari akhir kita berada di dalam tahun 1429. Esok, kita akan berada di tahun 1430. Seribu empat ratus yang silam, sejarah menyaksikan satu peristiwa agong di dalam Islam. Itulah peristiwa hijrah. Apabila kita membicarakan peristiwa hijrah ini, kita akan mengingati tiga perkara:-

1. Ia mengingatkan kita mengenai perjuangan Nabi. Susah dan payah kaum muslimin berhijrah. Tujuannya untuk kita mencintai Nabi, ahli keluarga dan para Sahabat. Hari ini, ramai orang yang lupa pada Nabi sehingga lebih mencintai perkara lain. Yang lebih malang, ada yang sanggup menghina Nabi.

2. Mengingatkan kita mengenai peningkatan umur, apakah setelah setahun keadaan kita sama sahaja sedangkan umur kita semakin meningkat. Semoga amalan kita meningkat seiring dengan umur kita. Amat rugi orang yang semakin meningkat umurnya amalannya sama sahaja. Lebih malang apabila amalannya semakin teruk, akhlaknya semakin teruk, ibadahnya semakin teruk, hubungan dengan Allah semakin jauh, keluarganya semakin porak peranda. Maal Hijrah ini menjadi batu ingatan kepada kita mengenai peningkata umur kita.

3. Ia juga mengingatkan kita mengenai muhasabah diri. Ada lapan peningkatan yang perlu kita buat setiap hari dan ketika. Di ketika kita menyambut Maal Hijrah ini, kita lihat, adakah lapan perkara ini telah kita tingkatkan.

1. Peningkatan cinta pada Allah
2. Peningkatan cinta pada Nabi
3. Peningkatan cinta pada Agama
4. Peningkatan cinta pada Saudara seIslam
5. Peningkatan cinta pada ilmu
6. Peningkatan cinta pada amal
7. Peningkatan cinta pada akhlak
8. Peningkatan cinta pada amar makruf dan Nahi mungkar

Lapan perkara ini yang Nabi terapkan ke dalam jiwa para sahabat ketika peristiwa hijrah. Kita tidak perlu berpindah ke Madinah bagi tujuan berhijrah, tetapi kita perlu berhijrah rohani dari keadaan lama kepada yang baru. Semoga niat baik kita diperbaiki oleh Allah.

Saturday, December 27, 2008

Sekilas 7 - Blog Menghina Nabi

Pada malam tadi sempat saya melihat Blog adibahahmad.blogspot.com ini. Dia menulis dengan kata-kata menghina dan dengan lukisan-lukisan yang menghina Nabi kita saw. Walaubagaimana pun, ramai juga yang percaya bahawa, gambar yang dipaparkan bukan gambarnya yang sebenar. Kita boleh rujuk di laman perisik-rakyat.com.

Di dalam sejarah ada lapan golongan yang pernah menghina Nabi.

1. Golongan kafir
Iaitu orang yang menolak Islam dan menghina Nabi. Mereka menghina nabi kerana yakin Nabi itu salah dan sesat. Mereka tuduh Nabi macam-macam. Golongan ini, sampai satu tahap, mereka diperangi. Ini berlaku seperti di dalam perang-perang di dalam Islam

2. Golongan munafiq
Golongan yang berpura-pura Islam dan menyembunyikan kekufuran. Mereka seolah-olah Islam tetapi ada perkara yang tidak mereka yakini. Golongan ini juga, sampai satu tahap diperangi.

3. Golongan ahli kitab
Golongan yang percaya pada Allah tetapi tidak percaya pada kenabian Muhamad s.a.w. Golongan ini, Nabi suruh raikan mereka selagi mana mereka tidak merubah hukum Allah. Jika mereka merubah, akhirnya juga mereka diperangi. Ramai juga akhirnya gologan ini yang memeluk Islam.

4. Golongan berkepentingan
Orang yang berkepentingan seperti Abu Jahal dan pengikut-pengikutnya. Pernah di dalam hati mereka mengakui keimanan Nabi, tetapi, mereka merasa mereka akan hilang kuasa jika mereka mengakui kebenaran Islam. Akhirnya mereka memerangi Nabi kerana kepentingannya. Golongan ini, jika mereka menyerang Islam maka kita akan mempertahankan agama kita seperti mana mereka menyerang kita.

5. Golongan hasad dengki
Ada golongan yang hasad dengki dengan Nabi. Mereka dari orang Yahudi. Ini kerana mereka merasa mereka lebih mulia dari bangsa Arab pada ketika itu. Golongan ini di dakwah. Jika mereka perangi kita barulah kita memerangi mereka.

6. Golongan jahil
Golongan jahil ialah mereka membenci tanpa ilmu. Mereka merasakan diri mereka betul ketika menentang dan menghina Nabi. Golongan ini Nabi mendoakan mereka. Golongan ini adalah seperti golongan di Taif

7. Golongan bongkak
Golongan ini menolak Islam kerana sombong. Mereka menganggap mereka cukup cerdik dan agama ini hanyalah rekaan semata-mata. Golongan ini ada yang Nabi ajak untuk berdebat dan ada yang Nabi dakwah mereka dengan akhlak Nabi. Golongan ini banyak yang akhirnya Islam. Mereka terdiri dari sahabat-sahabat pada peringkat awal.

8. Golongan yang kecewa
Ada juga yang menghina Nabi kerana kecewa. Sebagai contoh, semua kaumnya telah Islam. Dia kecewa kerana dia tinggal seorang. Dia banyak bersangka-sangka yang tidak benar pada Nabi. Tetapi apabila berhadapan dengan Nabi, hatinya tertarik dengan akhlak baginda. Golongan ini seperti yang berlaku di ketika pembukaan kota Mekah.

Jika kita ingin lihat orang menghina Nabi akhir zaman ini juga boleh kita golongkan kepada lapan golongan ini juga. Cuma, setelah kita kategorikan, kita akan lihat, mana yang masih ada peluang kita dakwah atau mana yang peluangnya telah habis lantaran mereka tidak dapat ditarik kembali kepada Iman. Jika ada di antara kita yang berfatwa ingin dijatuhkan hukuman bunuh pada gadis ini, perhatikan kategorinya dahulu. Jika patut, maka teruskan fatwa itu tetapi jika dia termasuk di dalam golongan yang masih boleh di dakwah, tanggung jawab bersama untuk dakwah mereka.

Semoga kita terus menjadi daie-daie yang hebat untuk Islam di akhir zaman ini, amin..

Motivasi Iman 6 - Menerima Hakikat Manusia Akan Di Sulami Dengan Ujian

Manusia tidak lari dari ditimpa musibah. Oleh kerana hidup manusia pasti akan disulami dengan musibah, maka Allah mengajarkan kita cara menghadap musibah. Banyak hadith dan ayat Quran yang membicarakan mengenai cara menghadapi musibah.

Ada tiga peringkat mengenai sikap manusia ketika ditimpa sesuatu musibah.

1. Pada permulaannya, berlaku penolakkan. Di peringkat ini, manusia tidak menerima hakikat bahawa sesuatu telah hilang darinya, sesuatu telah tiada, sesuatu telah menimpa dan sebagainya. Dia akan cuba lari dari hakikat dan masalah. Jika dia cuba lari dari menerima hakikat, jiwanya akan semakin tertekan, hatinya semakin sempit dan fikirannya semakin keliru.

Di dalam Islam, kita perlu jujur menerima hakikat diri kita. Semakin berani kita untuk jujur menerima hakikat diri semakin tenang jiwa kita. Sebab itu di dalam Islam ada konsep muhasabah. Muhasabah bererti menerima kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri. Jika kita tidak dapat menerima hakikat diri kita, maka kita tidak akan dapat membuat perubahan di dalam diri kita.

2. Peringkat kedua, manusia akan mengeluh, marah-marah, mendongkol, menyalahkan orang lain dan yang paling parah ialah apabila menyalahkan takdir. Di peringkat ini, mereka telah menerima hakikat bahawa mereka sedang melalui masa getir, tetapi mendongkol dengan keadaan diri.

Sesungguhnya, mengeluh tidak merubah apa-apa. Sikap marah-marah juga tidak merubah apa-apa. Dia akan membuatkan kita semakin tertekan dan terhimpit. Sudahlah ditimpa musibah, hati pula hilang bahagia. Di dalam Islam, kita ada konsep muraqabah, iaitu rasa sentiasa diawasi oleh Allah. Hari ini jika kita senang, Allah mahu melihat apa yang kita lakukan begitu juga apabila kita susah. Allah akan melihat apa yang akan kita lakukan. Semua, susah dan senang ada nilaian pahala jika kita membuat sesuatu dengan betul. Jika kita rasa sentiasa diawasi Allah, kita akan selalu mencari keredhaannya. Waktu senang kita tidak lupa Allah, waktu susah kita bergantung penuh denganNya. Akhirnya, senang dan susah tetap tenang dan tetap bahagia.

3. Peringkat ketiga barulah biasanya manusia menerima segala apa ketentuan hidupnya. Barulah tidak marah-marah, tidak mengeluh dan sebagainya. Walaubagaimana pun, jika salah kefahamannya, manusia akan putus asa, hilang harapan, hilang semangat, hilang rasa untuk terus berusaha. Akhirnya, hidupnya semakin murung, semakin tidak ceria dan semakin kusut.

Di dalam Islam, apabila kita telah menerima kita di dalam keadaan susah, ada konsep tawakkal. Tawakkal ialah kita berusaha dan bakinya kita serahkan pada Allah untuk menyempurnakannya. Jika perniagaan kita gagal, kita usahakan terus, ubah sana dan sini, baki serah pada Allah. Jika rumah tangga kita gagal, kita usahakan untuk perbaiki, baki yang diluar kemampuan kita, kita serah pada Allah.

Orang yang ada konsep muhasabah, muraqabah dan tawakkal akan sentiasa positif di dalam hidupnya. Dia akan sentiasa tenang walaupun musibah itu ibarat bukit yang menghempapnya. Sesungghunya, semua manusia akan diuji dengan musibah, yang membezakan orang beriman atau tidak ialah di hujung ujian.

Jika di hujung ujian dia tetap tidak putus asa, tetap berusaha, tetap tenang, tetap berjuang maka dia adalah pemenang di dalam ujian tersebut.

Thursday, December 25, 2008

Diari 18 - Program Agama di RTM

Hari ini 24 Disember 2008, saya ada rakaman bersama RTM mengenai satu program agama di dalam bahasa Inggeris.

Tajuk yang saya kupas pada hari ini ialah mengenai meditasi. Meditasi ialah satu amalan untuk menenangkan fikiran. Ia ada di dalam amalan keagamaan dan amalan tradisional sesuatu bangsa.

Di dalam Islam, cara menenangkan hati ialah dengan mengingati Allah. Ia diajarkan sendiri oleh Allah seperti di dalam firmannya, ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.

Di dalam mempraktikkan mengingati Allah, kita diajarkan untuk sentiasa berzikir, bertafakkur, bertadabbur, muraqabah, mengerjakan solat, haji, berpuasa dan sebagainya.

Orang yang mengingati Allah ketika senang, Allah akan mengingatnya ketika dia susah. Apabila kita menjadi orang yang sentiasa mengingati Allah, Dia akan memberikan kita satu hadiah, itulah ketenangan. Ia satu anugerah yang tidak dapat dibeli di kedai.

Oleh itu, marilah kita sentiasa berusaha mengingati Allah. Semoga selamat kita di dunia dan selamat di akhirat, amin…

Jawapan Pada Persoalan 8

Alhamdulillah, pada kesempatan kali ini dapat saya menjawab persoalan yang di ajukan.

? Persoalan mengenai kaedah perjuangan Tabligh

+ Sebelum itu, saya ingin berkongsi mengenai kelemahan pemikiran orang Islam. Kelemahan pemikiran orang Islam sekarang ada tiga perkara:-

1. Tidak mengaitkan dengan tauhid. Ramai orang yang bercakap mengenai Islam dengan tidak mengaitkan dengan tauhid iaitu rasa membesarkan Allah. Hasilnya, mereka akan faham tentang ilmu tetapi semakin jauh dari Allah, mereka lebih suka bergaduh dengan ilmu yang ada. Ada juga orang yang tahu hukum kemudian meremehkan hukum tersebut. Ini kerana mereka belajar tetapi lupa ingin kaitkan dengan tauhid pada Allah.

2. Kelemahan kedua ialah tidak menjawab reality semasa. Ada orang yang mempelajari agama terhibur dengan perbahasan lama tanpa cuba mengkaji persoalan baru yang timbul. Akhirnya, pemikirannya cara lama. Kurang mengambil tahu reality semasa. Hukum-hukum dan masalah terkini tidak dapat diulas dengan baik.

3. Tidak membawa kepada kesatuan. Membawa kepada perpecahan. Sesuatu yang baik tetap baik sekalipun kadang kala terdapat kekurangan di dalam perlaksanaannya. Jika terdapat kekurangan, kita hendaklah memperbaikinya dan bukan membesar-besarkan kelemahan tersebut.

Dalam konteks dakwah orang Tabligh, ia tetap baik walaupun ada orang tidak bersetuju dengan kaedah ini. Jika terdapat kelemahan, kita kena tolong perbaiki. Dan golongan yang terdapat kelemahan, jangan pula membela kelemahan yang ada. Saling bersatu dan melengkapi. Setiap perjuangan akhir zaman ini ada kelemahannya. Ini menunjukkan, pemimpinnya bukan Nabi. Kita kena terima hakikat ini. Yang ada kelebihan jangan sombong dengan kelebihan dan yang ada kelemahan perbaiki kelemahan yang ada. Matlamat perjuangan semua sama. Semua ingin mengembalikan diri dan masyarakat kepada Allah.

Jika kita saling memandang rendah pada orang lain, kita akan lemah dan musuh akan dapat mengatasi kita. Yang berjuang di medan politik teruskan, yang berjuang di medan perniagaan teruskan, yang berjuang di medah pendidikan, teruskan dan di mana pun kita, jika ia selaras dengan syariat, teruskan. Yang salah ialah kita tidak perbuat apa-apa tapi saling memandang rendah. Ia merugikan kita.

Saya akan membahaskan lagi perkara ini di dalam tulisan akan datang bertajuk "Paradox" Semoga kita semua saling bersatu untuk Islam. Ini kerana, dalam kesatuan ada rahmat dan pertolongan dari Allah

? student Salam ustz, sy tension tol la ngan org2 tua ni,kerek jer ngan org muda,mcm diorg tu btl sgt,bengang tol sy...tolong nasihat camne nak wat ni ustz.. 2008-12-24 3:50 PM

+ Apa yang ingin kita kongsikan pada hari ini ialah, kenapa kita menegur orang lain. kita tegur orang lain bukan sebab kita nak ubah dia, bukan juga sebab kita anggap dia rendah, bukan sebab kita geram dan marah dekat dia, bukan juga sebab kita kecewa pada dia, kita menegur orang lain kerana Allah dan Rasul suruh kita menegur. Allah selalu suruh kita menyeru pada yang baik dan mencegah pada yang mungkar.Kita tidak mampu merubah manusia, hingga para Nabi juga tidak mampu merubah hati manusia. Yang merubah hati manusia ialah Allah. Kita hanya disuruh menyampaikan perkara yang baik.

Jika kita faham, kita tidak akan kecewa dengan tindakan orang yang kita rasa tidak serasi dengan kita.

Allah tidak menjadikan maksiat itu ubat bagi hati. Kita tidak akan mendapat ketenangan jika sentiasa menaruh tidak puas hati pada orang lain. Kenapa ingin biarkan orang lain mencorak hidup kita. Jika dia sombong dengan kita, kenapa kita perlu bersifat sombong juga. Kan yang suruh tawadhuk itu Allah.

Jadi, tengankan hati, biarkan orang lain dengan keadaan mereka. Kita mempunyai alasan tersendiri untuk menjadi baik, bukan kerana respons dari mereka.
? Guest salam. ustaz, benarkah hantu itu wujud? ataupun yang disebut-sebut itu ialah jin, iblis, atau syaitan? 2008-12-20 1:57 PM

+ Hantu yang difahami oleh orang kita sebenarnya jin. Golongan ini memang wujud.

? M Salam ustz...sy prnh terbaca yg pd zaman Rasulullah dulu,baginda tak benarkan penulisan hadis...mengapa ya? 2008-12-20 12:39 AM

+ Jawapannya telah diberikan oleh Ustaz Juraish. Nabi pernah larang kerana bimbang hadith bercampur dengan al-Quran.

? Guest Salam ustaz, nak tanya, apa hukumnya mandi bunga utk mencari jodoh 2008-12-18 6:33 AM

+ Hukum mandi bunga kerana untuk mencari jodoh tidak dibenarkan, Ia termasuk di dalam syirik qidam, iaitu seorang yang merasakan nasibnya tidak baik dan dapat dilepaskan dengan amalan-amalan tertentu.

? ustaz,tolong jelaskan tentang menziharkan isteri atau teman wanita...ape jd kalo kite ziharkannye secara lafaz soreh atau lafaz kinayah...tq 2008-12-18 2:13 AM

+ Menziharkan isteri ialah menyamakan isteri dengan ibu dengan tujuan menghina. Ia adalah cara orang arab ingin menggantung isteri mereka. Orang Melayu tidak ada amalan ini.

? jamal apa makna mimpi kita pergi solat kekadang solat jemaah dgn org lain dlm surau.kerap kuar dlm mimpi la ustaz.yg musykil. 2008-12-17 12:11 AM

+ Pentanda kita telah mula meningkatkan diri. Jika kita ingin tahu lebih banyak mengenai mimpi, cari kitab Ibnu Sirin.

? nurul salam ustaz. saya nak tanya apakah sebab-sebab yang membolehkan seseorang mengamalkan pil perancang. Seperti yang ustaz kata ianya haram 2008-12-15 5:40 AM

+ Jika mengandung boleh memberi mudharat
? latifah abdul latib salam ustaz - macamana nak keluarkan hantu orang yang hampir nak mati. 2008-12-15 2:24 AM

+ Bacakan surah al-Baqarah

? Guest salam ustaz... saya dan isteri telah bersetubuh pada siang hari dlm bln ramadhan.apa perlu kami buat kalau kami tak mampu utk berpuasa selama 2 bulan? 2008-12-14 7:45 AM

+ Suami perlu puasa dua bulan berturut. Jika tidak mampu beri makan 60 fakir miskin.

? Mohd "Salam ustz..bleh tak org yg solat sunat jd imam pd org yg solat sunat lain,mcm org yg solat tarawikh jd imam tok org yg solat witir.." 2008-12-13 12:27 PM

+ Boleh tetapi tidak afdal
? Shamsul Amin Ustaz, saya nak bertanya apakah hukum menonton wayang di pawagam. Saya akui, gemar menonton wayang, tetapi waktu solat masih dijaga. Macam mana ustaz? 2008-12-13 11:51 AM

+ Harus jika
1. tidak timbul fitnah seperti tempat itu terkenal dengan imej maksiat
2. tidak bercampur lelaki dan perempuan
3. filem yang tidak merosakkan seperti menimbulkan syahwat, menggugat iman dan lain-lain.
4. tidak meninggal perkara wajib yang lain seperti solat, belajar, mencari nafkah dan lain-lain
5. ada iktibar pengajaran yang boleh diambil

keharusan ini sangat nipis garisannya. Ia boleh jatuh makruh dan boleh jatuh haram.

? Guest salam ustaz, soalan saya, apakah hukum kita melabur ASB?? ada yang kata ASB melabur pada tempat2 yg x ikut syarak.. 2008-12-13 6:49 AM

+ Menurut majlis fatwa harus

? student ustaz, apekah hukum makan ketam nipah. sekarang sedang top kursus ternakan ketam nipah di rumah. boleh ustaz jelaskan. thanx 2008-12-10 1:13 PM

+ Setelah saya kaji ia sejenis ketam yang akan mati juga di atas darat. Ia harus. Jika ketam batu haram sebab di atas darat dia tak mati. Jadi tergolong hidupan dua alam.
Semoga jawapan menepati kehendak soalan. Jika masih terdapat kekaburan, pembaca sekelian bolehlah mengajukan soalan ini kembali.

Tuesday, December 23, 2008

Universiti Kehidupan 21 - Jangan Harapkan Orang Lain Untuk Membela Kita

22 Disember 08. Waktu malam saya ada perbincangan dengan beberapa orang sahabat. Antara yang hadir ialah Cik Nurhani Salwa (Hani) Penasihat Undang-undang Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pagi 22 Disember ini, Cik Nurhani Salwa telah dijemput untuk menyertai taklimat khas berkenaan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) bersama Exco-Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Selangor, YB wakil rakyat negeri Selangor, Ketua Polis Selangor dan pegawai-pegawai polis berpangkat inspektor dan ke atas, Majlis ini dipimpin oleh Prof. Salleh Buang menerangkan mengenai takat kebebasan beragama di Malaysia.

Antara isi perbentangan ialah mengenai Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam). Isi Enakmen ini ialah berhubung takat kuasa pihak berkuasa yang dilantik untuk mendakwa mana-mana orang bukan Islam yang sengaja menghasut memujuk dan mempengaruhi orang Islam untuk keluar dari Islam atau mengamalkan ajaran atau ugama selain Islam.

Selepas majlis taklimat selesai, sesi joal-jawab diadakan untuk memberi peluang kepada hadirin mengutarakan soalan atau pandangan mereka berhubung taklimat yang diadakan.

Banyak YB yang bukan Islam hadir tetapi mereka tidak bertanyakan banyak mengenai Enakmen tersebut. Apa yang memeranjatkan ialah beberapa orang YB yang Islam tampil bertanya dan mempertikaikan Enakmen ini. Salah seorang YB Islam ini mengatakan bahawa undang-undang tersebut tidak lagi relevan dan bersifat menindas kepada golongan bukan Islam dan mencadangkan supaya ianya dimansuhkan.

Yang hadir semuanya terkejut. Sahabat-sahabat dari MAIS juga terkejut. Jika YB Islam tidak membela Islam jangan harap yang bukan Islam akan membela Islam. Jangan salahkan orang bukan Islam jika mereka juga nanti berani mempertikaikan hak orang Islam.

Akhirnya saya berbisik pada diri saya, politik itu perlu untuk Islam, tetapi pembelaan terhadap Islam biasanya datang dari badan yang tidak rasmi.

Sejarah mencatatkan bahawa ulama-ulama yang hebat bergelanggang membela Islam bukan dengan jawatan rasmi. Memang perlu ada jawatan rasmi untuk tujuan syiasah syariyyah tetapi, golongan yang tidak rasmi perlu lebih hebat dan jangan rasa selesa dengan wujudnya jawatan rasmi. Ini kerana, belum tentu golongan rasmi itu menjaga Islam dengan baik.

Saya menyeru pada pembaca sekelian. Marilah kita pegang agama dalam diri kita dengan sebaiknya. Seterusnya, alirkan pada keluarga kita. Jika kita mampu, bergelanggang pada peringkat masyarakat. Seterusnya peringkat Negara dan Ummah Islamiyyah sekeliannya. Jangan kita rasa selesa seolah-olah ada orang lain yang buat. Jangan mengharap orang lain akan bela agama kita. Kita kena mulakan sendiri. Jika setiap individu ada perasaan ini, maka setiap orang akan mengamalkan Islam dan juga akan mula memperjuangkan Islam. Jika semua individu mula memperjuangkan Islam, maka kita akan lihat, Islam akan diperjuangkan di dalam semua bidang kehidupan.

Jika Islam itu syumul sifatnya maka perjuangan juga perlu syumul. Jika Islam itu antarbangsa sifatnya, perjuangan juga perlu bersifat antarabangsa. Oleh itu, marilah sama-sama kita mulakan. Mulakan dengan diri kita. Insyallah, Allah akan terus membantu dan merahmati, amin…

Jom Kongsi Pengalaman 20 - (Cambodia 4 )

Pada kesempatan kali ini, saya akan berkongsi pengalaman dengan pembaca perjalanan saya ke Siem Reap Cambodi

Inilah hotel Sor-Phoum Villa. Salah satunya hotel orang Islam yang mempunyai restoren makanan halal.

Sekitar bandar Siem Reap

Peniaga tebu membawa tebu. Keadaan ini agak bahaya apabil orang terlanggar tepi, ia akan menyebabkan penunggang jatuh
Mendokong anak tanpa memakai topi kaledarJalan masuk ke Angkor Wat
Di belakang Angkor Wat
Penjual air nira yang terdapat di sepanjang jalan
Melihat pemandangan dan gelagat manusia di sekitar Angkor Wat
Ini bahagian teratas sekali Angkor Wat.
Inilah antara rombongan kami, dua lagi ada tengah ambil gambar.
Di dalam Angkor WatPasangan yang baru berkahwin biasanya akan ke sini. Mereka akan memohon restu dewa dan tuhan mereka. Bagi kita umat Islam, meminta hanya pada Allah yang Esa
Kuil lain penuh dengan patung-patung Budha atau Hindu. Tetapi Angkor Wat dipenuhi dengan patung wanita tanpa pakaian.
Sesetengah patung, dadanya diraba oleh pengunjung. Gambar menunjukkan bahagian dada yang diraba oleh pengunjung. Di dalam Islam, semua perkara yang boleh merangsang syahwat adalah dilarang kerana perkara buruk lebih banyak kesannya dari yang baik.
Insyallah, kita akan berkongsi lagi kisah pengembaraan dan pengajarannya

Monday, December 22, 2008

Universiti Kehidupan 20 - Maksiat Jangan Ditonjol

Setelah habis program korban di Kampung Cham, saya dan rombongan merancang untuk untuk pulang melalui jalan jauh. Kami pusing ke Siem Reap. Perjalanan dari negeri Kampung Cham ke Siem Reap lebih kurang lapan jam dengan separuh perjalanan merentasi jalan tanah merah yang berlubang seribu.

Kami sampai pada waktu malam dan terus ke hotel Sor-Phoun Villa. Ia di antara beberapa hotel milik orang Islam yang ada di sini. Di sini, hanya ada dua tiga buah sahaja hotel milik orang Islam. Kita mencari hotel orang Islam kerana lebih bersih dan suci dan juga terdapat restoren halal di sampingnya.

Pagi esoknya, kami berjalan sekitar Bandar Siem Reap. Tempat yang selalu dikunjungi pelancong adalah Angkor Wat. Saya dan rombongan bersetuju untuk ke sana dan insyallah, akan ada ilmu dan pengalaman yang boleh ditimba. Selepas sarapan pagi kami terus ke sana. Untuk masuk ke Angkor Wat seseorang perlu membayar tiket sebanyak USD 20. Di dalam nanti akan ada orang yang akan memeriksa tiket kita. Jika seorang masuk secara curi dia akan di denda sebanyak USD 500.

Angkor Wat ini terletak di dataran Angkor. Ia telah dibina oleh Raja Suryavarman II pada pertengahan abad ke 12. Ia memakan masa selama 30 tahun untuk disiapkan. Raja Suryavarman II membina Angkor Wat menurut kepercayaan Hindu. Dia menyakini bahawa gunung Meru sebagai pusat dunia dan merupakan tempat tinggal dewa-dewi Hindu. Dengan itu menara tengah Angkor Wat adalah menara tertinggi yang melambangkan gunung tersebut.
Sebagaimana dongeng gunung Meru yang kononnya dikelilingi gunung lain dan lautan, kawasan kuil Angkor Wat dikelilingi oleh dinding dan terusan yang mewakili lautan dan gunung yang mengelilingi dunia. Jalan masuk utama ke Angkor Wat yang sepanjang setengah kilometer dihiasi susur pemegang tangan dan diapit oleh tasik buatan manusia yang dikenali sebagai Barays. Terdapat patung-patung singa yang telah tercabut ekornya. Kami melalui tasik sejauh setegah kilometer untuk sampai ke gerbang pertama.

Mengikut kepercayaan mereka, jembatan yang kami lalui merupakan jambatan pelangi yang menyambungkan alam dunia dengan alam dewa.

Sekurun kemudian, Angkor Wat telah ditukar menjadi kuil Buddha dan digunakan secara berterusan apabila kepercayaan Buddha menggantikan kepercayaan Hindu di sini. Kuil Angkor ini pernah dijajah oleh Siam pada tahun 1431.

Kuil ini dipenuhi oleh patung-patung wanita tanpa pakaian. Ia berbeza dengan kuil lain yang ada di dunia. Hanya beberapa patung budha sahaja yang terdapat di sini. Yang lainnya patung-patung perempuan tanpa pakaian.

Apa yang mereka sembah dan puja sebenarnya? Bisik hati saya. Perempuan atau dewa.
Di dinding kuil penuh terdapat gambar perempuna bogel. Hanya ada beberapa sudut diukir gambar perang.

Ada sesetengah patung perempuan bogel itu licin bahagian dadanya. Rupanya ada juga orang yang terangsang nafsu melihat patung tidak berpakaian. Patung-patung tidak berpakaian ini habis diraba oleh sesetengah orang yang mungkin terangsang nafsunya.

Saya termenung seketika. Rupanya, perkara nafsu, jika di paparkan akan merangsang nafsu sekalipun mungkin niat asal pembinanya lain.

Sekalipun niat kita baik terhadap sesuatu, tapi jika perkara itu tidak baik, dia akan melahirkan banyak perkara tidak baik dari yang baik.Sebagai contoh, seorang yang ingin menderma melalui konsert amal. Niatnya baik tetapi perkara yang buruk akan lebih banyak berlaku.

Sebab itulah di dalam Islam ada prinsip, matlamat tidak menghalalkan cara. Jika niat kita baik sekalipun, tetapi perlaksanaannya itu ditegah oleh agama, maka kita tidak boleh melakukannya.

Saturday, December 20, 2008

Jom Kongsi Pengalaman 19 - (Cambodia 3 )

Sudah beberapa hari saya tidak dapat bersama sidang pembaca sekelian. Ini kerana, saya agak sibuk membuat persediaan untuk peperiksaan akhir saya di Universiti Islam Antarbangsa di dalam master LLM AIOL. Alhamdulillah, pagi tadi, merupakan paper akhir saya untuk program ini.

Alhadulillah, Allah izinkan saya untuk terus belajar di dalam kesibukan masa yang ada. Sekali lagi Alhamdulillah, program ini adalah program master kedua saya. Master pertama saya di Universiti Malaya di dalam bidang pentadbiran undang-undang Islam. Insyallah, akan diteruskan di peringkat yang selanjutnya. amin..

Untuk hari ini, saya masih mahu berkongsi pengalaman di kampung Pas lagi sebelum kita ke artikel seterusnya.
Ini kedai kain seorang wanita. Cuba kita lihat seterika yang digunakan. Ia adalah seterika arang. Di negara kita, ia pernah digunakan puluhan tahun lepas.
Ini adalah stesyen minyak di kampung-kampung. Ia hanyalah bekas gelen air yang dituangkan melalui getah paip
Ini pula tangki air yang banyak terdapat di sana.
Di belakang van ini ialah seorang wanita yang menyarungkan kopiah dan kain serban di atas kepalanya. Ada di antara rombongan kami yang bersalaman dengannya. Kami ingatkan dia lelaki. Ini kerana dia antara yang mengurumuni kami ketika kami ingin bertolak ke tampat lain. Ada ahli kampung yang menerangkan bahawa dia adalah perempuan. Kami semua tersenyum sinis pada ahli rombongan yang bersalaman dengannya.
Kalau antara pembaca sekelian berasal dari kampung, pembaca akan teringatkan bagaimana orang dahulu menyusun kayu api untuk dikeringkan. Saya lama menatap keadaan ini kerana saya teringatkan rumah Allahyarham datuk saya satu ketika dahulu. Apabila dia membelah kayu untuk masak, dia akan menyusunkan seperti ini untuk dikeringkan.
Semoga kita sentiasa bersyukur dengan keadaan kita di negara ini.

Tuesday, December 16, 2008

Jom Kongsi Pengalaman 18 - (Cambodia 2)

Ini dalam rumah orang kahwin. Bagi mencantikkan lagi rumah orang kahwin ini, mereka akan membalutkan dalam rumah dengan kain-kain yang berwarna warni.
Keadaan rumah mereka. Kebanyakkan di atas bumbung rumah di sini ada ukiran kayu dan tahun rumah itu dibina
Pada hari raya kedua ini, sebenarnya, hari di mana masjid kampung Pas di rasmikan. Ia dibina oleh komuniti masyarakat Brunei. Mereka mendermakan terus tanpa melalui orang tengah di dalam pembinaan masjid ini. Pada hari ini, wakil mereka datang dengan membawa batu asas bagi perasmian masjid. Tetapi tidak ada wakil orang lelaki di kalangan mereka. Imam masjid ini langsung memberikan batu rasmi itu kepada saya. Saya dengan kalimah "bismillahir rahman nir rahim merasmikan masjid kampung Pas. Saya tersenyum sendiri mengenangkan kejadian yang tidak disangka ini, tetapi adakah ini satu tanda dari Allah untuk tugas yang lebih besar yang perlu saya buat...
Batu perasmian yang kemudiannya digantung di dinding masjid.
Para muslimah yang bergotong royong memotong bahan memasak untuk majlis korban.
Peniaga khinzir bagi orang bukan Islam.
Peniaga kain. Seperti di Malaysia satu ketika dahulu
Pasar pagi yang sempat saya kunjungi
Telaga merupakan sumber air. Mereka juga mandi di sini. kadang-kala orang perempuan juga mandi di telaga tanpa ada pelindung.
sungai Mekong yang menjadi sumber air bagi penduduk tempatan. Tetapi yang menggunakan sumber air sungai, airnya agak keruh

Masih menggunakan sampan untuk melintas. Tidak ada jembatan yang menghubungkan antara dua tebing.
Insyallah kita akan kongsikan lagi pengalaman di sana.