Tuesday, September 30, 2008

Diari 5 - Rancangan TV "Tanyalah Ustaz" di TV9

Kepada saudara-saudari yang ketinggalan menonton 4 episod Tanyalah Ustaz bolehlah menonton di pautan-pautan dibawah ini. Kepada yang mempunyai soalan boleh juga mengajukannya di sini.





Tarbiah Dan Dakwah 3 - Renungan Syawal

Satu Syawal merupakan hari raya bagi Umat Islam di dunia. Ia adalah hari syaitan dibebaskan dari tawanan. Hari ini juga adalah hari syaitan bersumpah akan menjadikan anak Adam paling berdosa dalam sejarah. Hari ini adalah hari nafsu tidak lagi lemah lantaran puasa. Hari ini merupakan hari gandingan mereka setelah sebulan dipisahkan.

Pada hari ini, berapa ramai manusia yang telah kembali ingkar dan mungkar pada Allah. Berapa ramai manusia yang dilaknat dan berapa ramai manusia yang telah terhamba hatinya kepada dua musuh utama tadi. Dalam senyum dan gelak muka mereka menjadi hitam lantaran dosa, hati mereka menjadi kelam lantaran derhaka dan jiwa mereka menjadi suram lantaran noda. Berapa ramai yang Tuhan rentap nyawanya pada hari itu. Persoalannya adakah di dalam Husnul Khatimah" (mati di dalam kebaikan)

Bagi Mukmin, pada hari ini kita diajar untuk berziarah dan bersedekah, memohon kemaafan di atas dosa sesama insan. Di ajar untuk mengenang orang yang susah dan berduka, di kala kita gembira.

Duhai Mukmin, jauhilah dari dilaknat di pagi Syawal, jauhilah diri dari menjadi bongkak dan takabbur pada Tuhan. Ingatlah Tuhan dan hindarkanlah dosa. Andaikata Tuhan menjemput kita pada hari ini, pastikan, ia hari termulia dalam hidup kita.

7 Amalan Syawal

1. Banyakkan memohon ampun pada Allah dan kemaafan pada insan.
"sesiapa yang masih berdosa selepas Ramadhan akan celakalah hidupnya"

2. Banyakkan menyapa dan memberi salam
"sesiapa yang menyambungkan silaturrahim, Allah akan permudahkan jalannya ke Syurga"

3. Banyakkan besedekah
"sedekah dapat menghidarkan bala yang akan menimpa"

4. Banyakkan bertasbih, bertahmid dan bertakbir
Sesiapa yang menyebut nama Allah di bumi, Allah akan menyebutnya di langit, dan sesiapa yang namanya disebut akan diberi rahmat di dalam hidupnya"

5. Banyakkan berziarah
"Siapa yang menziarahi saudaranya kerana Allah, Allah akan sediakan mahligai baginya di syurga"

6. Banyakkan berdoa
"Sesiapa yang memohon kepada Allah akan keselamatan, maka jelaslah orang itu bertawakkal. Sesiapa yang bertawakkal pada Allah, maka tidaklah dia berjalan di muka bumi ini kecuali dengan pertolonganNya.

7. Banyakkan bersyukur
"Sesiapa yang bersyukur pada Allah (di atas nikmatNya) maka Allah akan gandakan nikmat yang telah dikurniakannya itu"

Semoga, kita semua di dalam rahmat dan perlindungan ilahi.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir Batin

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhammad bin Abdullah al-Amin.

Monday, September 29, 2008

Jom Kongsi Pengalaman 6 - Iran

Pada Julai 2008 baru ini, Saya mempunyai beberapa urusan di Iran dan selamat pulang dari sana. Insyaallah saya akan berkongsi pengalaman di sana. Sebelum itu, mari kita kongsi beberapa gambar menarik di sana.

Di Medan Imam, Isfahan. Isfahan merupakan kota tercantik di Iran
Oleh kerana orang Iran ramai yang tinggi, di pintu kapal terbang terpaksa diletakkan kusyen untuk menghalang orang terhantuk

Saya tak mahir di dalam bidang kejuruteraan kapal terbang. Yang pasti saya lihat tayar kapal terbang ini macam dah teruk. Di Uzbek, saya pernah terkandas selama 7 jam kerana pihak air port Uzbek tidak membenarkan kapal terbang Iran ini berlepas sehinggalah tayar baru diperolehi.

Orang di Iran makan nasi dengan mentega. Satu resipi baru untuk orang Melayu

Ini mesin mengasah pisau. Teknologi tempatan. Pisau boleh di asah di mana-mana
Di sana orang tidak memakai topi kaledar ketika menunggang motor. Gambar menunjukkan seorang penunggang hanya memakai topi kaledar di tangan, bukan di kepala

Sebelum masuk ke masjid, mereka memasukkan kasut dalam beg plastik. Gambar menunjukkan beg plastik yang disediakan oleh pihak masjid

Kita akan banyak melihat keadaan seperti ini di Iran. Oleh kerana hidung mereka mancung, maka selalulah kejadian hidung terhantuk berlaku. Khabar gembira untuk orang Melayu yang berhidung pesek.
Ini tempat parking persendirian. Mereka juga tidak membenarkan orang parking punggung di sini sehingga di letakkan besi tajam di atasnya. Ia bermaksud "dilarang duduk atau...."

Jus delima. Memang sedap. Masam-masam manis

Kebanyakkan mereka tidak mengenali babi. Jadi, kepala babi dijadikan hiasan di pejabat-pejabat.
Insyallah, kita akan berkongsi lagi pengalaman di sana.

Jawapan pada soalan 1

Alhamdulillah, sekarang kita dapat berdiskusi mengenai Islam di luar program "Tanyalah Ustaz". Di sini sedikit jawapan yang sempat saya nukilkan untuk dikongsikan bersama dari respons pelayar blog saya di page yang lepas.

Untuk Puan M Zubaidah
Sebelum saya jawab saya ingin berkongsi prinsip feqah

1. feqh ialah kefahaman terhadap sesuatu hukum. Ia mempunyai banyak pandangan. Di dalam mazhab Syafie sekalipun kadang kala terdapat beberapa pandangan terhadap sesuatu perkara. Jika hendak bahaskan persoalan di dalam feqh ini ia tidak akan habis, masing-masing mempunyai dalil dan pandangan terhadap sesuatu dalil

2. Sesuatu hukum dikeluarkan dengan kaedah hukum. Ia bermula dengan dalil dari al-Quran, kemudian dalil dari hadith, kemudian ijmak, kemudian yang lain-lain seperti adat yang diiktiraf dan sebagainya. Keadah ini di sebut sebagai "Usul al-Feqh". Ada hukum yang diterbitkan dengan al-Quran dan hadith. Ada hukum yang diterbitkan dengan kaedah-kaedah lain selain al-Quran dan Hadith. Ia menjadikan Islam itu syumul (menyeluruh) dan dapat membahaskan banyak perkara di dalam kehidupan ini. Teori perbankan Islam banyak diterbitkan dari dalil selain al-Quran dan hadith.

3. Kaedaan hukum boleh berubah. Jika sesuatu haram, tidak semua tempat dia haram. Seperti babi itu haram, tetapi di dalam keadaan darurat ia dibolehkan. Jika sesuatu dibolehkan, tidak semua tempat ia dibolehkan. Ia memerlukan kematangan ilmu di dalam membahaskan perkara ini.

Berbalik kepada soalan Puan, adakah ia bid’ah atau tidak. Ia banyak diperbahaskan oleh ulama-ulama kita, bukan sahaja dalam Negara malahan di luar Negara.

Saya memilih pandangan sebegini, jika ia dibaca sebagai satu ingatan kepada sahabat empat dan sejarah tidak mengapa, tetapi jika meyakini, apabila tidak dibaca tidak sempurna solat tersebut maka ia merupakan bid’ah.

Sebenarnya terdapat sejarah kenapa nama-nama khalifah itu disusun selain dari selawat kepada Nabi. Sebenarnya, ketika pendakwah-pendakwah kita dari Hadramaut datang ke Nusantara, mereka berdakwah dengan mengajarkan akidah ahli Sunnah kepada kita di sini. Teknik didikan mereka berbagai-bagai. Di banyak negara, ramai pendakwah-pendakwah Syiah yang telah masuk dengan fahaman menyalahkan sahabat. Ada di antara mereka yang memaki sahabat-sahabat tersebut.

Melihat kepada kemungkinan orang Nusantara akan dikunjungi oleh pendakwah Syiah ini, mereka sejak awal mengajarkan kepada kita cintakan Rasul, ahli keluarga dan para sahabat. Di masukkan kitab-kitab Berzanji dan Dibaie. Di kisahkan mengenai perjuangan para sahabat bersama nabi, diiktirafkan khalifah yang empat kepada kita. Oleh yang demikian, kita mengenali khalifah yang empat sebagai pengganti Nabi.

Mereka mematangkan kita dengan menilai sahabat itu sebagai antara golongan yang perlu dihormati. Sebab itu di dalam selawat yang kita baca ada "wa ala alihi wa sahbihi ajmain" (dan pada ahli keluarga dan sahabatnya sekelian) sedangkan dalam Syiah hanyalah "wa ala alihi" (dan ahli keluarga sahaja).

Sekian sahaja, Semoga Allah terus member kefahaman agama kepada kita.

Jawapan untuk Soalan Puan Fatimah

1.Puasa Puan tidak digandakan. Jika tertinggal sehari, maka sehari sahajalah kena ganti.

2. Soalan kedua, jika Puan telah menggantikan puasa tahun lepas sebelum kemasukan Ramadhan yang baru, maka puan tidak kena fidyah. Tetapi, jika puasa tahun lepas tidak diganti dan telah masuk Ramadhan yang baru, Puan kena ganti dan kena fidyah. Selepas raya, puan ganti semua puasa yang ada, tetapi belum membayar fidyah, kemudian masuk Ramadhan seterusnya, fidyah puan tidak diganda.

*** Kadar fidyah ialah 700 gram beras yang biasa kita makan

Respons untuk Musa dan Ronnie
Sebenarnya doa itu doa biasa yang dibaca oleh para imam kita. Ia merupakan doa bahasa arab yang saya terjemahkan. Insyaallah saya akan kongsikannya nanti.

*** untuk mengetahui mengenai doa, boleh membeli buku yang saya dan sahabat saya tulis. “Selawat dan Doa Pilihan” terbitan Telaga Biru.

Sunday, September 28, 2008

Diari 4 - Jom dalam rancangan "Tanyalah Ustaz" tv 9

Insyaallah, dengan izin Allah, saya akan bersama di dalam rancangan "tanyalah Ustaz" tv 9 esok 29 September 2008 bersamaan 29 Ramadhan 1429 bermula jam 6.30 pagi hingga 7.30 pagi. Semua penonton bolehlah menghubungi melalui telifon dan e-mail. Tajuk perbincangan esok adalah "muhasabah Ramadhan dan Persiapan hari raya". Semoga ia memberi kebaikan pada saya dan pada semua yang menonton. Amin...

Jom Kongsi Pengalaman 5 - Spain (al-Hambra)

Pada Jun 2007, dengan izin Allah, saya dapat menziarahi Maghribi. Setelah beberapa ketika di Maghribi, saya melintas laut Maditerranean menuju ke Spain. Banyak pengalaman yang dapat dikongsikan. Untuk kali ini, mari kita lihat dahulu gambar-gambar pilihan.
Perjalanan dari Tanger Marocco ke Algeciras Spain mengambil masa dua jam lebih. Laut yang biru dan juga ikan-ikan besar yang nampak dipermukaan laut menjadi teman di dalam perjalanan
Spain di kenali dengan nama Andalusia satu ketika dahulu. Ia telah di Islamkan oleh seorang panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad. Gambar di atas adalah tempat di mana mula-mula Tariq sampai di bumi ini. Dia membakar semua kapalnya sesampai di Andalusia ini. Dia berkhutbah di hadapan tenteranya, "belakang kamu laut dan di hadapan kamu musuh, pilihlah mana satu yang ingin kamu mati". Dengan tentera seramai 7000 orang, Tariq berjaya menundukkan tentera Andalusia dan mengIslamkan bumi ini. Bukit ini sekarang di namakan "Gibaltra" iaitu "Jabal Tariq" yang memberi makna Bukit Tariq.
Perjalanan saya ditemani dengan tawakkal. Tidak ada kenalan di sini dan tidak ada sesiapa yang menyambut. Semuanya diredah secara spontan. Setelah sampai, saya terus mengambil bas ke Granada. Di sini terdapat kota yang indah di dalam sejarah. Itulah al-Hambra
Sayu saya melihat kota ini dihiasai oleh ayat al-Quran dan kata-kata hikmah. Sekarang ia bukan lagi di bawah orang Islam. Gambar di atas tertulis, "La Ghali Illallah" maksudnya, tiada yang lebih mahal selain Allah. Walaupun kota ini hebat, tetapi ia tetap dihias dengan ayat-ayat yang mengingatkan mengenai hubungan hati dengan Allah.
Di tengah-tengah kota al-Hambra. Bangunannya unik dengan senibina Islam. Yang dikatakan senibina Islam iaitu apa-apa bangunan yang ada syiar Islam dan akan memperkenalkan seseorang itu kepada Islam. Sebab itu, senibina Islam dihiasai dengan ayat Quran dan simbol-simbol Islam. Tidak ada patung yang menggambarkan syirik kepada Allah.
Gambar di atas dari salah satu sudut al-Hambra. Kota ini terletak di atas bukit dan ia menjadikan segala aktiviti masyarakat dapat dipantau dari sini.
Beberapa bangunan terdapat kolam air yang jernih dan melantunkan bayang bangunan di atasnya
Di Malaysia, antara senibina yang mirip dengan al-Hambra ialah Universiti Islam Antarabangsa Gombak dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) Bangi. Gambar di atas di antara bangunan di al-Hambra

Kolam yang membalikkan bayang bangunan di atasnya.
Rekabentuk atap yang unik

Kawasan tentera dan juga tempat meletakkan kuda di al-Hambra
al-Hambra cuba menterjemahkan di dalam rekabentuknya "syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai". Banyak anak-anak sungai yang jernih mengalir di antara bangunannya.
Insyallah kita akan berkongsi pengalaman dan kisah-kisah di Spain ini di dalam cerita akan datang.

Saturday, September 27, 2008

Tabiah Dan Dakwah 2 - Iktibar sebuah kehidupan




Ketika saya pulang dari Masjid Madaniah, saya melalui bukit di Putra Heights. Di sini terdapat banyak monyet yang menunggu orang ramai memberi makan kepada mereka. Ada yang bersendirian, ada yang berkumpulan dan ada yang menggendong anak.

Sekali sekala mereka berebut makan semalam. Kenapa dia berebut. Kerana inign memenuhi keperluan perut mereka.

Apa untungnya mereka. Untungnya mereka ialah mereka berebut tetapi tidak akan dipersoalkan di hadapan Allah.

Di dalam kehidupan seharian kita, kita sering menyaksikan perebutan. Ada yang berebut kerja, ada yang berebut harta, ada yang berebut pangkat dan sebagainya.

Kesamaan kita dengan makhluk lain ialah kita juga berebut. Perbezaan kita dengan makhluk lain ialah mereka tidak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah.

Allah menyuruh kita selalu berfikir, mengambil iktibar dan memuhasabahkan diri kita. Kita perlu berfikir sejenak setiap kali kita berbuat, adakah ia mendapat keredhaan Allah atau sebaliknya.

Semoga terus kita dirahmiati Allah.

Tarbiah Dan Dakwah 1 - Muhasabah Ramadhan

Pagi ini, dengan izin Allah, saya dapat menyempurnakan Qiam dan Kuliah Subuh di Masjid Madaniah Subang Jaya. Saya ingin berkongsi kuliah kita pagi ini.

Kuliah pada pagi ini berkisar mengenai muhasabah Ramadhan. Oleh kerana Ramadhan akan meninggalkan kita, ada empat perkara yang perlu kita perhatikan.

1. Masa
Masa merupakan umur kita. Kita lihat betapa cepatnya masa berlalu. Ada dua perkara yang penting di dalam membicarakan mengenai masa.
i. jangan masa berlalu dengan sia-sia
ii. jangan masa berlalu dengan dosa

2. Amal
Kita juga perlu melihat dan mengkoreksi amalan kita. Amalan ada lima peringkatnya

i. amalan bentuk diri seperti sembahyang, puasa zakat dan sebagainya
ii. amalan bentuk keluarga seperti nafkah, menjadi isteri yang taat, menjadi anak yang taat dan sebagainya
iii. amalan bentuk masyarakat seperti menjaga keamanan masyarakat, amar makruf nahi mungkar
iv. amalan bentuk negara seperti mempertahankan negara, membangunkan negara selaras dengan agama dan sebagainya
v. amalan bentuk ummah Islamiyyah sekeliannya. Seperti membantu atau mendoakan saudara seIslam walau di mana mereka berada.

Ramai orang yang menjalani kehidupan tanpa amalan. Ada juga orang yang menjalani kehidupan dengan amalan yang dibuat dengan sambil lewa.

3. Hubungan dengan Allah
Di antara tujuan Ramadhan ialah untuk ketaqwaan. Kemuncak sifat taqwa ialah pergantungan kita kepada Allah.

Ramai orang yang bergantung dengan harta mereka, sebab itulah jika harta habis mereka akan rungsing. Ramai orang yang bergantung dengan projek, sebab itu apabila tidak ada projek maka mereka akan rungsing.

Oleh itu, kita perlulah menggantungkan hidup kita pada Allah. Orang yang mengantungkan hidup pada Allah tidak akan rungsing dan menderita jiwanya. Ini kerana Allah akan memberikannya jalan keluar bagi segala permasalahan dan memberinya rezki dari sumber yang tidak di sangka.

4. Rasa kehambaan
Rasa hamba adalah rasa tunduk di hadapan Allah. Orang tunduk di hadapan Allah, akan diangkat di hadapan manusia.

Ramai orang yang merasa rendah diri terhadap keduniaan. Hasilnya dia akan menderita jika miskin, menderita jika pakai kereta buruk, menderita jika tak cantik. Ini kerana dia rasa rendah diri terhadap unsur keduniaan di hadapan manusia. Hasilnya hidupnya terhamba di dalam kemerdekaan. Hilang ketenangan dan lenyapkah kebahagiaan.

Sebagai penutup, segala apa yang dilalui, perlu selalu bermuhasabah. Saidina Umar mengatakan “hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab”. Semoga Allah akan terus menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat.

Friday, September 26, 2008

Diari 3 - Berita Gembira Untuk Kita


Sebagai pengamal undang-undang, Saya telah dijemput oleh Bahagian Undang-Undang Majlis Agama Islam Selangor ke Mahkamah Persekutuan Putra Jaya untuk mendengar keputusan kes Abdul Kahar bin Ahmad yang mengaku rasul orang Melayu melawan Kerajaan Malaysia, Kerajaaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor.

Sinopsis Kes
Abdul Kahar telah mengaku menjadi rasul bagi orang Melayu. Dia telah di dakwa di atas 5 kesalahan jenayah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 di Mahkamah Syariah. Rentetan dari itu, dia melalui peguamnya, Malik Imtiaz telah memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan Putra Jaya supaya Mahkamah mengisytiharkan bahawa berberapa peruntukan di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 tidak sah kerana Dewan Undangan Negeri, tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal undang-undang jenayah yang merupakan bidang kuasa Parlimen.

Dia turut mempertikaikan bahawa jawatankuasa fatwa negeri-negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang dalam bentuk fatwa yang digazetkan.

Jika kes ini dimenangi Kahar, ia akan menjadikan skop penguatkuasaan undang-undang jenayah Islam terhad dan fatwa akan menjadi sebagai pandangan yang boleh dipertikaikan. Kesannya, sesiapa yang mengamalkan apa-apa ajaran yang bertentangan dengan Islam,tidak boleh di dakwa.

Keputusan Kes
Koram Mahkamah Persekutuan Putra Jaya yang terdiri dari Abdul Hamid, CJ, Zaki Tun Azmi, PCA, Zulkifli Ahmad, FCJ sebulat suara menolak permohonan Kahar.

Kesan keputusan kes ini.

Di sisi undang-undang di Malaysia, fatwa akan menjadi satu sumber perundangan dan rujukan bagi perkara yang berkaitan dengan agama Islam.

Selepas ini, tuntutan IFC (Suruhanjaya Antara Agama) yang menuntut kebebasan membuat tafsiran kepada Islam tidak boleh dilaksanakan melainkan tafsiran tersebut dirujuk kepada fatwa dan Mahkamah Syariah.

Pemikiran Islam Liberal yang boleh mentafsir Islam mengikut pandangan mereka akan dapat dikawal. Ini kerana segala pentafsiran mengenai Islam perlu dirujuk kepada fatwa dan Mahkamah Syariah.

Peranan Jabatan Mufti akan lebih dihormati kerana ia akan menjadi rujukan utama kepada apa-apa permasalahan berkaitan orang Hukum Syarak.

Secara peribadi, saya melihat kes ini bukan sahaja kemenangan untuk Majlis Agam Islam tetapi kepada semua umat Islam di Malaysia. Semoga Allah terus memelihara kita dari segala ancaman yang menggugat umat Islam ini.

Bicara Hukum 3 - Bolehkah zakat diberikan kepada adik beradik?

Pada kesempatan kali ini, kita akan mengupas, bolehkah zakat diberikan kepada adik beradik? Kita akan memulakan perbincangan kita dengan membahas mengenai 5 golongan yang tidak boleh menerima zakat.

1. Orang kaya di atas asnaf fakir miskin.
Orang kaya tidak boleh menerima zakat di atas asnaf fakir dan miskin. Walaubagaimanapun mereka boleh menerima zakat di atas asnaf lain seperti amil, fi sabilillah atau ibnu sabil (orang yang terputus bekalan di dalam perjalanan) (Mustafa Khan, et.al, al-Fiqh al-Manhaji 'ala mazhab al-Imam as-Syafie, Damsyik, Dar al-Kalam, hal 324)

2. Golongan yang masih kuat berusaha tetapi malas
Zakat tidak boleh diberi kepada orang yang malas berusaha. Ini kerana, ia akan membuatkan seorang yang malas berusaha itu terus menjadi malas. Malas adalah sikap yang terkeji di dalam Islam. Oleh itu, jika seorang miskin itu mampu berusaha tetapi ia malas, dia tidak layak menerima zakat. (Mustafa Khan, et.al, al-Fiqh al-Manhaji 'ala mazhab al-Imam as-Syafie, Damsyik, Dar al-Kalam, hal 324)

3. Orang kafir muharab (yang diperangi)
Ulama bersepakat, orang kafir yang diperangi tidak layak menerima zakat pada setiap masa dan tempat. Walaubagaimanapun, mereka boleh menerima zakat jika tergolong di dalam asnaf Muallaf iaitu hatinya semakin jinak dengan Islam. Jika dengan pemberian tersebut semakin menghampirkannya pada Islam, maka dia boleh menerimanya (as-Syeikh Muhamad Mutawalli as-Sya'rawi, al-Fatawa, Kaherah, dar al-fath li Imam al-'Arabi, hal 642)

4. Golongan yang berada di bawah tanggungan nafkah seseorang.
Tidak boleh memberi zakat kepada orang yang di bawah tanggungan nafkah kita. Seperti anak ke bawah iaitu cucu, ayah ke atas iaitu datuk dan juga kepada isteri. Ini kerana, jika mereka susah mereka sepatutnya menerima nafkah bukannya zakat(Mustafa Khan, et.al, al-Fiqh al-Manhaji 'ala mazhab al-Imam as-Syafie, Damsyik, Dar al-Kalam, hal 325).

Oleh yang demikian, zakat boleh diagihkan kepada saudara mara yang tidak bersabit hak nafkah seperti abang, adik , bapa saudara dan emak saudara. Pemberian kepada saudara mara lebih utama kerana ia mendapat pahala sedekah dan menghubung silaturrahim (Abdullah nasikh 'Alwan, al-Ahkah az-Zakah 'ala Dhau'i al-Mazahib al-'Arba'ah, Kaherah, Dar as-Salam, hal. 77)

5. Keturunan keluarga baginda Nabi saw.
Keturunan Rasullullah saw tidak layak menerima zakat kerana mereka mempunyai bahagian di dalam harta rampasan perang (ghanimah) dan juga harta yang diperolehi daripada perdamaian dengan orang kafir (fay). Ia berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Muslim, "sesungguhnya zakat tidak boleh diberi kepada ahli keluarga Muhamad"

Walaubagaimanapun, oleh kerana mereka sekarang tidak mendapat bahagian "fay" dan "ghanimah" maka para ulama mengharuskan mereka untuk menerima zakat.

-kesimpulan-
Daripada perbahasan ini, jelaslah bahawa zakat boleh diberikan kepada adik beradik yang susah kerana mereka bukan dibawah tanggungan nafkah kita

Thursday, September 25, 2008

Jom Kongsi Pengalaman 4 - (Mesir)

Di sini saya ingin berkongsi pengalaman sewaktu saya belajar di sini.Inilah satu-satunya menara berkembar yang berada di Kaherah. Ia lambang kepada Universiti al-Azhar
Ada di antara Prof. yang mengajar itu buta. Tetapi ketika dia mengajar, setiap baris dari kitab dapat disebutnya
Suasana di dalam kelas di Universiti al-Azhar, walaupun bangku kayu ini seperti uzur, tetapi berapa banyak ulama telah dilahirkan dari Universiti ini
Keadaan orang tidur ditepi jalan. Ini merupakan pemandangan biasa di sana terutamannya ketika musim panas.
Pelajar perubatan di sana boleh membawa balik tulang-tulang sebenar manusia. Ia memudahkan mereka untuk mengulang kaji. Ia agak berbau sedikit.
Keldai yang membawa roti sebagai makanan asasi bagi penduduk di sini.
Jika mereka hendak membersihkan kasut, mereka tidak membuka kasut itu dahulu, terus dihulurkan dan tukang kasut itu akan membersihkan kasut tersebut.
Tempat duduk di perhentian bas bukan di atas bangku, tetapi di atas tempat menyandar

Bicara Hukum 2 - Adakah orang miskin wajib membayar fitrah?

Saya terlibat dengan program 'tanyalah ustaz' tv9. Saya juga mengikuti program ini tiap pagi yang disampaikan oleh sahabat-sahabat ahli penel yang lain. Ada beberapa soalan yang ditanya kandang kala tidak dijawab dengan baik. Saya faham, kadang kala kerana masa yang suntuk. Antara soalan yang ingin kita kongsi di sini ialah "adakah orang miskin wajib membayar fitrah?"

Mari kita kupas syarat yang mewajibkan seorang itu membayar fitrah. Ada tiga syarat.

1. Islam
seorang Islam atau anak-anak orang Islam sekalipun masih bayi wajib menunaikan fitrah. Ini kerana fitrah merupakan zakat diri. Setiap orang Islam wajib membayar zakat fitrah ini. (al-Qardawi, Fiqh al-Zakat, Muassasah ar-Risalah, Beirut hal 928)

2. orang itu berkemampuan
Takrifan orang berkemampuan ialah pada malam hari raya dia mempunyai kecukupan nafkah (Zakariah al-Ansari, Fath Wahab bi as-Sarh Minhaj at-Tullab, Dar Kutub Alamiyyah, Beirut hal. 197)

Nafkah bermakna dia ada kecukupan makan, pakaian dan tempat tinggal. Jadi, jika seorang itu miskin, tapi pada malam hari raya dan siangnya dia mempunyai makanan, pakaian dan tempat tinggal, maka dia wajib menunaikan fitrah ini.

Oleh yang demkian, jika seorang itu kaya, tapi pada malam hari raya rumahnya terbakar dan langsung tidak ada apa-apa kewangan di bank dan sebagainya, maka bagi dia tahun itu terangkat kewajipan fitrah kerana pada malam itu dia ditakrifkan orang yang tidak mempunyai kemampuan.

-Perbahasan-
Siapakah orang fakir dan miskin. Orang miskin ialah orang yang keperluannya tidak mencukupi. Jika dia memerlukan satu hari RM 10 dia hanya memperolehi RM 7 atau 8 sahaja. Orang fakir pula ialah orang yang memperolehi kurang dari separuh keperluannya. Sebagai contoh jika keperluannya RM 10 sehari dia hanya memperolehi RM 3 atau 4.

Orang fakir dan miskin adalah orang yang layak menerima zakat, tetapi jika pada malam hari raya dan siangnya dia mempunyai nafkah iaitu makan, pakaian dan tempat tinggal bagi dirinya dan orang di bawah tanggungannya maka dia juga wajib menunaikan fitrah ini.

3. Melalui dua masa
Yang dikatakan melalui dua masa ialah seorang yang sempat hidup pada bulan Ramadahn dan sempat hidup di dalam bulan Syawal. (Syed Sabiq, Fiqh Sunnah, Beirut, dar Kitab al-'Arabi, hal 412). Oleh yang demikian, jika seorang lahir pada petang akhir Ramadhan dan hidup sampai malam Syawal maka dia wajib menunaikan fitrah. Begitu juga orang yang mati pada malam hari raya, dia wajib menunaikan fitrah, ini kerana dia telah sempat hidup pada Ramadhan dan sempat hidup pada Syawal.

Jadi persoalan kit,a adakah orang miskin diwajibkan membayar fitrah. Jawabannya "ya" dengan syarat pada malam hari raya dan siangnya dia mempunyai kecukupan nafkah dirinya dan orang di bawah tanggungannya.

-Hikmah Zakat-
Cuba bayangkan dari sudut ekonomi. Di Dunia ini orang Islam ada 1.5 billion. Katakan zakat fitrah berharga RM 5 (ini kadar yang agak rendah) maka pada setiap tahun orang Islam telah ada RM 7.5 billion. Ini belum termasuk zakat harta. Sebab itulah orang kafir cukup takut dengan sistem Islam ini. Jika ia diselenggarakan dengan baik maka ia akan dapat membina empayar ekonomi Islam.

Di antara asnaf zakat pula ialah Fi Sabilillah (orang yang berjuang di jalan Allah) US pernah mengatakan zakat ini satu cara menyalurkan duit kepada pengganas. Ini kerana orang berjuang itu ditakrifkan sebagai pengganas. Tetapi, jika zakat disalurkan dengan betul, ia akan menjadikan perjuangan Islam itu mempunyai pembiayaan yang hebat. Dengan sebab itulah dakwah Islam dapat disampaikan ke seluruh pelusuk dunia.

Oleh itu, tunaikan zakat dengan sempurna. Ia menjadikan kita hebat di dunia dan selamat di akhirat.
Gempa bumi di Pakistan pada Oktober 2005 bersamaan Ramadhan 1425. Orang yang pada awal berkemampuan tetapi pada hari raya tersebut tidak mempunyai nafkah makan, pakaian dan tempat tinggal, maka terangkatlah kewajipannya membayar fitrah. Gambar di atas khemah sementara yang dibuat di lereng pergunungan

Dengan izin Allah, saya dan abang saya Ustaz Jazlan dapat sama-sama menghantar bantuan dan memberikan bantuan kemanusiaan di sana. Gambar atas penempatan sementara mangsa terlibatRumah mereka hancur sama sekali. Mujurlah ramai bantuan dari negara Islam tiba. Di atas pergunungan ini, duit sudah tidak ada nilai lagi. Mereka memerlukan selimut, khemah dan bahan makanan.

Wednesday, September 24, 2008

Jom Kongsi Pengalaman 3 - (Turki)

Pada Jun 2006, Alhamdulillah saya berpeluang menziarahi Turki. Saya akan berkongsi pengalaman yang menarik ini dengan pembaca sekelian. Sebelum itu, kita lihat dahulu gambar-gambar pilihan.
Saya ke Turki melalui jalan darat dari Syria. Perjalanan menaiki bas mengambil masa 3 hari. Ketika dalam perjalanan dari border Syria ke Turki, saya menaiki bas penyeludup barang keperluan harian dari Syria. Gambar di atas bagaimana seorang arab menyeludup rokok ke Turki.
Rasullullah telah bersabda, Constantinople akan dapat di buka oleh seorang yang soleh dan pengikutnya sebaik-baik pengikut. Sejak zaman sahabat lagi, usaha untuk membuka kota ini telah dibuat. Di antaranya tentera yang dipimpin oleh seorang sahabat bernama Saidina Abu Ayub al-Ansari. Gambar di atas makam sahabat ini.
Usaha Sahabat ini untuk membuktikan kata-kata Nabi tidak berjaya. Selepas 700 tahun akhirnya kota ini dapat di tawan. Pemimpin yang telah membuktikan kebenaran kata Nabi ini bernama Muhamad al-Fateh. Di atas adalah makamnya. Di atas makam ini tertulis hadith Nabi mengenai kisah pembukaan kota Constantinople ini. Kota ini kemudiannya ditukar nama kepada Istanbul bererti Islam selamanya.
Ini masjid biru yang menjadi simbol kota Istanbul
Ini adalah Aya Sofeah. Masjid ini sekarang telah ditukar menjadi muzium
Saya sempat menziarahi Syeikh Muhamad Konyave di Konya. Seorang alim dan pemimpin Tarekat di Konya Turki. Beliau bermazhab Syafie. Saya bertamu di rumahnya selama dua hari.
Ini bekas yang berisi janggut Nabi yang berada di kawasan permakaman Jalaluddin ar-Rumi dekat Konya turki. Bekas ini sentiasa wangi dan ada lubang kecil dibawah kotak kaca ini. Ia membolehkan pengunjung mencium bau harum janggut Nabi ini.
Ini adalah makam Jalaluddin ar-Rumi. Tarian sufi Turki yang terkenal diasaskan oleh beliau.

Tuesday, September 23, 2008

Jom Kongsi Pengalaman 2 -(Yaman)

Pada Jun 2005, Alhamdulillah saya telah diberi kesempatan oleh Allah untuk menjejakkan kaki ke bumi Yaman. Sebelum saya berkongsi kisah-kisah menarik, saya akan kongsikan dahulu gambar-gambar pilihan di sini
Ini adalah ka'bah Abrahah di San'a Yaman. Abrahah terkenal dengan kisah percubaannya merobohkan ka'bah yang ada di Mekah setelah ka'bahnya di Yaman ini tidak dikunjungi oleh manusia. Akhirnya, Allah menghancurkan Abrahah dan tentera bergajahnya.
Saya bertamu beberapa minggu di rumah Habib Umar bin Hafiz. Pada malam akhir sebelum kembali ke tanahair dia telah memakaikan serban kepada saya. Pada zaman dahulu, Nabi memakaikan serban kepada cucunya Hassan dan Hussain. Kemudian Hasan dan Hussain memakaikan serban kepada orang lain. Tradisi ini terus menjadi turun temurun iaitu orang yang pernah dipakaikan serban oleh anak cucu Nabi ini akan memakaikan kepada orang lain. Semoga dengan itu ia menjadi pakaian yang biasa bagi kita.

Memang menjadi budaya orang di sini menyandangkan kerambit tradisional mereka. Budaya ini dibiasakan dari sedari kecil lagi. Gambar menunjukkan anak kecil dengan kerambit Yaman.

Di Hadramaut Yaman terdapat makan Nabi Hud a.s

Yaman terkenal dengan batu akik. Ada batu-batu tersebut yang semula jadinya membentuk nama Allah dari dalamnya. Ia dijual sekitar RM 3000

Ini adalah Dar al-Hajar (rumah dari batu) Ia merupakan sebuah istana lama. Yang menariknya, ia dibina di atas bukit batu.

Orang Yaman suka memakan Gad (sejenis daun yang dikunyah dan diletakkan dipipi). Ia seperti sentil tembakau orang tua-tua kita dahulu. Ia seperti daun ganja yang menjadikan pemakannya rasa khayal.
Di Hudaidah, banyak ketam-ketam besar laut merah. Orang sini tidak pandai masak ketam dengan rempah. Kita yang sekali sekala datang, puas makan ketam yang besar-besar.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...