Thursday, October 30, 2008

Universiti Kehidupan 10 - Bahan Bakar

Selasa 28 Oktober 2008, ketika saya selesai program di surau ar-Rahmah Seksyen 8 Shah Alam kurang lebih jam 12.30 tengah hari, saya melihat kepulan asap yang besar di kawasasn perumahan yang berdekatan dengan bukit.

Kereta bomba yang datang dari arah bertentangan menerjah laju ke arah kepulan asap itu. Hati saya berdetik ingin tahu apa yang berlaku.

Saya memusingkan kereta saya dan mengikut jalan yang di lalui oleh kereta bomba. Sampai ditempat kejadian, saya melihat ramai orang berkumpul.

Rupanya kawasan bukit sekitar Seksyen 8 ini telah terbakar. Ia bermula dengan empat orang pemotong rumput yang membakar rumput-rumput kering sekitar kawasan ini. Oleh kerana angin yang bertiup kencang, api telah merebak dan mula membakar bukit ini. Api yang membimbangkan ialah ia hampir dengan beberapa buah rumah dan juga kawasan janakuasa TNB.

Saya memerhatikan sekeliling kawasan yang terbakar. Terdetik di hati saya, api ini hidup kerana ada bahan bakarnya. Ia membakar rumput-rumput dan pokok kecil.

Di akhirat kelak, api neraka juga menjulang tinggi. Ia juga mempunyai bahan bakarnya sendiri. Ia hidup bukan dari rumput, tapi ia hidup di atas daging manusia yang dibakar.

Manusia yang bagaimana? Ya, manusia yang ingkar pada Allah. Mungkin mereka orang yang berpangkat dan berharta di dunia, tetapi dengan pangkat dan hartanya dia lalai dan ingkar, lantas dia menjadi bahan bakaran api neraka.

Mungkin dia orang yang glamour di dunia, tetapi dengan glamournya dia menjadi sombong dan menjadi bahan bakar di neraka.

Oleh yang demikian, sentiasalah kita memperbaiki diri kita, meningkatkan amalan, meningkatkan akhlak, meningkatkan hubungan kita dengan Allah.

Memang susah ingin menjadi orang yang baik akhir zaman ini, tapi cita-cita yang kita ada insyallah akan dibantu oleh Allah.
Api yang mulai merebak ke kawasan perumahan kawasan bukit yang mulai terbakar

Kebakaran yang menghampiri stesyen janakuasa eletrik TNB.


Semoga Allah sentiasa menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat. amin..

Jom Kongsi Pengalaman 15 - (Lubnan 2)

Kesempatan kali ini, kita akan berkongsi pengalaman di tengah kota Beirut Lubnan. Tengah-tengah bandar di Beirut ada satu bandar baru yang dibangunkan. Tempat ini dipanggil "down town" Down Town dibangunkan dengan gaya Eropah.
Di hujung jalan Down Town terdapat sebuah masjid. Ia diberi nama Masjid Khatamul Anbiya wal Mursalin. Reka bentuknya seakan-akan masjid Biru di Istanbul Turki.

Burung-burung merpati jinak banyak terdapat di tengah-tengah Down Town
Kita boleh lihat juga bangunan tempurung seperti ini. Ia bangunan tanpa tiang

Kalau di London ada 'Eye London", di Kuala Lumpur ada "Eye On Malaysia" di Beirut juga ada "Eye Beirut" Kita boleh menaikinya untuk melihat bandar raya Beirut
Pakaian tenteranya tidak berwarna hijau. Sebab di sana tak banyak pokok. Ia warna putih belang kelabu seakan-akan warna pasir
Kita juga boleh menaiki belon udara untuk melihat kota Beirut

Di Malaysia, budaya menghisap "sisha"(seperti rokok besar) telah mula ada. Di sana, shisha mereka dibentuk dari buahan terus.
Daripada perjalanan saya ke sana, saya dapat melihat sikap orang di sana yang lebih peramah dari negara arab lainnya. Di sini, ramai juga orang yang tidak Islam dan jika Islam pun mereka hidup gaya moden yang sudah tidak memegang cara hidup Islam.
Ramai yang sudah tidak bertudung. Budaya berdating bagi pasangan muda mudi banyak di sekitar bandar Beirut.
Bagi masyarakat Islam di sana, selain fahaman Ahli Sunnah, ada di antara mereka yang berfahaman Syiah.
Apa yang penting, semakin kita mengenali budaya orang lain semakin matang kita bergaul dengan mereka. Semoga setiap perjalanan hidup kita menambahkan ilmu dan pengalaman agar ia dapat digunakan untuk terus taat pada Allah.

Wednesday, October 29, 2008

Jom Kongsi Pengalaman 14 - (Lubnan)

Pengembaraan kita kali ini ialah ke Lubnan. Pada Jun 2006, saya memasuki Lubnan melalui jalan darat dari Syria. Perjalanan mengambil masa kurang lebih lima jam. Kami melalui kawasan berbukit. Jika pada musim sejuk, kadang kala kawasan ini sukar dilalui kerana dipenuhi dengan salji. Insyallah kita akan berkongsi pengalaman secara detailnya nanti.
Sepadan Syria-Lubnan. Ia seperti sepadan Wang Klian di Perlis untuk masuk ke Thailand. Prosidur masuk tidaklah terlalu ketat
Di Beirut, saya menziarahi kubur Perdana Menteri Lubnan yang mati dibom, Rafiq Hariri. Sehingga sekarang tidak tahu siapakah dalang pembunuhan ini. Tetapi, kebanyakkan penganalisa meyakini ia adalah angkara Israel. Ini kerana Rafiq seorang yang agak tegas di dalam hal-hal berkaitan Israel.

Ini ialah kubur kawan-kawan yang terkorban bersamannya
Di belakang saya ialah Masjid Khatamul Anbiya wal Mursalin di tengah-tengah bandaraya Beirut. Ia seakan-akan binaan masjid di Turki

Di Beirut juga terdapat masjid untuk orang Syiah. Antara identiti mereka ialah menggantungkan lambang-lambang berwarna hitam. jadi, jika ke sana, jangan tersilap masuk masjid.
Di Beirut juga terdapat kesan peninggalan Rom lama. Pada sebelum kedatangan Islam, Lubnan berada di bawah jajahan Rom Timur. Hingga sekarang pun, masih ramai penduduk Lubnan yang beragama Kristian.
Gambar di atas ialah kesan bangunan di zaman Rom Timur
Terdapat juga gereja besar di bandar Beirut
Tandas untuk buang air kecil. Walaupun berdiri tetapi mempunyai paip air untuk bersuci
Batu unik dipersisiran pantai di Lubnan
Pantai di Lubnan.
Insyaallah kita akan berkongsi lagi pengalaman kembara ini. Semoga kita semua akan terus diberi ilmu dan pengalaman oleh Allah. Allah berfirman, "bertaqwalah pada Allah, nanti Allah akan mengajarkan kamu ilmu".

Monday, October 27, 2008

Universiti Kehidupan 9 - Sebuah bot kayu

Pada bulan tujuh 2008 baru ini, saya telah pergi ke Singapura. Saya diajak melawat tepi pantai di Singapura. Saya tertarik dengan sebuah bot nelayan. Bot nelayan yang dibuat dari kayu ini membawa pelancung asing untuk melihat pemandangan Singapura dari laut.

Jika di Malaysia, bot nelayan seperti ini digunakan untuk menangkap ikan. Di Singapura, ia digunakan untuk membawa pelancung. Saya terus teringat kata pepatah melayu “untung sabut timbul, untung batu tenggelam”.

Sebenarnya, di dalam kehidupan kita ini, kita selalu membandingkan kekurangan kita dengan kelebihan orang lain.

Sikap suka membanding ini akhirnya membawa kita hilang rasa cukup dan lupa akan nikmat Allah yang lain.

Setiap kita mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Walau apa pun keadaan kita, ia adalah terbaik buat kita.

Seorang yang pandai memasak, akan menjadi hero apabila berada di dapur. Walaubagaimana pun, dia mungkin dianggap beban ketika berada di tapak pembinaan. Ketika semua orang bekerja, dia hanya duduk kerana tidak tahu berbuat apa-apa.

Seseorang yang bernasib baik di satu tempat belum tentu akan bernasib baik di tempat yang lain. Bot nelayan jika berada di perkampungan nelayan terpaksa bekerja keras untuk dianggap berjasa, tetapi di Singapura, ia hanya perlu nampak cantik untuk dianggap berjasa.

Oleh yang demikian, jadikanlah kelebihan yang ada pada kita medan untuk beramal dan jadikanlah kekurangan kita, medan untuk meningkatkan diri.

Orang yang bersifat demikian akan sentiasa bernasib baik di dalam kehidupannya. Kelebihannya disenangi orang dan kekurangannya disempurnakan oleh orang lain. Dia akan sentiasa beruntung di dalam apa yang diusahakannya.

Bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Bot nelayan yang membawa pelancung di Singapura

Tidak semua perkara sesuai di dalam sesuatu keadaan. Kepandaian menyesuaikan diri inilah di antara kebijaksanaan yang perlu kita ada



Jawapan pada soalan 2

Alhamdulillah, sekarang kita telah ada ruang untuk terus bertanya dan berintraksi di ruang sebelah kanan blog ini.

1. Bayaran fidyah kiralah sekadar yang yakin. Yang tak ingat kita anggarkan sehinggalah hati kita merasa tenang.

2. Mengenai doa yang saya baca di dalam program "tanyalah Ustaz" tempohari sebenarnya doa biasa sahaja. Ia adalah terjemahan doa bahasa arab yang sealu dibaca oleh imam kita di masjid.

3. Mengenai puasa qada;, jika kita buat, tiba-tiba waktu petang datang haid, puasa kita dikira batal, tetapi pahala berusaha dan berniat utnuk taat itu ada di sisi Allah insyalllah.

sekian.

Sunday, October 26, 2008

Jom Kongsi Pengalaman 13 - Syria 1 - Masjid Umawi

Pada kesempatan kali ini, kita akan berkongsi pengalaman di Damsyiq, Syria. Rasullulah pernah bersabda di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, "akan dibuka kota Syam satu hari nanti. Apabila kamu memilih tempat persinggahan maka kamu pilihlah sebuah kota yang dikenali sebagai Damsyiq. Ini kerana di sanalah tempat perlindungan orang-orang Islam ketika perang, di situ jugalah tempat perkhemahan mereka iaitu di kawasan yang dikenali sebagai Ghutah". Imam Ahmad bin Hanbal mengatakan, "Damsyiq adalah bandar yang didiami oleh kebanyakan wali abdal dan golongan zuhud.

Mari kita mulakan dengan Masjid Umawi. Ia adalah sebuah masjid yang dibina pada tahun 86 hijrah bersamaan dengan 705 masihi.
Masjid ini didirikan di atas arahan Khalifah al-Walid bin Abdul Malik. Pada satu ketika ia menjadi tumpuan orang belajar dan berhimpun. Di wakaf ini pula tempat orang meletakkan harta zakat. Ia kemudian akan diambil oleh orang yang tidak berkemampuan.

Tapak masjid ini memang menjadi tapak rumah ibadat sejak 2000 tahun sebelum masihi lagi. Mereka menyembah tuhan Semitik Haddad. Selepas agama tauhid Nabi Isa sampai ke sini, ia menjadi tempat ibadah. Pada ketika agama Isa diubah, tempat ini menjadi gereja.

Ketika Islam sampai ke Damsyiq pada tahun 636 Masihi, orang Islam juga menggunakan tempat ini sebagai tempat sembahyang. Lama-kelamaan, orang kristian menyerahkan tanah ini kepada orang Islam. Sebagai balasannya, mereka diberikan tanah yang lebih luas lagi ditempat lain.

Pada zaman dahulu Quran tidak mempunyai baris dan titik. al-Hawari di dalam kitabnya "Ziyarat" menyatakan bahawa, "mushaf Uthman bin Affan mula diletakkan titik dan baris di masjid ini.
Masjid ini merupakan masjid tertua di Syria. Di timur masjid ini terdapat masjid Saidina Umar dan Masjid Saidina Ali. Ia pernah menjadi tumpuan para Sahabat bertemu dan berbincang mengenai hal-hal Islam satu ketika dahulu.

Di antara keunikan masjid ini sehingga sekarang ialah azannya. Pada zaman dahulu tidak ada pembesar suara. Jadi setiap muazzin akan berdiri disetiap penjuru. Mereka akan azan beramai-ramai. Pada zaman sekarang mereka masih mengekalkan cara ini walaupun telah ada pembesar suara. Seorang ketua akan memulakan azan kemudain ia akan diikut oleh yang lain bersama-sama. Bilangan mereka yang azan boleh jadi sehingga tujuh orang sekaligus.

Ini ialah kereta pengangkut alatan tentera yang digunakan oleh Salahuddin al-Ayubi pada ketika perang salib.
Di dalam masjid ini juga terdapat kepala Nabi Yahya a.s. Nabi Yahya telah disembelih oleh kaum yang ingkar pada seruannya. Ia kemudian memenggal kepala Nabi yang mulia ini. Kepalanya dimakamkan di sini.
Kepala Baginda telah diletakkan di dalam bekas tembaga. Imam Nawawi ada menyebutkan kisah ini di dalam kitabnya Tahzibul Asma. Diriwayatkan dari Zaid bin Waqid, ketika beliau sedang bekerja membina dan menyiapkan masjid ini (selepas orang kristian memberikan tanah ini kepada orang Islam) beliau membina tapak-tapak asas masjid di sekitar makam ini. Tiba-tiba makam ini bolos dan membentuk satu lubang. Beliau telah memberi tahu hal ini kepada Khalifah al-Walid. Pada malam itu, Khalifah al-Walid telah masuk dan turun menelusuri lubang tersebut. Kahlifah kemudiannya mendapati sebuah bekas dari tembaga. Di atas peti tersebut terukir "ini adalah kepala Yahya bin Zakariya. Menurut riwayat yang lain, kulit dan rambut Nabi Yahya ini tidak berubah sama sekali. Khalifah kemudiannya mengarahkan agar makam ini ditutup dengan baik.
Ada satu lagi kepala yang dimakamkan di sini. Ia ialah kepala Saidina Hussain, cucunda Nabi s.aw. Makam ini terletak berdekatan dengan pintu Turbah Kamiliyyah.
Saidina Hussain telah syahid di bumi Karbala pada tahun 61 hijrah. Badannya dikebumikan di Karbala sedangkan kepalanya dihadapkan kepada Khalifah Yazid bin Muawiyyah di Damsyiq ini. Kepala ini kemudiannya dimakamkan di dalam masjid ini. Walaubagaiman pun, terdapat beberapa pendapat mengenai makam kepala Saidina Hussain ini. Ada yang mengatakan ia dimakamkan di Karbala sendiri, ada yang mengatakan ia dimakamkan di Madinah, di Raqqah iaitu di sungai Furat dan ada yang mengatakan ia dimakamkan di Kaherah Mesir.
Semoga kita mendapat manfaat dan pengajaran dari pengembaraan ini.

Saturday, October 25, 2008

Motivasi Iman 5 - Jangan mengeluh

Apabila kita kehilangan sesuatu, sesungguhnya masih banyak lagi yang ada pada kita. Jika kita sedihkan sesuatu, masih banyak lagi perkara yang boleh kita gembirakan. Jika kita dihimpit sesuatu, masih banyak lagi ruang yang boleh kita gunakan. Cuma apabila kita menumpukan kepada kekurangan, kita akan nampak kekurangan itu besar.

Jika kita melihat jerawat pada muka kita, dan kita merasakan bahawa jerawat itu menyebabkan muka kita hodoh, nanti kita tidak akan melihat anggota wajah yang lai,n seolah-olah muka kita adalah jerawat. Kita lupa kita ada mata, kita ada hidung, kita ada telinga, rambut dan lain-lain.

Jika kita dihimpit hutang, dan merasakan hutang itu penghujung hidup kita, maka kita tidak akan dikurniakan jalan untuk keluar dari hutang itu kerana kita menumpukan semata-mata pada masalah dan tidak berfikir untuk mencari jalan keluar. Oleh yang demikian jangan bazirkan masa untuk berfikir yang telah lalu, bersangka yang baik dan cari jalan yang baik dan kita akan mendapat jalan keluar.

Dari Abu Hurairah dari Rasullulalah S.A.W bahawa Allah Azza Wa Jalla telah berfirman, aku berserta sangkaan hambaku denganku, jika dia bersangka baik maka dia mendapatnya, jika dia bersangka buru maka dia akan mendapatnya

Friday, October 24, 2008

Jom Kongsi Pengalaman 12 - (Acheh)

Dengan izin Allah, saya telah berada di Acheh pada hari minggu kedua selepas kejadian Tsunami bagi operasi kemanusiaan di sana. Dua bulan selepas itu, sekali lagi saya ke Acheh bagi operasi anak yatim pula. Pada kesempatan kali ini, kita akan berkongsi gambar-gambar operasi kedua saya iaitu operasi anak yatim. Insyallah kita akan berkongsi pengalaman yang lain.

Lapangan terbang Sultan Iskandar Muda, Acheh.

Keadaan rumah batu yang dihanyutkan sehingga ketegah jalan


Bandar yang runtuh



Rumah yang dihanyutkan ke tengah jalan


Keadaan penempatan sementara mangsa Tsunami


Khemah-khemah mangsa kejadian Tsunami Acheh

Kapal di tengah-tengah kawasan perumahan


Kapal di tengah-tengah kawasan perumahan

memberi bantuan di penempatan anak yatim Acheh


Menziarahi keluarga seIslam

Semoga Allah memberikan keselamatan kepada seluruh umat Islam di dunia, amin...

Thursday, October 23, 2008

Sekilas 5 - Isu sensitif

Di tangan saya sekarang, ada salinan tiga patisyen dari penduduk Kinrara Puchong, Sek 16 Petaling Jaya dan Sek 5 Shah Alam. Patisyen ini adalah satu komen mengenai penggunaan pembesar suara ketika kuliah.

Setelah isu azan reda, timbul satu isu lagi iaitu, penduduk meminta pula agar kuliah agama tidak dilaungkan diluar masjid. Mereka memberi komen ia mengganggu mereka.

Ada beberapa sudut yang boleh kita lihat di sini.

1. Mungkin ada rasa ingin mencuba kepekaan orang Islam. Jika kita minta begini begitu, apa yang mereka boleh buat. Azan tidak dapat dipertikai, kita cari benda lain.

2. Bagi penduduk, kenapa setelah berbelas tahun mereka duduk dan mendengar, baru sekarang mereka rasa terganggu. Kenapa tidak dari mula ketika perumahan itu dibina. Sama ada baru timbul masalah ini atau semakin berani mempertikaikan hak-hak yang sensitive.

3. Bagi penceramah pula, kadang-kala, isi ceramah kena tingkatkan. Agar mereka yang mendengar rasa nak dengar lagi. Kalau ingin sentuh isu agama lain, sampaikan dengan hikmah, bukan dengan mengata-ngata tanpa ada pengajaran yang dapat diambil.

4. Bagi masjid, carilah sponsor untuk membeli pembesar suara yang baik sikit. Ada sesetengah masjid, pembesar suaranya kuat tetapi tidak dapat di dengar dengan jelas suara penceraman. Tabung masjid jangan hanya ingin dibanggakan simpanannya. Tapi gunakan untuk kebaikan masjid dan masyarakat Islam.

5. Bagi Majlis Agama Islam, syabas saya ucapkan kerana usaha untuk memperbaiki keadaan. Tetapi kaji isu sebenar, pada saya pembesar suara bukan isu sebenar. Ada perkara lain yang perlu difahami dengan bijaksana. Kaji dan upgrade system masjid. Teruskan perjuangan membela dan menjaga hak dan kepentingan umat Islam. Semoga anda terus dibantu Allah.

Semoga Allah terus menjaga kita semua di dunia dan di akhirat. Amin..

Motivasi Iman 4 - ubat hati (kesedihan)

Hari ini kita akan membicarakan mengenai ubat kesedihan. Setiap manusia ada rasa sedih. Itu adalah fitrah kejadian manusia. tetapi, ramai manusia yang salah mencari ubat ketika sedih. Ketika dia sedih, dia menyalahkan taqdir, ketika dia sedih dia menungkit-ungkit kisah lama "kalaulah aku tahu, aku tak akan pergi dengan dia"

Ketika dia sedih dia marah-marah. Semua ini tidak akan membuatkan hati terubat. Ini kerana Allah tidak menjadikan perkara sia-sia ubat bagi hati.

Allah yang menjadikan kesedihan sudah tentu Allah juga yang mempunyai ubat kesedihan ini. Jadi, apa ubatnya?

Saya ingin bawakan satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibu Majah " Dari Abu Ishak bin Harith dari Ali R.A dia telah berkata, telah bersabda Rasullullah S.A.W, sebaik-baik ubat adalah al-Quran".

Quran diturunkan untuk rahmat bagi sekelian manusia. Di dalamnya ada bermacam-macam kelebihan termasuklah ubat bagi hati.

Benarkah membaca al-Quran itu menjadikan hati yang sedih berubah menjadi tenang?. Saya ingin berkongsikan pengalaman yang saya lalui.

Kisah satu

Pada kejadian tsunami di Acheh pada Disember 2004, dengan izin Allah saya telah ke sana pada hari kelapan di dalam operasi kemanusiaan. Mereka yang masih hidup menghadapi tekanan yang luar biasa. Anak kecil mereka hilang, suami hilang, dan sebagainya. Sebenarnya, jika mereka berjumpa dengan mayat anak mereka, mereka lebih tenang kerana telah pasti mereka meninggal. Tetapi, status hilang membuatkan mereka menaruh harapan mudahan ia ditemui. Unit trauma dari berbagai negara datang untuk menenangkan penduduk Acheh yang kesedihan tetapi saya melihat penduduk Acheh lebih tenang dengan membaca al-Quran. Di khemah-khemah, mereka membaca al-Quran. Dengan al-Quran mereka menjadi tenang

Kisah dua

Ketika kejadian gempa bumi di Pakistan pada Oktober 2005. Saya telah sampai ke sana pada minggu kedua. Status di Pakistan pun sana. Anak-anak mereka tertimbus di dalam bangunan. Masih ramai yang belum dapat dikeluarkan kerana kekurangan bantuan tenaga. Saya melihat mereka menenangkan diri mereka dengan membaca al-Quran.

Kisah tiga

Saya pernah melihat orang yang sangat kesedihan disebabkan kematian ayahnya. Dia tidak boleh berhenti menangis. Ketika diberikan surah Yasin kepadanya, dia cuba membaca dengan suara yang tersekat-sekat kerana masih menangis. Ketika sampai ke ayat lima belas dia sudah mula berhenti menangis dan apabila sampai ke akhir surah Yasin, dia sudah boleh bercakap dan berbual dengan baik dan tenang. Al-Quran telah memberi ubat yang luar biasa pada kesedihan hatinya.

Kisah empat

Seorang kakak bertemu dengan saya kerana masalah rumah tangganya. Saya menyuruh dia membaca surah al-Kahfi kerana terdapat di dalam hadith, Allah menurunkan ketenangan pada seorang sahabat yang membaca surah kahfi ini. Dia membaca dan mengamalkannya. Akhirnya, dia dapat menghadapai krisis rumah tangganya dengan tenang dari sebelumnya.

Membaca al-Quran di antara cara merapatkan diri dengan Allah. Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Allah berfirman,

Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia
Surah ar-Ra’du ayat 28

Oleh yang demikian, jika kita bersedih, ambil al-Quran dan bacalah. Kita akan dilimpahi dengan ketenangan dan inysallah, Allah akan memberikan jalan keluar bagi segala permasalahan kita.

Tuesday, October 21, 2008

Jom Kongsi Pengalaman 11 - Mesir 2

Pada kesempatan kali ini, kita akan berkongsi pengalaman di Mesir
Di Taba, Sinai, Kubu Salahuddin al-Ayubi. Kubu ini terletak di tengah-tengah Laut Merah yang merangkumi negara Mesir, Saudi dan Jordan. Ia dibina oleh Salahuddin al-Ayubi ketika operasi menawan Baitul Maqdis dari tentera salib.

Hamam bererti tempat mandi. Hamam Firaun bererti tempat mandi Firaun
Tempat ini merupakan tempat mandi wap yang dikatakan menjadi tempat mandi keturunan di raja Firaun. Udara di dalamnya agak panas dan jika tidak biasa ia boleh membuatkan seseorang lemas di dalam wap.
Di Sinai, Terdapat 12 telaga yang khusus untuk pengikut Nabi Musa a.s. Mereka berehat dan Allah pancarkan 12 mata air untuk setiap kabilah.
Kini, hanya tinggal lapan buah sahaja telaga yang masih boleh dilihat. Bakinya sudah tertimbus.

Masjid Nabi Daneil di Iskandariah Mesir. Di dalam masjid ini terletak makam Luqman al-Hakim dan Nabi Daniel
Kita terpakasa menuruni tangga untuk sampai kepada dua makam ini.

Makam Luqman al-Hakim bersebelahan dengan makam Nabi Daniel

Di kaki bukit Thur Sina, terdapat ukiran anak lembu. Kisah lembu Samiri tersebut di dalam al-Quran. Patung anak lembu ini diukir oleh Samiri yang kemudiannya mengajak Bani Israel menyembahnya. Peristiwa ini berlaku ketika Nabi Musa sedang bermunajat kepada Allah di puncak Thur Sina. Patung ini pernah disalut dengan emas untuk menjadikan orang tertarik menyembahnya.
Piramid di Gizza pernah tersenarai di dalam tujuh benda ajaib di dunia. Ia dijadikan lambang keangkuhan Firaun.
Piramid ini sekarang telah dibongkar. Banyak mumia dijumpai termasuk Ramsis (ii) yang diyakini dialah Firaun yang hidup pada zaman Nabi Musa.

Spinx (Abu Haul) dibina sebagai penjaga kepada Piramid. Ukiran Spinx ialah Badan singa dan kepala manusia.
Allah menyebut di dalam al-Quran, mengembaralah ke muka bumi dan lihatlah bagaiman akibat orang-orang yang mendustakan (ajaran Allah)
Mereka pernah menjadi hebat tapi sekarang menjadi mayat. Kita juga akan begitu. Sebab itulah, sementara badan ada nyawa, taatlah pada Allah dan Rasul. Semoga kita memperolehi keselamatan di dunia dan di akhirat, amin....

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...